32
MALAM
itu, ‘Sherry’ terasa macam nak bergaya secara lebih ekslusif dan istimewa sedikit
berbanding sebelum ini. Seingatnya, pakaian yang paling cantik pernah
dikenakannya pun adalah sewaktu dia keluar makan malam dekat hotel mewah
bersama-sama dengan Azfahan beberapa minggu lepas. Itu pun tak berapa nak
cantik. Lagipun waktu itu dia memang tak kenakan sebrang solekan pun.
Kali ini, dia terasa macam nak rias
sedikit wajahnya yang sepatutnya sudah tidak perlu disolek itu. Maklumlah, nama
pun orang kampung. Kuat makan sayur dan ulam-ulaman pulak tu. Jadi, mungkin
sebab itu muka dia memang bersih dan langsung tidak kelihatan sebarang cela
mahupun bekas-bekas jerawat. Licin saja.
Kalau nak dibandingkan dengan Sazzy
yang jelita dan tinggi lampai itu, mungkin hanya kulitnya yang semulajadi
cantik dan bersih itu saja yang istimewa sedikit berbanding beribu-ribu
kelebihan lain yang dimiliki oleh supermodel jelita itu.
Setelah menyolek ala kadar, ‘Sherry’
membelek seketika penampilannya di hadapan cermin. Bibirnya mengukir senyuman
tanda puas hati dengan penampilannya walaupun awalnya dia fikir pakaian yang
dipakainya itu agak keterlaluan iaitu gaun labuh yang bertingkat-tingkat di
bawahnya. Namun, tidaklah kelihatan seperti gaun kahwin memandangkan konsep
rekaannya lebih kepada klasik dan tradisional.
Kemudian, dia mencapai pula beg
tangan jenama GUESS yang besarnya boleh memuatkan segala jenis periuk belanga
kat belakang dapur tu. Kononnya beg jenis begitu mengikut trend semasa. Entahlah.. nampak macam pelik pulak. Dia sendiri tak
faham kenapa beg tangan sekarang kebanyakannya bentuknya sengaja direka
besar-besar. Mungkin direka khas untuk perempuan yang suka shopping agaknya.
Bila selesai aje shopping, sumbat aje semua barang yang dibeli kat dalam beg
tangan tu. Habis cerita. Tak payah nak guna beg plastik. Kononnya menyambut
seruan kerajaan yang menyeru rakyat supaya mengurangkan penggunaan beg plastik
lah tu agaknya.
Lagi satu kelebihan beg tangan yang besar-besar ni, kalau ada penyangak
yang ada niat nak meragut, diorang mesti akan fikir sampai pecah otak
mengalahkan budak-budak SPM yang perah otak nak jawab soalan Add Math. Kesimpulannya, penyangak pun
tak sanggup rasanya nak ragut beg tangan yang sebesar-besar alam itu. Lagi tak
sanggup kalau dah berjaya ragut, tapi dalam beg yang gedabak itu sebenarnya
cuma ada tisu yang dah pun digunakan untuk lap hingus, tak pun buat lap bekas
jerawat yang bernanah. Buat habis tenaga aje pikul beg besar-besar kalau dah
itu saja habuannya.
‘Hurmmm... Banyak jugak kelebihan
beg ni rupa-rupanya. Kira tak menyesallah aku paksa dia belikan untuk aku hari
tu!’ ‘Sherry’ tersenyum lagi sambil berpusing-pusing menggayakan beg tangan
besar itu di hadapan cermin.
Setelah betul-betul puas hati, barulah dia keluar dari biliknya. Dia lihat Puan
Sri Zahlia yang berada di ruang tamu tercengang-cengang memandang ke arahnya
dengan matanya yang membulat. Pelik pula dia melihat Puan Sri Zahlia
memandangnya sehingga begitu sekali. Dia pun berkenan jugak ke dekat beg tangan
aku yang sebesar-besar alam ni?
Tidak lama selepas itu barulah Puan Sri Zahlia mengukir senyuman lebar. Wajahnya
nampak teruja.
“Abang, tengoklah tu. Cantiknya bakal menantu kita.” Terus dicuit bahu
suaminya yang sedang leka dengan iPhone di tangan.
Beberapa saat selepas itu barulah Tan Sri Jaafar menoleh namun ketika itu Puan
Sri Zahlia sudahpun bangun untuk menghampiri bakal menantu mereka.
“Cantiknya... Tak sangka budak comot ni boleh bertukar jadi secantik ini.”
Sambil mulutnya memuji, sambil itu dia mengusik dengan tangan yang meramas-ramas
pipi ‘Sherry’ yang putih gebu itu. Sepanjang itu, Puan Sri Zahlia tak henti-henti
ketawa dek kerana terlalu gembira.
“Auntie tengok, Embun dah pandai bergaya sekarang ni. Bertuah sungguh
auntie dapat bermenantukan Embun. Lagi bertuah lagilah si budak Han tu,” usiknya
berterusan dengan senyuman yang semakin lebar. Tangannya masih tidak lepas
daripada menggenggam lengan ‘Sherry’. Mesra sungguh dia melayan bakal
menantunya itu.
“Agaknya macam manalah rupa Embun masa naik atas pelamin nanti. Mesti lagi
cantik kan bang?” Puan Sri Zahlia menoleh pula pada suaminya yang hanya
memandang dengan senyuman.
‘Sherry’ pula langsung tidak berkata apa-apa. Dia hanya mengukir senyuman
nipis. Senyuman yang semakin lama kelihatan semakin tawar.
Ada waktunya, dia sebenarnya berasa tidak sampai hati untuk mengecewakan
impian dua manusia ini, yang selama ini begitu baik sekali terhadap dirinya.
Tapi apa boleh buat. Dia terpaksa.
Kalau ikutkan hatinya, sebagai perempuan, dia tidaklah kisah sangat walau
dipaksa berkahwin dengan Azfahan meskipun dia tidak rasa yang dia mencintai
lelaki itu. Siapalah dia untuk terlalu memilih. Cuma masalahnya sekarang, Azfahan
sendiri terang-terang menunjukkan yang lelaki itu sememangnya tidak boleh
menerima dirinya sebagai isteri. Jadi, takkanlah dia nak mendesak lelaki itu supaya
mengambil dirinya sebagai isteri pula semata-mata ingin menjaga perasaan Puan
Sri Zahlia dan Tan Sri Jaafar suaminya.
“Boleh kita gerak sekarang?” sapa Azfahan yang ingin menghampiri dari
belakang, tetapi matanya masih leka merenung iPhone di tangan. Apa lagi. Tengah
melayan Sazzy lah tu agaknya.
“Kalau iya pun, kamu tengoklah dulu bakal isteri kamu ni. Mummy yakin, mesti
kamu terkejut punyalah. Tak mustahil kalau kejap lagi kamu merengek-rengek
dekat mummy minta dinikahkan dengan Embun malam ni jugak,” seloroh Puan Sri
Zahlia dalam senyuman yang semakin meleret. Dia pula yang teruja lebih dan kelihatan
tidak sabar-sabar menanti reaksi anaknya itu sekejap lagi. Dia yang sesama
perempuan pun boleh kagum melihat perubahan pada diri ‘Sherry’, apatah lagi
anaknya yang berlainan jantina itu.
Tapi Azfahan kelihatan seperti rimas saja apabila dirinya diganggu. Namun
dia tetap juga mengangkat kepalanya, mungkin sekadar mengikut perintah ibunya. Tetapi
sekejap sangat dia memandang ke arah ‘Sherry’ sebelum dia cepat-cepat
menundukkan semula mukanya dan kembali leka dengan iPhone di tangan.
“Kamu ni macam tak ada perasaan aje, Han? Takkan kamu tak terkejut tengok
Embun ni? At least, say something!” Puan
Sri Zahlia merenung dengan dahi yang berkerut-kerut. Dia pula yang terkejut
melihat begitu sahaja respoan yang diberikan anaknya itu tadi.
“Kenapa mesti nak terkejut pulak?” Itu saja yang dibalas Azfahan.
“Kamu tak nampak ke betapa cantiknya bakal isteri kamu ni?” Seperti ingin
marah saja pada sikap Azfahan yang acuh tak acuh itu.
“Cantik?” Azfahan mengangkat kepalanya sekali lagi. Ala kadar saja matanya ‘scan’ tubuh Sherry dari atas ke bawah.
Kemudian, dia mencebik. “Apa yang cantik? Biasa aje. Berlambak lagi perempuan
yang jauh lagi cantik kat luar sana tu.” Selamba sahaja jawapan itu keluar dari
mulutnya.
Menyirap Puan Sri Zahlia dibuatnya. Namun, baru sahaja dia ingin memarahi
anaknya itu, Azfahan sudah pun bergerak ingin melangkah ke luar.
“Cepat sikit. Saya tunggu kat luar.” Sempat lagi dia berpesan pada ‘Sherry’
yang kelihatan ketara sekali perubahan pada riak mukanya. Terasa keterujaannya
untuk makan malam di hotel mewah bagaikan sudah mati bersama-sama kritikan
pedas yang diberikan oleh Azfahan sebentar tadi.
Tapi kenapa aku mesti terasa hati? Tidak cukup lagikah dengan pujian Puan
Sri Zahlia dengan Tan Sri Jaafar sendiri? Kenapa mesti aku mengharapkan pujian
daripada dia? Sedangkan aku tahu dia tidak akan sesekali memuji aku. Bukankah
selama ini aku umpama sampah saja di matanya? Bukankah selama ini aku hanya
diperlekeh-lekehkan saja olehnya?
“Embun, kamu janganlah kecik hati ya. Kamu sendiri mesti dah masak dengan
perangai Abang Han kan? Guraun dia tu kadang-kadang memang kasar. Kamu
janganlah ambil hati sangat, dah memang perangai dia macam tu. Dia mengusik aje
tu...” pujuk Puan Sri Zahlia sambil mengusap-usap belakang ‘Sherry’. Ketara
riak risau pada wajahnya. Itulah... dia benar-benar bimbang kalau-kalau ‘Sherry’
berkecil hati. Anaknya yang seorang itu memang tak pandai nak jaga hati orang
langsung. Memang jenis orang yang tak pandai nak bermanis mulut. Langsung tak
murah dengan pujian. Sama aje dia dengan abangnya Afka.
Sejujurnya ‘Sherry’ memang tak nafikan yang dia memang berkecil hati pun
dengan apa yang dikatakan oleh Azfahan tadi. Entahlah... dia sendiri tidak
pasti mengapa hatinya perlu menjadi sebegitu sensitif padahal selama ini
bukannya dia tidak biasa dengan kebiadaban kata-kata yang selalu keluar dari
mulut lelaki yang memang cukup suka memperlekehkan dirinya itu. Tapi, kali ini,
dia semacam sudah tidak sanggup untuk mendengarnya lagi.
“Embun okay ajelah auntie...” Dia
tahu yang dia telah membohongi dirinya sendiri namun itu saja yang dapat
dikatakan supaya wanita itu tidak berterusan bimbangkan tentang keadaan
dirinya. Dia tidak mahu perkara sekecil ini diperbesar-besarkan.
“Embun pergi dulu ya, auntie.” Dengan senyuman palsu yang terukir di bibir,
‘Sherry’ menyalami tangan wanita yang kononnya dikatakan bakal menjadi ibu
mentuanya itu. Dikucupnya lama seolah-olah tidak mahu dilepaskan langsung dan Puan
Sri Zahlia pula mengusap lembut kepalanya bagai seorang ibu yang mengasihi
anaknya sendiri. Sesungguhnya rasa sayangnya terhadap Puan Sri Zahlia semakin
bercambah dari hari ke hari. Namun dia sedar, dalam masa yang terdekat ini dia
akan kehilangan wanita yang terlalu baik terhadap dirinya ini. Bahkan dia akan
dibenci oleh wanita ini dan akan dihalau keluar dari rumah ini.
Kalaulah dapat dia mengundurkan putaran masa, dia sanggup menggunakan masa
yang ada itu untuk memikat dan membeli hati yang sekeras-keras hati kepunyaan Azfahan.
Dia sanggup dan tak kisah untuk bekerja keras demi menakluk sekeping hati yang
terlalu dingin itu asalkan dia tidak perlu mengecewakan harapan wanita di
hadapannya ini. Lebih-lebih lagi dia sudah jatuh sayang pada wanita ini dan dia
juga pernah terfikir, akan adakah wanita lain yang dapat menerima dirinya
seadanya sebagai seorang menantu sebagaimana dirinya diterima sepenuh hati dan
disayangi oleh wanita di hadapannya ini? Dia tidak rasa akan ada wanita lain
yang lebih baik daripada Puan Sri Zahlia yang dapat menerima dirinya yang serba
kekurangan ini sebagai menantu. Ya, dia yakin seyakin-yakinnya.
Tanpa mengangkat kepalanya terlebih dahulu, ‘Sherry’ terus berpaling. Dia
tidak mahu Puan Sri Zahlia terpandang matanya yang sudah bergenang ketika ini.
Jadi, cepat-cepat dia melangkah menuju ke arah pintu utama.
Pintu sudah pun dibuka tapi entah kenapa kakinya terasa berat pula untuk
melangkah keluar. Mungkin kerana hatinya sudah tawar untuk keluar berdua-duaan
dengan Azfahan. Entah kenapalah dia boleh jadi selemah ini sehingga memaksanya
supaya berhenti seketika di muka pintu itu, bagai bertafakur mencari kekuatan
yang entah ke mana hilangnya.
Ketika itu juga dia dapat mendengar dengan jelas suara Puan Sri Zahlia yang
sedang berbual-bual dengan Tan Sri Jaafar.
“Sampainya hati Han cakap macam tu dekat Embun ya bang. Sakit hati saya ni.
Terasa macam saya pulak yang diperlekeh-lekehkan. Ini semua sebab mengikut
perangai abang yang ego tu lah! Susah sangat nak jaga hati orang. Saya yang
secantik-cantik Aishwarya Rai, dengan bibir tebal seksi mengalahkan Angelina
Jolie ni pun susah sangat nak terima pujian daripada abang. Daripada zaman sebelum
kahwin sampailah saya dah beranak-pinak, susah benar nak dengar abang puji
saya! Ego betul! Itu yang menurun sampai ke anak-anak tu!”
‘Sherry’ rasa nak tergelak mendengar Puan Sri Zahlia merungut begitu. Lupa
seketika pada kesakitan kata-kata yang dilemparkan Azfahan tadi. Malah sempat
pula dia membayangkan kalau wanita itu benar-benar menjadi ibu mentuanya. Tentu
seronok. Tentu meriah apabila setiap kali dia yang sering kali bergaduh dengan Azfahan
akan sentiasa disebelahi oleh Puan Sri Zahlia yang cukup suka membelanya itu
kerana dia tahu Puan Sri Zahlia juga semakin hari, semakin sayang pada dirinya.
Tapi dia sedar, semua itu tak lebih daripada sekadar mimpi dan tentunya akan
jadi mimpi ngeri buat Azfahan jika dia benar-benar menjadi isteri kepada lelaki
itu.
“Isy awak ni, saya pulak yang dipersalahkan. Ego anak awak tu mana boleh
disamakan dengan ego saya. Lagipun selama ni saya bukannya tak nak puji awak
selalu. Awak sendiri tahu perangai awak tu. Setiap kali bila saya puji, mesti
awak akan cium pipi saya. Sampai basah lencun pipi saya ni dengan air liur
awak. Sebab tu saya suka puji awak hanya bila kita berdua-duaan kat dalam
bilik. Waktu tu awak nak cium pipi saya sampai basah kecut pun saya tak kisah.”
“Ke situ pulak orang tua ni...” Puan Sri Zahlia mencebik menutup malu.
Gelak besar Tan Sri Jaafar melihat isterinya malu-malu begitu. Makin malu Puan
Sri Zahlia dibuatnya. Spontan, dia menutup mukanya dengan kusyen kecil.
“Alahai, nak main nyorok-nyorok pulak dengan saya. Tak puas-puas lagi ke
main ‘cak-cak’ dengan saya dekat tasik waktu kita dating muda-muda dulu?”
“Abang ni...” rengek Puan Sri Zahlia. Mukanya tidak lagi dihadang dengan
kusyen tetapi jari-jarinya bergerak-gerak mengutil hujung sarung kusyen
tersebut.
Boleh tahan pemalu juga Puan Sri Zahlia yang bermulut becok ini. Tan Sri
Jaafar tersenyum geli hati.
“Pasal Han anak kita tu, tak perlulah
awak risau. Dia saja nak tunjuk macho
dia aje tu. Awak takkan lah tak biasa dengan perangai dia yang 24 jam control macho tu. Padahal masa awak tengah sibuk
memuji bakal menantu kesayangan awak tu, saya ada ternampak Han berdiri kat
atas tangga. Saya tengok anak kita tu macam nak tertanggal biji mata dia
merenung si budak Embun tu. Han tu aje yang tak perasankan saya masa saya tengok
dia tengah curi-curi pandang ke arah Embun.”
“Betul ke bang?” Puan Sri Zahlia terus melompat duduk ke sebelah suaminya.
Punyalah ganas... Habis suaminya yang bertubuh kurus itu dihimpitnya hingga ke
tepi sofa. Sampai begitu sekali dia teruja nak tahu bahagian yang diceritakan
oleh Tan Sri Jaafar tadi.
Samalah seperti apa yang ‘Sherry’ rasakan saat ini. Dia sendiri tidak dapat
nak menerangkan kenapa perasaannya boleh jadi begini. Dia tak tahu kenapa dia
boleh gembira mendengar cerita yang disampaikan oleh Tan Sri Jaafar sekejap
tadi. Sedangkan dari cerita yang disampaikan, isinya hanya menceritakan tentang
Azfahan yang mencuri-curi pandang ke arahnya. Tetapi, kenapa dia perlu berasa
gembira pula? Sewaktu Puan Sri Zahlia beriya-iya memujinya tadi pun dia cuma
rasa biasa-biasa saja. Tidak pula dia berasa bangga apabila dirinya dipuji.
Tapi bila dia dapat tahu Azfahan sekadar memandang dan merenungnya, kenapa dia
perlu memandang serius tentang hal itu dan kenapa hatinya mesti wujud perasaan
terharu lantaran cerita yang disampaikan oleh Tan Sri Jaafar tadi.
Ya ALLAH... Beritahulah kepadaku. Apakah maksud semua ini?
DI dalam kereta, mereka
langsung tidak berbual walau sepatah. Azfahan hanya fokus dengan pemanduannya
sahaja. Sementara ‘Sherry’ yang duduk di tempat belakang lebih selesa melayan
perasaan dengan memandang ke luar tingkap. Selalunya bila mereka hanya
berdua-duaan di dalam kereta, dia akan memilih untuk duduk di tempat duduk
belakang. Pernah juga Azfahan mempertikaikannya.
“Gelaran apa yang ada pada pangkal nama kau sampai kau boleh terfikir untuk
duduk dekat tempat duduk belakang? Kau ingat aku ni driver kau ke?”
Dia masih ingat lagi bagaimana kasarnya dia ditempelak. Bukan main marah
lagi Azfahan padanya sewaktu dia membuka pintu belakang dan dengan selamba dia
terus masuk ke bahagian tempat duduk belakang. Benarlah... lelaki yang seorang
ini betul-betul menjaga kedudukannya.
“Tak ada apa-apa gelaran pun pada pangkal nama aku. Pegangan agama aku
sendiri yang buat aku terfikir untuk memilih supaya tidak duduk rapat-rapat
dengan lelaki yang bukan semahram dengan aku. Sebab tu lah aku pilih untuk
duduk kat tempat duduk belakang. Salah ke?”
Disebabkan terlampau geram, dia langsung tidak meminta maaf sebaliknya dia
memilih untuk membalas penghinaan Azfahan itu dengan satu sindiran pedas. Dia
tahu, dia juga yang bersalah ketika itu. Patutnya dari awal-awal lagi dia
beritahu lelaki. Tapi dia tidak beritahu kerana sangkanya Azfahan sedia
memahaminya.
Mungkin prinsipnya itu telah meletakkan dia sebagai seorang manusia yang
biadab kerana membiarkan Azfahan sendirian memandu di hadapan sedangkan dia
pula duduk di tempat duduk belakang.
Maaflah... dia memang tidak selesa duduk dengan mana-mana lelaki dalam
keadaan serapat itu. Apatah lagi lelaki yang dikenali ramai seperti Azfahan.
Tentunya kalau dia memilih untuk duduk di hadapan, sudah pasti dia hanya akan
mengundang fitnah dan umpatan daripada orang ramai. Bukankah itu lebih membencanakan
dan menyusahkan lagi lelaki itu di kemudian hari nanti?
Sejak itu dia langsung tidak kisah apa tanggapan Azfahan terhadap dirinya.
Tapi nampaknya lelaki itu seperti sudah memahaminya. Sekarang ini pun Azfahan
sudah tidak lagi mempertikai dan mempersoalkannya.
best ... lama tunggu .. nak lagi :)
ReplyDeleteBest..... #^_^
ReplyDeleteerrr..cikgu jika diperhatikan dari bab ke bab rse-rsenye IQ sherry lagi tinggi kot sbb di x sebendul cam embun dan fikirannye lebih ke depan... mcm yg cikgu tulis..sherry dah suka kt han tapi bile diorg nk kwin n bile diorg nk solve sume problem yg berselirat nie :P cikgu taip laa bebanyakk ><
ReplyDelete*merepek
-nur athira-