38
SEJAK ‘Sherry’ sudah tiada di vila
ini, Puan Sri Zahlia rasa malas saja setiap kali nak bangun tidur. Selesai
solat Subuh, dia akan sambung semula tidurnya. Kalau dulu, sewaktu ‘Sherry’
masih ada di vila ini, selesai solat Subuh dia akan turun ke dapur untuk turut
membantu ‘Sherry’ menyediakan sarapan. Sebenarnya, tiada apa pun yang
dibantunya. Dia hanya akan duduk di situ berbual-bual dengan gadis itu.
Hari ini dia bangun lebih awal pun sebab malam tadi Azfahan ada
menghubunginya memberitahu tentang hajatnya untuk memperkenalkan seorang lagi
calon menantu kepadanya. Sebenarnya dia sudah tawar hati. Rindunya pada ‘Sherry’
pun masih belum hilang. Jadi, bagaimanalah untuk dia menerima orang lain
sebagai menantunya?
Dia langsung tidak kelihatan bersemangat sebagaimana sewaktu Azfahan
membawa pulang ‘Sherry’ ke vila ini tidak lama dulu. Pakaiannya terlalu
ringkas. Sewaktu telinganya menangkap bunyi deruman enjin kereta anaknya yang
seorang itu, dia langsung tidak menoleh sebaliknya dia pura-pura leka membaca
majalah. Hatinya masih terasa tawar untuk berkenalan dengan mana-mana perempuan
yang akan diperkenalkan oleh anaknya yang seorang itu. Rasanya kalau Azfahan
tak bawa balik mana-mana calon menantu pun dia sudah tidak kisah.
“Assalamualaikum mummy. Tengoklah sini, Han ada bawa balik bakal menantu
untuk mummy ni. Kali ni, comfirm...
mesti mummy suka punyalah...”
Puan Sri Zahlia menoleh. Bila terdengar suara anaknya yang ceria itu, dia
turut berasa teruja untuk melihatnya. Sayangnya sebaik dia menoleh, perempuan
yang diharapkan bakal menjadi menantunya itu bukanlah ‘Sherry’. Tapi perempuan
lain.
“Perkenalkan. Ini mummy I, Puan Sri Zahlia.”
Puan Sri Zahlia tersenyum ke arah bakal menantu yang terbarunya itu. Dia
cuma dapat lihat matanya sahaja memandangkan perempuan yang anaknya perkenalkan
kepadanya itu berpurdah serba hitam sampaikan matanya pun tak berapa jelas
untuk dilihat.
“Assalamualaikum, Puan Sri..” Dengan langkah dan lenggok tubuh yang sopan,
perempuan tadi cepat-cepat mendapatkan Puan Sri Zahlia apabila dia sedar Puan
Sri Zahlia mahu melangkah ke arahnya. Tubuhnya dibongkokkan sedikit lalu dia
terus mengucup tangan Puan Sri Zahlia penuh hormat.
Buat seketika, terusik juga hati Puan Sri Zahlia dengan gaya sopan juga
tertib perempuan yang dikatakan bakal menjadi menantunya itu. Meskipun dia
tidak dapat melihat wajah yang terselindung di sebalik purdah itu, dia tetap
dapat bayangkan betapa suci dan tenangnya wajah perempuan di hadapannya ini.
“Siapa namanya, Han?” soal Puan Sri Zahlia, mula nampak mesra.
“Errrr...Urmmmm...” Azfahan yang
gugup kelihatan tergaru-garu kepalanya sendiri.
“Hai Han... Takkanlah nama bakal isteri pun tak boleh nak ingat?”
“Nama saya Seri Mustika, Puan Sri..”
celah perempuan berpurdah tadi.
Seri Embun? Tiba-tiba Puan Sri Zahlia teringatkan Seri Embun. Adakah kerana
dia merasakan perempuan di hadapannya ini seperti Seri Embun? Atau kerana nama
mereka yang hampir sama, jadi sebab itu dia teringatkan menantu tak jadinya
itu?
Ah, tak habis-habis dengan budak tu! Lupakanlah dia Zahlia. Sekarang ni,
cubalah kau bagi peluang dekat Seri Mustika pula. Mungkin dia boleh jadi
menantu yang jauh lebih baik daripada Seri Embun!
“Sedap nama tu. Unik. Eh, tak payahlah
panggil Puan Sri. Panggil saja auntie Zah. Hah, marilah kita duduk dulu.
Nanti bibik datang bawakan air.” Dengan ceria, Puan Sri Zahlia spontan menarik
tangan Seri Mustika masuk ke ruang tamu utama.
“Macam mana Mustika boleh kenal dengan Han? Selama ni, auntie tak pernah
pulak tahu Han berkawan dengan Mustika.”
Perempuan berpurdah hitam itu kelihatan teragak-agak pula untuk menjawab
soalan semudah itu. Malukah dia? Tapi nampak macam menggelabah aje. Kenapa
perlu takut pulak? fikir Puan Sri Zahlia.
“Han kenal Mustika masa lawatan syarikat ke Jordan dulu mummy. Mustika ni
dulu pelajar agama dekat University of Yarmouk dekat Jordan.” Lancar saja Azfahan
menjawab, sekaligus membantu bakal isterinya yang kelihatan tidak senang duduk itu.
Azfahan lihat Puan Sri Zahlia tersenyum lebar dengan jawapan yang
diberikan. Nampak sangat ibunya bangga mendengar cerita tentang bakal
menantunya. Pelajar dari University of Yarmouk. Bukan calang-calang orang.
Tentu tinggi dan penuh ilmu di dadanya.
“Dan kalau mummy nak tahu, Mustika ni anak kepada ustaz yang selalu bagi
ceramah dekat TV tu,” beritahu Azfahan dengan bangga. Naik tinggi hidung
mancungnya!
“Wah... Ustaz yang mana satu ni?” Bulat mata Puan Sri Zahlia antara rasa
kagum dan tidak percaya. Untungnya dia dapat bermenantukan perempuan berpurdah
yang sedang malu-malu duduk di hadapannya ini.
“Errrr...urmmmm... Ustaz... ustaz
apa ya. Hah! Ustaz Don, mummy!” Dengan penuh yakin Azfahan menjawabnya tanpa
memikirkan sama ada jawapannya itu bernas ataupun tidak.
“Anak Ustaz Don?” Puan Sri Zahlia mengerutkan dahinya.
“Ustaz Don baru aje kahwin 23 Ogos 2012 hari tu. Sekarang ni pulak baru
masuk bulan 11. Takkanlah anak dia dah besar panjang pulak. Kamu ni biar betul,
Han...” Puan Sri Zahlia memandang wajah anak kesayangan dengan pandangan
curiga.
Azfahan sudah gelisah di tempat duduknya. Inilah padahnya bila reka cerita
tanpa buat kajian terlebih dahulu.
Kan dah kantoi yang kau tu memang jarang sangat tengok program-program
ceramah agama kat TV tu! Sergah hati Azfahan sendiri. Dia mula gelisah. Serba
tidak kena duduknya.
Ya Allah.. Macam mana ni? Aku pun satu. Macam manalah aku boleh lupa yang
mummy ni sejak dah insaf dan bertudung sekarang ni, memang dah jadi peminat
setia ustaz-ustaz yang selalu bagi ceramah agama dekat TV tu. Lagi-lagi Ustaz
Don tu.
Itulah ‘penangan’ dan kelebihan Seri
Embun yang Azfahan sendiri tidak dapat nak menafikan. Seri Embun bukan sahaja
pandai menghiburkan hati ibunya, malah Seri Embun juga sentiasa mengajak ibunya
ke arah kebaikan.
Dulu, ibunya itu mana pernah mahu menonton rancangan-rancangan keagamaan
yang ditayangkan dekat televisyen. Namun, sejak Seri Embun rajin membawa ibunya
ke kuliah-kuliah agama, dengan sendirinya ibunya menjadi rajin mengikuti setiap
ceramah agama yang sekarang ini banyak disiarkan di televisyen.
Sepatutnya dari dulu lagi dia sedar yang dia sebenarnya telah pun
membahagiakan ibunya dengan membawa pulang seorang calon menantu yang terbaik
antara yang terbaik untuk ibunya. Sayangnya waktu itu dia masih buta dalam
menilai sesuatu yang bernilai dan berharga.
“MELAMPAU betullah kau ni. Ada ke
patut kau pergi tipu mak kau cakap aku ni bekas pelajar agama University of
Yarmouk dekat Jordan sana tu. Aku ni SPM pun kantoi tau tak! Tak logik
langsunglah! Lepas tu boleh pulak kau tipu cakap aku ni anak Ustaz Don? Ya,
Allah... Lagilah tak masuk akal! Tak fahamlah aku apa motif kau sampai kau
perlu tipu mummy kau macam tu sekali. Nasib baiklah aku pandai cover. Kalau tak, dah lama plan kau ni gagal tau tak!”
‘Sherry’ melepaskan rasa tidak puas hatinya sebaik sahaja kereta Azfahan
bergerak keluar dari vila tersebut. Purdah yang membungkus kepala masih tidak
ditanggalkan. Lemasnya rasa... Patutlah pun keputusan untuk berpurdah itu
memerlukan keimanan dan kesabaran yang padu dan tinggi dalam diri setiap wanita
Islam.
“Nak buat macam mana. Aku terpaksa buat semua tu.” Terdengar keluhan yang
keluar dari mulut Azfahan.
‘Sherry’ mengerutkan dahinya. Tajam
matanya menekuni wajah Azfahan, menanti sehingga bibir seksi itu bergerak
sekali lagi. Kelihatan Azfahan ketika ini sedang menarik nafasnya dalam-dalam.
“Aku terpaksa reka semua cerita tu supaya mummy aku rasa kagum dan bangga
untuk bermenantukan Seri Mustika. Kau sendiri pun tahu kan yang mummy aku dah
tak boleh nak terima Seri Embun/Sherry sebagai menantu dia lagi sejak apa yang
kau dah buat pada mummy aku tempoh hari. Mummy aku dah bencikan Seri Embun.
Jadi, sebab itulah aku terpaksa ubah diri kau menjadi orang lain, menjadi Seri
Mustika yang berpurdah supaya mummy aku tak tahu yang Seri Mustika itu
sebenarnya adalah Seri Embun. Sehinggalah Seri Mustika berjaya pikat hati mummy
aku semula, barulah aku akan bagitahu mummy aku bahawa perempuan yang menyemar
sebagai Seri Mustika yang berpurdah itu sebenarnya adalah Seri Embun.”
‘Sherry’ memicit-micit kepalanya yang terasa pening tiba-tiba itu.
Banyaknya watak yang aku kena bawa dalam satu-satu masa. Aku lah Sherry, aku
jugalah Seri Embun dan aku jugalah Seri Mustika. Aduhai... Dulu dia tukar nama
aku daripada Seri Embun kepada Sherry kononnya dia nak ubah aku jadi perempuan
yang moden dan glamour. Sekarang ni dia ubah aku jadi Seri Mustika pulak! Cuma
bezanya, nama Seri Mustika tu, aku sendiri yang pilih.
“Macam mana kalau mummy kau jadi bertambah benci lagi dekat aku sebaik
sahaja penyamaran aku ni terbongkar? Sebab kita dah menipu dia. Kau tak rasa
macam tu ke?”
Azfahan menggeleng.
“Aku tak rasa macam tu. Aku yakin bila kau dah berjaya buat dia sayang
gila-gila dekat kau, mesti dia tak kisah bila dapat tahu Seri Mustika yang
berpurdah itu sebenarnya adalah bekas calon menantu yang pernah kasi malu besar
dekat dia suatu ketika dulu.”
‘Sherry’ berdecit geram.
“Janganlah ingatkan aku lagi pasal hal tu. Sampai sekarang pun masih tak
surut lagi perasaan bersalah aku dengan apa yang aku buat dekat mummy kau dulu
tau tak?” Kemudian, terdengar pula keluhan kesal yang terbit dari mulut mulutnya.
“Itulah, kau tu tak beragak sangat. Ada ke patut kau pergi make-up muka mummy mengalahkan muka
hantu Kak Limah. Mestilah mengamuk orang tua tu!”
“Alah, kalau tak disebabkan kau yang paksa aku untuk terlibat sama dalam
projek gila kau tu dulu, mesti aku pun takkan terfikir nak buat kerja segila
tu. Dulu masa mummy kau sayang gila-gila dekat aku, kau sibuk desak aku supaya
buat perkara-perkara bodoh yang boleh membuatkan mummy kau tu bencikan aku dan
halau aku keluar dari vila tu. Iyalah waktu tu kau kan takut sangat kena paksa
dengan mummy kau supaya kahwin dengan perempuan yang tak ada standard macam aku ni. Tapi sekarang,
bila mummy kau dah benci dekat aku, entah macam mana pulaklah kau boleh cakap
yang kau sukakan aku dan nak kahwin dengan aku. Huh, menyusahkan orang betul. Masa
mummy kau suka, kau pulak yang tak suka. Sekarang pulak, bila mummy kau dah tak
sukakan aku, kau pulak yang suka dekat aku. Adoiiii...
Tak fahamlah aku dengan masalah korang anak beranak ni!”
Azfahan tersengih seperti kerang busuk. Sedar akan silapnya selama ini.
“Alah, janganlah marah. Bersabarlah sikit. Nama pun cinta sejati, jadi
mestilah banyak cabaran dan dugaan yang perlu ditempuhi sebelum kita berjaya meraih
kebahagiaan yang abadi.”
‘Sherry’ mencebik. Huh, sajalah tu buat ayat jiwang semata-mata nak pujuk
hati aku. Nasib baiklah aku pun dah mula sayangkan dia. Jadi kira halal aje lah
dengan segala bala dan malapetaka yang dia pernah bagi dekat aku selama ni.
Sayang punya pasal, susah senang mestilah bersama. Barulah berkat hidup berumah
tangga nanti. Baik sungguh aku ni!
“Tapi kan, aku teringin nak tahu. Macam mana depan mummy aku tadi kau boleh
terfikir untuk petik nama Seri Mustika pulak? Aku tengok masa kau sebut nama
tu, tak ada pulak kau nampak menggelabah. Lancar aje kau sebut nama tu. Atau
sebenarnya Seri Mustika tu nama adik kau? Iyalah, nama kau kan Seri Embun.
Dekat-dekat aje bunyinya dengan nama Seri Mustika tu.”
‘Sherry’ nampak resah sewaktu soalan itu diajukan kepadanya. Tak sangka
pula Azfahan akan memandang serius dengan nama Seri Mustika itu. Sememangnya
nama Seri Mustika itu menyimpan rahsia yang sangat besar. Rahsia yang dia
sendiri masih belum bersedia untuk mendedahkannya kerana semua itu melibatkan
identiti dirinya sendiri.
Lantas, soalan Azfahan itu dibiar
sepi tidak berjawab. Biarlah...
Buat masa ini, rasanya biarlah Azfahan dan sesiapa sahaja di dalam vila itu
tidak tahu siapakah Seri Mustika yang sebenarnya. Biarlah lelaki itu hanya
mengenali dirinya sebagai Seri Embun ataupun ‘Sherry’ sahaja. Walaupun
hakikatnya, dia bukanlah Seri Embun yang sebenar-benarnya...
Ya, aku bukannya Seri Embun. Aku adalah...
SETIAP kali dia berkunjung ke
vila ini, ada sahaja resipi baru yang akan dicubanya demi menawan semula hati
bakal mak mentua. Sejak seminggu dia menyamar sebagai Seri Mustika, macam-macam
kerja yang dia lakukan dengan harapan Puan Seri Zahlia akan terpikat dengan
ciri-ciri menantu pilihan yang ada di dalam dirinya.
Seminggu ini juga dia langsung tidak pernah berjumpa dengan Azfahan. Lelaki
itu sekarang ini sedang sibuk dengan kerja-kerja pejabatnya di Kuala Lumpur
sementara dia pula selama seminggu ini terpaksalah menginap di hotel sebelum
mereka disatukan nanti. Begitulah impian kedua pasangan yang langsung tak
nampak seperti pasangan sedang bercinta itu.
Hari ini agak penat berbanding hari-hari sebelumnya. Selalunya setiap kali
berkunjung dia hanya akan ke dapur untuk memasak sahaja tapi tadi dia sengaja
turun ke taman mini kesayangan Puan Seri Zahlia untuk berkebun bersama-sama
wanita itu. Puan Seri Zahlia yang suka ambil kesempatan itu apa lagi, dikerahnya
tenaga bakal menantunya itu. Sesuka hati sahaja dia menyuruh ‘Sherry’ mengangat
pasu-pasu kesayangannya yang besar-besar di halaman vilanya tadi. Memang
sengaja agaknya Puan Seri Zahlia menguji kesabarannya. Mungkin itu sudah
termasuk dalam agenda Puan Seri Zahlia sebelum dia lulus menjadi menantu kepada
wanita itu.
Dah lama rasanya tak buat kerja berat. Rasa
semacam nak terputus urat pinggangnya. Selalunya dia akan masuk ke dalam bilik
sekiranya ingin merehatkan badan atau apa saja. Tapi kali ini dia terus meluru
masuk ke ruang tamu. Lebih baik dia berehat sahaja di situ. Dengan keadaan
pinggangnya yang sengal-sengal, tak sanggup rasanya nak daki tangga untuk
menuju ke bilik tetamu yang terletak di tingkat dua vila tersebut.
Di atas sofa antik yang kusyennya berbaldu emas itu dia tertidur walaupun
asalnya dia hanya mahu berbaring bagi melegakan sakit pinggangnya sahaja. Tapi
tak sangka pula dia akan terlelap di situ. Tambah-tambah dengan suasana ruang
tamu yang redup dan sejuk, maka makin nyenyaklah tidurnya. Penat punya pasal
sampaikan tidak dihiraukan lagi gaya tidurnya yang kalau dilihat memang nampak
agak tidak sopan. Sudahlah dia berjubah dan berpurdah. Tak senonoh betul!
Sewaktu ada tangan kecil merayap di sekitar purdah yang menutup mukanya pun,
dia tidak sedar. Sehinggalah dia terdengar ada suatu suara budak belum baligh
yang menjerit tak tentu pasal. Terasa sangat dekat dengan telinganya.
“Papaaaaa! Papaaaaa!”
’Sherry’ yang baru terjaga, terpinga-pinga sebelum dia perasan purdahnya
sudah tertanggal. Lantas, cepat-cepat dia membetulkannya sebelum ada sesiapa di
dalam vila ini yang terpandangkan wajahnya.
Dia lihat anak kecil yang berdiri tidak jauh daripadanya masih melaung-laung
memanggil ayahnya. Semestinya budak kecil ni adalah budak yang bernama Fyra
sebagaimana yang Seri Embun pernah ceritakan dekat aku sebelum aku berhijrah ke
Kuala Lumpur ni. Mesti budak ni ingat aku ni Seri Embun dan sekarang mesti dia
nak bagitahu dekat ayah dia!
Tanpa berlengah lagi, ‘Sherry’ terus menekup mulut si kecil itu.
“Tolong jangan bagitahu papa apa yang Fyra nampak tadi. Kalau tak, Kak
Embun akan lari lagi dan tinggalkan vila ni buat selama-lamanya.”
‘Sherry’ sedar, Fyra semestinya teruja bila terpandangkan wajahnya sebentar
tadi. Jadi, sudah tentu Fyra ingin berkongsi berita ‘kepulangannya’ itu dengan
ayahnya.
“Ada apa sayang?” Afka muncul dan dadanya nampak termengah-mengah sedikit.
Lelaki ini masih tak berubah. Masih seorang ayah yang menyayangi anaknya lebih
daripada nyawanya sendiri. Walaupun dengan keadaannya badannya yang masih basah
dan bertuala, dia sanggup turun ke bawah sebaik terdengar anak kesayangannya
menjerit memanggilnya. Padahal Fyra bukannya menjerit ketakutan, bukan juga
menjerit kesakitan, sebaliknya Fyra menjerit kegembiraan. Tapi tetap membuatkan
ayah penyayang ini risau dengan keadaan anaknya. Bertuah sungguh Fyra. Bertuah
juga mana-mana wanita yang dapat menakluk hati lelaki ini. Bukannya mudah nak
cari seorang lelaki yang penyayang. Lelaki yang romantis mungkin senang nak
dicari sebab lelaki memang pandai bermain dengan kata-kata!
“Errr... Awak ni pulak siapa?”
‘Sherry’ tersengih seperti kerang
busuk. Terlupa pula lelaki itu tidak dapat melihatnya. Seri Embun pernah
bercerita padanya yang Afka ini agak panas baran juga orangnya, perlahan-lahan
dia melepaskan tangannya daripada menekup mulut Fyra. Nanti tak pasal-pasal teruk aku dikerjakan
sebab sesuka hati nak sentuh anak kesayangan dia. Tapi, aku berharap sangat
budak kecik ni tak bagitahu siapa aku. Pecahlah rahsia kalau Afka tahu siapa
aku walaupun paling-paling pun dia mesti fikir aku ni Seri Embun. Hakikatnya
muka kami sahaja yang serupa tapi aku bukanlah Seri Embun, aku adalah...
Baru ‘Sherry’ teringat tentang lelaki yang bernama Afka ini. Iyalah, baru
sekarang Afka pulang semula ke vila ini setelah lelaki ini tidak berpeluang
meluahkan perasaannya kepada Seri Embun tidak lama dulu. Dan sepanjang itulah
Afka membawa anaknya tinggal di kondominium mereka yang terletak di Damansara.
Pulangnya lelaki ini ke vila ini semula pun kerana cuti persekolahan yang sudah
hampir ke penghujung. Apakah selama ini Afka kecewa dan patah hati sehingga
mengambil keputusan untuk menetap di Damansara?
“Kenapa awak tekup mulut anak saya macam tu?”
“Err...Sebenarnya...
Sebenarnya...” Alahai waktu-waktu macam ni pulak aku tak pandai nak menipu. Dah
selalu menipu sangat agaknya, sampai idea menipu pun boleh habis, getus hatinya
sambil sebelah tangan tergaru-garu kepala yang tidak gatal.
“Sebenarnya?” Afka pula masih menunggu dia melengkapkan ayatnya yang
dibiarkan tergantung tadi.
Alamak apa aku nak jawab ni? Fyra, tolonglah! Janganlah berdiam macam tu
aje.
“Tak ada apa-apa lah papa. Akak ni... dia kata mulut Fyra busuk, sebab tu
lah dia tekup mulut Fyra.” Seperti dapat mendengar hatinya yang menjerit-jerit
meminta pertolongan cemas, laju saja kanak-kanak cerdik itu menipu ayahnya.
‘Sherry’ tersenyum lega. Walaupun alasan yang diberikan kedengaran tidak
logik, sekurang-kurangnya ada lah juga alasan yang berpeluang untuk
menyelamatkannya.
“Busuk? Busuk sangat ke sampai kena tekup macam tadi tu?”
Malangnya, Afka masih tidak berpuas hati dengan alasan itu.
“Errrr... Busuklah kot sebab tadi
Fyra makan nasi dengan sambal petai. Okaylah
pa, Fyra naik bilik dulu. Nak gosok gigi ni sampai hilang bau petai ni.”
Cepat-cepat Fyra melarikan diri daripada berterusan diasak pertanyaan demi
pertanyaan yang bakal diajukan oleh ayahnya. Tak sempat nak menghalang, Fyra
sudah hilang naik ke atas.
Berkerut-kerut dahi Afka bagai cuba untuk mengingat sesuatu. Nampaknya dia
masih pelik dengan jawapan yang diberikan oleh anaknya tadi. Mana tak pelik.
Sebelum dia dalam perjalanan pulang ke vila ini, baru sahaja dia menikmati
makan tengah hari bersama-sama anaknya itu di Secret Recipe. Rasanya mereka berdua hanya makan kek sahaja.
Kek coklat yang ada taburan badam di atasnya dan tentu sekali badam itu
bukanlah biji petai yang dipotong halus-halus. Mana pula datangnya petai ni? Fyra
rasanya dah lama tak makan masakan kampung sejak Seri Embun tidak lagi
berkhidmat di villa ini. Ni mesti ada apa-apa yang dirahsiakan ni. Tak boleh
jadi ni, aku kena siasat!
‘Sherry’ yang telah ditinggalkan Fyra nampak kelam-kabut apabila dirinya
direnung semacam oleh Afka yang sempat menyarungkan baju pada tubuh sasanya
yang masih lembab itu.
“Awak ada masak sambal petai ke?” Afka menyoal siasat sambil memeluk tubuh.
‘Sherry’ terdiam agak lama. Kemudian, dia baru teringat yang hari ini dia
memang ada masak sambal petai. Serta-merta, dia tersenyum dengan kebetulan itu.
Ini bermakna, dia akan terselamat daripada Afka yang masih meragui tindakannya
menekup mulut Fyra tadi. Lantas, cepat-cepat dia mengangguk.
Tanpa banyak soal lagi, Afka terus meluru masuk ke dapur. ‘Sherry’
ditinggalkan kebingungan. Apa pula yang dia nak buat kali ni?
Perlahan-lahan, ‘Sherry’ bangun menuju ke arah yang sama. Di balik dinding
yang memisahkan antara ruang makan dan dapur, dia berdiri sambil mengintai Afka
dari situ. Dia lihat lelaki itu sedang meratah sambal petai yang telah
dicedoknya sedikit ke dalam mangkuk kecil. Hujung lidahnya bergerak-gerak dan
sesekali berlaga dengan lelangit. Sehinggakan terpejam-pejam matanya
seolah-olah cuba mengingati dan mentafsir rasa yang melekat pada lidahnya.
Beberapa saat kemudian, barulah matanya dibuka semula dan sebaik itu, Afka
terus terpandangkan ‘Sherry’ sebelum sempat ‘Sherry’ melarikan diri. Terasa
bersalah dan malu pula kerana mengintai lelaki itu.
‘Sherry’ menundukkan kepala. Dadanya berdebar-debar. Dia dapat rasa ketika
ini Afka sedang berjalan ke arahnya.
“Sudi tak kalau awak jadi isteri saya? Dan ibu kepada anak saya?”
Terus terangkat kepala ‘Sherry’ mendengarkan lamaran itu. Matanya terbeliak
tidak percaya. Takkan sebabkan sambal petai tu, dia nak lamar aku pulak?
Gila!
DUA MINGGU KEMUDIAN...
“MACAM mana mummy? Lulus tak
Seri Mustika untuk jadi menantu mummy?” soal Azfahan dengan dada yang
berdebar-debar. Sambil itu, tidak putus-putus dia berdoa di dalam hati. Semoga
hati ibunya itu terbuka untuk menerima ‘Seri Mustika’ sebagai menantunya.
Puan Sri Zahlia tersenyum sebelum dia menjawab.
“Ibu mana yang tak suka kalau bermenantukan perempuan yang berpendidikan
tinggi macam Seri Mustika tu. Kelulusan dari University of Yarmouk, Jordan
pulak tu. Sudahlah dia tu anak kepada ulama yang disegani.”
Azfahan melarikan matanya supaya tidak menjadi mangsa renungan Puan Sri
Zahlia. Pandangannya terus ditalakan ke arah kolam renang yang terhampar di
sebelah kanan banglo vila. Ketika ini, mereka sedang duduk di atas bangku yang
betul-betul menghadap air terjun buatan yang terdapat di satu sudut halaman vila
tersebut.
Entah mengapa, Azfahan merasakan jawapan Puan Sri Zahlia tadi kedengaran
begitu pedas sekali di telinganya. Atau... adakah ibunya memang berniat mahu
menyindirnya?
“Jadi, mummy setuju lah ni kalau Seri Mustika jadi menantu mummy?” soal Azfahan
dengan rasa was-was.
“Ya. Mummy setuju. Tapi boleh tak kalau mummy nak minta supaya Han cepatkan
perkahwinan Han dengan dia. Kalau boleh dalam minggu ni?”
“Minggu ni? Kenapa cepat sangat mummy? Sempat ke kita nak buat preparation?” Azfahan nampak terkejut
dengan permintaan Puan Sri Zahlia.
“Apa pulak tak sempatnya. Sebenarnya dari hari pertama lagi mummy dah restu
hubungan Han dengan Mustika. Mummy rasa dia lah perempuan paling sempurna untuk
menjadi isteri Han. Atas sebab itulah dari minggu lepas lagi mummy dah siapkan
semuanya untuk perkahwinan Han dengan bakal menantu mummy tu nanti. Mummy dah
tak sabar-sabar lagi nak tengok Han bersanding.”
Terus bersinar-sinar mata Azfahan mendengar restu yang diberikan. Syukur
Alhamdulillah... Dia patut berterima kasih pada ‘Sherry’. Dia tahu, ‘Sherry’
telah menjalankan tanggungjawabnya dengan baik sekali. Sejak dua minggu lepas
lagi, dia tahu ‘Sherry’ selalu datang ke sini untuk berbual-bual dan menemani
ibunya yang biasanya akan tinggal berseorangan bersama tiga pembantu rumah di
dalam vila ini. Tempoh hari pun ibunya ada bercerita tentang ‘Sherry’ yang
rajin membawanya ke surau dan majlis-majlis agama untuk mendengar ceramah dan
melakukan apa sahaja aktiviti yang berunsurkan keagamaan.
Dari hujung talian, dia dapat dengar dengan jelas betapa bahagianya ibunya
sewaktu menceritakan semua itu kepadanya. Termasuklah cerita bagaimana kagum
dan bangganya ibunya mendengar suara ‘Seri Mustika’ yang lunak merdu sewaktu
mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran. Yang itu, dia sendiri tidak dapat nak
nafikan memandangkan dia juga pernah terpukau sewaktu terdengar suara merdu itu
mengalunkan ayat suci.
Hahahaha....gelak habis baca bab nie....goodjob writer....ermm, bila pulak turn seri embun asli? Nak jugak dia dengan afka...(mata kedip2)...hahahah
ReplyDeletesama la kita.. rindu la seri embun yg sebenar.. hehe
Deletebest tapi nak tanya bila masa diorang bertukar? bila masa mustika dtg kl? dan tak sabar nak tahu sebab diorg tukar
ReplyDeletebest kelakar x ingat.
ReplyDeletelambat lagi ke nak sambut? :)
ReplyDeletebila nak sambung ni...?
ReplyDelete