Tuesday 19 February 2013

Isteri Paling Kelakar (BAB 33)





33






           
MEREKA baru saja selesai makan. Nampaknya ‘Sherry’ betul-betul mengambil apa yang berlaku sewaktu dia makan di hotel terkemuka dulu sebagai satu pengajaran. Kali ini, dia menghabiskan satu-satu makanan terlebih dahulu sebelum melakukan ‘pusingan’ yang ke seterusnya. Dia tidak lagi melambakkan segala macam jenis makanan ke dalam satu pinggan pada satu-satu masa.
Lega jugalah Azfahan melihatnya memandangkan kali ini ‘Sherry’ kelihatan lebih tertib dan berhati-hati berbanding sebelum ini.
“Kenapa kau tak masukkan rantai tu dalam handbag?” tegur Azfahan selepas beberapa minit mereka berbual-bual kosong. Dia merujuk pada kotak emas yang mengandungi rantai mutiara yang hanya diletakkan ‘Sherry’ di atas meja makan.
Errrr...Urmmm... Dah penuh.”
“Dah penuh? Beg sebesar-besar alam tu? Apa yang kau sumbat kat dalam tu?” Dipandangnya ‘Sherry’ dengan dahi yang berkerut-kerut tidak percaya. Makin gelisah ‘Sherry’ dibuatnya.
Ni mesti ada apa-apa ni. Takkanlah beg tangan yang besar tu boleh penuh pulak? Azfahan mula berasa sangsi.
“Tak ada apa-apa lah. Hurmmm... Rancangan kita ni macam mana? Kejap lagi lepas aku kena halau dengan mak kau, boleh tak kau tolong hantar aku ke perhentian bas?”
Azfahan langsung tidak sedar taktik ‘Sherry’ yang bertindak pantas menukar topik perbualan memandangkan topik baru yang akan dibincangkan itu nanti sebenarnya membuatkan dia berasa tidak tenteram. Entahlah... dia semacam tak bersedia untuk melihat ‘Sherry’ pergi sekaligus hilang dari pandangannya. Tapi kenapa dia harus berasa begitu sampaikan hatinya terasa berat pula untuk melepaskan ‘Sherry’ pergi? Apa yang ‘Sherry’ ada sampai dia perlu berasa risau begitu?
Cepat-cepat Azfahan mengendahkan perasaan aneh yang sedang bersarang di dalam hatinya ketika ini dengan beranggapan hubungannya yang agak rapat dengan ‘Sherry’ sejak akhir-akhir ini mungkin menjadi penyebab kenapa dia berasa berat hati untuk melepaskan gadis itu pergi. Lagipun, dia sudah lama tidak berjumpa dengan Sazzy kekasih hatinya. Berkepit 24 jam saja dengan ‘Sherry’ demi menjayakan ‘rancangan’ mereka. Jadi mungkin sebab itulah dia berasa kekok, tidak biasa dan seperti belum bersedia untuk melepaskan ‘Sherry’ pergi.
“Biar aku hantar sampai ke kampung kau lah. Boleh aku berkenalan dengan keluarga kau sekali. Ayah kau ada kat rumah?”
Sebenarnya, Azfahan sendiri pelik dengan soalan yang dia ajukan itu. Selama ini, dia tidak pernah mahu mengambil tahu tentang gadis di hadapannya ini. Tapi kenapa sekarang dia boleh terlintas untuk berkenalan dengan keluarga ‘Sherry’ pula? Ya ALLAH, apa dah jadi dengan aku ni?
‘Sherry’ sendiri pelik mendengarnya.
“Tak payah nak buat-buat caring lah! Tumpangkan aku sampai kat perhentian bas aje. Kat sana nanti aku boleh ambil teksi. Taknaklah aku menyusahkan kau. Kau pun lepas hantar aku boleh terus balik ke kondo kau.”
Entah mengapa, hati Azfahan yang tidak berperasaan itu boleh terasa sayu dan hiba mendengarnya.
Namun, dalam pada itu sempat lagi dia membayangkan dan berfikir bagaimanalah agaknya keadaan dirinya nanti apabila dia pulang semula ke kondonya? Apa saja yang boleh dibuatnya di sana? Paling-paling pun dia akan hanya menonton televisyen, tak pun dia akan menjemput Sazzy dan mereka akan sama-sama keluar ke mana saja yang terlintas di fikiran mereka. Boringnya!
Kenapa boring pulak? Sewaktu dengan ‘Sherry’ pun, aku bukan ada buat apa-apa yang menarik pun dengan dia. Tapi kenapa aku rasa happy sangat dalam tempoh itu? Aku rasa kehidupan aku teratur dan sangat lengkap.
Bangun seawal pagi, hidangan sudah tersedia di atas meja. Begitu juga dengan makan petang dan juga makan malam malah adakalanya ‘Sherry’ turut akan menyediakan hidangan ringan untuk dinikmati sewaktu dia sedang bersantai-santai. Semuanya ‘Sherry’ yang sediakan. Ketika itu, dia terasa sangat dekat dengan keluarganya sendiri, dengan ibunya sendiri yang rajin memasak setiap kali dia pulang ke vila.
Dia akui, sepanjang matanya lebam dulu, dia pernah cakap dia tidak mahu keluar rumah kononnya malu dengan matanya yang lebam. Hakikatnya dia tidaklah kisah sangat walaupun dia seorang lelaki yang mementingkan penampilan dan cakap-cakap orang sekeliling. Cuma ketika itu dia rasa lebih seronok dapat berdua-duaan di dalam kondo dengan ‘Sherry’ yang bermacam karenah itu. ‘Sherry’ yang mudah membuatkan dia ketawa. ‘Sherry’ yang kelakar dan lucu dengan gayanya yang tersendiri. Dan ‘Sherry’ yang begitu mengambil berat tentang keadaan dirinya meskipun dia melayan gadis itu dengan layanan yang tidak sepatutnya. Namun, ‘Sherry’ tidak pernah berdendam ataupun bertindak mengasarinya semula.
“Macam mana? Boleh ke tak ni tolong hantarkan aku dekat perhentian bas?” ‘Sherry’ yang sedang meneguk air belimbing, mengulang permintaannya sekali lagi. Caranya seperti mendesak.
Berang pula Azfahan mendengar permintaan itu. Awalnya, dia cuba menahan rasa marah dengan menggenggam gelas kaca di tangannya dengan sekuat hati. Namun apabila sekali lagi ‘Sherry’ mengulangi permintaannya, semakin kuat pula dia menggenggam gelas tersebut. Tidak mustahil kalau dibiarkan berterusan, gelas tersebut akan retak dan mencederakan tangannya sendiri.
‘Sherry’ pula masih berterusan mengasaknya dengan permintaan yang sama. Semakin tertekan Azfahan jadinya.
“Kan aku dah cakap, biar aku sendiri yang hantar kau sampai ke kampung! Yang kau sibuk-sibuk nak balik naik bas tu buat apa? Atau sebenarnya kau ada berjanji nak balik sama-sama dengan lelaki lain?” Azfahan yang sudah tidak tertanggung rasa bengangnya melenting dengan tiba-tiba. Mukanya merah menahan marah seolah-olah ‘Sherry’ telah mengeluarkan perkataan yang sangat menyakitkan hatinya. Hakikatnya dia cemburu.
Orang di sekeliling sudah menjeling-jeling ke arah mereka dengan pandangan pelik.
Namun, Azfahan langsung tidak hiraukan keadaan yang agak tidak terkawal itu. Lekas-lekas dia beristighfar. Dia sedar yang dia terlalu ikutkan perasaan. Hakikatnya, dia sebenarnya takut pada sebuah kehilangan. Namun dia malu untuk mengakui yang dia takut untuk kehilangan gadis yang di hadapannya ini. Dan dia cukup marah apabila ‘Sherry’ seperti tidak berasa apa-apa sahaja dengan perpisahan yang bakal dilalui mereka. Gadis itu kelihatan tenang sekali sedangkan dia pula begitu gelisah untuk menghadapi saat-saat mereka berpisah nanti.
Entah kenapa dia boleh berfikiran kononnya ‘Sherry’ sudah tidak sabar-sabar lagi untuk menamatkan permainan ini sekaligus memutuskan terus hubungan mereka. Agaknya, mungkin sebab itu ‘Sherry’ beriya-iya menolak dan seperti mengelak untuk ditumpangkan sedangkan dia sendiri dengan besar hati mempelawa untuk menghantar gadis itu sehingga ke kampung.  
Direnungnya wajah ‘Sherry’ yang takut-takut itu dengan perasaan bersalah. Sambil beristighfar, Azfahan menekup mukanya dengan kedua belah tangan.
‘Maafkan aku. Maafkan aku... Aku cuma tak nak apa-apa yang buruk menimpa diri kau. Aku sayangkan kau... Err.. Tak! Maksud aku, aku sayang kau sebagai kawan baik aku sebab kau dah banyak tolong aku. Kau dah banyak berkorban supaya mak aku tak paksa aku kahwin dengan kau. Kau dah tolong aku untuk bersatu dengan Sazzy, perempuan yang paling aku sayang. Jadi sekarang, biarlah aku pula yang tolong kau. Setakat hantar kau balik semula ke kampung, apalah sangat...’
Sebenarnya, itulah yang ingin diluahkannya tapi sayangnya semua itu hanya terluah di dalam hatinya sahaja. Dia benar-benar tidak mampu untuk melakukannya.
Bukannya dia tidak perasan yang ‘Sherry’ sendiri sedang pelik melihat keadaannya yang serba tidak kena itu. Lantas, dia cepat-cepat bangun dan berjalan dengan pantas menuju ke tandas hotel. Mungkin di sana dia dapat menenangkan sedikit perasaannya yang sedang hebat bercelaru ketika ini.
Sekembalinya Azfahan ke dewan makan, dia lihat ‘Sherry’ sudah tiada di tempat duduknya tadi. Merajukkah dia?
Melilau-lilau matanya mencari tubuh kecil ‘Sherry’ di dalam dewan makan yang luas dan penuh dengan meja-meja makan berbentuk bulat yang dikelilingi dengan sepuluh biji kerusi bagi setiap meja itu. Terasa berpinar-pinar pula matanya sewaktu cuba mencari ‘Sherry’ yang kecil dan rendah di dalam tempat yang luas dan agak sesak begitu.
Namun, dia masih mencuba. Kali ini dia cuba mencari ‘Sherry’ di bahagian makanan pula. Mujurlah ‘Sherry’ ada di situ. Cuma yang tidak enaknya, dari jauh dia dapat lihat keadaan di situ agak tegang sedikit seperti sedang berlaku perbalahan. Lalu, dia pun lekas-lekas melangkah untuk mendapatkan ‘Sherry’ yang kelihatan seperti sedang bertelagah dengan pekerja hotel tersebut.
“Apa yang kecoh sangat ni?” Terus dia menegur dengan suara yang keras. Dia memandang tepat ke muka lelaki yang berkot biru gelap yang sedang berhadapan dengan ‘Sherry’. Di belakang lelaki tersebut dikelilingi oleh beberapa pekerja hotel yang lain. Daripada caranya berpakaian, mungkin lelaki yang berkot biru gelap ini adalah pengurus di bahagian ini.
“Maafkan saya, tuan. Saya cuma menegur sikap cik ni,” jawab lelaki tadi dengan seetika yang boleh.
“Apa yang dia dah buat?” Azfahan beralih pula memandang Sherry yang kelihatan masam dan bengang saja reaksi mukanya.
“Dia cuba nak bawa balik makanan-makanan kat sini.”
“Memanglah. Nama pun buffet. Bukan ke saya boleh makan seberapa banyak yang saya suka? Jadi apa salahnya kalau saya nak bawa balik makanan-makanan tu sekalipun? Sama aje kan? Lagipun, bukan banyak mana pun saya ambil. Saya ingat lagi lah kat orang belakang. Macamlah saya tak reti nak fikir semua tu!”
‘Sherry’ kelihatan marah sungguh ketika ini, dan bersungguh-sungguh juga dia membela dirinya. Baginya, dia tidak bersalah dalam hal ini.
Azfahan yang melihat perbalahan itu hanya mampu menggelengkan kepala. Sebenar-benarnya, dia sedang menahan marah yang teramat sangat ketika ini. Namun sebagai orang yang dikenali, dia mengingatkan dirinya sendiri supaya tidak melakukan perkara yang bakal merosakkan nama baik dan reputasinya sendiri.
“Berapa banyak makanan yang dia ambil?” soal Azfahan pada lelaki tadi dengan suara perlahan hampir berbisik.
“Semuanya dah dimasukkan kat dalam mangkuk tingkat yang dia bawa, tuan.”
Terkejut Azfahan mendengarnya. Mangkuk tingkat? Mangkuk tingkat siapa pulak?
Matanya bergerak-gerak dan barulah dia perasan mangkuk tingkat yang ada pada tangan kanan ‘Sherry’.
“Kat mana kau curi mangkuk tingkat tu?” Azfahan terpaksa berbisik dekat tepi telinga ‘Sherry’. Mukanya meruap menjadi merah padam ketika ini.
“Eh, tak mainlah curi-curi ni. Aku bawa mangkuk tingkat ni dari rumah lagi tau semata-mata nak tapau makanan kat sini. Tapi tak sangka pulak boleh jadi macam ni!”
Oh my god... Mendengarkan jawapan polos itu, Azfahan spontan memejam matanya rapat-rapat dengan bibir yang terkemam erat.
Malunya dia.... Ingatkan bila dia berbisik, ‘Sherry’ pun akan berbisik juga. Tapi tidak. Bukan main kuat lagi suara ‘Sherry’ semata-mata nak membela dirinya sendiri daripada dituduh sebagai pencuri. Bawa mangkuk tingkat sendiri pun nak bangga. Otak dia bebal macam mangkuk tingkat yang dah berkarat tak nak pulak dia bangga!
 Dengan muka yang semakin merah menanggung malu, Azfahan lekas-lekas mengeluarkan dompetnya. Sepuluh keping not RM50 dikeluarkan sebelum dia mengambil tangan lelaki berkot biru tadi, lalu dia memasukkan sejumlah wang tadi ke dalam genggaman lelaki tersebut.
On her behalf, saya minta maaf sangat-sangat dengan apa yang berlaku. Duit ni sebagai ganti rugi and I hope the amount is more than enough dengan makanan yang dia ambil tadi. If anything just call my assistant okay. And one more thing, I nak benda ni habis kat sini saja! I tak nak semua ni jadi isu!”
Dengan senyuman sekadar senyuman, Azfahan terus merentap lengan ‘Sherry’ supaya cepat mereka beredar dari situ. Giginya digetap rapat, tetapi tiada siapa dapat melihat.
“Kenapa kau baik hati sangat hah dengan diorang? Bukannya kita yang bersalah pun. Lagi baik kau bagi duit tu dekat aku. Dapat jugak aku shopping!” marah ‘Sherry’ sambil cuba melepaskan tangan Azfahan yang masih kuat menggenggam lengannya.
Sebaik tangan ‘Sherry’ dilepaskannya dengan kasar, Azfahan terus merampas mangkuk tingkat di tangan ‘Sherry’ dan tanpa berfikir panjang, mangkuk tingkat itu terus dihempaskan sekuat hatinya ke tengah-tengah jalan. Memang dah tak boleh nak fikir apa-apa. Segala perlakuannya ketika ini hanya mengikut nafsu marahnya semata-mata.
Ketika ini, mereka sudah pun berada di luar hotel. ‘Sherry’ kelihatan terkejut sehingga pucat mukanya memandangkan dia belum bersedia dengan perubahan Azfahan yang berubah secara mendadak itu.
Kakinya terasa lemah untuk bergerak. Hanya matanya sahaja yang bergerak memerhatikan mangkuk tingkat yang dicampak dengan kuat oleh Azfahan tadi, bergelok-golek di atas jalan raya. Setiap mangkuk sudah pun bercerai antara satu dengan yang lain, dan segala isi yang ada di dalamnya terkeluar tanpa sempat ‘Sherry’ menyelamatkannya. Dia hanya mampu memandangnya dengan mata yang bergenang.
“Kenapa kau campak mangkuk tingkat tu? Ya ALLAH, kau sedar tak apa yang kau buat ni? Kau tahu tak? Kau tahu tak? Itu... Itu mangkuk tingkat kesayangan arwah...”
“Kau memang sengaja nak kasi malu aku kan?” tempelak Azfahan sebelum sempat ‘Sherry’ menghabiskan ayatnya. ‘Sherry’ nampak gugup. Menggeletar seluruh anggota badannya.
Sebenarnya dia ingin memberitahu bahawa mangkuk tingkat yang dicampakkan Azfahan itu adalah mangkuk tingkat yang selalu digunakan oleh arwah ibunya. Mangkuk tingkat yang selalu arwah gunakan setiap kali arwah hantarkan bekal pada ayah yang menoreh di ladang getah. Arwah memang seorang yang romantis. Boleh dikatakan setiap hari arwah akan menemani ayah makan bersama-sama di ladang getah sebelum ayah menyambung semula kerja-kerjanya.
Mangkuk tingkat yang sama itu juga arwah pernah gunakan untuk menghantar bekal kepadanya dan juga kakaknya semasa waktu rehat sewaktu mereka sama-sama menuntut di sekolah rendah. Arwah seorang ibu yang sangat penyayang. Arwah tidak kisah untuk menemani dia dan kakaknya makan bersama-sama di bawah pokok di tepi padang sekolah. Setiap hari Isnin hinggalah Jumaat, arwah akan mengayuh basikal buruknya ke sekolah yang jaraknya memakan masa tiga puluh minit juga untuk sampai. Namun, arwah tidak pernah merungut. Walaupun dia dan kakaknya menegah, esoknya arwah tetap akan datang seperti biasa.
Sehinggalah sewaktu arwah terlantar dekat hospital, dia dan kakaknya pula yang bergilir-gilir menggunakan mangkuk tingkat itu untuk menyediakan bermacam-macam jenis masakan untuk dibawa pada arwah setiap kali mereka melawat arwah di hospital memandangkan arwah telah hilang selera makan.
Jadi, dengan mangkuk tingkat itulah mereka cuba bawa macam-macam jenis masakan untuk membuka selera arwah. Pada awalnya mereka gagal. Berminggu-minggu arwah tidak mengusik makanan yang dibawa. Tapi hari-hari terakhir arwah sebelum dijemput kematian, mereka akhirnya berjaya dan sempat melihat arwah bersungguh-sungguh menghabiskan makanan yang dibawa sebelum arwah menghembuskan nafas terakhirnya.
Tapi sekarang, mangkuk itu sudah retak, dan tiga daripadanya pula sudah terbelah dua sedangkan itu saja kenangan arwah ibu yang masih ada padanya.
Ya ALLAH...
Dengan wajah yang basah lencun dengan air mata, ‘Sherry’ berlari untuk mendapatkan mangkuk tingkat yang sudah pecah berderai itu walaupun ketika itu jalan raya sedang sesak dengan kenderaan yang bertali-arus. Dia bagaikan terlupa untuk memikirkan tentang kesalamatan diri. Jeritan Azfahan tidak diendahkan langsung. Yang dia fikir sekarang ini, dia hanya mahu menyelamatkan mangkuk tingkat kepunyaan arwah ibunya. Tak kiralah walaupun keadaannya sudah tidak menyerupai bentuk asal. Dia tetap ingin menyimpannya dan berjanji akan menjaganya dengan baik dan dia tidak akan cuai lagi untuk kesekian kalinya. Sesungguhnya dia terasa sangat bersalah kerana tidak menjaga harta yang paling berharga itu dengan baik.
Namun, sewaktu dia ingin mengutip serpihan mangkuk tingkat tersebut, kebetulan waktu itu lampu isyarat sudah pun bertukar kepada warna hijau. Apa lagi, keadaan jalan kembali sesak.
Namun, dia seperti berada di dalam dunia ciptaannya sendiri. Dia langsung tidak fikirkan keadaan di sekelilingnya, dia seperti berkhayal seorang diri di situ. Dengan air mata yang berjuraian, dia terus bertenggek di tengah-tengah jalan dan cuba mengutip serpihan mangkuk tingkat yang telah pecah dengan tangan yang menggigil-gigil menahan rasa sebak.
Bunyi hon yang berdentum nyaring membingitkan telinganya juga tidak berjaya mengalihkan tumpuannya daripada memandang mangkuk tingkat yang telah berkecai di atas jalan raya itu. Dia langsung tidak berbuat apa-apa untuk menyelamatkan dirinya sedangkan ketika itu, sebuah lori sudah begitu hampir dan bila-bila masa sahaja bakal menggilis tubuh kecilnya itu sehingga remuk hingga ke tulang-belulang.
Mujurlah Azfahan berani mengambil risiko. Dengan cekap dan pantas, dia bertindak dengan mendukung tubuh ‘Sherry’ dan berlari semula ke tepi jalan.
‘Sherry’ yang hilang kawalan menjerit bagai orang yang terkena histeria sewaktu dia melihat mangkuk tingkat yang sudah sedia berkecai itu dilenyek pula dengan bermacam jenis kenderaan yang bertali arus di situ. Sampaikan serpihan itu semakin lama semakin mengecil dan dia sendiri sudah tidak dapat melihatnya lagi...




DI dalam kereta, Azfahan masih tidak henti-henti memarahi ‘Sherry’. Dia kelihatan lebih bengis daripada kejadian sewaktu dirinya dimalukan oleh perbuatan ‘Sherry’ di dalam dewan makan hotel tadi.
Kali ini, dia pula yang seperti tidak memikirkan keselamatan diri. Cara dia memandu kereta dengan memecut selaju itu, benar-benar menakutkan. Beberapa kali dia terpaksa membrek kereta setiap kali kereta yang dipandu laju itu hampir menghimpit kenderaan di hadapan. Walaupun pemandu-pemandu lain telah memberikan amaran melalui bunyi hon, Azfahan nampaknya masih tetap berdegil. Dia kelihatan terlalu marah ketika ini. ‘Sherry’ yang duduk di belakang dipandang sesekali menerusi cermin pandang belakang.
“Aku betul-betul tak fahamlah dengan kau ni. Hanya disebabkan mangkuk tingkat buruk tu kau sampaikan sanggup bahayakan nyawa kau sendiri. Aku tahulah kau ni manusia yang langsung tak ada apa-apa, manusia yang tak ada masa depan! Tapi sekurang-kurangnya, hargailah nyawa kau tu sikit! Itu aje pun yang kau ada dalam hidup kau kan?”
Penghinaan demi penghinaan dilemparkan. Namun sedari tadi, ‘Sherry’ tetap diam tidak membalas. Dia kelihatan seperti patung cendana yang tidak punya perasaan, membisu sahaja di tempat duduk belakang. Pandangannya terpaku ke luar tingkap tetapi dia sendiri tidak tahu apa yang sedang dipandangnya. Dia seperti tidak nampak apa-apa langsung. Pipinya masih belum kering dengan air mata dan dia tidak pula menyekanya.
Bengang dengan kebisuan itu, Azfahan terus membrek keretanya secara mendadak. Tayar yang terseret dengan jalan tar meletuskan bunyi yang sangat menyakitkan telinga. ‘Sherry’ yang tidak mengenakan tali pinggang keledar terdorong ke hadapan dengan kepalanya terhantuk pada seat pemandu. Namun, dia langsung tidak mengaduh sakit. Dia langsung tidak terkejut dengan keadaan itu. Sebaliknya, dia berkeadaan semula seperti tadi. Mematung dan membisu dengan pandangan yang lari jauh ke luar tingkap.
Berkenaan soal mangkuk tingkat tadi, bila difikirkan Azfahan memang cukup bengang dengan sikap ‘Sherry’ yang terlalu lurus itu.
Takkanlah dia boleh terfikir untuk bawa mangkuk tingkat walaupun mereka makan secara buffet dan boleh mengambil sebanyak mana makanan sesuka hati? ‘Sherry’ seharusnya berfikir secara rasional, bukannya mengikut pemahamannya sendiri!
“Kenapa diam? Cakaplah! Atau kau tak sedar yang kau dah malukan aku? Macamlah aku ni miskin sangat kan sampai perlu biarkan kau ambil makanan sesuka hati kau macam peminta sedekah! Kalau kau nak makan apa-apa, sepatutnya kau cakap aje kat aku ni! Aku boleh beli lah dekat restoran lain. Apa kau ingat aku tak mampu?”
Sedari tadi lagi Azfahan memang tidak mahu berlembut langsung dengan ‘Sherry’. ‘Sherry’ ditengking dan dijerkahnya sesuka hati. Sudah hilang rasa simpatinya terhadap gadis itu sebaliknya hatinya bertambah panas melihat kebisuan ‘Sherry’.
‘Sherry’ membisu lagi sementara Azfahan pula menggeleng kesal. Sesekali dia menghentak stereng kereta dengan kedua belah tangan. Dengusannya jelas menunjukkan yang dia masih marah.
Azfahan kembali memandang cermin pandang belakang.
“Kenapalah tak pernah sekali pun aku tengok kau gunakan otak kau tu? Kadang-kadang aku sampai jadi pelik, dan aku terfikir macam manalah agaknya cara mak bapak kau ajar kau? Aku tak rasa ada anak-anak orang lain yang sebodoh kau! Dan aku juga sampai pernah terfikir, tak menyesal ke mak bapak kau ada anak macam kau yang langsung tak pandai nak jaga maruah dan air mukanya sendiri, apatah lagi maruah orang lain!”
“Aku bukan merujuk pada apa yang berlaku kat hotel tadi saja, tapi apa yang kau pernah buat sebelum-sebelum ni juga! Kau tak malu ke hah dengan diri kau sendiri? Kau tak malu ke dengan semua benda bodoh yang kau pernah buat dalam hidup kau selama ni? Kalau kau rasa diri kau tu dah tak ada maruah, aku cadangkan kau lacurkan sajalah badan kau tu. Itu lagi baik lah daripada kau menyusahkan hidup orang lain. Menyusahkan hidup aku!
“.... Dan malukan aku! Kau sedar tak yang kau dah rosakkan reputasi aku? Semua orang yang ada kat dalam hotel tadi ingat aku sengaja usung budak kampung macam kau semata-mata nak suruh kau curi makanan-makanan yang ada kat situ. Seolah-olah aku ni dah tak mampu dan dah terdesak sangat! Apatah lagi dengan cerita yang keluar kat surat khabar baru-baru ini; Sazzy ada hubungan dengan lelaki lain berpunca daripada syarikat aku yang didakwa kononnya telah bankrap disebabkan hutang sampai berpuluh-puluh juta. Kononnya aku dah jatuh muflis. Dan bila kau buat perangai tak bermaruah kau kat dalam hotel tadi, kau sedar tak yang kau sebenarnya hanya memburukkan lagi keadaan dan perbuatan kau tadi seolah-olah mengiyakan kononnya aku ni nak beli makanan pun dah tak mampu lagi dah!”
Bertubi-tubi Azfahan menghamburkan rasa tidak puas hati, rasa marah sekaligus penghinaan yang dia harap sangat dapat menghancurkan hati gadis itu. Dia sudah tak dapat nak bertahan lagi dengan sikap dan kebodohan ‘Sherry’ yang lurus itu!
‘Sherry’ pula ketika ini diam tidak menjawab walaupun dia terkejut teramat sangat dengan segala yang keluar dari mulut Azfahan sehinggakan nafasnya terasa semput dengan penghinaan yang maha menyakitkan itu. Terasa berderau seluruh darah yang mengalir dalam badannya. Tubuhnya pula menggigil seram sejuk lewat penghinaan yang baginya terlalu melampau itu.
Ya, memang tadi dia berkhayal dan dia langsung tidak dengar apa-apa walaupun dia tahu Azfahan sedang memaki-hamun dirinya kerana waktu itu dia langsung tidak kisah bila dirinya dihina. Walau Azfahan masih berterusan mahu menghina dirinya sampai bila-bila sekalipun dia takkan menghalang. Tapi, jangan sesekali hina kedua ibu bapanya. Lebih-lebih lagi ibunya yang sudah tiada.
 Basah lagi pipinya. Namun, untuk mengangkat tangan mengelap kesan air matanya itu pun dia seperti sudah tidak terdaya.
Kalau diikutkan hatinya yang terluka pedih itu, mahu sahaja dia meraung dan menengking semula manusia yang telah sesuka hati menghina kedua ibu bapanya itu. Mahu sahaja dia menampar mulut yang telah mengeluarkan kata-kata biadab itu. Namun dia sedar, semua itu tidak akan mengembalikan dan menjernihkan semula keadaan. Dia tidak mahu apabila dia membela kedua ibu bapanya nanti, lebih teruk pula penghinaan yang terpaksa didengarnya. Jadi, biarlah dia beralah asalkan hatinya mudah-mudahan tidak perlu untuk terus menadah keperitan penghinaan yang Azfahan lemparkan.
Nafasnya ditarik dalam-dalam. Dengan harapan, semoga dia bersedia untuk meluahkannya nanti. Namun sebelum itu, dia kelihatan bersungguh-sungguh berdoa di dalam hati bagi merayu simpati daripada penciptanya.
‘Ya ALLAH.. Kau jagalah dan Kau lindungilah bibirku ini supaya aku tidak mengeluarkan perkataan yang bakal menyakitkan hatinya. Kau sabarkanlah juga hati dan emosi ini supaya aku tidak akan sesekali menyinggung perasaannya sebagaimana apa yang dia lakukan padaku...’
‘Sherry’ terjeda buat seketika bagai mencari kekuatan untuk meluahkan rasa hatinya.
“Aku minta maaf...” Itu ayat pertama yang keluar dari bibirnya. Itupun dirasakan terlalu payah untuk dikeluarkan. Setelah beberapa minit dia mengumpul kekuatan, kali ini dia bersuara dengan keadaan yang lebih tenang dan teratur.
 “Aku tahu... aku tahu yang aku dah banyak menyusahkan kau. Betul apa yang kau cakap tadi, aku memang bodoh. Tapi aku merayu sangat-sangat. Tolonglah jangan sesekali libatkan kedua ibu bapa aku. Lagi-lagi arwah ibu aku!”
 “Kerana penghinaan kau tadi hanya buat aku terfikir, berdosakah arwah kerana tidak pernah mengajar anaknya yang bodoh ini, dan berdosa jugakah arwah kerana melahirkan seorang anak yang lurus bendul ini? Aku berharap sangat-sangat arwah ibu aku tak terseksa hanya kerana aku yang bodoh, aku yang lurus bendul ini telah banyak menyusahkan orang-orang di sekeliling aku, termasuklah kau. Arwah ibu aku dah cuba berikan pelajaran dan didikan agama yang secukupnya jadi kalau kau rasa aku ni seorang manusia yang tak berguna, kau salahkanlah aku seorang saja, kau hinalah aku sepuas hati kau. Tapi bukan kedua ibu bapa aku! Mereka langsung tak bersalah!” luahnya dengan suara yang dikawal sehabis baik supaya dia kedengaran tenang setenang-tenangnya meskipun ketika ini, rasa sebak di dalam hatinya terasa hampir hendak memecahkan dadanya sendiri.
Biarlah Azfahan tidak mengetahui betapa hebatnya gelora perasaan yang terpaksa ditanggung dan dihadapinya ketika ini. Dia tidak mahu dianggap sebagai mengemis simpati daripada lelaki itu. Tidak!
“Pasal kejadian yang berlaku dekat hotel tadi tu pulak, aku akui yang aku selalu bertindak ikut sesuka hati aku. Aku jarang memikirkan akibat daripada segala tindakan yang aku buat.”  
“Entahlah... aku sendiri tak sedar yang aku boleh bertindak sebodoh itu. Mungkin sebab aku tahu yang malam ni aku akan keluar dari vila itu buat selama-lamanya. Sebab itulah aku usung sekali mangkuk tingkat tu. Lagi-lagi bila aku nampak ada mee sup dengan chicken chop masa dekat dalam dewan makan tadi. Kedua-duanya makanan kegemaran auntie. Aku fikir kalau aku bawa balik makanan-makanan tu, esok tentu auntie boleh panaskan dan makan makanan tu semua memandangkan esok aku dah tak ada kat vila tu lagi untuk masakkan makanan kegemaran auntie. Kebetulan lepas solat maghrib tadi, auntie ada minta suruh aku buatkan mee sup untuk dia. Tapi aku rasa, masa dah terlalu suntuk. Dah tak sempat...”
‘Sherry’ tersenyum dengan mata yang bergenang bila teringatkan Puan Sri Zahlia yang sudah tidak lagi menjaga berat badannya.
‘Embun masak sedap sangat. Sampaikan auntie dah malas nak jaga badan ni lagi. Lantaklah kalau gemok pun. Asalkan dapat makan puas-puas masakan Embun yang sedap giler tu.’ Dan dia tersenyum lagi mengingatkan perbualannya dengan wanita itu tempoh hari. Sebelum senyuman itu mati sebaik dia teringatkan arwah ibunya.
Ketika ini, pandangannya masih ditalakan ke luar tingkap. Namun hakikatnya tiada apa yang dapat dilihatnya memandangkan fikirannya sendiri melayang entah ke mana.
Namun, bibirnya terus bergerak meluahkan rasa pedih di dalam hati.
“Lagi satu, pasal soalan kau sama ada arwah ibu aku menyesal atau tidak kerana mempunyai anak macam aku ni, maafkan aku sebab aku sendiri tak boleh nak jawab soalan tu. Teringin juga aku nak tahu. Tapi aku sendiri pun tak sempat nak tanya sebab arwah ibu pergi terlalu cepat. Waktu arwah ibu aku tengah sakit tenat pun aku tak sempat nak tanya soalan tu sebab untuk membuka mulutnya pun arwah tak mampu.          Jadi, aku hanya mampu berharap, walaupun aku bukanlah seorang anak yang baik dan seorang anak yang menyenangkan hati ibunya, cukuplah kalau aku mampu jadi anak yang tidak pernah buat ibunya rasa menyesal kerana terpaksa menanggung segala rasa sakit sewaktu mengandung dan melahirkan aku ke dunia ni. Itu juga doa aku setiap kali selepas aku solat...”
Di situlah berakhirnya luahan hati ‘Sherry’. Namun dia masih tidak menangis walaupun air mata yang bertakung meronta-ronta ingin jatuh menggores pipinya. Ditahannya sehabis daya dan sesekali dia memejam matanya rapat-rapat agar air mata yang bergenang itu terhapus dan habis di situ saja kerana dia tidak mahu air matanya itu nanti menyebabkan Azfahan berasa lebih bersalah, dan sekali lagi dia tidak mahu dirinya dianggap sebagai cuba mengemis simpati walau daripada sesiapa jua sekalipun.
Hakikatnya, seawal tadi lagi Azfahan sudah dirasuk dan dihantui dengan rasa bersalah yang terlalu mendalam. Bahkan berkali-kali dia cuba menekup telinganya sendiri daripada mendengar segala yang keluar dari mulut ‘Sherry’ iaitu segala yang menyakitkan hatinya sendiri.
Baru dia sedar yang dia terlalu membiarkan emosi mengawal diri sehingga dia lupa yang dicemuhnya itu adalah insan yang mula mendapat tempat di dalam hatinya sendiri.
‘Ya ALLAH, apa yang aku dah buat ni?’
Semuanya disebabkan bekas kekasihnya, Sazzy. Disebabkan terlalu marahkan Sazzy yang  baru-baru ini meminta untuk memutuskan hubungan dengannya hanya kerana ingin mengejar usahawan terkenal yang sebaya ayahnya, dia boleh bertukar menjadi segila ini. Sedangkan sepatutnya sejak perbalahannya dengan Sazzy yang sudah berlaku beberapa kali sebelum ini sudah cukup untuk menyedarkan dia supaya melepaskan saja perempuan tidak berguna itu!

Sunday 17 February 2013

Isteri Paling Kelakar (BAB 32)





32




           




            MALAM itu, ‘Sherry’ terasa macam nak bergaya secara lebih ekslusif dan istimewa sedikit berbanding sebelum ini. Seingatnya, pakaian yang paling cantik pernah dikenakannya pun adalah sewaktu dia keluar makan malam dekat hotel mewah bersama-sama dengan Azfahan beberapa minggu lepas. Itu pun tak berapa nak cantik. Lagipun waktu itu dia memang tak kenakan sebrang solekan pun.
            Kali ini, dia terasa macam nak rias sedikit wajahnya yang sepatutnya sudah tidak perlu disolek itu. Maklumlah, nama pun orang kampung. Kuat makan sayur dan ulam-ulaman pulak tu. Jadi, mungkin sebab itu muka dia memang bersih dan langsung tidak kelihatan sebarang cela mahupun bekas-bekas jerawat. Licin saja.
            Kalau nak dibandingkan dengan Sazzy yang jelita dan tinggi lampai itu, mungkin hanya kulitnya yang semulajadi cantik dan bersih itu saja yang istimewa sedikit berbanding beribu-ribu kelebihan lain yang dimiliki oleh supermodel jelita itu.
            Setelah menyolek ala kadar, ‘Sherry’ membelek seketika penampilannya di hadapan cermin. Bibirnya mengukir senyuman tanda puas hati dengan penampilannya walaupun awalnya dia fikir pakaian yang dipakainya itu agak keterlaluan iaitu gaun labuh yang bertingkat-tingkat di bawahnya. Namun, tidaklah kelihatan seperti gaun kahwin memandangkan konsep rekaannya lebih kepada klasik dan tradisional.
            Kemudian, dia mencapai pula beg tangan jenama GUESS yang besarnya boleh memuatkan segala jenis periuk belanga kat belakang dapur tu. Kononnya beg jenis begitu mengikut trend semasa. Entahlah.. nampak macam pelik pulak. Dia sendiri tak faham kenapa beg tangan sekarang kebanyakannya bentuknya sengaja direka besar-besar. Mungkin direka khas untuk perempuan yang suka shopping agaknya. Bila selesai aje shopping, sumbat aje semua barang yang dibeli kat dalam beg tangan tu. Habis cerita. Tak payah nak guna beg plastik. Kononnya menyambut seruan kerajaan yang menyeru rakyat supaya mengurangkan penggunaan beg plastik lah tu agaknya.
Lagi satu kelebihan beg tangan yang besar-besar ni, kalau ada penyangak yang ada niat nak meragut, diorang mesti akan fikir sampai pecah otak mengalahkan budak-budak SPM yang perah otak nak jawab soalan Add Math. Kesimpulannya, penyangak pun tak sanggup rasanya nak ragut beg tangan yang sebesar-besar alam itu. Lagi tak sanggup kalau dah berjaya ragut, tapi dalam beg yang gedabak itu sebenarnya cuma ada tisu yang dah pun digunakan untuk lap hingus, tak pun buat lap bekas jerawat yang bernanah. Buat habis tenaga aje pikul beg besar-besar kalau dah itu saja habuannya.
Hurmmm... Banyak jugak kelebihan beg ni rupa-rupanya. Kira tak menyesallah aku paksa dia belikan untuk aku hari tu!’ ‘Sherry’ tersenyum lagi sambil berpusing-pusing menggayakan beg tangan besar itu di hadapan cermin.
Setelah betul-betul puas hati, barulah dia keluar dari biliknya. Dia lihat Puan Sri Zahlia yang berada di ruang tamu tercengang-cengang memandang ke arahnya dengan matanya yang membulat. Pelik pula dia melihat Puan Sri Zahlia memandangnya sehingga begitu sekali. Dia pun berkenan jugak ke dekat beg tangan aku yang sebesar-besar alam ni?
Tidak lama selepas itu barulah Puan Sri Zahlia mengukir senyuman lebar. Wajahnya nampak teruja.
“Abang, tengoklah tu. Cantiknya bakal menantu kita.” Terus dicuit bahu suaminya yang sedang leka dengan iPhone di tangan.
Beberapa saat selepas itu barulah Tan Sri Jaafar menoleh namun ketika itu Puan Sri Zahlia sudahpun bangun untuk menghampiri bakal menantu mereka.
“Cantiknya... Tak sangka budak comot ni boleh bertukar jadi secantik ini.” Sambil mulutnya memuji, sambil itu dia mengusik dengan tangan yang meramas-ramas pipi ‘Sherry’ yang putih gebu itu. Sepanjang itu, Puan Sri Zahlia tak henti-henti ketawa dek kerana terlalu gembira.
“Auntie tengok, Embun dah pandai bergaya sekarang ni. Bertuah sungguh auntie dapat bermenantukan Embun. Lagi bertuah lagilah si budak Han tu,” usiknya berterusan dengan senyuman yang semakin lebar. Tangannya masih tidak lepas daripada menggenggam lengan ‘Sherry’. Mesra sungguh dia melayan bakal menantunya itu.
“Agaknya macam manalah rupa Embun masa naik atas pelamin nanti. Mesti lagi cantik kan bang?” Puan Sri Zahlia menoleh pula pada suaminya yang hanya memandang dengan senyuman.
‘Sherry’ pula langsung tidak berkata apa-apa. Dia hanya mengukir senyuman nipis. Senyuman yang semakin lama kelihatan semakin tawar.
Ada waktunya, dia sebenarnya berasa tidak sampai hati untuk mengecewakan impian dua manusia ini, yang selama ini begitu baik sekali terhadap dirinya. Tapi apa boleh buat. Dia terpaksa.
Kalau ikutkan hatinya, sebagai perempuan, dia tidaklah kisah sangat walau dipaksa berkahwin dengan Azfahan meskipun dia tidak rasa yang dia mencintai lelaki itu. Siapalah dia untuk terlalu memilih. Cuma masalahnya sekarang, Azfahan sendiri terang-terang menunjukkan yang lelaki itu sememangnya tidak boleh menerima dirinya sebagai isteri. Jadi, takkanlah dia nak mendesak lelaki itu supaya mengambil dirinya sebagai isteri pula semata-mata ingin menjaga perasaan Puan Sri Zahlia dan Tan Sri Jaafar suaminya.
“Boleh kita gerak sekarang?” sapa Azfahan yang ingin menghampiri dari belakang, tetapi matanya masih leka merenung iPhone di tangan. Apa lagi. Tengah melayan Sazzy lah tu agaknya.
“Kalau iya pun, kamu tengoklah dulu bakal isteri kamu ni. Mummy yakin, mesti kamu terkejut punyalah. Tak mustahil kalau kejap lagi kamu merengek-rengek dekat mummy minta dinikahkan dengan Embun malam ni jugak,” seloroh Puan Sri Zahlia dalam senyuman yang semakin meleret. Dia pula yang teruja lebih dan kelihatan tidak sabar-sabar menanti reaksi anaknya itu sekejap lagi. Dia yang sesama perempuan pun boleh kagum melihat perubahan pada diri ‘Sherry’, apatah lagi anaknya yang berlainan jantina itu.
Tapi Azfahan kelihatan seperti rimas saja apabila dirinya diganggu. Namun dia tetap juga mengangkat kepalanya, mungkin sekadar mengikut perintah ibunya. Tetapi sekejap sangat dia memandang ke arah ‘Sherry’ sebelum dia cepat-cepat menundukkan semula mukanya dan kembali leka dengan iPhone di tangan.
“Kamu ni macam tak ada perasaan aje, Han? Takkan kamu tak terkejut tengok Embun ni? At least, say something!” Puan Sri Zahlia merenung dengan dahi yang berkerut-kerut. Dia pula yang terkejut melihat begitu sahaja respoan yang diberikan anaknya itu tadi.
“Kenapa mesti nak terkejut pulak?” Itu saja yang dibalas Azfahan.
“Kamu tak nampak ke betapa cantiknya bakal isteri kamu ni?” Seperti ingin marah saja pada sikap Azfahan yang acuh tak acuh itu.
“Cantik?” Azfahan mengangkat kepalanya sekali lagi. Ala kadar saja matanya ‘scan’ tubuh Sherry dari atas ke bawah. Kemudian, dia mencebik. “Apa yang cantik? Biasa aje. Berlambak lagi perempuan yang jauh lagi cantik kat luar sana tu.” Selamba sahaja jawapan itu keluar dari mulutnya.
Menyirap Puan Sri Zahlia dibuatnya. Namun, baru sahaja dia ingin memarahi anaknya itu, Azfahan sudah pun bergerak ingin melangkah ke luar.
“Cepat sikit. Saya tunggu kat luar.” Sempat lagi dia berpesan pada ‘Sherry’ yang kelihatan ketara sekali perubahan pada riak mukanya. Terasa keterujaannya untuk makan malam di hotel mewah bagaikan sudah mati bersama-sama kritikan pedas yang diberikan oleh Azfahan sebentar tadi.
Tapi kenapa aku mesti terasa hati? Tidak cukup lagikah dengan pujian Puan Sri Zahlia dengan Tan Sri Jaafar sendiri? Kenapa mesti aku mengharapkan pujian daripada dia? Sedangkan aku tahu dia tidak akan sesekali memuji aku. Bukankah selama ini aku umpama sampah saja di matanya? Bukankah selama ini aku hanya diperlekeh-lekehkan saja olehnya?
“Embun, kamu janganlah kecik hati ya. Kamu sendiri mesti dah masak dengan perangai Abang Han kan? Guraun dia tu kadang-kadang memang kasar. Kamu janganlah ambil hati sangat, dah memang perangai dia macam tu. Dia mengusik aje tu...” pujuk Puan Sri Zahlia sambil mengusap-usap belakang ‘Sherry’. Ketara riak risau pada wajahnya. Itulah... dia benar-benar bimbang kalau-kalau ‘Sherry’ berkecil hati. Anaknya yang seorang itu memang tak pandai nak jaga hati orang langsung. Memang jenis orang yang tak pandai nak bermanis mulut. Langsung tak murah dengan pujian. Sama aje dia dengan abangnya Afka.
Sejujurnya ‘Sherry’ memang tak nafikan yang dia memang berkecil hati pun dengan apa yang dikatakan oleh Azfahan tadi. Entahlah... dia sendiri tidak pasti mengapa hatinya perlu menjadi sebegitu sensitif padahal selama ini bukannya dia tidak biasa dengan kebiadaban kata-kata yang selalu keluar dari mulut lelaki yang memang cukup suka memperlekehkan dirinya itu. Tapi, kali ini, dia semacam sudah tidak sanggup untuk mendengarnya lagi.
“Embun okay ajelah auntie...” Dia tahu yang dia telah membohongi dirinya sendiri namun itu saja yang dapat dikatakan supaya wanita itu tidak berterusan bimbangkan tentang keadaan dirinya. Dia tidak mahu perkara sekecil ini diperbesar-besarkan.
“Embun pergi dulu ya, auntie.” Dengan senyuman palsu yang terukir di bibir, ‘Sherry’ menyalami tangan wanita yang kononnya dikatakan bakal menjadi ibu mentuanya itu. Dikucupnya lama seolah-olah tidak mahu dilepaskan langsung dan Puan Sri Zahlia pula mengusap lembut kepalanya bagai seorang ibu yang mengasihi anaknya sendiri. Sesungguhnya rasa sayangnya terhadap Puan Sri Zahlia semakin bercambah dari hari ke hari. Namun dia sedar, dalam masa yang terdekat ini dia akan kehilangan wanita yang terlalu baik terhadap dirinya ini. Bahkan dia akan dibenci oleh wanita ini dan akan dihalau keluar dari rumah ini.
Kalaulah dapat dia mengundurkan putaran masa, dia sanggup menggunakan masa yang ada itu untuk memikat dan membeli hati yang sekeras-keras hati kepunyaan Azfahan. Dia sanggup dan tak kisah untuk bekerja keras demi menakluk sekeping hati yang terlalu dingin itu asalkan dia tidak perlu mengecewakan harapan wanita di hadapannya ini. Lebih-lebih lagi dia sudah jatuh sayang pada wanita ini dan dia juga pernah terfikir, akan adakah wanita lain yang dapat menerima dirinya seadanya sebagai seorang menantu sebagaimana dirinya diterima sepenuh hati dan disayangi oleh wanita di hadapannya ini? Dia tidak rasa akan ada wanita lain yang lebih baik daripada Puan Sri Zahlia yang dapat menerima dirinya yang serba kekurangan ini sebagai menantu. Ya, dia yakin seyakin-yakinnya.
Tanpa mengangkat kepalanya terlebih dahulu, ‘Sherry’ terus berpaling. Dia tidak mahu Puan Sri Zahlia terpandang matanya yang sudah bergenang ketika ini. Jadi, cepat-cepat dia melangkah menuju ke arah pintu utama.
Pintu sudah pun dibuka tapi entah kenapa kakinya terasa berat pula untuk melangkah keluar. Mungkin kerana hatinya sudah tawar untuk keluar berdua-duaan dengan Azfahan. Entah kenapalah dia boleh jadi selemah ini sehingga memaksanya supaya berhenti seketika di muka pintu itu, bagai bertafakur mencari kekuatan yang entah ke mana hilangnya.
Ketika itu juga dia dapat mendengar dengan jelas suara Puan Sri Zahlia yang sedang berbual-bual dengan Tan Sri Jaafar.
“Sampainya hati Han cakap macam tu dekat Embun ya bang. Sakit hati saya ni. Terasa macam saya pulak yang diperlekeh-lekehkan. Ini semua sebab mengikut perangai abang yang ego tu lah! Susah sangat nak jaga hati orang. Saya yang secantik-cantik Aishwarya Rai, dengan bibir tebal seksi mengalahkan Angelina Jolie ni pun susah sangat nak terima pujian daripada abang. Daripada zaman sebelum kahwin sampailah saya dah beranak-pinak, susah benar nak dengar abang puji saya! Ego betul! Itu yang menurun sampai ke anak-anak tu!”
‘Sherry’ rasa nak tergelak mendengar Puan Sri Zahlia merungut begitu. Lupa seketika pada kesakitan kata-kata yang dilemparkan Azfahan tadi. Malah sempat pula dia membayangkan kalau wanita itu benar-benar menjadi ibu mentuanya. Tentu seronok. Tentu meriah apabila setiap kali dia yang sering kali bergaduh dengan Azfahan akan sentiasa disebelahi oleh Puan Sri Zahlia yang cukup suka membelanya itu kerana dia tahu Puan Sri Zahlia juga semakin hari, semakin sayang pada dirinya. Tapi dia sedar, semua itu tak lebih daripada sekadar mimpi dan tentunya akan jadi mimpi ngeri buat Azfahan jika dia benar-benar menjadi isteri kepada lelaki itu.
“Isy awak ni, saya pulak yang dipersalahkan. Ego anak awak tu mana boleh disamakan dengan ego saya. Lagipun selama ni saya bukannya tak nak puji awak selalu. Awak sendiri tahu perangai awak tu. Setiap kali bila saya puji, mesti awak akan cium pipi saya. Sampai basah lencun pipi saya ni dengan air liur awak. Sebab tu saya suka puji awak hanya bila kita berdua-duaan kat dalam bilik. Waktu tu awak nak cium pipi saya sampai basah kecut pun saya tak kisah.”
“Ke situ pulak orang tua ni...” Puan Sri Zahlia mencebik menutup malu. Gelak besar Tan Sri Jaafar melihat isterinya malu-malu begitu. Makin malu Puan Sri Zahlia dibuatnya. Spontan, dia menutup mukanya dengan kusyen kecil.
“Alahai, nak main nyorok-nyorok pulak dengan saya. Tak puas-puas lagi ke main ‘cak-cak’ dengan saya dekat tasik waktu kita dating muda-muda dulu?”
“Abang ni...” rengek Puan Sri Zahlia. Mukanya tidak lagi dihadang dengan kusyen tetapi jari-jarinya bergerak-gerak mengutil hujung sarung kusyen tersebut.
Boleh tahan pemalu juga Puan Sri Zahlia yang bermulut becok ini. Tan Sri Jaafar tersenyum geli hati.
 “Pasal Han anak kita tu, tak perlulah awak risau. Dia saja nak tunjuk macho dia aje tu. Awak takkan lah tak biasa dengan perangai dia yang 24 jam control macho tu. Padahal masa awak tengah sibuk memuji bakal menantu kesayangan awak tu, saya ada ternampak Han berdiri kat atas tangga. Saya tengok anak kita tu macam nak tertanggal biji mata dia merenung si budak Embun tu. Han tu aje yang tak perasankan saya masa saya tengok dia tengah curi-curi pandang ke arah Embun.”
“Betul ke bang?” Puan Sri Zahlia terus melompat duduk ke sebelah suaminya. Punyalah ganas... Habis suaminya yang bertubuh kurus itu dihimpitnya hingga ke tepi sofa. Sampai begitu sekali dia teruja nak tahu bahagian yang diceritakan oleh Tan Sri Jaafar tadi.
Samalah seperti apa yang ‘Sherry’ rasakan saat ini. Dia sendiri tidak dapat nak menerangkan kenapa perasaannya boleh jadi begini. Dia tak tahu kenapa dia boleh gembira mendengar cerita yang disampaikan oleh Tan Sri Jaafar sekejap tadi. Sedangkan dari cerita yang disampaikan, isinya hanya menceritakan tentang Azfahan yang mencuri-curi pandang ke arahnya. Tetapi, kenapa dia perlu berasa gembira pula? Sewaktu Puan Sri Zahlia beriya-iya memujinya tadi pun dia cuma rasa biasa-biasa saja. Tidak pula dia berasa bangga apabila dirinya dipuji. Tapi bila dia dapat tahu Azfahan sekadar memandang dan merenungnya, kenapa dia perlu memandang serius tentang hal itu dan kenapa hatinya mesti wujud perasaan terharu lantaran cerita yang disampaikan oleh Tan Sri Jaafar tadi.
Ya ALLAH... Beritahulah kepadaku. Apakah maksud semua ini?






DI dalam kereta, mereka langsung tidak berbual walau sepatah. Azfahan hanya fokus dengan pemanduannya sahaja. Sementara ‘Sherry’ yang duduk di tempat belakang lebih selesa melayan perasaan dengan memandang ke luar tingkap. Selalunya bila mereka hanya berdua-duaan di dalam kereta, dia akan memilih untuk duduk di tempat duduk belakang. Pernah juga Azfahan mempertikaikannya.
“Gelaran apa yang ada pada pangkal nama kau sampai kau boleh terfikir untuk duduk dekat tempat duduk belakang? Kau ingat aku ni driver kau ke?”
Dia masih ingat lagi bagaimana kasarnya dia ditempelak. Bukan main marah lagi Azfahan padanya sewaktu dia membuka pintu belakang dan dengan selamba dia terus masuk ke bahagian tempat duduk belakang. Benarlah... lelaki yang seorang ini betul-betul menjaga kedudukannya.
“Tak ada apa-apa gelaran pun pada pangkal nama aku. Pegangan agama aku sendiri yang buat aku terfikir untuk memilih supaya tidak duduk rapat-rapat dengan lelaki yang bukan semahram dengan aku. Sebab tu lah aku pilih untuk duduk kat tempat duduk belakang. Salah ke?”
Disebabkan terlampau geram, dia langsung tidak meminta maaf sebaliknya dia memilih untuk membalas penghinaan Azfahan itu dengan satu sindiran pedas. Dia tahu, dia juga yang bersalah ketika itu. Patutnya dari awal-awal lagi dia beritahu lelaki. Tapi dia tidak beritahu kerana sangkanya Azfahan sedia memahaminya.
Mungkin prinsipnya itu telah meletakkan dia sebagai seorang manusia yang biadab kerana membiarkan Azfahan sendirian memandu di hadapan sedangkan dia pula duduk di tempat duduk belakang.
Maaflah... dia memang tidak selesa duduk dengan mana-mana lelaki dalam keadaan serapat itu. Apatah lagi lelaki yang dikenali ramai seperti Azfahan. Tentunya kalau dia memilih untuk duduk di hadapan, sudah pasti dia hanya akan mengundang fitnah dan umpatan daripada orang ramai. Bukankah itu lebih membencanakan dan menyusahkan lagi lelaki itu di kemudian hari nanti?
Sejak itu dia langsung tidak kisah apa tanggapan Azfahan terhadap dirinya. Tapi nampaknya lelaki itu seperti sudah memahaminya. Sekarang ini pun Azfahan sudah tidak lagi mempertikai dan mempersoalkannya.