Saturday 29 December 2012

Isteri Paling Kelakar (BAB 25)




25





            MEMIKIRKAN waktu yang sudah hampir melepasi sepuluh minit sejak ‘Sherry’ masuk ke bilik air untuk mengambil wudu’, Azfahan yang masih baring secara meniarap di atas lantai bangun perlahan-lahan dengan gaya seperti seseorang yang sedang menekan tubi.
            Fikirnya, ‘tentu’ Sherry menyambung semula tidurnya di dalam bilik. Lalu, dia pun melangkah menuju ke bilik air utama yang terletak bersebelahan dengan dapur untuk mengambil wudhu’. Pertama kalinya selepas hampir berminggu-minggu juga dia meninggalkan solat Subuhnya. Selama berminggu-minggu itu, dia hanya menggantikan solatnya dengan melakukan qada’ sahaja. Entah diterima entahkan tidak solatnya itu.
            Terasa segar badannya. Mungkin disebabkan kesan wudhu’ yang sejuk mengembunkan beberapa bahagian anggota tubuh.
            Sewaktu dia mahu melangkah menuju ke biliknya untuk menunaikan solat Subuhnya di situ, telinganya menangkap sesuatu. Sesuatu yang kedengaran tidak jauh daripada tempat dia berdiri sekarang ini. Sesuatu yang tidak jelas di telinganya tetapi entah kenapa hatinya begitu tertarik sekali ingin terus mendengarnya. Hatinya meronta-ronta menyuruh dan mendesak dirinya untuk memburu alunan yang telah membuatkan hatinya terasa lain macam itu.
Lalu, dia segera menoleh. Menoleh ke kanan dan terus terpandangkan salah sebuah bilik yang tertutup rapat pintunya tetapi tidak sepenuhnya. Masih dapat dilihat sedikit ruang kecil dari celah-celah pintu yang mengizinkan alunan itu terdengar sehingga ke luar bilik.
Dengan hati yang teruja entahkan sebab apa, Azfahan mengekori suara itu. Dia seperti dipukau untuk datang dan menghampiri alunan yang semakin menarik-narik halwa telinganya. Sehinggalah dia berdiri rapat dengan pintu bilik tersebut dan pada dinding pintu itu dia perlahan-lahan menekupkan telinganya di situ.
Mengaji rupanya. Subhanallah, merdunya. Lunak sungguh suara dia...
            Terpegun Azfahan mendengarkan suara yang lunak itu mengalunkan ayat-ayat suci yang dia sendiri tidak tahu dari surah mana. Dia perasan tangannya menggeletar kerana meremang dengan suara yang ranum, lemak merdu itu. Sehinggakan kesan wudhu’ yang masih basah di beberapa bahagian anggota badannya juga turut bergetar sama. Sesungguhnya, suara yang merdu itu telah membuatkan dia merasakan suatu perasaan yang aneh dan ganjil sehinggakan darah di dalam tubuhnya seperti dikocak-kocak.
            Dia tidak selesa menghadapi situasi dan keadaan begitu namun dia tetap mahu terus mendengar suara lunak merdu itu mengalunkan ayat-ayat suci kerana daripada suara itu, hatinya terasa begitu tenang, setenang-tenangnya. Apatah lagi di kala waktu keheningan Subuh yang sunyi begini. Terasa suara itu meresap jauh ke dalam lubuk hatinya.
            Bukannya dia tidak pernah mendengar suara yang lebih merdu daripada itu. Dia sendiri pernah terpukau dengan suara lunak Dato’ Siti Nurhaliza sewaktu penyanyi nombor satu itu mengadakan persembahan sempena ulangtahun syarikatnya beberapa tahun dulu. Tetapi, cukup berbeza jika hendak dibandingkan dengan suara ‘Sherry’. Suara ‘Sherry’ walaupun tidaklah semerdu suara Siti Nurhaliza, tetapi ada ‘sesuatu’ di dalam suara itu yang membuatkan dia merasakan suara ‘Sherry’ mempunyai keistimewaan yang tiada pada mana-mana suara perempuan lain. Dia tidak pernah mengalami keadaan sebegini. Keadaan bagaimana dia terpukau dengan suara seorang perempuan sehingga meremang bulu romanya. Walau dengan Sazzy pun tidak pernah meskipun gadis itu kerap ‘mengalunkan’ ayat-ayat cinta dan rengekan yang menggoda di tepi telinganya. Dia seorang lelaki yang cool jadi sepatutnya dia tidak mudah tergoda hanya dengan keindahan suara! Tapi kali ini dia gagal. Hatinya terasa sangat terhibur dan terasa sangat tenang sehingga dia sendiri tidak berjaya mengungkapkan rasa apakah yang sedang dialami dan dinikmatinya sekarang ini kerana baginya, perasaan itu begitu aneh untuk diungkap dan ditafsirkan.
            Azfahan beristighfar. Dia tidak sedar yang dia sudah terleka sehingga lebih lima minit di situ hanya kerana asyik mendengarkan suara yang teralun dari bibir seorang gadis yang selama ini menjengkelkannya...





            SEJADAH yang telah digunakan tidak dilipat seperti biasa. Dibiarkan terlentang saja di atas lantai. Solatnya tadi tidak begitu khusyuk. Sayup-sayup suara ‘Sherry’ yang masih mengalunkan surah suci masih terapung-apung kedengaran sehingga ke biliknya walaupun jarak antara bilik utama itu dengan bilik di mana ‘Sherry’ berada boleh dikatakan jauh juga.
            Azfahan kelihatan tidak sabar-sabar ingin mendengar suara itu dengan lebih dekat lagi. Mungkin disebabkan itulah dia tidak khusyuk dengan solat yang didirikannya tadi. Tergopoh-gapah dia keluar dari biliknya. Tidak pula dia mandi seperti kebiasaan yang dilakukannya sebaik selesai mendirikan solat Subuh. Jangan kata mandi, rutin berdoa selepas solat pun dia boleh terlupa!
            Pintu bilik di mana ‘Sherry’ berada di dalamnya dilihat masih berkeadaan seperti tadi. Masih tertutup tetapi tetap kelihatan ruang kecil yang mengizinkan suara itu memercik keluar dari dalam dan bagaikan embun pagi, suara itu menempias pula meresap sehingga ke dalam hatinya. Dia masih merasakan perasaan yang sama setiap kali mendengarkan suara itu. Perasaan aneh yang dia kira sebagai luar biasa. Sebelum ini dengan rendah hatinya, dia jujur mengakui yang dia memang tidak mudah tersentuh mendengar sesiapa sahaja mengaji atau mengalunkan ayat suci al-Quran. Tidak juga mudah tersentuh hatinya yang sekeras kerikil itu meskipun mendengarkan laungan azan dari masjid berdekatan rumahnya yang saban hari dilaungkan oleh muazin yang dilahirkan dari tanah Arab itu.
            Tidak sama seperti dia mendengar suara ‘Sherry’ sekarang ini. Tapi kenapa harus begitu sekali perasaannya? Sedangkan ‘Sherry’ bukannya sedang mengalunkannya ayat itu dengan bersungguh-sungguh sebagaimana mana-mana qariah yang menyertai pertandingan di kaca-kaca televisyen.
            Kenapa hari ini dia terasa begitu lain sekali perhatian yang diberikannya kepada ‘Sherry’? Apakah ALLAH ingin menyatakan ‘sesuatu’ dalam diam kepadanya? Bagaimana pula kalau sememangnya ‘Sherry’ adalah jodoh yang tepat untuknya sebagaimana yang dirancang Puan Sri Zahlia sendiri yang sememangnya sudah terpikat dengan gadis kampung itu?
 Azfahan menggeleng, wajahnya ketat. Tak boleh jadi ni!
 Dia sendiri akui, memang ada perasaan yang ganjil meresap ke dalam hatinya sehingga kini. Melihat wajah ‘Sherry’ yang sedang nyenyak tidur dengan tudung di kepalanya pun dia boleh terpegun. Dan sekarang, dia terpegun lagi. Sehinggakan dia tidak sedar yang ‘Sherry’ sudah pun menyudahkan bacaannya. Tidak sempat untuk dia melarikan diri, ‘Sherry’ sudah pun membuka pintu dan dari riak muka gadis itu, ‘Sherry’ jelas kelihatan terkejut melihat kelibatnya di situ. Namun, gadis itu kelihatan tenang sekali dengan keadaan yang tidak disangka-sangkanya. ‘Sherry’ memang bijak mengawal keadaan.
“Assalamualaikum. Awal kau bangun hari ni.”
Tidak seperti Azfahan yang menggelabah tak tentu pasal.
“Errrr...urmmm ya... ya... Hari ni awal sikit sebab kita kan nak balik ke vila sekejap lagi.”
Entah bagaimana dia boleh terlepas cakap. Namun, bila difikir balik, memang itu pun yang dimahukannya walaupun dia sebenarnya tidak ada pula merancang untuk pulang ke vila hari ini. Tapi elok juga. Lagi cepat dia bawa ‘Sherry’ balik ke vila bersama-samanya, lagi bagus. Biar permainan ini tamat dengan segera sebaik sahaja ‘Sherry’ berjaya menjayakan lakonannya.
Dia sudah tidak betah lagi duduk berdua-duaan dengan gadis ini. Dia takut, bimbang, gusar dan bermacam perasaan lagi yang membuatkan seluruh dada dan jantungnya berdebar-debar dengan degupan yang kedengaran sumbang. Hari ini sahaja dia sudah berasa bermacam-macam perasaan aneh terhadap ‘Sherry’. Semakin takut bila difikirkannya. Dia takut kalau lama kelamaan nanti hatinya terpaut pada gadis kampung yang dibencinya ini. Tidak! Dia tidak akan sesekali membiarkan perkara itu daripada berlaku! Jadi, pilihan yang terbaik, pulang ke vila dalam keadaan segera!
“Kau okay tak ni?” Azfahan bersuara kemudiannya apabila dia  perasan yang ‘Sherry’ menundukkan sedikit kepalanya seperti sedang memikirkan sesuatu.
Hurmmm... Aku okay aje. Tapi kau kan dah janji dengan aku. Sebelum kita balik semula ke vila, kau kata nak bawa aku shopping dulu.” ‘Sherry’ menarik muncung panjang, meluahkan rasa tidak puas hatinya.
Azfahan hampir nak tersenyum melihat gelagat ‘Sherry’ yang seperti kebudak-budakan itu, tetapi ditahan sehabis daya. Wajah ketatnya itu juga yang ditayangnya setiap kali berhadapan dengan ‘Sherry’. Kerana dia mahu gadis itu sentiasa menghormatinya!  
Dia ni pun.... Pagi-pagi lagi dia dah boleh terfikirkan pasal shopping. Shopping complex pun tak bukak lagi...
“Lain kali sajalah...” balasnya lemah. Malasnya dia kalau perlu menemani orang perempuan membeli-belah. Itulah rutin yang paling dibencinya! Tapi menemani ‘Sherry’ membeli-belah tempoh hari telah mengikis sedikit tanggapan buruknya selama ini pada sikap orang perempuan yang suka membeli-belah. Sekarang barulah dia mula menganggap yang tidak semua orang perempuan itu suka menghabiskan masa lama-lama sewaktu memilih dan membeli pakaian. ‘Sherry’ hanya memerlukan masa tidak sampai sepuluh minit untuk memilih beberapa jenis pakaian yang dia berkenan. Gadis itu sentiasa tahu apa yang dimahukannya.
“Mana boleh macam tu. Nanti macam pula dengan lakonan aku? Kau jangan salahkan aku pulak kalau lakonan aku tak menjadi nanti.” ‘Sherry’ memberi amaran keras. Suaranya naik satu oktaf.
Azfahan tidak bertanya, cuma mengerutkan dahinya saja.
“Iyalah... Kau cakap kau nak ubah Seri Embun jadi perempuan sombong yang tak sedar diri, yang dah lupa asal-usul dia, yang garang macam mak tiri! Jadi, nak tak nak kau kena juga bawa aku pergi shopping untuk beli pakaian yang sesuai dengan watak yang aku bawak bila aku balik ke vila nanti. Tapi kalau kau tetap berdegil tak nak bawa aku shopping, aku pun tak boleh nak cakap apa lagi dah. Cuma aku nak ingatkan kau. Kalau pelan kau tak menjadi nanti, jangan pulak kau salahkan aku. Aku takkan bertanggungjawab!” Kali ini, ‘Sherry’ mengugut pula. Lebih kepada mengumpan sebenarnya. Dia berharap sangat yang Azfahan akan mengubah keputusannya.
Yes, macam ada chance aje! ‘Sherry’ bersorak di dalam hati.
Dia lihat Azfahan seperti sedang menimbangkan permintaan dan kebernasan ideanya tadi. Namun, dia sengaja menyorokkan wajah terujanya.
Sakit pula hati Azfahan bila terpandangkan muka ‘Sherry’ yang selamba itu. Dia tidak suka melihat reaksi begitu. Dia mahu ‘Sherry’ serius dengan ‘projek usahasama’ yang menjadi rahsia mereka berdua itu memandangkan projek ini begitu penting bagi kedua-dua belah pihak baik di sebelah pihaknya mahupun di sebelah pihak ‘Sherry’. Kerana mereka berdua sendiri sedia maklum yang masing-masing memang tidak akan pernah rela untuk disatukan sebagai pasangan suami isteri.
“Baiklah... Aku akan belikan apa saja yang kau minta, tapi dengan syarat, kau hanya diberi tempoh seminggu saja untuk buat Tan Sri Jaafar dan Puan Sri Zahlia bencikan kau, sekaligus batalkan terus pelan tak masuk akal mummy aku untuk satukan aku dengan kau! Boleh kau buat semua tu untuk aku?”
Giliran Azfahan pula yang mengugutnya. Lelaki ini sudah siap berpeluk tubuh sambil menjongket-jongketkan keningnya.
Diam.
Kelu lidah ‘Sherry’ untuk menjawabnya. Dia sendiri tidak yakin dengan kemampuannya. Aku ni bukannya Fasha Sandha yang ada bakat lakonan walaupun muka aku ni comel macam Lisa Surihani. Mampu ke aku melakukannya?
Ahhhh... Angguk sajalah. Mana boleh aku lepaskan tawaran sekali seumur hidup ni. Bukan calang-calang tawaran! Berbaloi jugak aku datang dari jauh.
“Oh Pavilion Bukit Bintang, here I come!” Sambil bernyanyi-nyanyi kecil, ‘Sherry’ terus ke dapur ingin menyiapkan sarapan pagi. Berseri-seri wajahnya membayangkan syurga beli-belah yang paling eksklusif dan elegan di bumi Asia itu.
Azfahan tersenyum, menggeleng melihat gelagat ‘Sherry’ yang kebudak-budakan itu.
“Sedap suara kau mengaji tadi,” pujinya tiba-tiba. Lupa seketika pada rasa malu dan egonya atas sikap berterus-terangnya itu.
Berubah muka ‘Sherry’. Tubuhnya dipusingkan perlahan-lahan.
“Kau curi-curi dengar ya?” sergahnya.
Azfahan langsung tidak takut, sebaliknya dia mengangguk. Sekali lagi dia bersikap jujur.
“Aku tak tahu pulak suara yang aku dengar tadi tu suara kau. Merdu sungguh. Lain sangat kalau nak dibandingkan suara kau yang tersangatlah sumbang masa kau nyanyi lagu Siti Nurhaliza dalam kereta aku itu hari.”
‘Sherry’ memang suka menyanyi. Lebih-lebih lagi sewaktu mereka berdua berada di dalam kereta. ‘Sherry’ akan menyalak ikut sesuka hatinya. Itulah saja kerja yang boleh dibuat memandangkan Azfahan bukan mahu melayannya berbual pun. Serius dan tekun sahaja lelaki itu setiap kali memandu.
Azfahan senyum mengejek. ‘Sherry’ pula mencebik.
“Masa kat dalam kereta tu memanglah teruk suara aku sebab aku tengah menyanyi depan kau.”
Azfahan mengerutkan dahinya, tidak faham.
“Tak ada apa-apa lah.” ‘Sherry’ memutuskan untuk tidak menjelaskan ayatnya yang masih tidak dapat ditangkap maksudnya oleh Azfahan tadi.
“Alah, bagitahu aje lah!” Azfahan pula masih terus mendesak.
“Tak nak lah. Nanti kau fikir bukan-bukan pulak pasal aku.”
“Tapi aku tetap nak tahu jugak. Kenapa bila berdua-duaan dengan aku, suara kau sumbang dan tak semerdu kau mengaji tadi? Atau kau gugup bila duduk berdua dengan aku? Kau sukakan aku ya?”
Belum apa-apa, Azfahan sudah berburuk sangka. Sesuka hati saja dia membuat kesimpulannya sendiri.
“Perasannya kau ni!”
“Alah, tak payahlah kau nak menafikan lagi. Aku boleh agak lah. Kau suka dekat aku kan?” Azfahan mengulang telahan yang sama. Dia langsung tidak sedar keadaan dirinya sendiri yang sedang ternanti-nantikan respon daripada ‘Sherry’ bersama dada yang berdebar-debar. Dia teringin sekali melihat ‘Sherry’ mengiyakan telahannya tadi.
 Sehinggalah Azfahan sedar tentang keadaan itu, dia sedikit tersentak dan tertanya-tanya di dalam hati. Kenapa sampai begini sekali dia menaruh perasaan terhadap ‘Sherry’?
Azfahan termenung bersama hati yang tidak tenteram sehingga hampir-hampir dia tidak kedengaran sewaktu ‘Sherry’ membuat penjelasan bagi membela diri sendiri. Hanya keluhan ‘Sherry’ yang dapat didengarnya dengan jelas sebelum gadis itu mengulas panjang lebar.
“Baiklah, biar aku jelaskan. Aku buat penjelasan ni pun sebab aku tak nak kau salah faham dengan aku, dan aku tak suka tengok perangai kau yang perasan bagus tu. Tapi awal-awal cakap, maaflah ya kalau kau meluat dengan gaya aku yang macam ustazah ni. Aku ni bukannya alim pun. Cuma apa yang aku tahu, berdosa kalau seorang perempuan melenggok-lenggokkan suara di hadapan orang yang bukan semuhrim dengan perempuan tu. Sebab itu lah waktu dalam kereta itu hari aku buat-buat sumbang aje padahal kalau ikutkan, suara aku ni tersangatlah merdu mengalahkan suara Mariah Carey.”
Selesai dengan penjelasannya, ‘Sherry’ terus berlalu meninggalkan Azfahan terpinga-pinga bersama hilai tawanya yang panjang.
Hanya setelah hampir seminit, barulah terlihat senyuman yang terukir di bibir Azfahan. Lucu pula dengan sikap ‘Sherry’ yang kerap sangat masuk bakul angkat sendiri itu. Namun begitu jauh di sudut hatinya, termendap perasaan kagum dan bangganya melihat bagaimana ‘Sherry’ menjaga peribadi dan maruah dirinya.
 ‘Alahai, apa yang dah tak kena dengan aku ni? Dari tadi, rasanya dah berbakul-bakul aku puji dia walaupun pujian tu habis kat dalam hati aku ni aje. Parah...! Parah...! Tak boleh jadi ni!'

Friday 28 December 2012

Isteri Paling Kelakar (BAB 24)




24




             TANPA disangka-sangka, Sazzy telah datang semula ke kondminiumnya beberapa jam selepas dia meninggalkan Azfahan tadi. Agaknya kerana terbayang-bayangkan tubuh sasa kekasih hatinya yang tegap dan kekar itu, tidak jadi dia bermalam di rumah kawannya seperti biasa.
            Sebelum ini, memang dia sendiri yang sengaja memilih untuk tidak terlalu kerap pulang ke kondominiumnya yang mana sewanya ditanggung beres oleh Azfahan sendiri. Dalam sebulan, boleh dikira dengan jari saja berapa kali dia pulang ke kondominium mewah itu. Semuanya dilakukan bagi mengelakkan diri daripada  menjadi bahan kontroversi murahan wartawan-wartawan yang hanya tahu dan mahu melariskan surat khabar mereka semata-mata. Lagi pula, sejak dia tinggal di kondominium yang hanya dipisahkan dengan jarak satu pintu rumah itu, boleh dikatakan agak kerap juga dia bertengkar dengan Azfahan. Jadi, untuk mengelakkan permasalahan itu lah dia memilih untuk tinggal di rumah kawannya sahaja. Kebetulan kawannya yang juga seorang model ternama hanya tinggal seorang saja di dalam kondo yang ‘ditaja’ oleh lelaki berpangkat Tan Sri.
            Dalam keadaannya yang sudah tidak sabar-sabar itu, Sazzy meraba-raba beg tangannya sebelum segugus kunci dikeluarkan. Dia sudah berkira-kira ingin bermalam dengan Azfahan malam ini. Tapi sebelum itu, adalah lebih baik dia masuk ke rumahnya terlebih dahulu. Lagipun, badannya terasa berlekit. Berlengas!
            Padahal baru kejap tadi di rumah kawannya dia mandi dan membersihkan badan. Mungkin sudah jadi sebahagian daripada ‘rutin’ seorang supermodel yang pantang berpeluh walaupun sedikit.
Hanya selepas mandi dan betul-betul selesa nanti, barulah dia akan ke rumah Azfahan. Tentu kekasih hatinya itu tidak akan menolak.
Hairannya, sewaktu pintu sudah dibuka dan ditolaknya dari luar, dia lihat keadaan rumahnya sama seperti sebelum dia meninggalkan Azfahan beberapa jam tadi. Sekarang waktu sudah hampir menginjak ke subuh. Tinggal lebih kurang sejam saja lagi.
Takkanlah dia lupa nak tutup lampu pulak? Atau ada perompak yang ceroboh masuk rumah aku?
Ahhhh...Mustahillah. Sistem sekuriti dekat kondominium mewah ni boleh dikatakan antara yang terbaik memandangkan banyak mengimitasi sistem yang diamal dan dipraktikkan di negara-negara barat yang maju lagi moden.        
            Mungkin dia terlelap dekat rumah aku agaknya. Iyalah, mata dia kan sakit. Tak larat nak bangunlah tu agaknya. Baguslah... Senang sikit aku nak ‘terkam’ dia. Kalau kantoi pun tak ada lah aku ni nampak jahat sangat kat mata masyarakat sebab aku sekarang ni berada kat dalam rumah aku. Bukannya aku yang terhegeh-hegeh ceroboh masuk rumah dia! Bijaknya aku.... Sazzy tersenyum senang hati.
Sewaktu dia melepasi ruang tamu rumah yang agak luas bagi sebuah kondominium itu, tidak pula dia perasan kewujudan Azfahan yang terbaring tidur di atas sofa. Barangkali kerana kedudukan sofa yang membelakangkan pintu rumah. Jadi mungkin sebab itu dia tidak perasan. Hanya setelah terdengarkan dengkuran halus dari seseorang, barulah dia memusingkan tubuhnya.
            ‘Gosh! Perempuan mana pulak yang dia bawa masuk dalam rumah aku ni? Ini rupanya kerja dia selama ni? Eeeeee.... Mentang-mentanglah aku dah lama tak balik sini, suka hati dia aje nak bawak perempuan masuk sini! Tak guna punya jantan. Dasar buaya. Kat rumah aku sendiri kau khianat aku ya! Dengan perempuan kampung yang berbaju kurung macam orang gaji ni pun jadi ya kau!’
            Dengan hati yang geram, laju saja langkahnya merapati sofa panjang bersama dada yang mula bergoncang dahsyat.
            Kalau ikutkan hatinya, saat ini juga mahu dilanyaknya perempuan yang sedang nyenyak tidur itu. Tapi, kalau boleh, biarlah dia lihat wajah perempuan itu dulu. Dan kalau boleh juga, dia mahu rakam gambar perempuan itu dan malukan betina tak guna tu sampai hancur punah masa depannya! Agaknya perempuan ni tak tahu yang aku sanggup lakukan apa saja untuk kekalkan status aku sebagai girlfriend Azfahan!
            Tanpa mengejutkan ‘perempuan’ itu bangun terlebih dahulu, Sazzy yang nampaknya sudah gagal mengawal emosi, tanpa berfikir panjang terus merentap rambut ‘perempuan’ yang agak lebat kehitaman itu sebelum ditariknya dengan sekuat hati. Giginya sendiri terketap kuat menunjukkan betapa dia benci sehingga nyaris-nyaris ketapan itu menghiris bibirnya sendiri.
            Kedengaran dengusan Azfahan mengaduh sakit. Kepalanya terkehel dan rasa semacam hampir nak terputus saja urat lehernya. Mana tidaknya, sebentar tadi dia tidur dengan mukanya melekap pada bantal sofa dan apabila ditarik sebegitu kuat, berpusinglah urat lehernya kerana terpaksa mengikut rentak Sazzy yang ekstrem itu.
            Sazzy pula terus menekup mulutnya yang sudah terlopong. Terperanjat tentu sekali apabila ‘perempuan’ yang disangkanya sebagai perampas itu sebenarnya adalah pujaan hatinya sendiri.
            Tapi, kenapa dia perlu berbaju kurung macam ni? Baju siapa pulak yang dia pakai ni?
Mulanya, kerungsingan itu hanya terluah di fikirannya saja. Mungkin kerana terlalu terkejut, dia terpaksa mengambil masa yang agak lama untuk menagih jawapan daripada teman lelakinya itu. Dia masih tidak percaya dengan apa yang sedang dilihatnya.
            “Aaaa... Apa... Apa semua ni? Apa yang you cuba buat sebenarnya ni?”
            Terluah juga pertanyaan itu walaupun kalau diikutkan hatinya saat ini, sekarang juga dia mahu keluar dari situ. Untuk terus memandang kekasihnya yang baginya sedang dalam keadaan memalukan begitu pun dia sudah tidak sanggup. Dihumbannya pandangannya ke arah lain bersama dada yang berombak-ombak sementara menunggu Azfahan membuat penjelasan.
            Azfahan yang masih menguap kelihatan sedang mengurut-urut lehernya yang terasa sengal dan sedikit pedih. Dia masih dalam keadaan mamai sebenarnya. Sehinggalah Sazzy mengoncang-goncangkan lengannya, barulah matanya yang pejam itu terbuka perlahan-lahan. Sebagaimana Sazzy, dia sendiri terkejut melihat tubuhnya yang berbalut dengan baju kurung entah kepunyaan siapa itu.
            Hanya setelah dia betul-betul berada dalam keadaan sedar, barulah dia dapat refresh apa yang berlaku sehingga menyebabkan dia berpakaian begini. Malangnya sudah terlambat. Sazzy ternyata tidak mahu mendengar sebarang penjelasan daripada terlebih dahulu.
            “Sayang... Let me explain!”
            “Tak payah! You’re just wasting your time. Mata I dah explain semuanya pun. Selama ni I percayakan you. Tapi sekarang, nampaknya dah terbukti cerita kontroversi pasal hubungan songsang antara you dengan penyanyi yang baru nak naik tu! Ya Allah, kenapalah selama ni I boleh percayakan you? Hidup-hidup I kena tipu dengan you. Nampak aje macho, maskulin... tapi rupa-rupanya, gay!”
            Terus terbeliak mata Azfahan bila dituduh begitu. Hilang terus rasa mengantuknya. Namun, belum sempat untuk dia membela diri, Sazzy sudah pun melangkah dengan deras untuk keluar dari kondominium itu.
            Azfahan tak fikir yang dia sanggup mengejar kekasihnya itu apatah lagi dengan keadaannya berbaju kurung begini. Maka, dia mengambil keputusan untuk terus duduk di atas sofa itu bagi menenangkan fikirannya yang sudah mula berserabut.
Dia tidak pasti apa yang sedang berada di dalam fikiran Sazzy. Boleh jadi Sazzy beranggapan yang dia berbaju kurung begini kerana sedang berhadapan dengan kecelaruan dan kekeliruan identiti dan juga jantina. Perkara ini juga tidak mustahil memandangkan sebelum ini terdapat segelintir pihak yang cemburukan hubungannya dengan Sazzy sehinggakan ada dalam kalangan mereka yang sanggup mereka-reka cerita menuduh dirinya seorang pengamal homoseksual ataupun lebih mudah disebut sebagai gay.
            Dia masih ingat lagi kejadian yang sempat mengaibkannya tidak lama dulu. Waktu itu, dunia hiburan sempat kecoh seketika apabila gambarnya dengan seorang penyanyi lelaki kelahiran program realiti TV yang berwajah comel dan jambu tersebar di blog-blog hiburan Malaysia sebelum berjangkit pula ke akhbar-akhbar tempatan. Entah siapalah punya kerja yang cuba mengaitkan dirinya dengan penyanyi lelaki itu. Sedangkan cerita yang sebenar di sebalik gambar tersebut adalah berlainan daripada apa yang dicerita dan diheboh-hebohkan.
            Sebenarnya, waktu itu syarikatnya mengadakan satu majlis ringkas meraikan kejayaan syarikat yang semakin maju ke hadapan apabila berjaya meluaskan sayap ke tahap yang lebih tinggi. Beberapa artis telah diundang bagi slot persembahan dan artis tersebut termasuklah penyanyi lelaki yang telah dikaitkan dengannya itu. Dia pun bukannya minat sangat pun dengan penyanyi tersebut. Cuma waktu itu kebetulan mereka duduk di meja yang sama dan kebetulan juga mereka hanya duduk bersebelahan. Penyanyi itu pula jenis mesra dan ramah orangnya. Mungkin dari situ mereka nampak seperti mesra dan apabila ada yang mengambil kesempatan merakamkan gambar mereka, maka dari situlah bermula episod yang memalukannya sebagai seorang usahawan muda.
            Sazzy pun sempat terpengaruh dengan kontroversi murahan begitu. Tapi dia tidak pernah terfikir untuk salahkan Sazzy. Mungkin dia langsung tidak menunjukkan ciri-ciri sebagai seorang lelaki gay. Daripada caranya berpakaian dan bersosial, tidak sepatutnya dia dituduh dan diheret ke dalam golongan itu. Namun, bila dunia sudah hampir tiba ke penghujungnya, lelaki yang pasang sampai empat isteri pun ada yang masih mahu mengamalkan kehidupan songsang. Jadi, tidak hairanlah kalau dia yang bujang ini pun dituduh juga. Apatah lagi dengan sikapnya yang memang dilihat jarang sekali bergaul dengan mana-mana perempuan. Sedangkan hakikatnya, bukannya dia tidak mahu bergaul, cuma dia memang tidak pandai berkawan. Jangan kata perempuan, kawan lelaki pun seorang dua saja yang selesa berkawan dengannya!



           

            BAJU kurung yang kelihatan pelik tersarung pada tubuhnya ditanggalkan cepat-cepat dan dicampakkannya jauh-jauh seolah-olah baju itu adalah spesis ular yang paling berbisa di dalam dunia ini. Semalam dia tidak begitu meneliti penampilannya sangat. Sekejap tadi barulah dia berasa benar-benar malu dan terkejut sebaik dia berdiri di hadapan cermin jernih yang tingginya hampir mencecah ke siling itu. Cermin yang dia belikan sebagai hadiah buat Sazzy. Itupun kerana Sazzy yang meminta daripadanya. Dah nama pun supermodel, mestilah rumah pun kena lengkap dengan cermin besar macam dalam kelas tarian tu. Kata Sazzy, mudah untuk dia belek dan pastikan tubuhnya itu kekal langsing.
 Azfahan yang masih berdiri di hadapan cermin menggeletar tiba-tiba apabila dia teringat semula bagaimana buruknya tubuhnya yang tegap itu bila berbaju kurung. Geli-geleman sampaikan boleh naik terpacak bulu romanya. Seram sejuk dia dibuatnya. Kenapalah aku boleh jadi bodoh sampai macam tu sekali? Sampai boleh memandai-mandai pergi sarungkan jugak baju kurung tu. Dah gila agaknya aku ni sebab dah lama tak keluar rumah. 24 jam asyik bergaul aje dengan perempuan gila tu, macam mana aku tak gila sekali?
Sekali lagi ‘Sherry’ yang menjadi mangsa dan dipersalahkan. Padahal dia yang ego! Dia yang pantang dicabar, sebab itulah dia langsung tak fikirkan risikonya sewaktu dia sarungkan baju kurung bunga-bunga kecil itu malam tadi. Lagi mahu salahkan ‘Sherry’? Tak guna betullah mamat sorang ni!
Dengan keadaan badannya yang tidak berbaju itu, selamba sahaja Azfahan menonong keluar dari rumah kekasihnya itu. Takkan nak sarungkan baju Sazzy pulak.  Memandangkan sekarang dia berada di rumah Sazzy, jadi dia terpaksa juga menayangkan tubuh sasanya secara percuma.
Tubuh yang kalau diikutkan hanya boleh dilihat di kaca televisyen sahaja memandangkan tubuhnya boleh dikatakan lebih kurang sahaja bentuknya dengan tubuh pelakon Chris Evans. Cuma, kulitnya tidaklah terlalu cerah. Namun, dadanya tetap liar ditumbuhi bulu-bulu halus yang kemas terbajak di sekitar bahagian dadanya. Seksi...
 Cuma kali ini dia bukan sengaja mahu mengadakan tayangan amal mahupun tayangan percuma jauh sekali tayangan yang cuba merangsang nafsu mana-mana perempuan yang tentu sekali akan tergila-gilakannya. Kali ini, dia benar-benar terpaksa. Iyalah, takkanlah dia nak terus berbaju kurung kot. Matilah dia kalau ada jirannya yang pandang dia dalam keadaan begitu. Daripada berbaju kurung, tentulah lebih bermaruah bila dia memilih untuk menayangkan tubuhnya yang sederhana kurus tetapi berotot padu dan sasa itu.
            Seperti biasa, pintu rumah dibiar terbuka dengan luas walaupun waktu sekarang ini masih terlalu pagi. Tak kisahlah semua tu. Yang penting, dia tidak mahu mengundang bahan mulut daripada orang sekeliling yang memang cukup suka menjatuhkannya. Sebab itulah dia harus berjaga-jaga dan berwaspada. Dan yang lebih penting lagi, dia tidak mahu dicekup dengan ‘Sherry’ apatah lagi apabila dipaksa berkahwin dengan perempuan kolot itu. Tak, dia tak sanggup dan dia tak mahu! Walau syarikat emas berlian Rafflesia menaja perkahwinannya sampai beratus-ratus juta sekalipun, dia tetap tidak mahu. Walaupun sekiranya perkahwinannya itu nanti ditabalkan sebagai perkahwinan yang paling mahal dalam sejarah orang kenamaan di Malaysia, dia tetap tidak mahu kalau pengantin perempuannya adalah ‘Sherry’! Buat apa perkahwinan sampai berjuta-juta kalau market muka pengantin perempuan tak sampai berapa sen!
            Ahhh... Tiba-tiba dia berasa benci pada ‘Sherry’ walaupun dia hanya membayangkan sahaja perkara itu. Dan menjadi semakin benci dan marah bila mengingatkan bagaimana ‘Sherry’ meninggalkannya tertidur di rumah Sazzy dengan berbaju kurung tanpa mengejutkannya terlebih dahulu. Tak pasal-pasal Sazzy merajuk dengannya. Sudah berkali-kali dia cuba menghubungi kekasihnya itu namun telefonnya dimatikan sejurus selepas beberapa panggilan yang dia lakukan.
            Apakah ‘Sherry’ memang sengaja mahu mengenakannya?
             Hurmmm... Ada kemungkinan juga memandangkan sebelum ini dia memang cukup suka kenakan aku. Ataupun dia tak sampai hati nak kejutkan aku bangun? Hurmmm.. Yang ni pun ada kemungkinannya juga. Walaupun dia sedar yang selama ini ‘Sherry’ cukup suka mengenakannya, namun dalam sesetengah perkara, dia perasan yang ‘Sherry’ juga sebenarnya adalah seorang manusia yang cukup menjaga hati orang lain. Boleh dikatakan dia seorang yang agak  penyayang dan mengambil berat walaupun dia cuba menyembunyikan sifat semulajadinya itu.
            Tapi dalam kes baju kurung malam tadi, aku yakin yang budak kampung tu memang sengaja nak perangkap aku! Entah-entah dia yang call Sazzy minta Sazzy balik semula ke kondonya? Iyalah hairan juga. Sepatutnya selepas Sazzy keluar malam tadi, seharusnya kekasihnya itu sudah pun berada di rumah kawannya. Apatah lagi Sazzy yang dikenalinya memang tidur awal mengikut jam yang dia sendiri tetapkan. Paling lewat Sazzy tidur pun dalam pukul 11 malam. Tapi selalunya pukul 10 malam lagi Sazzy sudah masuk ke bilik tidur. Kata Sazzy, seorang model sepertinya perlu cukup rehat dan tidur demi memastikan kesihatan dan kecantikan diri luar dan dalamnya sentiasa terjaga dengan baik.
            Nampaknya, bukti dah lebih daripada cukup untuk mensabitkan budak kampung tu! Memang sahlah yang dia memang sengaja nak perangkap aku! Memang sengaja nak porak-perandakan hidup aku!
            Ya ALLAH... Apa kenalah dengan Azfahan ni. Dia sendiri yang gatal-gatal pergi sarungkan baju kurung tu, sekarang dia nak salahkan ‘Sherry’ pula? Sepatutnya awal-awal lagi dia patut ingatkan dirinya sendiri, haram hukumnya lelaki yang cuba menyerupai perempuan walaupun malam tadi dia memakainya bukan dengan niat nak menyerupai perempuan. Lebih kepada rasa tercabar sebenarnya. Sebab itulah dia sarungkan juga baju kurung ‘Sherry’ itu ke tubuhnya. Tapi harus diingat, haram tetap haram dan niat tidak menghalalkan cara. Tetapi lelaki seperti Azfahan ni, seorang yang betul-betul menitikberatkan halal haram ke?
            Sebagaimana keadaan rumah Sazzy sewaktu dia tidur di atas sofa sebelum dikejutkan oleh kekasihnya itu, begitulah juga keadaan rumahnya sendiri. Malah lebih cerah. Bukan saja lampu ruang tamu saja yang terpasang. Lampu dapur, lampu balkoni, lampu bilik tidur, lampu toilet bahkan chandelier mewah yang sepatutnya hanya sesekali dipasang sewaktu upacara-upacara penting turut dinyalakan. Siapa lagi kalau bukan kerja ‘Sherry’.
            Susah betullah kalau datang dari ceruk kampung ni! Lagi-lagi budak kampung yang terkena kejutan budaya macam ‘Sherry’ ni. Semua benda dia nak geledah. Macam orang gila dapat masuk istana! Mentang-mentanglah dia tahu aku ni berkemampuan. Dasar perempuan kampung tak sedar dek untung. Entah-entah dekat rumah kau kat ceruk kampung tu jangan kata chandelier, silap-silap lampu kalimantang pun tak ada. Agaknya bergelap sepanjang masa, tak pun guna pelita aje! kutuk Azfahan di dalam hati.
            Dadanya berdebar-debar dengan rasa tidak sabar. Ya, memang dia sudah tidak sabar-sabar lagi, mahu dijeritnya di tepi telinga perempuan yang dibencinya itu. Biar hancur musnah mimpi indahnya!
            Sangkanya ‘Sherry’ sekarang ini sedang nyenyak tidur di atas katilnya yang mampu memuatkan sehingga tujuh orang dewasa itu. Buruk sangka betul. Sampaikan sempat pula dia bayangkan bagaimana lasaknya perempuan kolot seperti ‘Sherry’ tidur di atas tilamnya yang luas seperti tidur di atas padang itu. Bezanya, padang yang luas tidak mampu menandingi keselesaan apabila membaringkan sahaja tubuh di atas tilam yang begitu empuk dan lembut bagai memecal-mecal, mengurut-urut belakang badan. Bayangkan sahaja sudah terliur dibuatnya. Apatah lagi manusia kolot seperti ‘Sherry’. Tentu Sherry sedang asyik merasai nikmat sebuah tilam yang diimport khas dari luar negara itu. Agaknya, entah berapa gelen pula air liur basi ‘Sherry’ yang tumpah ke atas tilamnya dek kerana terlalu teruja dan terlalu nikmat tidur dan berbaring di atasnya.
            “Puasnya tidur kat atas tilam ni sampaikan I boleh mimpi I sedang berbaring kat atas badan Brad Pitt. Tak rasa macam mimpi pulak tu. Rasa macam betul-betu. Rasa real sangat...” komen Sazzy sewaktu kekasihnya itu tidur di dalam biliknya. Waktu itu dia ada urusan di luar negara. Sazzy yang dikenalinya memang cukup suka membakar api cemburu. Mujurlah waktu itu dia tidak ambil kisah sangat kerana baginya, pelakon kacak yang sudah agak lanjut usianya itu bukanlah saingannya. Ternyata dia jauh lebih tampan dan segak daripada Brad Pitt.
            Mengenangkan pula yang katil besarnya itu nanti bakal menjadi tempatnya menghangatkan unggun asmaranya dengan Sazzy maka makin radanglah hati yang sudah sedia hangat itu. Malangnya setelah pintu dibuka, ‘Sherry’ tiada di situ!
            Ke mana pula budak tu pergi?
            Azfahan terus menoleh. Dan dia seperti tidak berpuas hati sebaik terpandangkan tubuh kecil ‘Sherry’ yang terbaring elok dan muat-muat sahaja di atas sofa dua tempat duduk di ruang tamunya. Kenapa dia tak tidur saja kat dalam bilik? Saja nak umpan simpati aku? Atau nak tunjuk yang dia tak hairankan segala kemewahan yang ada kat dalam rumah ni?
            Tak habis-habis! Apalah yang mamat ni tak puas hati sangat ni? Bukan ke tadi dia juga yang marah bila bayangkan ‘Sherry’ sedang nyenyak tidur di atas katilnya? Sekarang bila dia dapat tahu ‘Sherry’ hanya tidur di atas sofa, takkanlah dia nak marah juga? Mahu lihat ‘Sherry’ tidur kat atas lantai baru puas hati dia agaknya! Tiba-tiba saja nak berasa bengang tak tentu pasal. Entah apa yang dia geramkan sangat agaknya. Ataupun dia malu kerana hatinya yang busuk itu sebentar tadi telah melonggokkan bermacam-macam tuduhan ke atas ‘Sherry’ dan sekarang tuduhan itu jelas tidak berasas?
            ‘Sherry’ tidaklah seburuk itu. Mungkin gadis itu seorang yang materialistik, tetapi tidaklah sehingga melebihi daripada batas yang hanya akan membuatkan peribadinya kelihatan buruk. Yang hanya akan memalukan nama baik keluarga dan juga agamanya. Sherry bukanlah seburuk itu.
            Ya, dia memang dilihat cukup teruja dan kagum sewaktu melihat bagaimana mewah dan indahnya ruang kondominium kepunyaan Azfahan ini. Dia juga pernah membayangkan betapa indah dan mewahnya bilik tidur yang terdapat di dalam kondominium milik lelaki itu. Namun, dia tetap sentiasa beringat dan berpesan pada dirinya sendiri supaya sentiasa menjaga tingkah lakunya. Walaupun hati budak kampung ini melonjak-lonjak mahu melihat bagaimana indah dan serba lengkapnya ruang kamar Azfahan, ditahannya keinginannya itu. Sebab itulah dia hanya tidur di atas sofa sahaja. Langsung dia tidak menjenguk mahupun mengintai mana-mana bilik tidur yang terdapat di dalam kondominium mewah itu. Dia masih seorang perempuan yang tahu menjaga adab dan tingkah laku. Itu jugalah pesanan ayahnya, berkali-kali sebelum dia bertandang ke kota metropolitan ini.
            Namun, Azfahan tetap berasa tidak puas hati. ‘Sherry’ yang tidur dengan dada yang berombak lembut itu dihampirinya dengan niat yang awal-awal sudah dipasang. Niatnya, dia ingin memarahi gadis itu semahu-mahunya. Banyak point yang boleh digunakannya untuk memarahi ‘Sherry’. Antaranya ialah sikap ‘Sherry’ yang membazir tak tentu hala dengan sengaja membiarkan rumahnya itu terpasang dengan segala jenis lampu yang ada. Daripada chandelier sehinggalah ke perhiasan lampu yang diletakkan di atas meja. Meriah betul! Dah macam I-City pulak aku tengok rumah aku ni! Akuarium yang aku baru beli, yang belum lagi diisi dengan ikan-ikan pun habis dipasangnya lampu akuarium tersebut. Takut gelap agaknya budak kampung ni.
Azfahan tersenyum tanpa dia sedar. Kepalanya tergeleng spontan. Tetapi tidak lama selepas itu senyumannya mati. Ketika ini dia sedang tegak berdiri beberapa langkah sahaja daripada sofa yang menampung tubuh kecil gadis yang dibencinya itu. Dengan muka yang meluat dan bibir yang tercebik, dari bahagian atas kepala sofa, dia memanjangkan sedikit lehernya untuk menjenguk wajah ‘Sherry’. Sebelumnya, dia hanya dapat melihat separuh daripada badan ‘Sherry’ sahaja memandangkan pemegang sofa yang direka secara meninggi itu sedikit membataskan pandangannya.
            Daripada rasa nak marah, hilang sedikit debaran di dadanya. Digantikan pula dengan debaran yang dia sendiri tidak cukup bijak untuk menafsirkan apakah yang sedang dirasakannya saat ini.
            Tenang... Itu sahaja yang terdetik di hatinya saat melihat wajah polos yang bersih itu sedang nyenyak tidur dengan mata yang terpejam. Barangkali perasaan itu hadir tanpa disedarinya memandangkan wajah bersih itu kelihatan begitu bersih dan riaknya tampak sopan sekali. Langsung tidak terdengar sebarang dengkuran mahupun dengkuran halus yang keluar dari bibirnya yang tertutup rapat itu. Tidak seperti sesetengah orang yang tidur dengan mulut yang terbuka. Mungkin sebab itulah dengkuran menjadi semakin kuat dan mungkin juga sebab itulah air liur basi boleh tumpah sehingga melimpah-limpah.
            Lain benar keadaannya dengan gadis yang sedang enak beradu ini. Seperti sedang mengalami mimpi yang tersangatlah indah, ataupun boleh dikatakan seperti sedang tidur dalam suasana bulan madu bersama suami tercinta. Setakat ini, tak pernah lagi rasanya dia melihat sesiapa sekalipun yang tidur dalam keadaan sebegini sopan. Senang sekali dia memandangnya seperti memandang bayi yang sedang nyeyak tidur setelah disusukan.
            Entah mengapa dia boleh merasakan perasaan yang sebegitu. Mungkin juga kerana tudung yang masih tersarung kemas sehingga langsung tidak menampakkan walau seurat rambut itu, secara tidak sedar dan dalam diam, mungkin itulah sebenarnya yang telah membuatkan hatinya berasa begitu tenang bila memandang wajah bersih mulus tanpa sebarang jerawat mahupun cela itu.
            Daripada wajah yang menenangkan itu, mata Azfahan merayap pula ke bahagian yang lebih mencabar. Hinggap pula ke tubuh ‘Sherry’ yang baginya tidak memiliki potongan yang menarik itu. Tapi untuk pertama kalinya, dia berasa tertarik. Bukan kerana dia sudah berubah fikiran dan menganggap badan ‘Sherry’ sudah berjaya memikat hatinya. Cuma tersuntik rasa kagum sebaik terpandangkan sehelai kain batik yang tidak sebesar mana tetapi seboleh-bolehnya digunakan juga untuk menutup tubuhnya walaupun yang dapat ditutupnya hanyalah dari paras atas dada sehingga ke sekitar pinggang. Mungkin ‘Sherry’ tidak berani masuk ke dalam bilik tidur untuk meminjam dan menggunakan selimut tebal yang sememangnya tersedia di dalam setiap bilik tidur di dalam kondominium Azfahan itu.
            Sekali lagi Azfahan tersenyum tanpa sedar mengenangkan hingga begitu sekali ‘Sherry’ menjaga maruah dan peribadinya. Sempat lagi ‘Sherry’ menukar pakaiannya malam tadi kepada jubah yang longgar dan tebal memandangkan dia tahu yang dia akan tidur di sebuah rumah yang pemiliknya adalah seorang lelaki.
            Memandangkan bahaya ada di mana-mana, ‘Sherry’ seperti berjaga-jaga. Bukannya dia meletakkan rasa buruk sangka pada Azfahan. Tidak perlu perlekehkan dia! ‘Sherry’ sedar, yang dia langsung tidak kelihatan menarik di mata lelaki yang cukup sempurna fizikal dan rupa paras pada pandangan matanya itu. ‘Sherry’ tahu, kalau dia berpakaian seksi sekali pun, belum tentu Azfahan terliur melihatnya. Namun, dia tetap wajib menjaga dan melindungi maruah dirinya. Manalah tahu kalau tidurnya ditakdirkan terlajak sehingga ke lewat pagi dan kebetulan Azfahan masuk ke dalam rumahnya ini, tentu keadaan begitu tidak manis memandangkan mereka langsung tidak mempunyai sebarang pertalian.
            Itulah yang difikirkan oleh Azfahan. Wow! Untuk pertama kalinya dia berbaik sangka terhadap perempuan yang seringkali menerima makian dan tuduhan daripadanya itu. Ingatkan dia akan fikir yang ‘Sherry’ ni seorang perempuan yang perasan! Kononnya berselubung begitu, macamlah ada orang yang nak sentuh dia! Tapi tidak, Azfahan kali ini sudah tidak seburuk itu sangkaan dan tanggapannya.
            Belum pernah lagi dia melihat mana-mana manusia yang tidur dalam keadaan sesopan ini. Mungkin disebabkan itulah ketika ini matanya memandang pelik. Namun, dalam pandangan pelik itu sebenarnya sedang menceritakan satu perasaan yang cukup kagum terhadap Sherry.
            Sejujurnya, belum pernah lagi dia menemui perempuan sebegini. Lebih-lebih lagi dalam lingkungan kehidupan liar dan mewahnya di Kuala Lumpur ini. Seorang perempuan yang masih bersungguh-sungguh menjaga peribadinya. Seorang perempuan yang tidak mahu dilihat sebagai perempuan yang cantik dan sempurna walaupun dia memiliki rupa paras yang boleh tahan juga menariknya. Tetapi hatinya kuat mengatakan yang perempuan ini bukanlah seorang yang obses ingin menayangkan kecantikannya walaupun dia adalah seorang perempuan yang agak materialistik.
            Azfahan tersenyum mengingatkan hal yang satu itu. Walaupun dia tahu sifat buruk ‘Sherry’ itu dan walaupun dia pernah mengutuk sikap gadis kampung yang materialistik itu, tetapi tidak lagi untuk kali ini. Sebaliknya, dia bertambah kagum. Ya, dia kagum melihat bagaimana seorang perempuan yang obses pada pakaian-pakaian cantik dan pakaian-pakaian yang mahal-mahal, masih meletakkan batasan dalam dirinya. Masih tidak membenarkan sifat obses dan materialistiknya itu memakan dirinya sendiri dan memakan maruahnya sebagai seorang yang begitu menitikberatkan pegangannya sebagai seorang muslimah. Bawalah ‘Sherry’ ke butik yang paling mahal sekalipun, materialistik ‘Sherry’ sekalipun, ‘Sherry’ tidak akan terliur melihat pakaian-pakaian yang tidak sesuai untuk dipakainya. Pakaian-pakaian yang haram untuk ditayang sesuka hatinya.
            Sifat materialistik ‘Sherry’ berbeza sekali jika dibandingkan dengan sifat materialistik Sazzy kekasihnya. Sazzy tidak pernah membataskan dirinya. Apa yang dirasakan cantik dan mahal, akan dibelinya bahkan adakalanya walaupun satu-satu pakaian itu tidak sesuai dengannya, Sazzy tetap akan membelinya hanya kerana harganya yang mahal dan hanya kerana jenamanya yang terkemuka. Berbeza sekali dengan ‘Sherry’. ‘Sherry’ memang sukakan sesuatu yang bersifat cantik. Cantik di matanya, dia akan terus mengambilnya tanpa meminta pandangan daripada orang lain kerana yang memakainya adalah dia. Jadi, dia langsung tidak hiraukan apa orang nak kata!
            Awal-awal lagi dia sudah dapat menghidu sewaktu dia membawa ‘Sherry’ ke butik pereka fesyen kesayangan Dato’ Siti Nurhaliza, Rizman Ruzaini tempoh hari. Dia tahu, ‘Sherry’ sengaja mahu mengenakannya. ‘Sherry’ sengaja menggunakan kesempatan itu untuk mengikisnya semahu-mahunya. Habis diborongnya semua pakaian mahal-mahal yang terdapat di situ sedangkan dia tahu, ‘Sherry’ ini walaupun seorang yang cukup suka bergaya, namun citarasanya bukanlah pada pakaian yang terlalu sarat hiasan dan melampau-lampau rekaannya. ‘Sherry’ masih boleh dikategorikan sebagai seorang perempuan yang bergaya secara bersederhana. Tetapi tetap kelihatan manis dengan penampilannya yang sopan begitu berbanding gaya dan imej Sazzy. Adakalanya dia sendiri sudah muak melihat penampilan yang berubah saban hari seolah-olah ingin menyatakan bahawa dirinya itu adalah seorang yang tidak berpendirian dan masih kabur tentang apa yang dimahukannya terhadap dirinya sendiri. Dia lebih senang melihat perempuan yang tidak menggunakan sebarang solekan untuk mencantikkan wajahnya. Seperti ‘Sherry’ yang hanya menggunakan senyuman dan ketenangan yang ada di dalam dirinya bagi menyerikan wajahnya yang tidaklah cantik, tetapi tetap menarik untuk dipandang itu.
            Terserlah senyuman nipis di bibir Azfahan namun tidak lama kemudian dia tersentak bagai disergah seseorang yang menyergah tanpa amaran. Seperti baru tersedar daripada satu khayalan yang sangat panjang dan melekakan. Matanya dipejam berkali-kali dan dia mengulangi perbuatan yang sama untuk beberapa kali lagi. Tujuannya ingin menyedarkan dirinya sendiri. Dahinya terasa berpeluh-peluh. Lalu, dia terus meraup mukanya seperti kesalkan sesuatu. Matanya dipejam serapat-rapatnya.
            Kenapa dengan aku ni? Kenapa baru sekarang pulak aku boleh terfikir untuk bandingkan perempuan kolot ni dengan seorang supermodel yang digila-gilakan oleh semua lelaki tu?
Supermodel yang pernah kecoh kerana telah menyebabkan seorang lelaki yang pernah bertindak ingin membunuh dirinya hanya kerana supermodel itu sekadar menganggap lelaki tersebut tidak lebih daripada sekadar peminatnya sahaja. Begitulah hebatnya penangan supermodel merangkap kekasih hatinya itu! 
            Kalau nak dibuat perbandingan sekalipun, kenapa tidak dibandingkan sahaja Sazzy kekasihnya itu dengan mana-mana ratu cantik dunia? Dan kenapa pula ‘Sherry’ mesti dibandingkan dengan Sazzy? Layakkah ‘Sherry’ menyaingi Sazzy? Kalau dulu untuk membandingkan Seri Embun dengan makcik bertubuh gempal dengan tuala jenama Good Morning di atas bahunya merangkap tea lady di syarikatnya itu pun dia bagaikan tidak sanggup kerana baginya makcik yang pandai bergaya dan tetap mahu mengenakan bedak pada mukanya yang bersopak itu, yang sesekali masih teringin berbaju kebaya itu jauh lebih baik jika hendak dibandingkan dengan Seri Embun yang dikenalinya awal-awal dulu. Seorang perempuan yang baginya terlalu selekeh!
            Tapi sekarang kenapa segala anggapannya perlu berubah dengan begitu drastik sekali?
            Azfahan langsung tiada jawapan untuk soalan itu. Gelisah dia memikirkannya. Dan semakin gelisah dia dibuatnya apabila dia perasan yang beberapa bahagian anggota tubuh ‘Sherry’ sudah bergerak sedikit sebaik sahaja azan Subuh dilaungkan. Muka ‘Sherry’ juga sudah berkerut-kerut seolah-olah lenanya terganggu.
            Kelam-kabut jadinya Azfahan melihat keadaan itu. Dia tahu, masa sudah terlalu suntuk untuk dia melesapkan dirinya ke dalam bilik tidurnya. Apatah lagi dengan keadaan kondonya yang begitu luas itu. Jarak ruang tamu dengan bilik tidur boleh dikatakan jauh kalau dia berlari sekalipun. Tentu dia memerlukan masa juga untuk mengelakknya dirinya dikesan di pandangan ‘Sherry’. Tak pasal-pasal pula habis pecah perhiasan kaca dan kristal yang mahal-mahal terdapat di dalam kondonya itu.
            Lantas, tanpa pilihan yang dia ada, Azfahan terus merebahkan kedua belah lututnya ke atas lantai dan merangkak perlahan-lahan ke belakang sofa. Di belakang sofa yang tinggi tempat bersandarnya itu, dia bersembunyi bersama nafas yang sudah tidak teratur namun sehabis baik dia cuba mengawalnya. Dia tidak boleh hanya sekadar membongkokkan tubuhnya memandangkan ketinggian yang lampai. Jadi, terpaksalah dia meniarap lagak gaya seorang tentera di medan perang. Ketika ini, dia meletakkan dirinya seperti sedang berurusan dengan projek yang melibatkan keuntungan sehingga berjuta-juta. Kerana sekarang ini dia sedang berurusan dengan soal maruahnya sendiri. Malulah dia kalau ‘Sherry’ menyangka yang dia cuba mengambil kesempatan dengan sengaja membelek-belek tubuh gadis itu.
            Langsung tidak kedengaran derap tapak kaki ‘Sherry’ yang melangkah. Hanya kedengaran bunyi pintu bilik air yang dibuka, kemudian ditutup dan akhir sekali dikunci dari dalam. Selepas itu, kedengaran pula air yang melimpah walaupun tidak terlalu kuat hentakannya. Daripada bunyinya saja Azfahan tahu yang ‘Sherry’ bukannya mandi. Tentu sekali ‘Sherry’ sedang berwudu’ ketika ini.
            Terasa seperti dilibas-libas hatinya mengenangkan apa yang sedang dilakukan oleh gadis yang sering dicemuhnya di dalam hati itu. Dalam tidurnya yang begitu nyenyak dan selesa, mudah sahaja ‘Sherry’ terjaga dari lenanya. Hanya perlu dikejutkan dengan suara azan.
            Berbanding dengan dirinya yang hanya terjaga setelah dia menggunakan iPhonenya untuk mengejutnya bangun Subuh. Bukan kerana kecanggihan iPhone tersebut yang menyebabkan dia mudah terjaga seawal 6 pagi. Puncanya adalah ringtone alarmnya yang telah disetkan dengan lenggok suara manja Sazzy pengarang jantung hatinya. Setiap kali alarmnya diset untuk mengejutkannya setiap jam 6 pagi, setiap kali itulah akan kedengaran suara gedik Sazzy yang direkodkannya untuk dijadikan alarm atau reminder yang akan mengingatkannya tentang apa saja.
Dan setiap kali itulah kedengaran suara Sazzy merengus-rengus mengejutkannya dengan lenggok suara seksinya yang penuh berahi.
“Sayang, dah pagi ni. Bangunlah sayang... Tapi kalau you masih rasa susah nak bangun jugak, apa kata you cuba bayangkan I tidur kat sebelah you. Okay sekarang, tenangkan fikiran you dan bayangkan pula you tengah peluk badan I ketat-ketat sehingga badan you terasa panas dan hangat.”
Itulah ‘nasihat’ yang Sazzy sendiri rekodkan menggunakan iPhone kepunyaannya.
Azfahan tersenyum sumbing. Dia masih ingat lagi. Ketika itu dia mengadu masalahnya pada Sazzy berkenaan dirinya yang cukup susah untuk bangun seawal pagi. Alasannya, dia memang mengalami masalah susah nak bangun tidur apatah lagi bila sudah berada dalam keadaan dan suasana yang sejuk dan selesa.
 Dengan manja, Sazzy terus merampas iPhone di tangannya. Ketika itu mereka sedang makan petang di sebuah hotel. Dan ketika itu juga Sazzy dengan gaya seksi dan manja yang dibuat-buatnya terus merakamnya suaranya menggunakan iPhone tersebut.
“Nah, I yakin lepas ni you takkan face dengan masalah lambat bangun pagi lagi. Bila badan you berpeluh-peluh sebaik saja you bayangkan diri you tengah peluk body I yang hot ni, mesti you akan terjaga dan bangun untuk mandi. Eh, maksud I bukan mandi wajib. Tapi mandi macam biasa untuk bersihkan peluh you tu aje.” Dalam meyakinkan, sempat lagi Sazzy bergurau begitu. Sempat juga dikenyitkan matanya sekali.
Tapi memang betullah jaminan Sazzy. Sejak itu, dia sudah tidak berhadapan dengan masalah bangun lewat lagi. Lenggok suara Sazzy yang manja dan seksi itu benar-benar menggodanya walaupun sehingga kini, rakaman suara Sazzy yang sama itu sudah mencecah beratus kali digunakan untuk mengejutnya bangun pagi. Sebelum azan Subuh kedengaran, dia sudah termimpi-mimpi bagaimana hangatnya tubuhnya setelah memeluk tubuh Sazzy. Dia yang susah bangun pagi atas alasan sejuk dan dingin, lewat kebelakangan ini cukup mudah pula untuk bangun pagi kerana membayangkan sahaja tubuh Sazzy yang gebu dan seksi itu, dia sudah pun berasa hangat sehingga meronta-ronta di dalam hati.
Kesal bila diingatkan betapa jahilnya dia jika hendak dibandingkan dengan ‘Sherry’ yang begitu mudah sekali terjaga daripada tidurnya. Hanya dengan suara azan yang dilaungkan, dia dapat lihat wajah ‘Sherry’ seperti asyik dan begitu rindu sekali ingin mendengarkan laungan suci itu walaupun ketika itu gadis itu masih dalam situasi separa sedar. Berbeza pula dengan dirinya yang memerlukan suara Sazzy yang manja dan mengada-ngada itu, yang bisa mengocakkan nafsu serakahnya dengan ‘puisi-puisi’ yang berbaur sedikit lucah semata-mata untuk mengejutkannya bangun bagi mendirikan solat Subuh.
Astaghfirullah... 



 P/S: Sebarang kritikan mahupun carutan sama ada positif mahupun negatif teramatlah dialu-alukan. Penulis sangat memerlukan komen daripada pembaca sekalian dan akan menerimanya dengan berlapang dada.

Tuesday 25 December 2012

Isteri Paling Kelakar (BAB 23)




23






            JAM menunjukkan pukul 10.00 malam sewaktu mereka sampai ke kediaman masing-masing. Setelah membersihkan badan, ‘Sherry’ sebenarnya sudah berkira-kira untuk tidur selepas dia siap mandi dan menunaikan solat tadi. Malangnya, sekali lagi ketenteramannya diganggu apabila Azfahan datang semata-mata ingin menyuruhnya menerika kemeja dan seluar untuk ke pejabat esok.
            “Tolonglah, esok aku dah kena start masuk office. Alhamdulillah, berkat air garam kau, esok aku dah boleh mula kerja.” Sempat lagi Azfahan mengenyitkan sebelah matanya.
            ‘Amboi, mentang-mentanglah mata tu dah elok, main kenyit-kenyit pulak. Bolehlah jadi duta air garam lepas ni.’
            Memandangkan mata ‘Sherry’ sudah layu, kepalanya pula sudah terasa berat, malas dia mahu melayan lelaki itu lama-lama. Sebelum dia masuk ke dalam bilik untuk menerika pakaian yang baru disuakan Azfahan kepadanya, dia sempat berpesan kepada lelaki itu supaya tidak masuk hingga ke ruang tamu. Cukup sajalah Azfahan berdiri atau paling tidak pun duduk saja di atas kerusi kecil yang terdapat di sebelah pintu itu. Mungkin kelihatan kejam, tapi itu jauh lebih baik daripada membiarkan kemungkinan mereka berdua ditangkap khalwat. Soal pintu rumah pula, Azfahan sendiri sedia maklum tentang hal itu. Awal-awal lagi dia sendiri sudah menguaknya dengan selebar yang mungkin. Maklumlah, lelaki yang dikatakan serba-serbi sempurna dari segala segi itu manakan mungkin sanggup untuk menjadi suami secara terpaksa kepada perempuan yang tiada sebarang kelebihan seperti ‘Sherry’ ni.
            Sewaktu ‘Sherry’ masih tekun menggosok pakaian Azfahan, tiba-tiba telefon bimbit lelaki itu berdering. Dari dalam bilik, ‘Sherry’ memerhatikan sahaja gelagat cemas Azfahan yang sudah pun berdiri tegak dan berjalan patah balik ke hulu hilir sambil tunduk memandang telefon bimbit di tangan. Sesekali, Azfahan merengus dan merungut sendirian. Entah apa yang dirungutnya, tidak pula ‘Sherry’ mendengarnya dengan jelas. Cuma, Azfahan kelihatan cukup gelisah sekali ketika ini. Sampai berpeluh-peluh dahinya. Keadaan itu membuatkan ‘Sherry’ laju saja keluar dari bilik. Lupa pula dia nak padamkan suis seterika.
            Sewaktu dia menghampiri lelaki itu, Azfahan sudah pun menekan butang hijau. Telefon bimbit tidak dilekapkan ke telinga sebaliknya lelaki itu mengubah settingnya kepada loud-speaker.
            Geli hati ‘Sherry’ melihat gelagat lelaki yang selama ini disangka macho itu tetapi rupanya kerap kena buli dengan girlfriend sendiri. Pengecut rupanya dia ni. Nampak aje macam garang.
            ‘Takutlah tu nak tekap phone kat telinga. Takut pekak telinga tu kena jerkah dengan girlfriend dia!’ ‘Sherry’ mengejek-ejek di dalam hati sambil matanya terus memerhati gelagat Azfahan.
            “Sayang, mana you pergi tadi?”
            Amboi, belum apa-apa dah kena serang. Salam pun tak diberi!
             “You tak fikir ke hah? Dari tadi I meroyan kat dalam dewan tu macam orang gila sebab tercari-carikan you tapi bayang you langsung tak nampak. And you know what, untuk pertama kalinya dalam sejarah I since I bergelar supermodel, I balik naik teksi lepas habis buat show dan tak ada seorang pun yang datang jemput I. Kawan-kawan I model-model lain tu semua balik dengan bf diorang. Bf diorang semua siap bawakan bunga, tapi you?”
            “Mana you pergi sebenarnya? Cakaplah...”
            “Honey...” Takut-takut Azfahan bersuara. Dia seperti ingin memujuk. Tapi tak ada idea lah pulak!
`           “I tak nak you cakap apa-apa even try untuk pujuk I. Yang I tahu, you owe me an explanation. Why you didn’t come, hah?” suara Sazzy dengan tegas sekali.
            Azfahan hanya mampu berdiam dan membatu. Sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Berkali-kali dia berdengus dan berdecit.
            ‘Part gaduh-gaduh yang aku tak tahan ni. Aku couple bukannya nak kusutkan fikiran aku. Aku nak have fun!’
            Namun seperti biasa, Azfahan tetap beralah. Buat masa ini dia masih tidak sanggup untuk kehilangan Sazzy.
            “Sayang, janganlah mengamuk macam ni. Cuba dengar dulu apa yang I nak cakapkan ni.” Sambil memujuk, Azfahan cuba mencari alasan. Yang penting alasan itu mestilah bernas. Sazzy bukannya ‘bendul’ seperti Seri Embun a.k.a Sherry yang mudah untuk diperbodohkan. Dia kena ingat semua tu!
            “Silakan. I sangat berbesar hati untuk mendengar alasan daripada you.” Suara Sazzy masih keras bunyinya.
            “Ni bukan alasan lah sayang. You tahu kan I sakit mata? Teruk sangat. Sampai sekarang pun, mata I belum recover lagi. Dah tiga hari I tak masuk office. You tak kesian kat I ke? Kalau ikutkan, I memang teringin sangat nak tengok you perform tadi. Tapi nanti you jugak yang dapat malu bila semua orang ingat mata I ni lebam kena tumbuk sebab jelingkan model-model lain kat majlis tu.” Sambil berhelah, sambil bergurau. Semoga sejuk hati buah hati kesayangannya itu. Mudah-mudahan.
            Malangnya, kali ini ayat-ayat romeonya tidak mujarab seperti selalu. Makin melenting lagi adalah Sazzy dibuatnya.
            “Ni bukan masa untuk bergurau lah, Han. I sangat serious okay kalau melibatkan maruah I. Dan orang yang dah jatuhkan maruah I tu ialah boyfriend I sendiri. You boleh bayangkan tak macam mana I duduk macam tunggul kat dalam dewan tu lepas habis show tadi? Kawan-kawan I semuanya dah perli-perli I. Diorang semua cakap yang boyfriend I Azfahan usahawan berjaya tu sebenarnya tak wujud dan hanya rekaan imaginasi I semata-mata. Sakit hati I ni you tahu tak?” Nampaknya, suara Sazzy sudah bertukar ke tahap hampir nak menjerit.
            Terkulat-kulat Azfahan dibuatnya. Dia sudah habis idea untuk memujuk buah hatinya itu. Malu pun ada sebab dari tadi ‘Sherry’ tegak berdiri tidak jauh darinya menjadi pemerhati dan pendengar sekali.
            Akhirnya, dia memilih untuk diam saja.
            “Sekarang I nak tahu, you ada kat mana sekarang ni?” tengking Sazzy lagi.
            “I kat rumah lah sayang. I kan tak sihat!” Dia pun turut meninggikan suaranya. Rimas pula dengan perangai Sazzy yang suka mendesak dan memijak kepalanya itu.
            “Okay good. I pun dah ada kat dalam lif ni. I dah tak sabar sangat-sangat nak tengok, teruk sangat ke mata you tu. You jangan lari ke mana-mana pulak. I dah nak sampai dah pun ni!” Talian terus dimatikan sebelum sempat Azfahan menghalang.
            “Oh Damn!” jerit Azfahan sekuat hatinya. Kemudian, diurut-urutnya kepala yang terasa pening tiba-tiba.
            Sekali lagi ‘Sherry’ berasa rimas apabila Azfahan kembali berjalan ke hulu hilir tanpa tujuan. Susah betullah kalau orang yang terlalu menjaga penampilan dan tubuh badan ni. Kat dalam rumah pun nak buat senaman ringan jugak ke?
            Laju sungguh Sazzy menapak sehingga ke depan rumah bertanda 701 yang terletak agak jauh ke dalam itu. Nampak sangat perempuan tu sudah tak sabar-sabar lagi mahu menyerang teman lelakinya, fikir ‘Sherry’.
            Suis penggera yang dipicit berkali-kali sehingga bingit segenap rumah telah membuatkan Azfahan yang kelihatan cukup rungsing ketika itu menggelabah dan apabila dia sedar yang dia sudah kehabisan helah, dia tercegat berdiri di situ seperti patung cendana. Namun, akalnya masih bergerak dan masih cuba memikirkan sesuatu yang mampu mengelakkan hubungannya dengan Sazzy daripada berakhir begitu saja.
            Kerana seburuk-buruk mana sekalipun Sazzy di matanya, dia rasa dia perlu mengekalkan hubungan dengan gadis itu supaya tidaklah dia dipaksa ibunya supaya mengahwini ‘Sherry’ yang tentunya berkali ganda lebih ‘buruk’ daripada Sazzy. Sudahlah rupa pun tak ada, perangai lagilah teruk. Majlis makan malam tadi dah membuktikan segalanya!
            Kejam sungguh Azfahan ni. Dalam keadaan cemas begini pun sempat lagi dia mengutuk dan memperlekehkan ‘Sherry’!
            Tidak cukup dengan bunyi penggera yang membingitkan telinga, Sazzy menumbuk-numbuk pula pintu rumah sehingga mereka yang berada di dalam terasa bagai nak luruh jantung masing-masing.
            ‘Mak aiiii... Perkasa sungguh girlfriend si mamat perasan bagus ni ya. Tak pun ni mesti dia pakai cincin yang besar batu berliannya mengalahkan batu lesung. Tu yang kemain kuat lagi ketukannya.’
            “Kau kena tolong aku, ‘Sherry’!” bisik Azfahan perlahan. Bahkan degupan jantungnya yang sedang tidak stabil itu lebih kuat daripada suaranya sendiri. Bimbang kalau-kalau Sazzy terdengar, matilah dia!
            “Macam mana pulak aku nak tolong kau?” ‘Sherry’ juga menggunakan teknik vokal yang sama. Iaitu berbisik dengan menggunakan nada suara yang paling rendah. Dalam kes sebegini, pernafasan mestilah dikawal dengan baik kerana bimbang kalau-kalau peti suara tanpa sengaja mengeluarkan suara secara berlebihan. Haiihhh... Dah macam kelas vokallah pulak!
            “Tolong tumbuk mata aku!”
            “Hah?” ‘Sherry’ terjerit mendengarkan arahan itu. Azfahan pula spontan menekup mulut gadis itu. Dia mengetap giginya menahan marah. Bikin kantoi betullah budak bendul ni!
Hurmmm... Inilah padahnya kalau tidak ada basic teknik-teknik melontarkan suara dengan baik mengikut situasi dan keadaan!
“Ke...kena..kenapa nak.. nak kena tumbuk pulak?” Takut sungguh ‘Sherry’ melihat wajah Azfahan yang serius ketika ini. Kalau dia paksa jugak suruh aku tumbuk mata dia, apa yang aku perlu buat? Alahai... Kenapa lah aku mesti diheret sekali dalam masalah percintaan  dua budak hingusan ni?
“Kau jangan banyak tanyalah. Tumbuk aje!” Azfahan mengeraskan sedikit suaranya sambil sesekali dia menoleh ke arah pintu yang masih sedang digegarkan dengan kuat itu.
“Tak nak lah aku. Aku dah lama tinggalkan perangai samseng aku tau! Aku dah taubat!”
“Tolonglah. Kalau kau tumbuk mata aku, aku akan bawakan kau ke mana-mana saja fashion boutique yang kau suka. Shoppinglah sebanyak mana yang kau suka. Aku janji, aku akan bayar semuanya. Macam mana? Setuju tak?”
Berdebar-debar Azfahan menanti ‘Sherry’ membuka mulutnya. Harap-haraplah dia setuju. Nampak macam setuju aje. Bukan main lebar lagi senyuman dia. Siap sempat berangan lagi. Alhamdulillah, budak bendul ni kalau diteliti, memang banyak juga faedah dan kegunaannya.
“Kalau macam tu....”
“Kalau macam tu?” Bulat mata Azfahan memandang bibir ‘Sherry’, menanti sehingga gadis itu menghabiskan ayatnya. Dengan hati yang semakin berdebar-debar. Berkali-kali dia menelan air liurnya. Minta-mintalah budak ni setuju.
“Kira jadilah!” Serentak dengan persetujuan yang diputuskan itu, ‘Sherry’ terus melayangkan buku limanya tepat ke mata kanan Azfahan. Menyebabkan Azfahan terdorong ke belakang lalu terperosok jatuh ke atas sofa.
‘Nak sangat kan? Ambik kau!’





            “YOU cakap you sakit mata! Tapi ni... sakit kena tumbuk!” Terlopong mulut Sazzy bila memandang si kekasih hati yang terbaring lembik di atas sofa sebaik lelaki itu membukakan pintu rumah yang hanya sekali sekala menerima kepulangannya itu.
            “Kira sakit mata la jugak namanya kan?” jawab Azfahan dengan suara yang lemah mendatar. Sesekali dia cuba merasa sekitar mata kanannya yang sudah lebam-lebam merah itu. Namun semulajadinya tangannya yang sedang meraba bahagian matanya itu tertarik dengan sendirinya apabila tidak tertanggung kesakitan yang dirasanya.
            Fuhhhh... Hebat jugak budak kecik tu. Kalaulah aku tahu sedahsyat ini penumbuk dia, sumpah aku takkan suruh dia tumbuk mata aku. Lagi rela aku biarkan saja hubungan aku dengan Sazzy ni hancur tanpa diselamatkan. Rasanya itu lagi baik!
            “Tapi, siapa pulak yang tumbuk you?”
            Azfahan tersenyum juga mendengarkan pertanyaan itu. Kembang juga hatinya apabila Sazzy sedari tadi tidak sudah-sudah mengasaknya dengan bermacam-macam soalan. Sekurang-kurangnya dia tahu yang Sazzy mengambil berat juga tentang dirinya. Melihat wajah cemas Sazzy juga hatinya sudah tersentuh dengan terharu. Sazzy nampaknya benar-benar bimbangkan keadaan dirinya.
            “Peminat you!” Seperti biasa, cekap saja dia menipu.
            “Kenapa pulak peminat I perlu tumbuk mata you sampai lebam macam ni sekali?” Daripada duduk di atas pemegang sofa di mana kepala Azfahan berbaring, Sazzy bangkit dan berlutut pula di atas lantai betul-betul di sebelah kekasihnya itu. Dia masih kelihatan cemas, dan sedikit kalut.
            “Entah. Mungkin dia cemburukan I agaknya. Sebab I kan lelaki yang paling beruntung sekali kat atas muka bumi ni. Ingat senang ke nak dapat girlfriend yang gorgeous, as perfect as you?” bisiknya dengan suara yang cukup romantis sekali.
            Dalam sakit-sakit begitu pun, dia tetap berusaha keras menoleh kepalanya semata-mata untuk memandang wajah kekasihnya itu. Kemudian, dia mengenyitkan sebelah matanya. Aduhhh... Sakitnya! Alahai lupa pulak yang mata aku ni tengah cedera parah!
            ‘Sherry’ yang sorok-sorok mengintai dari celah pintu bilik utama menahan ketawa melihat gelagat Azfahan. Huh! Sakit-sakit mata macam tu pun masih ada nak berlagak macho macam Romeo?
            “Berapa ramai yang serang you waktu tu?” sergah Sazzy lagi. Nampaknya, gadis cantik bertubuh agak tinggi ini masih tidak jemu menyoalsiasat teman lelakinya itu.
            “Sorang...” Manja cara Azfahan menjawabnya. Bibirnya dicebikkan sedikit. Sengaja lah tu ingin meraih perhatian lebih! Malang sekali, tidak berjaya.
            Sazzy tiba-tiba berdiri dengan tegaknya. Apa pulak yang tak kena ni?
            “Takkanlah sorang pun you tak mampu nak lawan?” Tiba-tiba suara gadis itu meninggi sekaligus menyatakan rasa tidak puas hatinya dia dengan jawapan yang diberikan.
            Terkebil-kebil Azfahan dibuatnya apabila Sazzy kelihatan seperti ingin mempertikaikan sesuatu.
            “Kalau I tak mampu nak lawan, kenapa? Apa masalahnya?” ajunya dengan dahi yang berkerut-kerut.
            Kedengaran Sazzy merengus dengan kuat. Bengang tentu sekali dengan jawapan yang dirasakannya seperti main-main itu.
            “Masalahnya sekarang, I tak suka lelaki lembik macam you ni. Kalau diri you sendiri pun you tak mampu nak protect, macam mana you nak protect I? You tahu kan orang macam I ni selalu kena kacau. Keselamatan orang macam I ni fifty-fifty aje! Apa guna kalau I ada boyfriend lembik macam you, yang tak boleh diharap untuk jaga I? Huh! Nama aje pergi gym sampai berketak-ketak badan tu, tapi lembik!” hamun Sazzy dalam sekali nafas. Kemudian dia merengus lagi sambil memeluk tubuh. Wajahnya merah padam menahan rasa meluat.
            Azfahan tersenyum. Perlahan-lahan, dia bangunkan tubuhnya dari sofa. Meskipun dia berada dalam keadaan tidak selesa akibat mata yang semakin membesar bengkaknya, dia tetap ingin memujuk Sazzy yang sedang naik angin itu. Takut juga kalau Sazzy merajuk sehingga berminggu-minggu dengannya.
            Sazzy yang sedang memandang kosong ke satu arah dihampirinya dengan langkah macho lagi bergaya. Apabila dia sudah berdiri di sebelah Sazzy, tanpa isyarat tiba-tiba sahaja dia menanggalkan satu demi satu butang kemejanya sehingga jelas menampakkan tubuhnya yang tegap dan perutnya yang berotot padu itu. Dengan dada yang bidang dan perut yang langsung tidak buncit sebagaimana lelaki-lelaki lain seusianya, dia kelihatan cukup sempurna sekali sebagai lelaki yang penuh dengan ciri-ciri maskulin.
            “I pergi gym bukannya sebab nak bergaduh dengan orang. I buat badan kasi cantik pun sebab I fikir bila kita dah kahwin nanti, I nak ‘bergaduh’ puas-puas dengan you,” bisiknya nakal, betul-betul di tepi telinga Sazzy selepas dia menyelak sedikit rambut panjang keperangan Sazzy yang menutup telinga gadis itu.
            Meremang bulu roma Sazzy dibuatnya. Sekejap saja dia sudah tergoda sampaikan dia boleh terlupa terus tentang rasa marahnya pada kekasih hatinya itu. Apatah lagi setelah matanya menjamah tubuh sasa yang sentiasa menjadi igauan wanita-wanita sepertinya. Mana-mana wanita yang melihatnya tentu akan rasa berkobar-kobar untuk memeluk tubuh yang penuh dengan otot-otot sasa itu. Tapi dia tahu, ini bukan masa yang sesuai untuk dia menerkam sesuka hatinya. Dia masih perempuan yang mementingkan nama dan imej baiknya sebagai seorang supermodel yang kononnya baik di mata sesiapa saja. Tentulah kena nampak baik. Imej yang bersih sangat penting bagi melayakkan seorang supermodel itu menjadi duta bagi sesuatu produk. Kalau dia bukan orang yang ternama, dia langsung tidak akan fikirkan tentang nama, imej mahupun maruah diri dan juga keluarganya. Apalah yang nak dijunjung sangat dengan semua tu!
            “You rehatlah dulu. I ada hal kat luar. Nak jumpa kawan I kejap.”
            Tapi disebabkan dia ada nama yang boleh dikatakan besar juga, terpaksalah dia menolak walaupun hatinya meronta-ronta mahu memeluh tubuh sasa yang menggelegakkan kolam nafsunya itu.
Dengan malu-malu, Sazzy terpaksa meminta diri. Wajahnya sudah tidak setegang tadi. Lembut saja suara yang keluar dari kerongkongnya.
            Azfahan pula tidak menghalang. Dia cuma tersenyum. Walaupun dia sangat memerlukan kehadiran Sazzy waktu-waktu begini, tapi dia sedar, waktu-waktu sebegini teramatlah tidak sesuai untuk Sazzy berlama-lama di sini. Nahaslah dia kalau Sazzy dapat tahu ada perempuan lain di dalam kondo itu walaupun perempuan itu gayanya tidak ubah seperti orang gaji saja!





            DARI ekor matanya, Azfahan yang masih tidak berbaju dan duduk di atas sofa masih dapat menangkap kelibat ‘Sherry’ yang sedang melangkah keluar dari ‘persembunyiannya’ tadi.  
            Tiba-tiba boleh terlintas idea nakal untuk menguji keimanan gadis itu. Kalau Sazzy yang garang mengalahkan harimau betina itu boleh sejuk tiba-tiba, kenapa tidak ‘Sherry’ yang tentu-tentunya belum pernah berpeluang berdepan mata dengan lelaki sehabat aku ni kan? Mesti menggelabah perempuan tu nanti. Tak percaya, tengok aje lah nanti.
            Dengan lagak machonya yang sentiasa tidak mahu kalah itu, Azfahan pun menyandarkan belakang tubuhnya perlahan-lahan ke dada sofa. Kemudian, tangannya diangkat, didepangkan dan diletakkan di atas kepala sofa yang menampung tubuhnya itu. Dalam posisi duduk yang boleh dikatakan dalam keadaan santai begitu, dia kelihatan cukup tenang merenung wajah ‘Sherry’ yang juga ketika itu sedang tenang berjalan ke arahnya.
            Memang sengaja dia buat begitu. Teringin juga dia nak tahu. Macam mana lah agaknya situasi bila perempuan seperti ‘Sherry’ terpandangkan dia dalam keadaan dirinya yang seksi begitu. Paling kurang pun tentu ‘Sherry’ tidak akan berganjak dan terpacak terus menjilat segenap tubuhnya dengan biji matanya. Sekuat mana pun iman ‘Sherry’, dia yakin semua perempuan tentu ada kelemahannya. Apalagi lelaki setampan aku!
            Ceh, berlagak betul Azfahan ni!
            Agak-agaknya, dia akan cuba goda aku tak? Kalau dia cuba nak goda aku, mesti kelakar punyalah! Mana tak kelakar kalau perempuan kolot macam Seri Embun tu cuba menggeletis dan berlagak seksi depan aku? Sudahlah badan dia berselubung begitu! Tak relanya aku kalau kena goda dengan perempuan macam dia! Tapi, waktu tu lah aku dapat kutuk dia habis-habisan. Kalau dia berubah jadi nervous dan menggelabah tak tentu pasal pulak, waktu tu lah aku dapat usik-usik dia, sindir-sindir sampai merah padam muka dia! Tadi kat hotel dia dah malukan aku, sekarang ni giliran aku lah pulak.             Barulah adil kan?
            Nakal sungguh Azfahan ni! Dia dah buat lah tu perangai dia yang cukup suka mengenakan orang tu!
            Itulah ruginya jadi lelaki yang terlalu tampan ni. Mungkin dia fikir sesiapa saja akan terpikat dan mudah tergoda dengannya. Lebih-lebih lagi apabila sudah terbiasa dengan kehidupan di luar negara sewaktu dia masih menuntut di Australia tidak lama dulu. Setiap kali hujung minggu pasti dia akan bersidai di Pantai Bondi di Sydney. Dia masih ingat lagi. Setiap kali dia tanggalkan saja bajunya, pasti banyak pasang mata yang akan mencuri-curi pandang ke arahnya. Tidak kurang juga yang cuba menggoda dan mengelilingi dia yang sedang berjemur di atas kerusi kayu di tepi pantai kebanggaan daerah Sydney itu. Selalunya, lelaki Melayu seperti dia tidak mudah untuk menarik perhatian gadis-gadis kelahiran sana. Apatah lagi jejaka-jejaka kulit putih di sana kebanyakannya memang kacak, tinggi dan tegap tubuh badan mereka. Tetapi, kekacakan yang dimilikinya berjaya menyaingi mereka yang lain. Maka tidak hairanlah sekiranya dari dulu lagi dia sememangnya menjadi rebutan. Apatah lagi di bumi Malaysia ini! Mungkin itulah puncanya kenapa dia boleh menjadi seorang yang terlalu perasan! Dan sekarang ini, dia boleh terfikir yang ‘Sherry’ pun dengan mudahnya akan tergoda dengannya.
            Siap jongket-jongket kening lagi. Sambil itu, dia cuba membentuk satu senyuman yang paling menggoda. Nak kenyit mata, tak boleh. Jadi, senyuman sajalah aset yang dia punya buat masa ini. Sebagai tarikan sampingan, dia sengaja meraup rambutnya yang tidak panjang mana itu ke belakang. Seksilah kononnya tu!
            Tanpa berperasaan, ‘Sherry’ terus melangkah menghampiri Azfahan dengan wajah meluat. Tak tahu malu betullah lelaki ni. Dia lupa ke yang bukan dia sorang aje yang ada kat dalam rumah ni? Aku yang tengok pun rasa macam nak benamkan muka aku ni kat dalam perigi. Malu tahu tak?
            “Kau masih ingat lagi kan peribahasa aku?” Tiba-tiba ‘Sherry’ menyoal dengan suara yang cukup sinis sekali. Azfahan nampak goyah sedikit bila disoal dengan serius begitu.
            Dia dah lupalah tu, fikir ‘Sherry’. Tak mengapa. Aku dengan besar hatinya akan pulihkan balik ingatan dia!
            “Sepedih-pedih air garam, pedih lagi penumbuk aku. Sepedih-pedih penumbuk aku ni, pedih lagi seksa api neraka! Kalau penumbuk aku pun kau tak boleh nak tahan, apatah lagi api neraka!”
            Ingat lagi tak peribahasa yang aku cipta tu? Karam Singh Walia pun tak pernah terfikir untuk cipta peribahasa yang paling menyentapkan hati dan perasaan macam yang aku buat tu tau!
            “Tapi kalau penumbuk aku tadi masih tak cukup power, aku boleh test power aku sekali lagi kat sebelah lagi mata kau tu.”
            Dengan senyuman mengejek di bibirnya, keningnya dijongket-jongketkan beberapa kali pusingan.
            Azfahan terdiam. Lidahnya terasa kelu dan keras dengan sendirinya. Daripada nak mengenakan orang, alih-alih diri sendiri yang terkena! Tersentap tangkai hatinya bila disindir begitu. Malunya... Lalu, cepat-cepat dia menguncup dan menyorokkan sedikit tubuh sasanya yang tadinya sengaja didedahkan itu. Merah padam wajahnya ketika ini.
            “Errr...Urmmm... Maaflah. Bukan apa. Aku tanggalkan baju ni sebab aku ingat aku nak tuam mata aku dengan baju ni.” Azfahan beralasan.
             “Kalau macam tu, nanti kejap ya.” Waktu itu juga ‘Sherry’ mendapat idea. Lantas, dia masuk semula ke dalam bilik tidurnya dan keluar semula tidak lama kemudian bersama sesuatu yang dibawanya sekali.
            “Nah, kau pakai baju kurung aku ni. Ini saja kain yang ada kat rumah ni pun. Kemeja kau tu bagi sini kat aku. Aku nak guna untuk tuam mata kau tu. Kau dah tak sabar-sabar sangat kan?” Selamba saja ‘Sherry’ mengenakan lelaki itu.
            Apa lagi, berubah terus muka Azfahan bila dimalukan sehingga begitu sekali. Dia benar-benar geram dan tercabar dengan perbuatan ‘Sherry’ itu tadi!
            Dengan ketawa yang ditahan-tahan, ‘Sherry’ terus berlalu ke dapur untuk membasahkan kemeja kapas Azfahan. Biar surut sedikit bengkak pada mata lelaki itu. Kemudian barulah mudah untuk Azfahan memandu ke klinik untuk mendapatkan rawatan.
            Sekembalinya ‘Sherry’ ke ruang tamu, dia lihat Azfahan sudah lelap tidur di atas sofa. Yang membuatkan dia ketawa sampai pecah perut hingga hampir nak berguling di atas lantai apabila dia dapati lelaki itu menyarungkan juga baju kurung yang disuakannya tadi.
            ‘Ego tak bertempat betullah mamat ni. Memang pantang dicabar betul. Aku main-main pun, dia boleh anggap benda tu serius! Tak sangka pulak dengan beraninya dia akan sarungkan juga baju kurung aku tu. Hurmmm... Payah betullah kalau ada sifat ego dan pantang dicabar macam dia ni!’
            ‘Tapi comel apa dia berbaju kurung. Dengan muka dia yang agak baby face dan kemerah-merahan sikit tu, rasa macam nak cubit-cubit, nak cium-cium aje pipi dia tu.’
            ‘Ishhhh.. apalah aku ni. Selama ni dia dress up punyalah macho siap dengan cermin mata hitam dia, siap dengan semburan minyak wangi bau jantan yang mengocakkan hati wanita-wanita yang berselisih di sebelahnya, dengan kot yang tersarung kemas pada badannya yang bidang itu, tak ada pulak aku rasa apa-apa. Tapi sekarang ni, bila aku tengok dia berbaju kurung dan berseluar panjang macam tu, hati aku ni terasa lain macam pulak. Tapi sejujurnya, aku akui yang aku memang tergoda bila tengok dia berbaju kurung macam sekarang ni. Comel sungguh!’
            Pelik betullah ‘Sherry’ ni. Tadi bila Azfahan tayang body dia yang sasa tu pun dia langsung tak rasa apa-apa. Azfahan bergaya smart nak ke pejabat pun dia langsung tak pandang. Tapi bila Azfahan pakai baju kurung, barulah dia nak tergoda? Pelik sungguhlah citarasa perempuan sorang ni!
            Nak buat macam mana. Citarasa manusia kan lain-lain. Hanya kerana Azfahan berbaju kurung, sampai sekarang tak habis-habis ‘Sherry’ memuji lelaki yang dibencinya itu di dalam hatinya. Dan sedari tadi dia tersenyum-senyum seorang diri dengan mata yang masih tidak lari daripada wajah comel yang sedang lelap lena itu. Tak puas-puas dia menatap wajah comel itu sampaikan boleh terdetik di hatinya untuk mengabadikan saja wajah itu ke dalam kamera telefon bimbitnya. Senanglah lepas ni. Boleh aku tengok muka dia puas-puas!
            Setelah merakamkan wajah comel Azfahan, dia mula membetulkan punggungnya supaya dia dapat menuam mata yang lebam kehijau-hijauan itu dengan selesa.
            Sepanjang dia menuam itu, matanya masih tidak lari daripada menjamah wajah Azfahan. Tangannya pula terasa gatal saja ingin mencubit pipi comel lelaki itu.
            Astaghfirullah... Aku rasa aku dah tak boleh nak kawal nafsu aku lagi. Baik aku keluar dari rumah ni cepat-cepat sebelum aku terfikir untuk buat benda tak senonoh dekat lelaki yang comel berbaju kurung ni.
            Inilah hikmahnya mengapa ALLAH melarang keras sepasang yang bukan muhrim berdua-duaan di dalam satu-satu tempat. Walaupun keadaan ini dianggap sebagai terdesak, ‘Sherry’ tetap tidak selesa walaupun pintu rumah masih dibuka seluas-luasnya. Hanya pintu pagar sahaja yang berkunci bagi mengelakkan berlakunya perkara-perkara yang tak diingini.
            Lantas, dia cepat-cepat keluar dari rumah itu. Mujurlah Azfahan memang ada berikan padanya kunci pendua rumah lelaki itu. Jadi bolehlah dia masuk ke rumah Azfahan. Soal Azfahan pula, biarlah lelaki itu tidur kat atas sofa tu dulu. Esok pagi barulah dia berkira-kira untuk pulang semula ke rumah yang ditumpanginya itu sekaligus mengejutkan lelaki itu bangun. Rasanya itulah yang terbaik.
            Selagi mampu mengelak daripada berlakunya sekecil-kecil maksiat, kita wajib elakkan. Tak baik duduk berdua-duaan. Lagipun dah lewat malam sangat ni.


 P/S: Sebarang kritikan mahupun carutan sama ada positif mahupun negatif teramatlah dialu-alukan. Penulis sangat memerlukan komen daripada pembaca sekalian dan akan menerimanya dengan berlapang dada.