Tuesday, 5 February 2013

Isteri Paling Kelakar (BAB 31)



                                             

                                       























            SEJAK itu, baik di sebelah pihak Azfahan mahupun di sebelah ‘Sherry’, kedua-duanya kelihatan janggal setiap kali mereka bertembung di dalam vila itu. Paling-paling pun ‘Sherry’ hanya akan mengukir senyuman dan Azfahan pula akan membalas seadanya sahaja. Sudah masuk dua hari mereka berkeadaan begitu.

            ‘Sherry’ sememangnya masih berasa malu sejak kejadian dia terpaksa didukung oleh lelaki itu tetapi Azfahan tidak pula berasa malu. Cuma, ada perasaan hormat yang cukup dalam terhadap gadis kampung yang selalu diperlekeh-lekehkannya dulu. Barangkali perasaan hormat itulah yang membuatkan dia berasa janggal untuk bergurau kasar dengan ‘Sherry’ seperti selalu.

             Namun, ‘Sherry’ tetap menjalankan ‘projek’ yang dirancang seperti biasa. Dia masih gigih berusaha melakukan apa sahaja yang dapat membuatkan Puan Sri Zahlia benci kepadanya. Namun sehingga ke hari ini usahanya seakan gagal dan masih belum berhasil.

            Nampaknya, Puan Sri Zahlia memang bersungguh-sungguh mahu menjadikan dirinya sebagai menantu. Sayang benar wanita itu padanya. Walaupun bermacam masalah yang dia cuba bangkitkan di dalam vila ini, Puan Sri Zahlia langsung tidak ambil hati jauh sekali untuk memarahinya.

            Seperti kelmarin, dia dengan sengaja telah memecahkan pasu kristal kesayangan wanita itu. Dia dapat lihat Puan Sri Zahlia begitu terkejut sebaik sahaja mengetahuinya. Sangkanya, pasu yang pecah itu berpunca daripada kecuaian orang gaji di dalam vila tersebut.

             Dia masih ingat lagi bagaimana garangnya muka Puan Sri Zahlia ketika itu. Mengamuk sakan wanita itu bila dapat tahu pasu kristal yang eksklusif yang terhad rekaannya, dan ditempah khas pula dari Italy itu pecah berderai di atas lantai. Kedua-dua orang gajinya ditengking sampaikan menggigil kedua-duanya dan salah seorang daripada mereka jatuh demam pada hari itu juga, mungkin kerana terlalu takut melihat majikan mereka yang mengamuk seperti orang gila.

            Namun, sebaik mengetahui ‘malapetaka’ itu sebenarnya berpunca daripada bakal menantu kesayangannya sendir, terus lenyap kemarahannya saat-saat itu juga. Dadanya yang berombak kencang itu pun terus surut serta-merta. Wajahnya pula sudah tidak merah-merah lagi sebaliknya terus dihiasi dengan senyuman lebar yang cukup berseri-seri. Sambil itu, dia mengusap-usap tubuh bakal menantu kesayangan.

            “Kenapa ni? Pucat semacam aje muka tu? Jangan bimbanglah, sayang. Auntie tak marah pun sebenarnya. Setakat pasu tu, auntie boleh tempah lagi bila-bila auntie nak.”

            Itu jawapan yang diberikan oleh Puan Sri Zahlia sedangkan ‘Sherry’ ketika itu pula benar-benar mengharapkan jawapan yang sebaliknya keluar dari mulut wanita itu. Dia sudah tidak kisah sekiranya Puan Sri Zahlia mengamuk memarahinya dan menghalaunya keluar dari vila ini. Dia lebih suka begitu memandangkan dia sudah tidak sabar untuk menamatkan permainan yang tercetus daripada idea gila Azfahan itu.

            Dia sedar, kalau Puan Sri Zahlia memaksa Azfahan memperisterikannya, tentu ayahnya di kampung juga akan turut bersetuju. Abah... Bukannya dia tahu nak menolak. Lagi pula Azfahan ni berlatarbelakangkan keluarga yang baik-baik dan abah mesti percaya yang Azfahan tentu dapat menjaga dirinya dengan baik sekaligus memberikan kehidupan yang selesa buat dirinya. Ibu bapa mana yang tidak mahu melihat anak-anak mereka hidup senang? Lagi-lagi Azfahan tu luar aje nampak macam baik, nampak macam sempurna. Mesti abah pun akan terpikat melihatnya. Sebab itulah walau tidak disuruh Azfahan sekalipun, dia sendiri tetap akan melakukan apa sahaja supaya Puan Sri Zahlia membencinya. Sebab dia tidak akan pernah sesekali merelakan dirinya menjadi isteri kepada lelaki itu. Tidak sesekali!

            Tak Apa. Mungkin kelmarin aku gagal. Tapi bukan untuk kali ini.

            Dengan langkah penuh yakin, ‘Sherry’ naik ke atas untuk menuju ke ruang tamu di tingkat tiga vila tersebut.

            Ruang tamu di tingkat tiga ini tidaklah seluas ruang tamu di tingkat paling bawah. Cuma yang menariknya, ruang ini hanya berdindingkan kepingan kaca lutsinar yang membolehkan penghuninya melihat pemandangan yang berada di luar. Seronok sungguh berada di sini. Dapat lihat pohon ketapang yang tinggi-tinggi, juga padang berbukit-bukit kecil yang luas dan menghijau seperti padang golf. Sejuk sungguh mata yang memandang.

            “Hye uncle. Tak ke mana-mana ke pagi ni?” ‘Sherry’ menegur tiba-tiba dengan suara yang sengaja dimanjakan. Berkerut-kerut mukanya menahan rasa geli apabila terpaksa berlagak manja dengan lelaki tua yang lebih tua daripada ayahnya sendiri itu.

            Tan Sri Jaafar yang ketika itu sedang duduk bersantai sambil membaca New Straits Times terus terangkat kepalanya yang tadinya khusyuk dengan bacaannya. Dia lihat ‘Sherry’ sedang tersenyum meleret di hadapannya dengan gaya yang cukup manja sekali. Senyumannya pun kelihatan lain macam.

            ‘Apa pula yang tak kena dengan budak ni?’

            Tan Sri Jaafar mengerling Puan Sri Zahlia yang duduk di sebelahnya. Isterinya itu juga kelihatan seperti terkejut dengan sifat manja yang ditunjukkan oleh bakal menantu mereka itu. Lain macam sungguh manjanya. Manjanya bukan seperti seorang kanak-kanak kecil, ataupun gaya manja seorang anak perempuan dengan ayahnya. Tetapi lagak manjanya seperti ingin menggoda.

            Sehinggakan Tan Sri Jaafar yang terpinga-pinga dengan keadaan itu terpaksa mengambil masa yang lama juga hanya untuk menggeleng bagi menjawab pertanyaan daripada bakal menantunya itu. Seterusnya dia memaksa bibirnya untuk mengukir senyuman walaupun tidak seperti senyuman sahaja bentuknya.

            “Oh tak ada ke mana-mana. Maknanya uncle tak busy la ya? Hurmmm.. Kalau macam tu, boleh tak temankan Embun jogging? Embun ingat nak ajak Abang Han, tapi dia tak bangun lagi. Tak sampai hati pula nak kejut. Nampak macam penat aje. Jadi, boleh tak uncle temankan Embun? Bolehlah... Bolehlah... Embun tak beranilah nak jogging sorang-sorang. Kalau uncle temankan Embun, sekurang-kurangnya kalau apa-apa jadi kat Embun, Embun ada uncle.”

            Semakin menjadi-jadi pula rengekan ‘Sherry’, siap dengan muncung di bibirnya lagi. Maka apa lagi, makin anehlah pasangan suami isteri itu melihatnya.

            “Kalau macam tu, biar auntie siap-siap dulu ya sayang.” Puan Sri Zahlia sudah bangun ingin menuju ke biliknya.

            “Eh, nak siap ke mana pula?”

            “Siap nak ikut Embun dengan uncle jogging sekali lah.” Puan Sri Zahlia sudah buat muka pelik. Apa punya soalanlah si budak Embun ni.

            “Eh, Embun tak ajak auntie pun. Embun nak uncle sorang aje yang temankan Embun. Embun tak suka kalau auntie ikut. Auntie tu dah tua, dah londeh. Larat lagi ke nak berlari? Nanti kalau jatuh ke, kan dah menyusahkan orang lain. Jadi, Embun rasa auntie tak payahlah ikut kami.” Dengan muka menyampah, selamba saja ‘Sherry’ mengeluarkan kata-kata yang teramatlah menyakitkan hati itu. Sudahlah tu, langsung tidak dipandangnya muka Puan Sri Zahlia yang jelas terkejut dengan kata-kata yang dilemparkannya tadi. Sayu saja riak muka wanita itu memandang ke arahnya.

            Hanya Tan Sri Jaafar seorang yang perasan perubahan pada wajah isterinya itu. Simpati sungguh dia pada Puan Sri Zahlia. Disebabkan itu, dia terpaksa menolak permintaan bakal menantunya demi menjaga hati isteri tersayang.

            Apatah lagi sejak-sejak dah bertudung ini, Puan Sri Zahlia memang nampak seperti sudah berubah menjadi lembut dan agak sensitif sedikit berbanding perwatakannya yang brutal sebelum ini. Lagi-lagi sejak hubungannya dengan Tan Sri Jaafar semakin mesra, jadi kenalah control ayu skit. Dah tak boleh nak bercakap kasar-kasar atau melaser macam dulu lagi.

             “Maaflah Embun. Uncle tak larat lah...” Jawapan yang direka demi menjaga hati bakal menantunya pula.

            “Kalau macam tu tak apa lah. Embun nak turun bawah, nak buatkan kopi untuk uncle.”

            Nampaknya, ‘Sherry’ masih tidak berputus asa dengan rancangannya. Apa pun nak jadi, jadi lah. Yang dia tahu, kali ni dia kena buat sehabis baik supaya Puan Sri Zahlia membencinya habis-habisan.

            Bukan ke perempuan tu memang sayangkan sangat suaminya? Jadi inilah jalan yang terbaik. Aku kena goda dan manja-manja dengan Tan Sri Jaafar supaya Puan Sri Zahlia sakit hati. Mesti lepas dia sakit hati nanti, dia akan mengamuk dan halau aku keluar dari vila ni. Yahooo! Lepas ni aku dah boleh hidup bebas!

            “Boleh tak Embun buatkan sekali untuk auntie? Auntie suka sangat kopi yang Embun buat.”

            Ketika ini, ‘Sherry’ baru saja menuruni satu dua anak tangga. Dari situ dia dapat dengar dengan jelas suara Puan Sri Zahlia yang seakan takut-takut sahaja sewaktu mengajukan permintaan itu. Kasihan pulak aku dengan perempuan ni. Tapi apa boleh buat. Ini saja cara yang aku ada. Aku terpaksa!

            Maafkan saya, auntie. Saya tak sampai hati sebenarnya tapi saya terpaksa buat semua ni. Saya dah tak nampak cara lain lagi dah untuk menyelamatkan diri saya ni daripada terpaksa kahwin dengan anak auntie tu. Maafkan saya, saya bukannya tak sudi nak jadi menantu auntie. Cuma, perasaan ini tak boleh dipaksa. Auntie takkan faham...

            Dengan perasaan yang serba salah, ‘Sherry’ mendongak ke atas. Dia dapat lihat Puan Sri Zahlia yang masih memandangnya penuh harap. Ada rasa simpati yang cuba dipedulikan di dalam hatinya.

            “Kalau auntie nak, auntie buatlah sendiri! Embun bukannya orang gaji kat dalam rumah ni. Embun kan bakal jadi sebahagian dalam keluarga ni jugak tak lama lagi. Mana sesuai lagi dah nak buat kerja-kerja kat dalam rumah ni.”

            Itu jawapan yang dia berikan walaupun sebenarnya dia tak sanggup.

            Peliknya, Puan Sri Zahlia tidak pula nampak tersinggung tetapi wanita itu boleh tersenyum pula.

            “Ni yang auntie makin sayang dengan Embun ni?”

            Makin pelik ‘Sherry’ dibuatnya. Aku dah marah-marah dia pun, boleh lagi dia nak sayang aku? Ya ALLAH, makin aku nak buat dia bencikan aku, makin sayang pulak dia dekat aku. Jadi, macam mana aku nak berjaya kalau macam ni pulak jadinya?

            “Kenapa pulak, auntie?” Teringin juga dia nak tahu sebab apa Puan Sri Zahlia mengeluarkan kenyataan sebegitu.

            “Sebab auntie tahu yang Embun tak nak buatkan kopi untuk auntie sebab Embun nak jaga kesihatan auntie, kan? Usia-usia macam auntie ni memang tak elok pun minum kopi. Hurmmm... Bertuah sungguh auntie dapat menantu macam Embun ni.  Belum jadi menantu pun, Embun dah beriya-iya jaga auntie,” beritahu Puan Sri Zahlia bersama cahaya kegembiraan yang jelas terpancar pada wajahnya.

            ‘Sherry’ pula rasa macam nak pitam dan rebah sahaja di situ mendengarkan jawapan yang langsung tidak diharapkan keluar dari mulut wanita itu. Kepalanya sudah terasa berat. Pening semacam. Dia menggeleng-geleng tidak dapat menerima hakikat.

            ‘Ya ALLAH... Kenapalah susah sangat nak buat dia benci kat aku?’

                       

           

           

           

           

             “INI kopinya, uncle. Minumlah... Kopi Jantan.”

            Mata ‘Sherry’ terkenyit sebelah. Sewaktu dia menyebut perkataan ‘jantan’ itu pula, dia sengaja menyebutnya dengan suara berbisik dan dibuat-buat seksi.

            Meremang bulu roma Tan Sri Jaafar mendengarnya. Bukanlah kerana dia tergoda, tetapi dia berasa tidak sedap hati melihat bakal menantunya yang seperti sudah berubah sikap itu. Tidak seperti sebelum ini. Selalunya, bila dengannya gadis itu agak pemalu dan tidaklah lepas laku seperti sekarang ini.

            Namun demi menjaga hati ‘Sherry’, Tan Sri Jaafar mencicip juga kopi yang masih panas itu sambil mengenepikan rasa tidak sedap hatinya dan juga sebarang prasangka buruknya terhadap bakal menantunya sendiri.

            Walaubagaimanapun, kopi yang dibuat memang sedap. Tak sampai tiga minit, sudah habis kopi itu diteguknya.

            “Sekarang macam mana? Masih tak larat lagi ke?Kalau dah okay, jomlah teman Embun jogging.” Nampaknya, ‘Sherry’ masih mahu menggunakan kaedah yang sama, dengan suara yang semakin manja dilenggokkannya.

            Ya, dia mahu hati Puan Sri Zahlia terbakar sewaktu melihat kemesraan antara dia dengan Tan Sri Jaafar sewaktu mereka beriadah bersama-sama sekejap lagi.

            Tan Sri Jaafar tidak menjawab sebaliknya dia menoleh memandang Puan Sri Zahlia yang sedang berdiri di belakangnya. Daripada cara isterinya menyentuh sebelah bahunya pun dia tahu yang isterinya sendiri sedang menahan rasa sakit hati. Dia pula sedang menahan rasa hati yang loya dan tidak sedap.

            “Kalau uncle masih tak larat jugak, tanggalkanlah baju tu. Meh sini Embun urut satu badan.”

            ‘Sherry’ sudah bergerak, konon-kononnya nak duduk betul-betul di sebelah Tan Sri Jaafar.

            “Embun!” Puan Sri Zahlia terjerit tanpa sedar. Namun sesaat kemudian, cepat-cepat dia menekup mulutnya seolah-olah memarahi dirinya sendiri yang telah tersasar menjerkah bakal menantu kesayangannya sendiri.

            Sebenarnya dia keliru dengan perasaannya sendiri. Benar memang benar yang dia memang sakit hati. Tapi dia masih tidak pasti apakah dia marah dengan apa yang dilihat dan didengarnya tadi?

            Puan Sri Zahlia menggeleng dengan mata yang sudah bergenang. Makin kecewa rasa hatinya bila dia lihat ‘Sherry’ langsung tidak menunjukkan riak muka orang bersalah sedangkan hatinya seperti disiat-siat melihatkan kemesraan luar biasa yang ditunjukkan oleh gadis itu pada suaminya. Dia sendiri kebelakangan ini sudah tidak biasa untuk bergurau kasar-kasar dengan ‘Sherry’ sebagaimana seperti sebelum ini. Bukan apa. Dia berasa tidak selesa pula dengan gadis itu. Seperti sudah tiada keserasian antara mereka.

            ‘Sherry’ yang dijerkahnya tadi kelihatan serba salah.

            Sebenarnya, dia cuma mahukan Puan Sri Zahlia membencinya, bukannya bersedih kerananya. Kalau boleh setitis air mata pun dia tak sanggup nak tengok. Tapi nampaknya Puan Sri Zahlia memang seorang yang degil. Dia sanggup biarkan hatinya terluka asalkan hasratnya untuk bermenantukan ‘Sherry’ tercapai juga suatu hari nanti.

            ‘Sherry’ terus melihat riak pada wajah Puan Sri Zahlia sebelum wanita itu berlari-lari anak turun ke bawah. Dia tahu, tentu Puan Sri Zahlia ingin masuk ke dalam biliknya di tingkat dua. Kali ini, terpaksalah dia memujuk. Dia tidak sanggup melihat wanita itu bersedih memandangkan dia hanya merelakan wanita itu membencinya sahaja kerana memang itu sahaja yang dia mahukan daripada Puan Sri Zahlia. Dia mahu dirinya dibenci dan dihalau keluar dari vila ini. Itu saja kemahuannya!

            Belum sempat Tan Sri Jaafar bangun dari duduknya, ‘Sherry’ sudah pun bangun lebih awal dan terus meluru dan turun menuju ke bilik Puan Sri Zahlia.

            Mujurlah pintu bilik tidak berkunci. Lantas, dia terus memulas tombol pintu sebelum dia masuk ke dalam dan terus terpandangkan Puan Sri Zahlia yang sedang menangis teresak-esak di hadapan cermin meja solek.

            Makin serba salah ‘Sherry’ dibuatnya. Rasa terkilan pun ada sebab tersalah pasang strategi.

            ‘Aku jugak yang terpaksa tanggung risikonya. Lelaki tu sedap-sedap aje tidur kat dalam bilik dia. Lepas tangan macam tu aje. Tak boleh diharap langsung!’

            Dengan berat hati, ‘Sherry’ melangkah juga menghampiri Puan Sri Zahlia. Memanglah dia rasa bersalah saat ini. Tapi kalau dia memujuk Puan Sri Zahlia, makin lamalah nampaknya dia terpaksa tinggal di sini sehinggalah dia berjaya membuatkan wanita itu benci sehabis benci kepadanya. Agaknya, bilalah dia akan berjaya melakukannya?

            “Auntie...” panggilnya dengan suara yang lembut. Dan dia lihat Puan Sri Zahlia terus terhenti esakannya sebelum wanita itu perlahan-lahan mengangkat kepalanya yang tertunduk itu. Dari belakang Puan Sri Zahlia, dia dapat lihat betapa sugulnya wajah wanita itu menerusi cermin meja solek di hadapan mereka.

            “Maafkan Embun ya auntie. Embun tak maksudkan apa-apa pun tadi. Embun cuma nak bermesra dengan uncle aje. Sebab selama ni Embun hanya mesra dengan auntie sorang aje. Embun jarang nak bermesra dengan uncle. Sebab tu Embun cuba nak bina hubungan baik dengan uncle, sebab uncle macam auntie jugak. Kedua-duanya bakal mentua Embun. Jadi Embun harap auntie tak salah sangka dengan Embun.”        

            ‘Sherry’ mengeluh melepaskan bebanan yang menyesakkan dadanya. Sampai bila dia harus menipu? Sampai bila dia harus berlakon begini? Dan sampai bila lagi dia perlu menunggu untuk mendapatkan hasil yang terbaik? Dia sudah jenuh menanti wanita ini membencinya. Sebaliknya, Puan Sri Zahlia masih melayannya dengan baik dan masih sudi menerima dirinya sebagai bakal menantu.

            Seperti sekarang ini, Puan Sri Zahlia masih sudi memaafkannya walaupun kejadian sebentar tadi jelas sekali menunjukkan yang dia sememangnya berniat mahu menggoda Tan Sri Jaafar meskipun semua itu hanyalah sebuah lakonan untuk menyakitkan hati wanita itu. Malangnya, sekali lagi usahanya tak berhasil.

            Puan Sri Zahlia tersenyum memandangnya sebelum Puan Sri Zahlia yang duduk di atas kerusi meja solek berdiri lalu memeluk tubuhnya. Yang lebih membingungkannya, Puan Sri Zahlia pula yang beriya-iya dan bersungguh-sungguh meminta maaf daripadanya kerana kononnya telah bersangka buruk terhadap bakal menantu sendiri.

            ‘Sherry’ hanya mampu menelan air liur saja dengan keadaan itu. Langsung tidak tergerak hatinya untuk membalas pelukan wanita itu. Dia seolah-olah telah berputus asa dan seperti mahu mengundurkan diri sahaja daripada permainan ini. Dia sudah lelah. Dia sudah penat!

            Namun, sebaik dia terpandangkan kotak empat segi berbaldu merah di atas meja solek Puan Sri Zahlia, sekelip mata semangatnya datang semula. Entah dari mana pula datangnya. Perasaan hampir putus-asa sudah tidak ada lagi. Sebaliknya dia semakin berkobar-kobar dan dia semakin yakin yang permainan ini sudah hampir tiba di hujung penamatnya.

            Lantas, cepat-cepat dia menolak lembut tubuh Puan Sri Zahlia yang masih erat memeluk tubuhnya. Dia sudah tidak sabar lagi mahu menjalankan ‘projek’ yang seterusnya. Dia yakin, kali ini tentu Puan Sri Zahlia akan membencinya sebaik sahaja ‘projek’nya itu berjaya.

            “Auntie, Embun sebenarnya nak minta tolong sesuatu ni...” ‘Sherry’ memulakan rancangannya. Berhati-hati sekali dia merancang diam-diam di dalam kepalanya.

            Puan Sri Zahlia membalas dengan senyuman mesra. Wajahnya sudah tidak sugul lagi.

             “Cakap ajelah Embun. Macam kamu tak biasa pulak dengan bakal mentua kamu yang gorgeous ni.” Sambil diusap-usapnya bahu bakal menantunya itu.

            Sekali lagi ‘Sherry’ berasa serba salah tapi dia tahu, dia terpaksa teruskan juga.

            “Boleh tak kalau Embun nak pinjam mana-mana rantai mutiara auntie?” Selamba sahaja dia membuat permintaan seolah-olah yang diminta itu adalah rantai basikal.

            Ni semua jin tu punya pasal! Tengoklah sekarang ni! Aku jugak yang dapat malu, aku jugak yang kena buat muka tebal semata-mata nak laksanakan rancangan bodoh dia tu!

            Seperti biasalah, Puan Sri Zahlia yang murah hati ini langsung tidak kisah. Iyalah, dah nama pun sayang bakal menantu mengalahkan sayang anak sendiri. Apa pun sanggup diberi.

            “Kejap ya...”

            “Tapi kalau boleh, Embun nak rantai yang paling mahal dan yang paling auntie sayang...” Dia cepat-cepat memintas sebelum Puan Sri Zahlia berlalu menuju ke almarinya.

            Waktu itu dia dapat lihat riak wajah wanita itu berubah sedikit. Senyumannya pun hampir nak mati. Sebagai seorang wanita yang cintakan barang-barang berharga begitu, tentu Puan Sri Zahlia berat hati untuk mepertimbangkan permintaannya tadi. Yes, aku dah semakin hampir ke garisan penamat! Malam nanti, aku gerenti punyalah. Mesti dia akan mengamuk sakan dan halau aku keluar dari vila ni.

            “Kejap ya, auntie ambilkan...”

            Tidak lama selepas itu, Puan Sri Zahlia kembali dengan kotak empat segi berwarna emas yang lebih besar dan kelihatan lebih mewah bekasnya berbanding dengan kotak berbaldu merah yang dilihatnya di atas meja solek tadi.

            “Nah, ambillah...” Puan Sri Zahlia sudahpun menghulurkan bekas tersebut.

            Terketar-ketar tangan ‘Sherry’ sewaktu ingin menyambutnya. Tengok pada bekasnya sahaja dia sudah dapat meneka harga rantai di dalamnya. Kalau tak puluh-puluh ribu, mesti ratus-ratus ribu. Tapi aku rasa harganya mesti ratus-ratus ribu punyalah!

            Alangkah bestnya kalau dia betul-betul jadi mak mentua aku. Agaknya kalau aku minta vila ni pun dia sanggup kasi. Tapi nak buat macam mana, hati aku ni memang tak ada langsung dekat mamat tu walaupun aku rasa, aku ni dah semakin sayang dekat Puan Sri Zahlia ni. Brutal-brutal dia pun, hati dia baik sangat. Langsung tak pernah nak berkira dengan aku.

            “Tapi Embun nak pakai ke mana rantai mutiara ni?”

            “Nak pakai masa pergi dinner dengan Abang Han nanti.” Laju sahaja idea yang direkanya itu keluar dari mulutnya. Apa sajalah rancangan dia untuk buat Puan Sri Zahlia benci kepadanya?

           

                       

           

                       

           

                       

            DENGAN hati yang teramatlah gembira,   berdesup dia berlari menuruni anak tangga sehingga ke tingkat bawah. Di situ dia lihat Azfahan sedang tidur di atas sofa dengan tubuhnya yang berselimut. Hai, tak puas tidur dekat bilik, dia sambung pulak tidur dekat sini? Tergeleng kepala ‘Sherry’ melihatnya. Macam ni nak jadi suami aku?

            Azfahan yang masih nyenyak tidur itu dihampirinya.

            “Hoi!” Selamba saja dia menjerit di tepi telinga lelaki itu. Tapi tetap tak bangun-bangun juga.

            Haishhh... Dah berapa lama agaknya dia ni tak korek telinga? Mesti dah berkilo-kilo tahi kat dalam telinga dia ni. Kalau nak korek pun, kena tempah lori korek tanah rasanya ni...

            “Hoi, bangunlah!” ‘Sherry’ terpaksa meninggikan lagi suaranya. Tapi masih tak bangun-bangun jugak!

            Mengeluh.

            Penat menonggeng di sebelah ‘jenazah’ yang terbaring itu, ‘Sherry’ berundur untuk duduk di sofa yang terletak bertentangan. Sakit pinggangnya gara-gara nak mengejutkan ‘mayat’ sorang ni.

            Nak buat apa ni? Takkan nak duduk kat sini macam tunggul dan tunggu sampai dia bangun? Atau perlukah aku simbahkan saja muka dia dengan air asid untuk sedarkan dia?

            Taknaklah! Nanti kalau muka dia dah buruk, aku jugak yang rugi sebab dah tak dapat nak cuci mata skodeng muka dia yang handsome tu. Hahahaha.... Astaghfirullah... Ke situ pulak!

            Hurmmm... Daripada merepek sorang-sorang, lagi baik aku buat kerja lain!

            Lantas, surat khabar di atas meja di hadapannya dicapai. Dibeleknya sekali imbas sahaja. Langsung tak ada berita yang menarik. Yang ada cuma satu idea yang menarik. Ya, lagi sekali dia dikurniakan idea dan ilham yang bagus untuk mengenakan ‘jenazah’ yang masih belum dikafankan di hadapannya itu.

            Berdehem.

            “Ehem, ehem.” Kenalah berdehem kan sebab nak baca berita.

            Okay, mula!

            Dia pun memulakannya dengan gaya yang penuh berkarisma sekali. Dah macam pembaca berita Buletin Utama lah pulak!

            “Sazzy, seorang supermodel terkenal, didakwa telah terlanjur dengan seorang datuk yang sudahpun mempunyai 17 orang cucu dan juga tujuh orang cicit. Walaupun muka datuk berusia itu penuh dengan kedut dan badannya sudah bongkok hampir nak tersembam ke atas tanah, lelaki tua yang berusia 87 tahun itu dikatakan jauh lebih handsome daripada bekas kekasih Sazzy sebelum ini iaitu Shariedan Azfahan yang merupakan seorang usahawan muda yang berjaya di negara ini.”

            “Apalah nasib kau... Dengan datuk yang dah bercucu-cicit pun kau boleh kalah!”

            ‘Sherry’ hampir nak tergelak dengan ayat yang direkanya sendiri. Bukan main lancar pulak tu dia membaca ‘berita’ tersebut padahal semuanya dilakukan secara spontan. Sampaikan terus terbangun Azfahan mendengarnya.

            Dia ni bodoh jugak kadang-kadang tu. Dah sah-sah berita yang aku main-main reka tadi tu tak boleh dipercayai dan penuh dengan unsur-unsur dongeng. Itulah, selama ni ejek sangat aku ni bendul. Dia pun dah berjangkit dengan wabak ‘penyakit bendul’ aku!

            “Bak sini paper tu!” Dengan muka bengang, ditambah pula dengan mata yang kemerah-merahan sebab baru bangun daripada tidur, Azfahan merentap dengan kasar surat khabar yang terdampar di atas meja di hadapan mereka.

            Lama dia membelek dan menyelak surat khabar tersebut sebelum dia tersedar yang dirinya telah ditipu. Mamai agaknya dia ni sampaikan boleh jadi sebodoh itu!

            “Tak ada pun cerita pasal Sazzy. Kau ni memang nak cari nahas agaknya!” Dengan hati yang sakit, Azfahan melemparkan semula surat khabar tadi ke atas meja. Tetapi jatuh ke atas lantai disebabkan balingan yang agak kuat.

             “Aku tak suruh pun kau percaya! Siapa pulak yang suruh kau percaya?”

             Memang dia sengaja nak cari nahas pun apabila masih berterusan mahu membakar perasaan lelaki itu. Apa punya perangailah si budak ‘Sherry’ ni. Suka sangat nak cari pasal!

            “Sebab aku tahu, orang macam kau ni tak pernah sekali pun dapat kepercayaan dan kasih sayang walaupun daripada keluarga kau sendiri. Sebab tu lah aku sebagai orang terdekat cuba untuk bagi kepercayaan aku dekat kau.”

            Azfahan tersengih kerana dapat menyakitkan hati ‘Sherry’

            “Bukan setakat bagi kepercayaan aje tau, kasih sayang pun aku boleh bagi kalau kau nak.” Dia menambah lagi. Pelik saja bunyinya apabila dia menyebut perkataan ‘kasih sayang’ itu dengan suara yang sengaja diubah intonasinya supaya kedengaran macho dan seksi dalam gaya maskulinnya. Tiada lagi rupa orang yang sedang marah pada wajah baru bangun tidurnya itu. Sebaliknya digantikan pula dengan muka yang penuh dengan senyuman. Senyuman yang nampak aneh dan pelik. Macam nak menggoda pun ada jugak!

            Mendengar dan melihat gaya Azfahan yang tiba-tiba berubah pelik itu membuatkan ‘Sherry’ terbantut untuk memarahi lelaki itu. Lagi-lagi bila dia lihat Azfahan dengan gaya seksinya tiba-tiba saja mengenyitkan sebelah matanya. Dah buang tabiat apa makhluk sorang ni?

            Saat paling mencemaskan lagi mendebarkan apabila sekali lagi manusia yang sudah buang tabiat itu melakukan perbuatan aneh. Kali ini lebih ganjil dan lebih tidak sopan berbanding tadi. Iyalah, tiba-tiba saja dia buka dua butang baju tidurnya yang paling atas sehingga terdedah dada sasanya yang berlekuk di tengah-tengah itu. Siap jilat-jilat bibir pulak tu. Konon seksi lah kalau buat macam tu? Eeeee... Loya tekak aku menengoknya!

             Comfirm! Comfirm dia masih mamai lagi ni! Kalau dia cuba ambil kesempatan ke atas aku pun, aku rasa macam tak sanggup aje nak heret dia ke balai polis sebab aku rasa dia tengah mamai lagi ni!

            Ya ALLAH, ruginya tadi aku tak simbah muka dia dengan air asid. Kalaulah aku simbah tadi, mesti awal-awal lagi dia dah tersedar daripada mamainya!

            “Hah Han! Yang kamu tanggalkan butang baju dekat depan Embun tu kenapa pulak tu? Apa yang kamu cuba buat?”

            ‘Sherry’ terus menoleh. Dia lihat Tan Sri Jaafar sedang menuruni anak tangga yang dibina dengan bahan kayu yang diimport khas dari Indonesia. Serius benar wajah lelaki itu. Jelas menunjukkan yang dia langsung tidak senang dengan apa yang dilihatnya.

            “Errrr... Uncle salah faham sebenarnya ni. Abang Han bukannya nak buat apa-apa pun.”

            Azfahan yang awalnya sudah kalut terus berasa lega mendengar ‘Sherry’ membelanya.  

            “Abang Han baru bangun tidur sebenarnya, uncle. Itu pun terjaga sebab dia mimpi badan dia kena bakar dengan api neraka. Tu yang dia tanggalkan baju dia tu. Panas sangat katanya, sampai berpeluh-peluh. Kesian Embun menengoknya...” sambung ‘Sherry’ lagi dengan lancar dan bersahaja sekali kata-kata itu keluar dari mulutnya. Siap dengan mimik muka yang beriya-iya pulak tu.

            Azfahan terasa macam nak tersedak walaupun yang cuba ditelannya itu hanyalah air liur. Nampak jelas sangat yang dia tak dapat nak menerima hakikat yang dirinya telah dianiaya oleh ‘Sherry’. Dia tahu saat ini dia takkan mampu untuk membela dirinya sendiri. Mati-mati dia ingat ‘Sherry’ mahu membela dirinya.          

            ‘Tak boleh pakai betullah budak ni! Pantang ada peluang aje, mesti dia akan gunakan habis-habisan untuk kenakan aku! Ceh!’

            “Kamu solat Subuh tak pagi tadi?”

            ‘Sherry’ memandang semula ke arah Tan Sri Jaafar yang sedang berjalan menghampiri mereka. Inilah pertama kali dia melihat lelaki itu dalam keadaan sebegitu serius. Cuak juga dia melihatnya.

            Azfahan pula hanya menjawab soalan yang diajukan ayahnya dengan gelengan.

            Apa lagi, habislah dia kena marah, kena bebel, kena ceramah dengan ayahnya sendiri. Cukup tiga dalam satu pakej! Muka dia pulak habis merah-merah sebab malu kena marah depan budak mentah yang tak membangun seperti ‘Sherry’. Buat malu aje!

            Daddy ni pun satu. Kalau nak marah aku sekalipun, tak boleh ke marah kat tempat lain? Kat depan perempuan ni jugak dia nak marah aku. Tak macho langsunglah besar-besar macam ni pun masih kena marah jugak! Dah lah budak tu siap gelak-gelakkan aku! Eeee... Ni yang aku tak suka ni!

            “Daddy ingatkan perangai kamu dah berubah bila dah dekat-dekat nak jadi suami orang ni. Tapi sama aje daddy tengok. Sepatutnya sebagai lelaki, kamulah yang kena rajin bangun pagi dan kejutkan isteri kamu bangun solat bila dah kahwin nanti. Tapi ini tidak! Daddy tengok Embun aje yang rajin bangun solat. Daddy perhati walau azan belum berkumandang lagi dia dah bersiap-siap mandi untuk solat. Kamu pulak, boleh dikatakan hampir setiap hari kamu terbabas.”

            ‘Itulah antara kata-kata penutup daripada ustaz jemputan kita pada malam ini...’ Azfahan membebel dan mengejek ayahnya di dalam hati. Derhaka sungguh! Ayah dia nasihat, bukannya nak dengar baik-baik. Dia buat main pulak!

            “Faham tak ni?” Tak semena-mena dia disoal begitu. Bukannya dia dengar sangat apa yang dinasihatkan orang tua itu tadi. Sedar-sedar saja, ceramah ayahnya sudah pun nak sampai ke penghujung. Yahoo!

            ‘Tapi apa pulak yang faham tak faham ni? Ahhh, angguk ajelah.’

            Diperhatikan sahaja ayahnya yang sudah bangun kemudian melangkah menuju ke dapur. Nak bersarapan pagi agaknya.

            “Sukalah kau kan?” marahnya dengan suara yang kuat, itupun setelah dia memastikan ayahnya sudah hilang di dalam dapur. Geram sungguh dia melihat ‘Sherry’ yang masih tersenyum-senyum ke arahnya.

            “Sukalah jugak tengok kau kena marah. Tapi ada benda lain yang buat aku rasa bukan aje suka, tapi seronok sangat...”

            “Benda apa pulak?” soal Azfahan dengan muka pelik.

            “Ni hah bendanya!” ‘Sherry’ terus menayangkan bekas berwarna emas di tangannya sebelum bekas itu dibukanya perlahan-lahan. Dari tadi lagi sebenarnya dia sudah tidak dapat menahan sabar untuk menceritakan tentang projek yang sedang dirancangnya.

            Tak berkelip mata Azfahan memandang. Hampir nak terlopong jugalah sebaik dia melihat isi di dalamnya. Kerana setahunya, rantai mutiara tersebut merupakan rantai kesayangan ibunya, iaitu hadiah daripada pemberian ayahnya yang paling mahal buat ibunya itu bersempena sambutan ulangtahun perkahwinan mereka pada tahun lepas.

            Mendengar harganya sahaja sesiapa pun akan berasa kagum dan teruja. Macam manalah tak mahal. Dah nama pun ditempah khas, jadi rekaannya pun tentulah eksklusif. Selama ini pun dia lihat ibunya jarang-jarang sekali memakai rantai tersebut walaupun untuk ke majlis-majlis korporat atau mana-mana majlis eksklusif. Begitu sekali ibunya menjaga pemberian daripada ayahnya itu.

            Tapi sekarang macam mana rantai mutiara itu boleh terlepas ke tangan ‘Sherry’? Adakah ‘Sherry’ mencuri-curi masuk ke dalam bilik ibunya dan mengambilnya secara senyap-senyap?

            “Macam mana kau boleh dapat rantai tu?” Daripada dia buat spekulasi sendiri, lebih baik dia bertanya terus.

            “Mummy kau yang kasi.” Tanpa rasa bersalah ‘Sherry’ menjawabnya sedangkan Azfahan semakin bingung dengan jawapan yang diberikan. Takkanlah mummy boleh kasi macam tu aje? Mustahillah...

            “Tak payahlah nak bohong aku. Mengaku ajelah yang kau curi rantai tu kat dalam bilik mummy aku!”

            “Gila! Muka cun macam ni pun kau boleh samakan dengan muka pencuri? Kalaulah semua pencuri perempuan semuanya cun macam aku, mesti semua lelaki kat dunia ni tak kisah untuk memperisterikan seorang pencuri.”

            Tanpa mengambil hati sedikit pun dengan tuduhan Azfahan, ‘Sherry’ terus bantai gelak semahu-mahunya. Tak senonoh betul! Dia hanya berhenti apabila dia perasan Azfahan langsung tidak tersenyum, malah wajah tampan itu semakin serius dengan renungan yang semakin tajam menikam tepat ke wajahnya.

            Tak tertelan rasanya air liur yang tersekat di celah kerongkongnya. Terasa macam tertelan duri-duri daun semalu pula melihat muka yang garang itu.

            Kalaulah dia tahu begitu sekali jadinya dan begitu sekali reaksi yang dia akan terima daripada Azfahan, dia bersumpah yang dia tidak akan bergurau berlebihan seperti tadi sewaktu lelaki itu sedang dalam keadaan seserius ini. Menyesal sungguh dia sebab bergurau tak kena pada tempat.

             “Maaf. Sebenarnya aku sendiri yang minta pinjam rantai tu dekat mummy kau.” Takut-takut sahaja dia memberitahu. Dengan suara yang rendah pula tu. Hampir tak kedengaran di telinga Azfahan bahkan di telinganya sendiri pun samar-samar saja bunyinya.

            “Boleh aku tahu apa motif kau dan apa tujuan sebenar kau bila kau kata kau sebenarnya cuma pinjam saja rantai tersebut daripada mangsa?”

            Azfahan masih tidak jemu menyiasat dengan pandangan yang semakin runcing dan tajam. Bahkan ketika ini dia kelihatan lebih serius berbanding tadi, lebih-lebih lagi dengan keadaan dia berpeluk tubuh begitu.

            “Kau ni dah kenapa? Nak siasat aku sekalipun beragaklah sikit. Yang paling aku tak tahan soalan kau tu. Fuhhhh... Macamlah aku ni jahat sangat sampaikan kau perlu keluarkan soalan-soalan formal tahap budak-budak PMR macam tu! Kau buat aku nervous kau tahu tak?”

            “Sebagai suspek yang didakwa, kau belum jawab soalan yang aku ajukan tadi!”

            Wah ini sudah lebih! Panas sungguh telinga ‘Sherry’ mendengarnya, dan melihat perangai bossy yang ditunjukkan oleh Azfahan itu.

            Macamlah aku ni betul-betul mencuri! Sudahlah semua benda aku kena buat padahal semua ni rancangan dia dan dia jugalah yang beriya-iya tak nak kahwin dengan aku! Geramnya lah aku dengan dia ni. Kenapa dia perlu berlagak serius sampai macam tu sekali. Tak tahannya aku. Lagi-lagi dengan soalan dia yang tersangatlah menguji minda itu. Aku dah rasa macam tengah duduk kat dalam lokap pulak sekarang ni.        Tensionnya! Dia ingat dia sorang aje yang boleh berlagak serius dan garang macam tu. Kau nak lawan siapa lagi garang ya? Okay, sekarang kau tengok sini!

            ‘Sherry’ menarik nafasnya dalam-dalam dengan harapan lebih banyak nafas yang disedut, maka lebih banyak juga maki hamun yang dapat dilemparkannya dalam satu nafas.

            “Hey, kau dengar sini baik-baik! Aku buat semua ni untuk menjayakan rancangan bodoh kau tu jugak! Aku pinjam rantai tu dari mak kau supaya nanti aku pura-pura kononnya rantai tu dah hilang. Mesti mak kau akan marah aku dan halau aku keluar dari rumah ni. Faham?” bentaknya dengan suara yang sudah tidak tertahan. Langsung dia tidak fikir kalau ada orang lain yang terdengarkan rancangan gilanya itu. Sebaliknya dia terus memaki hamun Azfahan yang sudah bertukar jadi kelam-kabut di hadapannya ketika ini.

            “Lain kali kalau kau tak tahu apa-apa, kau jangan masuk campur dan jangan nak tunjuk bagus sangat. Kalau kau masih nak tunjuk hebat jugak, kenapa tak kau sendiri aje yang cakap dekat mak kau yang kau memang tak hingin nak kahwin dengan perempuan macam aku yang selalu kau perlekeh-lekehkan sangat ni. Tapi sekarang, perempuan yang kau selalu kutuk ni jugaklah yang kau minta tolong sangat! Dasar pengecut!” Terjegil-jegil matanya sewaktu memarahi lelaki itu. Kemudian dia terus menyandarkan tubuh dan juga kepala yang masih terasa menyirap dengan rasa marah.

            Fuhhhhhhh.......  Barulah dia lega. Puas hatinya. Hilang sedikit beban yang terasa berserabut di dalam otak.

            ‘Boleh tahan garang jugak aku ni ya rupa-rupanya. Tapi maaflah sebab terkasar bahasa. Aku dah tension sangat ni. Jadi, memang layak sangatlah kau dapat makian daripada aku dan jadi tempat untuk aku lepaskan geram!’

            Dengan senyuman puas yang terpaksa ditahan, ‘Sherry’ terus memejamkan matanya. Dia mahu menenangkan dirinya buat seketika. Namun, dari celah matanya yang sengaja dibuka sedikit, dia dapat lihat betapa cuak dan terkejutnya muka Azfahan waktu itu.

            ‘Mesti dia tak sangka yang perempuan secomel Nora Danish ni boleh bertukar menjadi segarang-garang singa betina.’

10 comments:

  1. wah marmar putih .... lama tunggu n3 terbaru .. :) muncul akhirnya best ... (buat muka comel ^_^ nak n3 lagi )

    ReplyDelete
  2. erm best2..cepatla sambung ye...

    ReplyDelete
  3. sis, bila nak kluar n3 baru? dah xsabar menunggu nih..

    ReplyDelete
  4. En. marmar putih ...nak n3 baru plz... :)

    ReplyDelete