36
PANGGGGGGGGGG!!!!
Pipi Sherry ditamparnya dengan sekuat hati sehingga menyebabkan tudung yang
menutupi kepala gadis berbadan kecil itu hampir nak tertanggal. Sampaikan boleh
terteleng kepalanya. Nyaris saja terhantuk pada pasu kristal yang lebih tinggi
daripada tubuh kecilnya sendiri.
Puan Sri Zahlia yang telah gagal
mengawal dirinya sebenarnya masih ingin membelasah gadis itu semahu-mahunya,
namun sebaik Sherry memalingkan mukanya semula, barulah dia tersedar dengan apa
yang dilakukannya. Lagi-lagi sebaik dia terpandangkan darah yang mengalir dari
celah bibir Sherry. Pecah juga bibir itu menerima penangannya. Dia sendiri
tidak sedar yang dia boleh menjadi segila itu.
Pulang saja dari hotel tadi, Puan Sri Zahlia mengamuk sakan dan terus
menyerang Sherry. Sherry pula hanya mendiamkan diri sedari tadi. Membeku dan
langsung tidak memandang Puan Sri Zahlia yang sedang menyinga itu. Kecut
perutnya kerana inilah pertama kalinya dia melihat wanita itu dalam keadaan
segarang ini.
Puan Sri Zahlia yang kelihatan teragak-agak dan mula dijentik rasa kasihan,
cuba untuk memapah Sherry yang sudah jatuh berlutut itu tetapi tangannya telah
ditepis. Serba salah Puan Sri Zahlia dibuatnya. Tapi perlukah dia yang rasa
bersalah setelah apa yang dilakukan oleh Sherry terhadapnya?
Puan Sri Zahlia menggeleng sambil menangis hiba. Sebenarnya sehingga ke
saat ini, dia masih sukar untuk percaya kalau Sherry sanggup memalukannya
sehingga begitu sekali. Mungkin sebab itu dia terus bertanya. Dia ingin
mendengar sendiri dari mulut bakal menantunya itu.
“Kenapa kamu diam? Cakaplah! Kenapa kamu tergamak buat sampai macam tu
sekali pada auntie? Apa tujuan kamu sebenarnya, Embun? Kamu memang sengaja nak
malukan auntie ke hah?” jerit Puan Sri Zahlia hiba.
Namun ketika ini, suara Puan Sri Zahlia sudah tidak setinggi tadi,
sebaliknya suara itu bertukar sebak dan menggeletar. Agaknya dia simpati
melihat darah yang masih belum berhenti mengalir dari celah bibir bakal menantu
yang dia agung-agungkan sangat itu, sehingga membuatkan dia menangis
teresak-esak antara rasa kesal kerana telah bertindak secara kurang waras
dengan menampar pipi gadis itu, dan juga rasa terkilan dengan apa yang
dilakukan oleh Sherry terhadapnya.
Puan Sri Zahlia menggeleng, sudah tak tahu apa lagi yang ingin
diperkatakan. Lama dia mengelamun sebelum dia tersenyum tiba-tiba. Senyuman
yang direka semata-mata ingin menutup rasa sakit hatinya. Malangnya, dia gagal!
Puan Sri Zahlia terus bercakap seorang diri tanpa menghiraukan sama ada
Sherry mendengarnya ataupun tidak. Pandangannya jatuh ke atas lantai.
“Menyesalnya auntie sebab telah percayakan kamu lebih daripada auntie
percayakan diri auntie sendiri. Kamu tahu tak? Selama ni, auntie sendiri takut-takut
nak sentuh kulit muka auntie. Sebab auntie tahu kulit muka auntie ni sensitif.
Tapi bila kamu beriya-iya nak make-up muka auntie, auntie percayakan kamu
sungguh-sungguh, Embun. Auntie langsung tak kisah walaupun auntie tahu yang
kamu memang tak pandai nak gunakan make-up. Tapi demi nak menjaga hati kamu,
auntie biarkan saja kamu gunakan kreativiti kamu sendiri. Auntie sebenarnya
teruja sebab waktu tu auntie fikir, auntie bakal mendapat sentuhan pertama
daripada bakal menantu kesayangan auntie. Sebab itulah masa dalam dewan tadi,
walaupun pelik, auntie tetap tak rasa curiga bila terlalu ramai orang yang
pandang auntie dengan pandangan aneh. Sebabnya, auntie terlalu percayakan kamu,
Embun. Auntie yakin yang kamu telah memastikan auntie kelihatan sempurna untuk
majlis tadi tapi hakikatnya, auntie silap,” luah Puan Sri Zahlia bersama
senyuman di bibirnya, namun pada masa yang sama tetap mengalir air mata yang
jatuh ke pipinya.
Sebak dada Sherry mendengarnya. Begitu sekali Puan Sri Zahlia menghargai
setiap apa yang dilakukannya walaupun semua yang dilakukan itu hakikatnya hanya
menyakitkan hati wanita itu sahaja. Kejamnya dia...
Puan Sri Zahlia kelihatan sedang menarik nafasnya dalam-dalam. Serentak
dengan senyumannya yang lenyap entah ke mana.
“Auntie betul-betul tak sangka,
macam tu balasan kamu pada auntie! Seteruk itu kamu malukan auntie. Kamu tahu
tak, auntie dah dimalukan di hadapan beratus-ratus orang. Dan esok, tentu kecoh
kat dalam newspaper dan apa yang
berlaku pada auntie tentu akan malukan suami auntie selaku tokoh perniagaan
yang disegani,” luah Puan Sri Zahlia lagi.
Sehingga saat ini, dia masih berasa tidak sanggup untuk memandang wajah
Sherry. Barangkali kekuatannya untuk memandang wajah yang telah menganiayanya
secara terang-terangan itu telah hilang bersama kepercayaannya pada gadis itu.
Cuma dia pelik, semakin dia memaksa hatinya untuk membenci, perasaan sayang itu
tetap tidak mampu untuk dihakisnya. Apa lebihnya Sherry di matanya?
“Auntie, sebenarnya...”
“Sejujurnya, kamu tak terfikir ke semua tu Embun sebelum kamu cuba malukan
auntie? Kalau kamu tak fikirkan perasaan auntie sekalipun, fikirlah perasaan
suami auntie. Fikirlah perasaan bakal suami kamu sendiri sebab dia pun tentu
akan menanggung malunya nanti!” luah Puan Sri Zahlia berterusan dan dia kembali
teresak-esak. Seluruh tubuhnya lemah-longlai dirasakan, sampaikan dia boleh
tertuduk di atas sofa dengan kedua belah tangan yang tertelekup ke muka. Di
situ dia menangis semahu-mahunya.
Sherry masih cuba membatu dan sedaya upaya dia mengeraskan hatinya supaya
tidak tersentuh dengan apa yang didengar dan dilihatnya. Malangnya, dia masih
seorang manusia yang mempunyai perasaan.
Bergenang juga air mata yang cuba ditahan. Namun, belum pun sempat menitis
dan membasahkan pipi, lekas-lekas dia menyapunya sehingga kering.
Dia sedar, apa yang telah dilakukannya itu adalah sesuatu yang sangat
keterlaluan. Sesuatu yang tidak boleh dimaafkan langsung!
Kesalnya dia kerana tidak memikirkan akibat yang terpaksa ditanggung oleh Puan
Sri Zahlia dan ahli keluarganya yang lain. Itulah... Dia terlalu obses dalam
mengejar misinya untuk membuatkan wanita itu membenci dan menghalaunya keluar
dari vila ini sehingga dia terlupa yang dia telah memberikan pengalaman paling
buruk terhadap insan yang terlalu menyayangi dirinya itu. Insan yang sedia
menerima dirinya yang serba kekurangan itu.
Terasa hendak pecah dadanya sewaktu melihat Puan Sri Zahlia yang masih
menangis teresak-esak ketika itu. Wanita itu sudah tidak menghiraukan dirinya
lagi sebaliknya Puan Sri Zahlia terus melayan perasaannya seorang diri.
Bukannya dia tidak mahu memujuk. Hatinya meronta-ronta ingin mendakap erat
tubuh wanita itu. Tetapi dia tidak rasa itu semua satu pilihan yang tepat. Dia
sudah berjaya mendapat segala yang dia inginkan. Dia sudah berjaya melepaskan
dirinya daripada permainan bodoh yang bakal memerangkapnya ke dalam perkahwinan
yang tidak pernah dia citakan. Jadi, dia nekad untuk tidak mahu berpatah
semula. Sebab itulah dia tidak mahu memujuk wanita itu. Biarlah Puan Sri Zahlia
menangis tanpa dirinya dipujuk dan biarlah hati wanita itu terluka dan terus
membenci dirinya. Kalau dengan perasaan benci itu dapat menamatkan segala
kemelut yang telah menghuru-harakan hidupnya, dia sanggup dibenci oleh wanita
itu. Asalkan dia tidak diheret ke dalam perkahwinan yang tidak pernah sekali
dia relakan untuk berlaku ke atas dirinya.
“Auntie...” Teragak-agak Sherry memanggil Puan Sri Zahlia yang sudah
berhenti menangis, tetapi kelihatan khayal dengan dunianya sendiri. Puan Sri
Zahlia seperti mengelamun. Risau juga Sherry melihatnya.
Dia memanggil Puan Sri Zahlia bukanlah kerana dia ingin memujuk ataupun
menenangkan perasaan wanita itu. Cuma, sebelum dia keluar dari vila ini, dia
tetap merasakan yang dirinya wajib memberitahu tentang kepergiannya, dan juga
berterima kasih atas segala-galanya terutama sekali layanan baik yang diberikan
oleh Puan Sri Zahlia kepadanya selama ini.
Cukuplah kiranya dia diberikan peluang untuk menyatakan perasaan terharunya
secara diam lantaran disayangi dan dihargai oleh wanita itu setelah dia sedar
yang dia tidak mungkin berpeluang untuk memeluk tubuh wanita itu walaupun
hatinya ingin sekali melakukannya.
“Auntie, Embun...”
“Apa lagi Embun? Sudahlah.... Auntie
tak nak dengar apa-apa lagi. Maafkan auntie kalau auntie masih tidak cukup baik
untuk jadi seorang ibu kepada Embun. Auntie sendiri tak tahu kenapa Embun
bencikan auntie sampai sanggup aniaya dan khianat auntie sewaktu auntie
betul-betul dah sayangkan Embun dan menganggap Embun sebagai anak auntie
sendiri. Auntie tertanya-tanya juga, apa salah auntie sampaikan Embun
seolah-olah berdendam dengan auntie?”
“Maafkan auntie juga sebab auntie rasa auntie dah tak boleh nak tengok muka
Embun lagi. Kalau air muka mentua sendiri pun Embun tak reti nak jaga, macam
mana Embun nak jadi menantu auntie? Auntie harap Embun faham maksud auntie...”
Sherry mengangguk sambil menahan rasa pedih. Pedih bukan kerana kata-kata
yang dilontarkan. Tetapi pedih atas perbuatannya sendiri.
Tertunduk, dan dia terfikir.
Betapa tergamaknya dia selama ini, tegarnya dia menyakiti hati wanita yang
mengaku telah menganggap dirinya sebagai anaknya sendiri itu. Semuanya dia
lakukan semata-mata demi mengelakkan dirinya daripada terjebak ke dalam
perkahwinan yang telah dirancang.
Kejamkah dia? Apakah dia terlalu pentingkan diri sendiri dalam hal ini?
Hanya semata-mata kerana dia tidak mahu bersuamikan Azfahan, apakah benar tindakannya
menyakiti hati wanita yang cukup menyayanginya ini?
Ya ALLAH, bila aku dah berjaya mendapatkan segala yang aku hajatkan, kenapa
pula aku perlu menanggung perasaan bersalah ini?
Ini yang aku tak suka ni! Aku sepatutnya celebrate kejayaan aku ni. Bukan ke ini yang aku nakkan sangat?
Bukan ke aku dah tidak sabar-sabar lagi dah nak keluar dari vila ni? Tapi
kenapa aku rasa sayu aje nak tinggalkan wanita yang terlalu baik dengan aku ni?
Wanita yang sesekali mengubat kerinduanku pada arwah ibuku sendiri...
Ya ALLAH, perlukah aku sujud di hujung kakinya dan meminta maaf atas segala
yang berlaku?
Gila! Jangan Sherry. Kau dah berjaya sampai ke tahap ini. Kau dah hampir
bebas dari cengkaman Azfahan dan kau juga hampir bebas daripada rancangan Puan
Sri Zahlia untuk menjadikan kau sebagai menantunya. Kau dah hampir berjaya. Kau
sepatutnya lupakan sahaja segala yang pernah kau tempuhi di dalam vila ini.
Lupakan terus, Sherry! Kau takkan bahagia hanya dengan bermentuakan wanita
sebaik Puan Sri Zahlia sedangkan kau sendiri tahu yang Azfahan langsung tidak
pernah mencintai kau! Kau kena sedar tentang hakikat itu! Sanggupkah kau
menyeksa diri kau sendiri dengan sebuah kehidupan bersama lelaki yang langsung
tidak cintakan kau?
Bergenang mata Sherry memandang Puan Sri Zahlia yang langsung tidak sudi
untuk memandang wajahnya walaupun untuk saat-saat yang terakhir ini. Dia
memandang pula ke pintu rumah yang sudah terbuka luas bagai mengalu-alukan
kepergiaannya. Tetapi, dia masih keliru dengan pilihan dan keputusan yang bakal
dibuatnya.
Apakah dia perlu terus tinggal di sini sekaligus menawan semula hati Puan
Sri Zahlia yang telah disakitinya itu? Atau tinggalkan saja segala kenangan,
juga segala masalah yang akan memerangkap kehidupannya di sini?
DENGAN beg pakaian yang diusung
dengan tangan kanan, ‘Sherry’ berjalan dengan tujuan yang masih samar. Hatinya
yang masih berat dengan perasaan bersalah itu berbisik-bisik menghalang
kepergiannya tetapi kakinya pula terus melangkah dalam kegelapan kawasan yang
dikelilingi hutan yang tidak setebal mana, tetapi sesekali tetap meremangkan
bulu romanya.
Dia sudah siap merancang diam-diam di dalam kepala. Sebaik dia keluar dari
kawasan taman perumahan yang privasi ini, dia akan mengambil teksi untuk
membawanya terus pulang ke kampungnya. Rasanya dia tidak perlu risaukan tentang
bayaran memandangkan duit belanja di tangannya lebih daripada cukup
memandangkan Puan Sri Zahlia selalu memberinya wang saku.
‘Sherry’ mengeluh lagi bila mengenangkan kebaikan wanita itu kepadanya.
Namun dia sudah berjanji, sampai waktunya nanti dia akan menggantikan segala
yang pernah diberikan oleh wanita itu termasuklah rantai mutiara yang telah
hilang atas kecuaiannya. Dia tetap akan berusaha dan bekerja keras bagi
menggantikannya walaupupun dia sendiri tidak tahu bilalah agaknya dia dapat melangsaikan
segala hutangnya dengan wanita yang begitu mulia sekali hatinya itu.
Walaupun setelah dirinya dikhianati, Puan Sri Zahlia tetap tidak meminta
supaya rantai mutiara itu dipulangkan.
“Pasal rantai mutiara tu, bila-bila nanti saya janji saya akan pulangkan
semula.”
“Tak payahlah, Embun. Awal-awal lagi auntie memang dah berniat nak
hadiahkan Embun walaupun Embun tak jadi menantu auntie. Auntie dah hilang
segala hak ke atas rantai tu. Rantai tu dah lama jadi hak Embun.”
Begitulah jawapan Puan Sri Zahlia sewaktu dia menyalami dan meminta izin
untuk keluar dari vila itu. Jawapan yang membuatkan dia berasa terharu dan
ingin memeluk tubuh wanita itu, ingin dia menangis di dada wanita yang baik
hati itu tetapi sebaliknya dia memilih untuk beredar sesegera yang mungkin supaya
air mata yang akan pecah pada bila-bila masa itu tidak akan sempat untuk
dilihat oleh Puan Sri Zahlia.
Sekarang ini pun, dia menangis lagi bila mengingatkan kebaikan dan
sayangnya Puan Sri Zahlia kepadanya. Dia sedar, dia adalah manusia yang paling
bodoh kerana telah melepaskan seorang ibu yang hakikatnya mampu menggantikan
arwah ibunya. Walaupun tak serupa dengan kasih sayang sebenar daripada ibu
kandung sendiri, tapi sekurang-kurangnya dia yakin Puan Sri Zahlia mampu
melengkapkan hidupnya yang serba kekurangan itu.
Bodohkah aku, ya ALLAH?
‘Sherry’ termenung sejenak. Seperti memikirkan, apakah benar tindakan yang
dilakukan ini?
Lama dia mengelamun di atas jalan yang sunyi itu. Akhirnya, dia mengeluh...
‘Sudahlah tu Embun... Untuk apa kau
kesalkan lagi? Untuk apa kau menangis lagi? Bukankah ini yang kau mahukan
sangat? Kau dah buat pilihan yang kau kira terbaik untuk hidup kau, jadi
teruskanlah dengan keputusan kau, Embun. Insya-ALLAH, segalanya akan berakhir
sebagaimana yang kau mahukan...’
Mukanya yang basah disapu sekadarnya sahaja. Dia mencuba pula mengukir
senyuman demi menyedapkan hatinya sendiri.
Di hadapannya, dia lihat jalan yang gelap itu sudah semakin terang.
Bermakna, dia sudah hampir keluar dari kawasan perumahan Puan Sri Zahlia yang
tersembunyi ini. Namun, sewaktu dia ingin melintas ke seberang jalan, dia
dikejutkan dengan bunyi hon dari arah belakang.
Menoleh.
‘Azfahan?’
Sherry tercengang-cengang buat seketika.
‘Apa yang dia buat kat sini? Bukan ke sepatutnya lusa baru dia balik?’
Azfahan yang sudah keluar dari perut kereta dan berjalan menghampirinya
dipandang dengan dahi yang berkerut-kerut.
“Masuk!” Itu saja yang keluar dari mulut lelaki itu. Suaranya tidaklah
garang, tetapi serius saja bunyinya. Langsung tiada kelembutan.
‘Sherry’ diam, hanya menggeleng. Itu pun takut-takut. Dia langsung tidak
berani untuk memandang wajah yang langsung tidak terdapat senyuman itu, hanya
ketegangan semata-mata yang terpancar pada wajah tampan itu. Nampak tertekan
sungguh raut wajah lelaki di hadapannya ini.
“Biar aku aje yang hantar kau balik!” Azfahan sudah bergerak untuk merampas beg pakaiannya. Cepat-cepat ‘Sherry’
menghalang.
“Eh, tak payah. Susahkan kau aje. Kau pun mesti penat kan sebab baru balik
dari KL. Aku ada duit, biar aku naik teksi aje.”
Sherry terpaksa memberanikan dirinya supaya tidak terus didesak oleh lelaki
ini. Walaupun ketika ini, renungan mata Azfahan bagaikan memberikan amaran
supaya dia mematuhi apa saja arahan lelaki itu.
“Aku yang bertanggungjawab bawa kau sampai ke sini. Jadi biar aku juga yang
bertanggungjawab untuk hantar kau balik.”
“Tapi...”
Tanpa menghiraukan ‘Sherry’ yang masih mahu beralasan, Azfahan terus
merentap beg baju gadis itu. Kali ini lebih kuat supaya Sherry tidak dapat
menghalang tindakannya lagi.
Selepas dia berjaya, ‘Sherry’ ditinggalkan begitu saja sementara dia pula
terus masuk semula ke dalam kereta. Enjin kereta dihidupkan semula. Tangannya
sudah memegang stereng tetapi dia langsung tidak menoleh pada ‘Sherry’ yang
masih berada di luar, di tepi keretanya. Tegak saja kepalanya memandang ke
hadapan dengan muka yang masih serius.
‘Sherry’ yang memandang dengan rasa tak puas hati, mendengus geram dengan
sikap bossy Azfahan itu. Lagi geram
bila dia lihat Azfahan seperti sengaja buat-buat tak tahu sewaktu dia
mengetuk-ngetuk cermin kereta, mengharap lelaki itu akan keluar dan menyerahkan
semula beg pakaiannya. Malangnya, Azfahan sedikit pun tidak menoleh
memandangnya. Semakin kuat dia mengetuk, semakin kuat bunyi radio yang dipasang
sehingga terdengar hingga ke luar. Dia tahu, lelaki itu sengaja meninggikan volume radio supaya dapat melawan bunyi
ketukan yang membingitkan telinganya.
Ketika ini, ‘Sherry’ betul-betul sudah berputus-asa. Rasa nak menangis pun
ada. Kalau boleh, dia memang sudah tidak mahu ada apa-apa hubungan lagi dengan
lelaki itu. Kalau boleh muka Azfahan pun tidak mahu dilihatnya lagi dan kalau
boleh dia tidak mahu lelaki itu tahu tempat tinggalnya. Cukuplah Azfahan tahu letak
kampungnya saja.
Tapi nak buat macam mana, dia terpaksa. Banyak barang penting yang ada
dalam beg baju itu. Termasuklah purse
yang menyimpan kad pengenalannya sekali. Nak tak nak, terpaksalah juga dia
masuk ke dalam kereta.
Sepanjang menghampiri kereta mewah itu, kakinya sengaja dihentak-hentakkan
dengan kuat. Kononnya nak tunjuk protes. Macamlah Azfahan yang berada di dalam
kereta itu dapat dengar. Buat haus tapak kasut aje!
“Apa yang kau dah buat dekat mummy aku?” soal Azfahan tiba-tiba, lebih
kurang selepas sepuluh minit kedua-duanya mendiamkan diri. Lelaki ini masih
dengan muka seriusnya. Daripada cara dia memandu dengan kelajuan maksimum begitu
pun sudah menggerunkan. Kalau tak, tidaklah ‘Sherry’ menahan kecut perut sedari
tadi. Sampai rasa nak terkencing pun ada bila melihat pokok-pokok di kiri dan
kanan jalan kelihatan seperti berlari ke hadapan, bagaikan ingin menerkam saja
tubuh kecilnya.
“Kalau kau tak nak aku tinggalkan kau dekat tepi hutan ni, baik kau
bagitahu aku sekarang! Cepat! Apa yang kau dah buat dekat mummy aku?” Azfahan
mengugut pula selepas hampir seminit dia menunggu ‘Sherry’ menjawab soalannya
tadi.
Bencinya! Main ugut-ugut pulak! Perasan bagus betullah dia ni!
Dari belakang tempat duduk pemandu, ‘Sherry’ mencebikkan bibir dan
menjelirkan lidahnya sekali. Biarlah... Azfahan yang duduk di depan bukannya
nampak pun. Puas hatinya!
“Aku buat sebagaimana yang kita rancanglah. Supaya mummy kau benci dan
halau aku keluar dari vila tu,” jawab ‘Sherry’ resah sehingga berpeluh-peluh
tubuhnya. Tadi nampak macam berani. Bukan main lagi dia mengejek Azfahan dari
belakang.
Tapi saat ini pula, dia kelihatan semacam nak menangis saja. Sejujurnya,
dia sebenarnya takut dengan kedinginan Azfahan terhadapnya. Dia memang takut
setiap kali lelaki itu bertukar serius dan tegang begitu. Dia dapat merasakan Azfahan
sedang menyimpan rasa marah yang meluap-luap sekarang ini. Cara lelaki itu
menyoalnya tadi pun dah macam gaya samseng.
Azfahan nampak bengis walaupun dia yang duduk di belakang tidak dapat
melihat wajah yang sedang memandu itu. Tapi, dia seakan dapat mendengar
hentakan degupan jantung lelaki itu, yang sedari tadi membuatkan bulu romanya
tegak berdiri.
Dan apabila sahaja kereta yang sedang bergerak laju itu berhenti secara
mendadak, Sherry terjerit ketakutan sambil memejamkan matanya rapat-rapat.
Berderau darahnya dan terasa seperti menembak hingga ke atas kepala.
Kalau ikutkan jantungnya yang seakan telah berhenti berdegup itu, dia tidak
sanggup untuk mengangkat kepalanya untuk melihat kenyataan yang sedang
menantinya di hadapan. Namun, kerana bimbangkan keselamatan Azfahan, dia tetap
berusaha menegakkan semula badannya untuk lihat kalau apa-apa yang buruk menimpa
lelaki itu. Tapi nampaknya, semuanya dalam keadaan selamat.
Sangkanya tadi, Azfahan cuba mengelak daripada melanggar sesuatu. Tetapi
lelaki itu dengan wajah yang masih serius boleh lagi menoleh dan merenungnya
dengan pandangan yang tajam, menambahkan lagi ketakutan dan perasaan cemas yang
terpaksa ditanggungnya.
‘Ya ALLAH, menyesalnya aku naik kereta dia ni. Sepatutnya aku biarkan aje
dia angkut beg baju aku sekali dengan kad pengenalan aku tu. Rasanya, aku lagi
rela jadi pendatang tanpa izin buat sementara waktu daripada aku jadi seorang
‘pendatang’ yang akan memenuhkan lagi tanah perkuburan. Naik kereta dengan dia
ni dah macam pengalaman naik van jenazah aje aku rasa!’
“Apa yang kau cuba buat sebenarnya? Dan siapa pula yang suruh kau buat
keputusan ikut sesuka hati kau? Kau sepatutnya patuh pada arahan aku! Bukannya
memandai sendiri!”
Tersentak ‘Sherry’ apabila tiba-tiba dia disergah begitu.
“Kan aku dah suruh kau batalkan saja rancangan kita tu? Kenapa kau masih
nak berdegil jugak? Masih nak tunjuk keras kepala kau tu? Kau ingat bila kau
dah berjaya dengan apa yang kau buat, aku akan respect kau? Kau ingat kau dah hebat sangat ke hah bila kau dah
berjaya buat mummy aku bencikan kau?”
Azfahan nampak cukup tertekan sekali ketika ini. Sampaikan dia terpaksa
meramas-ramas kepalanya dalam usaha menenangkan dirinya sendiri.
Pada masa yang sama, kedengaran dengusan kuat yang keluar dari
kerongkongnya. Berurat-urat tangannya yang sedang menggenggam stereng kereta dengan
sekuat hati.
“Arghhh.... Stupid!” Tiba-tiba dia menjerit sekuat hati tak tentu pasal,
serentak dengan tangan yang kuat menghentak stereng kereta.
Berkelip-kelip mata ‘Sherry’ memandang lelaki yang seorang ini. Pelik.
‘Kenapa dia nak marah-marah pulak sedangkan dialah mastermind yang telah merancang projek tu. Projek untuk buat mak
dia benci dan halau aku keluar dari vila tu. Dan sekarang, dia nak salahkan aku
pulak? Ya ALLAH, kenapalah aku mesti dipertemukan dengan lelaki pelik ni...’
Beristighfar ‘Sherry’ di dalam hati bagi berhadapan dengan bermacam-macam
karenah daripada manusia sorang ni. Sehinggakan dia terpaksa menarik nafasnya
dalam-dalam supaya dia lebih bersedia untuk menenangkan Azfahan yang sudah
semakin tidak terkawal.
Walaupun takut, ‘Sherry’ tahu, dia tiada pilihan selain berusaha
menenangkan Azfahan.
“Aku... Aku... Urmm... Aku tak
fahamlah kenapa kau perlu marah-marah sampai macam ni sekali. Okay, pertama
sekali biar aku tanya kau. Kau sedar tak apa yang kau cakapkan tadi?” ajunya
dengan setenang yang mungkin.
Malangnya, Azfahan diam sahaja tidak menjawab. Dari belakang, ‘Sherry’ cuma
nampak belakang badan lelaki itu bergegar. Tentu dada Azfahan sedang berombak
hebat ketika ini.
Huhhhh...
Sebuah keluhan yang terpaksa dilepaskan ‘Sherry’ yang sudah tidak
tertanggung dengan tekanan yang diberikan. Dia masih tidak faham mengapa Azfahan
perlu memarahinya sampai begitu sekali.
“Baiklah... Kalau kau tak nak jawab
atau pandang muka aku ni, kau dengar sini baik-baik apa yang aku nak cakapkan.”
Sekali lagi ‘Sherry’ menarik nafas dalam-dalam, sebelum dilepaskannya dengan
setenang yang mungkin.
“Pasal rancangan tu, aku memang tak
boleh nak batalkan. Kalau aku batalkan rancangan tu, bermakna kau terpaksa
kahwin dengan aku. Takkan kau dah lupa kot? Kau sendiri rancang projek tu sebab
kau nak buat sehingga mummy kau tu benci aku dan halau aku keluar dari vila tu.
Sekarang, aku dah berjaya buat apa yang kau suruh dan selepas ni, kau tak perlu
risau lagi. Sebab kau tak perlu musnahkah hidup kau dengan berkahwin dengan
aku. Jadi, kau sepatutnya gembira dan berterima kasih dengan aku!
“Berkenaan apa yang aku buat dekat mummy kau tu pulak, aku minta maaf
sangat-sangat. Aku tahu aku salah tapi aku dah tak ada cara lain untuk buat
mummy kau benci dan halau aku keluar dari vila tu. Aku terpaksa buat macam
tu... Aku... Aku harap kau faham dan kau tak salahkan aku,” jelas ‘Sherry’
dengan panjang lebar, mengharapkan pengertian daripada Azfahan.
Lewat penjelasan itu, muka Azfahan terus berubah hanya dalam sekelip mata.
Sebelum itu, dia seperti tersentak dengan apa yang ‘Sherry’ katakan. Kemudian,
dia kelihatan seperti sedang mengelamun pula seolah-olah sedang memikirkan
sesuatu, sehingga berkerut-kerut dahinya.
‘Sherry’ memandang saja Azfahan dengan pandangan aneh. Dahinya pun ikut
berkerut-kerut sekali.
‘Dia ni ada masalah gangguan emosi ke? Tadi serius bukan main, sekarang ni
pulak aku tengok dia macam orang hilang ingatan yang dah hampir nak dapat ingat
semula aje.’
Selepas itu, ‘Sherry’ lihat Azfahan langsung tidak berkata apa-apa. Lelaki
itu kembali menghidupkan enjin kereta dan memandu seperti biasa, seolah-olah
tiada apa-apa yang berlaku.
Semakin pelik ‘Sherry’ dibuatnya tetapi tidak berani pula dia hendak
bertanya.
37
SEJAK pertengkaran tadi, masing-masing
membisu. Azfahan langsung tidak berhenti di mana-mana perhentian. Dia masih
memandu dengan kelajuan yang sama. Tak ada pula tanda-tanda yang menunjukkan
dia ingin berhenti rehat. Jadi, terpaksalah ‘Sherry’ menahan segala rasa nak
terkucil dan juga perutnya yang terasa lapar itu.
Dia lihat, Azfahan serius saja memandu dengan badan yang tegak. Dan
sesekali ‘Sherry’ mengintai melalui cermin pandang belakang dan di situ dia
masih lihat wajah Azfahan yang serius dan tegang.
Kira-kira tinggal lebih kurang lima minit sebelum mereka masuk ke kawasan
kampung ‘Sherry’, tanpa amaran, Azfahan telah membuat satu pusingan U-Turn
dengan cara pemanduan yang sangat mengerikan. Sampaikan tubuh ‘Sherry’ boleh
tertolak sehingga ke dinding pintu kereta di sebelah kiri sedangkan tadi dia
sedang elok duduk di sebelah kanan. Bunyi tayar kereta yang terseret dengan jalan
pun sudah begitu menyeramkan. Namun, ketika ini wajah garang Azfahan masih
kelihatan tenang dan bersahaja. Dia meneruskan pemanduannya seperti biasa,
seperti tiada apa yang perlu dihiraukan.
‘Sherry’ yang duduk di belakang pula bagaikan sudah ditarik nikmat untuk
bersuara. Dia masih terkejut dengan cara Azfahan memandu. Ganas...
Hanya selepas lima minit barulah dia teringat untuk bertanya.
“Eh, kenapa kau patah balik pulak ni?”
‘Sherry’ melilau memandang ke luar tingkap. Depan belakang dipandangnya. Dia
jadi pelik. Sepatutnya tadi Azfahan memandu terus saja ke depan. Tetapi kenapa
lelaki ini perlu buat U-Turn pulak?
Sayangnya, Azfahan terus membisu.
Lemah semangatnya nak tegur tindakan lelaki itu. Kalau ikutkan, memanglah
dia takut dengan kedinginan Azfahan. Tapi, nak tak nak, dia perlu bertanya
juga. Takkanlah nak dibiarkan saja lelaki itu memandu dengan arah tuju yang dia
sendiri tidak tahu. ‘Sudahlah
dia sedang dalam keadaan marah. Entah-entah, dia bukannya sedar pun apa yang
dia buat,’ fikir ‘Sherry’.
“Hei! Rumah aku dekat belakang sana la. Kenapa kau ikut jalan ni pulak?”
Sekali lagi, ‘Sherry’ memberanikan dirinya untuk bertanya. Malangnya, sekali
lagi dia dikecewakan dengan kebisuan lelaki itu.
Kali ini, perasaan takutnya sudah tiada. Bengang lagi ada lah. Aku nak
balik! Bukannya duduk dalam kereta dengan orang bisu macam dia ni!
Dengan hati yang panas, ‘Sherry’ menolak sedikit badannya ke depan supaya
dia dapat bertentang mata dengan Azfahan. Lantas, dipandangnya muka selamba lelaki
yang masih serius memandu itu dengan rasa marah.
“Kau nak pergi mana sebenarnya ni? Turunkanlah aku dekat sini. Kalau kau nak
pergi mana-mana pun lepas kau turunkan aku, itu kau punya pasal. Tapi, tolong
turunkan aku dekat sini! Turunkan aku, turunkan aku!” jeritnya.
Dan dengan beraninya, ‘Sherry’ menggoncang-goncangkan seat pemandu dengan sekuat hati. Walaupun seat yang digoncangnya itu langsung tidak bergerak,
sekurang-kurangnya hatinya puas. Nampak jugalah usahanya untuk membuatkan Azfahan
memberhentikan keretanya.
Lega...
Tapi, pintu kereta masih berkunci. Macam mana aku nak keluar ni?
“Bukalah pintu ni. Macam mana aku nak keluar kalau dah berkunci?” ‘Sherry’
merengus dengan muka garang.
“Aku rasa tak ada pulak aku cakap nak turunkan kau dekat sini. Kau akan
duduk dalam kereta ni sampailah kita sampai semula ke vila.”
“Hah?” Terlopong mulut ‘Sherry’ mendengarnya.
Satu sebab mengapa dia bertindak sepantas itu adalah kerana dia tahu Azfahan
tidak pernah main-main dengan apa yang keluar dari mulutnya. Sebab itulah dia
terkejut. Tentu dia tidak dapat nak menolak dan beralasan lagi. Azfahan kan
keras kepala orangnya!
Tiba-tiba, kedengaran bunyi enjin kereta yang dihidupkan semula. Maka,
makin menggelabah lah ‘Sherry’ dibuatnya.
“Tolonglah buka pintu ni. Aku nak balik. Aku tak nak ikut kau balik vila.
Tolonglah... Aku rindukan ayah aku. Aku rindukan kakak aku. Aku juga rindukan
ketua kampung dan seluruh penduduk dekat situ. Jadi, tolonglah kasihankan
aku... Bukalah pintu ni...” rayu ‘Sherry’ bersungguh-sungguh. Dia sudah tidak
kisah kalau dia kelihatan seperti budak-budak kecil yang mengada-ngada di mata
lelaki itu. Semua tu dah tak penting. Yang penting, Azfahan kena juga batalkan
niatnya untuk membawa dia pulang semula ke vila yang baru ditinggalkannya beberapa
jam tadi.
‘Sherry’ lihat, Azfahan menoleh semula memandang ke arahnya. Dia perasan
muka lelaki itu ketika ini sudah hilang bengisnya. Kali ini, muka Azfahan
nampak lembut dan menenangkan sekali. Siap boleh tersenyum mesra pulak tu!
“Bersabarlah sikit dengan rindu tu semua...” pujuk Azfahan, dengan suara yang
tiba-tiba saja boleh bertukar jadi romantis. Tidak lagi meninggikan suaranya
seperti sewaktu mereka bertengkar tadi.
‘Sherry’ kehairanan melihatnya.
‘Betullah, aku dah agak dah. Dia ni
memang ada masalah emosi pun. Bila dia rasa nak marah, dia akan marah. Bila dia
rasa nak senyum, dia akan senyum macam orang gila!’
“Tak lama lagi akan ada majlis kenduri secara besar-besaran dekat kampung
kau tu. Kenduri tu akan diadakan betul-betul dekat depan rumah kau. Hah waktu tu
nanti, kau boleh jumpa seluruh penduduk kat dalam kampung tu, termasuk ketua
kampungnya sekali untuk lepaskan rindu kau tu. Tapi sekarang ni, kau kena ikut
aku balik vila dulu okay. Ada perkara yang kita kena settlekan sebelum nak buat kenduri tu nanti.” Sempat lagi Azfahan
mengenyitkan sebelah matanya. Kali ini, dengan senyuman yang menggoda pula.
Malangnya, sedikit pun ‘Sherry’ tidak tergoda. ‘Kalau perempuan lain,
mungkinlah dia boleh guna skill macam tu. Tapi bukan perempuan macam aku okay!’
‘Sherry’ buat muka meluat, sambil mencebikkan bibirnya.
“Eh jap! Kenduri? Kenduri apa pulak kau maksudkan tadi? Kenduri arwah ke?
Kalau tengok dari cara kau memandu tadi, maaf cakaplah, aku memang tak yakin
kau boleh hidup lama dekat dunia ni. Tapi takkanlah kau nak buat kenduri arwah
khas untuk diri kau sendiri pulak? Dan kalau betullah, kenapa mesti buat dekat
rumah aku?” ‘Sherry’ bertanya seperti orang bodoh. Nasib baiklah Azfahan dah
biasa. Kalau tak, mahu tersentap hati lelaki itu.
“Kenduri kahwin lah.” Ringkas sahaja jawapan yang diberikan Azfahan. Dia
yang sudah memandang semula ke hadapan, tersenyum seorang. Terfikir juga.
Bagaimanalah reaksi ‘Sherry’ nanti bila diberitahu tentang hal sebenar. Apakah
gadis itu akan menolaknya mentah-mentah?
‘Sherry’ nampaknya semakin bingung dengan teka-teki itu.
“Kahwin? Siapa pulak yang nak kahwin ni?” soalnya dengan dahi yang
berkerut.
“Kita,” jawab Azfahan. Masih ringkas.
“Kita? Maknanya kau kahwin dengan Sazzy, tapi aku dengan siapa pulak?” Lurus
cara Sherry bertanya. Mukanya masih ketara bingung...
Azfahan menggeleng sambil mengeluh. Susah jugak bercakap dengan manusia
lurus bendul ni. Aku dah malu ni, dia pulak sibuk nakkan jawapan yang
terperinci. Mana boleh! Jatuhlah ego aku!
Namun, Azfahan tetap jawab juga.
“Kau akan kahwin dengan aku.”
“Kau ni... Aku serius ni. Janganlah main-main pulak. Jawablah betul-betul!”
marah ‘Sherry’.
Azfahan mengeluh lagi.
“Betullah... Aku memang nak kahwin dengan kau pun. Kalau boleh, lagi cepat
lagi bagus.” Merah muka Azfahan sewaktu dia membuat pengakuan itu. Dia cuba
mencari sesuatu yang boleh dia lemparkan pandangannya sejauh mungkin.
‘Ya ALLAH, malunya! Rupanya inilah rasanya bila nak confess kalau kita dah sukakan seseorang. Selama ni manalah pernah
aku mulakan dulu. Kalau dengan girlfriends
aku sebelum-sebelum ni pun, hurmmm...
seingat aku diorang yang buat confession dulu. Termasuklah Sazzy si
supermodel tu. Tapi dengan budak kampung ni pulak, aku yang terpaksa rendahkan
ego aku. Hebat sangat ke budak ni?’
Sherry diam tidak berkata apa-apa. Terharukah dia? Tidak! Dia cuma
kasihankan Azfahan.
“Hurmmm... Kau dah tak ada cara
lain lagi ke? Kau dah fikir masak-masak tak ni?” ‘Sherry’ mengeluh lagi sebelum
dia menarik nafasnya dalam-dalam, kemudian dihembus dengan rasa berat.
“Aku tahulah kau memang kesiankan dekat mummy kau tu. Aku pun memang kesian
jugak dekat dia. Mummy kau memang beriya-iya sangat nak aku jadi menantu dia.
Tapi, kau kenalah cuba fahamkan dia yang kau dengan aku takkan mungkin dapat
bersatu walau sampai bila-bila. Aku tahu kau tengah terdesak sangat sekarang
ni. Tapi janganlah sampai kau paksa diri kau tu untuk melakukan pengorbanan
sampaikan kau sanggup nak kahwin dengan perempuan macam aku ni, semata-mata nak
jaga hati mummy kau tu...”
Hati ‘Sherry’ kembali sebak bila mengingatkan Puan Sri Zahlia. Tapi apalah
dayanya, dia sendiri tidak mampu melakukan pengorbanan sebesar itu.
“Eh, kau dah salah faham sebenarnya ni. Aku... aku.... errrr... Aku memang nak kahwin dengan kau pun. Aku buat keputusan
ni dengan rela hati aku sendiri. Bukan sebab aku kasihankan mummy aku. Tapi
aku... aku... Sebenarnya aku memang dah lama sukakan kau. Aku nak hidup dengan
kau,” luah Azfahan seikhlas hati. Saat ini, hilang sudah perasaan malunya. Tak
jantanlah kalau benda-benda macam ni pun nak malu!
‘Sherry’ nampak terkejut pada awalnya. Memang sukar untuk dia percaya. Tapi
dia dapat lihat keikhlasan yang terpancar jelas pada muka Azfahan. Tapi
entahlah... Susah nak cakap. Dia sendiri tak dapat nak respon apa-apa.
Sukakah dia dengan pengakuan jujur itu?
“Eh, janganlah kau diam macam tu aje. Please
say something. Sudi tak kau jadi bini aku, masak sedap-sedap untuk aku,
basuh baju dan seluar dalam aku, urut badan aku tiga jam sehari dan layan aku
macam anak raja?” Azfahan menjongketkan
kedua belah keningnya. Bibirnya menyenget membentuk senyuman nakal.
‘Sherry’ yang sedang mengelamun memikirkan keputusan yang sedang dibuat,
terkejut dengan soalan itu.
‘Dia ni kan! Kalau ya pun nak melamar aku, tak boleh ke romantic sikit? Tahulah awak tu manusia
yang tak berperasaan! Hal-hal macam ni pun dia nak kenakan aku jugak! Hampeh betul!’
“Tengoklah dulu.” Sengaja ‘Sherry’ memilih untuk main tarik tali. Iyalah,
kalau sebelah pihak lelaki dah macam tak serius saja, dia pun malas nak serius.
Takut orang cakap dia pula yang beriya-iya.
“Eleh, marah lah tu. Aku gurau ajelah tadi. Cepatlah! Kau setuju tak dengan
lamaran aku tadi? Janganlah diam aje. Nampak sangat kau macam susah nak percaya
sebab kena lamar dengan lelaki sehandsome
aku kan?” Azfahan mengejek dengan senyuman. Bulat mata Sherry memandangnya.
“Eh, perasan. Aku diam sebab aku tengah fikir sama ada aku nak pilih kau,
ataupun mamak roti canai kat kampung aku yang seksi dengan bulu-bulu dekat dada
dia tu. Ya Allah, susah betullah nak buat keputusan sebab dua-dua macam lebih
kurang aje.” Giliran ‘Sherry’ pula yang menyakat Azfahan. Kepalanya sengaja
dipicit-picit dengan mukanya seolah-olah sedang menahan sakit. Kononnya tengah
peninglah tu sebab susah sangat nak buat keputusan.
“Sampainya hati kau samakan aku dengan mamak tu. Kau tak nampak ke betapa
jauh lebih hebat aku lagi daripada mamak roti canai tu!” Azfahan pura-pura
merajuk. Dia terus berpusing memandang ke hadapan.
Tersenyum. Menggeleng-geleng ‘Sherry’ melihat gelagat Azfahan.
“Alah, merajuk pulak bakal suami saya ni,” ucap ‘Sherry’ tiba-tiba, dengan
suara yang sangat romantis. Azfahan terus menegakkan badannya lalu dia menoleh.
Dia lihat ada senyuman malu-malu pada bibir ‘Sherry’.
‘Bakal suami?’ Berbunga-bunga hati Azfahan ketika ini. Rasa macam nak suruh
‘Sherry’ ulang sekali lagi. Tapi malaslah. Nanti dia ingat aku ni dah angau
sangat.
Apa-apa pun, dia dah terima lamaran aku! Yahooo...
“Eh, geraklah cepat! Berangan pulak dia. Suka sangat ke dapat kahwin dengan
budak kampung yang kolot ni?” ‘Sherry’ tersenyum puas hati.
Azfahan pula tersentap dengan sindiran itu. Terpaksalah dia gigit bibir
menahan pedasnya sindiran. Nak buat apa lagi, terpaksalah dia diam dan hadam
saja kata-kata itu. Iyalah, dulu dia yang selalu sangat rendah-rendahkan gadis
itu. Kolotlah.. Kampunglah... Macam-macam lagi penghinaan yang dia lemparkan
pada ‘Sherry’. Tapi sekarang, yang kolot itu jugalah yang dia angaukan.
“Urmmm... Maaflah. Selagi kau tak
pindah duduk dekat sebelah aku kat depan ni, aku takkan gerak. Sebagai bakal
isteri, kau kenalah hormatkan aku. Aku bakal suami kau, bukannya driver kau!”
Belum apa-apa lagi Azfahan dah nak tunjuk kuasa. Bukan main tegas lagi
suaranya sewaktu mengeluarkan arahan itu.
‘Sherry’ yang tercabar sudah tentulah tidak akan berdiam diri begitu saja.
“Mana boleh! Kau tetap seorang lelaki yang belum halal untuk aku. Tak
manislah kalau kita duduk rapat-rapat kat depan tu. Jadi nak tak nak, selagi
kita belum sah bergelar pasangan suami isteri, terpaksalah kau anggap diri kau
tu tak lebih daripada sekadar driver
aku! Jangan marah... Sekali-sekala, teringin jugak aku nak rasa macam mak datin
bila duduk sorang-sorang kat seat
belakang ni. Haha... Jahatnya aku.” Seperti biasa, ‘Sherry’ akan ketawa dengan
gaya yang langsung tidak sedap untuk didengar dan dipandang.
Azfahan yang kehabisan idea nak melawan, hanya mampu mencebikkan bibir, dan
dengan reaksi mukanya yang meluat, dia mula memandu sambil bersiul-siul dan
sesekali dia menyanyi dengan sekuat hati sehinggakan pemandu-pemandu lain pun
sudah tertoleh-toleh ke arahnya.
Bukan main bersemangat lagi dia menyanyi dengan muka yang penuh dengan
penghayatan dan emosi. Memang sengaja pun dia buat macam tu sebab telinganya
sekarang ni tengah sakit bila terpaksa dengar suara ‘Sherry’ yang masih sengaja
mentertawakannya.
Kali ini, ‘Sherry’ pula yang rasa sakit hati dan sakit telinga sebab
terpaksa dengar suara Azfahan yang sumbang itu. Itulah satu perkara yang dia
baru perasan tentang Azfahan. Selama ini, dia merasakan lelaki itu sudah cukup
sempurna pada pandangan matanya. Memiliki raut wajah yang tampan, tubuh yang
tegap dan boleh dikatakan tinggi jugalah bagi seorang lelaki Melayu. Ingatkan
semua tu dah cukup sempurna tapi suara dia bila menyanyi, mak aihhhh... Kalau pergi mana-mana audition nyanyian ni, bukan setakat dapat kad merah, tapi rasanya
lagi sesuai kalau diberikan penampar!
“Cukuplah tu nyanyi sikit-sikit. Kalau kau tak sanggup nak sehidup semati
dengan seorang perempuan yang cacat pendengaran selepas terpaksa dengar suara
kau yang sumbang tu, baik kau diam sekarang. Lagipun aku ada benda nak tanya
dekat kau ni...”
Azfahan mencebik.
“Tanya ajelah. Tak payah nak minta izin. Bukannya aku kenakan bayaran pun
sebab aku tahu kau takkan mampu. Berapa sen sangatlah yang ada dalam purse kau tu.”
Ceh! ‘Sherry’ pula yang mencebikkan bibir.
“Kenalah minta izin. Sebab soalan yang aku nak tanya ni romantic sikit bunyinya.”
“Teruskan. Selagi kau rasa soalan kau tu tak buat aku rasa nak termuntah.”
‘Sherry’ mendengus dengan kebekuan
bakal suaminya sendiri. Agaknya, boleh ke aku hidup dengan lelaki yang tak
berperasaan macam dia ni ya? Langsung tak romantic.
Padahal aku dah rela hati nak keluarkan soalan yang dicopy daripada budak-budak remaja yang bercinta sampai sanggup
terjun bangunan, tapi dia pulak langsung tak nampak teruja nak jawab soalan yang
aku nak tanya dia kejap lagi ni.
“Cepatlah! Malas betullah aku dengan kau ni. Semua benda pun lambat!” Itu
pulak yang keluar dari mulut dia. Bukan main kasar lagi dia desak aku. Kata aku
ni bakal isteri dia, tapi cara dia bercakap dengan aku langsung tak pernah nak
berubah! Benci betullah!
“Tak ada apa-apa lah. Aku pun dah lupa apa yang aku nak tanya kat kau.” ‘Sherry’
jelas sekali tersinggung dengan layanan Azfahan yang kasar itu.
Azfahan pula boleh lagi tersenyum-senyum sebaik dia lihat ‘Sherry’ menerusi
cermin pandang belakang yang sedang berkecil hati dan sudah menoleh memandang
ke luar tingkap.
“Alah, janganlah merajuk.,” pujuk Azfahan tetapi ‘Sherry’ buat-buat tidak
dengar saja.
“Okaylah... Aku akan jawab soalan yang kau nak tanya dekat aku tu. Dengar
sini jawapannya baik-baik. Okay, sebenarnya dah lama juga aku perasan yang aku
sukakan kau. Lebih-lebih lagi sejak engkau sanggup buat apa saja yang aku
suruh. Kau sanggup sakitkan hati mummy aku dan dibenci oleh mummy walaupun aku
tahu kau sangat sayangkan dia. Tapi, kau tak pernah nak ambil kesempatan untuk
desak atau hasut mummy aku supaya aku pilih kau sebagai isteri walaupun kau
sendiri tahu yang kau adalah calon menantu kesayangan mummy. Pada aku, kau
seorang yang tak pentingkan diri sendiri sebab itulah kau sanggup lepaskan
lelaki yang terlalu sempurna macam aku ni walaupun perempuan macam kau ni
apalah sangat. Dah lah tak cantik, lurus bendul pulak tu. Kalau tak kerana aku
sanggup nak ambil kau jadi isteri aku, jangan haraplah angan-angan kau nak
dapat hero handsome-handsome macam
dalam novel-novel melayu tu jadi kenyataan.”
Tercengang ‘Sherry’ mendengarnya. Baru saja dia nak rasa terharu dengan
pujian yang Azfahan lemparkan. Malangnya, ayat-ayat di hujung itu mematikan
terus perasaan teruja dan terharunya. Suka-suka hati dia aje nak kutuk aku. Ah,
tak kisahlah tu! Macamlah aku tak biasa dengan mulut dia yang berpuaka tu!
Cuma yang menghairankan, macam mana dia macam tahu-tahu aje soalan yang aku
nak tanya dekat dia tadi padahal aku belum pun buka mulut nak tanya soalan tu.
Tapi jawapan yang dia bagi tu memang jawapan yang aku nak dengar pun
berdasarkan soalan yang aku tak jadi nak tanya tadi tu. Apa dia ni ada
kelebihan boleh baca fikiran orang ke?Aku belum tanya, dia dah tahu apa nak
jawab.
Dengan dahi berkerut-kerut, ‘Sherry’ memandang dari belakang dengan muka
penuh kesangsian.
“Kenapa pandang aku macam tu sekali? Terkejut ke sebab aku boleh tahu
soalan yang kau tak jadi nak tanya tadi tu?”
Masing-masing diam.
“Iyalah... aku tahu. Aku ni mungkin
bukanlah seorang lelaki yang romantic.
Aku tak pandai nak cakap lembut-lembut dengan kau. Tapi aku ni lelaki yang
sangat memahami tau. Sebab itulah aku boleh baca isi hati bakal isteri aku
sendiri...”
Giliran Azfahan pula yang menyentuh hati ‘Sherry’ dengan perkataan ‘bakal
isteri’ sebagaimana ucapan ‘bakal suami’ yang Sherry ucapkan tadi. Lalu,
kedua-duanya tersenyum.
Bahagia...
“MALAM ni kita sewa dekat hotel
dulu lah.” Azfahan memberikan cadangan.
Ketika ini mereka sudah pun berada di Jerantut. Tinggal lebih kurang
kira-kira lima belas minit lagi untuk sampai ke vila.
“Kenapa pulak?” soal ‘Sherry’ dengan dahi yang berkerut-kerut tetapi
tidaklah nampak begitu terkejut dengan idea yang agak gila itu memandangkan dia
sendiri sebenarnya belum bersedia untuk berhadapan dengan Puan Sri Zahlia.
“Aku tak bersedia lagi lah nak jumpa dengan mummy aku. Mummy aku tu kalau
kau nak tahu bila sekali dia dah bencikan orang, bukannya senang dia nak
lupakan. Jadi aku fikir malam ni kita tidur hotel dulu lah. Nanti aku akan
fikirkan apa yang patut kita buat sebelum kita jumpa dia.”
‘Sherry’ mengangguk setuju. “Okay aje. Tapi disebabkan kau dah terlalu
banyak menyusahkan hidup aku, aku nak buat special
request sikit. Dengar baik-baik ya. Ehem,
ehem...” ‘Sherry’ berpura-pura mengurut kerongkongnya.
“Apa saja, tuan puteri...”
“Bagus. Malam ni, kalau boleh aku nak tidur dekat hotel lima bintang. Tapi
aku tak nak bilik kecik. Aku nak kau tempahkan untuk aku presidential suite. Pagi esoknya pulak, bila aku bangun aje aku tahu sarapan dah siap
dihantar ke bilik aku. Lepas sarapan, aku nak kau terus bawa aku pergi spa
dekat hotel tu. Badan aku ni sakit-sakit sebab dah banyak kali tertolak-tolak
duduk kat belakang ni. Semuanya kau punya pasal! Bawa kereta bukan main laju,
tak fikirkan bahaya langsung. Macamlah kau tu ada extra tujuh nyawa!”
Azfahan tersenyum mendengarkan bebelan itu. Walaupun badannya sendiri penat
dan lenguh setelah memandu berjam-jam, dia tetap berasa seronok dan terhibur
bila ‘Sherry’ ada bersama dan melayan dia berbual-bual dengan lawak bodohnya.
Terasa sekejap saja perjalanan dari Perak ke sini.
“Anything for you, my
dear. Tapi jangan marah pulak kalau aku potong duit hantaran untuk kau nanti,”
guraunya.
“Duit hantaran tu kalau kau nak potong, aku memang tak kisah langsung. Aku
bukannya mata duitan pun. Cuma kau kena pastikan barang hantaran yang kau nak
bagi nanti mesti ada koleksi terbaru pereka fesyen kesayangan aku, Rizman
Ruzaini, juga koleksi terbaru edisi terhad beg tangan jenama Gucci, kasut
jenama Louis Vuitton, perfume dari Chanel, selendang dari Burberry, purse
jenama Fendi, dan jam tangan jenama Tag Heuer. Dah, itu aje kot setakat ni.”
Azfahan membulatkan matanya. Dia sudah pun memberhentikan keretanya di
hadapan salah sebuah hotel mewah yang terdapat di Jerantut.
“Patutlah kau tak kisah duit hantaran kena potong. Bukan main banyak lagi
yang kau mintak aku belikan!”
‘Sherry’ buat-buat bodoh saja.
“Mestilah! Kau yang sibuk sangat nak kahwin dengan aku kan? Jadi aku tak
kira. Kau kena jugak berhabis-habisan untuk wedding
kita nanti. Aku nak wedding kita tu
sekurang-kurangnya jadi cover story
untuk semua jenis majalah pengantin yang ada dekat Malaysia ni. Lagi satu, aku
nak ingatkan kau awal-awal yang aku tak nak kahwin kat dalam hotel tapi aku
nakkan sebuah perkahwinan eksklusif dekat dalam taman yang penuh dengan
bunga-bunga. Dan semasa kita bersanding nanti, paling kurang pun mesti kena ada
tiga orang penyanyi yang akan nyanyikan lagu-lagu romantic dengan iringan piano dan juga biola, khas untuk kita
selaku raja sehari pada hari yang paling bermakna itu nanti. Kalau tak ada
semua tu, aku tak nak kahwin dengan kau!” ugut ‘Sherry’.
Azfahan mencebik lewat permintaan itu. Terpaksalah dia mengangguk saja.
Sayang punya pasal!
“Jangan risau, awal-awal lagi aku dah booked
Dato’ Siti Nurhaliza untuk perform
masa wedding kita nanti.” Azfahan
senyum bangga. Sememangnya awal-awal lagi dia sudah memikirkan untuk mengadakan
sebuah majlis yang istimewa untuk kepuasan bakal isterinya itu.
“What? Dato’ Siti Nurhaliza? Apa
barang penyanyi Malaysia! Tak nak lah aku! Aku nak kau tempah Mariah Carey
untuk wedding show kita nanti. Tapi
aku tak nak dia pakai seksi-seksi. Kalau boleh, suruh dia pakai selendang,
nampaklah sopan sikit. Lagi satu, kalau boleh aku nak dia nyanyi lagu Melayu.
Kalau lidah dia liat sangat tak boleh nyanyi lagu Melayu, biar nanti aku
sendiri yang akan lumur mulut dia dengan sambal belacan.”
Azfahan senyum hambar mendengar impian perkahwinan yang mengarut itu sambil
kepalanya menggeleng. Barulah dia sedar yang sekarang ini ‘Sherry’ sedang
mengenakannya. Terkekek-kekek ‘Sherry’ mentertawakannya dari belakang.
“Aku harap sangat anak-anak kita nanti ikut perangai aku yang cerdik ni.
Supaya tak ada lah diorang semua memanjang aje merapu bukan-bukan macam mama
diorang yang ‘tiga suku’ ni.” Selamba Azfahan mengutuk bakal isterinya.
“Mama? Eh, tak best lah guna panggilan
‘mama’. Aku nak anak-anak kita nanti panggil aku Umi. Kau pulak, diorang akan
panggil kau Abi. Itulah salah satu impian aku bila kita dah dapat anak nanti
kalau kau nak tahu. Mesti sweet kan?”
Terpejam-pejam mata ‘Sherry’ membayangkannya. Sampaikan dia tak sedar sekarang
ini, Azfahan pula yang sedang tunggu masa untuk kenakannya.
“Amboi, siap pejam-pejam mata lagi. Kau tengah berangan fikir pasal nak
dapat anak atau tengah bayangkan cara-cara nak ‘buat’ anak? Belum apa-apa lagi
dah excited semacam aje aku tengok.”
Azfahan menggeleng, sambil sengih.
“Nampaknya terpaksalah aku book siap-siap
percutian untuk kita honeymoon lepas kahwin nanti. Tak pun, malam pertama aje,
kita terus cabut pergi bercuti kat mana-mana. Just both of us. Yeahhhh darling... only you and me...” Sempat lagi
Azfahan menoleh lalu mengenyitkan matanya dengan gaya paling seksi. Begitu juga
dengan suaranya yang berbisik halus pada ayat yang hujung-hujung itu.
Tersangatlah seksi sehingga meremangkan bulu roma Sherry yang mendengarnya.
‘Kenapa ya kalau sebut pasal honeymoon aje mesti kena buat gaya seksi
macam tu? Otak kuning betullah dia ni!’