33
MEREKA baru saja selesai makan.
Nampaknya ‘Sherry’ betul-betul mengambil apa yang berlaku sewaktu dia makan di
hotel terkemuka dulu sebagai satu pengajaran. Kali ini, dia menghabiskan
satu-satu makanan terlebih dahulu sebelum melakukan ‘pusingan’ yang ke
seterusnya. Dia tidak lagi melambakkan segala macam jenis makanan ke dalam satu
pinggan pada satu-satu masa.
Lega jugalah Azfahan melihatnya memandangkan kali ini ‘Sherry’ kelihatan
lebih tertib dan berhati-hati berbanding sebelum ini.
“Kenapa kau tak masukkan rantai tu dalam handbag?” tegur Azfahan selepas beberapa minit mereka berbual-bual
kosong. Dia merujuk pada kotak emas yang mengandungi rantai mutiara yang hanya
diletakkan ‘Sherry’ di atas meja makan.
“Errrr...Urmmm... Dah penuh.”
“Dah penuh? Beg sebesar-besar alam tu? Apa yang kau sumbat kat dalam tu?”
Dipandangnya ‘Sherry’ dengan dahi yang berkerut-kerut tidak percaya. Makin
gelisah ‘Sherry’ dibuatnya.
Ni mesti ada apa-apa ni. Takkanlah beg tangan yang besar tu boleh penuh
pulak? Azfahan mula berasa sangsi.
“Tak ada apa-apa lah. Hurmmm...
Rancangan kita ni macam mana? Kejap lagi lepas aku kena halau dengan mak kau, boleh
tak kau tolong hantar aku ke perhentian bas?”
Azfahan langsung tidak sedar taktik ‘Sherry’ yang bertindak pantas menukar
topik perbualan memandangkan topik baru yang akan dibincangkan itu nanti
sebenarnya membuatkan dia berasa tidak tenteram. Entahlah... dia semacam tak
bersedia untuk melihat ‘Sherry’ pergi sekaligus hilang dari pandangannya. Tapi
kenapa dia harus berasa begitu sampaikan hatinya terasa berat pula untuk
melepaskan ‘Sherry’ pergi? Apa yang ‘Sherry’ ada sampai dia perlu berasa risau
begitu?
Cepat-cepat Azfahan mengendahkan perasaan aneh yang sedang bersarang di
dalam hatinya ketika ini dengan beranggapan hubungannya yang agak rapat dengan ‘Sherry’
sejak akhir-akhir ini mungkin menjadi penyebab kenapa dia berasa berat hati
untuk melepaskan gadis itu pergi. Lagipun, dia sudah lama tidak berjumpa dengan
Sazzy kekasih hatinya. Berkepit 24 jam saja dengan ‘Sherry’ demi menjayakan
‘rancangan’ mereka. Jadi mungkin sebab itulah dia berasa kekok, tidak biasa dan
seperti belum bersedia untuk melepaskan ‘Sherry’ pergi.
“Biar aku hantar sampai ke kampung kau lah. Boleh aku berkenalan dengan
keluarga kau sekali. Ayah kau ada kat rumah?”
Sebenarnya, Azfahan sendiri pelik dengan soalan yang dia ajukan itu. Selama
ini, dia tidak pernah mahu mengambil tahu tentang gadis di hadapannya ini. Tapi
kenapa sekarang dia boleh terlintas untuk berkenalan dengan keluarga ‘Sherry’
pula? Ya ALLAH, apa dah jadi dengan aku ni?
‘Sherry’ sendiri pelik mendengarnya.
“Tak payah nak buat-buat caring
lah! Tumpangkan aku sampai kat perhentian bas aje. Kat sana nanti aku boleh
ambil teksi. Taknaklah aku menyusahkan kau. Kau pun lepas hantar aku boleh terus
balik ke kondo kau.”
Entah mengapa, hati Azfahan yang tidak berperasaan itu boleh terasa sayu dan
hiba mendengarnya.
Namun, dalam pada itu sempat lagi dia membayangkan dan berfikir bagaimanalah
agaknya keadaan dirinya nanti apabila dia pulang semula ke kondonya? Apa saja
yang boleh dibuatnya di sana? Paling-paling pun dia akan hanya menonton
televisyen, tak pun dia akan menjemput Sazzy dan mereka akan sama-sama keluar
ke mana saja yang terlintas di fikiran mereka. Boringnya!
Kenapa boring pulak? Sewaktu dengan ‘Sherry’ pun, aku bukan ada buat
apa-apa yang menarik pun dengan dia. Tapi kenapa aku rasa happy sangat dalam tempoh itu? Aku rasa kehidupan aku teratur dan
sangat lengkap.
Bangun seawal pagi, hidangan sudah tersedia di atas meja. Begitu juga dengan
makan petang dan juga makan malam malah adakalanya ‘Sherry’ turut akan
menyediakan hidangan ringan untuk dinikmati sewaktu dia sedang bersantai-santai.
Semuanya ‘Sherry’ yang sediakan. Ketika itu, dia terasa sangat dekat dengan
keluarganya sendiri, dengan ibunya sendiri yang rajin memasak setiap kali dia
pulang ke vila.
Dia akui, sepanjang matanya lebam dulu, dia pernah cakap dia tidak mahu
keluar rumah kononnya malu dengan matanya yang lebam. Hakikatnya dia tidaklah
kisah sangat walaupun dia seorang lelaki yang mementingkan penampilan dan
cakap-cakap orang sekeliling. Cuma ketika itu dia rasa lebih seronok dapat
berdua-duaan di dalam kondo dengan ‘Sherry’ yang bermacam karenah itu. ‘Sherry’
yang mudah membuatkan dia ketawa. ‘Sherry’ yang kelakar dan lucu dengan gayanya
yang tersendiri. Dan ‘Sherry’ yang begitu mengambil berat tentang keadaan
dirinya meskipun dia melayan gadis itu dengan layanan yang tidak sepatutnya.
Namun, ‘Sherry’ tidak pernah berdendam ataupun bertindak mengasarinya semula.
“Macam mana? Boleh ke tak ni tolong hantarkan aku dekat perhentian bas?” ‘Sherry’
yang sedang meneguk air belimbing, mengulang permintaannya sekali lagi. Caranya
seperti mendesak.
Berang pula Azfahan mendengar permintaan itu. Awalnya, dia cuba menahan
rasa marah dengan menggenggam gelas kaca di tangannya dengan sekuat hati. Namun
apabila sekali lagi ‘Sherry’ mengulangi permintaannya, semakin kuat pula dia
menggenggam gelas tersebut. Tidak mustahil kalau dibiarkan berterusan, gelas
tersebut akan retak dan mencederakan tangannya sendiri.
‘Sherry’ pula masih berterusan mengasaknya dengan permintaan yang sama.
Semakin tertekan Azfahan jadinya.
“Kan aku dah cakap, biar aku sendiri yang hantar kau sampai ke kampung!
Yang kau sibuk-sibuk nak balik naik bas tu buat apa? Atau sebenarnya kau ada
berjanji nak balik sama-sama dengan lelaki lain?” Azfahan yang sudah tidak tertanggung
rasa bengangnya melenting dengan tiba-tiba. Mukanya merah menahan marah
seolah-olah ‘Sherry’ telah mengeluarkan perkataan yang sangat menyakitkan hatinya.
Hakikatnya dia cemburu.
Orang di sekeliling sudah menjeling-jeling ke arah mereka dengan pandangan
pelik.
Namun, Azfahan langsung tidak hiraukan keadaan yang agak tidak terkawal
itu. Lekas-lekas dia beristighfar. Dia sedar yang dia terlalu ikutkan perasaan.
Hakikatnya, dia sebenarnya takut pada sebuah kehilangan. Namun dia malu untuk
mengakui yang dia takut untuk kehilangan gadis yang di hadapannya ini. Dan dia
cukup marah apabila ‘Sherry’ seperti tidak berasa apa-apa sahaja dengan
perpisahan yang bakal dilalui mereka. Gadis itu kelihatan tenang sekali
sedangkan dia pula begitu gelisah untuk menghadapi saat-saat mereka berpisah
nanti.
Entah kenapa dia boleh berfikiran kononnya ‘Sherry’ sudah tidak sabar-sabar
lagi untuk menamatkan permainan ini sekaligus memutuskan terus hubungan mereka.
Agaknya, mungkin sebab itu ‘Sherry’ beriya-iya menolak dan seperti mengelak
untuk ditumpangkan sedangkan dia sendiri dengan besar hati mempelawa untuk
menghantar gadis itu sehingga ke kampung.
Direnungnya wajah ‘Sherry’ yang takut-takut itu dengan perasaan bersalah. Sambil
beristighfar, Azfahan menekup mukanya dengan kedua belah tangan.
‘Maafkan aku. Maafkan aku... Aku cuma tak nak apa-apa yang buruk menimpa
diri kau. Aku sayangkan kau... Err.. Tak!
Maksud aku, aku sayang kau sebagai kawan baik aku sebab kau dah banyak tolong
aku. Kau dah banyak berkorban supaya mak aku tak paksa aku kahwin dengan kau.
Kau dah tolong aku untuk bersatu dengan Sazzy, perempuan yang paling aku
sayang. Jadi sekarang, biarlah aku pula yang tolong kau. Setakat hantar kau
balik semula ke kampung, apalah sangat...’
Sebenarnya, itulah yang ingin diluahkannya tapi sayangnya semua itu hanya
terluah di dalam hatinya sahaja. Dia benar-benar tidak mampu untuk
melakukannya.
Bukannya dia tidak perasan yang ‘Sherry’ sendiri sedang pelik melihat
keadaannya yang serba tidak kena itu. Lantas, dia cepat-cepat bangun dan
berjalan dengan pantas menuju ke tandas hotel. Mungkin di sana dia dapat
menenangkan sedikit perasaannya yang sedang hebat bercelaru ketika ini.
Sekembalinya Azfahan ke dewan makan, dia lihat ‘Sherry’ sudah tiada di
tempat duduknya tadi. Merajukkah dia?
Melilau-lilau matanya mencari tubuh kecil ‘Sherry’ di dalam dewan makan
yang luas dan penuh dengan meja-meja makan berbentuk bulat yang dikelilingi
dengan sepuluh biji kerusi bagi setiap meja itu. Terasa berpinar-pinar pula
matanya sewaktu cuba mencari ‘Sherry’ yang kecil dan rendah di dalam tempat
yang luas dan agak sesak begitu.
Namun, dia masih mencuba. Kali ini dia cuba mencari ‘Sherry’ di bahagian
makanan pula. Mujurlah ‘Sherry’ ada di situ. Cuma yang tidak enaknya, dari jauh
dia dapat lihat keadaan di situ agak tegang sedikit seperti sedang berlaku
perbalahan. Lalu, dia pun lekas-lekas melangkah untuk mendapatkan ‘Sherry’ yang
kelihatan seperti sedang bertelagah dengan pekerja hotel tersebut.
“Apa yang kecoh sangat ni?” Terus dia menegur dengan suara yang keras. Dia
memandang tepat ke muka lelaki yang berkot biru gelap yang sedang berhadapan
dengan ‘Sherry’. Di belakang lelaki tersebut dikelilingi oleh beberapa pekerja
hotel yang lain. Daripada caranya berpakaian, mungkin lelaki yang berkot biru
gelap ini adalah pengurus di bahagian ini.
“Maafkan saya, tuan. Saya cuma menegur sikap cik ni,” jawab lelaki tadi
dengan seetika yang boleh.
“Apa yang dia dah buat?” Azfahan beralih pula memandang Sherry yang
kelihatan masam dan bengang saja reaksi mukanya.
“Dia cuba nak bawa balik makanan-makanan kat sini.”
“Memanglah. Nama pun buffet.
Bukan ke saya boleh makan seberapa banyak yang saya suka? Jadi apa salahnya
kalau saya nak bawa balik makanan-makanan tu sekalipun? Sama aje kan? Lagipun,
bukan banyak mana pun saya ambil. Saya ingat lagi lah kat orang belakang.
Macamlah saya tak reti nak fikir semua tu!”
‘Sherry’ kelihatan marah sungguh ketika ini, dan bersungguh-sungguh juga
dia membela dirinya. Baginya, dia tidak bersalah dalam hal ini.
Azfahan yang melihat perbalahan itu hanya mampu menggelengkan kepala.
Sebenar-benarnya, dia sedang menahan marah yang teramat sangat ketika ini.
Namun sebagai orang yang dikenali, dia mengingatkan dirinya sendiri supaya
tidak melakukan perkara yang bakal merosakkan nama baik dan reputasinya
sendiri.
“Berapa banyak makanan yang dia ambil?” soal Azfahan pada lelaki tadi
dengan suara perlahan hampir berbisik.
“Semuanya dah dimasukkan kat dalam mangkuk tingkat yang dia bawa, tuan.”
Terkejut Azfahan mendengarnya. Mangkuk tingkat? Mangkuk tingkat siapa
pulak?
Matanya bergerak-gerak dan barulah dia perasan mangkuk tingkat yang ada
pada tangan kanan ‘Sherry’.
“Kat mana kau curi mangkuk tingkat tu?” Azfahan terpaksa berbisik dekat
tepi telinga ‘Sherry’. Mukanya meruap menjadi merah padam ketika ini.
“Eh, tak mainlah curi-curi ni. Aku bawa mangkuk tingkat ni dari rumah lagi
tau semata-mata nak tapau makanan kat sini. Tapi tak sangka pulak boleh jadi
macam ni!”
Oh my god... Mendengarkan jawapan
polos itu, Azfahan spontan memejam matanya rapat-rapat dengan bibir yang
terkemam erat.
Malunya dia.... Ingatkan bila dia berbisik, ‘Sherry’ pun akan berbisik
juga. Tapi tidak. Bukan main kuat lagi suara ‘Sherry’ semata-mata nak membela
dirinya sendiri daripada dituduh sebagai pencuri. Bawa mangkuk tingkat sendiri
pun nak bangga. Otak dia bebal macam mangkuk tingkat yang dah berkarat tak nak
pulak dia bangga!
Dengan muka yang semakin merah
menanggung malu, Azfahan lekas-lekas mengeluarkan dompetnya. Sepuluh keping not
RM50 dikeluarkan sebelum dia mengambil tangan lelaki berkot biru tadi, lalu dia
memasukkan sejumlah wang tadi ke dalam genggaman lelaki tersebut.
“On her behalf, saya minta maaf
sangat-sangat dengan apa yang berlaku. Duit ni sebagai ganti rugi and I hope the amount is more than enough
dengan makanan yang dia ambil tadi. If
anything just call my assistant okay. And
one more thing, I nak benda ni habis kat sini saja! I tak nak semua ni jadi
isu!”
Dengan senyuman sekadar senyuman, Azfahan terus merentap lengan ‘Sherry’
supaya cepat mereka beredar dari situ. Giginya digetap rapat, tetapi tiada
siapa dapat melihat.
“Kenapa kau baik hati sangat hah dengan diorang?
Bukannya kita yang bersalah pun. Lagi baik kau bagi duit tu dekat aku. Dapat
jugak aku shopping!” marah ‘Sherry’
sambil cuba melepaskan tangan Azfahan yang masih kuat menggenggam lengannya.
Sebaik tangan ‘Sherry’ dilepaskannya dengan kasar, Azfahan terus merampas mangkuk
tingkat di tangan ‘Sherry’ dan tanpa berfikir panjang, mangkuk tingkat itu
terus dihempaskan sekuat hatinya ke tengah-tengah jalan. Memang dah tak boleh
nak fikir apa-apa. Segala perlakuannya ketika ini hanya mengikut nafsu marahnya
semata-mata.
Ketika ini, mereka sudah pun berada di luar hotel. ‘Sherry’ kelihatan
terkejut sehingga pucat mukanya memandangkan dia belum bersedia dengan
perubahan Azfahan yang berubah secara mendadak itu.
Kakinya terasa lemah untuk bergerak. Hanya matanya sahaja yang bergerak
memerhatikan mangkuk tingkat yang dicampak dengan kuat oleh Azfahan tadi, bergelok-golek
di atas jalan raya. Setiap mangkuk sudah pun bercerai antara satu dengan yang
lain, dan segala isi yang ada di dalamnya terkeluar tanpa sempat ‘Sherry’
menyelamatkannya. Dia hanya mampu memandangnya dengan mata yang bergenang.
“Kenapa kau campak mangkuk tingkat tu? Ya ALLAH, kau sedar tak apa yang kau
buat ni? Kau tahu tak? Kau tahu tak? Itu... Itu mangkuk tingkat kesayangan
arwah...”
“Kau memang sengaja nak kasi malu aku kan?” tempelak Azfahan sebelum sempat
‘Sherry’ menghabiskan ayatnya. ‘Sherry’ nampak gugup. Menggeletar seluruh
anggota badannya.
Sebenarnya dia ingin memberitahu bahawa mangkuk tingkat yang dicampakkan Azfahan
itu adalah mangkuk tingkat yang selalu digunakan oleh arwah ibunya. Mangkuk
tingkat yang selalu arwah gunakan setiap kali arwah hantarkan bekal pada ayah
yang menoreh di ladang getah. Arwah memang seorang yang romantis. Boleh
dikatakan setiap hari arwah akan menemani ayah makan bersama-sama di ladang
getah sebelum ayah menyambung semula kerja-kerjanya.
Mangkuk tingkat yang sama itu juga arwah pernah gunakan untuk menghantar
bekal kepadanya dan juga kakaknya semasa waktu rehat sewaktu mereka sama-sama
menuntut di sekolah rendah. Arwah seorang ibu yang sangat penyayang. Arwah
tidak kisah untuk menemani dia dan kakaknya makan bersama-sama di bawah pokok di
tepi padang sekolah. Setiap hari Isnin hinggalah Jumaat, arwah akan mengayuh
basikal buruknya ke sekolah yang jaraknya memakan masa tiga puluh minit juga
untuk sampai. Namun, arwah tidak pernah merungut. Walaupun dia dan kakaknya
menegah, esoknya arwah tetap akan datang seperti biasa.
Sehinggalah sewaktu arwah terlantar dekat hospital, dia dan kakaknya pula
yang bergilir-gilir menggunakan mangkuk tingkat itu untuk menyediakan
bermacam-macam jenis masakan untuk dibawa pada arwah setiap kali mereka melawat
arwah di hospital memandangkan arwah telah hilang selera makan.
Jadi, dengan mangkuk tingkat itulah mereka cuba bawa macam-macam jenis
masakan untuk membuka selera arwah. Pada awalnya mereka gagal. Berminggu-minggu
arwah tidak mengusik makanan yang dibawa. Tapi hari-hari terakhir arwah sebelum
dijemput kematian, mereka akhirnya berjaya dan sempat melihat arwah
bersungguh-sungguh menghabiskan makanan yang dibawa sebelum arwah menghembuskan
nafas terakhirnya.
Tapi sekarang, mangkuk itu sudah retak, dan tiga daripadanya pula sudah
terbelah dua sedangkan itu saja kenangan arwah ibu yang masih ada padanya.
Ya ALLAH...
Dengan wajah yang basah lencun dengan air mata, ‘Sherry’ berlari untuk
mendapatkan mangkuk tingkat yang sudah pecah berderai itu walaupun ketika itu
jalan raya sedang sesak dengan kenderaan yang bertali-arus. Dia bagaikan
terlupa untuk memikirkan tentang kesalamatan diri. Jeritan Azfahan tidak diendahkan
langsung. Yang dia fikir sekarang ini, dia hanya mahu menyelamatkan mangkuk
tingkat kepunyaan arwah ibunya. Tak kiralah walaupun keadaannya sudah tidak
menyerupai bentuk asal. Dia tetap ingin menyimpannya dan berjanji akan
menjaganya dengan baik dan dia tidak akan cuai lagi untuk kesekian kalinya.
Sesungguhnya dia terasa sangat bersalah kerana tidak menjaga harta yang paling
berharga itu dengan baik.
Namun, sewaktu dia ingin mengutip serpihan mangkuk tingkat tersebut,
kebetulan waktu itu lampu isyarat sudah pun bertukar kepada warna hijau. Apa
lagi, keadaan jalan kembali sesak.
Namun, dia seperti berada di dalam dunia ciptaannya sendiri. Dia langsung
tidak fikirkan keadaan di sekelilingnya, dia seperti berkhayal seorang diri di
situ. Dengan air mata yang berjuraian, dia terus bertenggek di tengah-tengah
jalan dan cuba mengutip serpihan mangkuk tingkat yang telah pecah dengan tangan
yang menggigil-gigil menahan rasa sebak.
Bunyi hon yang berdentum nyaring membingitkan telinganya juga tidak berjaya
mengalihkan tumpuannya daripada memandang mangkuk tingkat yang telah berkecai
di atas jalan raya itu. Dia langsung tidak berbuat apa-apa untuk menyelamatkan
dirinya sedangkan ketika itu, sebuah lori sudah begitu hampir dan bila-bila
masa sahaja bakal menggilis tubuh kecilnya itu sehingga remuk hingga ke
tulang-belulang.
Mujurlah Azfahan berani mengambil risiko. Dengan cekap dan pantas, dia
bertindak dengan mendukung tubuh ‘Sherry’ dan berlari semula ke tepi jalan.
‘Sherry’ yang hilang kawalan menjerit bagai orang yang terkena histeria
sewaktu dia melihat mangkuk tingkat yang sudah sedia berkecai itu dilenyek pula
dengan bermacam jenis kenderaan yang bertali arus di situ. Sampaikan serpihan
itu semakin lama semakin mengecil dan dia sendiri sudah tidak dapat melihatnya
lagi...
DI dalam kereta, Azfahan
masih tidak henti-henti memarahi ‘Sherry’. Dia kelihatan lebih bengis daripada
kejadian sewaktu dirinya dimalukan oleh perbuatan ‘Sherry’ di dalam dewan makan
hotel tadi.
Kali ini, dia pula yang seperti tidak memikirkan keselamatan diri. Cara dia
memandu kereta dengan memecut selaju itu, benar-benar menakutkan. Beberapa kali
dia terpaksa membrek kereta setiap kali kereta yang dipandu laju itu hampir
menghimpit kenderaan di hadapan. Walaupun pemandu-pemandu lain telah memberikan
amaran melalui bunyi hon, Azfahan nampaknya masih tetap berdegil. Dia kelihatan
terlalu marah ketika ini. ‘Sherry’ yang duduk di belakang dipandang sesekali
menerusi cermin pandang belakang.
“Aku betul-betul tak fahamlah dengan kau ni. Hanya disebabkan mangkuk
tingkat buruk tu kau sampaikan sanggup bahayakan nyawa kau sendiri. Aku tahulah
kau ni manusia yang langsung tak ada apa-apa, manusia yang tak ada masa depan!
Tapi sekurang-kurangnya, hargailah nyawa kau tu sikit! Itu aje pun yang kau ada
dalam hidup kau kan?”
Penghinaan demi penghinaan dilemparkan. Namun sedari tadi, ‘Sherry’ tetap
diam tidak membalas. Dia kelihatan seperti patung cendana yang tidak punya perasaan,
membisu sahaja di tempat duduk belakang. Pandangannya terpaku ke luar tingkap
tetapi dia sendiri tidak tahu apa yang sedang dipandangnya. Dia seperti tidak
nampak apa-apa langsung. Pipinya masih belum kering dengan air mata dan dia
tidak pula menyekanya.
Bengang dengan kebisuan itu, Azfahan terus membrek keretanya secara
mendadak. Tayar yang terseret dengan jalan tar meletuskan bunyi yang sangat
menyakitkan telinga. ‘Sherry’ yang tidak mengenakan tali pinggang keledar
terdorong ke hadapan dengan kepalanya terhantuk pada seat pemandu. Namun, dia langsung tidak mengaduh sakit. Dia
langsung tidak terkejut dengan keadaan itu. Sebaliknya, dia berkeadaan semula
seperti tadi. Mematung dan membisu dengan pandangan yang lari jauh ke luar
tingkap.
Berkenaan soal mangkuk tingkat tadi, bila difikirkan Azfahan memang cukup
bengang dengan sikap ‘Sherry’ yang terlalu lurus itu.
Takkanlah dia boleh terfikir untuk bawa mangkuk tingkat walaupun mereka
makan secara buffet dan boleh
mengambil sebanyak mana makanan sesuka hati? ‘Sherry’ seharusnya berfikir
secara rasional, bukannya mengikut pemahamannya sendiri!
“Kenapa diam? Cakaplah! Atau kau tak sedar yang kau dah malukan aku?
Macamlah aku ni miskin sangat kan sampai perlu biarkan kau ambil makanan sesuka
hati kau macam peminta sedekah! Kalau kau nak makan apa-apa, sepatutnya kau
cakap aje kat aku ni! Aku boleh beli lah dekat restoran lain. Apa kau ingat aku
tak mampu?”
Sedari tadi lagi Azfahan memang tidak mahu berlembut langsung dengan ‘Sherry’.
‘Sherry’ ditengking dan dijerkahnya sesuka hati. Sudah hilang rasa simpatinya
terhadap gadis itu sebaliknya hatinya bertambah panas melihat kebisuan ‘Sherry’.
‘Sherry’ membisu lagi sementara Azfahan pula menggeleng kesal. Sesekali dia
menghentak stereng kereta dengan kedua belah tangan. Dengusannya jelas
menunjukkan yang dia masih marah.
Azfahan kembali memandang cermin pandang belakang.
“Kenapalah tak pernah sekali pun aku tengok kau gunakan otak kau tu?
Kadang-kadang aku sampai jadi pelik, dan aku terfikir macam manalah agaknya
cara mak bapak kau ajar kau? Aku tak rasa ada anak-anak orang lain yang sebodoh
kau! Dan aku juga sampai pernah terfikir, tak menyesal ke mak bapak kau ada
anak macam kau yang langsung tak pandai nak jaga maruah dan air mukanya
sendiri, apatah lagi maruah orang lain!”
“Aku bukan merujuk pada apa yang berlaku kat hotel tadi saja, tapi apa yang
kau pernah buat sebelum-sebelum ni juga! Kau tak malu ke hah dengan diri kau
sendiri? Kau tak malu ke dengan semua benda bodoh yang kau pernah buat dalam
hidup kau selama ni? Kalau kau rasa diri kau tu dah tak ada maruah, aku
cadangkan kau lacurkan sajalah badan kau tu. Itu lagi baik lah daripada kau
menyusahkan hidup orang lain. Menyusahkan hidup aku!
“.... Dan malukan aku! Kau sedar tak yang kau dah rosakkan reputasi aku?
Semua orang yang ada kat dalam hotel tadi ingat aku sengaja usung budak kampung
macam kau semata-mata nak suruh kau curi makanan-makanan yang ada kat situ.
Seolah-olah aku ni dah tak mampu dan dah terdesak sangat! Apatah lagi dengan
cerita yang keluar kat surat khabar baru-baru ini; Sazzy ada hubungan dengan
lelaki lain berpunca daripada syarikat aku yang didakwa kononnya telah bankrap
disebabkan hutang sampai berpuluh-puluh juta. Kononnya aku dah jatuh muflis.
Dan bila kau buat perangai tak bermaruah kau kat dalam hotel tadi, kau sedar
tak yang kau sebenarnya hanya memburukkan lagi keadaan dan perbuatan kau tadi
seolah-olah mengiyakan kononnya aku ni nak beli makanan pun dah tak mampu lagi
dah!”
Bertubi-tubi Azfahan menghamburkan rasa tidak puas hati, rasa marah
sekaligus penghinaan yang dia harap sangat dapat menghancurkan hati gadis itu.
Dia sudah tak dapat nak bertahan lagi dengan sikap dan kebodohan ‘Sherry’ yang
lurus itu!
‘Sherry’ pula ketika ini diam tidak menjawab walaupun dia terkejut teramat
sangat dengan segala yang keluar dari mulut Azfahan sehinggakan nafasnya terasa
semput dengan penghinaan yang maha menyakitkan itu. Terasa berderau seluruh
darah yang mengalir dalam badannya. Tubuhnya pula menggigil seram sejuk lewat
penghinaan yang baginya terlalu melampau itu.
Ya, memang tadi dia berkhayal dan dia langsung tidak dengar apa-apa
walaupun dia tahu Azfahan sedang memaki-hamun dirinya kerana waktu itu dia
langsung tidak kisah bila dirinya dihina. Walau Azfahan masih berterusan mahu
menghina dirinya sampai bila-bila sekalipun dia takkan menghalang. Tapi, jangan
sesekali hina kedua ibu bapanya. Lebih-lebih lagi ibunya yang sudah tiada.
Basah lagi pipinya. Namun, untuk
mengangkat tangan mengelap kesan air matanya itu pun dia seperti sudah tidak
terdaya.
Kalau diikutkan hatinya yang terluka pedih itu, mahu sahaja dia meraung dan
menengking semula manusia yang telah sesuka hati menghina kedua ibu bapanya
itu. Mahu sahaja dia menampar mulut yang telah mengeluarkan kata-kata biadab
itu. Namun dia sedar, semua itu tidak akan mengembalikan dan menjernihkan
semula keadaan. Dia tidak mahu apabila dia membela kedua ibu bapanya nanti,
lebih teruk pula penghinaan yang terpaksa didengarnya. Jadi, biarlah dia
beralah asalkan hatinya mudah-mudahan tidak perlu untuk terus menadah keperitan
penghinaan yang Azfahan lemparkan.
Nafasnya ditarik dalam-dalam. Dengan harapan, semoga dia bersedia untuk
meluahkannya nanti. Namun sebelum itu, dia kelihatan bersungguh-sungguh berdoa
di dalam hati bagi merayu simpati daripada penciptanya.
‘Ya ALLAH.. Kau jagalah dan Kau lindungilah bibirku ini supaya aku tidak
mengeluarkan perkataan yang bakal menyakitkan hatinya. Kau sabarkanlah juga
hati dan emosi ini supaya aku tidak akan sesekali menyinggung perasaannya
sebagaimana apa yang dia lakukan padaku...’
‘Sherry’ terjeda buat seketika bagai mencari kekuatan untuk meluahkan rasa
hatinya.
“Aku minta maaf...” Itu ayat pertama yang keluar dari bibirnya. Itupun
dirasakan terlalu payah untuk dikeluarkan. Setelah beberapa minit dia mengumpul
kekuatan, kali ini dia bersuara dengan keadaan yang lebih tenang dan teratur.
“Aku tahu... aku tahu yang aku dah
banyak menyusahkan kau. Betul apa yang kau cakap tadi, aku memang bodoh. Tapi
aku merayu sangat-sangat. Tolonglah jangan sesekali libatkan kedua ibu bapa
aku. Lagi-lagi arwah ibu aku!”
“Kerana penghinaan kau tadi hanya
buat aku terfikir, berdosakah arwah kerana tidak pernah mengajar anaknya yang
bodoh ini, dan berdosa jugakah arwah kerana melahirkan seorang anak yang lurus
bendul ini? Aku berharap sangat-sangat arwah ibu aku tak terseksa hanya kerana
aku yang bodoh, aku yang lurus bendul ini telah banyak menyusahkan orang-orang
di sekeliling aku, termasuklah kau. Arwah ibu aku dah cuba berikan pelajaran
dan didikan agama yang secukupnya jadi kalau kau rasa aku ni seorang manusia
yang tak berguna, kau salahkanlah aku seorang saja, kau hinalah aku sepuas hati
kau. Tapi bukan kedua ibu bapa aku! Mereka langsung tak bersalah!” luahnya
dengan suara yang dikawal sehabis baik supaya dia kedengaran tenang
setenang-tenangnya meskipun ketika ini, rasa sebak di dalam hatinya terasa
hampir hendak memecahkan dadanya sendiri.
Biarlah Azfahan tidak mengetahui betapa hebatnya gelora perasaan yang
terpaksa ditanggung dan dihadapinya ketika ini. Dia tidak mahu dianggap sebagai
mengemis simpati daripada lelaki itu. Tidak!
“Pasal kejadian yang berlaku dekat hotel tadi tu pulak, aku akui yang aku
selalu bertindak ikut sesuka hati aku. Aku jarang memikirkan akibat daripada
segala tindakan yang aku buat.”
“Entahlah... aku sendiri tak sedar yang aku boleh bertindak sebodoh itu.
Mungkin sebab aku tahu yang malam ni aku akan keluar dari vila itu buat
selama-lamanya. Sebab itulah aku usung sekali mangkuk tingkat tu. Lagi-lagi
bila aku nampak ada mee sup dengan chicken
chop masa dekat dalam dewan makan tadi. Kedua-duanya makanan kegemaran auntie.
Aku fikir kalau aku bawa balik makanan-makanan tu, esok tentu auntie boleh
panaskan dan makan makanan tu semua memandangkan esok aku dah tak ada kat vila
tu lagi untuk masakkan makanan kegemaran auntie. Kebetulan lepas solat maghrib
tadi, auntie ada minta suruh aku buatkan mee sup untuk dia. Tapi aku rasa, masa
dah terlalu suntuk. Dah tak sempat...”
‘Sherry’ tersenyum dengan mata yang bergenang bila teringatkan Puan Sri
Zahlia yang sudah tidak lagi menjaga berat badannya.
‘Embun masak sedap sangat. Sampaikan auntie dah malas nak jaga badan ni
lagi. Lantaklah kalau gemok pun. Asalkan dapat makan puas-puas masakan Embun
yang sedap giler tu.’ Dan dia
tersenyum lagi mengingatkan perbualannya dengan wanita itu tempoh hari. Sebelum
senyuman itu mati sebaik dia teringatkan arwah ibunya.
Ketika ini, pandangannya masih ditalakan ke luar tingkap. Namun hakikatnya
tiada apa yang dapat dilihatnya memandangkan fikirannya sendiri melayang entah
ke mana.
Namun, bibirnya terus bergerak meluahkan rasa pedih di dalam hati.
“Lagi satu, pasal soalan kau sama ada arwah ibu aku menyesal atau tidak
kerana mempunyai anak macam aku ni, maafkan aku sebab aku sendiri tak boleh nak
jawab soalan tu. Teringin juga aku nak tahu. Tapi aku sendiri pun tak sempat
nak tanya sebab arwah ibu pergi terlalu cepat. Waktu arwah ibu aku tengah sakit
tenat pun aku tak sempat nak tanya soalan tu sebab untuk membuka mulutnya pun
arwah tak mampu. Jadi, aku hanya
mampu berharap, walaupun aku bukanlah seorang anak yang baik dan seorang anak
yang menyenangkan hati ibunya, cukuplah kalau aku mampu jadi anak yang tidak
pernah buat ibunya rasa menyesal kerana terpaksa menanggung segala rasa sakit
sewaktu mengandung dan melahirkan aku ke dunia ni. Itu juga doa aku setiap kali
selepas aku solat...”
Di situlah berakhirnya luahan hati ‘Sherry’. Namun dia masih tidak menangis
walaupun air mata yang bertakung meronta-ronta ingin jatuh menggores pipinya.
Ditahannya sehabis daya dan sesekali dia memejam matanya rapat-rapat agar air
mata yang bergenang itu terhapus dan habis di situ saja kerana dia tidak mahu
air matanya itu nanti menyebabkan Azfahan berasa lebih bersalah, dan sekali
lagi dia tidak mahu dirinya dianggap sebagai cuba mengemis simpati walau
daripada sesiapa jua sekalipun.
Hakikatnya, seawal tadi lagi Azfahan sudah dirasuk dan dihantui dengan rasa
bersalah yang terlalu mendalam. Bahkan berkali-kali dia cuba menekup telinganya
sendiri daripada mendengar segala yang keluar dari mulut ‘Sherry’ iaitu segala
yang menyakitkan hatinya sendiri.
Baru dia sedar yang dia terlalu membiarkan emosi mengawal diri sehingga dia
lupa yang dicemuhnya itu adalah insan yang mula mendapat tempat di dalam
hatinya sendiri.
‘Ya ALLAH, apa yang aku dah buat ni?’
Semuanya disebabkan bekas kekasihnya, Sazzy. Disebabkan terlalu marahkan
Sazzy yang baru-baru ini meminta untuk
memutuskan hubungan dengannya hanya kerana ingin mengejar usahawan terkenal
yang sebaya ayahnya, dia boleh bertukar menjadi segila ini. Sedangkan
sepatutnya sejak perbalahannya dengan Sazzy yang sudah berlaku beberapa kali
sebelum ini sudah cukup untuk menyedarkan dia supaya melepaskan saja perempuan
tidak berguna itu!