Sunday, 20 January 2013

Isteri Paling Kelakar (BAB 29)



29




           


            MENGIKUT pelan asal Azfahan kalau boleh memang secepat yang mungkin dia mahu pulang ke vila bersama ‘Sherry’ bagi menjayakan rancangan mereka berdua. Tapi disebabkan dia masih ragu-ragu dengan kemampuan ‘Sherry’, terpaksalah dia sabarkan dulu hatinya untuk bertahan dalam seminggu dua lagi. 
            Padahnya, bermacam-macam alasan yang terpaksa dia reka untuk diberikan pada Puan Sri Zahlia setiap kali ibunya itu menghubunginya dari vila. Hampir-hampir ibunya mahu terbang sahaja dari sana ke Kuala Lumpur. Sebelum ni pun dah cukup banyak alasan yang dia berikan dan apabila sekali lagi dia meminta tangguh, alamatnya terpaksalah dia mendengar leteran dan bebelan orang tua itu. Dah tak sabar-sabar sangat agaknya orang tua tu nak bermenantukan manusia zaman purba tu!
            Ceh! Jangan haraplah aku nak kahwin dengan perempuan tu!
            Bukan apa, nak tak nak Azfahan memang terpaksa tangguhkan pelan dia untuk pulang semula ke vila. Kalau ikutkan hatinya, memanglah dia sudah tidak sabar-sabar lagi nak tengok Puan Sri Zahlia reject si ‘Sherry’ tu daripada menjadi menantu. Tapi sebelum itu, dia kenalah memastikan terlebih dahulu yang ‘Sherry’ betul-betul bersedia dengan apa yang perlu dilakukannya sewaktu mereka berada di vila nanti.
            Jadi, atas sebab itulah dia menghantar ‘Sherry’ ke kelas lakonan yang dibimbing sendiri oleh pelakon Fauziah Nawi. Tak cukup dengan kelas petang, dia hantar pula ‘Sherry’ ke kelas lakonan Ellie Suriati pada sebelah malamnya pula. Kalau ikutkan hatinya, mahu sahaja dia hantar ‘Sherry’ sampai ke New York Film Academy. Tetapi memandangkan sepatah haram perkataan Bahasa Inggeris pun ‘Sherry’ langsung tak faham, Azfahan terpaksa batalkan sahaja rancangannya itu. Haha...
            Selepas lebih seminggu berulang-alik ke kelas lakonan, rasanya sekarang ini Azfahan sudah cukup yakin dengan kemampuan ‘Sherry’ selepas dia sendiri yang menguji bakat dan kemampuan ‘pelakonnya’ itu. Tiga hari dua malam jugaklah dia dan ‘Sherry’ mengadakan teater ala-ala macam dekat Istana Budaya tu dekat ruang tamu rumahnya yang luas itu! Dan ada jugaklah beberapa ketul pasu kristal yang pecah dek kerana ‘Sherry’ yang terlalu mendalami wataknya ketika itu. Nasib baiklah dia tak kisah sangat barang perhiasan kat dalam rumah tu sebab hampir kesemuanya ibunya yang beriya-iya belikan untuk dihiaskan di ruang tamu rumahnya. Kalau ikutkan dia, dia lebih suka rumahnya itu dalam keadaan seringkas yang boleh. Orang bujang lah katakan.
            Jadi, selepas mereka betul-betul bersedia, pagi itu juga mereka berangkat untuk pulang ke vila. Di dalam kereta, berulang-kali Azfahan mengingatkan ‘Sherry’ dengan pesanan yang sama. Astro pun tak buat siaran ulangan sebanyak tu!
            ‘Sherry’ buat-buat tak dengar saja pada mulanya. Namun, setelah sejam lebih perjalanan dan apabila Audi R8 Azfahan membelok masuk ke dalam halaman tanah lapang vila yang luas itu, barulah dia mula terasa gegaran yang bermacam-macam jenis gegaran di dalam dadanya. Berdebar-debar kerana dia sedar, yang dia bukan sahaja dipaksa untuk berlakon, tapi dalam masa yang sama dia juga terpaksa menipu. Ingat senang ke nak buat dua kerja dalam satu masa yang sama?
            Hati dan perasaan dan apa-apa sajalah organ di dalam badan ‘Sherry’ memang sudah terasa lain macam sejak dia terpandangkan Puan Sri Zahlia dari dalam kereta lagi. Dia dapat lihat tudung yang dipakai oleh wanita itu semakin labuh menutup penuh bahagian dadanya, tidak seperti kali terakhir dia melihat wanita itu dengan imej barunya di dalam gambar. Puan Sri Zahlia hanya mengenakan turban tak pun selendang yang menutup separuh sahaja daripada rambutnya.
            Alhamdulillah... Puan Sri Zahlia menunjukkan perubahan yang semakin baik. Mungkin dia fikir yang tak lama lagi, seorang lagi anaknya akan mendirikan rumah tangga. Boleh jadi perkara itu juga menjadi iltizam buat wanita itu untuk terus melakukan perubahan ke arah menjadi seorang ibu yang lebih baik.
            Mengenangkan semua itu, maka semakin serba salah lah ‘Sherry’ jadinya. Gelisah semacam aje dia ketika itu sampai berpeluh-peluh dia di dalam kereta. Padahal keadaan di dalam kereta ini sejuknya tak terkata!
            Ya ALLAH, rasa macam tak sanggupnya aku nak teruskan lakonan ni. Lagi tak sanggup bila tengok muka Puan Sri Zahlia yang berseri-seri dengan senyuman lebar dan mata yang bercahaya pandang ke arah aku.
            Perlu ke aku teruskan jugak? Kalau tak diteruskan, mengamuklah jin kat sebelah aku ni. Dah banyak dia berhabis untuk pastikan rancangan kita orang ni berjaya. Lagipun, aku memang tak sanggup nak kahwin dengan dia walaupun aku tahu kalau aku jadi isteri dia, mesti tiap-tiap hari aku dapat beli baju baru. Tapi tak nak lah kalau berkahwin semata-mata sebab harta. Aku tak semurah itu okay walaupun aku memang tak pernah tetapkan harga yang tinggi untuk hantaran mahupun mas kahwin! Sebab bagi aku, kecantikan aku tidak mampu dibeli dengan wang ringgit. Haha!
            “Dah, jom keluar. Ingat, buat sehabis baik. Kalau kau rasa kau tak mampu nak lakukan pun, kau bayangkan aje offer yang aku tawarkan kat kau malam tadi.”
            Azfahan sengih tawar sambil menoleh memandang dia di sebelah. Tapi, ‘Sherry’ langsung tidak nampak semua itu. Dia hanya tunduk merenung beg tangannya yang diletakkan di atas paha. Nampak macam nak menangis pun ada.
            Namun, dalam keadaan emosinya yang huru-hara dan terganggu begitu, dia memaksa juga dirinya keluar dari kereta. Sebaik sahaja kakinya mencecah tanah dan elok saja dia berdiri dengan sempurna, tubuhnya terus disambar sebelum dipeluk seseorang. Dia tidak terkejut sangat apabila diperlakukan sebegitu jadi mungkin sebab itu dia memejamkan matanya yang sudah terasa hangat itu dengan serapat yang boleh. Dia biarkan sahaja tubuh kecilnya itu dipeluk oleh Puan Sri Zahlia.
            “Rindunya auntie dekat kamu, Embun. Kamu apa khabar? Macam tak berseri aje muka tu. Kamu tak sihat ke?”
             Di hujung-hujung, suara Puan Sri Zahlia bertukar risau, dan sedikit cemas. Azfahan pun perasan perubahan itu. Terkejut jugalah dia melihat sikap ambil berat ibunya itu terhadap ‘Sherry’. Patutlah beriya-iya dia suruh aku kahwin dengan perempuan yang jauh lebih mundur daripada kartun Flinstone ni!
            Keadaan senyap untuk seketika.
            Setelah mendapat kekuatan, barulah ‘Sherry’ membuka matanya perlahan-lahan. Dia tidak mahu membiarkan Puan Sri Zahlia tertunggu-tunggu dan ternanti-nanti jawapannya. Malangnya, sebaik dia buka sahaja matanya, yang dia nampak adalah Azfahan memandangkan Puan Sri Zahlia kembali memeluk tubuhnya. Cuma, wanita itu memeluk pinggangnya saja dan melentokkan kepala ke bahunya. Tak tahu pula dia yang Puan Sri Zahlia yang kerek ni semanja dan sepenyayang ini orangnya.
            Memang dia hendak jawab pun pertanyaan Puan Sri Zahlia yang dibiarkan sepi itu tadi. Namun sebaik dia buka matanya sekejap tadi, dia terus terpandangkan Azfahan yang sedang menjeling tajam dari tempat dia melabuhkan sebelah punggungnya di hadapan Audi R8 kebanggaannya.
            Dan sudah tentu-tentulah dia memahami maksud jelingan itu walaupun kaca mata gelap masih tersidai di telinga lelaki itu. Cuma tadi dia terlupa. Mungkin kerana dia berasa terlalu terharu bila dipeluk begitu. Membuatkan dia jadi tak sampai hati. Tapi dia tahu, dia dah tak boleh berundur lagi. Dia mesti teruskan juga lakonannya untuk menyakitkan hati Puan Sri Zahlia sekaligus membuatkan wanita itu benci sehabis benci kepada dirinya.
            “Diam aje. Sihat tak bakal menantu auntie ni?” Puan Sri Zahlia bertanya lagi setelah melihat ‘Sherry’ terus mendiamkan diri. Lebih kepada ingin mengusik sebenarnya sewaktu soalan itu diajukan.
            ‘Sherry’ pula memang sudah lama hilang kata-kata. Tanpa sedar, dia mengangguk bagi menjawab soalan Puan Sri Zahlia itu. Sedar akan silapnya, dia angkat semula kepalanya. Tak payah tengok muka Azfahan pun dia dah boleh agak bagaimana reaksi lelaki itu. Tentu Azfahan bengang dengan kecuaiannya tadi. Sepatutnya, bukan begitu reaksi yang perlu dia tunjukkan!
            “Tapi kalau tak ada apa-apa, kenapa muka Embun gelisah semacam aje auntie tengok? Ada masalah ke? Atau Han ada buat apa-apa dekat Embun? Mengadu aje kat auntie. Tak payah segan-segan. Tahulah auntie macam mana nak ajar dia. Auntie pun dah lama sangat rasanya tak praktik silat gayung yang auntie belajar zaman anak dara dulu.”
            Puan Sri Zahlia bercakap sambil merenung geram ke arah Azfahan yang sedang pura-pura sengih.
            ‘Sherry’ pula masih kelihatan tidak sanggup untuk mengeluarkan apa-apa dari mulutnya untuk menyakitkan hati wanita yang seorang ini. Jadi, dia diam lagi. Dan dia tahu, Azfahan tentu makin bengang dengan kebisuannya. Dia sepatutnya bercakap secara kasar dengan wanita ini sebagaimana yang Azfahan mahukan. Tapi, entahlah... Dia tak sanggup!
            “Cepatlah cakap kat auntie, apa masalah Embun sebenarnya ni? Macam tak biasa pulak lah Embun ni. Kita kan dah janji nak jadi geng!” Puan Sri Zahlia menumbuk lembut bahu ‘Sherry’.
            “Tak ada apa-apalah, auntie!”
            “Tipulah!”
            “Betul. Tak ada apa-apa.” Sherry lekatkan lagi matanya ke muka Azfahan. Lelaki itu sudah pun menanggalkan cermin mata gelapnya. Makin gelisah ‘Sherry’ dibuatnya apabila mata itu menentang pandangannya dengan penuh emosi.
            “Kalau tak ada apa-apa, kenapa macam muram aje ni? Hurmmm...?
            Puan Sri Zahlia mengeratkan lagi pelukannya pada pinggang ‘Sherry’. Lantas, peluang itu ‘Sherry’ gunakan untuk menyakitkan hati wanita itu kerana dia merasakan, inilah peluang yang dinanti-nantikan oleh Azfahan untuk dia gunakan dengan sebaik-baiknya.
            “Memang tak ada apa-apalah, auntie. Embun cuma tak suka auntie peluk Embun macam ni. Rimaslah! Dah tua-tua pun nak bermanja-manja lagi. Tak sedar diri betullah auntie ni! Habis komot cardigan Embun ni!” Sambil pejamkan mata, ‘Sherry’ cuba mengambil mood untuk memulakan lakonannya.
            Sebaik matanya dibuka, cepat-cepat dia merengus. Kebetulan pula matanya merah akibat tak cukup tidur malam tadi kerana memikirkan tentang hari yang perlu dia lalui sekarang ini. Maka dengan itu, ketika ini dia kelihatan cukup bengis dan garang sekali di mata Puan Sri Zahlia.
            Sah-sahlah Puan Sri Zahlia terkejut bila tengok dia berubah sehingga begitu sekali. Sebelum ni pun walau Puan Sri Zahlia cukup suka memarahi dan meleterinya, dia tidak pernah menengking wanita itu. Menjawab tu pernahlah sekali-sekala.
            ‘Sherry’ mengeluh.
            Ya ALLAH, apalah yang aku dah buat ni. Tolonglah, aku dah tak sanggup nak teruskan lagi. Kesiannya aku tengok air muka dia. Nampak sangat dia tersangat kecil hati dengan layanan kasar aku tadi.
            Bila Puan Sri Zahlia senyum semula seperti biasa, ‘Sherry’ berasa lega sedikit tapi dia tetap tak boleh terima kerana dia tahu Puan Sri Zahlia cuma berpura-pura sedapkan hatinya sendiri.
            Lantas, sekali lagi matanya mencari muka Azfahan. Dia nak bagitahu lelaki itu yang dia nak hentikan permainan ini! Tapi bila dia lihat daripada gaya lelaki itu memandangnya, dia tahu yang dia sudah tiada pilihan. Ya ALLAH, kenapalah dari awal-awal lagi aku tak tolak aje rancangan mengarut mamat tiga suku ni!
             “Maaflah, auntie tak sengaja...”
            Puan Sri Zahlia meminta maaf dengan suara seperti berjauh hati. Tetapi mukanya tetap ceria. Atau mungkin saja dia berpura-pura ceria dan cuba melupakan hatinya yang telah terguris sekejap tadi.
            ‘Sherry’ mengeluh lagi, entah untuk ke berapa kali. Tanpa pilihan yang ada, sekali lagi dia terpaksa melakukannya demi mahu menyakitkan hati wanita di hadapannya ini.
            “Senangnya auntie minta maaf ya. Mentang-mentanglah sebut perkataan maaf tu cuma guna air liur aje. Setakat air liur, bukan aje manusia, binatang pun ada air liur jugak tau, auntie. Jadi apa kata auntie ambil cardigan Embun ni, pergi iron sampai licin macam sebelum auntie kedutkan cardigan Embun tu tadi.” Cukup selamba ‘Sherry’ menengking wanita itu.
            Kemudian, dengan muka yang tidak berperasaan, terus ditanggalkan cardigan yang tersarung pada tubuhnya. Lalu, tanpa memandang muka Puan Sri Zahlia, dia terpacak sahaja seperti tunggul menunggu di situ sehingga Puan Sri Zahlia menyambut cardigan yang dia gantungkan pada hujung jari telunjuknya dengan pandangan yang langsung tidak memandang ke arah wanita itu.
            Sebaik saja Puan Sri Zahlia menyambut cardigan yang dihulurkan, ‘Sherry’ terus berlalu begitu sahaja untuk masuk ke dalam vila. Hakikatnya, dia tidak sanggup nak berlama-lama di situ atau lebih tepat lagi, dia tak sampai hati. Tak sampai hati nak tengok reaksi pada raut Puan Sri Zahlia ketika ini.
            Kejamnya kau wahai Azfahan. Kenapa watak ini juga yang kau suruh aku bawa? Bukankah dengan rupa paras aku yang jelita ini aku sepatutnya lebih sesuai bawa watak puteri Snow White? Tak pun watak Cinderella? Tapi kenapa watak ala-ala mak tiri jugak yang kau bagi kat aku? Ni yang aku tak puas hati ni!
            “Mummy okay tak ni?” Azfahan yang sudah berdiri di sebelah Puan Sri Zahlia bertanya pada ibunya  yang masih lagi mahu menyembunyikan kesedihannya. Bahu ibunya itu dipeluk seperti selalu. Hakikatnya, dia sendiri tidak sanggup melihat ‘Sherry’ menyakitkan hati ibunya tetapi dia terpaksa juga meneruskan lakonan ini. Mummy tak tahu betapa dia tidak dapat menerima hakikat bila dipaksa berkahwin juga dengan si ‘Sherry’ tu. Dia tak nak! Sebab itulah dia terpaksa melakukan semua ini.
            Azfahan berganjak dan berdiri pula di hadapan Puan Sri Zahlia dan memandang wajah ibunya dengan pandangan sayu.
            Puan Sri Zahlia terus mengukir senyuman palsu lalu memegang kedua belah pipi anaknya yang seorang itu. Diusap-usapnya pipi anak kesayangan.
            “Mummy okaylah. Cuma, Han jangan marah dia pulak ya. Mummy tak suka. Embun tu dia cuma penat aje tu mummy rasa. Ni mesti kamu banyak suruh dia buat kerja kan?”
            Puan Sri Zahlia sudah merenung anak keduanya itu dengan pandangan yang kurang senang. Dan apabila Azfahan kelihatan seperti teragak-agak, terus lengan anaknya itu dicubitnya sekuat hati.
            “Patutlah budak tu bad mood semacam aje! Kalau nak buli pun, bulilah orang lain! Tapi bukan bakal menantu kesayangan mummy tu. Ingat tu!” Puan Sri Zahlia memberikan amaran sebelum dia melangkah terus masuk ke dalam vila.
            Azfahan yang masih tinggal di belakang sedang mengusap-usap lengannya yang merah. Berkerut-kerut dahinya memikirkan sikap aneh ibunya tadi.
            Sayangnya mummy dekat budak tu. Apa yang budak tu dah buat dekat dia agaknya sampai sayang sangat macam tu sekali? Dah kena tengking pun dia boleh bela budak tu lagi. Nampaknya aku kena mantapkan strategi ni. ‘Sherry’ pun nampak gayanya kena tingkatkan lagi mutu lakonan dia. Dialog dan skrip pun nampaknya aku terpaksa ubah supaya lebih mantap!
            Insya-ALLAH, esok lusa comfirm mummy akan benci giler punyalah dekat budak ‘Sherry’ tu! Aku jamin!
           
                       
           

            PUAN SRI ZAHLIA terkedek-kedek mengekori ‘Sherry’ dari belakang. Nampaknya dia masih tidak serik, dan masih juga ingin bermesra-mesra dengan bakal menantu kesayangannya itu. Macam mana tak sayang. Sekarang ni hubungan dia dengan Tan Sri Jaafar pun makin mesra dan bertambah mesra sampaikan dalam usia begini pun, mereka masih lagi berhoneymoon sampai ke luar negara, mengalahkan orang muda. Itu pun Tan Sri Jaafar yang beriya-iya mengajaknya. Dan dia berterima kasih sangat-sangat pada Seri Embun kerana telah menyebabkan perubahan yang besar itu.
            Kalaulah Puan Sri Zahlia tahu cerita yang sebenar...
            “Embun, boleh tak Embun buatkan jus buah untuk auntie. Rindunya auntie dengan jus air tangan Embun.”
            ‘Sherry’ yang baru saja meletakkan beg tangannya ke atas sofa, menoleh. Dia dapat lihat betapa terujanya riak pada wajah wanita itu. Siap dicantumkan telapak tangan kanan dengan tangan kirinya macam gaya orang nak minta ampun pulak. Begitu sekali Puan Sri Zahlia berharap.
            Pelik sungguh. Minta air jus pun macam nak minta barang kemas aje dari aku. Kasihan betullah aku tengok perempuan ni. Kekurangan vitamin C ke apa dia ni?
            Pelik lagi. Bukan ke sepatutnya Puan Sri Zahlia merajuk dengan aku sebab aku marah-marah dia tadi? Hurmmm... Kebal jugak ya dia ni. Kalau macam ni, lagi lamalah aku kena tinggal kat dalam vila ni selagi tak berjaya buat perempuan ni benci dan halau aku keluar dari sini.
            Tinggal kat vila bermakna lagi lamalah aku kena hadap muka jin sorang tu. Tak kuasa aku! Aku dah tak sabar-sabar sangat dah ni nak putuskan hubungan silaturrahim dengan lelaki tu!
            “Hurmmm... baiklah, auntie. Embun masuk dapur kejap ya, tengok buah apa yang ada.”
            ‘Sherry’ mengukir senyuman nipis sebelum melangkah untuk masuk ke dalam dapur. Puan Sri Zahlia pun mengangguk dengan senyuman yang makin lebar.
            “Tapi kali ni, auntie nak jus yang special dan lain daripada yang lain tau.”
            Kali ini giliran ‘Sherry’ pula yang mengangguk sambil tersenyum sebelum dia menyambung semula langkahnya tetapi terhenti sekali lagi setelah beberapa langkah.
             Eh bukan ke patutnya aku buat muka meluat, dan tolak saja permintaan dia yang suruh aku buat jus untuk dia tadi? Alahai, cepatnya aku boleh lupa. Hurmmm... Itulah payahnya bila manusia yang terlalu mulia dan baik hatinya dipaksa untuk berubah jadi jahat. Sesungguhnya, aku memang tak mampu dan tak pandai langsung nak berlakon jadi jahat!
            “Ehem, Ehem!” Ketika suara jin itu bagi warning, ‘Sherry’ sudah pun hampir melepasi ke ruang dapur. Tapi rasanya tak perlulah dia menoleh. Sebab dia tahu, Azfahan sedang mengingatkannya dalam diam.
            Habis tu aku nak buat apa sekarang ni untuk sakitkan hati Puan Sri Zahlia tu?
            Di dalam dapur, ‘Sherry’ lihat dua orang pembantu rumah vila ini sedang bertungkus lumus menyiapkan makanan tengah hari. Rajin sungguh sampai tak perasan pun aku yang cantik ni dekat sini. Ni mesti banyak gaji diorang yang Tan Sri Jaafar bayar ni sampaikan begitu sekali tahap kerajinan diorang.
            “Assalamualaikum, masak apa tu?” Macam tak kena aje gaya aku tegur. Ah, lantaklah. Malas aku nak tanya khabar bagai.
            Salah seorang daripada mereka menoleh. Itupun sekilas dan tak sampai beberapa saat pun. Kemudian, kembali fokus dengan senduk di tangan.
            “Masak kurma ayam, cik puan,” beritahunya tanpa menoleh. Kesian... Dapur sebesar ni pun diorang boleh berpeluh-peluh.
            Eh, apa dia cakap tadi. Kurma ayam? Dahi ‘Sherry’ berkerut. Tidak lama selepas itu dia tersenyum pula, menggantikan kerutan pada dahi yang sudah lenyap.
             Dari situ saja dia boleh dapat satu idea. Tapi macam tak sanggup pulak nak laksanakan idea tu. Macam kejam sangat aje. Ahhh, kejam-kejam aku pun, projek ni semua datang dari buah fikiran anak dia jugak. Aku cuma menjalankan perintah aje! Kalau mengamuk orang tua tu, salahkanlah anak kesayangan dia!

Friday, 11 January 2013

Isteri Paling Kelakar (BAB 28)



28





            DENGAN kelajuan sepantas cahaya, ‘Sherry’ berlari selaju-lajunya untuk turun ke tingkat paling bawah sekali. Tudung yang berkibar dengan megahnya langsung tidak diendahkan. Tahukah ‘Sherry’? Andai kata tudung yang tersarung pada kepalanya itu bermotifkan corak bendera Malaysia, tentu Perdana Menteri sendiri berasa kagum dan bangga melihat bagaimana megahnya tudung itu berkibar ketika ini.
            Daripada empat lif yang tersedia di situ, nampaknya ‘Sherry’ kelihatan nekad untuk menggunakan tangga sahaja walaupun sekarang ini dia sedang berada di tingkat dua puluh tujuh. Buat masa ini dia lebih percayakan keupayaannya sendiri untuk sampai ke tingkat paling bawah dalam masa kurang daripada lima minit!
            Dan buat masa ini, dia memang tak percayakan lif walaupun lif yang terdapat di kondominium itu begitu canggih sekali sistemnya dan terdapat banyak lif di situ bagi mengelakkan daripada berlakunya kesesakan. Namun, dia tetap nekad tidak mahu menggunakannya. Seperti yang dikatakan tadi, buat masa ini dia hanya percaya pada keupayaan dirinya sendiri. Dia tidak percaya pada lif! Ketika ini, dia menganggap lif seperti satu kepercayaan karut dan tahyul!
Sampai begitu sekali dia tidak percayakan bantuan dan kemudahan yang ada di sekelilingnya kerana buat masa ini, dia hanya percaya dan yakin pada kemampuan dirinya sendiri sahaja!
            Kenyataan yang sebenar-benarnya, dia sebenarnya tidak sanggup menunggu dan terpacak tanpa berbuat apa-apa di dalam kotak lif sekiranya dia memasukinya kerana baginya, dia pasti akan berasa gelisah sewaktu menunggu lif itu untuk turun ke bawah walaupun dia tahu, menggunakan lif lebih pantas jika dibandingkan dengan kelajuan kakinya yang terpaksa melangkah anak-anak tangga dari puncak tingkat dua puluh tujuh itu.
            Hebat tak hebat! Dia cuma lambat sikit saja daripada kelajuan lif. Tak sampai lima minit, dia sudah pun berada di tingkat paling bawah. Tapi keadaannya sekarang dah tak serupa orang. Termengah-mengah dia bernafas. Kalaulah ada sesiapa yang berdiri di hadapannya, tak mustahil kalau ada sesiapa yang pengsan bila terbau nafasnya. Sudahlah kuat makan sambal jering!
            Dengan perut yang terasa senak disebabkan kekurangan oksigen, ‘Sherry’ yang sudah kehabisan tenaga hanya mampu berlari-lari anak sahaja ketika menuju ke kolam renang yang terletak di tengah-tengah padang hijau bersih berbukit-bukit kecil yang memang sengaja dibiarkan luas dan lapang begitu tanpa sebarang jenis tanaman mahupun pokok-pokok. Cuma ada beberapa pokok kelapa saja yang bertindak menjadikan kawasan itu kelihatan lebih teduh. Walaupun kosong dan ‘bogel’ begitu, sejuk dan saujana sahaja mata yang memandang apatah lagi kawasan kondominium ini memang agak terlindung sedikit daripada cakaran cahaya matahari.
            Dari jauh, ‘Sherry’ kelihatan sedang tercari-cari kelibat Azfahan di situ. Ramai juga lelaki yang sedang berenang dan bersantai di situ waktu-waktu begini. Tapi kebanyakannya tidaklah berbadan tinggi dan sasa seperti Azfahan. Jadi, sepatutnya mudahlah dia untuk mengecamnya. Tapi, matanya masih gagal mengesan tubuh tegap itu. Mana pula dia pergi ni? Ya ALLAH, aku berharap sangat-sangat, janganlah dia masuk dalam kolam renang tu. Kalau tak, tak dapatlah aku nak shopping sakan hari ni!
            Dalam keadaan cemas itu, mata ‘Sherry’ meliar-liar lagi. Kali ini pandangannya beralih pula pada penduduk-penduduk kondo yang sedang bersantai di atas kerusi lentang yang berderet tersusun di satu bahagian khas bagi tujuan bersantai. Penduduk-penduduk di sini sesetengahnya terdiri daripada warga asing juga. Jadi pemandangan seperti di luar negara boleh dianggap sama juga dengan pemandangan sekarang yang sedang dilihatnya di mana yang lelakinya hampir semua hanya mengenakan seluar pendek yang ketat dan lebih singkat daripada paras lutut. Sementara yang perempuan pula ada yang berbikini tetapi ada juga yang hanya berseluar dalam dan mengenakan coli sahaja. Yang lelaki pun begitu, ada juga yang hanya berseluar dalam.
            Sebaik mata ‘Sherry’ terpandangkan sebilangan perempuan seksi yang mengelilingi seorang lelaki yang sedang bersantai di atas kerusi putih yang melunjur, dengan buah kelapa dicucuk straw yang terdapat di atas meja bulat tinggi di sebelahnya, lalu dia dengan yakin dan tanpa ragu-ragu lagi terus meluru ke sana.
            Tepat sebagaimana yang disangka. Memang Azfahan pun yang kelihatan sedang seronok dilayan gadis-gadis separuh bogel di satu sudut yang agak terselindung di situ.          Meluap-luap rasa marahnya tiba-tiba.
            Memang pantang betullah aku kalau tengok maksiat depan-depan mata macam ni. Dah besar panjang pun tak reti nak fikir ke mana baik mana buruk? Kata belajar sampai luar negara! Tapi otak letak dekat lutut. Dah tahu awak tu handsome, yang pergi posing maut atas kerusi  sampai macam tu sekali tu buat apa? Haissshhh... Kang maut jugak lelaki ni aku hempuk dengan kerusi pantai tu kang!
            “Ehem, Ehem!” ‘Sherry’ terpaksa menekan suaranya kuat-kuat untuk mengeluarkan bunyi itu memandangkan bunyi angin yang deras ketika ini menenggelamkan sedikit suaranya. Sampai terkeluar jugalah kahak dari kerongkongnya. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja dia kahakkan saja muka lelaki tak tahu malu itu. Itu yang selayaknya!
            Lagi bertambah mendidih hatinya sebaik sahaja dua orang perempuan yang berdiri di sisi mamat poyo itu mula menoleh memandangnya, siap buat muka meluat. Dan muka semacam tak puas hati. Macam nak perlekehkan si budak ‘Sherry’ ni pun ada juga.
            Hoi, patutnya aku lah yang buat muka meluat tengok korang berdua yang pakai tak senonoh sampai tersembul daging-daging gebu kat dada tu. Tak rela mak, nyah... Mak lagi rela pandang kelapa tua yang dah reput!
            “Kau buat apa kat sini?” soal Azfahan dengan muka tak puas hati sambil dia menanggalkan cermin mata gelapnya. Seorang lagi perempuan yang sedang menyapu losyen pada lengannya yang berotot pejal itu langsung tidak menoleh memandang ‘Sherry’. Seronok lah tu dapat pegang-pegang tangan Chris Evans!
            Sherry sudah bercekak pinggang. Mentang-mentanglah aku ni nampak macam orang gaji dia, suka-suka hati dia aje nak naik suara dengan aku depan awek-awek dia ya. Kalau kat rumah, kau memang berkuasa, tapi bukan kat sini!
            “Kau dah lupa ke janji kau kat aku?” ‘Sherry’ mula pasang muka serius. Tak berkelip matanya memandang muka Azfahan. Sudahlah dia berdiri dalam keadaan berpeluk tubuh. Uiiiisshhh... Garang semacam pulak si budak ‘Sherry’ ni!
            Azfahan yang baru teringat, menepuk dahinya sekali. Kemudian, dia tersengih-sengih memandang ‘Sherry’.
“Ya tak ya... Aku terlupa lah pulak. Kau pun bukannya nak ingatkan aku. Baiklah, aku naik rumah sekarang jugak.”
            ‘Sherry’ menahan senyum. Takut jugak ya dia dengan aku.
            “You nak pergi mana pulak tu? Tak sampai 10 minit, takkan nak balik dah?” Perempuan yang menyapu losyen tadi bertanya dengan rasa tak puas hati. Dia baru bercadang nak sapu losyen dan ramas-ramas belakang badan Azfahan agaknya. Itu yang hampa sangat tu bila Azfahan sudah bergerak ingin naik semula ke rumahnya.
            ‘Sherry’ pula yang masih geram dengan perempuan itu dengan baik hatinya membantu Azfahan yang kelihatan teragak-agak untuk menjawab.
            “Maaflah, saya ni adik dia. Dia terpaksa balik sekarang jugak sebab dia dah janji nak main batu seremban dengan lompat getah dengan saya.” Spontan saja dia mereka-reka cerita. Selamba lagikan bersahaja. Dengan wajah yang serius, berserta confident level yang sangat mengagumkan!
            Azfahan ternganga, tetapi 'Sherry' pula buat-buat tidak nampak saja.
            Lantaklah! Baru padan dengan muka dia! Mesti awek-awek seksi kat swimming pool ni hilang selera bila dapat tahu lelaki yang 24 jam control macho ini rupa-rupanya peminat tegar permainan lompat getah dan juga batu seremban. Jahatnya aku! Ini dah kira fitnah. Tak apalah... fitnah untuk kebaikan dia jugak. Nanti-nanti aku minta maaflah...
            “Lelaki cool yang semacho you ni pun boleh layan batu seremban dengan lompat getah?”
            Kali ini, perempuan yang seluar dalamnya terdapat gambar kartun Doraemon itu pula yang bertanya dengan riak muka yang begitu musykil sekali, sebelum perlahan-lahan riak mukanya bertukar jelek. Siap buat gaya nak termuntah lagi.
            'Sherry' yang melihat menahan rasa meluat. Di dalam hati, dia berharap sangat gambar Doraemon yang terdapat pada bahagian punggung seluar dalam perempuan seksi itu benar-benar bernyawa supaya digigitnya punggung yang lebih kurang sama saja bentuknya dengan kuih Dorayaki itu. Tu Favourite Doraemon tu! Gasaklah kau kalau jadi betul-betul. Aku harap benda tu jadi dalam mimpi pun okaylah. Biar lepas ni kau insaf dan tak tayangkan lagi punggung kau yang gelap macam kuih Dorayaki hangus tu!
            Azfahan yang sudah merah padam mukanya kelihatan buntu dan diam sahaja sedari tadi. Sebenarnya dia tak tahu nak jawab apa bagi membela dirinya sendiri. Hanya matanya sahaja yang bergerak memainkan peranan. Terus, wajah 'Sherry' dipandangnya seolah-olah gadis itu adalah gula-gula getah yang boleh dikunyah-kunyah, kemudian diludah semula ke atas tanah.
            Itu selayaknya untuk perempuan macam dia. Disebabkan dia, aku rasa macam nak jadi anak dara aje berkurung kat dalam bilik. Malunya aku nak turun bersidai tayang badan dekat tepi kolam ni lagi. Mesti awek-awek cun kat pool ni dah mula ragu-ragu dengan ‘ketulenan’ aku! Tengok tu... masing-masing dah beredar nak tinggalkan aku! 
            Urgghhhh... pembawa bala betullah budak bendul ni! Aku baru nak rasa nikmat syurga!
           

           


      



             “PUAS hati kau sekarang?”
            Walaupun dimarah begitu, tetap tidak menghalang ‘Sherry’ untuk terus senyum tahap kelebaran bibir Ning Baizura. Ketika ini, mereka berdua sudah pun berada di ruang tamu di dalam kondo Azfahan selepas baru sahaja pulang daripada membeli-belah.
            Sejak dari dalam kereta lagi sehinggalah sampai ke butik dan sehinggalah mereka pulang semula ke rumah, Azfahan memang diam dan langsung tidak mahu bercakap apa-apa dengannya. ‘Sherry’ pun tidak kisah sangat sebab waktu itu dia lebih senang melayan perasaan terujanya kerana dapat membeli-belah.
            ‘Sherry’ ketawa lepas. Suka hati aje dia nak ketawa sampai macam tu sekali. Control Sherry... Control! Jangan nak suka sangat dapat barang-barang mahal. Semua tu cuma kemewahan dunia aje! Dia mengingatkan dirinya sendiri tidak lama selepas dia gelak macam watak perempuan jahat yang selalu tayang kat dalam Sinetron tu!
            Azfahan dengan muka menyampah, terus berlalu meninggalkan ‘Sherry’ sendirian yang masih kalut membelek segala macam pakaian yang dilambakkan semuanya di atas meja di hadapannya. Masuk kali ni, entah sudah berapa kalilah agaknya dia belek-belek beg tangan rekaan terbaru daripada jenama GUESS itu. Itu pun Azfahan yang pilihkan. Dia tidaklah berapa berkenan sangat sebab terlalu sarat dengan aksesori dan entah apa jenis batu-batu yang bergemerlapan pada fabrik beg tangan tersebut.
            Mentang-mentanglah aku kena bawa watak perempuan yang penuh dengan sifat negatif bila aku balik saja ke vila nanti, dia pun belikan aku beg termasuklah bluas dan baju yang kebanyakannya memang agak melampau dari segi rekaan, material dan juga coraknya. Kalau awek dia yang tergedik-gedik tu sesuailah pakai semua ni. Sempat lagi ‘Sherry’ mengutuk lelaki itu di dalam hati.
            Memang dari awal lagi dia tidak diberikan hak untuk bersuara. Jadilah... Asalkan pakaian yang dipilih tidak mendedahkan mana-mana auratnya dan juga tidak ketat walaupun tubuhnya kecil. Itu lebih penting!
            “Sherrrrrrryyyyyyyyyyyyy!!!!!”
            Berdengung telinga kirinya apabila tiba-tiba ada suara yang menjerit namanya dengan begitu kuat sekali. Kalau telinga kiri rasa macam berdengung, telinga kanan yang sememangnya dah lama tak servis tu, rasa macam hampir nak pekak aje.
            Dia ni pun kalau nak panggil aku, tak boleh ke panggil elok-elok? Perlu ke menjerit tahap suara raksasa? Ni mesti masa kecik-kecik dulu banyak tengok cerita Ultraman lawan raksasa jahat ni! Pengaruh kartun betullah mamat ni. Boleh sangatlah kawan dengan Mak Tom jiran aku yang suka tengok Tom & Jerry tu!
            Tapi apabila sekali lagi namanya dijerit, dan dijerit dengan lebih kuat lagi, ‘Sherry’ terus bangun dan berlari untuk masuk ke dalam bilik Azfahan. Waktu ini, dia memang dah tak boleh nak fikir apa-apa lagi dah. Mungkin sebab itu dia terlupa untuk menjaga batas lalu dia main redah masuk saja ke dalam bilik lelaki itu.
            Bukan apa, takut juga bila dia terbayangkan kalau-kalau Azfahan sebenarnya jatuh terlentang kat dalam bilik air. Tak pun mati tercekik sebab tertelan sabun mandi sampai berbuih-buih satu mulut. Boleh jadi juga kalau Azfahan mati lemas walaupun mandi setakat guna shower je. Semua tu tak mustahil dan mungkin sebab itu lelaki itu terlolong-lolong menjerit memanggilnya sampai begitu sekali. Tengok kat surat khabar sekarang pun, macam-macam kes pelik yang jadi. Jadi, aku rasa tak salah kalau aku fikir sampai macam tu sekali!
            Tapi macam melampau aje imaginasi aku. Ke dia jerit panggil aku sebab teruja sangat nak suruh aku tengok dan bagitahu aku air besar yang dia buang makin membesar dari semasa ke semasa? Eh, penat pulak aku nak fikir lah! Sebab macam-macam kemungkinan dan kebarangkalian boleh terjadi!
            Dalam berjalan menghala masuk ke bilik Azfahan pun sempat lagi ‘Sherry’ ni mengarut bukan-bukan.
            “Hah, kau nak apa sampai terjerit-jerit ni?” soalnya takut-takut sambil menekap telinga dengan kedua belah tangan. Takut kalau-kalau sekali lagi Azfahan menjerit dengan menggunakan lontaran vokal yang sama seperti tadi. Mahu pecah gegendang telinganya. Nak cari mana lagi gendang kalau gendang dah pecah? Terpaksalah gantikan gendang dengan kompang.
            ‘Jangan nanti orang lain semua guna term gegendang telinga, aku sorang je yang cacat terpaksa guna term ‘kekompang’ telinga in case kalau betullah Azfahan ni berjaya cacatkan gegendang telinga aku. Berhati-hati itu kan lebih baik!’ Hatinya berbisik mengingatkan dirinya sendiri.
            Tapi rasanya dia tidak perlu menunggu jawapan daripada Azfahan. Sebaik sahaja dia terpandangkan muka Azfahan yang tercegat berdiri di hadapannya setelah pintu bilik air dibuka dari dalam, dia sudah tahu kenapa lelaki itu terjerit-jerit memanggilnya sekejap tadi. Lelaki itu baru lepas mandi rupanya. Sekarang sudah siap dengan bath robenya. Bila dah mandi, maka kantoilah lebam dekat mata dia yang aku cover dengan compact powder dan juga foundation tu!
            Alahai, kenapalah awal sangat dia mandi. Mandi masa aku dah tidur nanti tak boleh ke? Tak ada lah aku kena dengar dia maki-hamun aku kejap lagi. Foundation dengan compact powder ni pun satu. Tak ada ke foundation atau compact powder yang kalis air dan tahan sampai berhari-hari tak pun berminggu-minggu? Eh, mana boleh macam tu. Tak sahlah solat dia nanti. Tak pasal-pasal aku pulak yang kena tanggung dosa dia!
             Sekarang ni, ‘Sherry’ nak sengih pun rasa takut apabila dia perasan yang Azfahan sedang memandangnya seperti nak ditelan hidup-hidup saja!
            Arghhh nasib dia lah. Sibuk sangat nak jaga penampilan dan nama baik dia sampai tak nak keluar rumah. Lebam sikit pun nak kecoh. Jadi nak buat macam mana lagi. Aku sendiri dah tak ada pilihan. Maka, terpaksalah aku make-up saja kesan lebam tu! Dia nak marah, dia punya pasallah sebab dia yang cari masalah dulu dengan aku!

Tuesday, 8 January 2013

Isteri Paling Kelakar (BAB 27)


27




SUDAH masuk hari ketiga!
Ini bermakna, hari ini adalah hari terakhir butik pereka fesyen Rizman Ruzaini mengadakan promosi jualan secara besar-besaran. Teruja sungguh ‘Sherry’ setiap kali membayangkannya.
‘Malang sekali, lebam pada mata ‘penaja istimewa’ aku tu belum sembuh sepenuhnya lagi. Tinggal sikit aje lagi merah-merah pada bahagian atas mata dia. Pagi tadi, aku ingatkan dia akan mandi dan bersiap-siap untuk bawa aku ke butik tu memandangkan lebam yang sebelum ini lebih besar daripada syiling 50sen sudah pun susut nilainya menjadi 10sen. Alahai... macam mana ni?’
Azfahan pula seperti sengaja mahu mengenakannya. Sengaja mahu mengelak daripada membawanya ke sana! Untuk kesekian kalinya, lagi sekali dia yang rugi kerana telah menyediakan sarapan pagi yang terlebih istimewa iaitu mee tomyam resipi khas dari Thailand dan juga nasi minyak resipi khas daripada orang minyak. Eh, bukan orang minyaklah. Resipi khas dari Mak Tom yang syok dekat ayah aku kat kampung tu!
Mak Tom memang pandai memasak. Lagi-lagi kalau masak tomyam. Sebab itulah semua orang kampung panggil dia Mak Tom dan kebetulan pula Mak Tom memang suka tengok kartun Tom & Jerry. Jadi, makin lekatlah nama Mak Tom tu.
Usai solat Subuh lagi dia sudah menghubungi Mak Tom untuk minta resipi. Nasib baiklah Mak Tom dah monopause jadi tentu hari-hari Mak Tom akan bangun pagi untuk solat Subuh. Jadi tak ada lah rasa bersalah sangat sebab kacau Mak Tom awal-awal pagi. Eh, gila betullah aku ni. Ada ke patut pergi fikir sampai macam tu sekali!
Ahhhhh... aku memang dah lama gila pun! Gila dirasuk saka ‘shopping’, saka yang tidak mampu dirawat oleh mana-mana bomoh sekalipun walau bomoh yang lahir dari tanah seberang.
Sampaikan pagi-pagi macam ni pun si budak ‘Sherry’ ni boleh terfikir untuk masak tomyam dan juga nasi briyani. Memang betul-betul dah gila sebab masak makanan seberat itu untuk sarapan pagi.
Sesungguhnya ‘Sherry’ memang dah lama gila semata-mata ingin mengambil hati Azfahan supaya membawanya keluar membeli-belah!
“Kan aku dah cakap, selagi lebam kat mata aku ni tak sembuh sepenuhnya, aku takkan keluar ke mana-mana. Muktamad! Sebarang rayuan ataupun surat-menyurat tidak akan dilayan sama sekali!”
Itulah alasan lelaki itu seketika tadi sewaktu dia mengajak dan jawapan itu benar-benar membuatkan dia hampa sedangkan sudah licin tomyam dan nasi briyaninya dibelasah oleh lelaki tak guna itu!
 Bahkan lebih menyakitkan hatinya, tanpa menoleh memandang dia di sebelah, boleh pula Azfahan kembali fokus membaca akhbar News Straits Time dengan bermejakan kaki kirinya sendiri yang dilipat dan diletak di atas kaki kanan yang tegak mencecah lantai.
“Alah, lebam tu kan dah mengecil. Bukannya ada orang nampak pun.”
‘Sherry’ nampaknya masih tidak mahu mengalah. Dipujuknya lagi dengan suara yang sehabis lembut walaupun dia sedar, suaranya itu kedengaran begitu plastik sekali. Macam suara pondan yang dibuat-buat pun ada.
“Kecil-kecil pun tetap menjejaskan penampilan aku. Sudah lah ramai artis yang dijemput dan akan datang untuk hari terakhir promosi dekat butik tu. Dengar-dengar Dato’ Siti Nurhaliza pun akan datang. Malulah aku kalau dia ada, sebab dulu sebelum dia kahwin dengan Datuk K, dia macam pernah bagi hint dekat aku. Cuma aku aje yang malas nak layan. Kau tahu kan taste aku bukan dekat perempuan yang sopan-sopan dan cover ayu macam Dato CT tu?”
Begitu selamba sekali raut wajah Azfahan sewaktu mengeluarkan kenyataan itu. Sudahlah dengan dahinya yang berkerut-kerut cuba memahami apa yang dibacanya pada akhbar di tangan. Maka dalam keadaan itu, dia kelihatan begitu serius sekali. Nyaris-nyaris ‘Sherry’ yang rendah IQnya itu terpedaya dan hampir percaya. Terasa seperti terhenti fungsi jantungnya sewaktu kenyataan itu merodok telinganya. Tapi lama-kelamaan barulah dia mencebikkan bibirnya. Lupa pula dia yang lelaki di sebelahnya ini adalah satu-satunya manusia yang cukup suka mengenakannya!
Kalaulah aku rekod kenyataan dia tadi, dah sah-sah aku boleh menang saman berjuta-juta dekat makhamah. Sekelip mata aku boleh jadi jutawan! Malangnya handset aku tak berapa nak canggih. Pernah waktu mula-mula beli dulu, aku ada rekod suara aku. Bila aku dengar balik, aku tersangatlah hairan sebab suara aku boleh sama sebiji dengan suara Shila Amzah sedangkan sepatutnya suara aku setaraf Mariah Carey! Betapa handsetku itu tidak pernah berlaku adil pada tuannya! Haha... Perasan sungguh!   Tapi betullah, dulu syarikat Yusof Taiyoob pernah offer untuk guna suara aku yang lembut dan seksi ni untuk sebut perkataan ‘Yusof Taiyoob’ tu berulang-ulang kali macam dalam iklan setiap kali bulan puasa tu. Cuma aku aje yang tak nak sebab aku tak nak lah kesedapan suara aku ni nanti mengatasi kesedapan buah kurma Yusof Taiyob itu sendiri! Haha... Ya ALLAH, makin menjadi-jadi pula perangai suka nak perasan aku ni lah!
Sebenarnya, itu adalah jawapan yang memang dia selalu guna sewaktu kawan-kawan dekat kampung menghina handset yang dikatakan kalau dibuat baling anjing pun, belum sempat kena kepala anjing, anjing tu dah mati terkejut sebab tak dapat terima hakikat dibaling dengan benda buruk.
Kurang ajar betul mulut-mulut puaka dekat kampung aku tu!
Okay, waktu untuk jadi serius semula. Dah tiba masanya untuk aku berdebat sampai menang dengan mamat ni! Walau apa pun yang berlaku, aku kena pastikan yang dia tetap akan bawa aku keluar pergi shopping! Okay, ‘Sherry’... Mulakan sekarang! Chaiyoookkkkk!
“Hah! Aku ada cadangan.” Dia berteriak dengan muka yang teramat teruja. Dengan harapan Azfahan akan berminat untuk mendengar usulannya. Malangnya, buat penat berteriak saja. Azfahan langsung tidak menoleh memandangnya.
Hampa sungguh ‘Sherry’ melihat kebekuan lelaki itu.
Mengeluh.
“Hurmmm... Kalau kau malu kau pakailah spec hitam macam kau buat dulu tu. Pakailah, pakailah. Aku suka tengok kau pakai spec hitam. Kau nampak handsome dan macho sangat!” pujinya bersungguh-sungguh dan bersemangat sekali padahal bukannya ikhlas pun pujiannya itu walaupun dia akui betapa kacaknya lelaki yang duduk di sebelahnya ini. Sebab itulah dia hampir percaya bila Azfahan cakap yang Siti Nurhaliza pernah bagi hint dekat dia.
Azfahan menjeling sedikit.
“Kalau kau nak umpan aku sekalipun, gunalah cara lain. Orang macam aku ni dah biasa sangat kena puji. Kalkulator pun tak mampu nak kira dah berapa banyak kali orang puji aku handsome. Itu baru handsome. Tak termasuk pujian-pujian yang lain lagi.”
‘Sherry’ mencebikkan bibirnya. Bengangnya aku! Buat bazir air liur aku aje puji dia punya beriya-iya tadi.
“Dah lah. Kau pergilah buat apa-apa yang patut. Aku nak sambung tidur. Tepi sikit.”
Pulak tu, boleh pula selamba badak dia halau aku dari sofa ni. Kecil hati aku. Rasa macam aku tengah pegang watak anak malang yang kena halau dengan ibu tirinya. Begitulah perasaan aku ketika ini. Sampai hati dia buat aku macam tu!
Akhbar di tangan, Azfahan campak begitu sahaja ke atas meja bulat di hadapannya. Surat khabar pun bercerai helaian antara satu dengan yang lain. Habis berselerak.
Kasihan sungguh surat khabar yang tidak berdosa itu. Sudahlah tak berdosa, pula tu kena pula ‘tanggung’ dosa-dosa artis-artis yang suka pakai baju tahap macam dah berbogel kat dalam surat khabar tu. Itu belum lagi dosa-dosa iklan payudara anjal yang ada kat dalam tu. Termasuklah dosa-dosa lain antaranya dosa putar belit cerita yang dimainkan oleh segelintir wartawan dan media. Dosa yang tu pula dah masuk kategori fitnah.
Kasihan Mr. Surat Khabar! Banyak betul dosa yang perlu ditanggung oleh surat khabar yang tidak berdosa itu. Tak pasal-pasal surat khabar dicop sebagai ‘kertas yang berdosa.’ Maka berbahagialah kertas-kertas lain seperti kertas kajang, kertas minyak, dan juga kertas warna kerana tidak dilabel seteruk itu.
Merepek tak habis-habis!
Inilah jadinya bila dia sudah kehabisan idea untuk memujuk, mengumpan mahupun membodek lelaki itu. Semuanya tak jalan. Hanya masa yang akan terus berjalan dan hanya tinggal tak sampai 12 jam sebelum promosi di butik Rizman Ruzaini itu berakhir. Maka tentunya akan berakhir jugalah impian aku untuk memiliki koleksi terbaru pakaian yang direka khas oleh pereka fesyen kesayangan Dato’ Siti Nurhaliza itu!
Oh tidak, aku takkan biarkan perkara itu berlaku!




           
           
            AZFAHAN memang tidak pernah main-main dengan apa yang keluar dari mulutnya. Tak sampai beberapa minit, dia kembali menyambung semula tidurnya. ‘Sherry’ pula, yang masih berharap pada keajaiban kelihatan sedang duduk di atas kerusi sofa berbentuk L berhampiran lelaki itu dengan mata yang langsung tidak berkelip dan langsung tidak beralih daripada tumpuan penuhnya pada kelopak mata Azfahan yang masih bersisa lebam kecil kehijau-hijauan itu.
            Lihatlah... dari tadi lagi dia memang kelihatan seperti kehilangan sesuatu yang paling berharga di dalam dunia ini. Dengan mukanya yang muram, matanya terus melekat pada kelopak mata Azfahan. Apa yang dia perhatikan sangat sebenarnya tu sampaikan tak berkelip matanya?
            Sebenar-benarnya, dia sedang menanti sehingga lebam pada mata Azfahan itu susut. Tapi tak juga susut-susut walau sudah mengecil sedikit. Arghhhh... Tensionnya!
            Dengan perasaan yang tertekan, ‘Sherry’ terus bangun walau dia sendiri tidak tahu nak ke mana. Memandangkan dinding di dalam kondominium ini memang penuh dengan hiasan yang berunsurkan cermin, sempat jugalah dia melihat wajahnya. Itu pun tanpa sengaja. Dan hasilnya, dia terkejut bukan kepalang! Sampai tak sempat nak beristighfar macam selalu. Berdesup dia berlari masuk ke rumah Sazzy di sebelah. Sasarannya, adalah beg tangannya. Dengan kelam-kabut, dia menyelongkar segala isi di dalam beg tangannya itu walaupun bukannya ada apa-apa pun kat dalam beg tangan dia yang berjenama ‘Pasar Malam’ itu. Budak ni saje je nak bikin suspens tau! Padahal purse pun dia tak ada. Dari dulu lagi dia memang lebih selesa simpan duit dalam poket. Barang-barang mekap pun dia tak ada. Bukannya dia tak suka, cuma muka natural beauty ni memang tak payah mekap tebal-tebal sangat. Cukuplah guna foundation. Perasan lagi!
            Foundation dan juga BB cream dari dalam beg terus dibawa sekali hingga ke dalam bilik air. Rasa macam tak sanggup nak tengok mukanya sendiri kat cermin. Inilah jadinya setiap kali mengalami tekanan melampau. Habis muka yang bersih licin pun boleh naik jerawat. Nasib baiklah jerawat kecil-kecil aje. Tapi secara automatik, bila jerawat dah naik, minyak pada muka pun naik sekali. Dahsyat sungguh penangan ‘saka shopping’ ni. Kalau tak ‘dirawat’, macam ni lah jadinya.
            Sambil tangannya memicit botol foundation jenama MAC yang dibelinya dari uptown itu, sambil itu jugalah dia membebel sehinggalah mukanya siap disapukan dengan rata. Tersenyum-senyum dia melihat hasilnya.
            Tiba-tiba pergerakannya terhenti. Akalnya terfikirkan sesuatu. Satu idea untuk melaksanakan juga projek mega seumur hidupnya iaitu untuk mengajak Azfahan keluar membeli-belah, no matter what! Sekaligus melumpuhkan terus ‘saka shopping’ jahat yang sedang bertenggek di dalam badannya.
            Lantas, sekembalinya ‘Sherry’ mendapatkan Azfahan di rumah sebelah, dengan secermat yang mungkin, dia mula meratakan krim yang berwarna coklat cair yang sudah dipicit ke hujung jari telunjuknya. Kemudian, perlahan-lahan dia sapukan pada kelopak mata Azfahan yang lebam itu sebelum diratakan pula dengan compact powder.
            Begitu berhati-hati sekali sewaktu dia meratakan solekannya supaya dapat menutup kesan lebam yang sudah susut dan tidak sebesar mana itu dengan baik. Tidak sampai dua minit, dia berjaya melakukannya dengan sempurna sekali tanpa Azfahan bergerak mahupun merengus walau sedikit pun.
            Elok saja Azfahan tidur. ‘Sherry’ pula tersenyum-senyum melihat kesan lebam yang sudah berjaya ditutup dan disembunyikan sepenuhnya dengan hanya menggunakan foundation dan juga Compact Powder. 
            Bijaknya aku!


           

            “HOI, bangunlah!” ‘Sherry’ mengejutkan Azfahan dengan suara yang nyaring lebih sikit aje daripada suara Jaclyn Victor. Betul-betul di tepi telinga lelaki itu. Malangnya, kuasa vokalnya belum cukup mantap untuk menggerakkan anggota badan Azfahan yang sedang nyenyak tidur itu secara semulajadi.
            Dia cuba cara lain pula.
            “Masya-ALLAH.... Banyaknya air liur basi. Air liur yang belum basi pun sama banyak jugak. Sampai tersembur ke dahi pulak tu!”
            Walaupun dia sendiri sedar ada unsur-unsur tak logik dalam ayat yang dia keluarkan tu, dia peduli apa! Yang dia tahu, Azfahan kena bangun sekarang jugak!
            Seperti yang dijangka, Azfahan bangun dengan gelabahnya dan terus berlari selajunya untuk mendapatkan kepingan-kepingan cermin perhiasan yang banyak terlekat pada dinding rumahnya.
            ‘Sherry’ pula diam memerhati sambil menahan perut yang rasa macam digeletek walaupun awal-awal lagi dia sudah mengagak yang Azfahan akan bertindak secara refleks begitu. Iyalah, lelaki yang 24 jam control macho macam Azfahan ni mesti tak sanggup kalau ada sesiapa yang tegur muka dia penuh dengan air liur basi. Sebab itulah muka dia walau baru bangun tidur pun tetap nampak macam baru lepas mandi. Smart betullah mamat sorang ni. Bertuah kau Sazzy!
            “Tak ada pun!” Azfahan menoleh dan memandang ‘Sherry’ seolah-olah ‘Sherry’ adalah seketul ayam goreng KFC yang baru siap digoreng. Masam aje mukanya!
            “Tadi ada. Kau lari laju sangat, dah kering lah agaknya air liur yang bersembur sampai ke dahi kau tu tadi.”
            ‘Logik ke kalau aku tipu dengan cakap macam tu? Logiklah jugak! Sebab bila lari laju-laju mesti angin yang datang dari arah bertentangan pun akan jadi semakin laju. Maka, secara logiknya angin tersebut akan mengeringkan air liur tu!
            ‘Wah... tak sangkanya! Walaupun aku gagal subjek Sains masa SPM dulu,  aku tetap mampu cipta teori aku sendiri!’ Sempat lagi ‘Sherry’ bersorak di dalam hati.
            “Cuba kalau aku ludah kat muka kau, lepas tu kau lari macam mana aku lari tadi. Agak-agaknya boleh kering tak ludah kat muka kau tu nanti?”
            Cukup sarkastik sekali Azfahan membalas teori kurang bijak yang ‘Sherry’ gunakan tadi. ‘Sherry’ pula apa lagi. Tersengih ajelah yang dia tahu. Kalau ikutkan dia yang suka menjawab tu, memang dia nak kupas topik air liur basi itu tadi biar berjela-jela. Dia sendiri nak tahu kenapa hanya air liur saja yang boleh basi tetapi kenapa tidak kahak ataupun selsema?
            Cuma memandangkan waktu yang sudah suntuk, dia beralah sajalah. Tak luak pun!
            “Dah tak ada kerja sangat agaknya kau ni sampai boeh kacau aku tidur. Kalau dah bosan sangat, nanti aku belikan kau anak patung Barbie ya. Mainlah kau puas-puas!”
            Azfahan berleter lagi.
            Ceh, ada ke nak bagi aku main anak patung pulak. Playstation pun aku tak layan! Sesungguhnya, aku ini seorang gadis yang cepat matang berbanding perempuan-perempuan lain. Buktinya, waktu aku umur 6 tahun lagi aku dah main ‘kahwin-kahwin’ walaupun kawan-kawan sebaya aku semuanya main masak-masak aje. Jadi bukankah itu sudah cukup untuk membuktikan yang dari kecil lagi aku sudah matang dan sudahpun bersedia untuk menempuhi alam yang bernama perkahwinan?
            Tapi taknaklah jawab macam tu, nanti sah-sah dia ingat aku ni jenis perempuan gatal pulak! Dia kan memang selalu intai peluang untuk jatuhkan aku aje!
            “Eh, takkanlah nak sambung tidur balik?” ‘Sherry’ lihat Azfahan kembali mengambil tempatnya tadi dan sudah pun memejamkan matanya. Soalannya tadi tidak dijawab dan langsung tidak diendahkan.
            “Pasal tadi tu, takkan nak marah kot. Tak rock lah bro. Aku cuma nak kau tengok sama ada kau perasan tak apa-apa perubahan kat mana-mana bahagian muka kau tu.”       ‘Sherry’ sudah tersengih-sengih. Lebih-lebih lagi bila Azfahan kembali membuka matanya semula. Ada beberapa kerutan pada dahinya.
            “Macam perasan. Tapi tak sure lah pulak perubahan apa yang kau maksudkan tu.” Sekali lagi Azfahan bangun untuk mendapatkan cermin. Tapi kali ini tidaklah berkobar-kobar seperti tadi.
            “Wehooo... Dah surut pun lebam kat mata aku. Bolehlah aku turun swimming dekat pool. Sempat lagi ni. Baru pukul 10. Sempatlah juga nak tayang body ni dekat awek-awek cun kat bawah tu.”
            Berubah terus moodnya apabila dapat tahu lebam pada bahagian atas matanya sudah sembuh sepenuhnya.
            ‘Sherry’ memandang saja dengan mata yang mengecil. Ada dua benda yang membuatkan dia bertindak secara semulajadi begitu. Yang pertama, dia berasa tersangatlah bengang apabila Azfahan seperti buat-buat lupa sahaja pada janjinya. Yang kedua, dia berasa tersangatlah menjengkelkan dengan perangai Azfahan yang suka show off tu. 
            ‘Sherry’ memerhati saja Azfahan melangkah masuk ke dalam biliknya. Tidak pula dia menghalang. Beberapa minit kemudian, dia lihat Azfahan sudah pun menukar pakaian kepada singlet ketat berwarna putih dan seluar pendek berwarna hitam melepasi lutut yang menonjolkan lagi tubuhnya yang tinggi sasa itu.
            Daripada situ, tahulah ‘Sherry’ yang Azfahan bersiap untuk mandi di kolam renang. Bila nak masuk kolam nanti, seperti biasa tentu lelaki itu akan menanggalkan singletnya dan juga juga seluarnya. Azfahan hanya akan berseluar tight yang mana akan membuatkan gadis-gadis di situ berbisik-bisik memujinya tetapi tidaklah dia yang cukup jelek melihat lelaki itu dalam keadaan begitu. Poyo!
            Jadi aku nak buat apa sekarang ni ya? Nak halang dia atau nak biarkan aje? Ahhh... Biarlah dia mandi dulu. Lepas dia siap mandi nanti, aku ajaklah dia pergi ke butik Rizman tu.
            Azfahan pula hanya berpesan kepadanya supaya mengunci pintu rumah sahaja. Selepas itu, lelaki itu terus meninggalkan dia sendirian di dalam kondominum yang teramatlah luas itu.
            Selepas beberapa minit barulah ‘Sherry’ teringatkan sesuatu. Sesuatu yang tersangatlah penting! Ya ALLAH cuainya aku!
            Sepatutnya mana boleh aku lepaskan dia mandi. Habislah cair make-up yang aku sapu dekat mata dia tadi bila kena air. Kantoilah nanti! Alahai kenapalah bodoh sangat aku ni...