39
TINGGAL dua hari lagi sebelum Azfahan dan ‘Sherry’
disatukan. Sehari sebelum mereka bernikah nanti, seperti yang dirancang,
Azfahan akan mendedahkan identiti sebenar Seri Mustika. Sebelum mereka
berkahwin, ibunya wajib diberitahu siapakah sebenarnya perempuan yang selama
ini berselindung di sebalik purdah dan pakaian serba hitam itu.
Azfahan sendiri tidak pasti apakah nanti ibunya akan mengamuk sebaik
mengetahuinya? Atau melupakan sahaja rasa bencinya terhadap Seri Embun
sekaligus menerima Seri Embun sebagai menantunya?
Kalau Puan Sri Zahlia mengamuk sekalipun, dia yakin yang ibunya sudah tidak
boleh buat apa-apa lagi memandangkan kad jemputan sudah diedarkan. Tentu ibunya
sendiri tidak sanggup untuk menanggung malu, juga tidak sanggup membatalkan
perkahwinan itu nanti.
“Esok, dari KL aku akan terus ke sini untuk jemput kau. Dan kita akan
sama-sama balik ke vila.”
Sejak kebelakangan ini, Azfahan memang terpaksa berulang-alik dari Kuala
Lumpur ke Jerantut memandangkan sebagai pengurus besar, sudah tentulah
komitmennya diperlukan di dalam syarikatnya di Kuala Lumpur itu. Apatah lagi
dengan tugasan yang semakin menimbun sejak akhir-akhir ini.
Seperti biasa, setiap kali dia hendak berjumpa dengan ‘Sherry’, mereka akan
berjumpa dan berbual-bual di lobi hotel sahaja. Sehingga hari ini, memang
sengaja dia menempatkan ‘Sherry’ di situ sehinggalah mereka berkahwin nanti.
“Tak payahlah susah-susah. Esok pagi, aku sendiri akan naik teksi ke vila.
Esok, kau balik sini petang, ke malam?”
“Petang kot,” jawab Azfahan sambil mengangguk, bersetuju dengan cadangan ‘Sherry’
tadi.
“Kalau macam tu kita jumpa esok dekat vila.”
SEBAGAIMANA yang telah dirancang, Azfahan
terus bergerak dari Kuala Lumpur ke Jerantut untuk pulang ke vila setelah
selesai segala urusan di syarikatnya. Jam sekarang ini menunjukkan pukul 4.15
petang. Lebih kurang sejam selepas itu, dia pun sampai ke vila. ‘Seri Mustika’
pula pagi-pagi lagi sudah sampai ke sana.
Sewaktu dia masuk ke dalam banglo, dia lihat ibunya sedang berbual-bual
mesra dengan ‘Seri Mustika’ yang pertama kalinya dilihat mengenakan jubah
berwarna kelabu yang sedondon dengan warna purdah yang menutup hampir seluruh
bahagian mukanya. Sebelum ini, hanya jubah dan purdah berwarna hitam sahaja
yang disarungkan pada tubuh dan kepalanya.
Sewaktu dia melangkah menghampiri ibu dan bakal isterinya yang duduk di
ruang tamu utama itu, Azfahan dapat merasakan kepala lututnya seperti
bergoyang-goyang, dan dia sendiri dapat mendengar dadanya yang berdebar-debar.
Dia tahu, dia sedang takutkan saat-saat itu. Saat-saat untuk mendedahkan
identiti sebenar Seri Mustika.
Selepas memberi salam dan bersalaman dengan Puan Sri Zahlia, Azfahan terus
mengambil tempat di sebelah ibunya. Sewaktu ibunya sedang seronok berbual-bual
dengan bakal menantunya itulah, dia mencelah tiba-tiba. Dia terpaksa buat
begitu sebab dia sudah tidak sabar lagi untuk menamatkan permainan yang
merumitkan ini. Selagi permainan ini tidak ditamatkan, hatinya akan berasa
tidak tenang memikirkan pembohongan terhadap ibunya sendiri. Dia berasa
bersalah yang teramat sangat.
“Mummy, mummy ingat lagi tak janji Han pada mummy?” luahnya dengan hati
yang sangat berat.
Puan Sri Zahlia kelihatan sedang menoleh memandang anaknya yang seorang itu
dengan dahi yang berkerut-kerut meminta penjelasan.
Sempat lagi Azfahan menelan air liur.
“Kan hari tu mummy ada cakap mummy teringin sangat nak tengok muka Mustika.
Jadi, inilah masanya, mummy...” jelas Azfahan dengan hati yang masih berat.
Dengan dada yang semakin berdebar-debar.
Dia menoleh pula memandang ‘Seri Mustika’. Dia lihat bakal isterinya itu
langsung tidak kelihatan cemas. Tenang saja ‘Seri Mustika’ menganggukkan
kepalanya.
“Betul ke ni?” Puan Sri Zahlia seperti tidak percaya, tapi wajahnya jelas
menunjukkan betapa dia teruja.
Puan Sri Zahlia terus memandang ke arah ‘Seri Mustika’. Begitu juga dengan Azfahan.
Dia mengangguk ke arah bakal isterinya itu sekaligus cuba meyakinkan ‘Seri
Mustika’ untuk menanggalkan purdah yang menutup mukanya.
‘Seri Mustika’ nampaknya sudah bersedia. Tapi, Azfahan pula yang
takut-takut sewaktu bakal isterinya itu ingin menanggalkan purdahnya. Dia terus
melarikan pandangannya ke arah lain. Tak sanggup rasanya nak lihat reaksi
ibunya nanti. Tentu terkejut besar orang tua itu bila dapat tahu ‘Seri Mustika’
itu sebenarrnya adalah Seri Embun.
“Masya-ALLAH... Ini ke rupa menantu mummy? Subhanallah... cantik sungguh
orangnya. Comelnya... Beruntung sungguh Han dapat isteri secantik Mustika ni.
Tak pernah lagi mummy tengok perempuan secantik ni.”
Berkerut-kerut dahi Azfahan mendengar pujian yang melambung-lambung daripada
ibunya. Mummy ni, macamlah dia tak pernah tengok Seri Embun. Beriya-iya sangat
dia puji budak tu. Padahal aku sendiri walaupun dah jatuh cinta dengan dia, tak
ada pulak aku rasa dia tu cantik. Setakat sedap mata memandang tu ada lah.
Azfahan jadi semakin pelik bila ibunya masih tidak henti-henti memuji ‘Seri
Mustika’. Sampaikan dia jadi teruja sama
untuk memandang wajah bakal isterinya itu.
Iyalah, manalah tahu kalau-kalau Seri Embun atau bakal isterinya yang
dipanggil dengan nama glamour ‘Sherry’ itu, semakin cantik sekarang ini.
Maklumlah, dia sendiri memang ada bagi duit belanja pada ‘Sherry’ sepanjang
bakal isterinya itu menginap dekat hotel. Manalah tahu kan kalau Sherry guna
duit tu semua untuk repair muka dia yang tak berapa nak lawa tu.
Tapi, lawa sangat ke muka dia?
Lantas, dengan perasaan teruja yang melonjak-lonjak dan berkobar-kobar, Azfahan
pun menoleh untuk melihat paras rupa yang masih melambung-lambung mendapat
pujian daripada ibunya.
“Sazzy?” Terlopong mulutnya sebaik matanya terpandangkan Sazzy. Dia lihat
pula pada pakaian Sazzy. Jubah berwarna kelabu, juga dengan tudung yang
berwarna kelabu. Ini bermakna perempuan berpakaian dan berpurdah serba kelabu
yang disangkanya ‘Sherry’ tadi rupa-rupanya adalah Sazzy. Tapi, ke mana pula ‘Sherry’
menghilang?
“Mustika, auntie ingat auntie nak bawa kamu pergi spa lah. Esok kan hari
paling bersejarah untuk kamu. Auntie nak pastikan semua tetamu yang hadir esok
tak berkelip tengok betapa cantiknya bakal menantu auntie ni. Mari ikut auntie
naik bilik. Teman auntie bersiap-siap sebelum kita pergi.”
Puan Sri Zahlia terus menarik tangan Sazzy. Sazzy pula dengan senyuman
lebar di bibirnya mengikut saja langkah wanita itu tanpa menghiraukan Azfahan
yang memandangnya dengan dahi yang berkerut-kerut.
Kalau ikutkan, mahu sahaja Azfahan menghalang Sazzy daripada mengekori
ibunya. Dia mahu mengasak gadis itu dengan soalan-soalan yang berlegar-legar di
dalam kepalanya sekarang ini. Yang paling dia nak tahu, dekat mana Sherry
berada sekarang ni? Apa yang Sazzy dah buat pada Sherry?
SEWAKTU Sazzy melintas di
hadapannya untuk keluar dari banglo tersebut, akhirnya sempat juga Azfahan
merentap lengan bekas kekasihnya itu. Sesekali dia menjeling ke arah tangga
untuk memastikan ibunya masih berada di dalam biliknya, bersiap-siap sebelum
mereka berdua bertolak ke spa.
“Lepaslah! Sakitlah...” rengek Sazzy, masih manja dan mengada-ngada seperti
biasa. Padahal bukan kuat mana pun cengkaman itu.
“Baik kau bagitahu, mana kau sorokkan Sherry aku?” Wajah Sazzy direnung
tajam.
“Manalah I tahu!”
Azfahan sengaja menguatkan cengkamannya, sehingga terjerit Sherry
dibuatnya.
“Baik kau bagitahu aku. Kalau tak, putus tangan kau ni aku kerjakan!” Azfahan
kelihatan semakin bengis sampaikan dia terlupa yang dikerjakannya itu adalah
seorang perempuan yang lemah. Dia jadi terlalu marah memikirkan kemungkinan
kalau-kalau ‘Sherry’ telah diapa-apakan oleh bekas kekasihnya ini. Sehinggakan
dia boleh bertindak secara kurang waras, dengan memulas lengan Sazzy dan
memusingkan ke belakang tubuh gadis itu.
“Kau masih nak diamkan diri juga?” bisik Azfahan dengan suara yang
kedengaran menyeramkan di telinga Sazzy. Meremang bulu romanya. Sazzy sedar, Azfahan
sudah tidak mampu lagi membendung perasaan marahnya ketika ini.
“Baiklah, I akan bagitahu. Tapi tolonglah lepaskan tangan I dulu. Sakit...”
rintih Sazzy dengan suara yang tenggelam hampir tidak kedengaran.
“Sebenarnya, Sherry yang rancang semua ni. Dia tak nak kahwin dengan you.
Sebab itulah pagi tadi, dia suruh I yang menyamar sebagai ‘Seri Mustika’ supaya
bila I buka saja purdah tu, mummy you akan nampak muka I, bukannya muka Sherry.
Sherry buat macam tu supaya mummy you akan sangka ‘Seri Mustika’ itu adalah I.
Itulah tujuan Sherry untuk mengelak daripada kena kahwin dengan you. You pun
tahu kan yang mummy you dah jatuh sayang pada ‘Seri Mustika’ dan sekarang ni
bila mummy you sangka perempuan yang selama ini menyamar sebagai ‘Seri Mustika’
itu adalah I, maknanya I lah orang yang akan berkahwin dengan you.”
Menggigil seluruh tubuh Azfahan mendengarkan pengakuan itu. Bertambah lemah
badannya saat terpandangkan senyuman lebar Sazzy yang meraikan kemenangannya.
Dia terasa semacam nak menangis memikirkan esok adalah hari bersejarahnya
tetapi malangnya ‘Sherry’ telah mengkhianatinya. Lebih malang lagi apabila
esok, dia terpaksa berkahwin dengan Sazzy yang sudah tidak dicintainya itu.
“Kenapalah kau kejam sangat Sazzy? Bukan ke kau yang khianat cinta aku? Aku
tak pernah terfikir untuk tinggalkan kau dulu. Tapi kau yang tinggalkan aku
sejak kau kenal dengan lelaki tua tu! Tapi sekarang, kenapa kau sanggup
berkomplot dengan Sherry supaya aku terperangkap dan terpaksa berkahwin dengan
kau?”
Sazzy sekadar menjongketkan kedua
belah bahunya dengan riak wajah tidak bersalah. Tanda di tidak tahu dan malas
mahu memberikan sebarang komen dengan kenyataan yang Azfahan keluarkan. Dia
masih ingin mengukir senyuman selebar-lebarnya bagi meraikan kemenangan atas
kejayaannya memiliki lelaki yang paling dicintainya.
“Kau memang kejam, Sazzy. Aku akan pastikan rancangan kau gagal. Kita
takkan berkahwin. Kau takkan pernah layak untuk jadi isteri aku walau sampai
bila-bila!”
“Shut up! You ingat sini, Azfahan! Sekarang ni, mummy you tu dah terlalu
sayangkan sangat dengan ‘Seri Mustika’ dan pada tanggapan dan fikiran mummy
you, yang mummy you tahu, ‘Seri Mustika’ itu adalah I, bukannya Sherry! Mummy
you langsung tak tahu tentang kenyataan yang sebenar. Maksud I, mummy you
langsung tak tahu yang selama ini, perempuan yang berselindung di sebalik
purdah dan menyamar sebagai ‘Seri Mustika’ itu sebenarnya adalah Sherry. Tapi
nak buat macam mana. Bila I tanggalkan saja purdah I tadi, mummy you nampak
muka I. Itulah pertama kali mummy you tengok muka ‘Seri Mustika’. Jadi
sekarang, mummy you dah anggap ‘Seri Mustika’ itu adalah I. Bukannya Sherry
walaupun hakikatnya ‘Seri Mustika’ yang sebenar-benarnya adalah Sherry!” bidas
Sazzy dengan suara yang agak lantang.
“Jadi sekarang, apa keputusan you? You nak lari daripada perkahwinan ni? I
nak ingatkan you. Sebelum you buat sebarang tindakan bodoh, you fikirlah
perasaan mummy you. You sendiri tahu kan yang sebelum ni you dah pernah
kecewakan mummy you bila Sherry yang kononnya bakal jadi isteri you tu telah
sakitkan hati mummy you. Jadi, takkanlah kali ni pun you nak kecewakan dia
lagi?”
Tersentak dengan mulut yang hampir terlopong, Azfahan kelihatan
termangu-mangu sewaktu menimbang kebernasan kata-kata yang keluar dari mulut
Sazzy tadi. Hatinya mengakui, apa yang dikatakan oleh Sazzy itu memang ada
benarnya. Takkanlah dia mahu kecewakan harapan ibunya lagi sedangkan dia
sendiri dapat lihat betapa sayangnya ibunya pada ‘Seri Mustika.’ Jadi, nak tak
nak, dia sudah tak ada pilihan. Nampaknya, terpaksa jugalah dia berkahwin
dengan Sazzy demi kebahagiaan ibunya sendiri.
‘Ya ALLAH... beratnya dugaan ini ya ALLAH.. Sherry, kenapa kau buat aku
macam ni? kenapa kau tergamak dan terfikir untuk khianat cinta kita? Apa salah
aku Sherry? Apa salah aku? Ya ALLAH, apa salah aku, ya ALLAH? Kenapa dia buat
aku sampai macam ni sekali? Kenapa, ya ALLAH? Kenapa?’ raung Azfahan di dalam
hati sebelum dia kelihatan mengalirkan air matanya. Kepalanya terdongak,
matanya pula terpejam rapat, serapatnya. Sesungguhnya, inilah pertama kalinya
dia menangis hanya kerana seorang kekasih hati yang dicintainya.
Puas menangis, dia menggeleng-gelengkan pula kepalanya. Nyata dia tidak
mampu untuk menerima hakikat setiap kali dia membayangkan impiannya yang telah
hancur sehari sebelum dia bergelar raja sehari. Wajahnya yang ketara sugul,
lemah dan pucat tidak bermaya itu jelas menunjukkan yang dia sememangnya tidak berdaya
untuk menerima kenyataan yang bakal merubah seluruh hidupnya.
Pedih sungguh luka yang terpaksa ditanggungnya sehinggakan kepedihan itu
akhirnya menyebabkan kedua belah lututnya jatuh menghentak lantai. Begitu juga
dengan kepalanya. Jatuh tertunduk ke bawah bersama air mata yang masih bersisa.
Sementara Sazzy pula terus tersenyum sambil berpeluk tubuh, meraikan
kemenangannya.
40
SETELAH apa yang dilakukan oleh ‘Sherry’
padanya, Azfahan langsung tidak pulang ke vila. Telefon bimbitnya sengaja dimatikan
setelah beberapa panggilan yang dibuat oleh Puan Sri Zahlia. Tentu ibunya
risaukan keadaannya. Sepatutnya sekarang ini dia perlu berada di rumah
memandangkan malam ini dia akan bernikah.
Huh, nak bernikah macam mana. Pengantin perempuan pun dah larikan diri.
Mana sempat nak uruskan segala prosedur termasuk borang nikah kalau dia nak
bernikah dengan Sazzy malam ni sekalipun. Jadi, nak tak nak, majlis nikah malam
ni terpaksa ditunda ke hari lain sehinggalah dia dan Sazzy menyelesaikan
prosedur yang diperlukan sebelum mereka sah bergelar suami isteri.
Namun malam itu, dia tetap pulang semula ke vila walaupun dengan keadaan dirinya
yang sangat tidak terurus sampaikan tali lehernya pun tidak sempat untuk
ditanggalkan. Dibiarkan sahaja tali leher itu tergantung longgar pada kolar
baju kemejanya yang sudah renyuk dan berkedut-kedut. Belakang kemeja putih
kosongnya nampak basah dan lembab dengan peluh, sementara mukanya pula lembab
dengan kotoran minyak, cukup untuk menunjukkan yang dia sedang menghadapi
tekanan yang sangat melampau ketika ini.
Tak perlu diberitahu, dia sendiri dapat bayangkan betapa teruknya
keadaannya sekarang ini. Kalau ikutkan hatinya, memang dia tak nak balik ke vila
ini dalam masa yang terdekat ini. Tapi takkanlah nak dibiarkan mummy dengan daddynya tanggung malu macam tu saja sedangkan dia pula mengambil
keputusan melarikan diri dari masalah tersebut. Sungguhlah tidak adil. Tak guna
jadi anak lelaki kalau dia tak berani nak hadapi semua tu. Dia bukannya
pengecut!
Lagipun dia sudah lelah untuk terus menjejak bayangan ‘Sherry’. Sudah puas
dia mencari gadis itu di kawasan kampungnya namun hasilnya tetap menghampakan.
Dengan bantuan orang kampung, memanglah dia berjaya menjejak sehingga ke rumah ‘Sherry’
tapi malangnya, gadis itu tak ada di situ. Jangan kata ‘Sherry’, rasanya tak
ada seorang pun di dalam rumah separuh papan dan separuh batu itu. Bergelap
sahaja walaupun dia ada menunggu di depan rumah tersebut sehingga pagi keesokan
harinya, mengharap kalau-kalau ada di kalangan ahli keluarga ‘Sherry’ atau
‘Sherry’ sendiri yang pulang ke rumah tersebut.
Begitu sekali dia berusaha untuk
bersemuka dengan ‘Sherry’. Dia sudah siap merancang-rancang lagi untuk merayu
agar ‘Sherry’ tidak meninggalkannya tapi malangnya, dia tidak berpeluang untuk
buat begitu.
“Masya-ALLAH... Kenapa selekeh sangat anak mummy ni? Mana Han pergi
semalam? Mummy ingat Han balik KL sebab ada urusan penting dekat syarikat. Tapi
tengok gaya sekarang ni, dah macam baru balik daripada latihan tentera aje.”
Azfahan yang kaku berdiri di hadapan vila terpinga-pinga apabila disergah
tiba-tiba oleh Puan Sri Zahlia yang entah bila sudah terpacak di hadapan pintu
gelangsar yang lebar itu.
Dia sedang berkhayal rupanya. Nampak sangat yang dia masih tak dapat nak
menerima hakikat atas kehilangan ‘Sherry’ yang sepatutnya menjadi isterinya
malam ini.
“Han, mummy tengah cakap dengan Han
ni. Kamu dengar tak, sayang? Apa kamu tunggu lagi tu? Masuklah cepat. Bersihkan
badan tu, lepas tu bolehlah bersiap-siap. Embun dah bersiap-siap dah pun dengan
baju nikah dia. Tinggal nak make-up
aje. Isyhhh... Kamu ni kan..”
Embun? Apa yang mummy merepek ni? Dia ingin bertanya begitu, tetapi tak
sempat. Sebaik kepalanya yang tertunduk itu diangkat, dia lihat ibunya sudah
pun masuk semula ke dalam rumah.
Kenapa pulak tiba-tiba mummy sebut pasal Embun ni? Bukan ke mummy dah
bencikan budak tu sejak budak tu malukan mummy hari tu? Apa semua ni? Atau
mummy dah tahu yang Seri Mustika itu sebenarnya adalah Seri Embun A.K.A Sherry?
Tapi kalau ya pun mummy dah tahu tentang penipuan tu, kenapa mummy boleh merapu
cakap bukan-bukan macam tadi tu? Bukan ke Embun A.K.A Sherry dah larikan diri
sejak pagi semalam lagi?
Pening pula Azfahan nak memikirkannya. Lantas, dia terus berjalan dengan
pantas untuk masuk ke dalam. Sewaktu dia melintas laluan untuk melepasi ruang
tamu utama, dia lihat semua tetamu yang hadir memandang pelik ke arahnya. Dia
tahu, tentu mereka semua hairan melihat keadaan dirinya yang selekeh dan seperti
langsung tidak bersedia itu sedangkan sepatutnya dalam sejam lagi dia akan
dinikahkan.
Mummy ni kenapa biarkan semua tetamu tunggu lama-lama dekat sini? Dari
semalam lagi aku dah mesej mummy minta ditunda majlis nikah aku dengan ‘Seri
Mustika’ yang nama sebenarnya adalah Sazzy itu. Bekas kekasih yang telah
berlaku curang dengannya tidak lama dulu. Ahhhh... Buat sakit hati je bila
ingat balik!
Atau mummy sebenarnya malu nak bagitahu tetamu pasal majlis nikah yang
terpaksa ditunda ke hari lain?
Azfahan mengeluh kesal. Sepatutnya dari semalam lagi dia fikirkan tentang
mummy dan daddynya. Sudah tentulah kedua ibu bapanya yang sudah tua itu tidak
cukup kuat untuk berhadapan dengan situasi begini. Jadi seharusnya sebagai
punca kepada segala masalah, dia sendiri yang sepatutnya memaklumkan kepada
mereka semua tentang penundaan majlis nikahnya dengan Sazzy.
Azfahan mengeluh lagi. Dia kelihatan sedang mengangguk-anggukkan kepalanya,
sebagai usaha untuk meyakinkan dirinya sendiri, sambil dia menelan air liur
beberapa kali supaya dapat memecahkan batu-batu besar yang terasa seperti sedang
bertenggek di tengah-tengah kerongkongnya.
“Assalamualaikum semua...” ucap Azfahan dengan suara yang agak bergetar.
Itu sahaja yang sempat keluar dari mulutnya hanya setelah dia betul-betul
berada dalam keadaan bersedia di hadapan tetamu yang rasa-rasanya tidaklah
sampai melebihi seratus orang itu. Namun, dadanya tetap berdebar-debar.
Lututnya mula terasa longgar.
Apatah lagi pada pandangannya sekarang ini, dia perasan ada di antara
mereka yang berbisik-bisik sesama mereka, manakala yang selebihnya pula
memandang ke arahnya dengan pandangan yang masih hairan. Itu sudah tentu.
Sesiapa pun akan hairan melihat keadaannya yang terlalu selekeh itu sedangkan
sekarang ini dia sepatutnya sudah lengkap bersampin dan berbaju melayu.
Tumpuan yang diberikan membuatkan dia bertambah gementar. Keadaan itu
memaksa dia untuk menarik nafasnya dalam-dalam supaya dia lebih bersedia dengan
pengumuman yang akan dibuat. Kali ini, dia tidak sanggup untuk memandang tetamu
yang hadir di hadapannya. Biarlah sewaktu pengumuman itu dibuat, kepala dan
matanya tunduk memandang ke bawah.
“Terlebih dahulu, bagi pihak mummy dan daddy, juga dari pihak saya sendiri,
saya ingin meminta maaf daripada anda semua atas perkara yang tidak
disengajakan dan tidak dapat dielakkan ini. Saya anggap semua ini adalah
daripada kesilapan saya sendiri, dan mungkin juga sekarang ini bukanlah masanya
untuk saya bersatu dengan bakal isteri saya. Sekali lagi saya minta maaf. Semua
ini berlaku disebabkan perkara-perkara yang tidak dapat dielakkan sehinggakan
saya terpaksa membatalkan majlis pada malam ni. Majlis akan ditunda ke hari
lain.”
Tetamu yang hadir kelihatan tercengang dengan pengumuman itu. Suasana di
dalam ruang tamu mula riuh dengan
suara-suara sumbang mereka. Tiba-tiba ada satu suara lain yang menyampuk.
“Kenapa mesti tunda ke hari lain pulak? Tak nak lah! Aku nak kahwin dengan
kau malam ni jugak!”
Tercengang, Azfahan terus mengangkat kepalanya. Dia seperti terdengarkan
suara seseorang yang dirinduinya tetapi dia sendiri tidak pasti siapakah orang
itu.
Lalu dia pun menoleh.
Dia lihat orang yang dirinduinya itu sudah lengkap berbaju kebaya moden
yang sarat dengan hiasan labuci yang bergemerlapan terutamanya di bahagian
dadanya. Dia renung wajah itu lama-lama. Cantiknya dia... Terpukau Azfahan
melihatnya.
Namun bila dikenang semula perbuatan orang yang dirinduinya itu, hatinya
yang terlalu merindui wajah yang sedang dipandangnya itu terasa sedang
mengalirkan semula darahnya walaupun orang yang dirinduinya itu sedang tersenyum-senyum
sambil memandang ke arahnya. Dia pula sedaya upaya cuba mengeraskan hati supaya
tidak terjual dengan senyuman manis itu.
Dengan muka yang bengis, dia merapati perempuan yang telah mengkhianati
cintanya itu. Senyuman perempuan itu langsung tidak dibalas sebaliknya dia
terus merentap pergelangan perempuan tersebut sebelum mereka masuk ke satu
sudut di mana tiada sesiapa yang dapat melihat mereka di situ.
“Apa semua ni?” terus ‘Sherry’ disergahnya.
“Kenapa kau boleh datang sini balik lepas kau tinggalkan aku, atau lebih
tepat lagi lepas kau khianat dan perangkap aku supaya aku kahwin dengan Sazzy?”
tempelak Azfahan lagi dengan rengusan yang jelas telah membuatkan bulu roma ‘Sherry’
tegak berdiri mendengarnya. Lelaki ini memandangnya bagai nak terkeluar biji
matanya. Seram sejuk tubuh ‘Sherry’ dibuatnya.
Takut-takut, dia membalas juga tikaman mata bakal suaminya yang sedang
mengamuk menggila itu.
“Maafkanlah aku. Aku tak berniat pun nak buat semua tu dekat kau. Semua ni
rancangan mummy kau jugak. Aku ni cuma terpaksa ikut aje sebab mummy kau ugut
aku supaya bersepakat dengan dia untuk kenakan kau,” beritahu ‘Sherry’ dengan
suara yang sayu walaupun tidaklah sesayu suara takbir di malam raya. Bibirnya
siap dijuihkan dan sambil itu, dia pura-pura buat muka sedih bagi meraih
simpati dari bakal suaminya ini.
Ternyata menjadi. Azfahan mengerutkan dahinya untuk mengetahui cerita yang
selanjutnya.
“Sebenarnya, pada hari kedua penyamaran lagi mummy kau dah tahu yang Seri
Mustika itu sebenarnya adalah aku. Tapi aku tak boleh bagitahu kau pasal tu.
Aku terpaksa rahsiakan. Mummy kau dah ugut aku.”
“Macam mana awal-awal lagi mummy boleh tahu kau menyamar sebagai Seri
Mustika?” celah Azfahan, yang jelas tidak boleh nak bersabar lagi walaupun
sekejap.
“Masa tu aku kat dalam bilik nak tunaikan solat Asar. Lepas aku dah siap
ambil wudhu’, tiba-tiba waktu tu penyakit asma aku datang menyerang. Dada aku
rasa sempit sangat, rasa sesak sangat nak bernafas. Jadi aku pun tanggalkanlah
purdah tu supaya aku selesa untuk bernafas. Kebetulan pula mummy kau masuk ke
dalam bilik sebab nak sediakan telekung dan sejadah untuk aku solat. Waktu
itulah terbongkarnya segala-galanya. Aku tak sempat nak cover line. Mummy kau terkejut tengok muka aku dan akhirnya, mummy
kau pun tahu lah orang yang selama ini menyamar sebagai Seri Mustika itu adalah
aku. Rancangan kita akhirnya kantoi macam tu aje tanpa sempat aku nak
selamatkan.
Dan bila dah terbongkar rahsia tu semua, mummy kau pulak yang merancang
untuk kenakan kau. Kebetulan Sazzy ada datang ke vila ni. Mummy pun ajak Sazzy
berkomplot sekali dan Sazzy pun setuju untuk pakai purdah yang aku selalu pakai
tu lalu Sazzy pun menyamarlah sebagai Seri Mustika. Sewaktu Sazzy tanggalkan
saja purdahnya, mummy kau pun pura-pura lah buat muka teruja bila tengok muka
Sazzy padahal semua tu dah dirancang dari awal-awal lagi. Mummy buat macam tu
semata-mata nak kenakan kau. Saja nak bikin gempak.
Sempat lagi ‘Sherry’ mengukir senyuman, mengharapkan Azfahan tidak mengamuk
atau melenting tiba-tiba.
“Aku pun tumpang sekaki lah. Iyalah, sekali-sekala tu teringin jugak nak
tengok macam manalah agaknya reaksi manusia tak berperasaan macam kau ni bila
berhadapan dengan situasi macam tu. Rupanya baru sekarang aku nampak, yang kau
ni bukanlah seteruk yang aku sangkakan selama ni. Aku ingatkan kau ni manusia
yang tak ada perasaan. Tapi sayang jugak kau kat aku ya sampai sanggup cari aku
kat merata-rata tempat. Sampaikan kau boleh jadi macam sekarang ni. Hilang
terus ciri-ciri lelaki handsome dan macho yang kau bangga-banggakan sangat
tu.”
Azfahan terus tunduk bagi menyembunyikan rasa malunya. Walaupun rasa sakit
hati sebab dipermainkan itu masih ada, tapi rasa malas pula nak merajuk. Rasa
nak gelak kuat-kuat tu ada lah. Tak sangka pula dalam pada dia merancang untuk
bodoh-bodohkan mummynya, akhirnya dia pula yang dikenakan oleh mummynya
sendiri. Itulah padahnya menipu ibu sendiri.
Kenapalah dia tak terfikir betapa bodohnya kerja penyamaran hasil idea bersamanya
dengan si budak ‘Sherry’ itu. Siap suruh menyamar pakai purdah semata-mata nak ‘Sherry’
tawan semula hati ibunya. Akhirnya, dia pula yang ‘ditawan’ oleh ibunya
sendiri. Malunya dia...
“Tapi, macam mana Sazzy boleh terfikir untuk berkomplot sekali? Pandai
betul Sazzy tu berlakon depan aku. Aku ingatkan dia memang ada niat nak
perangkap aku supaya aku kahwin dengan dia. Rupanya-rupanya, lakonan aje semua
tu? Fuh, hebatnya korang semua kenakan aku!”
‘Sherry’ tergelak besar walaupun dia kasihan dengan bakal suaminya ini.
Tapi apa boleh buat. Dia sendiri tidak boleh berbuat apa-apa sebab Puan Sri
Zahlia sendiri mengugutnya. Jadi, kalau dia nak kahwin dengan anak lelaki Puan
Sri Zahlia yang dia gila-gilakan sangat itu, terpaksalah dia ikut saja ‘projek’
wanita itu untuk mengenakan anaknya sendiri.
“Kebetulan hari tu Sazzy datang ke sini cari kau sebab nak minta maaf dekat
kau atas kecurangan dia selama ini dan alang-alang datang tu, dia nak ucapkan
tahniah sekali dekat kau atas kejayaan kau memenangi hati seorang gadis yang
menjadi pujaan ramai ni.” Sempat lagi ‘Sherry’ mengangkat diri sendiri.
“Jadi, memandangkan waktu tu kau masih dalam perjalanan untuk balik ke
vila, mummy kau pun cakaplah dekat Sazzy yang dia hanya akan izinkan Sazzy
jumpa kau dengan syarat Sazzy pun kena terlibat sama dalam ‘projek khas’ mummy
kau tu! Apa lagi. Sazzy pun terpaksa lah setuju. Dia pun nampak teruja sangat
sebab dapat berlakon pegang watak Seri Mustika untuk kenakan kau.”
Azfahan tersenyum sambil menahan rasa marah. Tersenyum bila ingat bagaimana
beriya-iya ibunya memuji kecantikan Sazzy sebaik sahaja Sazzy menanggalkan
purdahnya. Dia sendiri sempat menoleh dan lihat berapa terujanya riak muka
ibunya ketika itu. Nampak real
sungguh, padahal lakonan je semua tu.
‘Lakonan semata-mata nak kenakan aku! Tapi, menjadi sungguh lakonan mummy. Respectlah dekat mummy!’
“Han... tunggu apa lagi tu, naik lah atas cepat bersihkan badan tu. Lepas
tu bolehlah bersiap-siap. Hari tu sibuk sangat, tak sabar sangat nak kahwin
sampai buat kerja gila suruh Embun ni menyamar. Nasib baiklah menyamar pakai
purdah aje. Kalaulah budak Embun ni menyamar pakai kain kafan, agaknya dah lama
mummy mati terkejut,” seloroh Puan Sri Zahlia yang baru muncul dari dapur dan
disambut dengan ketawa yang besar dari ‘Sherry’. Macam biasalah... Budak kecik
sorang ni bukannya tahu nak gelak sikit-sikit.
Azfahan yang masih diketawakan tahan geram saja melihat kedua-duanya. Kedua-dua
belah matanya dikecilkan sewaktu dia merenung ibunya.
‘Mummy ni boleh lagi dia bergurau. Langsung tak ada nak tunjuk rasa
bersalah lepas dia kenakan aku teruk-teruk. Minta maaf pun tak ada! Nasib
baiklah aku ni macho, tak mainlah nak
merajuk-rajuk ni semua. Kalaulah aku ni sensitif, mesti aku dah lari bawa diri
ke mana-mana. Lagipun memandangkan sebelum ni pun aku dah banyak kenakan mummy
dan susahkan ‘Sherry’, jadi kira halal aje lah apa yang diorang buat kat aku
tu. Lagipun apa yang mummy buat tu sekurang-kurangnya menyedarkan aku untuk
lebih menghargai seseorang yang aku sayang supaya aku takkan tergamak untuk
melukakan hatinya atau melepaskan dia pergi dari hidup aku... Insya-ALLAH,
mudah-mudahan...’
Beruntunglah ‘Sherry’ kerana yang dikenakan itu adalah lelaki bernama
Azfahan yang tidak cepat melatah. Kalau lelaki lain, mungkin lelaki tu dah
tinggalkan dia sekarang ni. Tapi tak boleh nak salahkan Sherry juga sebab
dalang segala dalangnya adalah Puan Sri Zahlia...
41
UPACARA nikah yang menyaksikan ‘Sherry’
sah bergelar isteri kepada Azfahan telah berjalan dengan selamat dan sempurna.
Ketika ini, pasangan sedang berada di halaman vila melayan tetamu yang
rata-ratanya terdiri daripada sebahagian besar saudara-mara di sebelah pihak
pasangan lelaki. Dari sebelah pihak perempuan, hanya ayah ‘Sherry’ sahaja yang
datang memandangkan ayah merupakan anak tunggal. Nenek dan datuk Sherry pula
sudah lama meninggal dunia. Kakak ‘Sherry’ pula sampai sekarang tak
sampai-sampai. Katanya, ada kerja sedikit yang perlu diuruskan.
Setengah jam kemudian, semua tetamu beransur pulang. Tinggal ‘Sherry’ dan
Azfahan sahaja di tengah-tengah halaman hijau yang luas dan hanya diterangi
lampu hiasan yang terdapat di taman lanskap dan juga lampu yang datang dari
arah binaan air terjun buatan, yang terletak di sebelah salah satu gazebo yang
terdapat di halaman vila itu.
“Kenapa dengan sayang ni? Dari tadi abang perasan muka sayang tu macam muram
aje. Depan tetamu pun macam senyum paksa. Tak baik tau. Nanti apa pulak
saudara-saudara abang fikir pasal isteri kesayangan abang ni,” tegur Azfahan
dengan lembut.
Dia tersenyum dengan panggilan ‘sayang’ dan ‘abang’ yang telah mengambil
tempat menggantikan panggilan ‘kau’ dan ‘aku’. Sememangnya mereka sudah
merancang dan berjanji akan menamatkan panggilan ‘kau’ dan ‘aku’ hanya setelah
mereka sah bergelar suami isteri. Sepanjang mereka bergelar pasangan kekasih
dulu, ‘Sherry’ sendiri yang menetapkan untuk terus menggunakan panggilan ‘kau’
dan ‘aku’. Pada pendapat Sherry, membahasakan diri dengan panggilan ‘kau’ dan
‘aku’ itu adalah jauh lebih baik daripada menggunakan panggilan ‘sayang’ dan
‘abang’ ataupun ‘darling’ dan ‘honey’ kerana bagi ‘Sherry’ panggilan begitu
hanya akan merangsang nafsu serakah. Sekarang ni bila dah kahwin tak apa lah.
Nak guna panggilan manja tahap meloyakan anak tekak pun suka hatilah sebab dah
sah jadi pasangan yang halal.
“Sherry muram-muram macam ni, semuanya salah abang. Entah apa-apa entah.
Tadi masa akad nikah, dua kali abang tersasul. Kali ketiga barulah Sherry ni
sah jadi isteri abang. Nampak sangat abang macam tak ikhlas nak kahwin dengan
Sherry.” ‘Sherry’ menjuihkan bibirnya sepanjang yang boleh selepas dia
meluahkan rasa tidak puas hatinya. Muka suaminya di sebelah langsung tidak
dipandang walaupun pipi sebelah kirinya masih diusap-usap oleh tangan kasar
Azfahan. Kali ni dia bukanlah nak mengada-ngada, tapi dia memang betul-betul
merajuk!
Ditambah lagi dengan ketawa suaminya, makin sakit hati ‘Sherry’ dibuatnya.
Mungkin Azfahan tidak mengambil perkara itu sebagai sesuatu yang serius tetapi
sebagai seorang perempuan yang awal-awal lagi telah memenuhkan hatinya dengan
cinta lelaki itu, sedikit sebanyak tentulah dia kecewa juga.
“Alah, janganlah macam ni, sayang. Tak bestlah
kalau merajuk. Tak berserilah malam pertama kita nanti,” usik Azfahan demi
menceriakan hati si isteri. Malangnya, masih tak laku-laku juga.
“Isyyyy... baru kahwin dah nak main merajuk-merajuk. Macam manalah bila
mengandung nanti. Tak laratlah abang nak layan kalau macam ni.” Usikan masih
diteruskan tetapi nampaknya dia masih belum berjaya mendapat sebarang reaksi
daripada isterinya. Mukanya pun langsung tidak sudi untuk dipandang.
Azfahan sampai tergaru-garu kepalanya, pening dengan karenah si isteri.
“Okaylah, pasal akad nikah sampai tiga kali lafaz tadi tu, abang
betul-betul minta maaf.” Akhirnya dia mengalah.
Terus ‘Sherry’ menoleh dan memandang muka suaminya dengan senyuman di
bibir. Sebenarnya perkataan maaf itu sahaja yang ingin didengarnya sebab dia
tahu suaminya yang seorang ini memang susah sangat nak minta maaf. Sungguh tak
tercapai ketinggian egonya!
Bila Azfahan lihat ‘Sherry’ sudah tidak merajuk lagi, timbul idea nakal
untuk menyakat isterinya itu.
“Abang minta maaf ya sayang pasal hal tadi. Abang janji, bila abang nikah
dengan isteri kedua nanti, abang akan pastikan abang akan lulus hanya dengan
sekali lafaz saja.”
“Abangggggggggg... Kenapa cakap macam tu? Sampai hati abang!” ‘Sherry’
nampak terkejut walaupun dia tahu, kata-kata yang keluar itu cuma satu gurauan.
Azfahan buat-buat tidak faham. Boleh lagi menjongketkan kedua belah kening
dengan dahi yang sengaja dikerutkan.
“Cakap apa? Apa yang abang dah buat? Abang cuma nak tebus kesalahan abang
aje, dan abang nak buktikan pada sayang yang abang mampu buat lebih baik dari
tadi. Kalau tadi abang perlukan tiga kali lafaz sebelum sayang sah jadi isteri
abang, lepas ni abang akan pastikan abang hanya berjaya dalam sekali lafaz saja
sebelum Sazzy jadi isteri kedua abang,” gurau Azfahan sambil menahan rasa nak
tergelak.
‘Sherry’ kembali menarik muka
seperti tadi. Tubuhnya dipeluk ketat-ketat sampai lengannya sendiri yang rasa
sakit bila dia memeluknya sekuat hati. Nak marah dekat orang lain, tapi diri
sendiri yang rasa sakit.
“Ada lagi hati abang untuk dia ya? Baguslah, Sherry tengok dia makin cantik
sekarang ni. Anggun aje kan dia berbaju kebaya tadi.” ‘Sherry’ cuba menutup
rasa hatinya yang terasa seperti hendak menangis sekarang ini. Entah kenapa
setelah dia berjaya memiliki lelaki di sebelah ini, dia tiba-tiba bertukar
menjadi seorang yang terlalu sensitif hatinya. Atau, adakah dia sebenarnya
hanya ingin bermanja-manja dengan suaminya sahaja? Hurmmm... Mungkin juga.
“Alah sayang ni.... Sejak bila dah tak boleh nak dibawa bergurau ni. Kalau
dulu sebelum kahwin, bukan main lancang lagi mulut sayang kutuk-kutuk abang.
Sekarang ni, abang usik sikit dah nak sentap.”
“Memang pun. Dulu abang tu cuma kekasih Sherry aje. Jadi Sherry tak ambil
kisah sangat kalau abang nak usik atau kutuk Sherry lebih-lebih waktu tu. Tapi
sekarang ni abang dah jadi suami Sherry jadi abang kenalah jaga hati dan
perasaan Sherry ni baik-baik.”
Azfahan mencebik saja sepanjang isterinya membebel.
“Okaylah.. Okaylah. Abang jugalah yang salah. Sekarang ni sayang nak abang
buat apa? Abang rela diri abang dihukum.”
Dengan muka bosan Azfahan terus mengangkat kedua-dua belah tangan. Kemudian
dia mendepakan tangannya luas-luas sebagai tanda merelakan apa saja tindakan
isteri tercinta.
“Oleh sebab abang perlukan tiga kali lafaz sebelum Sherry ni sah jadi
isteri abang, jadi Sherry pun nak kenakan tiga denda untuk abang.” ‘Sherry’
merenung wajah tampan suaminya sambil matanya dikenyit sebelah.
“Apa-apalah sayang. Abang tunggu ni. Cepatlah... Dah tak sabar nak masuk
bilik ni.”
“Hukuman yang pertama...”
Tangan ketam Sherry terus hinggap ke perut suaminya yang keras dengan six
pack itu.
“Aduh, sakitlah...”
‘Sherry’ senyum saja melihat suaminya mengaduh.
“Hukuman yang kedua...”
Satu lagi cubitan yang hinggap, kali ini dekat bahagian lengan suaminya.
“Aduhhhh...” Sekali lagi Azfahan pura-pura mengaduh kesakitan. Saja nak
ambil hati isteri. Karang merajuk tak pasal-pasal pulak. Layankan ajelah
perangai budak-budak dia tu.
“Hukuman yang terakhir...”
“Cepatlah sayang..” Azfahan bersuara apabila terasa lama pula menunggu ‘Sherry’
untuk melaksanakan hukuman yang terakhir itu.
“Hukuman yang ketiga ni Sherry nak cubit dekat pipi. Tundukkanlah sikit
badan abang tu. Tinggi sangatlah,” rengek ‘Sherry’ seperti gaya budak-budak tak
dapat gula-gula sahaja lagaknya.
Azfahan yang masih dengan muka bosan menurut sahaja. Dibongkokkan sedikit
badannya demi malayan karenah budak tadika sorang ni. Sambil itu, dia mengeluh
kebosanan.
Melihat Azfahan sedang leka melayan rasa bosan, apa lagi... ‘Sherry’ terus
melaksanakan ‘hukuman’ yang terakhir ke atas suaminya.
“Yeay dapat jugak akhirnya! I love you, sayang...” Dengan nakal, ‘Sherry’ terus
mencium pipi suaminya itu sebaik saja Azfahan menghalakan pipi yang kononnya
untuk dicubit. Tapi tak sangka pula dapat ciuman yang penuh dengan rasa cinta
dan sayang yang membuak-buak dari isterinya.
Azfahan kelihatan teruja sungguh ketika ini. Teruja kerana mendapat ciuman
pertama daripada seorang isteri.
Apatah lagi ‘Sherry’ sendiri sengaja membiarkan ciumannya melekat lama di
pipi suaminya. Sehinggalah dia betul-betul yakin kesan lipsticknya telah meninggalkan bentuk bibir pada bahagian yang
diciumnya itu, barulah dia melepaskan kucupan ‘berbisanya’ itu. Kucupan pertama
buat suami tersayang.
Kali ini Azfahan tidak mengaduh kesakitan sebaliknya dia memejamkan matanya
rapat-rapat supaya nikmat kucupan itu dapat dinikmati dan dikenang sampai
bila-bila. Sayangnya, baginya kucupan
itu terlalu sekejap. Sebaik sahaja matanya dibuka, dia lihat isterinya yang
malu-malu itu sedang berlari-lari kecil untuk masuk ke dalam rumah. Namun, di
pertengahan jalan, dia lihat ‘Sherry’ tiba-tiba tercegat berdiri dengan
pandangannya melekat ke satu arah.
Azfahan tidak jadi mengejar ‘Sherry’. Perlahan-lahan dia berjalan merapati
tubuh si isteri. Pinggang ‘Sherry’ dirangkul mesra sebelum dia mengintai wajah
comel itu dari belakang dengan keadaan dagunya bertongkat di atas bahu kanan
isterinya. Dia lihat wajah ‘Sherry’ kembali muram seperti awal-awal tadi. Lalu,
dia mengangkat kepalanya untuk melihat ke arah yang sama. Dia lihat abangnya
Afka sedang berdiri berpeluk tubuh dengan menungan yang tenggelam ke
tengah-tengah kolam renang.
“Abang Af marahkan Sherry ke sebab Sherry pilih Abang Han? Maksud Sherry,
Abang Af marahkan Embun?” Sherry terlupa pula yang lelaki itu hanya mengenali
dirinya sebagai ‘Seri Embun.’ Dia terpaksa berterus-terang dengan lelaki yang
telah menjadi abang iparnya ini. Dia tidak selesa dan semakin terseksa melihat
Afka yang baru pulang bercuti dari luar negara dengan anaknya itu kelihatan
murung sahaja sejak awal majlis tadi. Dia tahu, lelaki itu kecewa bila bunga
yang dipujanya telah dicantas oleh adik kandungnya sendiri. Sebab itulah baru
sekarang abang iparnya itu pulang ke Malaysia.
Azfahan pula nampak terkejut dengan soalan yang diajukan ‘Sherry’ tadi.
Berkerut-kerut dahinya, tidak faham.
Kenapa ‘Sherry’ perlu tanya soalan
bukan-bukan macam tu? Apa maksud ‘Sherry’ sebenarnya? Dan kenapa Abang Af nak
marah aku kahwin dengan ‘Sherry’ pulak? Apa hubungan diorang sebelum ni?
Afka diam sahaja dan hanya menjawab soalan ‘Sherry’ tadi dengan senyuman
hambar yang jelas tiada manis dan mesranya.
Semakin risau ‘Sherry’ melihat keadaan abang iparnya yang semakin parah
itu.
“Jangan risau Abang Af. Sherry sayangkan Abang Af. Jadi Sherry akan
pastikan Abang Af akan kahwin juga dengan Seri Embun suatu hari nanti.”
Kali ini, bukan saja Azfahan yang terkejut, Afka juga terkejut dengan
kenyataan tidak waras yang keluar dari mulut adik iparnya itu. Gila apa nak
kahwin dengan adik ipar sendiri?
Benar. Dia memang kecewa bila gadis yang dicintainya telah menjadi milik
adik kandungnya sendiri. Kalau jadi milik orang lain pun dia sudah kecewa
besar, apatah lagi jadi milik adik sendiri di mana selepas ini, mahu ataupun
tidak, dia terpaksa melihat kebahagiaan perempuan yang dicintainya itu di
hadapan matanya. Dia tidak dapat mengelak daripada semua itu. Itu sudah pasti!
Tapi tidaklah sampai sanggup menghancurkan rumah tangga adik kandungnya sendiri
walaupun hubungan dia dengan Azfahan selama ini tidak pernah mesra.
“Sayang... apa yang sayang merepek ni? Bukan ke kita dah berjanji nak hidup
sama-sama sampai bila-bila?” Azfahan terus memegang kedua belah pipi ‘Sherry’
supaya mata isterinya itu dapat direnung sedalam-dalamnya.
‘Sherry’ pula dah rasa nak tergelak melihat kelakuan suaminya yang cemas
tak tentu pasal itu. Kesian... Sampai berpeluh-peluh suaminya gara-gara takut
memikirkan si isteri curang dengan abang iparnya sendiri. Gila!
“Abang... Abang tahu kan nama sebenar Sherry, nama dalam kad pengenalan
Sherry, termasuklah nama Sherry dalam surat beranak adalah Seri Mustika. Sherry
bukan Seri Embun tapi Sherry yang berdiri di depan abang ini ialah Seri
Mustika. Abang tahu kan?” ‘Sherry’ menyoal suaminya dengan suara yang lembut
dan penuh diplomasi, seperti sedang memujuk seorang kanak-kanak yang sedang
menangis.
Azfahan mengangguk lemah.
“Itu abang tahulah... sebelum kita isi borang nikah hari tu, Sherry dah
jelaskan semua tu. Abang sendiri pelik bila tengok kad pengenalan Sherry yang
tertulis nama Seri Mustika binti Haji Beraham. Bila abang tanya Sherry, Sherry
cakap nama Seri Embun tu cuma nama manja Sherry waktu kat kampung aje.”
Azfahan mengerutkan dahinya tanda tidak faham kenapa ‘Sherry’ tiba-tiba
membuka semula topik yang sudah dibincang dan diperjelaskan itu. Awalnya, dia
terkejut jugalah bila ‘Sherry’ mendedahkan namanya yang sebenar. Selama ini dia
menyangka nama ‘Seri Mustika’ itu hanyalah nama yang direka oleh ‘Sherry’
semata-mata untuk tujuan lakonan dan penyamaran yang mereka lakukan tempoh
hari. Tak sangka pula nama ‘Seri Mustika’ itu adalah nama sebenar isterinya.
Jadi, apa lagi masalahnya sekarang ni?
“Maafkan Sherry, bang. Sebenarnya Sherry dah tipu abang.” ‘Sherry’
menundukkan sedikit kepalanya, cuba melindungi perasaan bersalah yang terlukis
pekat di atas wajah.
Walaupun hatinya masih berat untuk membongkar segala rahsia yang disimpan
rapi selama ini, hari ini dia tetap akan pastikan semua yang kabur itu menjadi
jelas. Suaminya berhak untuk tahu siapa dirinya yang sebenar. Paling penting,
abang iparnya. Lelaki itu juga berhak mengetahuinya supaya abang iparnya itu
berpeluang mengejar kebahagiaannya bersama Seri Embun yang sebenar. Seri Embun
yang original!
Melihat ‘Sherry’ masih menundukkan kepala, Azfahan menguis dagu isterinya
itu dan mendongakkan sedikit dengan hujung jari telunjuknya. Pipi comel ‘Sherry’
diusap-usap dengan belakang telapak tangan kanan.
“Sayang, pandanglah muka abang yang paling handsome kat dalam dunia ni. Janganlah takut. Abang tak marah kat
sayang pun. Cakap aje. Abang janji abang takkan marah. Sebelum abang kahwin
dengan sayang lagi abang dah faham sangat dah dengan perangai sayang yang suka
buat kerja gila tu. Jadi abang sentiasa bersedia dengan setiap kesalahan isteri
abang ni. Ni mesti sayang ada buat kesalahan besar kat abang kan? Cakap ajelah.
Abang janji abang takkan marah punya.” Beriya-iya Azfahan memujuk isterinya
supaya ‘Sherry’ tenang untuk mengakui kesalahannya.
Daripada rasa cemas yang membuatkan dadanya berdebar-debar, ‘Sherry’ mula
beransur tenang bila dah dipujuk begitu. Suami tengah baik sebab dah kena cium
dengan isteri, jadi time ni lah nak
ambil kesempatan pun.
Lantas, perlahan-lahan ‘Sherry’ mengangkat kepalanya dengan muka gembira.
Dia lihat suaminya mengetap gigi melihat dia tersengih macam kerang busuk.
Lalu, dia pun menyembamkan sebelah pipinya ke dada pengarang jantungnya itu,
sambil tangannya melingkari hingga ke pinggang.
“Sebenarnya, Seri Embun tu bukanlah nama manja Sherry. Tapi sebenarnya Seri
Embun tu kakak kembar Sherry. Seri Embun bukan sekadar nama manja, tapi Seri
Embun betul-betul wujud kat dunia ni.”
Dalam hangat pelukan suaminya, ‘Sherry’ dapat rasakan dada suaminya itu berdebar-debar.
Tangan suaminya yang mengusap belakangnya pun boleh terhenti dengan sendirinya.
Dia tahu, suaminya terkejut dengan kenyataan itu. Namun yang menggembirakan ‘Sherry’
ialah apabila Azfahan masih membiarkan dirinya dipeluk walaupun hati suaminya
itu sedang meronta-ronta ingin melihat reaksi pada raut wajahnya, sekaligus
mendapatkan penjelasan lewat kenyataan yang dikeluarkannya tadi.
Belum sempat Azfahan hendak bertanya apa-apa, tiba-tiba sebuah motorsikal
jenis Yamaha berhenti di hadapan pintu gerbang vila yang sengaja dibiarkan
tidak ditutup memandangkan masih ada seorang dua tetamu lagi yang belum pulang.
Ngauman enjinnya yang kedengaran ‘macho’ itu membuatkan mereka bertiga
terus memandang ke arah yang sama. Ketika itu, pembonceng motosikal tersebut
sedang menanggalkan topi keledarnya yang bercemin gelap, dengan gaya yang sama macho dengan bunyi ngauman enjinnya.
Sebaik topi keledar tersebut ditanggalkan sepenuhnya, kedua-dua Azfahan dan
Afka terus terlopong. Masing-masing memandang ‘Sherry’ dengan pembonceng
motosikal tadi bersilih-ganti, semacam tidak percaya dengan apa yang mereka lihat.
‘Sherry’ tersenyum saja memerhatikan gelagat dua beradik itu. Mungkin mereka
tidak menyangka ada orang lain yang menyerupai wajahnya.
Sepatutnya petang tadi lagi kakaknya itu sudah sampai tetapi memandangkan
motorsikalnya buat masalah, itu yang lambat tu. Degil! Sudah disuruh datang
sekali dengan ayah mereka, tapi kakak kembarnya itu tetap nak datang ke sini
dengan motorsikal barunya.
“Abang Af, abang sayang.. Kalau abang berdua nak tahu, itulah Seri Embun
yang sebenar-benarnya. Seri Embun versi original, kakak kembar Sherry. Selama
ni Sherry cuma menyamar saja jadi Seri Embun. Sherry terpaksa. Itupun sebab Kak
Embun yang paksa.”
“Sejak bila?” Azfahan masih nampak terkejut, dengan dahi yang masih
berkerut-kerut. Sesekali dia menoleh memandang pembonceng motosikal tadi yang
sedang berjalan menghampiri mereka bertiga. Melihat pada gaya perempuan yang
berbaju jeans, juga dengan seluar yang diperbuat daripada material yang sama,
dia tahu tidak mampu untuk menafikan kenyataan yang dikeluarkan oleh isterinya
tadi. Sememangnya perempuan itu adalah Seri Embun yang dibawanya ke vila ini
pada hari pertama dulu. Seri Embun dan Seri Mustika, walaupun kedua-duanya sama
nakal tapi perwatakan mereka agak berbeza. Seri Embun matang sedikit berbanding
Seri Mustika. Jika Seri Embun seorang yang agak kasar, Seri Mustika pula lebih
feminin, suka membeli-belah dan agak manja juga orangnya. Ya ALLAH, kenapalah
selama ni aku boleh tak perasan?
“Abang ingat tak waktu mummy cakap dia nak kahwinkan abang dengan Kak
Embun? Waktu tu Kak Embun dah berbulan-bulan tinggal kat dalam vila ni. Awalnya
mummy memang tak sukakan Kak Embun, tapi lama-lama mummy dah jatuh sayang dekat
Kak Embun sebab Kak Embun berjaya pulihkan semula hubungan mummy dengan daddy
dan kak Embun jugalah yang membantu membuka pintu hati mummy untuk bertudung
dengan sepenuh izin daripada ALLAH. Mummy kurus pun sebab Kak Embun jugak.
Sebab tu mummy nak sangat Kak Embun jadi menantu mummy. Tapi abang mati-mati
tak nak kahwin dengan Kak Embun. Jadi, abang pun terus call Kak Embun untuk
jemput Kak Embun balik ke kondo abang. Kak Embun pulak mati-mati tak nak ikut
abang balik kondo dan sebab itulah Kak Embun suruh Sherry yang gantikan tempat
Kak Embun jadi Sherry lah yang menyamar jadi Kak Embun dan ikut abang balik
kondo sebab waktu tu abang kononnya nak ubah penampilan Sherry menjadi seorang
perempuan kerek yang akan membuatkan
mummy abang jadi benci dekat Sherry, atau lebih tepat lagi, jadi benci dekat
Seri Embun supaya tak perlulah abang kahwin dengan Seri Embun bila mummy abang
dah bencikan Seri Embun tu.”
Azfahan terus tergelak sejurus selepas mendengar cerita daripada isterinya,
sehingga berair-air matanya.
Kali ini ‘Sherry’ pula yang terkejut melihat respons daripada suaminya.
Sangkanya Azfahan akan marah-marah. Namun akhirnya, ‘Sherry’ tersenyum lega
memikirkan suaminya menerima pembongkaran itu dengan senyuman. Alhamdulillah...
Satu perkara yang dia suka sangat
tentang suaminya ini ialah sikapnya yang tidak kebudak-budakan dan tidak mudah
nak melenting tak kiralah perkara tu serius atau sekadar perkara kecil saja.
Sempoi betul suami aku ni.
“Jadi, inilah Seri Embun yang sebenar-benarnya? Seri Embun yang abang tipu
kononnya abang ni dari syarikat pengeluaran minuman tu? Dan Seri Embun yang
lurus ni pun terus percayakan abang dan menonong aje dia ikut abang balik ke
vila ni. Dia tak tahu yang abang sebenar-benarnya nak gunakan dia aje.”
Azfahan tersengih dan sesekali masih tergelak bila diingat semula pertemuan
pertamanya dengan Seri Embun suatu ketika dulu. Dia masih ingat lagi bagaimana
dia menipu Seri Embun dan membawa Seri Embun balik ke vila ini untuk maklumkan
pada ibunya kononnya Seri Embun itu adalah kekasihnya. Dia buat macam tu pun
semata-mata untuk mengelakkan daripada berterusan didesak oleh ibunya yang
tidak habis-habis memaksanya kahwin. Sangkanya bila dia bagitahu yang kononnya
dia nak kahwin dengan Seri Embun, ibunya akan bangkang habis-habisan sekaligus
terus berhenti daripada memaksanya kahwin. Tapi lain pula jadinya. Puan Seri
Zahlia ubah keputusan pada saat-saat akhir dengan meminta supaya Seri Embun
tinggal di dalam vila tersebut untuk menjalani sesi interview dan ‘ujibakat’
selama tempoh yang telah ditetapkan sebelum dipilih untuk dijadikan menantu.
Bila ibunya dah terpikat dengan Seri Embun dan menelefonnya menyatakan
persetujuan untuk menerima Seri Embun sebagai menantu, dia yang berada di
pejabatnya waktu itu terus menggelabah. Waktu itu juga dia merancang untuk bawa
Seri Embun pulang ke kondonya. Dia telah merancang untuk ubah Seri Embun yang
lurus bendul itu menjadi seorang perempuan moden yang nampak sombong, berlagak
dan menyakitkan hati. Tapi tak sangka pula dia perempuan yang dia bawa balik ke
kondo itu bukanlah Seri Embun, tapi Seri Mustika. Pandai betul dua beradik ini
berpakat.
“Patutlah masa kat kondo dulu abang tengok watak Sherry lain sangat dengan
watak Seri Embun yang abang kenal selama ni. Sherry tak nampak kasar macam Seri
Embun. Lepas tu, Sherry kuat shopping pulak tu. Semua jenama pun Sherry tahu.
Cara Sherry dress up pun lain sangat daripada cara Seri Embun yang suka pakai
jeans tu dress up. Ya ALLAH, kenapalah abang tak boleh perasan.” Azfahan sempat
menepuk dahinya dengan ketawa yang masih bersisa. Langsung tidak pedulikan Seri
Embun yang sedari tadi menjeling maut ke arahnya.
“Hoi! Sedap-sedap aje kau kutuk aku ya. Dulu bolehlah kau bodoh-bodohkan
aku. Sekarang ni aku dah naik pangkat, dah jadi kakak kau. Jadi, tolong hormat
sikit ya. Jangan berangan nak buli-buli aku lagi. Kalau tak siaplah kau! Adik
kembar aku ni kalau kau nak tahu, dia sayang gila-gila tau dekat aku. Sebab
kami memang rapat. Iyalah nama pun kembar. Sebab tu lah dulu dia sanggup
menyamar jadi aku. Rasanya kalau aku suruh dia tinggalkan kau pun, dia sanggup
buat. Jangan main-main dengan aku...” gertak Seri Embun dengan muka garang.
Helmet di tangan sengaja diangkat tinggi-tinggi, konon-kononnya nak hentak saja
kepala manusia yang dah banyak menyusahkan hidupnya itu.
Azfahan sengih saja, langsung tak takut dengan keganasan kakak iparnya itu.
Manusia tak berperasaan macam Azfahan ni mana reti nak rasa takut. Padahal nyaris-nyaris
lagi helmet itu nak jatuh terhempap ke atas kepalanya. Seri Embun ni pun nak
bergurau kasar-kasar pun, beragaklah sikit!
“Baiklah kakak iparku. Lepas ni saya akan hormat Kak Embun dan takkan
buli-buli Kak Embun lagi. Dan disebabkan saya hormatkan Kak Embunlah, sekarang
ni saya minta izin untuk masuk ke dalam rumah dulu untuk beri peluang dekat Kak
Embun untuk berbincang dari hati ke hati dengan abang saya yang dah tunggu lama
sangat dah tu. Baiklah, Kak Embun. Saya masuk dulu ya. All the best ya both of you. Jom sayang...”
Dengan senyuman mengejek, Azfahan terus memaut bahu ‘Sherry’ menjadikan
tubuh isterinya rapat ke sisinya. Sambil kedua-duanya tergelak, mereka berdua
pun melangkah untuk masuk ke dalam, atau lebih tepat lagi masuk ke dalam bilik
tidur.
Seri Embun menahan geram saja melihat adik kembar dan adik iparnya yang
sudah masuk ke dalam rumah meninggalkan dia bersendirian dengan Afka yang diam
saja memerhatinya sedari tadi.
“Seri Embun?” itu soalan atau sapaan pertama yang keluar dari mulut Afka
beberapa minit kemudian. Boleh jadi dia masih tidak percaya. Boleh jadi juga
dia sudah tak tahu nak cakap apa lagi. Terasa janggal agaknya.
Tidak seperti Seri Embun yang sentiasa berlagak selamba. Relaks saja dia
bertentang mata dengan lelaki yang pernah menyentuh hati wanitanya itu.
“Iyalah... Sayalah Seri Embun yang gagal jaga anak awak dengan baik
sampaikan pecah bibir saya ni awak tampar dulu. Takkanlah dah tak ingat kot?”
Sengaja Seri Embun menyindir lelaki itu. Nak tengok sama ada lelaki di
sebelahnya ini masih rasa bersalah ataupun tidak atas apa yang pernah dilakukan
kepadanya sebelum dia meninggalkan vila itu tidak lama dulu.
“Errr...Pasal hal tu, saya betul-betul minta maaf. Saya tak sengaja. Saya
tak tahu cerita sebenar,” mohon Afka dengan suara yang tersangkut-sangkut.
Saat ini, mahu sahaja dia melarikan muka dan pandangannya ke mana sahaja.
Malu jadinya bila diingat semula sikap panas barannya yang telah membuatkan
hubungannya dengan Seri Embun hancur tanpa sempat untuk diselamatkan.
Rasa kesal di atas perbuatannya itu pun masih terasa sehingga ke saat ini.
Dia sendiri tak sanggup nak bayangkan bagaimana pipi comel itu ditamparnya
sekuat hati sebaik dia lihat anaknya Fyra pulang dari sekolah dalam hujan ribut
dengan tubuhnya yang lembik dan lemah, dan pada Seri Embun dia meletakkan
segala kesalahan.
Betapa tidak adilnya dia ketika
menjatuhkan hukuman hanya kerana waktu itu dia telah mempertanggungjawabkan
Seri Embun untuk menjaga anaknya. Sedangkan sejak kejadian itu, anaknya Fyra
berminggu-minggu bersikap dingin dengannya kerana telah bertindak memarahi Seri
Embun. Lebih-lebih lagi sejak Seri Embun pulang semula ke kampungnya. Fyra
semakin jauh dan renggang dengannya. Dan dari situlah dia dapat tahu betapa
selama tempoh Seri Embun menjaga anaknya, gadis itu sebenarnya telah menjaga
anaknya dengan begitu baik sekali. Waktu itu, menyesallah dia tidak sudah
kerana telah melepaskan seseorang yang paling layak untuk menggantikan tempat
arwah isterinya.
“Tak payahlah nak malu-malu dengan
saya. Saya dah lama pun lupakan kejadian tu. Lagipun bibir saya ni boleh aje
bergerak macam biasa. Tak ada pulak herot atau bisu lepas kena tampar dengan
awak hari tu.”
Seri Embun masih dengan gayanya yang selamba habis itu. Nampak jelas yang
dia memang tidak pernah ambil hati dengan apa yang berlaku.
Sekarang ini pun dia buat-buat tak nampak saja muka Afka yang masih penuh
dengan rasa bersalah itu. Dari tadi lagi dia kelihatan sibuk menampar topi
keledarnya yang dijadikan seperti kompang itu. Hanya sesekali sahaja dia
memandang ke muka Afka. Sebab itulah dia tegur, bila saja dia perasan wajah
lelaki itu nampak seperti masih malu-malu dengannya. Hurmmm... Tak suka
betullah orang yang malu-malu dengan aku ni. Buat ajelah macam biasa. Habis
cerita.
“Tapi saya tetap rasa bersalah dekat awak. Disebabkan perbuatan saya tu,
awak merajuk dan terus balik ke kampung. Sampaikan awak terpaksa susahkan adik
kembar awak pulak untuk menyamar dan gantikan tempat awak.”
Nampaknya, Afka masih tidak berpuas hati. Matanya masih memandang Seri
Embun dengan pandangan sayu yang jelas menunjukkan rasa hatinya yang sangat
bersalah terhadap gadis itu.
Kedengaran Seri Embun melepaskan keluhannya.
“Saya balik kampung tu tak ada kena mengena dengan awaklah. Saya suruh adik
saya menyamar jadi diri saya pun tak ada kena mengena dengan awak jugak. Saya
memang bencikan adik awak tu. Sebab tu saya tak sanggup ikut dia balik kondo.
Itu yang saya suruh adik saya menyamar jadi diri saya dan saya suruh adik saya
tu ajar adik awak tu cukup-cukup. Tapi lain pulak jadinya. Diorang berdua boleh
jatuh cinta pulak. Sedar-sedar aje, dah kahwin pun sekarang ni. Tak boleh
diharap langsung!”
Seri Embun tergelak di hujung
kata-katanya.
Tersenyum. Lega Afka mendengarnya kerana sangkanya Seri Embun merajuk dan
membawa diri selama ini kerana terluka dek perbuatannya.
“Hurmmm... Benci sangat awak pada adik saya tu ya...”
Terus tak berbunyi ketawa Seri Embun tadi. Sekelip mata sahaja dia boleh
berubah menjadi bengis bila saja Afka menyebut tentang adiknya.
“Memang pun. Sampai bila-bila pun saya akan ingat macam mana dia tipu saya
kononnya dia tu pengurus besar syarikat pengeluar minuman yang terbesar dekat
Malaysia ni. Kononnya nak tolong pasarkan jus resipi turun-temurun saya tu
dekat seluruh Malaysia, tapi rupa-rupanya... arghhhhh.... Sudahlah! Buat sakit hati aje kalau ingat balik.”
Seri Embun mendengus melepaskan rasa marah dan sakit hatinya. Tapi boleh
pula Afka ketawa melihat gelagatnya.
“Itulah... dulu awak dah tersalah jumpa orang. Nak buat macam mana. Tapi sekarang
ni, awak dah jumpa orang yang sebetulnya. Dan orang tu betul-betul dan
bersungguh-sungguh nak bantu awak untuk pasarkan jus awak yang sedap menggila
tu.” Lelaki ini kembali bertukar serius. Keningnya bergerak turun naik meminta respon daripada
Seri Embun.
“Siapa?” Seri Embun pula nampak tercengang-cengang dengan dahinya yang
berkerut-kerut.
“Sayalah.”
Kali ini, Seri Embun nampak terkejut pula dengan jawapan itu.
“Tapi macam mana awak boleh tolong saya?”
“Mana boleh bagitahu sekarang,” jawab Afka dengan senyuman nakal.
“Habis tu, nak bagitahu bila?” Seri Embun nampak tertekan bila Afka main
tarik tali begitu.
“Lepas awak kahwin dengan saya nanti.” Afka nampak tenang sewaktu
mengeluarkan kata-kata itu. “Sudi tak kalau awak jadi teman hidup saya, dan ibu
kepada anak saya?” sambungnya lagi setelah dia berada dalam keadaan yang lebih
bersedia.
Seri Embun nampak terkejut dengan lamaran yang dia sendiri tidak tahu untuk
diklasifikasikan sebagai satu kata-kata yang serius, atau sekadar gurauan
semata-mata. Sampaikan tak terkeluar walau satu butir huruf pun dari mulutnya.
Dan dia juga tak tahu reaksi apa yang perlu ditunjukkannya sekarang ini.
Sama ada dia perlu menampar kedua belah pipinya sehingga merah untuk
membuktikan yang dia benar-benar malu dengan lamaran itu, ataupun dia perlu buat
lompat bintang sebanyak tujuh kali sambil jerit ‘Hooreey Horeeey!’ sebanyak
tiga belas kali?
Mana satu aku nak buat ni?
SEMENTARA di dalam bilik tidur
pula, Azfahan dan ‘Sherry’ masing-masing sudah siap membersihkan badan dan
menyarungkan pakaian baru yang istimewa untuk malam pertama mereka.
Namun, sebelum lampu dipadam, Azfahan nampaknya seperti ada sesuatu yang
ingin dibincangkan dengan isterinya. Tetapi dia terlebih dahulu meluru ke arah
almari lima pintu di dalam bilik mewah itu. ‘Sherry’ yang sedang posing ayu menanti dirinya dibelai di
hadapan cermin meja solek ditinggalkan sejenak.
Dari dalam salah sebuah laci yang terdapat di situ, sebuah kotak berwarna
kuning keemas-emasan dikeluarkan. Ada senyuman nakal yang menghiasi bibirnya.
“Sayang, sebenarnya abang ada hadiah istimewa untuk sayang,” beritahunya
dengan suara yang cukup romantis, sebaik sahaja dia berdiri di belakang isterinya.
‘Sherry’ mengerutkan dahinya.
“Hadiah istimewa lagi? Baru tadi abang cakap abang nak hadiahkan Sherry Toyota
Vios padahal Sherry bukannya reti bawa kereta pun. Lesen pun tak ada. Lagipun
Sherry lagi suka kalau abang jadi driver Sherry
sampai bila-bila,” usiknya dengan tangan yang masih sempat mencubit janggut
suaminya yang dicukur kemas dan nipis itu.
Terlepas juga ketawa Azfahan dengan gurauan isterinya itu. Walaupun setelah
dia mengetahui nama sebenar isterinya yang selama ini disangka Seri Embun itu,
isterinya masih mahu dipanggil dengan nama ‘Sherry’. Kata isterinya, nama itu
bunyinya lebih manja. Dia pun tidak kisah sangat. Lagilah dia suka memandangkan
nama ‘Sherry’ itu hanya dia seorang saja yang guna. Iyalah, dah dia yang reka
nama tu, jadi dia seorang sajalah yang boleh guna nama ‘Sherry’ itu sebagai
panggilan untuk isterinya. Lagipun sampai sekarang, hanya dia dan isterinya
sahaja yang tahu dari mana asal usul nama ‘Sherry’ itu.
Azfahan tersenyum, sempat mengenang kembali kenangan sewaktu dia memberikan
nama ‘Sherry’ kepada isterinya sewaktu di kondo dulu.
“Abang okay tak ni jadi driver
Sherry seumur hidup?”
“Sayang punya pasal, abang okay aje. Ke mana saja abang sanggup bawa sayang
walau ke bulan bintang sekalipun. Sekarang abang nak sayang pejamkan mata tu.
Abang nak buat surprise ni.
Cepatlah.. dah lewat sangat ni. Dah tak sabar-sabar nak rasmikan katil baru.”
Sempat lagi Azfahan berseloroh. ‘Sherry’ pun tanya banyak songeh laju saja
memejamkan matanya rapat-rapat. Amboi, ingatkan Azfahan saja yang dah tak sabar.
Dia pun boleh tahan juga gatalnya. Sesuai sangatlah tu!
Melihat ‘Sherry’ sudah memejam matanya rapat-rapat, Azfahan pun
mengeluarkan seutas rantai dari kotak yang dibawanya keluar dari laci almari
tadi.
Perlahan-lahan rantai mutiara itu dikalungkan pada leher isteri tersayang.
Kemudian, dia cepat-cepat berlari naik ke atas katil.
Pelik pula ‘Sherry’ dengan gelagat suaminya.
“Eh, ni bukan ke rantai yang hilang dulu? Rantai yang mummy hadiahkan dekat
Sherry tu?” ‘Sherry’ yang masih duduk di atas kerusi meja solek menoleh
memandang suaminya dengan dahi berkerut-kerut meminta penjelasan.
“Bukanlah. Abang baru aje beli rantai tu.”
“Abang jangan nak tipu. Mummy sendiri pernah cakap rantai ni daddy tempah
khas untuk mummy, dan mummy cakap design rantai ni takkan ada pada
rantai-rantai lain.”
Azfahan tersengih tidak menjawab apa-apa. Sebenarnya dari tadi lagi dia
ingin berterus-terang pasal rantai mutiara itu, tetapi selepas itu dia mengubah
fikiran semata-mata nak mengenakan isterinya.
‘Tak sangka pula isteri aku ni bijak. Tahu-tahu aje dia rantai tu rantai
yang pernah mummy hadiahkan dulu.’
“Oh, abang tipu Sherry ya. Patutlah masa rantai ni hilang dulu, abang buat
macam tak kisah aje. Rupanya abang sengaja sorokkan rantai ni ya?” ‘Sherry’
yang sudah bercekak pinggang berjalan untuk menerkam suaminya. Namun, sebaik
dia menarik selimut yang membungkus seluruh tubuh Azfahan, dia lihat suaminya
itu sudah tidak berbaju. Aikkkk... bila pulak laki aku ni tanggalkan baju dia?
Tak sempat dia nak mengelak dan melarikan diri, tangannya telah ditarik
lalu dia tersembam jatuh ke atas tubuh sasa suaminya. Merah padam muka ‘Sherry’
menahan rasa malu dan debar yang seiring.
Walaupun hubungan mereka sekarang ini sudah tidak membataskan apa-apa, dia
tetap berasa janggal apabila dipeluk dalam keadaan begitu. Lebih-lebih lagi
dengan keadaan suaminya yang tidak berbaju dan hanya berseluar pendek yang
nipis sahaja kainnya.
“Waktu tu, abang terpaksa sorokkan rantai tu sebab abang tak nak sayang
tetap dengan keputusan sayang untuk balik ke kampung. Abang nak sayang sentiasa
berada dekat dengan abang. Sebab itulah abang siap offer sayang kerja dekat syarikat abang. Abang ingat bila abang
tawar sayang kerja dengan gaji yang lumayan, sayang akan terima tawaran tu dan
guna duit gaji tu nanti untuk ganti semula rantai yang kononnya dah hilang tu.
Tapi sayang abang ni degil. Keras kepala. Nak jugak dia balik kampung dan
tinggalkan abang!” Dengan muka yang dibuat-buat geram, Azfahan mencubit hidung
‘Sherry’ sekuat hati sebelum kedua-dua belah pipi pula yang menjadi mangsa. Dibuatnya
isteri itu macam budak kecik!
‘Sherry’ mengaduh sakit.
“Salahkan orang pulak! Abang tu yang ego. Dah suka, bukannya nak mengaku
awal-awal. Nasib baiklah tak lambat sangat. Kalau tak dah lama Sherry ni
‘selamat’ jadi bini mamak roti canai tu!”
Azfahan membulatkan matanya.
“Tak habis-habis nak bandingkan abang dengan mamak roti canai dekat kampung
sayang tu. Macamlah mamak tu hebat sangat.”
“Eleh, abang tu pun macamlah hebat sangat.” ‘Sherry’ tak mahu mengalah.
Azfahan tersengih miang. Miang dan nakal!
“Kalau nak tengok abang hebat ke tidak, tunggu abang tutup lampu dulu.
Tunggu ya. Jangan lari pulak!” Azfahan sudah bangun untuk memadam lampu selepas
dia menolak ‘Sherry’ ke tepi.
Maka, makin berdebarlah dada si isteri...
EPILOG
AZFAHAN dan ‘Sherry’ ketika ini
baru saja pulang daripada mengambil gambar perkahwinan mereka dari jurugambar
professional yang bertindak merakamkan saat-saat bahagia perkahwinan mereka
tempoh hari.
Dari dalam kereta lagi Azfahan sudah tidak sabar-sabar ingin menatap gambar-gambar
di dalam album perkahwinan mereka itu malangnya setiap kali dia ingin
mencapainya, setiap kali itu jugalah ‘Sherry’ menepis tangannya. Akhirnya dia
mengalah dan mula memandu untuk pulang semula ke rumah apabila ‘Sherry’ sudah
menyorokkan album gambar tersebut di dalam pelukan dadanya.
Namun, ‘aktiviti’ rampas-merampas itu tidak berakhir setakat di situ saja.
Sewaktu berjalan untuk masuk ke dalam vila, Azfahan masih berusaha untuk
merampas album gambar yang sehingga kini masih kemas berada di dalam pelukan ‘Sherry’.
Pelik pula dia melihat isterinya yang begitu beriya-iya melindungi album gambar
tersebut sampaikan cubaannya untuk merampas sampai sekarang pun masih tidak
berjaya. Macam ada sesuatu yang cuba disorokkan ‘Sherry’ daripada pengetahuannya.
Tapi apa dia? Penting sangat ke sampai taknak aku tahu?
Sewaktu di ruang tamu, Azfahan mencuba lagi. Tubuh isterinya yang sedang
duduk di atas sofa itu dihimpit tetapi ‘Sherry’ cepat-cepat mengelak dan laju
saja isterinya itu berlari naik ke tingkat atas. Azfahan yang sudah
ditinggalkan tetap berlari mengejar ‘Sherry’ yang ketawa terkekek-kekek
mengejeknya, sebelum ketawa yang kuat tadi hilang di sebalik hempasan pintu
yang agak kuat.
Azfahan jadi semakin pelik dengan gelagat isterinya itu. Apa punya perangailah
dia ni. Orang nak tengok gambar kahwin pun, dia boleh buat main pulak. Ke dia
nak bermanja-manja dengan aku sebenarnya? Alah... Kalau nak bermanja-manja
sekalipun, macamlah tak ada benda lain untuk dibuat modal. Setakat main rampas-rampas
album kahwin macam sekarang ni, sangatlah tidak matang cara dia tu. Malas
betullah aku kalau macam ni. Cubalah kalau nak bermanja tu, urut badan aku ke.
Ada jugak faedahnya.
Nampaknya aku sendiri yang kena ajar dia cara-cara nak bermanja secara
matang dan professional. Barulah sesuai dengan lelaki korporat macam aku ni.
“Sherry, bukaklah pintu ni sayang...” Nak tak nak, nampak gayanya
terpaksa jugalah Azfahan memujuk ‘Sherry’ yang banyak karenah
Nak buat macam mana. Terpaksa jugalah dia melayan perangai kebudak-budakan isterinya
itu. Tak dilayan karang, merajuk pulak dia nanti.
“Sayang... bukalah pintu ni. Abang pun nak tengok jugak gambar kahwin tu
semua. Bukalah sayang.”
Azfahan masih berusaha memujuk isterinya yang berkelakuan pelik itu. Namun,
pintu bilik yang diketuk masih juga tidak dibuka dari dalam.
“Okay, kalau sayang tak nak buka jugak, tak apa lah. Tengoklah gambar tu
sorang-sorang. Tapi jangan menyesal pulak kalau lepas ni abang balik dengan
sepuluh album kahwin abang dengan perempuan lain.”
Azfahan tersengih-sengih di depan pintu. Dia tahu, cara itu saja yang dapat
mengumpan isterinya untuk membuka pintu bilik mereka itu.
Sebaik sahaja ‘Sherry’ membuka pintu, Azfahan terus mencelah masuk tanpa
menghiraukan isterinya yang sudah bercekak pinggang dengan mata terjegil
mengalahkan watak mak tiri dalam sinetron Indonesia tu.
Matanya terus melilau-lilau mencari dua album gambar perkahwinan mereka
tadi tetapi yang dia nampak di dalam bilik itu hanyalah beberapa keping gambar
kahwin mereka yang telah dibingkaikan, dan digantung pada dinding, betul-betul
di atas kepala katil. Ada lebih kurang 10 gambar bersaiz A4 kesemuanya.
Mak aihhh... Kalau nak buat surprise
pun, cukuplah setakat gantung dua tiga gambar aje. Ini dah macam pameran
fotografi pulak aku tengok. Terlebih sweet pulak lah isteri aku sorang ni. Siap
kunci pintu bagai. Rupanya ini kerja dia. Nak bagi kejutan dekat aku. Okaylah,
disebabkan aku ni jenis manusia yang tak berperasaan apatah lagi nak berasa
terharu dengan benda-benda ni semua, terpaksa jugalah aku buat muka teruja.
‘Eh, tapi gambar apa pulak dalam bingkai yang kecik tu?’
Dari jarak posisinya berdiri, Azfahan mengecilkan matanya supaya matanya
dapat fokus pada sekeping bingkai gambar bersaiz kecil yang tergantung dan
terselit di tengah-tengah antara bingkai-bingkai gambar besar yang lain.
Namun, matanya masih gagal mengenalpasti imej gambar tersebut. Lalu, dia
pun merapatkan tubuhnya ke dinding untuk melihat dengan lebih jelas lagi.
Walaupun masih tidak begitu jelas, dia masih dapat melihat gambar pada bingkai
gambar bersaiz kecil itu, iaitu gambar seorang ‘perempuan’ yang berbaju kurung.
Tetapi muka perempuan di dalam gambar itu tidak begitu jelas memandangkan
keadaannya yang sedang berbaring di atas sofa.
‘Rasanya, ni bukan gambar Sherry sebab badan isteri aku ni kecil aje. Bukan
juga gambar waktu majlis kahwin tempoh hari. Tapi, kenapa gambar ni
digantungkan sekali? Gambar siapa pulak ni? Tegap semacam aje badan dia, macam
tak sesuai pulak dengan baju kurung yang dipakai.’
Azfahan membuat rumusannya sendiri.
‘Eh, tapi macam kenal aje sofa tempat perempuan tu berbaring. Eh, ni sofa
kat kondo aku ni. Tapi, siapa pulak perempuan yang tengah tidur kat atas sofa
ni?’
Azfahan terpaksa merapatkan lagi tubuhnya ke dinding. Sekarang, barulah dia
dapat lihat dengan jelas muka ‘perempuan’ berbaju kurung yang sedang nyenyak
tidur di atas sofa di dalam kondonya itu.
Sekelip mata wajahnya bertukar warna menjadi merah. Patutlah tegap semacam,
rupanya perempuan berbaju kurung itu adalah gambarnya sendiri yang diambil
curi-curi oleh Sherry sewaktu di kondonya dulu.
Azfahan sendiri masih ingat lagi dengan baju kurung bunga-bunga kecil itu.
Waktu itu dia sengaja menanggalkan baju kemejanya dengan alasan baju itu hendak
digunakan untuk menuam matanya yang lebam. Padahal ketika itu dia sengaja
tanggalkan bajunya dengan tujuan untuk menggoda ‘Sherry’ tapi tak sangka pula ‘Sherry’
langsung tak tergoda melihat dia dalam keadaan seksi begitu. Sebaliknya ‘Sherry’
pula yang mengenakannya dengan melempar sehelai baju kurung dan memaksanya
memakai baju kurung bunga-bunga kecil itu. Dia pula ketika itu pantang dicabar.
Tersenyum Azfahan melihat gambar itu. Tapi bila dia menoleh, dia sengaja
menyembunyikan senyumannya. ‘Sherry’ yang sedang memandangnya takut-takut terus
dihampiri dan kedua belah pergelangan tangan isterinya itu terus ditangkap.
“Kenapa sayang buat macam tu? Sayang memang sengaja nak malukan abang ya?”
soal Azfahan sambil pura-pura menjegilkan matanya.
“Mana ada, bang. Sherry langsung tak ada niat macam tu. Sherry memang
ikhlas sukakan gambar tu, sebab itulah Sherry phrame dan gantungkan gambar tu.” Seperti biasa ‘Sherry’ akan
menjuihkan bibirnya dengan muka monyok, untuk mendapatkan simpati daripada
suaminya itu.
“Banyak lagi gambar abang yang lain, gambar macam tu jugak yang Sherry nak
suka?” Azfahan nampak terkejut dengan pengakuan isterinya.
‘Sherry’ pula tersengih malu.
“Kalau abang nak tahu, Sherry mula jatuh cinta dengan abang pun bila Sherry
tengok abang pakai baju kurung tu tau. Waktu tu abang dah tertidur pun dekat
atas sofa. Lama Sherry tengok muka abang. Sherry suka sangat sebab abang nampak
comel sangat waktu tu.” ‘Sherry’ sudah tidak malu-malu lagi untuk mendedahkan
rahsia hatinya yang satu itu. Dalam pada itu, sempat lagi sebelah tangannya
mencubit pipi Azfahan sementara sebelah lagi dibiarkan tergantung di leher
suaminya itu.
“Apalah sayang ni. Kalau perempuan lain dekat pool kondo abang tu semuanya tergoda bila tengok abang bukak baju,
sayang pulak tergoda lepas tengok abang pakai baju kurung. Pelik betullah
isteri abang ni,” ujar Azfahan sambil menggosok-gosok kepala isterinya.
Malu-malu saja ‘Sherry’ menganggukkan kepalanya. Memang pun, dia memang
tergoda melihat suaminya berbaju kurung begitu. Nampak comel pada matanya.
“Tapi sayang... Kalau orang-orang kat dalam vila ni nampak gambar tu macam
mana? Malulah abang.”
Azfahan berubah cemas memikirkan kebarangkalian itu.
“Abang jangan risaulah. Sherry dah janji dengan diri Sherry sendiri yang
Sherry akan pastikan tak ada sesiapa pun yang dibenarkan masuk ke dalam bilik
kita ni, sebab bilik ni adalah mahligai khas untuk kita berdua saja. Dan kita
jugalah yang akan membina dan memenuhkan bilik ini dengan taman-taman cinta di
mana bunganya hanya kita berdua sahaja yang boleh menghidu dan memetiknya.
Orang lain tidak dibenarkan sama sekali!” janji ‘Sherry’ siap dengan ikrar
cintanya sekali. Terpejam-pejam matanya sewaktu melafazkan madah berbunga-bunga
itu semata-mata untuk membeli kepercayaan Azfahan. Dengan harapan, Azfahan akan
mengizinkan dia untuk terus membiarkan gambar peribadi suaminya yang berbaju
kurung itu tergantung di dalam bilik mereka.
“Okaylah, abang pegang janji-janji sayang tu. Tapi dengan syarat, petang
nanti Sherry kena ikut dan teman abang. Boleh?” soal Azfahan sambil menjetik
lembut pipi isterinya yang comel itu.
“Teman abang pergi ke mana pulak?” ‘Sherry’ mengerutkan dahinya bila dia
lihat suaminya tersengih-sengih semacam.
“Adalah...” Itu sahaja yang dijawab Azfahan sambil dia mengenyitkan sebelah
matanya.
“ALAH... setakat nak pergi
tempat ni, jalan kaki pun boleh.” ‘Sherry’ mencebik namun mukanya jelas
berseri-seri. Dia nampak teruja sekali.
“Memang abang saja datang sini dengan kereta. Takut nanti isteri abang ni
buat-buat sakit kaki macam dulu. Abang jugak yang kena dukung,” usik Azfahan
yang sudah pun memberhentikan keretanya di kawasan lapang setelah mereka
menembusi lorong sempit dan gelap untuk ke sana.
“Cis! Tak romantic betullah suami
saya ni.” Itu sahaja yang dibalas oleh ‘Sherry’ sebelum dia cepat-cepat membuka
pintu kereta. Tanpa menghiraukan Azfahan yang masih belum mematikan enjin
keretanya, dia terus berlari-lari di atas kawasan lapang yang membentuk dan
kelihatan seperti sebuah pentas separa bulat itu sebelum dia merapatkan
tubuhnya ke hadapan supaya apabila dia berdiri di atas pinggir bukit yang
tinggi menggila itu, dia dapat melihat segala pemandangan menakjubkan yang
berada di bawah.
Ketika ini, masih belum tiba waktu yang sesuai untuk menyaksikan
pemandangan matahari terbenam. Mungkin dalam beberapa minit lagi. Jadi dari
tempat dia berdiri, matanya hanya singgah dan melekat ke arah tasik yang redup
dan jernih itu sahaja.
Sesekali, ‘Sherry’ kelihatan sedang menarik nafasnya dalam-dalam sebelum
dihembus dengan sedamainya. Seketika kemudian, dia bermain-main pula dengan
rerama dan pepatung yang adakalanya hinggap tidak sengaja di atas kepalanya.
Dia nampak terhibur dengan segala keajaiban dunia yang terdapat di situ, apatah
lagi bila ditemani dengan suara unggas dan juga bisikan sungai yang lembut
mengalirkan airnya, dia kelihatan semakin leka sehinggakan dia terus terlupa
pada suaminya.
Sehinggalah apabila pinggangnya dipeluk tiba-tiba dari arah belakang. Dia
yang sedang menghirup udara segar ketika itu, terus tersentak. Mujurlah masih
ada jarak semeter di hadapannya. Kalau tidak, agaknya sia-sia saja dia mati
menggelongsor ke bawah.
Namun apabila tubuhnya dipeluk begitu, barulah ‘Sherry’ perasan yang
keadaan begitu sebenarnya membuatkan dia bertambah seronok menikmati keindahan
pemandangan yang terhidang di depan matanya.
“Abang tengok, sayang nampak seronok sangat dengan semua ni. Jadi boleh
abang tahu, sejak bila sayang sukakan tempat ni?” Dengan manja, Azfahan meletakkan
dagunya perlahan-lahan di atas bahu ‘Sherry’.
Sebenarnya dari tadi lagi dia terpacak berdiri di belakang isterinya itu.
Diam dan sekadar memerhati sahaja gelagat ‘Sherry’. Melihat isterinya seronok
dan begitu teruja, dia dengan sendirinya berasa terhibur.
“Sejak Sherry jatuh cinta dengan abang,” ucap ‘Sherry’ dengan suara yang
lembut dan romantis dengan mata yang terpejam dek kerana asyik dibelai semilir
petang, sambil tangannya bergerak-gerak membalas pelukan Azfahan dengan cara
mengusap-usap lengan suaminya yang hanya bersinglet itu.
Kembang senyuman Azfahan mendengar pengakuan itu.
“Sayang dah tak takutkan matahari lagi, hurmmm..?” Kali ini, Azfahan
mendekatkan lagi mukanya, menjadikan sebelah pipinya berlaga dengan pipi kiri
isterinya. Walaupun pandangannya jauh membelah ke hadapan, dari ekor matanya
dia masih dapat lihat ‘Sherry’ menggelengkan kepalanya.
“Mulanya memanglah Sherry takut. Tapi bila Sherry perasan yang abang
terlalu suka bila dapat tengok matahari terbenam, Sherry pun berusaha untuk
korbankan perasaan takut Sherry.”
“Kenapa Sherry sanggup buat macam tu pulak untuk abang?”
Azfahan mengerutkan dahinya sambil matanya menjeling bibir mungil
isterinya, menanti jawapan di situ. Dia sendiri bukannya tidak tahu betapa
takut dan traumanya perempuan yang sedang dipeluknya ini pada matahari. Kata
isterinya tidak lama dulu, dengan melihat matahari hanya akan mengingatkan
dirinya tentang dosa-dosanya sendiri, dan hanya akan mengingatkan dia tentang
dahsyatnya api neraka.
Ya, Azfahan masih ingat lagi prinsip ‘Sherry’ yang telah membuatkan
isterinya itu takut untuk memandang ke arah matahari. Tapi sekarang, ke mana
hilangnya perasaan takut dan trauma itu?
“Sejak Sherry sukakan abang dalam diam, Sherry mula berangan-angan untuk
hidup dengan abang dan Sherry nak sentiasa ikut dan temankan abang setiap kali
abang buat perkara yang abang suka. Walaupun Sherry tak suka apa yang abang
suka, Sherry tetap nak masuk ke dalam dunia abang. Sherry nak jadi pasangan
yang serasi untuk abang. Sebab itulah Sherry korbankan rasa takut Sherry pada
matahari. Dan sekarang barulah Sherry betul-betul dapat rasakan betapa indahnya
apa yang abang rasakan selama ni setiap kali abang habiskan masa di sini
semata-mata untuk tengok pemandangan matahari terbenam. Lagipun, Sherry memang
dah lama teringin nak kena peluk dengan abang macam sekarang ni sambil kita
sama-sama tunggu matahari dekat depan sana tu terbenam.”
‘Sherry’ mendongakkan kepalanya sambil sebelah tangannya naik mengusap
rahang suaminya. Dan sempat lagi dia mengenyitkan sebelah matanya dengan gaya
nakalnya.
Azfahan senyum, sambil kepalanya menggeleng.
“Kiranya dah lamalah sayang sukakan abang dan belajar untuk masuk ke dunia
abang?”
Walaupun malu, ‘Sherry’ tetap mengangguk. Pelukan Azfahan yang semakin erat
membuatkan dia semakin yakin untuk meluahkan rahsia hatinya. Lagipun, dia mahu
suaminya tahu yang cintanya jauh lebih hangat daripada matahari yang terlalu
diagung dan dipuja-puja oleh suaminya itu.
“Sejak pertama kali Sherry terpaksa tengok pemandangan matahari terbenam
dengan abang pada hari kita jogging sama-sama tu, hari-hari seterusnya boleh
dikatakan tiap-tiap petang Sherry memberanikan diri datang ke sini semata-mata
untuk membiasakan diri Sherry melihat dan merenung ke arah matahari. Sampai
berair-air mata Sherry waktu tu sebab Sherry terlalu takut. Pernah juga bila
dah tertahan, Sherry menangis seorang diri dekat sini. Tapi lama kelamaan,
Sherry berjaya juga buang rasa takut Sherry pada matahari.”
‘Sherry’ tersenyum lucu dengan ceritanya sendiri, sebelum dia melarikan mukanya
ke arah lain, supaya tidak dapat diratah dek pandangan suaminya. Tak rela
rasanya untuk mendengar usikan tak pun gelak tawa dari bibir Azfahan yang bakal
menghangatkan lagi warna pipinya. Malu sungguh rasanya pada diri yang selama
ini begitu bijak menyimpan rahsia hati, yang selama ini berlagak selamba di
hadapan lelaki yang sedang memeluknya ini, tetapi hakikatnya dia sudah lama
mencintai lelaki yang satu ini.
Azfahan tersenyum senang hati dengan pengakuan ‘Sherry’ sebentar tadi. ‘Sherry’
yang malu-malu dibiarkan begitu sahaja sebaliknya dia memperkemaskan lagi
pelukannya.
“Terima kasih sayang sebab sanggup berkorban untuk abang. Memang dari dulu
lagi abang impikan seorang isteri yang boleh teman abang macam sekarang ni. Tak
sia-sia abang beli chalet tepi laut sebagai salah satu lambang cinta abang
untuk Sherry.”
‘Sherry’ mendongak. Tak sempat nak tunjuk muka terharu, tiba-tiba
kedengaran bunyi enjin motosikal yang masuk ke puncak bukit yang lapang dan
rata tanahnya itu.
Lalu, kedua-duanya pun menoleh.
“Eh, pakcik yang jual aiskrim hari tu lah!” Seperti kanak-kanak kecil, ‘Sherry’
terus berlari dengan gembiranya ke arah ‘pakcik aiskrim’ itu. Tak sangka pula
mereka akan berjumpa buat kali kedua di tempat yang sama. Tapi kali ini dia
lihat pakcik yang badannya kurus kering itu tidak keseorangan, tetapi ditemani
seorang perempuan seusianya yang bertubuh gempal, menghimpit tubuh kering
pakcik itu dari belakang.
“Assalamualaikum pakcik. Kali ni pun pakcik tersesat lagi ke?” soal ‘Sherry’
selepas dia bersalaman dan berbalas senyuman dengan prempuan gempal berbaju
kurung yang bertudung dengan gaya terlalu ringkas sehingga tersembul anak
tudungnya itu.
“Tidaklah, nak. Cukuplah sekali tu aje pakcik rugi besar sebab termasuk
dekat kawasan yang tak ada budak-budak kecil ni.”
‘Sherry’ mengerutkan dahinya. “Habis tu, pakcik buat apa kat sini?”
“Saja pakcik bawa isteri kesayangan pakcik ni jalan-jalan. Pakcik pun nak
peluk isteri pakcik yang montel ni macam yang suami kamu buat kat kamu tadi tu.
Tapi kalau lengan pakcik ni tak cukup untuk lawan ukurlilit pinggang makcik ni,
nampak gayanya terpaksalah pakcik balik aje.”
‘Sherry’ tergelak dengan gurauan lelaki tua yang memang ramah dan pandai
bergurau itu. Selepas itu dia lihat pakcik aiskrim itu teruk dibelasah
isterinya yang dah macam gaya nak bersumo pun ada. Hebat betul makcik ni.
“Malunya pakcik nampak kami berpeluk-peluk tadi. Tapi macam mana pakcik
tahu dia tu suami saya?”
“Alah, pakcik tahu kamu tu budak baik. Takkanlah kamu nak buat benda tak
senonoh pulak dengan lelaki yang bukan suami kamu.”
Tersipu-sipu ‘Sherry’ bila dipuji begitu.
“Jadi, hari ni pakcik memang datang saja-saja bawa makcik berjalan lah ya?
Alah, baru ingat nak beli ais krim roti. Ais krim roti pakcik lah yang paling
sedap kat dunia ni kalau pakcik nak tahu tau. Sebab pakcik tak kedekut. Scoops ais krim yang pakcik bubuh banyak
sangat sampai nak terjatuh ais krim tu,” puji Sherry ikhlas.
“Bukan sebab pakcik tak kedekut. Sebenarnya makcik kamu ni kuat makan ais
krim roti jugak, macam kamu. Bila pakcik bubuh ais krimnya sikit, dimarahnya
pakcik. Disuruhnya pakcik bubuh ais krim banyak-banyak sampai roti ais krim pun
dah tak boleh nak nampak sebab tenggelam kat bawah ais krim. Menggerunkan betul
kalau menengok cara makcik kamu ni makan ais krim.”
Bulat mata ‘Sherry’ mendengar cerita daripada lelaki itu.
“Makcik pun suka ais krim roti jugak? Apalagi, give me five lah makcik.” ‘Sherry’ terus mengangkat tangannya untuk
menepuk telapak tangan makcik yang dua kali ganda lebih besar berbanding
telapak tangannya itu.
Sporting sungguh makcik ni. Tapi
lepas tu ‘Sherry’ jugak yang menyesal apabila tangannya kebas-kebas selepas
bertepuk dengan telapak tangan makcik yang luar biasa mampat itu. Kalaulah
awal-awal lagi dia tahu, patutnya dari awal lagi dia tarik diri lepas dia
sendiri tengok betapa bersemangatnya makcik itu mengangkat tangannya.
Namun, kesakitannya itu terbalas apabila sedar-sedar saja, pakcik tadi
tiba-tiba menghulurkan dua ais krim roti kepadanya. Tetapi ‘Sherry’ sengaja
meminta lagi satu extra ais krim roti.
Dan di atas tiga roti tersebut, Sherry menyuruh pakcik aiskrim itu menulis
sesuatu dengan menggunakan sos krim perisa vanila di atas scoops ais krim tersebut.
Sewaktu dia hendak membayar pula, beriya-iya pakcik itu menolaknya. Dan dia
juga tidak mahu mengalah. Bersungguh-sungguh dia memaksa pakcik ais krim
tersebut untuk menerima wang kertas RM10 yang dihulurkannya.
“Tak payahlah bayar. Anggap aje ais krim roti tu sebagai hadiah perkahwinan
daripada pakcik dan makcik untuk kamu suami isteri.”
Akhirnya jawapan itu membuatkan ‘Sherry’ terpaksa akur apabila dia kelihatan
malu-malu dengan usikan itu.
“Banyaknya ais krim. Kenapa sampai tiga?” tegur Azfahan sekembalinya ‘Sherry’
mendapatkan suaminya yang masih leka menatap hasil contengan ALLAH.
Ya, segala keindahan yang ada di
dunia ini mungkin sekadar ‘contengan’ ALLAH sahaja kalau hendak dibandingkan
dengan kreativiti ALLAH yang jauh lebih menyerlah di dalam syurga. Itu sudah
pasti.
“Sebab... ‘I’ ‘Love’ ‘U’.” Dengan ceria, ‘Sherry’ menunjuk dengan lebih
dekat lagi tiga ais krim roti di mana ais krim roti yang pertama terdapat
tulisan krim vanila yang membentuk huruf ‘I’, ais krim roti yang kedua pula
terdapat bentuk ‘Love’ di atasnya manakala yang ketiga pula tertulis huruf ‘U’.”
Azfahan menggeleng sambil senyum. Romantic
tak habis-habis isteri aku ni. Dalam minggu ni aje, entah berapa banyaklah
kejutan yang dia buat. Kalau tiap-tiap hari ada kejutan, boleh muak aku
dibuatnya nanti. Haishhh... susah
jugak kalau dapat isteri terlebih romantic
macam dia ni. Nampaknya lepas ni aku kenalah belajar macam mana nak buat muka
teruja setiap kali dia buat kejutan. Kalau tak, kecil hati dia nanti bila dia
tengok aku macam tak terkejut aje dengan segala idea surprises dia yang tak pernah nak habis-habis itu.
Sambil duduk di atas sebiji batu besar yang ada tertenggek di hadapan
kawasan yang agak berlalang itu, mereka pun menikmati ais krim roti di
tengah-tengah redup petang itu bersama-sama. Sesekali mereka ketawa sewaktu
melihat gaya isteri pakcik ais krim tadi yang begitu sporting memeluk pinggang ramping suaminya sambil mereka berdua
menikmati pemandangan matahari terbenam yang sedang ditayangkan oleh pengurus
alam. Sampaikan pakcik ais krim yang kurus melidi itu pun dah macam matahari
yang terbenam jugak sebab terbenam di sebalik tubuh montel isterinya. Sweet sungguh. Kalah poster filem
Titanic!
Sepanjang itu, ‘Sherry’ dan Azfahan sekadar berbual mesra sambil menikmati
kelazatan ais krim roti. Gembira tidak terkata hati ‘Sherry’ melihat ais krim
roti yang diberikan pada Azfahan tadi sudah pun habis masuk ke dalam mulut.
Begitu juga dengan dia. Sekarang, yang tinggal hanyalah ais krim roti yang
terdapat bentuk ‘Love’ di atas ais krimnya.
“Ais krim roti yang ada bentuk ‘love’ ni pulak, kita akan makan sama-sama.”
‘Sherry’ tersenyum merenung bentuk ‘love’ itu. Memang ais krim roti yang
terakhir ini dia sudah awal-awal merancang untuk memakannya bersama-sama dengan
Azfahan.
Malangnya, suaminya itu menolak.
“Sayang makanlah sorang. Abang dah kenyanglah...” Azfahan sudah tegak
berdiri untuk menikmati pemandangan yang terdapat di bawah. Langsung dia tidak
perasan ‘Sherry’ yang kecewa dengan jawapannya tadi.
“Mana boleh, abang kena makan jugak ais krim roti ni sama-sama dengan
Sherry.”
‘Sherry’ yang tidak mahu mengalah, bangun dan berdiri di samping suaminya.
Lengan putih Azfahan yang berotot kekar itu ditarik supaya menghadapnya. Dia
sudah pun bersedia untuk mencubit ais krim roti di tangannya, kononnya nak
dimasukkan ke dalam mulut suaminya, tetapi Azfahan nampaknya masih berdegil.
“Abang dah kenyanglah, sayang. Tolonglah faham...” Azfahan bercakap dengan
serendah yang mungkin dengan harapan isterinya itu tidak berkecil hati.
Namun, ‘Sherry’ yang keras kepala itu tetap juga memaksanya. Disuakan lagi
ais roti ke mulut suaminya itu.
“Sayang, sayang ajelah yang makan. Tak pun bak sini roti tu biar abang
suapkan. Susah sangat!”
Sewaktu Azfahan ingin mencapai ais krim roti itu, ‘Sherry’ cepat-cepat
menjauhkannya daripada dicapai. Memanglah seronok kalau suami sendiri yang
suapkan. Sweet aje aku rasa. Tapi aku
tetap nak dia makan sekali ais krim roti ni sama-sama dengan aku! Itu lebih
besar maknanya.
Azfahan masih bersungguh-sungguh cuba mencapai ais krim roti itu sehingga
dia tidak sedar perbuatannya yang terlalu beriya-iya itu telah menyababkan ais
krim di atas roti tersebut jatuh ke atas tanah. Tinggal rotinya sahaja yang
masih dipegang dek tangan ‘Sherry’.
Masing-masing terdiam, baik gerak-geri mahupun suara.
Sherry nampak terkejut, kemudian sekelip mata sahaja mukanya berubah
bertukar muram sambil matanya yang sayu itu merenung scoops ais krim yang sudah bertepek di atas tanah.
Serba salah Azfahan melihat keadaan isterinya yang hampir hendak
mengalirkan air matanya itu.
“Sorry sayang. Abang betul-betul tak
sengaja.” Cepat-cepat dia memujuk sambil merapati tubuh isterinya. Terus
dipeluknya tubuh isterinya itu. Tetapi tubuh yang dipeluk itu terasa kaku.
Lantas, Azfahan pun merenggangkan sedikit pelukannya dan dia lihat ‘Sherry’
masih memandang ke arah yang sama dengan riak mukanya yang hampa. Kecewa
sungguh isterinya. Penting sangat ke ais krim tu sampai dia sekali dipaksa
untuk menghabiskannya?
Nak suruh pakcik ais krim tu buatkan lagi satu ais krim roti untuk mereka,
tak sampai hatilah pulak nak kacau pakcik aiskrim yang dah terbaring kat atas
paha montok isteri dia tu. Dah patah pinggang agaknya sebab kena peluk dengan
isterinya yang berbadan ‘sasa’ itu. Itu yang terbaring aje tu. Dah jadi macam
tempat berkelah pulak diorang buat tempat ni. Baik punya landing...
Abis, aku nak buat macam ni? Azfahan mengerutkan dahi sambil tergaru-garu
kepala.
Nak buat macam mana lagi? Nak tak nak, terpaksa jugalah dia memujuk isterinya
yang semakin sensitif hatinya sejak-sejak dah berkahwin ni...
Lalu, bahu ‘Sherry’ dipaut dan ditarik rapat ke dada bidangnya.
“Sayang, sudahlah tu. Janganlah merajuk. Dah tak ada rezeki abang nak makan
ais krim roti tu.” Dia cuba menguis dan mengangkat sedikit dagu isterinya itu.
“Eh, tapi rotinya masih ada kat
tangan sayang kan? hah, bak sini abang makan.”
Azfahan menunduk untuk melihat ke tangan isterinya. Ya, roti itu masih di
tangan ‘Sherry’.
“Tak payahlah. Buat apa nak makan. Ais krim dia dah tumpah dengan
bentuk-bentuk ‘love’ tu sekali.” ‘Sherry’ yang masih dingin menjawab sambil
memeluk tubuh. Langsung tidak sudi melihat Azfahan yang sedang
bersungguh-sungguh cuba memujuknya.
“Lah, bentuk ‘love’ yang tak sebesar mana tu jugaklah yang sayang nak
hebohkan. Bentuk ‘love’ kat dalam dada abang yang banyak-banyak ni sayang tak
nak tengok? Kalau nak tengok, meh sini abang peluk kuat-kuat.” Azfahan cuba
bergurau pula untuk menceriakan hati isterinya. Malu-malu sahaja ‘Sherry’
apabila tubuhnya ditarik untuk masuk ke dalam pelukan suaminya. Ini barulah
namanya malu tapi mahu.
“Iyalah, baru ingat nak buat
kenangan makan ais roti yang ada sos vanila bentuk love dengan abang kat sini.”
‘Sherry’ masih dengan rajuknya walaupun pada masa yang sama, dia seronok setiap
kali dipeluk dan dimanjakan begitu oleh suaminya.
“Lah, macam tu ke? Maaflah, abang tak tahu. Abang betul-betul tak tahu. Tapi
apa kata sekarang ni sayang suapkan abang ais krim roti yang dah tak berapa nak
ada ais krim tu. Sayang suapkan abang ya. Cepat, abang tunggu ni.” Azfahan
sudah meleraikan pelukannya. Matanya terus dipejam rapat sebelum dia membuka
mulutnya luas-luas. Begitu sekali dia ingin menjaga hati ‘Sherry’, hati isteri
tersayang.
Reda terus rajuk ‘Sherry’ bila melihat kesungguhan suaminya. Tapi tiba-tiba
dia tergelak apabila baru sekarang dia perasan betapa comotnya mulut suaminya
itu dengan kotoran ais krim.
Mak
aihhhh... mengalahkan budak-budak. Opssss, lupa pulak aku. Anak orang kaya
mana biasa makan ais krim roti macam ni. Diorang biasa makan ais yang beli
dalam bekas dekat pasaraya tu aje agaknya, tak pun ais krim yang berkhasiat
macam Tutti Frutti.
Mata ‘Sherry’ masih memandang ke arah yang sama, dengan senyuman yang masih
belum menguncup. Senyuman itu hanya mati apabila kesan comot pada bibir
suaminya itu telah menariknya untuk mengingati sesuatu.
“Aku suka lelaki yang suka makan ais
krim roti.”
Sekali lagi dia teringatkan
perbualannya dengan Rosalinda yang berlaku beberapa hari sebelum dia
‘berhijrah’ ke Kuala Lumpur.
“Aku
suka tengok lelaki yang makan ais krim sampai comot.”
“Pelik betullah dengan selera kau
ni. Mana nak dapat lelaki yang makin ais krim sampai comot? Lelaki yang
terencat tu adalah. Apasal lelaki macam tu jugak yang kau nak?”
“Supaya bila aku ada anak-anak kecil
nanti, suami aku dapat temankan aku dengan anak-anak aku makan ais krim roti
sama-sama. Mesti sweet kan pengalaman
tu? Tapi, ais krim roti tu bila aku dengan suami aku aje. Bila dengan
anak-anak, ais krim biasa aje. Tapi suami aku kena jugak makan comot-comot
macam anak-anak aku jugak.”
“Tapi kenapa mesti makan ais krim tu
sampai comot pulak? Kalau lelaki idaman kau tu makan ais krim cermat-cermat tak
boleh ke?”
“Yang tu, aku tak boleh bagitahu
kau. Rahsia! Hanya aku dengan bakal suami aku aje yang akan tahu.”
Ketika ini, ‘Sherry’ tak tahu sama
ada dia perlu tersenyum atau berasa malu dengan perbualan yang berlaku antara
dia dengan Rosalinda tidak lama dulu. Tapi rasanya perbualannya itu dulu
bukanlah sesuatu yang serius. Lagipun, dia masih belum matang lagi waktu itu.
Tapi sekarang ini, bila dia renung
semula ke sekitar mulut Azfahan yang comot dengan kotoran ais krim sehingga
meleleh-leleh ke dagu itu, dia terfikir sejenak. Adakah ALLAH telah memakbulkan
impian tidak matangnya dulu untuk bersuamikan lelaki yang makan ais krim sampai
comot?
‘Sherry’ tergelak dengan sendiri
bila memikirkan hal-hal yang baginya agak memalukan itu.
Mendengarnya, Azfahan terus membuka
matanya.
“Tak ada apa-apa. Kelakar tengok
mulut abang tu. Comot dengan ais krim.” Entah macam mana, ringan saja mulut ‘Sherry’
menegur mulut suaminya yang comot itu. Buat masa ini, biarlah Azfahan tidak
tahu kenapa suatu ketika dulu dia mengimpikan seorang bakal suami yang makan
ais krim sampai comot.
“Teruk sangat ke?” Azfahan
mengangkat tangannya untuk mengelap kesan comot yang dikatakan isterinya tadi.
“Eh, jangan lap!” Cepat-cepat ‘Sherry’
melarang dengan muka cemasnya. Tetapi awalnya Azfahan tidak hiraukan sangat
dengan larangan itu. Lalu, tangannya bergerak lagi untuk mengelap kesan comot
yang dimaksudkan.
“Tolonglah, bang. Sherry merayu
sangat. Janganlah lap kesan comot tu,” rayu ‘Sherry’ sungguh-sungguh.
Dengan dahi yang berkerut-kerut,
Azfahan merenung muka isterinya dengan pandangan pelik. Hairan sungguh bila
isterinya beriya-iya menghalangnya daripada mengelap kesan comot itu.
“Biarlah... Janganlah lap. Abang
nampak comel sangat comot-comot macam ni,” ‘Sherry’ tiba-tiba berubah watak.
Begitu juga dengan suaranya yang tiba-tiba bertukar menjadi suara seperti
berbisik, dengan keadaan bibirnya diletakkan betul-betul di tepi telinga
suaminya.
Semakin pelik Azfahan melihat
gelagat isterinya yang tiba-tiba bertukar seksi itu. Berdebar-debar jugalah
dadanya ketika ini. Lagi-lagi apabila ‘Sherry’ tiba-tiba melangkah rapat ke
tubuhnya dan dengan sebelah tangan, isterinya itu memegang tengkuknya dan
ditarik supaya kepalanya tertunduk sedikit ke bawah.
Ketika ini, hidung mereka sudah
saling bersentuhan, begitu juga dengan nafas mereka yang saling berlaga antara
satu sama lain. Lebih jelas kedengaran, tentu sekalilah nafas Azfahan yang
nampak gelisah dan berdebar-debar dengan situasi yang sedang dihadapinya ketika
ini.
Untuk seketika mata mereka saling
merenung antara satu sama lain tanpa sesaat pun berkelip. ‘Sherry’ yang
awal-awal lagi telah mengenepikan rasa malunya itu sudah tidak kelihatan
takut-takut lagi untuk membalas renungan mata Azfahan yang terasa meresap
sehingga ke dalam hatinya. Lama mereka bertatapan tanpa sebarang bicara yang
keluar dari bibir masing-masing.
Melihat Azfahan seberani itu,
tiba-tiba ‘Sherry’ rasa tercabar. Lantas, tangan kirinya yang memegang tengkuk
suaminya tadi, terus digerakkan untuk beralih pula ke dada suaminya yang
berlekuk itu. Di situ, tangannya meramas bahagian dada singlet suaminya sebelum
dia menolak sedikit tubuh sasa itu supaya tubuhnya tidak terus dihimpit
walaupun ketika ini, kedua-duanya sedang dalam keadaan berdiri.
Tanpa rasa malu, ‘Sherry’ meramas pula
bekalang kepala Azfahan. Di bahagian tengkuk juga cuma kali ini rambut suaminya
yang agak panjang sehingga mencecah ke tengkuk itu pula yang menjadi mangsanya.
Dia masih tidak mahu mengalah walaupun pandangan dan renungan mata Azfahan yang
sarat dengan ego itu seperti mencabar keberaniannya sahaja.
Namun tidak ‘Sherry’ hiraukan.
Sebaliknya dengan gaya yang manja dan seksi yang dibuat-buat, dia terus
mencubit sesuku daripada roti ais krim tadi sebelum dia masuk semula ke dalam
pelukan suaminya. Di situ, jarinya menguis-nguis rahang Azfahan, kemudian jarinya
tadi merayau pula sehingga ke dagu, sebelum dia berhenti dan menjeling kesan
comot kotoran ais krim pada sekitar mulut suaminya dengan jelingan paling
menggoda. Tanpa menunggu lama, roti ais krim yang telah dicubit tadi terus
dicalit pada kotoran ais krim yang mencomotkan bibir suaminya yang merah segar
itu.
Terlopong sehingga ternganga Azfahan
melihat keberanian isterinya itu. Dan kesempatan itulah ‘Sherry’ gunakan untuk
menyuapkan cubitan roti yang telah dicalit dengan kesan comot ais krim tadi ke
dalam mulut suaminya.
Azfahan yang terkejut sehingga
separuh ternganga tadi terus menutup semula mulutnya dengan pandangan yang
masih tidak percaya. Namun, terpaksa jugalah dia mengunyah dan menelan juga
cebisan kecil roti yang telah disuapkan oleh isterinya tadi. Walaupun kecil,
rasa seperti tak tertelan disebabkan terlalu terkejut.
‘Sherry’ tersenyum melihat Azfahan
yang kalut itu. Ketika itu juga dia teringatkan soalan yang pernah ditanyakan
Rosalinda kepadanya tidak lama dulu.
“Tak fahamlah aku dengan kau ni.
Kenapa mesti nak suka lelaki yang makan ais krim sampai comot pulak? Selekeh
lah lelaki macam tu.”
“Rahsia. Aku dengan bakal suami aku
saja yang akan lalui pengalaman tu.”
‘Sherry’ tersenyum bila diingat
semula jawapan yang diberikannya waktu itu. Kalau diikut pada fikirannya yang
masih belum matang dan gila-gila ketika itu, memang dia pernah terfikir dan
berangan untuk main suap-suap ais krim roti dengan bakal suaminya sebagaimana
yang dilakukan tadi. Tapi kalau ditanya secara serius, jawapannya sejujurnya,
memang dari dulu lagi entah kenapa dia memang cukup suka melihat lelaki yang
makan ais krim sampai comot. Walaupun nampak selekeh, tapi pada matanya nampak comel
dan nampak manja macam budak-budak. Kalau nampak selekeh dan nampak macam
budak-budak sekalipun, apa salahnya?
Baginya, sebagai seorang lelaki,
sekeras mana pun mereka, mestilah kena ada perangai kebudak-budakannya juga
supaya bila dah beranak-pinak nanti, lelaki itu dengan mudahnya dapat masuk ke
dalam dunia kanak-kanak. Barulah boleh jadi seorang ayah yang baik dan
penyayang setelah mereka berjaya menjiwai kehidupan kanak-kanak.
‘Sherry’ masih merenung wajah tampan
Azfahan yang sedang menjilat bibirnya yang masih terdapat kesan comot itu
dengan gaya seksi dan menggoda. Tersenyum dia melihat gelagat suaminya itu.
Dalam senyuman bahagia itu, dia
sempat berharap agar lelaki yang makan ais krim roti sampai comot ini, yang
perangainya adakalanya agak kebudak-budakkan ini juga dapat menjadi seorang
ayah yang baik dan penyayang buat anak-anak mereka suatu hari nanti.
Insyaallah... Amin.
KIRA-KIRA tinggal lima minit lagi
sebelum azan Maghrib dilaungkan sewaktu mereka berdua pulang semula ke vila
setelah sama-sama menyaksikan pemandangan matahari terbenam. Tak senonoh
betullah pasangan suami isteri ni. Dah nak malam baru nak balik!
Tak mengapalah. Bagi chance kat
pengantin baru. Jangan amalkan selalu, sudahlah!
Sambil berpimpin tangan, Azfahan dan ‘Sherry’ melangkah untuk masuk ke
dalam rumah setelah kereta diparkirkan di dalam garaj. Namun, baru beberapa
langkah, mereka telah dikejutkan oleh bunyi orang ketawa yang sangat kuat.
Azfahan terus mendongak memandang ke atas. Dia cukup yakin, bunyi orang sedang
bergelak sakan itu datangnya dari tingkat tiga vila tersebut. Tapi, apa yang
digelakkan sangat sampai sebegitu kuat?
Memandangkan kawasan vila yang sunyi dan privasi disebabkan kelilingnya
adalah kawasan berbukit yang terdapat banyak pokok-pokok besar, jadi ketawa
yang yang kedengaran itu menjadi kuat daripada yang sepatutnya. Apatah lagi
dengan keadaan binaannya yang lebih banyak menggunakan bahan-bahan kayu.
Menyebabkan Azfahan dan ‘Sherry’ saling berpandangan sesama mereka.
Masing-masing diburu pertanyaan dan kekeliruan yang sama sebelum mereka memilih
untuk melihatnya sendiri.
“Kuatnya gelak. Sampai ke bawah dengar. Apa yang seronok sangat tu? Han pun
nak tumpang gelak sekalilah. Boleh tak?” Seperti menyindir sahaja cara Azfahan
sebaik dia lihat mummy dan daddy, dengan abang dan kakak iparnya termasuklah si
kecil Fyra itu sekali, masih lagi ketawa walaupun sudah tidak sekuat tadi.
Paling teruk tentulah Seri Embun, kakak iparnya merangkap musuh ketatnya itu.
Sampai berair-air matanya.
Ni kalau dah duduk melepak kat dalam bilik aku ni, tak lain tak bukan, mesti
diorang tengah bahankan aku dengan ‘Sherry’
ni. Tapi apa yang melucukan sangat pulak sampai macam tu sekali diorang bantai
gelak? Daddy yang pendiam pun dah macam nak semput aje aku tengok sebab gelak
banyak sangat.
“Han pun nak tumpang sekaki jugak?”
Azfahan mengangguk menjawab pertanyaan Seri Embun.
“Teringin jugak nak gelak sampai tak ingat dunia macam Kak Embun.”
Lantas, dia yang masih berdiri di muka pintu, terus masuk ke dalam bilik.
“Kami semua tengah tengok gambar Chris Evans pakai baju kurung. Itu yang
kelakar sampai gelak tak ingat dunia tu.” Seri Embun menyambung gelaknya
semula. Kali ini, kedengaran seperti dibuat-buat. Memang sengaja dibuat-buat
pun semata-mata nak menyakitkan hati adik iparnya itu. Selalunya adik iparnya
itu sahaja yang galak mengenakannya. Kali ni, giliran dia lah pula!
Azfahan awalnya nampak menggelabah tetapi dia masih cuba bertenang. Namun,
bila disebut tentang baju kurung, barulah dia teringat sesuatu. Tapi adakah apa
yang sedang dia fikirkan sekarang ini, sama dengan apa yang mereka semua
gelakkan?
Dari tempatnya berdiri, sepantas kilat dia menoleh ke kiri, ke arah dinding
yang baru sahaja digantungkan dengan pelbagai aksi dan gambar perkahwinannya
dengan ‘Sherry’ sebelum mereka keluar untuk menikmati pemandangan matahari
terbenam beberapa jam tadi. Termasuklah gambar seorang lelaki berbaju kurung
yang terselit di antara gambar-gambar perkahwinan yang tergantung di situ.
Ya ALLAH... gambar aku! Macam manalah aku boleh lupa. Ya ALLAH...
malunya...
“Kak Embun ingat macho sangatlah
adik ipar akak yang dulu suka sangat buli akak ni. Tak sangka pulak adik ipar
akak ni minat sangat dengan baju kurung. Siap pakai bawa tidur lagi.”
Ejekan yang berterusan daripada Seri Embun membuatkan Azfahan rasa semacam
nak buat keputusan untuk berpindah saja dari terus tinggal dekat vila ni. Ini
semua sebab terlalu ikutkan permintaan isteri tersayang. Sibuk sangat nak
tinggal dengan mak mentua. Tengok sekarang apa dah jadi? Tak ada privasi
langsung! Buat malu aku aje!
Azfahan terus jeling ‘Sherry’ yang berdiri di sebelah dengan muka bengang.
“Tadi sayang janji kononnya bilik ni adalah mahligai khas untuk kita berdua
saja. Sayang cakap, sesiapa pun tak dibenarkan masuk. Kononnya kita berdua akan
memenuhkan bilik ini dengan taman-taman cinta di mana bunganya hanya kita
berdua saja yang boleh hidu dan memetiknya.” Diulangnya semula janji manis ‘Sherry’
tadi dengan cara mengajuk gaya isterinya itu bercakap.
‘Sherry’ tersengih saja menayangnya giginya yang tersusun rapi.
“Sorrylah bang. Tadi Sherry lupa nak kunci pintu bilik ni sebab dah tak
sabar sangat nak dating tengok
matahari terbenam dengan abang. Alah, lagipun... gambar abang pakai baju kurung
aje pun. Apalah sangat. Sherry janji, Sherry takkan tunjukkan dekat diorang
semua gambar abang lagi satu yang abang pakai baju kebaya tu.” Selamba saja ‘Sherry’
mengenakan suaminya sebelum disambut ketawa dari mereka yang lain.
Tak cukup kakak dia kenakan aku, dia pun nak kenakan aku jugak. Sumpah! Itu
ajelah gambar yang memalukan dari aku. Mana ada gambar lain selain gambar aku
pakai baju kurung tu. Memandai-mandai aje tau budak kecik ni!
Daripada rasa nak marah, Azfahan tersenyum juga akhirnya.
Kalau dengan isteri aku yang loyar buruk dan kelakar ni, nampak gayanya
awet mudalah aku sampai ke tua. Tiap kali nak marah aje, dia akan buat lawak
bodoh dia tu sampai aku rasa nak tergelak. Nasiblah...
Sebenarnya, memang itu pun tujuan ‘Sherry’
melawak. Untuk redakan kemarahan suaminya itu juga. Dia memang tak suka lihat
Azfahan marah-marah begitu. Dah lama dia tahu yang suaminya ini memang agak
panas baran juga orangnya. Disebabkan itu, kalau boleh dia ingin menjadi isteri
yang paling kelakar kat dalam dunia ni. Supaya suaminya itu tak cepat melenting
dan tak mudah nak marah-marah.
Barulah bahagia rumah tangga kalau senyum dan gelak-gelak selalu walaupun
orang lain yang pandang mungkin akan meragui tahap kesihatan otak dan juga
mental mereka berdua.
Lantaklah! Peduli apa!
Setinggi-tinggi ucapan terima kasih buat seluruh pembaca ISTERI PALING KELAKAR yg sudi mengikuti kisah ini dari bab pertama hingga bab terakhir. Terima kasih juga buat segala teguran, kritikan dan komen yang diberikan. Sesungguhnya, usaha kalian menjadikan saya seorang penulis yang lebih gigih untuk berusaha memperbaiki kekurangan saya dalam bidang penulisan ini. Harap sudi juga doakan agar manuskrip ini dapat diterbitkan ke dalam bentuk novel yang bercetak ya. Hehe. Amin.
Assalamualaikum.
Tahniah ya...
ReplyDeletehanya saja endingnya kurang menggigit.
dari awal, saya menantikan kehadiran seri embun, ternanti-nanti. akan bagaimana jadinya.
tapi ternyata kemunculannya biasa-biasa saja.
mungkin ini terjadi juga karena cerita terlalu berpusat pada azfahan dan sherry. penggambaran org2 di sekelilingnya sangat minim. sehingga terkesan kurang karakter.
hee,,, maaf kalau susah dipahami.
mungkin jika akad nikah mereka dipindah tempat ke kampung sherry akan jadi lebih baik.
dari awal digambarkan dulu bagaimana penerimaan afka, bagaimana perasaannya mempertahankan cinta kepada embun atau berkorban utk adiknya, sampai terlihatnya seri embun yang menemani sherry pada saat akad nikah. mungkin bisa numpang nikah sekalian.
maaf saya tak berapa pandai nak berbahasa melayu.
akhirnya hambis gak cerita sherry embun ni best lama tunggu dia setle heheh
ReplyDeleteakhirnya habis jugak :)
ReplyDeletesemoga encik penulis terus berusaha membuat cerita yg lebih menarik...
akhirnya habis juga best sangat-2.
ReplyDeletekak lepas ni x ada n3 baru ke.
ReplyDeletebest sangat cite nie....tahniah
ReplyDeletehaha..habis gak citer ni..puas hati sangat...best giler...sakit pipi ngan rahang aku duk gelak...
ReplyDelete