34
SAMPAI sahaja di vila, ‘Sherry’
terus masuk ke bilik untuk mengemas pakaiannya. Semuanya dimasukkan serentak ke
dalam beg baju tanpa dilipatnya terlebih dahulu. Sewaktu dia melalui ruang tamu tadi, dia lihat baik Tan Sri
Jaafar mahupun Puan Sri Zahlia, kedua-duanya tiada di tingkat bawah. Mungkin
mereka berada di dalam bilik barangkali.
Sesudah mengemas dan bersiap, ‘Sherry’ mendapatkan cermin dan di situ dia
lihat wajahnya yang sembab dan masih merah akibat menangis terlalu banyak di
dalam kereta tadi.
Dia cuba mengukir senyuman bagi menyembunyikan wajahnya yang sugul.
Ditariknya nafas dalam-dalam supaya dia lebih bersedia untuk bersemuka dengan Puan
Sri Zahlia sekejap lagi. Lebih kurang lima belas minit juga dia perlukan untuk
memastikan dirinya betul-betul bersedia untuk menerima apa sahaja perlakuan Puan
Sri Zahlia ke atas dirinya. Namun ketika ini, dia lebih rela dirinya dibelasah
cukup-cukup. Dia sudah tidak sanggup merelakan dirinya disumpah-seranah dan
dihina lagi. Kesedihan yang terpaksa dia tanggung lewat penghinaan Azfahan tadi
pun masih menghantui dirinya dan masih membuatkan dia berasa trauma.
Namun dia cukup sedar yang dia tidak ada sebarang pilihan sekarang ini.
Lagi pula, dia sememangnya sudah tidak sabar lagi mahu keluar dari vila itu.
Dia sudah tidak sabar lagi untuk menamatkan permainan bodoh hasil rancangan
Azfahan sekaligus menamatkan terus hubungannya dengan lelaki itu. Kalau boleh,
muka Azfahan pun dia sudah tidak mahu melihatnya lagi. Sampai bila-bila
sekalipun!
Jadi sebolehnya, dia tetap cuba cekalkan dirinya untuk berhadapan dengan Puan
Sri Zahlia sekejap lagi walaupun dia tahu, dia terlalu takut untuk menghadapi
semua itu.
Namun seperti yang tertulis di dalam ‘skrip’, dia sudah tidak ada sebarang
pilihan!
Beg yang sudah siap dikemas diletakkan di belakang pintu. Dengan debaran
yang luar biasa hebat, tangannya yang sudah terasa sejuknya itu cuba diangkat
untuk mencapai tombol pintu dan sewaktu dia ingin memulas, barulah dia
teringatkan sesuatu. Berkerut-kerut dahinya.
Rantai mutiara! Ya, rantai mutiara!
‘Ya ALLAH... Baru aku teringat. Mana rantai tu? Waktu aku kemas beg tadi,
aku yakin rantai tu tak ada kat dalam beg tu. Tapi kenapa benda tu boleh tak
ada dengan aku sekarang ni? Tapi kalau bukan dengan aku, mana pulak perginya
rantai tu?’
Di dalam bilik yang agak luas itu, ‘Sherry’ berjalan mundar-mandir tanpa
arah tujuan. Sekejap saja tubuhnya sudah berpeluh dan sekelip mata mukanya
bertukar pucat.
Namun, dalam keadaan kelam-kabut dan huru-hara begitu, dia tetap berusaha
memaksa otaknya supaya bekerja keras walaupun dirinya kelihatan tidak ubah
seperti seorang banduan yang bakal berhadapan dengan hukuman gantung sampai
mati. Mahu sahaja dia menjerit sekuat hati bagi melepaskan tekanan yang sedang
mendera jiwanya dengan begitu dahsyat sekali ketika ini.
Tiba-tiba langkahnya terhenti. Sejenak, dia terfikir dengan dahi yang
berkerut-kerut dan pandangan yang fokus pada satu arah.
‘Rasanya kali terakhir aku nampak rantai tu...’
Dipejamkan pula matanya rapat-rapat, berusaha untuk ingat semula.
‘Ya, semasa aku tengah makan tadi. Waktu itu pula Azfahan minta diri untuk
ke tandas. Dan aku pula selepas tu terus bangun untuk mengisi makanan ke dalam
mangkuk tingkat.’
‘Sherry’ yang berjaya mengimbas semula kejadian di dalam hotel tadi sudah
tidak sekalut tadi. Tidak lagi berjalan dan berpusing di tempat yang sama, dia
cuba duduk di atas katil dan menenangkan dirinya di situ. Sambil itu, dia cuba
untuk ingat dengan lebih jelas lagi.
‘Tapi lepas tu, dia terus tarik tangan aku keluar dari hotel tu. Dan dia
terus marah aku dan campakkan mangkuk tingkat tu. Sampaikan aku terlupa terus
rantai mutiara tu. Jadi maknanya, rantai tu ada tertinggal kat atas meja. Ya,
aku tertinggalkan rantai tu dekat atas meja! Ya ALLAH...’
Spontan, tangan ‘Sherry’ tertekup pada mulutnya yang sudah terlopong. Dia
seakan tidak percaya, dan kelihatan begitu terkejut sekali.
Saat ini, tubuhnya terasa sangat lemah. Tenaga seolah-olah telah direnggut
seluruhnya sehingga yang tinggal di dalam dirinya hanyalah air mata yang laju
saja turun menggores pipinya. Itu saja yang mampu dia buat ketika ini. Dia
takut...
Terduduk.
Sambil menangis, sambil itulah ‘Sherry’ mengutuk-ngutuk dan memarahi
kecuaiannya sendiri. Kemudian, dia meramas-ramas pula kepalanya yang terasa
sakit tiba-tiba, mungkin akibat terlalu tertekan memikirkan nasib rantai
mutiara yang berkemungkinan besar telah dicuri itu. Di dalam dunia ini,
bukannya senang nak cari manusia yang jujur dan ikhlas. Dia sendiri tidak yakin
yang dia akan berjumpa semula dengan rantai mutiara tersebut.
Namun, dia tetap berusaha. Bodohlah dia kalau hanya berserah pada nasib.
Sambil menyeka air mata yang degil masih mahu mengalir, dia berlari-lari ingin
mendapatkan Azfahan.
Di ruang tamu tak ada, di dalam bilik pun tak ada. Terbuka luas saja pintu
bilik lelaki itu.
Lalu, tanpa berfikir panjang dia terus keluar menuju ke gazebo yang
terdapat di halaman vila yang luas itu. Berlari-lari dia menuju ke sana.
Sepatutnya dari tadi lagi dia mengingatkan dirinya untuk terus saja datang ke
sini. Waktu-waktu begini, Azfahan memang gemar menghabiskan masanya di gazebo
ini. Sambil bersantai, sambil mendengar gemersik irama air terjun buatan yang
sungguh menenangkan jiwa. Lagi-lagi dalam keadaan lelaki itu yang sedang dalam
keadaan murung begitu.
‘Sherry’ sedar, Azfahan tentu masih memarahinya dengan apa yang berlaku
tadi. Namun, apa lagi yang dia boleh buat. Lelaki itu saja yang dirasakan dapat
membantunya saat ini.
‘Sherry’ berdehem, sempat menenangkan diri sendiri. Ada lah dalam dua tiga
kali dia berdehem. Sengaja mahu mencuri perhatian Azfahan yang masih tidak
sedar kewujudannya di situ.
“Errr...Urmmm... Maaf lah sebab
mengganggu. Aku datang ni sebenarnya nak minta tolong dekat kau,” beritahu ‘Sherry’
takut-takut. Dia sudah pun berdiri tidak jauh daripada Azfahan yang duduk di
atas gazebo membelakangkannya.
Waktu itu barulah Azfahan perasankan kehadirannya. Mengelamun rupanya dia.
‘Nampak macam tertekan aje. Dia masih marahkan aku lagi ke?’
Kalau boleh memang dia ingin meminta maaf sekali lagi, tapi dia tahu ini
bukanlah masa yang sesuai.
“Apa yang boleh aku tolong?” Azfahan
bersuara tiba-tiba.
Akhirnya dapat juga ‘Sherry’ mendengar suara itu walaupun bunyinya
kedengaran lemah dan tidak bermaya. Tapi muka Azfahan waktu itu tidak pula
menunjukkan kalau dia benci ataupun tidak senang dengan kehadiran ‘Sherry’.
Cuma dari atas gazebo tempat dia menenangkan perasaan itu, dia langsung
tidak memandang ke arah ‘Sherry’ yang masih berdiri di bawah. Tegak saja
badannya duduk bersandarkan tiang dengan pandangan yang hilang dalam gelap
malam.
Serba-salah pula ‘Sherry’ ingin memberitahu bila mengenangkan layanan
dingin Azfahan terhadap dirinya. Namun, dia perlu bertindak dengan secepat
mungkin. Manalah tahu kalau-kalau rantai yang disangka telah hilang dicuri itu
masih berpeluang untuk diselamatkan.
“Sebenarnya... sebenarnya... sebenarnya....” ‘Sherry’ menggaru-garu kepalanya
yang tidak gatal.
Ishhh... Kenapa susah sangat aku
nak bagitahu dia ni? Bagitahu ajelah! Tapi... macam mana kalau dia mengamuk
macam tadi? Itu kan harta mak dia juga. Manalah tahu rantai mutiara yang
harganya mencecah ratusan ribu tu termasuk sebagai harta yang bakal dia warisi?
Mesti dia mengamuk punyalah... Alahai, cukuplah tadi aku kena sumpah-seranah
dengan dia. Hurmm... habis, macam
mana ni? Nak bagitahu, atau diamkan aje?
‘Sherry’ menunduk separuh sambil jari-jarinya bermain-main dengan hujung
tudungnya sendiri. Dia kelihatan khayal, sedang berfikir tentu sekali.
“Ermmm... Sebenarnya... sebenarnya
saya... Errrr... sebenarnya...”
Cubaan untuk kali kedua. Sayangnya, kali ini pun dia masih gagal. Ya ALLAH,
susahnya...
Rimas dengan keadaan ‘Sherry’ membuatkan Azfahan terpaksa juga menegur
gadis itu. Bolehlah lepas ni dia minta maaf sekali dengan ‘Sherry’. Dia sudah
tak sanggup untuk terus menanggung perasaan bersalahnya terhadap gadis itu. Itu
yang mendung semacam aje mukanya sedari tadi.
“Hurmmm... Apa yang tak kena
dengan kau ni? Gelisah semacam aje aku tengok. Apa yang kau nak bagitahu aku
sebenarnya?
Lama Azfahan menanti ‘Sherry’ menjawab soalannya. Tapi, ‘Sherry’ terus yang
masih belum hilang gugupnya, terus mendiamkan diri.
“Hurmmm... Kalau kau rasa tak confident, cuba kau tenangkan diri tu
dulu. Ambil masa seberapa banyak sekalipun, aku tak kisah. Aku sanggup tunggu
sampailah kau betul-betul bersedia. Tak pun kita minum kopi dulu nak tak? Kali
ni, biar aku yang bancuhkan. Kau belum rasa lagi kopi yang aku buat.”
‘Sherry’ yang masih sibuk memikirkan cara terbaik untuk memberitahu tentang
hal rantai mutiara itu terus tersentak mendengarkan kata-kata yang terasa
dingin menyirami kepalanya itu. Terasa lenyap seketika masalah yang sedang
dihadapinya sekarang ini. Lebih terkejut lagi sebaik dia memandang tepat ke
muka lelaki itu, dia lihat Azfahan sedang tersenyum kepadanya. Kalau senyum
biasa-biasa boleh juga dia terima. Tapi ini senyum mesra. Dah buang tabiat ke
apa dia ni? Tadi bukan ke dia beriya-iya marahkan aku? Atau dia dah hilang
ingatan? Siap nak bancuh kopi segala? Silap-silap bila dia tahu yang aku dah
hilangkan rantai mutiara mak dia, mahunya dia bagi aku minum kopi yang dibancuh
sekali dengan racun tikus!
Ah, alang-alang mood dia tengah
baik ni, bagitahu ajelah. Paling-paling pun, aku rasa dia cuma akan hantuk
kepala aku dekat tiang gazebo ni aje.
“Aku dah bersedia nak bagitahu kau.” Begitu cara dia memulakannya. Dia
lihat Azfahan pun sudah bersedia untuk mendengarnya.
Okay, mula!
“Tapi kau janganlah marah. Urmmm...
Sebenarnya kan, aku dah tertinggalkan rantai mutiara mummy kau dekat dalam
hotel tadi. Cop! Jangan marah aku lagi. Dengar dulu penjelasan aku! Aku tahu,
semua tu berlaku atas kecuaian aku sendiri. Tapi aku betul-betul tak sengaja. Bila
kau mengamuk sakan tadi, aku terus terlupa pasal rantai mutiara tu. Sebab tu
aku tertinggalkan rantai tu,” beritahunya dan dalam tempoh itu dia memejam
matanya rapat-rapat. Lama dipejamnya dan dia langsung tidak berani untuk
membukanya semula. Walaupun sudah beberapa minit berlalu. Dia masih menantikan
tindakan dan hukuman Azfahan ke atas dirinya. Sambil itu, bibirnya
terkumat-kamit membaca apa saja ayat yang terlintas di kepalanya dengan harapan
dapat menenangkan Azfahan daripada memarahinya.
“Apa yang kau tercegat lagi berdiri dekat situ? Ni aku dah siap bancuhkan
kopi ni. Sinilah teman aku minum sekali.”
Dah siap bancuhkan kopi? Betul ke dia ni? Agak-agak la kalau nak menipu aku
pun! Takkanlah sekejap sangat dia bancuh kopi?
‘Sherry’ yang tidak percaya terus membuka matanya dan mula melilau-lilau
mencari Azfahan. Sehinggalah dia menoleh dan dia nampak lelaki itu sedang
menuang air kopi ke dalam dua biji cawan.
Ya ALLAH... lama sangat ke aku pejam mata tadi? Sampaikan sempat lagi dia
bancuh kopi. Alahai malunya...
Lantas tanpa pilihan, ‘Sherry’ terus mendapatkan Azfahan yang sudah pun
duduk di atas kerusi yang terdapat di sebelah meja kecil, yang sememangnya
digunakan untuk bersantai-santai di tepi air terjun buatan itu. Lemah sungguh
langkah kakinya.
“Minumlah... Aku dah tuangkan pun untuk kau. Jemput duduk. Seronok juga ni
dapat berbual-bual waktu-waktu macam ni.”
Belum sempat ‘Sherry’ berkata apa-apa, Azfahan dengan baik hatinya menolak
sedikit cawan kopi untuk ‘Sherry’ supaya mudah dicapai gadis itu.
Mengeluh ‘Sherry’ melihat fenomena ganjil yang sedang berlaku dalam diri
lelaki itu.
“Terima kasih sebab susah payah buatkan air untuk aku. Tapi buat masa ni
aku tak ada selera lah nak minum. Aku risaukan pasal rantai tu. Boleh tak kau
tolong aku?”
Mukanya kembali pucat dan tidak bermaya bila mengingatkan tentang rantai
mutiara tersebut.
“Nak tolong macam mana lagi? Aku yakin rantai tu mesti dah dikebas orang
punyalah. Dah tak ada harapan pun untuk diselamatkan.”
Mudah sahaja jawapan yang Azfahan berikan. Seolah-olah hal itu tidak
penting langsung bagi dirinya. Pula tu, boleh pula dia tersenyum lega selepas
meneguk air kopi yang dibancuhnya tadi. Tanda dia berpuas hati dengan air
tangannya sendiri. Kebal sungguh lidahnya. Kopi yang masih berasap itu pun boleh
diteguknya sampai licin. Tak sampai tiga puluh saat!
Terkejut jugalah ‘Sherry’ melihatnya. Terasa macam nak panggil wartawan
MASTIKA pun ada juga. Supaya bolehlah diorang
tulis cerita pasal Azfahan yang pelik tu. Cerita tentang seorang manusia yang langsung
tak ada perasaan! Ingatkan hatinya saja yang tak ada perasaan. Tapi rupa-rupanya
lidah dia pun tak pandai nak rasa. Panas ke tidak, dia pakai main terkam, main
belasah aje! Memang dasar manusia hati kering betullah dia ni. Rantai mutiara
tu hilang pun dia boleh berlagak selamba macam ni. Geram betullah aku. Ingatkan
dia marahkan aku bila tahu rantai tu hilang, tapi rupanya macam ni pulak respon
dia? Fuh, cool habis lah dia ni!
“Tapi sekurang-kurangnya, kita
cubalah tengok dulu. Entah-entah masih ada kat atas meja tu ke?” pujuk ‘Sherry’.
Dia benar-benar mengharapakan manusia yang seorang ini untuk membantunya.
“Malaslah aku...” balas Azfahan seringkas yang boleh, dan nampaknya dia
masih lagi mengambil sikap sambil lewa.
Tanpa memandang ‘Sherry’ yang duduk di depannya, selamba saja Azfahan
menuang lagi air kopi ke dalam cawannya yang sudah licin itu.
Makin menggelegak darah ‘Sherry’ melihat sikap acuh tak acuh yang
ditunjukkan Azfahan.
“Mana boleh macam ni. Kau pun kena bertanggungjawab jugak! Lagipun kalau
tak kerana rancangan gila kau tu, aku pun takkan terfikir untuk pinjam rantai
mutiara tu dari auntie. Dan sekarang, rantai tu dah hilang! Kau sedar tak,
rantai yang berharga ratusan ribu tu dah hilang!”
‘Sherry’ yang mulanya ingin mengamuk, akhirnya menangis teresak-esak.
Takutnya memikirkan bagaimana untuk dia menggantikan rantai mutiara tersebut. Atau
apakah dia perlu menjadi hamba abdi di dalam vila ini untuk seumur hidup? Ya
ALLAH, aku tak sanggup! Dan takkan pernah sanggup!
Simpati pula Azfahan melihatnya.
Sambil mengeluh, dia menegakkan sedikit badannya. Dia kelihatan lebih
serius berbanding tadi walaupun gayanya masih kelihatan tenang dan bersahaja.
“Bukan ke kau memang plan nak
cakap dekat mummy aku yang kononnya kau dah hilangkan rantai tu? Jadi apa susah
sangat? Cakap aje lah rantai tu dah hilang. Habis cerita! Lepas kau cakap macam
tu, tentu mummy aku akan benci kau dan terus halau kau keluar dari villa ni.
Memang itu pun yang kita rancang selama ini kan?” Itu sahaja idea yang dapat
diberikan untuk menenangkan perasaan si gadis.
‘Sherry’ yang mendengar idea bodoh itu pula terpaksa menggetap giginya
kuat-kuat supaya dia masih dapat bersabar dengan sikap Azfahan. Lelaki ini
memang semua perkara dia nak anggap mudah tau!
Ada dengusan kasar yang kedengaran. Nampak gayanya, ‘Sherry’ semacam sudah
hilang sabar.
“Kalau ikutkan, memang macam tu lah rancangan kita. Tapi aku ni tak ada lah
jahat sangat sampai perlu hilangkan rantai tu betul-betul. Nama pun berlakon
kan? Kita kan cuma nak buat mummy kau tu benci dan halau aku keluar dari sini.
Lepas aku dah tak ada kat sini, aku ingat bila-bila aku jumpalah kau untuk bagi
balik rantai mutiara tu dekat kau. Tapi nanti macam mana aku nak bagi balik
rantai tu dekat kau kalau rantai tu tak ada kat tangan aku sekarang ni? Rantai
tu dah hilang! Kau sedar tak?” ‘Sherry’ menjelaskan dengan panjang lebar,
dengan harapan Azfahan dapat memahami konflik yang sedang dihadapinya.
Malangnya, lain yang diharap, lain pula jawapan yang keluar dari mulut
lelaki itu.
“Lantaklah dengan rantai tu. Kalau kau rasa kau tak nak bagitahu dekat
mummy aku pasal kehilangan rantai tu, kau tak payahlah bagitahu. Habis cerita!”
Berkerut-kerut dahi ‘Sherry’ cuba memahami.
“Apa maksud kau sebenarnya ni?”
Sesungguhnya, dia sangat pelik dengan apa yang baru keluar dari mulut Azfahan
sebentar tadi.
“Entahlah.... Aku macam dah malas nak teruskan permainan ni!”
Sekali lagi ‘Sherry’ berasa aneh dengan sikap manusia yang seorang ini.
Tapi kali ini, dadanya terasa semacam hendak pecah mendengarkan keputusan itu.
‘Setelah aku berhempas-pulas buat macam-macam untuk sakitkan hati Puan Sri
Zahlia, boleh pulak dia buat keputusan macam tu? Habislah kalau rancangan tidak
diteruskan. Tentu aku akan dipaksa kahwin dengan dia. Ya ALLAH... bala apa pula
kali ni?’
‘Sherry’ mula memicit kepalanya yang terasa pening tiba-tiba.
“Apa yang dah tak kena dengan kau sebenarnya ni? Kau dah gila ke? Takkan
senang-senang aje kita nak hentikan semua tu? Dan takkanlah kita... takkanlah kita redha aje bila kena paksa kahwin
nanti?”
Azfahan langsung tidak tergugat dengan tikaman mata ‘Sherry’. Dia masih
kelihatan tenang dan santai bersandar di atas kerusi.
“Apa salahnya kalau dipaksa kahwin sekalipun? Kau tak suka ke dapat kahwin
dengan lelaki sehebat aku? Eh, kau sepatutnya bersyukur tau. Iyalah, perempuan
yang tak ada kelebihan apa-apa macam kau ni boleh pulak dapat lelaki yang ada
segala-galanya macam aku ni.. Bukan semua perempuan dapat peluang macam tu!”
...Dan dia masih boleh mengeluarkan kata-kata yang kedengaran bodoh di
telinga ‘Sherry’!
Makin sakit hati ‘Sherry’ melihat Azfahan tersenyum sambil mengenyit mata
padanya. Betullah... lelaki ni memang tak ada perasaan! Aku rasa mata aku ni
dah macam nak juling sebab renung muka dia. Ingatkan nak gertak dan takutkan dia,
tapi dia boleh buat main pulak cakap aku!
Bosan untuk terus terperangkap di dalam keadaan yang tidak serius itu, ‘Sherry’
mengambil keputusan untuk bersemuka terus dengan Puan Sri Zahlia. Apa nak jadi
pun jadilah. Dia sudah tidak sanggup lagi untuk terus tinggal di dalam vila
ini, lebih-lebih lagi terpaksa melayan makhluk yang teramatlah menyakitkan hati
bernama Azfahan ini!
“Kau nak ke mana pulak tu?” tegur Azfahan. Dia nampak risau bila melihat ‘Sherry’
yang bangun dan seperti tergesa-gesa dalam keadaan marah begitu.
“Aku nak selesaikan semuanya malam ni jugak!” jawab ‘Sherry’ tanpa
berpaling. Dia terus melajukan lagi langkahnya.
“Macam mana dengan rantai tu? Kau kena ingat yang kau tak boleh lepas
tangan macam tu aje. Kau kena ganti rantai yang dah hilang tu.”
Langkah ‘Sherry’ berhenti mendadak sewaktu dia hampir saja sampai ke muka
pintu gelangsar yang diperbuat daripada kayu kukuh yang penuh dengan ukiran
itu. Kemudian, dia menoleh. Dia lihat Azfahan juga sedang memandang ke arahnya.
Tetapi kenapa muka dia seperti takut-takut saja? Apa yang Azfahan takutkan
sebenarnya? Dan kenapa dia tiba-tiba nak ungkit balik pasal rantai mutiara tu
sedang tadi dia langsung tidak serius sewaktu membincangkan tentang kehilangan
rantai tu!
‘Hurmmm... Entahlah, makin pelik
aku tengok dia ni!’
‘Sherry’ mengeluh sebelum nafasnya ditarik dalam-dalam.
“Pasal rantai tu, nanti-nanti ajelah aku fikirkan. Tahulah aku nak buat
macam mana,” jawabnya malas, siap dengan muka bosan sekali. Memang dia sudah
malas dan sudah bosan mahu melayan Azfahan yang dilihatnya semakin pelik dan
aneh itu.
“Apa kata lepas ni kau kerja dekat syarikat aku. Mungkin sebagai tea-lady? Tapi dengan gaji RM4000
sebulan. Daripada gaji tu nanti, boleh lah kau menyimpan sikit-sikit untuk
gantikan balik rantai mutiara mummy aku yang kau hilangkan tu. Macam mana? Okay
tak?”
‘Sherry’ mengerutkan dahinya bila tiba-tiba dia disuakan dengan tawaran
itu. Lagi pelik bila dia lihat Azfahan bersungguh-sungguh sewaktu membuat
tawaran itu. Siap dengan senyuman lebar lagi. Mukanya pula jelas sekali
mengharapkan persetujuan daripadanya. Ishhh...
Macam ada udang di sebalik batu aje!
Macam ada yang tak kenalah dengan mamat sorang ni? Kenapalah tiba-tiba saja
dia boleh jadi sebaik ini pulak dengan aku? Baru tadi dia rendahkan maruah aku
sehina-hina perempuan yang dah tak ada harga diri. Tapi sekarang, bukan main
mulia lagi hati dia, siap tawarkan aku kerja dekat syarikat dia dengan gaji
yang aku rasa langsung tak masuk dek akal dengan hanya memegang jawatan sebagai
tea-lady.
Tak adil sungguh! Orang lain punyalah sampai nak pecah otak sambung belajar
semata-mata nak dapat kerja yang bagus dan gaji yang lumayan tapi aku yang
kantoi SPM ni jugak yang dapat tawaran sehebat tu. Kenapa ya dengan manusia
sorang ni? Makin pelik pulak aku tengok perangai dia.
Terasa berat pula kepala ‘Sherry’ memikirkan keganjilan itu. Beberapa kali
juga dia mengeluh.
“Hurmmm... Nantilah aku fikirkan
semua tu. Apa-apa pun buat masa ni, aku fikir yang aku nak terus balik ke
kampung sebaik aku tamatkan rancangan bodoh kau tu, sekejappppp saja lagi.”
‘Sherry’ kembali bersemangat bila memikirkan permainan yang akan dia
sendiri tamatkan dalam beberapa minit sahaja lagi. Dia sendiri sudah tidak
sabar-sabar, sudah berkobar-kobar untuk bersemuka dan berhadapan dengan Puan
Sri Zahlia walaupun dadanya terasa semacam hendak meletup sekarang ini akibat
ketakutan yang bergegar hebat di dalam dadanya.
Azfahan pula sudah tidak senang duduk dibuatnya. Sedangkan tadi dia
kelihatan tenang-tenang sahaja. Tapi bila dengar ‘Sherry’ nak terus balik ke
kampung, dia mula menggelabah. Sangkanya dengan menawarkan ‘Sherry’ kerja
dengan gaji yang lumayan, dapatlah dia menghalang gadis itu daripada pulang ke
kampungnya. Tapi ‘Sherry’ macam tak hairan saja dengan tawarannya.
Jadi, apa lagi yang boleh dia buat? Untuk berkahwin dengan ‘Sherry’
sebagaimana yang dirancang oleh ibunya, dia sebenarnya sudah berasa tidak kisah
kalau dipaksa kahwin dengan gadis itu sekalipun. Cuma dia takut kalau nanti dia
tidak mempunyai perasaan terhadap ‘Sherry’.
Buat masa ini, yang pasti dia cuma takutkan kehilangan ‘Sherry’ tetapi dia
masih tidak pasti apakah dia betul-betul yakin untuk melamar Sherry sebagai
teman hidupnya? Sejujurnya, jawapan untuk soalan itu masih tiada di dalam
tangannya.
Yang dia fikirkan sekarang ini adalah bagaimana caranya untuk menghalang ‘Sherry’
daripada menamatkan permainan yang telah dirancangnya. Dia memang tidak sanggup
melihat ‘Sherry’ dibenci dan dihalau oleh ibunya keluar dari vila ini. Kalau
dulu dia akui, dia memang sudah tidak sabar-sabar lagi untuk berada di tahap
ini. Dia sudah tidak sabar-sabar lagi ingin melihat ‘Sherry’ pergi sejauh
mungkin dari hidupnya. Tapi, tidak untuk sekarang ini. Dia tidak sanggup untuk
kehilangan gadis itu. Itulah hakikat yang sebenarnya.
Disebabkan itu, Azfahan berlari sekuat hatinya untuk masuk ke dalam vila.
Dia tidak mahu terlambat kerana nanti, dia juga yang akan menyesal seumur
hidup.
Malangnya, sewaktu dia sudah pun masuk ke dalam ruang tamu utama vila itu,
dia lihat ‘Sherry’ sudah pun berdiri di hadapan ibunya.
Saat ini, hatinya mula berasa tidak keruan. Terasa seperti hendak menjerit
pun ada. Tapi dia malu. Malu kalau sesiapa berjaya membongkar rahsia hatinya. Dan
adakalanya, dia terfikir untuk menarik saja ‘Sherry’ supaya gadis itu tidak
meneruskan rancangannya. Tapi nanti tentu ‘Sherry’ akan pelik dengan
tindakannya. Apa pula yang dia nak jawab nanti kalau ‘Sherry’ persoalkan
tindakannya itu? Takkanlah dia nak kata yang dia tidak sanggup untuk kehilangan
gadis yang sering diperlekehkannya itu? Buat malu aje!
“Auntie, sebenarnya Embun ada sesuatu nak bagitahu auntie.”
Dari tempatnya berdiri, Azfahan dapat lihat ‘Sherry’ menundukkan kepalanya.
Gadis itu kelihatan tidak sanggup untuk meneruskannya. Di dalam hati, dia berdoa
bersungguh-sungguh agar ‘Sherry’ melupakan saja rancangannya untuk menyakitkan
hati ibunya.
“Eh, apa yang tak kena dengan kamu ni Embun? Semacam aje auntie tengok kamu
ni. Macam ada perkara penting saja yang kamu nak bagitahu auntie. Kamu okay tak ni? Apa yang Han dah buat pada
kamu? Bagitahu auntie cepat! Ni mesti dia ada sakitkan hati kamu. Bukannya
auntie tak kenal dengan mulut dia yang suka cakap lepas tu. Memang nak kena
budak tu! Melayang jugak batu lesung kat dapur aku tu kang!”
Azfahan rasa nak tergelak pula melihat kemarahan ibunya. Dia tidak dapat
melihat reaksi ‘Sherry’ ketika itu memandangkan ‘Sherry’ berdiri
membelakangkannya. Cuma dia mengagak, ‘Sherry’ yang sudah pun mengangkat
kepalanya itu tentu sedang mengukir senyuman palsu di bibirnya.
‘Ya ALLAH, tolonglah gagalkan rancangan ini. Beratkanlah hati dan juga
mulutnya untuk memberitahu tentang rantai itu.’ Sempat lagi Azfahan berdoa
serta berharap di dalam hati.
“Bukan macam tu, auntie. Ni bukan pasal Abang Han. Sebenarnya auntie...”
Debaran di dada Azfahan menjadi semakin dahsyat pukulannya sebaik ‘Sherry’
membuka mulutnya semula. Dia benar-benar tidak sangka yang gadis itu akan
senekad ini.
“Kalau bukan Han, siapa pulak yang buat kamu sedih sampai macam ni sekali,
hurmmm...? Bagilah tahu auntie. Janganlah
diam aje macam ni. Kalau kamu ada nak luahkan apa-apa pada auntie, luahkan aje.
Anggap aje auntie ni macam ibu bapa Embun sendiri walaupun auntie ni nampak
lagi muda daripada Embun.” Dalam serius begitu pun, sempat lagi Puan Sri Zahlia
yang vogue itu memuji diri sendiri.
Namun, walaupun diselitkan dengan gurauan, hati ‘Sherry’ tetap terusik
dengan keikhlasan kata-kata Puan Sri Zahlia yang memang cukup suka bergurau itu.
Namun ini bukanlah masanya untuk dia melayan perasaan terharunya. Sekarang
adalah masa untuk dia bertindak dengan segera sekaligus menamatkan terus
permainan yang selama ini begitu merimaskannya.
“Embun nak bagitahu auntie pasal rantai mutiara auntie yang Embun pinjam
tu. Sebenarnya... Sebenarnya auntie... Rantai tu... Rantai tu... Rantai tu dah...”
“Eh, kejap! Sebut pasal rantai mutiara tu, barulah auntie teringat. Jadi, sebelum
auntie terlupa, auntie ada satu berita gembira nak bagitahu dekat Embun.”
‘Sherry’ tidak jadi menghabiskan ayatnya apabila Puan Sri Zahlia memintas
tiba-tiba. Lebih-lebih lagi bila dia terlihat wajah teruja Puan Sri Zahlia.
Tidak jadi pula dia untuk menyakitkan hati wanita itu.
Tapi semua tu tak penting. Kali ni, aku kena keraskan juga hati aku ni. Tak
boleh nak kesian-kesian lagi dah. Aku kena jugak sakitkan hati dia supaya dia
benci aku dan halau aku keluar dari vila ni! Apa nak jadi pun, jadilah!
“Sebenarnya, auntie nak bagitahu sesuatu pasal rantai mutiara tu.”
“Kenapa dengan rantai mutiara tu?”
‘Sherry’ mengerutkan dahinya. Dia dapat lihat senyuman yang makin mekar di
bibir Puan Sri Zahlia. Tapi kenapa dia gembira sangat aku tengok. Siap
usap-usap pipi aku pulak.
“Sebenarnya, auntie fikir nak hadiahkan saja rantai mutiara yang auntie
bagi pinjam tadi tu dekat Embun. Jadi, Embun tak payahlah pulangkan balik rantai
tu pada auntie ya. Embun simpan aje rantai tu. Anggap ajelah rantai tu sebagai hadiah
perkahwinan untuk Embun daripada auntie,” beritahu Puan Sri Zahlia dengan
perasaan bangga mengenangkan dirinya baru saja melakukan satu pengorbanan yang
besar buat bakal menantu kesayangannya sendiri, biarpun rantai tersebut
merupakan harta kesayangannya yang penuh dengan sentimental value. Itu pun setelah dia berfikir berpuluh-puluh kali
sebelum dia membuat keputusan, dan dia cukup yakin yang Embun mampu menjaga
rantai mutiara kesayangannya itu dengan baik.
Ketika ini, ‘Sherry’ kelihatan terpinga-pinga padahal Puan Sri Zahlia sudah
tidak sabar menanti reaksi daripadanya. Bukannya dia tidak dengar tetapi segala
yang keluar dari mulut Puan Sri Zahlia tadi terasa payah untuk dicernanya.
Sebenarnya tidaklah payah. Cuma dia saja yang tak percaya. Dia saja yang tak
dapat terima hakikat.
Dia hanya tersedar dari dunia khayalannya apabila dia terdengar suara
seseorang mengaminkan doa. Terus dia menoleh. Dia lihat Azfahan sedang tersengih-sengih
memandang ke arahnya. Ada juga dia cuba mencari kalau-kalau ada sejadah di
hadapan lelaki itu. Tak ada lah pulak. Dia ingatkan Azfahan baru selesai buat
solat hajat.
‘Iyalah, mestilah sekarang ni dia tengah gigih berdoa supaya mak dia benci
sungguh-sungguh dekat aku sekaligus terus halau aku keluar dari tempat ni.
Bukan itu ke yang dia mahukan sangat selama ni?’
“Yang kamu pula gembira melebih-lebih tu apasal Han? Mummy tak ada hadiah
pun nak bagi dekat kamu,” usik Puan Sri Zahlia yang baru perasan kewujudan Azfahan
yang berdiri agak jauh dari dia dan bakal menantunya.
Azfahan tersenyum bahagia menyambut gurauan daripada ibunya.
“It’s not fair, mummy. Mana boleh
kalau menantu dapat hadiah special
tapi anak sendiri tak dapat apa-apa,” ujar Azfahan, pura-pura berkecil hati.
Dia yang gembira dengan kegagalan ‘Sherry’ terus melangkah mendapatkan Puan
Sri Zahlia. Bahu ibunya itu dipeluk mesra dan pada bahu itu juga dia meletakkan
dagunya dengan manja. Waktu itulah dia menggunakan peluang untuk mengintai
wajah ‘Sherry’ yang berdiri di hadapannya. Dia dapat lihat betapa kecewa dan
hampanya wajah comel itu disebabkan kegagalan rancangannya.
Sambil tersenyum bahagia, Puan Sri Zahlia membalas kemesraan Azfahan tadi
dengan mengelus-elus pipi kiri anaknya itu.
“Mummy bergurau ajelah tadi, sayang. Disebabkan Han berjaya bawa balik
calon menantu yang paling sempurna kat mata mummy dengan daddy, cakap aje apa
yang Han mahu. Mummy akan cuba minta apa saja daripada daddy kamu.”
“Wow! Lumayan! Kalau Han cakap Han nak vila ni, agak-agak mummy dengan
daddy sanggup tak hadiahkan kat Han?” gurau Azfahan dengan gelak mesra.
‘Sherry’ diam saja memerhati. Kalau ikutkan hatinya, mahu saja dia lekas
beredar dari situ. Daripada menyaksikan lakonan Azfahan yang penuh dengan
kepura-puraan itu.
“No problem. Tapi dengan syarat Han
dengan Embun kena kasi mummy dengan daddy 14 cucu perempuan, dan 9 orang cucu
lelaki.” Selamba Puan Sri Zahlia membalas gurauan anaknya. Dia pun sudah
tergelak-gelak.
Terusik hati ‘Sherry’ melihat kebahagiaan wanita itu. ‘Agaknya bagaimanalah
perasaan auntie nanti bila dia tahu yang anaknya yang penipu besar itu
selamanya takkan berkahwin dengan aku? Kecewakah auntie?’
Azfahan pun tergelak sama. Cuma ‘Sherry’ seorang saja yang rasa tak sedap
hati sekarang ni.
“Amboi, tamak sungguh mummy ni! Tapi, bagi pihak Han, Han okay aje. Tak ada
hal lah. Cuma takut Embun aje yang tak mampu. Kalau Embun tak mampu, nampaknya
terpaksalah Han pasang lagi tiga kan mummy untuk cukupkan cucu-cucu yang mummy
minta tu...” usik Azfahan lagi.
Kali ini, Puan Sri Zahlia sudah tidak senyum-senyum lagi seperti tadi.
Sebaliknya dia memandang muka ‘Sherry’ dengan rasa bimbang. Takut kalau bakal
menantunya itu berkecil hati.
Begitu sekali wanita ini menyayangi bakal menantunya yang entahkan jadi,
entahkan tidak itu. Sampaikan sekecil-kecil hal begitu pun dia tetap akan
titikberatkan supaya ‘Sherry’ langsung tidak terasa hati. Bertuah sungguh insan
yang bernama ‘Sherry’ ini kalau betul-betul dia ditakdirkan memiliki ibu mentua
sebaik Puan Sri Zahlia.
Puan Sri Zahlia menoleh semula memandang anak lelakinya itu dengan hati
yang geram. Kalaulah ‘Sherry’ tiada di situ, agaknya mahu lebam badan Azfahan
menjadi mangsa cubitnya. Sebenarnya dia tidak kisah dengan gurauan begitu
memandangkan dia sendiri pun suka bergurau merapu-rapu begitu. Tapi
memandangkan yang bergurau begitu adalah anaknya yang kasanova dan sukar untuk
dipercayai ini, jadi jangan haraplah dia boleh telan saja gurauan itu tadi.
Terus bahu anaknya ditampar sekuat hati.
“Han, dengar sini baik-baik mummy nak pesan. Mummy cukup tak suka bila Han
cakap macam tu. Lagi-lagi depan Embun. Dan mummy nak ingatkan Han yang mummy
tak akan sesekali terima perempuan lain sebagai menantu mummy selain daripada
Embun! Walau apa sekalipun yang berlaku dalam rumah tangga Han nanti, Han tak
boleh ceraikan Embun dan Han tak boleh cari perempuan lain sebagai pengganti
Embun. Ingat tu!”
Wow! Kagum jugalah Azfahan mendengarnya. Tidak sangka pula dia sampai
begitu sekali ibunya meletakkan syarat demi menjaga hak ‘Sherry’ sebagai
isterinya nanti.
‘Tapi mummy ni tak patut sungguh
buat hukum sendiri. Suka-suka aje nak jadi perancang kehidupan dan rumah tangga
orang!’
Dia lihat ‘Sherry’ yang memilih untuk mendiamkan diri sedari tadi itu pun
tidak senang dengan kata-kata ibunya tadi. Tentu ‘Sherry’ tidak mahu membiarkan
ibunya berterusan memberi harapan pada impian yang takkan terlaksana walau
sampai bila-bila itu.
“Baiklah, mummy. Han akan ingat
semua tu. Mummy sendiri tahu kan betapa sayangnya Han pada Embun. Kalau tak,
tak ada lah Han sanggup reject sampai
47 orang yang apply nak jadi girlfriend Han. Semuanya Han buat demi
cinta Han pada Embun, mummy.”
Azfahan tersengih-sengih dengan bangganya. Seronok betul dapat kenakan ‘Sherry’
di depan ibunya.
‘Sherry’ pula dah terasa macam nak termuntah waktu itu juga. Tapi
terpaksalah dia berlakon dan berpura-pura malu dengan memaksa kulit pipinya
bertindak mengeluarkan warna-warna merah, supaya nampaklah kononnya dia terharu
dengan apa yang keluar dari mulut Azfahan tadi.
Tapi jangan haraplah dia nak mengalah macam tu aje dengan gurauan perasan
bagus Azfahan itu. Ingat dia sorang aje yang boleh masuk bakul angkat sendiri?
Aku pun bolehlah!
“Memang betul pun apa yang Abang Han cakap tu, auntie. Embun memang bertuah
sangat sebab Abang Han sanggup reject 47 calon yang lawa-lawa tu semata-mata disebabkan
cintanya pada Embun. Sedangkan Embun ni tak ada sorang pun yang nak. Kalau ada
pun, mamak tebar roti canai dekat gerai depan rumah Embun kat kampung tu aje
lah. Kalau ikutkan memanglah mamak berbadan besar yang penuh dengan bulu dekat
dada tu berkali-kali ganda lagi seksi daripada Abang Han. Apatah lagi dengan
perutnya yang buncit dan badan dia yang kuat berpeluh tu, lagilah bertambah
seksi Embun tengok setiap kali badan mamak yang penuh bulu tu basah dengan air peluh.
Tapi dah Abang Han beriya-iya jugak nakkan Embun, terpaksalah Embun lepaskan
jugak mamak yang bau badannya tersangatlah memikat kalbu itu.”
Giliran ‘Sherry’ pula yang tersengih-sengih dapat mengenakan Azfahan.
Sempat pula tu dia menjelirkan lidahnya ke arah Azfahan yang sedang menahan
rasa bengang, dan memandangnya dengan rasa tak puas hati.
Huh! Ingat aku kisah dengan muka tak puas hati dia tu?
Amboi, bukan main lagi ‘Sherry’ tunjuk berani. Mentang-mentanglah Puan Sri
Zahlia sendiri pun bukan main meriah lagi menyambut gurauannya tadi dengan
ketawa yang meletup-letup. Seronoklah tu ada back-up besar!
Maka apalagi, makin benganglah Azfahan bila kedua-dua manusia itu
mentertawakannya.
‘Mummy ni berat sebelah betul! Kalau tadi bila aku tersalah cakap, bukan
main marah lagi dia. Tapi bila calon bakal menantu kesayangan dia ni dengan
selamba bandingkan aku dengan mamak roti canai tu, bukan main kuat lagi mummy
bantai gelak!’
‘Budak kecik ni pun satu! Macamlah aku ni teruk sangat kat mata dia
sampaikan mamak tu pun dia boleh menangkan! Huh!’
******************
SELESAI kerja-kerja membasuh
teko dan cawan kopi yang ditinggalkan Azfahan tidak berbasuh di halaman vila
tadi, ‘Sherry’ terus menyerang lelaki itu yang ketika ini sedang khusyuk
menonton televisyen di ruang tamu. Macam mana tak khusyuk kalau yang
ditontonnya itu adalah babak pasangan kekasih sedang ‘bermanja’ di atas katil.
Maklumlah, sekarang ni ‘virus’ babak-babak dekat ranjang ni bukan saja
diamalkan oleh pengarah Hollywood saja, tapi segelintir pengarah dekat Malaysia
pun dah macam tak kisah dan langsung tak letakkan batasan.
Tidakkah mereka langsung tak terfikir? Sedangkan kalau pelakon dedahkan
rambut kat dalam TV pun pengarah turut terpaksa menanggung tempias daripada
dosa pelakon-pelakon itu semua, apatah lagi dengan babak ranjang sebegini?
‘Sherry’ menggeleng, rasa tidak sanggup bila matanya terpandangkan
keintiman dan aksi romantis dua pelakon tempatan yang sedang ditayangkan.
Lantas, dia terus berjalan menuju ke peti televisyen. Dengan selambanya, dia
terus mematikannya. Lantaklah kalau Azfahan nak marah sekalipun!
“Kenapa kau tutup? Cerita tengah best
tu!” marah Azfahan seperti dijangka.
‘Sherry’ sedikit pun tidak berasa takut. Nak tergelak lagi ada lah. Iyalah,
rasanya tak sampai seminit Azfahan masuk ke ruangan ini untuk menonton
televisyen.
Kalau difikirkan, logik ke baru tengok tak sampai seminit terus puji cakap
cerita tu best? Nampak sangatlah
istilah ‘best’ tersebut merujuk pada babak-babak ghairah yang sedang
ditayangkan.
‘Sherry, tak baik berburuk sangka. Dosa besar!’ Dia mengingatkan dirinya
sendiri.
“Lain kali sajalah kau tengok cerita yang merosakkan akhlak tu. Lagipun
Astro kan ada siaran ulangan. Tapi apa yang aku nak cakap dekat kau ni, takkan
ada ulangannya. Aku nak kau dengar baik-baik.”
Tanpa menghiraukan muka Azfahan yang jelas tidak puas hati itu, ‘Sherry’
terus mengambil tempat duduk yang bertentangan dengan lelaki itu. Senang nak
berbincang bila face-to-face begini.
“Cepatlah cakap. Macam serius aje hal yang kau nak bincangkan tu.”
“Bukan setakat serius. Tapi dah makin parah. Takkan kau tak nampak apa yang
dah berlaku tadi?”
Berkerut dahi Azfahan untuk memahaminya. Dia hanya nampak wajah ‘Sherry’
yang agak ketat seperti sedang mengalami tekanan yang sangat berat.
“Parah? Apa yang parah? Elok aje aku tengok muka kau. Tak ada parah kat
mana-mana pun.”
Mengeluh. Panas hati ‘Sherry’ mendengar jawapan main-main macam tu.
“Kau tak sedar ke yang rancangan kita dah gagal? Kau sendiri dengar kan
tadi yang mummy kau tu siap hadiahkan rantai mutiara kesayangan dia tu dekat
aku. Jadi, macam mana lagi aku nak buat supaya dia benci kat aku kalau dah
barang berharga macam tu pun dia boleh main bagi aje dekat aku yang sah-sah
takkan jadi menantu dia ni!” luahnya dengan muka yang sangat tertekan. Dia
sudah buntu. Sudah tidak tahu apa lagi yang perlu dia lakukan untuk menyakitkan
hati Puan Sri Zahlia sekaligus membuatkan wanita itu membenci dirinya. Rasa
semacam nak menangis pun ada.
Mengeluh Azfahan mendengarnya. “Kan aku dah cakap tadi. Kita batalkan aje rancangan
tu!”
Kepala ‘Sherry’ yang tertunduk terus terdongak dan matanya terus singgah
memandang tepat ke muka lelaki di hadapannya itu. Mujur dia tidak terjerit
sewaktu mendengarkan jawapan yang mudah dan langsung tidak membantu itu.
“Kau dah gila apa? Kalau kita batalkan, aku comfirm dalam minggu depan mummy kau mesti akan datang ke kampung
aku dengan rombongan meminang. Waktu tu takkan lah aku nak suruh ayah aku tolak
padahal depan mummy kau, bukan main hebat lagi kita berlakon macam pasangan
yang dah lama bercinta. Lagipun, sanggup ke kau kecewakan harapan mummy kau
sendiri?” Sengaja dia menduga dan ingin melihat jawapan apa pula yang bakal
keluar dari bibir lelaki itu.
“Kan dari tadi lagi aku cakap, apa salahnya kalau kita kahwin?”
Kali ini, ‘Sherry’ tidak tahu sama ada Azfahan serius ataupun main-main
sahaja sewaktu dia mengeluarkan idea gila itu. Tapi kalau dari raut muka lelaki
itu, dia boleh katakan yang Azfahan memang serius. Tetapi bukankah lelaki nan
seorang ini memang sentiasa nampak tenang dan selamba saja dalam apa-apa
situasi sekalipun? Arghhhh... Susahnya
aku nak detect kalau dengan manusia
yang tak berperasaan macam dia ni!
Akhirnya, ‘Sherry’ hanya mampu mengeluh dan mendengus sesekali.
“Apa rancangan kau sebenarnya? Ataupun selepas dah terpaksa kena kahwin
dengan aku nanti, kau pun rancanglah nak ceraikan aku macam dalam cerita-cerita
novel Melayu tu?” ‘Sherry’ menyindir sambil dia mencebikkan bibirnya.
‘Mudahnya lelaki ini merancang takdir dan kehidupannya seolah-olah
perempuan seperti aku terlalu murah di matanya.’
Azfahan diam saja sepanjang tempoh itu walaupun dia nampak kesedihan dan
penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh ‘Sherry’.
Nak cakap apa lagi. Dia dengan rela hati telah menawarkan diri untuk
menjadikan ‘Sherry’ sebagai isterinya tapi malangnya gadis itu menganggap dia
tidak serius dan hanya main-main. Memanglah kalau ikutkan dia sendiri tidak
yakin dengan keputusannya sendiri. Dia sendiri tidak tahu apakah dia
betul-betul mahukan gadis itu sebagai teman hidupnya? Apakah dia benar-benar
akan bahagia bila mengahwini gadis itu nanti? Ataupun dia sebenarnya hanya mahu
membahagiakan hati ibunya yang begitu sayang sekali pada gadis seorang ini?
Entahlah... dia keliru dengan perasaannya sendiri.
“Janganlah diam aje macam ni. Cakaplah...” desak ‘Sherry’, sudah beberapa
kali setelah dia lihat Azfahan hanya mendiamkan diri dengan wajah yang langsung
tidak berperasaan. Lelaki ini memang bijak mengawal keadaan dan sentiasa
kelihatan tenang meskipun ketika ini dia juga sebenarnya sedang berhadapan
dengan masalah jiwa yang sedang menghuru-harakan seluruh hati dan perasaannya.
‘Sherry’ menggetap giginya kuat. Dia sudah jenuh menanti Azfahan yang memilih
untuk terus membekukan dirinya. Lebih baik dia masuk tidur!
Lantas, ‘Sherry’ pun bangun untuk beredar. Namun sebelum dia menuju ke
biliknya, sempat lagi dia mengingatkan lelaki itu.
“Kalau kau dah tak sanggup nak tolong aku, biar aku sorang saja yang
teruskan rancangan tu. Walau apa pun yang terjadi, aku tetap akan pastikan
mummy kau benci kat aku dan halau aku keluar dari vila ni!”
Dengan hati yang masih bengang dengan kebisuan Azfahan, ‘Sherry’ terus
meninggalkan lelaki itu terpinga-pinga di situ.
Azfahan yang sedar dirinya seperti sudah tidak terkawal, lekas-lekas
beristighfar. Saat ini, dia kembali berasa gentar dan ketakutan. Takut pada
sebuah kehilangan. Takut pada sebuah perpisahan yang menanti di hadapan.
Sayangnya, perasaan takut itu masih tidak mampu menjadikan dia seorang yang
berani untuk berterus-terang agar dia tidak perlu menghadapi sebuah kehilangan
dan juga perpisahan yang bakal melukakan hatinya sendiri...
Bodohkah dia?
p/s: Maaf lambat upload. Sibuk sikit sebab minggu ini merupakan minggu terakhir saya mengajar sebagai guru ganti. Happy reading you ollsss.. Jangan takut untuk luahkan sebarang ketidakpuashatian ya ^_^
Thanks for the new n3 Cik Writer! Suka sgt criter ni....especially watak Embun yg selamba tu mmg best! Teruskan usaha ye!
ReplyDeletesuka sbb awk suka. insyaallah entri lps ni diupload lebih cpt sikit sbb x bz dh..hee..thnx eh
Deletetakut tu tidak cik marmar..tapi tensen tau tggu lama2 ni..x sabar nak tgk diaorg ni kahwin.. huhuhuhu
ReplyDeletesorry2. lambat sbb bz skit ngn keje.. hee
Deletefuh!!!!! ada sikit lega :) lama nye tunggu n3 terbaru best .. nak tgk usaha embun tuk di benci dan usaha si han tuk mencintai dan menggagalkan usaha embun hehehe keje keras sikit han :)
ReplyDeletebest sangat kesian embum.
ReplyDeleteAku suka citer ni. Bhasa santai & sopan. Teruskan yee... hehehheee....
ReplyDeleteLia
Terima kasih. =)
Delete