Thursday, 21 March 2013

Isteri Paling Kelakar (BAB 35)


35




SUDAH bermacam-macam cara yang telah ‘Sherry’ lakukan untuk membuatkan Puan Sri Zahlia menghalau dirinya keluar dari vila itu. Tapi semuanya gagal. Apa saja kesalahan yang telah sengaja dia lakukan, Puan Sri Zahlia seperti buat-buat tidak nampak saja. Malah wanita itu langsung tidak berkecil hati jauh sekali nak marah-marah.
Kadangkala dia terfikir, perlukah dia bertukar menjadi sejahat-jahat manusia macam kat dalam sinetron Indonesia tu semata-mata nak buat Puan Sri Zahlia benci kepadanya? Dan adakalanya, mahu sahaja dia melarikan diri sehingga ke luar negara. Selesai segala masalah dan dia yakin yang tiada sesiapa dapat mencarinya. Jadi, tidaklah dia perlu dipaksa berkahwin dengan Azfahan. Tapi dia sedar, dia tidak akan sanggup untuk melakukan semua itu.
Dalam minggu ini, rasanya eloklah dia berperang habis-habisan sehinggalah dia berjaya menyebabkan Puan Sri Zahlia membencinya. Rasanya peluang kali ini akan digunakannya habis-habisan memandangkan sekejap lagi Puan Sri Zahlia perlu menghadiri majlis ulangtahun perkahwinan sahabat baiknya.
Dengar cerita, ramai juga artis yang akan hadir ke majlis tersebut memandangkan suami sahabat baik Puan Sri Zahlia itu merupakan seorang penerbit filem yang tersohor di Malaysia ni. Majlis ulangtahun perkahwinan itu pun memang sengaja diadakan serentak dengan majlis menghargai artis yang bernaung di bawah label syarikat, ataupun pelakon-pelakon yang pernah menjayakan filem-filem terbitan syarikat suami  sahabatnya baiknya itu.
Awalnya, Puan Sri Zahlia memang tidak mahu pergi. Tapi mengenangkan pelakon Wan Maimunah juga tersenarai antara artis yang akan hadir, terus berkobar-kobar semangatnya untuk pergi ke majlis itu. Peminat setia Wan Maimunah lah katakan!
Apa lagi, melaram sakanlah dia. Awal-awal lagi dia sudah melantik ‘Sherry’ untuk mendandan wajahnya. Itupun disebabkan ‘Sherry’ sendiri yang beriya-iya menawarkan diri. Kalau ikutkan dia, biasanya setiap kali dia perlu menghadiri mana-mana undangan majlis, dia akan ke salon terlebih dahulu dan sebagai seorang wanita yang cukup menjaga penampilannya, dia memiliki jurusolek dan juga perunding imej peribadi yang akan memastikan penampilannya sentiasa bersesuaian dengan majlis yang akan dihadirinya. Tetapi bila dia lihat ‘Sherry’ sudah beriya-iya mahu mendandannya, tidak sampai hati pula dia mahu menolak walaupun dia sedar gadis itu bukannya ada kepakaran menyolek. Namun demi menjaga hati bakal menantu, dia ikutkan sahaja kehendak ‘Sherry’ meskipun hatinya was-was juga memikirkan mukanya yang bakal ‘dikerjakan’.
Tepat jam 8.00 malam, Puan Sri Zahlia sudah siap mandi dan menyarungkan bathrobe pada tubuhnya. Dia lihat ‘Sherry’ sudah sedia menunggunya sambil duduk di birai katil. Lalu dia pun mencapai gaun biru laut yang yang baru diambilnya dari butik malam tadi. Gaun yang mendapat sentuhan pereka fesyen kesayangannya, Zery Zamry yang sentiasa menghasilkan rekaan yang mewah dan eksklusif. Apatah lagi apabila gaun itu diserikan lagi dengan gabungan batu Swarovski, mutiara laut selatan dan kristal yang terhias di atas kain lycra Jepun berwana biru laut sepanjang tujuh meter. Dia sudah membayangkan betapa anggunya dia dengan gaun itu nanti.
‘Sherry’ turut memujinya melambung-lambung sebaik dia menyarungkan gaun itu ke tubuhnya. Dia sendiri berpuas hati melihat penampilannya di hadapan cermin.
Lantas, dia terus mengambil tempat duduk di hadapan meja solek. Anehnya, ‘Sherry’ tiba-tiba menarik tubuhnya dan menyuruh dia duduk di atas katil.
“Kenapa auntie tak boleh duduk kat depan cermin pulak?” soal Puan Sri Zahlia dengan dahi yang berkerut-kerut. Malam itu, dia lihat bakal menantunya itu nampak aneh semacam. Baru tanya soalan macam tu, ‘Sherry’ dah menggelabah tak tentu pasal. Pelik betullah budak ni!
Errrr...urmmm.. Bukan apa auntie. Kalau auntie duduk depan cermin, tak surpriselah. Bila dah siap sepenuhnya nanti, barulah Embun izinkan auntie tengok muka auntie tu dekat cermin okay?” ‘Sherry’ cuba menjawab dengan selancar yang mungkin dan apabila Puan Sri Zahlia mengangguk, barulah dia berasa lega kerana sebentar tadi dia perasan yang wanita itu seperti mencurigainya.
Sebaik Puan Sri Zahlia memejamkan matanya rapat-rapat, ‘Sherry’ pun memulakan kerja menyolek wajah wanita itu.
Lama jugalah dia mengambil masa untuk menyempurnakan dandanannya, sampaikan boleh tertidur Puan Sri Zahlia menunggu dia menyelesaikan tugasnya. Puan Sri Zahlia ni nampak saja anggun dan elegan, tapi bila berdengkur, azablah bagi sesiapa yang mendengarnya.
Namun ‘Sherry’ tidak pedulikan sangat. Cuma dia mengeluh bila melihat hasil solekannya pada muka Puan Sri Zahlia. Memang sengaja dia buat begitu supaya Puan Sri Zahlia akan memarahinya nanti. Tapi, rasa menyesal pun ada juga. Dia rasa apa yang baru dilakukannya itu sangat melampau, sangat keterlaluan.
‘Sherry’ nekad ingin berpatah balik. Dia ingin mencuci dan membersihkan semula kesan solekan yang baru siap didandannya pada muka Puan Sri Zahlia itu.
Namun, baru saja dia ingin bertindak, deringan telefon terlebih dahulu mengejutkan tuannya. Puan Sri Zahlia pun terjaga dan terus menjawab panggilan yang masuk.
 “Hah? Wan Maimunah dah sampai? Apa? Dia nak balik dah? Alah, kenapa sekejap sangat dia datang? Okaylah, aku datang sekarang jugak! Kalau dia dah nak gerak balik, kau cepat-cepat halang dia. Cakap kat dia, die hard fan dia dah berpuluh-puluh tahun tunggu masa nak jumpa dengan dia. Aku melaram sakan ni pun sebab nak jumpa dia tau!” Terus telefon bimbitnya dimatikan setelah dia berpesan begitu.
Dalam keadaan huru-hara dan kelam-kabut itu, Puan Sri Zahlia cepat-cepat mencapai beg tangannya. Dan tanpa melihat penampilannya terlebih dahulu di hadapan cermin, dia terus berlari keluar dengan keadaan tergesa-gesa sebelum sempat ‘Sherry’ menghalangnya.
Peluang untuk berjumpa dengan Wan Maimunah artis favouritenya sepanjang masa itu tidak harus dilepaskan begitu saja. Sejak zaman dia baru mendirikan rumah tangga sekitar awal 1970 lagi dia sudah meminati pelakon itu, sehinggalah sekarang ini. Walaupun ketika ini semua kaum perempuan tergila-gilakan Aaron Aziz, minatnya tetap pada Wan Maimunah seorang dan sentiasa menonton apa sahaja drama yang dilakonkan oleh bintang pujaannya itu. Kalau setakat Aaron Aziz, rasanya dia sendiri mempunyai dua orang anak lelaki yang jauh lebih handsome daripada pelakon tersebut. Jadi mungkin sebab itu dia tidak kisah sangat agaknya walaupun dia diberitahu bukan saja Aaron Aziz, malah pelakon Adi Putra dengan Randy Pangalila, pelakon tampan dari seberang itu pun dikhabarkan akan turut hadir ke majlis itu.
Sayangnya, dia hanya meminati Wan Maimunah seorang saja. Lebih-lebih lagi apabila pelakon itu membawa watak air mata siap dengan tuala Good Morning yang sentiasa tersidai dekat atas bahunya. Melihat tuala buruk itu pun dia sudah terasa sedih dan menangis beriya-iya setiap kali dia menonton lakonan berkesan daripada pelakon kesayangannya itu.
Terfikir juga. Kalaulah Wan Maimunah hadiahkan dia tuala Good Morning yang dah penuh dengan hingus pelakon itu pun, dia sanggup menerimanya dengan rasa besar hati. Malah dia sendiri yang akan framekan tuala itu dan gantungkannya dekat dinding ruang tamu rumahnya. Barulah namanya peminat nombor satu kan?
Dan kalau nak tahu, fanpage ‘We Love Wan Maimunah’ kat dalam Facebook tu, dia lah yang gigih mengusahakannya tapi malangnya Wan Maimunah sendiri tak like fanpage tu. Kasihan sungguhlah nasib peminat yang tak dihargai sorang ni!
Dan disebabkan Wan Maimunah jugalah, sekarang ini dia terkejar-kejar begitu sampaikan dia boleh terlupa untuk membelek mukanya yang telah ‘dikerjakan’ oleh ‘Sherry’ itu terlebih dahulu. Minat sampai tak ingat dunia!
Tapi, bagaimanalah agaknya rupa Puan Sri Zahlia ketika ini ya? Teruk sangat ke ‘Sherry’ kerjakan?




MEMANDANGKAN Tan Sri Jaafar terpaksa menghadiri majlis lain, jadi Puan Sri Zahlia terpaksa memandu sendiri ke Hyatt Regency Kuantan Resort di mana majlis itu sedang berlangsung. Pernah beberapa tahun dulu dia bercuti bersama dengan suaminya di hotel tersebut jadi tidak ada masalah bagi dia untuk memandu ke sana.
Dia cukup sukakan keadaan dan suasana persekitaran hotelnya yang tenang dan mendamaikan. Paling membuatkan dia teruja adalah sewaktu makan malam di situ tidak lama dulu memandangkan tempat makan di dalam hotel itu ada disediakan ruang makan eksklusif yang betul-betul menghadap laut.
Jarak hotel tersebut tidaklah terlalu jauh dari vilanya. Kira-kira 20 minit perjalanan sahaja untuk menuju ke sana.
Sewaktu Mercedes-Benz CLS-Class yang dipandunya naik ke satu lorong yang membawanya masuk ke halaman hotel tersebut, dia lihat dua orang penyambut tetamu dan beberapa orang bell boy yang tercegat berdiri di depan pintu hotel nampak terkejut dan mereka semua terus berundur ke belakang. Keadaan itu dipandang Puan Sri Zahlia dengan rasa pelik. Sampaikan dia sendiri pula yang terpaksa membuka pintu keretanya sendiri.
‘Tahu makan gaji buta aje budak-budak ni semua!’ kutuknya di dalam hati.
Sedar yang dia mungkin merupakan tetamu yang paling lewat, jadi dia pun malas untuk memikirkan tentang semua itu walaupun kalau ikutkan hatinya yang mudah panas itu, mahu sahaja dia bersemuka dengan pihak pengurusan hotel bagi mengadu tentang kebiadaban pekerja-pekerja mereka.
Sangkanya kejadian pelik itu berakhir setakat di depan hotel saja. Tetapi sewaktu dia naik tangga-tangga hotel untuk menuju ke salah sebuah dewan yang terdapat di dalam bangunan itu, sekali lagi dia berhadapan dengan fenomena yang lebih kurang sama.
Dia lihat beberapa pekerja hotel di bahagian receptionist pun memandangnya sampai terbelalak biji mata. Begitu juga dengan pekerja-pekerja dan pengunjung-pengunjung yang berselisih dengannya sewaktu dia mendaki anak-anak tangga.
Malas mahu serabutkan fikirannya sendiri, jadi dia anggap sajalah gaun yang dipakainya itu terlalu mewah rekaannya setakat untuk menghadiri majlis ulangtahun perkahwinan. Mungkin faktor itu yang membuatkan banyak mata memandangnya dengan rasa hairan. Atau boleh jadi juga mereka semua sebenarnya berasa takjub dan kagum bila terpandangkan kulit mukanya yang jauh lebih tegang dan anjal daripada diva Anita Sarawak walaupun usianya sudah melewati ‘senja’. Itu yang masing-masing sampai tercengang-cengang agaknya tu.
Puan Sri Zahlia tersenyum tiba-tiba bila memikirkan kebarangkalian-kebarangkalian itu. Sampai tertunduk-tunduk dia berjalan menuju ke pintu dewan sambil tersengih-sengih malu.
Perasan sungguhlah Puan Sri Zahlia ni! Kalaulah dia tengok keadaan mukanya sekarang ini di depan cermin, tentu dia tidak akan tersengih-sengih malu begitu. Tentu sekarang juga dia akan mengambil keputusan untuk berpurdah dek kerana tidak sanggup untuk menanggung malu. Malangnya, sampai sekarang pun dia masih belum melihat mukanya dekat cermin. Jadi dia sendiri tidak tahu mengapa semua orang memandangnya dengan pandangan aneh begitu.
Buat apa nak fikirkan sangat. Aku bergaya sakan pun sebab nak orang pandang jugak kan? Jadi, buat selamba sudahlah...
Secara senyap-senyap Puan Sri Zahlia masuk ke dalam dewan, bimbang dan malu kalau dirinya yang lewat itu menjadi perhatian tetamu yang datang. Mujurlah sekarang ini dia masuk mengikut pintu belakang.
Dia dapati keadaan di dalam dewan itu senyap dan terkawal sewaktu dia masuk ke dalam memandangkan ketika itu di atas pentas, penyanyi Kaer daripada program Akademi Fantiasa yang pernah popular suatu ketika dulu sedang mendendangkan lagu barunya khas buat pasangan yang sedang meraikan hari bersejarah mereka.
Tiba-tiba, di pertengahan lagu, dewan itu bergema dengan jeritan seorang kanak-kanak kecil yang seperti sedang ketakutan. Bukan setakat menjerit. Kanak-kanak perempuan itu juga meronta-ronta dan meraung-raung sambil menangis ketakutan dengan suara yang sangat membingitkan telinga.
Puan Sri Zahlia sudah mula berasa tidak sedap hati. Rasanya, sebelum budak kecil itu menangis, kanak-kanak perempuan itu tadi sedang berlari-lari mengejar seorang lagi kanak-kanak yang lebih kurang sebaya dengannya. Tapi, sebaik terpandangkan saja mukanya, kanak-kanak itu terus berundur dan berlari semula ke belakang dengan mukanya yang pucat ketakutan.
Puan Sri Zahlia terus memandang ke arah kanak-kanak perempuan yang masih menangis walaupun sedang dipujuk oleh kedua ibu bapanya. Puas ibu bapanya memujuk, anak kecil itu hanya menggeleng-gelengkan kepalanya tetapi masih tidak mahu menanggalkan kedua belah tapak tangannya yang melekat kuat menutup seluruh mukanya. Hanya dari celah-celah jarinya sahaja budak kecil itu cuba mencuri-curi pandang. Kemudian, tangannya naik tegak dan jari telunjuknya lurus menuding ke satu arah. Dan arah yang ditunjukkannya ialah...
‘Aku?’ Puan Sri Zahlia mengerutkan dahinya.
Maknanya, memang betullah firasat aku yang budak kecil tu menangis sebab tengokkan muka aku ni? Tapi kenapa? Apa yang tak kena dengan aku? Pelik sangat ke penampilan aku malam ni? Aku bukannya pakai gaun yang diperbuat daripada kain kafan pun! Ataupun muka aku yang pelik sebenarnya?
Ya ALLAH Embun... apa yang kamu dah buat dengan muka auntie?
Dia meraba mukanya dengan hujung jari, sekadar menyentuhnya sahaja. Tidak pula dia rasa sesuatu yang pelik.
Tapi bila dah hampir semua tetamu yang duduk di meja masing-masing di dalam dewan itu menoleh dan memandang ke arahnya, tentulah dia jadi bertambah pelik dengan keadaan itu. Apatah lagi selepas mereka semua memandang wajahnya, keadaan di dalam dewan yang senyap itu terus jadi huru-hara. Ada yang sekadar berbisik sahaja sesama mereka tetapi tidak kurang juga yang terperanjat dan menjerit sebaik terpandangkan mukanya.
Awalnya memanglah dia bangga apabila dia lihat ramai juga jemputan daripada kalangan artis popular yang menoleh dan memandang ke arahnya. Remy Ishak, Farid Kamil, Bront Palarae, Shaheizy Sam, Rita Rudaini, Eira Syazira dan Lisa Surihani antara artis yang dia perasan sedang memandang ke arahnya dengan penuh ‘minat’. Terasa glamour pula dirinya ketika ini atas perhatian yang diberikan. Tapi kalau dah masing-masing pandang pelik semacam, siap berbisik-bisik macam gaya orang tengah mengumpat, sakit pula hatinya!
Tapi takkan nak marah pulak. Orang dah nak pandang, lantak merekalah!
“Puan Sri Zah ke ni?”
Puan Sri Zahlia senyum-senyum malu membalas sapaan tuan majlis merangkap sahabat baiknya yang mesra dipanggilnya dengan nama Datin Moy itu.
‘Cantik sangat ke budak Embun tu make-up muka aku? Atau aku yang makin hari makin cantik sampai kawan baik sendiri pun dah tak boleh nak cam aku dah?’
Makin merah muka Puan Sri Zahlia bila memikirkan tentang kebarangkalian itu.
“Aku lah ni, Moy. Siapa lagi...” jawabnya. Masih malu-malu, lagak anak dara yang hendak disunting orang.
Terkejut besar Datin Moy dengan pengakuan sahabatnya itu. Dahinya ditepuk berkali-kali.
“Masya-ALLAH... Apa yang dah tak kena dengan kau ni, Zah? Kau dah buang tabiat ke? Aku ingatkan kau ni badut yang datang untuk memeriahkan majlis aku!”
“Buang tabiat apa pulak ni?”
Datin Moy hanya menggeleng melihat wajah penuh bersahaja sahabatnya itu. Boleh pula Puan Sri Zahlia balas soalannya tadi dengan muka pelik.
“Tu, kau tengok kat sana tu!”
Puan Sri Zahlia pun menyorongkan pandangannya ke arah yang sedang ditunjukkan oleh Datin Moy.
“Kau nampak tak Aaron Aziz tengah pujuk budak-budak tu semua? Semua tu anak Aaron Aziz kalau kau nak tahu. Dan semuanya menangis terkejut gara-gara takutkan muka kau yang menyeramkan tu!”
Puan Sri Zahlia mengerutkan dahinya. Menyeramkan? Muka aku yang penuh dengan sifat-sifat keibuan ini dikatakan sebagai menyeramkan? Tak guna punya kawan!
Kecil hati Puan Sri Zahlia bila sahabat baiknya sendiri terang-terang mengutuk di hadapannya.
“Sampai hati kau cakap macam tu dekat aku Moy. Aku tahulah lately ni suami kau selaku penerbit filem tu lagi banyak keluarkan filem seram berbanding filem cinta. Tapi takkanlah rupa hantu dengan rupa aku pun kau dah tak dapat nak bezakan lagi?”
Puan Sri Zahlia terus berpaling ke arah lain. Serba salah Datin Moy dibuatnya.
Sorrylah kalau aku dah kecilkan hati kau. Aku sendiri tak sanggup nak berterus-terang dengan kau. Jadi, kau tengoklah sendiri muka kau dekat cermin, Zah....”
Puan Sri Zahlia mengangguk sekadar anggukan lemah sahaja. Senyum pun nak tak nak saja. Setelah meminta diri untuk pulang, dia terus keluar dari dewan tersebut.
Dah gila agaknya semua orang kat dalam dewan ni!




SEPANJANG langkahnya menuju ke salah sebuah tandas di dalam hotel tersebut, Puan Sri Zahlia mengutuk-ngutuk semua orang di dalam dewan tadi. Begitu sekali kepercayaannya pada ‘Sherry’ sampaikan sedikit pun dia tidak meragui apa yang telah ‘Sherry’ lakukan padanya. Nampaknya, dia masih percayakan ‘Sherry’ daripada orang-orang di dalam dewan tadi.
‘Ataupun... entah-entah hotel ni yang berhantu agaknya? Mungkin ada hantu yang melekat dan berdiri dekat sebelah aku? Hurmmm... Boleh jadi juga. Lagipun hotel ni terletak dekat kawasan yang agak sunyi jadi ada kemungkinan juga untuk hantu-hantu berkampung di sini. Mungkin diorang kat dalam dewan tadi terkejut sebab terpandangkan hantu yang berdiri sebelah aku lah tu agaknya...’
Begitu sekali Puan Sri Zahlia menyedapkan hatinya sendiri.
Sehinggalah selepas dia mendapatkan cermin besar di dalam tandas itu. Menggigil seluruh tubuhnya sebaik sahaja dia berdiri dan memandang mukanya. Seram sejuk dia melihat mukanya sendiri.
Awalnya dia sangkakan apa yang sedang dilihatnya itu adalah salah seekor spesis hantu yang berlegar dan terdapat di dalam hotel tersebut. Tapi setelah diamati, dia yakin muka yang mengerikan itu adalah mukanya sendiri. Jadi, dia terus berhenti menjerit dan di hadapan cermin itu, dia sengaja menggerak-gerakkan tangannya untuk memastikan apakah benar ‘makhluk’ itu adalah dirinya sendiri.
Bila dia lihat ‘makhluk’ menyeramkan itu turut menggerakkan tangannya sebagaimana pergerakan yang sedang dia lakukan, jadi memang sahlah makhluk yang ditakuti itu adalah dirinya sendiri. Kalau hantu, takkanlah hantu nak pakai gaun pulak. Gaun rekaan Zery Zamry pulak tu! Kelas sungguhlah hantu zaman sekarang ni ya...
Tapi siapa pulak yang punya kerja semua nI? Sempat Puan Sri Zahlia mengerutkan dahinya, dan memikirkan gerangan sesiapa saja yang cuba menganiaya dirinya.
Embun lah! Siapa lagi? Hanya budak tu sorang aje yang ada kat dalam biliknya tadi. Dan Embun jugalah yang dilantik untuk mendandan wajahnya! Hati Puan Sri Zahlia menjerit mengesahkannya.
Takut-takut, dia memberanikan juga dirinya untuk melihat mukanya yang telah disolek sehingga pucat itu, sementara keliling matanya pula disolek sehingga lebam kehitam-hitaman. Terdapat juga kesan luka berwarna merah yang sangat dalam dan mengerikan di bahagian pipinya, seolah-olah pipinya itu telah dihunus dengan menggunakan pisau tajam.
Sebagaimana matanya, bibirnya juga disolek sehingga lebam dan pucat. Malah kulit bibirnya kelihatan seperti menggelupas dan terkoyak. Paling menyedihkan apabila tudung pada kepalanya diikat dan dijerut seperti gaya ikatan tudung pada kepala jenazah, menjadikan dia kelihatan cukup sempurna untuk memegang watak pontianak dalam mana-mana filem seram Indonesia. Hantu Kak Limah pun tak boleh nak lawan!
Semakin dipandang, semakin hancur, semakin remuk hati Puan Sri Zahlia digilis dengan rasa terkilan atas perbuatan bakal menantunya itu. Teresak-esak dia menangis di hadapan cermin itu juga.
“Embun... Kenapa Embun buat semua ni pada auntie? Apa salah auntie sampai Embun sanggup aniaya dan malukan auntie sampai macam ni sekali? Embun tak kasihankan auntie ke? Embun tak nak tolong auntie keluar dari sini ke? Auntie malu, sayang. Auntie malu sangat-sangat...” Puan Sri Zahlia merengek seperti anak kecil dan merayu seolah-olah yang dirayu itu sedang berdiri depan matanya. Hakikatnya, yang dipandang itu adalah cermin yang sedang menayangkan mukanya sendiri.
Mungkin Puan Sri Zahlia sedang berhalusinasi ketika ini, lantaran bebanan perasaan yang melampaui kekebalan jiwanya sendiri untuk memikul dan menanggungnya. Sehingga membuatkan dia menjadi lemah begini. Lemah dan langsung tidak berdaya dan akhirnya, dia hanya mampu menggeleng-gelengkan kepalanya dengan mata yang terpejam serapatnya. Jelas menunjukkan dia tidak dapat menerima hakikat dengan apa yang telah berlaku.
Jelas dia tidak mampu untuk berfikir apa-apa buat masa ini. Tubuhnya semakin lemah sehingga memaksa tangannya berpaut pada marmar sinki.
Dengan tubuh yang terbongkok dan kepala yang tertunduk, dia langsung tidak berdaya untuk buat apa-apa. Dia kelihatan buntu dan tak tahu ke mana harus dia tuju, dan dia juga tak tahu apa yang perlu dia lakukan sekarang ini. Dia hanya tahu menangis meluahkan rasa terkilannya dengan apa yang dilakukan oleh insan yang telah sekian lama mendapat kepercayaannya.
Biarlah kalau ada sesiapa yang masuk ke dalam tandas ini dan melihat keadaannya dirinya sekalipun. Dia sudah tidak kisah. Dia sudah tak ada rasa malu memandangkan maruahnya sudah hancur di hadapan beratus-ratus orang di dalam dewan tadi.


P/S: Akan mengamuk sakankah Puan Sri Zahlia? *Nantikan ya. Akan bersambung di bab seterusnya. =)

6 comments:

  1. wah lama tunggu n3 baru hari2 singgah jengok sini :)

    ReplyDelete
  2. jahatnya c sherry tu...cepatlah sambung..x sabar nak tengok apa akan jd dengan sherry selepas ni...

    ReplyDelete
  3. kesian dkt Puan Sri Zahlia...

    ReplyDelete
  4. kesian dkt Puan Sri Zahlia...

    ReplyDelete
  5. cpt2 sambung erk encik writer...dh jatuh cintadgnciteni..huhu

    ReplyDelete
  6. X SABARNYA NAK TUNGGU NEXT EPISOD.MINGGU DPN DAH KENA BLK ASRAMA DAH. HRP CEPAT SAMBUNG YA.!!!

    ReplyDelete