Tuesday, 22 January 2013

Isteri Paling Kelakar (BAB 30)




30







           
            “NAH Puan Sri, jusnya..” Dengan berhati-hati, ‘Sherry’ meletakkan cawan plastik berwarna hijau gelap yang ditatangnya dari dapur ke atas meja di satu ruang kecil ruang tamu vila ini. Entah berapa banyak entah ruang tamu dalam vila ni. Ada yang kecil, ada yang sederhana besar, ada yang besar sampai boleh buat kem motivasi kat dalam vila ni.
            “Terima kasih. Tapi kenapa Embun bancuh jus dalam cawan? Selalunya dalam gelas.”
            Mendengarkan pertanyaan itu, Azfahan yang sedang angkat dumbel sambil menaip sesuatu di telefon bimbitnya, terus terhenti secara serentak dua kerja yang sedang dilakukannya. Dia juga seperti Puan Sri Zahlia, sedang duduk santai-santai di dalam ruang tamu kecil yang terpisah daripada bahagian-bahagian dan ruang-ruang lain di dalam vila ini.
            ‘Sherry’ terjeda sebentar. Tak tahu nak jawab apa sebenarnya. Dipandangnya saja Puan Sri Zahlia yang sudah pun mengangkat cawan untuk disuakan ke bibirnya.
            “Sedapnya... Tapi, macam pelik sikit rasanya.” Puan Sri Zahlia masih tidak memandang wajah ‘Sherry’. Hanya Azfahan seorang yang memandang dengan rasa tak puas hati.
            “Kenapa kau pergi buat sedap-sedap? Kau tahu kan yang dia suka sangat dengan jus yang kau buat? Makin sayanglah dia kat kau nanti! Sepatutnya kau buat tawar-tawar, tak pun tak payah bubuh gula langsung!” Azfahan bisik betul-betul kat tepi telinga ‘Sherry’. Dia mengambil peluang itu sewaktu Puan Sri Zahlia sedang asyik meneguk jus yang masih berbaki.
            ‘Sherry’ pula dah buat muka tak puas hati bila dimarahi begitu.
            “Manalah aku tahu mummy kau boleh suka air yang aku bagi dekat dia tu. Padahal aku cedok sup kurma ayam yang bibik tengah masak kat dapur tu aje kasi dia minum. Isyyy, isyyy, isyyy... Pelik betullah selera mummy kau.”
            Boleh pula dengan selambanya ‘Sherry’ jawab macam tu. Siap geleng-geleng kepala lagi padahal Azfahan sudah bulat biji matanya memandang dengan rasa terkejut. Hampir nak terlopong jugalah mulut lelaki itu.
            “Kau dah gila apa bagi mummy aku minum sup kurma? Kan tadi mummy aku minta kau buatkan jus!” Sambil dia berbisik memarahi ‘Sherry’, sambil itu juga dia jeling Puan Sri Zahlia. Dia tengok bukan main rakus lagi ibunya teguk sup kurma ayam tu. Siap jilat-jilat bibir lagi. Masya-ALLAH... Biar betul?
            “Dah tadi Puan Sri yang cakap dia nak jus yang special dan lain daripada yang lain. Apa lagi yang special? Selalunya orang buat jus mangga, jus belimbing, jus tembikai, jus oren, aku pulak cadanglah nak buat jus kurma. Barulah namanya lain daripada yang lain. Tapi malangnya dalam peti ais tu tak ada buah kurma lah pulak. Sebab tu lah aku cedok aje sup kurma ayam tu. Kira cincailah. Asalkan ada sikit-sikit rasa kurma tu, kira jus kurma lah tu. Banyak songehlah kau ni. Mak kau pun tak ada kompelin apa-apa. Aku tengok elok aje dia bantai sup kurma tu.”
            Pada Azfahan, ‘Sherry’ hadiahkan jelingan maut dengan reaksi muka yang menunjukkan betapa meluatnya dia dengan lelaki yang banyak songeh itu. Ketika ini, Puan Sri Zahlia sudah pun beredar dari situ setelah berkali-kali mengucapkan terima kasih dan memuji ‘jus kurma’nya.
            Elok saja Puan Sri Zahlia hilang dari pandangan mata, Azfahan terus bantai gelak waktu tu juga.
            Dah gila apa mamat ni? Tadi bukan main lagi tak puas hati dengan aku!
            “Dah sawan ke kau ni gelak tiba-tiba pulak? Nak aku tolong kau call hospital sakit mental ke?”
            Laju saja Azfahan gelengkan kepalanya dengan ketawa yang masih kedengaran menjengkelkan di telinga ‘Sherry’.
            “Bukan apa. Aku respect lah dengan kau. Aku pun tak tahu apa yang kau dah buat sampaikan mummy aku tu sayang giler dekat orang macam kau yang tak sepatutnya dapat kasih sayang ni. Tapi kesian pulak aku tengok mummy aku tu macam diperbodoh-bodohkan aje sebab terlalu sayangkan kau. Sup kurma ayam tu pun dia boleh teguk macam baby kecil minum susu gantung.”
            Azfahan sambung lagi gelaknya walaupun tidaklah dia bantai gelak kuat-kuat sebab dia ni kan sentiasa nak control macho.
            Oh baru ‘Sherry’ perasan yang mamat ni sebenarnya kuat gelak juga orangnya. Tak ada lah membosankan macam Afka tu. Tapi, Afka tu macho dia nampak natural sangat jadi mungkin sebab tu dia tak banyak bercakap sangat macam adik dia ni. Nak tengok dia senyum pun susah. Tak macam mamat sebelah aku ni. Macho Azfahan ni macho yang dibuat-buat terutama sekali bila depan awek-awek cun kat swimming pool kondo dia tu!  
            Sempat lagi ‘Sherry’ mengumpat sorang-sorang.
            “Biasalah tu. Aku memang disayangi ramai pun. Sepatutnya dari dulu lagi kau respect manusia hebat lagi serba boleh macam aku ni tau.” Terus waktu itu juga kakinya disilangkan sambil dia menolak hujung tudung yang jatuh ke dada dengan penuh bergaya supaya terletak semula ke atas bahu. Barulah nampak hebat dan bergaya sikit kalau buat macam tu.
            “Sekarang ni macam mana? Aku dah cuba macam-macam tapi mummy kau tu tetap tak nampak tanda-tanda macam nak benci aku pun. Ataupun adakah wajar kiranya aku bakar aje vila ni untuk buat dia benci kat aku?”
            “Gila apa kau nak bakar vila 10 juta ni?”
            Terlopong ‘Sherry’ mendengar jumlah sebanyak itu.
            ‘10 juta? Mak aihhh... Banyaknya. Aku rasa sebab tu lah Puan Sri Zahlia sayang gila-gila dekat aku yang kononnya telah menjadi penyelamat rumah tangga dia dengan suaminya. Iyalah, kalau fikir secara logik lah kan, Puan Sri Zahlia mesti takkan biarkan Tan Sri Jaafar terlepas macam tu aje ke tangan perempuan lain. Silap-silap vila 10 juta ni pun boleh terlepas kat tangan orang lain kalau Puan Sri Zahlia tak jaga suami dia tu elok-elok. Mungkin sebab tu lah agaknya dia sayang dekat aku kot sebab Seri Embun kan dah berjaya tolong Puan Sri Zahlia dapatkan badan yang ideal lagi langsing yang kononnya telah berjaya buat Tan Sri Jaafar lebih kerap pulang ke rumah berbanding sebelum ini.
            Eh, pandai-pandai aje aku reka-reka cerita. Tak baik lah buruk sangka. Entah-entah, Puan Sri memang ikhlas sayangkan aku dan ikhlas nak bermenantukan aku.’ ‘Sherry’ memesan pada dirinya sendiri sebelum dia yang baru tersedar, kembali memberikan tumpuannya pada Azfahan.
            “Tak ada lah sampai nak bakar vila ni. Daripada aku bakar vila ni, lagi baik aku bakar kau hidup-hidup! Lagi banyak faedahnya sebab aku rasa mesti ramai giler yang setuju kalau aku bakar manusia tak berguna yang suka menyusahkan hidup orang lain macam kau ni. Hahaha...”
            Kali ini, ‘Sherry’ pula yang bantai gelak dengan sengaja dia kuatkan lagi suaranya. Mentang-mentanglah vila ni besar, bolehlah dia gelak sepuas-puasnya. Mesti orang lain kat dalam vila ni tak dengar.
            Azfahan diam saja memerhatikan ‘Sherry’ yang galak mentertawakannya. Terdiam sebab sakit hati sebenarnya tu...
            “Merepeklah kau ni. Aku tak rasa dunia ni dah bersedia untuk kehilangan lelaki paling handsome kat atas muka bumi ni.” Macam tu saja yang mampu dia jawab. Sengaja dia nak duga jawapan ‘Sherry’. ‘Sherry’ kan memang tak pernah mahu kalah!
            “Okay kalau macam tu, kejap lagi aku nak bukak fanpage ‘Mari Bakar Azfahan Hidup-Hidup’ dekat akaun Facebook. Aku yakin tak sampai sejam, mesti beribu-ribu orang like page tu. Hahaha...” Lagi sekali ‘Sherry’ bantai gelak beriya-iya sambil hentak kedua-dua belah kaki. Kuat pulak tu!
            Azfahan terus diam. Malas nak layan. Kali ni, dia diam bukan sebab sakit hati. Tapi dia tak rasa orang macam dia perlu layan budak hingusan macam ‘Sherry’ yang banyak terpengaruh dengan cerita-cerita lawak murahan kat dalam TV tu. Buang masa! Dan ini jugalah sebabnya kenapa dia cukup tak berkenan dengan perempuan macam ‘Sherry’ ni. Tak pandai cover cun langsung!
            Tak macam Sazzy. Sazzy sentiasa datang dengan topik-topik yang serius sekiranya mereka berbual-bual dalam keadaan begini. Tak kisahlah walaupun Sazzy lebih banyak bercerita tentang kerjayanya sebagai seorang model, dia lebih suka dan selesa berada dalam keadaan begitu, keadaan yang sesuai dengan dirinya yang educated. Bukan macam sekarang ni. Rasa macam budak belum sunat aje bila duduk dengan si budak ‘Sherry’ ni. Baik aku keluar jogging sekarang.
            Azfahan terus melangkah untuk keluar setelah meletakkan dumbel dan meninggalkan telefon bimbitnya di atas meja. Memang biasanya sebelum dia keluar jogging, dia akan ‘bermain-main’ dengan dumbel terlebih dahulu. Mungkin sekarang dia terlalu sibuk sampai tak ada masa nak bina otot lengannya macam dia selalu buat dekat gym. Jadi sebab itulah selagi ada ruang, dia akan cuba untuk maintainkan bentuk lengannya yang kekar itu.
            “Eh, tunggulah aku! Aku pun nak jogging jugak!”
            Sherry yang mulanya terpinga-pinga ditinggalkan, kelam-kabut berlari ingin mendapatkan Azfahan. Terjerit-jerit dia memanggil lelaki itu malangnya panggilannya tidak diendahkan.
            Azfahan sedang melakukan senaman ringkas ketika ini, di halaman vila yang luas itu. Dia sudah pun siap dengan kasut sukan. Sherry yang berdiri memandangnya di sebelah masih tidak diendahkan. Lepas dia siap meregangkan otot-ototnya, barulah dia menoleh.
            “Tak payahlah kau ikut. Aku tak sukalah jogging dengan perempuan. Lembab! Lagi-lagi yang katik macam kau ni. Kaki pun pendek. Tiga kali kau langkah baru sama dengan sekali langkah aku!”
            Terlopong ‘Sherry’ mendengarkan kutukan itu. Bukannya terlopong sebab kagum dengan kaki Azfahan yang panjang tu. Tak payah cakap pun dia sudah sedia maklum yang lelaki seorang ni memang tinggi macam model antarabangsa. Cuma... dia tak sangka yang Azfahan dengan selambanya mengutuk saiz badannya.
            ‘Sherry’ diam sahaja. Tak ada pula nak menjawab macam selalu. Oh lupa pulak, mana boleh menjawab. Nanti kalau Azfahan marah, habislah dia tak dapat ikut pergi jogging!
            “Dengan baju blaus kau yang penuh batu-batu berkilat-kilat tu, tak sesuailah untuk jogging. Esok ajelah.. Nanti aku belikan kau baju sukan.” Azfahan menyusun ayat yang cantik sedikit berbanding tadi. Itu pun terpaksa sebab dia tengok ‘Sherry’ nampak macam dah nekad nak ikut dia jogging. Bukannya dia tak kenal ‘Sherry’ tu. Sedegil-degil manusia!
            Tengok! Kan dah kata. Tengok muka je pun dah tahu yang ‘Sherry’ tak puas hati dengan jawapannya tadi. Mulut becok dia tu dah terkumat-kamit, dah tak sabar-sabar lagi nak menjawab!
            “Tak kisahlah baju apa-apa pun. Tak ada bezanya lah kalau aku pakai baju blaus ke, baju sukan ke... Kalau aku pakai sari pun aku rasa tak ada hal lah kalau aku nak jogging pun. Aku tengok dalam filem hindustan tu elok aje diorang menari terkinja-kinja pakai sari. Keluar aje peluh diorang tu aku tengok kadang-kadang tu. Tak ada bezalah baju apa-apa pun dengan baju sukan. Dekat baju sukan kau tu pun tak ada pulak aku nampak ada tulis apa-apa. Manalah tahu kot ya lah kalau kat baju kau tu ada tulis macam ni... “Baju sukan ini mampu membantu anda mengeluarkan peluh bergelen-gelen walaupun anda cuma berlari dengan kelajuan siput babi.”
            “Cuba kau tengok balik baju yang kau pakai tu. Manalah tahu kalau ada tulis tagline macam aku cakap tadi tu. Kalau tak ada tertulis macam tu kat jersi kau, maka dengan ini aku rasa tak salah kalau aku jogging pakai blaus dengan seluar jeans ni.”
             Azfahan menahan senyum dengan jawapan ‘Sherry’. Sebenarnya dia dah nak tergelak dah pun. Namun dipaksanya segala otot untuk menahan dirinya daripada tergelak dan ketawa di situ. Tak naklah gelak. Apa barang gelak lawak ‘Sherry’. Lawak merapu!
            “Yeayyyy... Kau senyum! Senyum tanda setuju kan, kan, Kan? Betul tak, betul tak? Jadi, bolehlah aku ikut kau jogging.”
            Azfahan terpinga-pinga dengan jawapan itu. Tak ada pula dia kata apa-apa. Tapi ‘Sherry’ dah siap buat regangan dan senaman ringkas sebagaimana yang dilakukannya sebentar tadi.
            Ah, lantak dia lah!
            Tanpa menghiraukan ‘Sherry’, Azfahan terus berlari laju sedikit daripada kebiasannya. Namun, lebih kurang 15 minit selepas itu, dia perasan seperti ada seseorang yang juga sedang berlari secara perlahan tidak jauh dari belakangnya. Mungkin Uncle Kwan agaknya. Lelaki tua yang juga tinggal di dalam kawasan itu memang boleh dikatakan hampir setiap pagi keluar jogging dan ada jugalah beberapa kali dia bertembung dengan Uncle Kwan. Tapi, takkanlah Uncle Kwan berlari selaju ini pulak?
            Dia terus menoleh sebab setahunya, kawasan perumahan eksklusif ini cuma ada beberapa buah vila dan banglo mewah sahaja. Jadi, teringinlah juga dia nak tahu siapa yang sedang berlari hampir hendak menyainginya di belakang.
            ‘Ya ALLAH? Budak ketot ni rupanya?’ 
            “Kau ikut shortcut ke?” Dipandangnya tepat ke muka ‘Sherry’ yang sempat lagi menghadiahkan senyuman dan melambaikan tangan kepadanya.
            Azfahan nampak terkejut.
             Tak penat ke budak ni? Track larian yang memang khas digunakan untuk berjogging di sini agak berbukit sedikit di sesetengah kawasan. Tapi ‘Sherry’ masih tak nampak letih. Cuma termengah-mengah sedikit. Lebih kurang sama dengan keadaan dia sendiri yang sudah biasa berjogging pagi-pagi begini.
            “Amboi, sedap mulut kau aje tuduh aku. Dari tadi lagi aku berlari belakang kau tau. Kau aje yang tak perasan.”
            “Oh, kau saja nak skodeng punggung aku eh?”
            “Gila apa? Daripada skodeng punggung kau, baik aku skodeng bontot lembu!”
            Azfahan memandang ke hadapannya semula, sambil menyembunyikan cebikannya. Jangan haraplah aku nak percaya temberang dia! Dah sah-sah dia ikut jalan shortcut ni! Takkanlah dia boleh lari selaju tu pulak.
            Tapi sepuluh minit kemudian, dia lihat ‘Sherry’ yang saing di sebelahnya masih steady berlari seperti biasa. Tak ada pula dia lihat ‘Sherry’ berhenti untuk berehat kat mana-mana walaupun dia nampak macam termengah-mengah, tetapi dia tetap teruskan lariannya. Kagum jugalah Azfahan melihatnya.
            “Kau pun biasa jogging jugak ke?” Dia bertanya sebab hairan dengan tenaga dan kemampuan budak kecik ni!
            ‘Sherry’ senyum, sambil mengesat dahinya yang sudah basah dengan peluh dengan penuh bergaya sekali.
            “Dah lama lah aku tak jogging. Rasanya last aku jogging masa aku darjah empat dulu kot,” beritahunya jujur.
            Memang betul pun. Rasanya itulah kali terakhir dia jogging. Itu pun dekat Lake Garden dan dia ke situ pun bersama keluarga dan termasuklah arwah ibunya yang masih hidup lagi ketika itu. Selalunya mereka ke situ untuk menikmati pemandangannya yang indah itu sahaja. Tapi ada sekali tu entah siapa lah yang bagi cadangan untuk berjogging di situ. Maka, itulah kali pertama dan kali terakhirnya dia jogging di Lake Garden. Bukannya dia tidak suka melakukan senaman begitu. Cuma kawasan rumah dia yang terletak dalam kawasan tanah yang lembab dan jerlus tu mana sesuai untuk melakukan riadah seperti jogging semua ni. Lagipun dengar-dengar cerita dari mulut ke mulut, ada orang kampung yang pernah terserempak dengan binatang buas memandangkan kampung mereka itu dikelilingi dengan hutan tebal. Bukan sembarangan hutan kalau nak dibandingkan dengan hutan di dalam vila yang menenangkan dan sentiasa dijaga dengan baik ini.
            Tapi takkanlah aku nak ceritakan semua tu kat dia. Nanti mesti dia ambil peluang nak kutuk aku!
            ‘Sherry’ jeling-jeling saja Azfahan yang macam tak puas hati saja dengan jawapan yang dia berikan tadi. Macam rupa orang terkejut pun ada jugak. Apa kena pulak mamat ni?
            “Tapi, aku tengok dari cara kau lari macam dah biasa jogging aje.” Tak sedar yang dia sebenarnya telah memuji gadis di sebelahnya itu. Lagi sekali Azfahan memandang ‘Sherry’ dengan muka pelik. Ketika ini, kedua-duanya sudah pun memperlahankan kelajuan masing-masing, dan kedua-duanya nampak penat dan termengah-mengah.
            “Apa nak heran. Aku ni kan budak kampung. Dah biasa berlari dari kecik. Lari sebab kena kejar dengan lembu pun pernah tau.” ‘Sherry’ nampak seronok sewaktu mengenang kembali kisah zaman kanak-kanaknya.
            Azfahan mencebik, nampak sinis.
            “Baguslah tu... Sekurang-kurangnya ada juga makhluk yang tergila-gilakan kau sampai sanggup nak kejar kau memandangkan aku tahu sangat, memang takkan ada lelaki yang nak terkejar-kejarkan perempuan macam kau tu! Lembu pun jadilah... Okay apa.”
            Gurauan kasar Azfahan itu sekelip mata sahaja terus merenggut ingatan ‘Sherry’ pada kenangan silamnya. Direnggut sekali dengan senyuman di bibirnya. Berubah terus mukanya, jadi masam.
            “Kutuklah aku puas-puas, Azfahan. Jangan pulak satu hari nanti kalau kau ditakdirkan untuk jatuh cinta dengan aku sampai kau sanggup terkejar-kejarkan aku, sudahlah! Waktu tu cara kau kejar aku lagi teruk daripada lembu yang pernah kejar aku dekat kampung aku tu!”
            “Jangan buat lawak bodohlah. Terlalu mustahil untuk aku jatuh cinta dengan perempuan macam kau ni.” Azfahan masih dengan senyuman sinisnya. Kali ini, dia tergelak mentertawakan kata-kata ‘Sherry’ yang langsung tidak berasas tadi.
            Sakit hati ‘Sherry’ dengan perangai Azfahan yang cukup suka merendah-rendahkannya itu.
            “Sekarang bolehlah kau gelak. Nanti sampai masa kau tergila-gila dan terkejar-kejarkan aku macam lembu, waktu tu aku pulak yang akan gelakkan kau.”
            Atas dasar sakit hati, dia keluarkan kata-kata begitu padahal dia sendiri sedar siapa dirinya. Iyalah, siapalah aku nak digandingkan dengan lelaki sehebat Azfahan ni.
            Azfahan tidak lagi mengukir senyuman sinis seperti tadi. Dia jadi risau pula tiba-tiba. Apalagi ‘Sherry’ nampak yakin dengan kata-katanya tadi. Manalah tahu kalau suatu hari nanti dia ditakdirkan untuk jatuh cinta dan tergila-gilakan ‘Sherry’?
            Ahhh... dia bergurau aje tadi tu.
            “Kenapa kau berhenti tiba-tiba pulak ni?” soal ‘Sherry’. Dia pun terpaksa menghentikan lariannya juga.
            Dalam pada itu, sempat lagi dia menoleh ke belakang. Dia lihat bumbung vila keluarga Puan Sri Zahlia yang besar dan juga terdapat menara kecil yang tinggi di atasnya sudah samar-samar di pandangan matanya. Kalau ikutkan, memang sudah terlalu jauh mereka berlari. Sekarang ini, mereka telah pun memasuki kawasan yang lebih sunyi di mana di kiri dan kanan jalan hanya dipenuhi dengan hutan dan suara unggas yang mendayu-dayu. Cuma hutan yang terdapat di kawasan ini tidaklah menyemakkan mata yang memandang. Sebaliknya, nampak redup dan sejuk saja mata yang memandang.
            “Penatlah... cukup-cukupah lah tu. Badan aku dah cukup cantik, buat apa nak beriya-iya sangat jogging sampai nak terkehel buku lali.  Jom ikut aku lepak dekat sana tu.” Jari Azfahan naik untuk tunjuk ke arah tanah lapang yang bila mana kalau berdiri di atas pinggir bukit itu, mereka akan dapat melihat satu pemandangan yang sangat cantik lagi menakjubkan dari situ.
            “Tak nak lah aku. Macam jalan mati aje aku tengok.” ‘Sherry’ menolak. Buat apa duduk melepak buang masa kat situ? Tak ada motif langsung! Baik aku tengok TV daripada tengok pemandangan yang tak bergerak tu. Haihhh... Tak pandai menikmati keindahan alam betullah perempuan ni!
            “Memang lah jalan mati. Sebab tu lah bila dah berdiri kat situ nanti, kita dapat tengok pemandangan yang cantik-cantik kat bawah sana tu.”
            Azfahan pula masih bersungguh-sungguh mengajak. Selalunya setiap kali dia pulang ke vila, dia biasa melepak di situ seorang diri. Lagi seronok bila duduk sendirian di situ. Tenang sangat... Tapi entah kenapa sekarang ni dia berasa teruja pula untuk berkongsi ketenangan dan keindahan itu bersama-sama dengan ‘Sherry’.
            “Okaylah, okaylah. Tapi sekejap aje tau. Tak nak lama-lama!”
            Tanpa sedar, Azfahan boleh tersenyum gembira mendengar jawapan itu walaupun ‘Sherry’ semacam merungut saja dengan ajakannya.
            Lalu, mereka pun jalan berdua-duaan memasuki lorong yang agak sempit sebelum keluar menembusi satu tanah lapang seperti platform yang mana bila berdiri di atasnya, segala-gala yang berada di bawah bukit dan juga di atas langit dapat dilihat dengan pandangan yang teramatlah luas. Sewaktu mereka datang, banyak juga rerama yang berterbangan. Pepatung pula senyap saja hinggap di hujung daun lalang. Dari situ juga mereka dapat mendengar bunyi air terjun yang begitu jelas memandangkan di belakang mereka sememangnya terdapat air terjun di dalam hutan tadi yang mengalirkan sungai kecil di dalamnya.
            Keadaan yang sangat tenang dan sejuk itu dengan sendirinya mengajak Azfahan menarik nafasnya dalam-dalam dengan kedua belah tangan yang terangkat sama, sebelum dia melepaskannya perlahan-lahan. Matanya terpejam menikmati keindahan dan ketenangan itu.
            ‘Sherry’ pun meniru perbuatan itu dengan teragak-agak. Tetapi lama-kelamaan dia jadi yakin. Maka dengan yakinnya dia melepaskan semula nafas yang sudah penuh di dadanya dengan sekuat hati. Sejak dah lama tinggalkan kampung halamannya nun di Perak sana itu, dia memang berasa lebih yakin setiap kali hendak bercakap mahupun menghembuskan nafas kuat-kuat sebagaimana yang dia lakukan tadi. Maklumlah, boleh dikatakan sudah berminggu-minggu dia tak belasah makan sambal petai sejak berhijrah ke Kuala Lumpur ni. Bukannya senang nak cari petai dekat sini. Kalau kat kampung, bila-bila masa sahaja dia boleh buat sambal petai memandangkan belakang rumahnya sahaja terdapat beberapa pokok petai.
            “Eh Sherry! Tengoklah cepat. Cantiknya... Matahari tengah nak terbenam tu.” Beriya-iya Azfahan menjerit memanggil ‘Sherry’ di sebelah padahal jarak mereka bukannya jauh pun. Nampak aje macam tak berperasaan tapi sebenarnya, pencinta alam semula jadi rupa-rupanya lelaki nan seorang ini. Untunglah Sazzy. Mesti Azfahan ni jenis manusia yang suka travel. Untung-untung, dua tahun sekali dapat honeymoon dekat luar negara.
            Azfahan masih memandang ke arah yang sama dengan rasa kagum. Cuma dia rasa macam ada yang tak kena saja.  Dia pun menoleh. Waktu itu, dia lihat ‘Sherry’ tidak memandang pun ke arah yang dia tunjukkan tadi. Sebaliknya, gadis itu melarikan pandangannya ke arah lain sambil menghadang pandangannya dengan sebelah tangan seperti takut-takut saja nak tengok ke arah yang Azfahan tunjukkan tadi.
            Dia ni ada masalah penyakit kulit yang serius ke? Manalah tahu kalau tak boleh kena cahaya matahari secara berlebihan ke...
            “Eh, ada orang jual ais krim lah. Bestnya dapat makan ais krim petang-petang macam ni. Aku nak pergi beli kejaplah.” Dengan gaya kebudak-budakannya, ‘Sherry’ terus berlari-lari anak menuju ke kenderaan bermotor yang menjual pelbagai jenis ais krim tidak jauh daripada tempat mereka berdiri.
            Sewaktu dia larikan pandangannya dari memandang ke arah matahari tadi, tak semena-mena dia terpandangkan lelaki tua yang membonceng motorsikal itu, lengkap dengan peti ais besi yang berbalut dengan wallpaper warna-warni. Namun di tengah-tengah jalan, kakinya terasa sangat sakit tetapi dia cuba juga untuk berlari. Malangnya, tak mampu. Akhirnya, dengan sebelah kaki yang terhincut-hincut, dia berjalan seperti mengengsot mendapatkan pakcik penjual ais krim itu.
            “Hye, selamat petang, pakcik. Pakcik, saya nak tanya boleh tak? Kenapa pakcik jual ais krim kat kawasan ni? Tak lakulah ais krim pakcik nanti sebab tak ramai orang pun yang tinggal kat sini. Budak-budak lagi lah tak ramai,” tegurnya macam dah kenal berpuluh tahun.
            Selain perangainya yang macam kebudak-budakkan, satu lagi sifat ‘Sherry’ ni, dia memang seorang yang peramah walaupun dengan orang yang belum dikenalinya. Macam dengan pakcik ni. Walaupun pakcik tu nampak macam penat dan dah tak larat, dia macam terpaksa aje buat-buat senyum semata-mata nak sedapkan hati si ‘Sherry’ ni.
            “Sebenarnya, pakcik tak pernah lagi sampai ke sini. Sebab tu pakcik tak tahu kawasan ni tak ramai budak-budak. Tapi nasib baiklah kamu ada. Berbaloi jugaklah pakcik masuk sini,” gurau pakcik si penjual ais krim. Dengan sendirinya, pakcik tua itu pun boleh jadi ramah macam si budak ‘Sherry’ itu juga.
            ‘Sherry’ pun apa lagi. Pantang diajak bergurau, bukan main lagi dia bantai ketawa.
            “Okaylah, kalau dah pakcik cakap macam tu, saya beli dua ais krim roti dekat pakcik. Dengan baik hatinya saya belanja sekali jin yang tengah menikmati keindahan alam tu.”
            ‘Sherry’ merujuk pada Azfahan, tetapi pakcik tua itu buat-buat blur pula.
            “Jin? Rupa jin memang macam tu ke? Tak tahu pulak pakcik rupa jin handsome sampai macam tu sekali.”
            ‘Sherry’ muncungkan bibirnya pula kali ni. Kemudian dia mengeluh.
            Hurmmm... Beruntungnya jadi macam Azfahan tu. Semua orang suka dia, semua orang puji dia. Pakcik yang sama jantina dengan mamat tu pun boleh puji dia depan-depan aku. Aku yang perempuan ni pun tak ada pulak pakcik ni puji cakap aku cantik. Bencinyaaa.... Tahulah aku ni tak cantik. Aku ni cuma comel aje. Tapi apalah salahnya kalau pakcik ni puji jugak. Takkan itu pun nak berkira?
            Dia dah mula dah. Dah mula dah perangai dia yang kuat perasan tu.
            “Eh, boleh pakcik tahu siapa nama jin tu?” soal pakcik itu tiba-tiba. ‘Sherry’ dah tercengang.
            Aku rasa pakcik ni ada perasaan dekat lelaki lah. Siap tanya nama bagai. Kan aku dah cakap tadi, aku ni bukannya tak cantik. Cuma pakcik ni aje yang tak ada perasaan dekat perempuan. Tu yang dia tak puji aku tu.
            “Shariedan Azfahan,” jawabnya malas. Ringkas dan juga pendek. Biarlah, asalkan jawapan yang diberikan menepati piawaian.
            “Ohhhh, nama kamu pulak?” soal pakcik itu lagi.
            Sekali lagi ‘Sherry’ nampak terkejut. Buat apa pakcik ni tanya nama aku pulak ni? Bukan dia suka dekat Azfahan sorang aje ke?
            “Seri Mustika.” ‘Sherry’ baru tersedar yang dia telah tersasul. Alah biar ajelah. Pakcik ni sorang aje yang tahu nama sebenar aku. Azfahan bukan tahu pun!
            “Seri Mustika? Pelik, tapi cantik nama tu. Unik.” Sempat lagi pakcik aiskrim itu memuji nama ‘Seri Mustika’ sebelum dihulurkan ais krim roti yang sudah siap dengan toppingnya yang berwarna-warni.
            Dengan muka teruja sambil dia menjilat bibirnya, ‘Sherry’ pun menyambut dua ketul ais krim yang dihulurkan. Sedapnya... Rasa macam nak batalkan aje niat murni aku nak kasi salah satu ais krim roti ni dekat Azfahan. Bukankah lebih meriah kalau aku bedal kedua-duanya sekali?
            “Eh, tapi kenapa ada huruf ‘SA’ dengan ‘SM’ pulak kat atas ais krim ni? Bila masa pulak pakcik buat semua ni?” soalnya dengan dahi yang berkerut-kerut. Kepalanya sudah naik semula ke atas memandang tepat ke wajah lelaki tua yang cukup murah dengan senyuman itu.
            “Huruf ‘SA’ tu untuk nama boyfriend kamu tu lah. Pakcik pun dah lupa apa nama dia. Yang ada huruf ‘S dengan M’ tu pulak untuk kamu, Seri Mustika. Okaylah, lama sangat pakcik melayan kamu kat sini. Pakcik balik dulu ya. Nanti kalau kahwin, jangan lupa jemput pakcik pulak.”
            Amboi... Bukan main lagi pakcik ni bila sebut pasal kahwin. Siap tersengih sampai nampak gigi emas nan sebatang dia tu lagi. Kenapa? Ada niat nak pasang satu lagi ke? Harap-haraplah tidak ya, pakcik. Kesian makcik kat rumah tu!
            ‘Sherry’ pun berlalu selepas mengucapkan terima kasih pada pakcik itu. Nampak? Betul tak aku cakap yang aku ni cantik? Sampaikan pakcik tu pun ingat aku dengan Azfahan tu ada apa-apa hubungan. Kalau aku ni tak cantik, mesti pakcik tu pun takkan cuba nak padan-padankan aku dengan jin sekor yang dia kata handsome sangat tu.
            “Nah, makanlah,” pelawa ‘Sherry’ sekembalinya dia mendapatkan Azfahan. Macam tak ikhlas saja. Tapi tangannya tetap menyuakan ais krim roti yang terdapat huruf S dan juga A itu kepada lelaki itu..
            “Kenapa ada huruf ‘S’ dengan ‘A’ pulak kat atas ais krim ni?” Azfahan yang masih asyik memandang panorama di hadapannya menoleh, tetapi masih tidak menyambut ais krim yang dihulurkan ‘Sherry’.
            “Pakcik tu yang buat. Ambil aje lah. Orang dah belanja pun banyak tanya lagi!” ‘Sherry’ memanjangkan lagi tangannya sehingga hampir kena ke dada Azfahan. Malas dia mahu jawab soalan lelaki itu. Habis, takkan nak diamkan aje? Ah, diamkan aje lah. Nanti dia ingat aku ni ada hati kat dia pulak sampai siap letak-letak huruf pulak kat atas ais krim tu. Jadi, lebih baik dia tidak tahu huruf-huruf tu semua untuk apa.
            “Nah, ambillah cepat! Karang cair pulak.”
            “Tak nak. Bagitahu dulu huruf ‘S’ dengan ‘A’ tu untuk apa?” Azfahan langsung tidak hiraukan ais krim yang mula nak mencair itu sebaliknya dia dengan selamba mengalihkan semula pandangannya ke hadapan, ke arah pemandangan tasik dan gunung-ganang yang dapat dilihat dari atas pinggir bukit tersebut. Keras kepala betul lelaki sorang ni!
            ‘Sherry’ dah buat muka bengang. Sudahlah kaki dia sakit. Sekarang, ditambah pula dengan sakit tangan sebab nak paksa Azfahan ambil ais krim dekat tangan dia tu. Tak guna betullah manusia sorang ni. Tadi aku nak bakar dia hidup-hidup, dia tak kasi! Sekarang ni, menyusahkan aku pulak!
            Ah, bagi ajelah jawapan apa-apa pun. Asalkan dia puas hati. Settle!
            “Pandanglah sini. Aku nak bagitahu lah ni,” panggilnya dengan suara yang jelas sekali nada geramnya walaupun ketika ini dia sebenarnya sedang cuba bercakap dengan lembut.
            Azfahan pun menoleh sambil tersenyum meraikan kemenangannya.
            Eeeee... Menyampahnya aku tengok dia senyum macam tu. Nak tunjuk bagus konon. Sabar Sherry. Sabar... Tarik nafas! Tarik Nafas!
            ‘Sherry’ pun menarik nafasnya dalam-dalam dan cuba untuk bertenang.
            “... ‘S’ tu Shariedan. ‘A’ tu pulak Azfahan. Nama kau lah. Itu pun tak boleh nak fikir ke?”
            “Ais krim roti kau yang ada huruf ‘S’ dengan ‘M’ tu pulak, apa maksudnya?”
            Alamak, yang tu pun dia nak tahu jugak ke?
            ‘Sherry’ terdiam. Lama. Sehingga Azfahan menyergahnya beberapa kali dengan soalan yang sama, barulah dia bersedia untuk mereka-reka jawapan. Apa sajalah asalkan dia puas hati.
            “Entahlah. Menurut pakcik yang jual ais krim tu tadi, huruf ‘S’ dengan ‘M’ tu merujuk pada huruf yang ada pada pangkal nama bakal isteri kau. Aku pun terlupa nak tanya pakcik ais krim yang merangkap tukang tilik professional tu.”          
            ‘Sherry’ hampir nak tergelak dengan jawapannya sendiri. Biarlah lelaki ini diperbodoh-bodohkannya. Azfahan tidak perlu tahu siapakah ‘bakal isteri’ yang dimaksudkannya tadi. Jadi, biarlah huruf ‘S’ dan ‘M’ yang membawa kepada nama seseorang itu terus menjadi misteri dan tanda tanya.   
            Biar aku sorang aje yang tahu, huruf ‘S’ dan ‘M’ itu membawa kepada nama aku sendiri, iaitu Seri Mustika. Ya, aku sebenarnya dah lama sukakan dia. Aku sendiri tak sedar bila perasaan tu datang. Kalau aku bagitahu dia pun, tentu dia tak tahu siapalah gerangan Seri Mustika yang aku maksudkan memandangkan dia sendiri hanya kenal aku dengan nama Seri Embun dan ‘Sherry’ saja. Padahal, Seri Embun tu bukan nama aku. Nama Sherry tu pulak cuma nama glamour aku aje. Itu pun, dia sendiri yang rekakan nama tu untuk aku. Nama aku yang sebenarnya adalah Seri Mustika!
            “Makanlah ais krim ni. Lepas tu bolehlah kita balik,” tegurnya apabila dia lihat Azfahan seperti sudah tidak berminat untuk berdebat tentang huruf ‘S’ dan ‘M’ yang terdapat pada ais krim roti yang berada di tangannya yang lagi satu itu.
            “Tak nak lah. Aku tak makan ais krim murah,” jawab Azfahan dengan selamba habis. Dia kembali memandang panorama di hadapan tanpa mempedulikan jawapan kasar yang keluar dari mulutnya sebentar tadi.
            Melihat Azfahan duduk di atas tanah, ‘Sherry’ pun ikut sama. Apatah lagi kakinya yang semakin terasa sakit itu rasa macam dah tak mampu untuk terus berdiri.
            “Ambillah ais krim roti ni. Makanlah... Tak baik tau membazir. Aku beli khas untuk kau sebab tu aku suruh pakcik ais krim tadi tu tulis nama kau dekat atas ais krim ni. Lagipun membazir tu kan perbuatan syaitan. Takkan nak dibuang aje ais krim roti ni. Dahlah kat atas ais krim ni ada tertulis nama kau. Nanti kalau setan nampak, mesti dia akan cari kau sampai dapat. Hah, aku tak tahu. Time tu, aku betul-betul tak boleh nak tolong. Gasaklah kau..” ‘Sherry’ nampak serius sekali sewaktu dia berusaha untuk menakut-nakutkan Azfahan dengan cerita seramnya yang langsung tak masuk akal itu. Siap terjegil-jegil biji matanya. Macamlah Azfahan itu budak-budak kecil lagi yang akan takut kalau dimomok-momokkan dengan cerita-cerita macam tu.
            Sebijik macam gaya makcik-makcik dekat kampung yang biasanya akan mengugut anak-anak kecil mereka supaya makan nasi sampai habis. Kalau tak habis, nasi tu akan menangis. Kononnya...
            Azfahan menoleh. ‘Sherry’ lihat, lelaki itu sedang menahan senyum dengan lawak bodohnya.
            “Kenapa kau tak suruh pakcik ais krim tu tulis alamat rumah aku sekali kat atas ais krim roti tu? Lagi senang setan tu nak cari aku nanti,” jawab Azfahan secara menyindir tetapi ‘Sherry’ langsung tidak terasa hati sebaliknya dia terus bantai gelak semahu-mahunya di hadapan lelaki itu. Sampai tertunduk-tunduk kepalanya. Tak tahu nak cover cun betullah perempuan sorang ni!
            “Bak sini ais krim tu aku nak makan.” Tiba-tiba Azfahan dapat idea untuk mengumpan ‘Sherry’. Ada udang di sebalik batu rupanya. Sebab itu lah agaknya dia sanggup makan ais krim murah yang baru sekejap tadi dihinanya itu.
            ‘Sherry’ yang bodoh-bodoh alang itu pula nampak gembira sungguh dengan permintaan Azfahan yang secara tiba-tiba itu. Tak pandai langsung dia nak berburuk sangka.
             “Tapi sebagai syarat memandangkan aku sudi makan ais krim murah kau ni, kau kena temankan aku tengok matahari terbenam. Tu... dekat tasik sana tu.” Seperti memaksa saja arahan itu dikeluarkan.
            ‘Sherry’ yang mendengarnya mengerutkan dahinya. Pelik. Dan dia sedang berasa cuak juga sekarang ini.
            Okay, pertama sekali, dia pelik kerana syarat yang diberikan oleh lelaki itu. Iyalah sampai bersyarat-syarat semata-mata nak ajak aku tengok matahari terbenam. Dia ni memang suka sangat dengan matahari ke?
            Dan pada masa yang sama, dia berasa cuak pula kerana dia memang tak suka tengok matahari. Lagi-lagi matahari sedang terbenam yang nampak jelas sekali percikan api cahayanya. Dari kecil lagi dia semacam fobia dengan semua itu. Tak suka, tak suka!
            “Alangkah bestnya kalau aku dapat berdiri sambil peluk pinggang girlfriend aku dekat atas ni sambil tengok matahari yang tengah nak terbenam. Mesti pengalaman tu akan jadi pengalaman yang paling indah dalam hidup aku kan?” ujar Azfahan tiba-tiba dengan suara yang penuh romantis, seakan-akan kata-kata itu memang diniatkan untuk ditujukan pada ‘Sherry’. Bukan pada kekasihnya, Sazzy. Tapi ketika ini, dia sedang memandang ke arah pemandangan menakjubkan yang berada di hadapan mereka, tidak lagi pada wajah ‘Sherry’.
            Bibirnya galak mengukir senyuman, siap terpejam matanya membayangkan impiannya yang satu itu. ‘Sherry’ pula sudah tercengang. Aku ni punyalah takut dengan matahari, boleh lagi dia cakap macam tu?
            “Kau tak rasa seronok ke kalau dapat buat macam tu dengan boyfriend kau?” soal Azfahan tiba-tiba. Dia kelihatan berminat sekali membincangkan tentang perkara itu. Namun, terus jadi hampa bila dia lihat ‘Sherry’ menggelengkan kepalanya.
            “Dari kecil lagi aku takut nak tengok matahari...”
            Walaupun pelik, Azfahan mengangguk juga. Sekarang barulah dia tahu kenapa sedari tadi ‘Sherry’ hanya memandang ke arahnya. Langsung tidak memandang ke hadapan, ke arah matahari yang sedang ingin terbenam di sebalik gunung tegap nun jauh di hujung sana.
            Dia nampak pandangan ‘Sherry’ seperti sedang mengelamun, merenung tanah yang hanya terdapat batus-batu keras dan kecil.
            “Pernah sekali tu waktu aku pandang matahari, aku terus terfikir. Betapa hebatnya matahari kerana mampu menerangi seluruh alam di dunia ini. Dari jauh pun kita sudah terasa panas. Apatah lagi kalau matahari tu betul-betul terpacak kat atas kepala kita. Dan setiap kali aku pandang matahari, aku akan terus terfikir bagaimana pulalah agaknya keadaan api neraka kalau matahari yang aku pandang dari jarak yang terlalu jauh pun, aku terpaksa kecilkan mata aku sebab tak tahan dengan cahayanya yang panas dan terik.
            “Nampak macam kolot aje kan pemikiran aku. Tapi itulah hakikatnya. Aku memang takut nak pandang matahari sebab setiap kali aku pandang, aku terus teringatkan dosa-dosa aku, aku akan terus terfikirkan gambaran tentang api neraka,” luahnya lagi. Kali ini, dia memang sudah tidak fikirkan tanggapan Azfahan terhadapnya. Biarlah dia dianggap gadis kampung yang berfikiran kolot sebagaimana yang selalu keluar dari mulut lelaki itu. Dia sudah tidak kisah.
            “Jomlah kita balik.” Tiba-tiba itu pula yang keluar dari mulut Azfahan. Pelik ‘Sherry’ jadinya. Kenapa tiba-tiba nak balik? Tadi bukan ke dia nampak seronok sangat sebab dapat tengok matahari terbenam? Dia marah ke aku cakap macam tu?
            Bongoklah kau ni, ‘Sherry’. Mestilah dia sentap bila kau cakap macam tu. Dia punyalah beriya-iya nak peluk awek dia kat atas bukit ni sambil menghadap matahari, kau pulak waktu-waktu ni jugak nak bagi ceramah pasal agama, pasal dosa pahala, pasal api neraka. Mana dia tak sentap kalau dah macam tu!
            Seperti ada satu suara yang menyergah di telinganya, terus membuatkan dia berasa serba-salah. Dia lihat Azfahan sudah pun berdiri dan memusingkan tubuhnya. Malah, sudah beberapa langkah pun lelaki itu berjalan meninggalkannya.
            Dengan tergesa-gesa, ‘Sherry’ pun bangun dengan niat ingin mengejar sekaligus memujuk lelaki itu. Namun apabila dia cuba melangkah, kakinya terasa kejang. Terasa sakit yang teramat sangat. Sakit yang menyucuk-nyucuk sehingga ke seluruh urat sendi dan menyengat sehingga ke dalam sedalam-dalamnya tulang kaki. Dia cuba lagi. Malangnya, gagal. Dia hanya mampu mendengus kesakitan di situ dan dengan suara yang tertahan di kerongkong, dia cuba memanggil Azfahan yang sudah semakin ke depan.
            Semakin lama, tubuhnya semakin layu membongkok ke bawah. Ketika itu, dia perasan ada tangan yang sedang memaut kedua-dua belah bahunya. Namun, seperti tidak sudi saja tangan itu membantunya.
            “Kau okay tak ni?” Dan dia dapat dengar suara itu bertanya seperti tidak berperasaan saja. Mendatar dan langsung tidak kedengaran seperti sedang cemas.
            Mahu sahaja dia mengangguk. Tapi untuk apa membohongi dirinya sendiri. Bukannya kakinya larat pun nak berjalan pulang semula ke vila yang jauhnya lebih kurang satu kilometer dari sini.
            “Kaki aku sakit. Aku langsung tak boleh nak jalan ni. Nak gerakkan sikit pun sakit. Sakit sangat...” Akhirnya, dia terpaksa juga mengadu tentang keadaan kakinya itu.
            “Habis tu, macam mana ni?” soal Azfahan seperti orang bodoh.
            ‘Sherry’ sempat lihat riak pada wajah tampan itu. Dia dapat rasakan Azfahan masih berkecil hati dengan apa yang berlaku tadi. Mahu saja dia meminta maaf pada lelaki itu sekarang juga atas kesilapannya tadi. Tapi, kakinya terlalu sakit. Apa pun, dia memang tak ada niat langsung mahu menyindir lelaki itu dengan membuka cerita tentang rasa fobianya dia pada matahari.
            “Boleh tak kau balik ambil kereta kau bawa sini. Aku tak larat nak jalan ni. Sakit...” luahnya beriya-iya. Memang dia mahu membeli rasa simpati daripada lelaki itu pun memandangkan dia benar-benar memerlukan pertolongan Azfahan ketika ini. Lagipun dia tahu betapa susahnya nak membeli hati lelaki ini, jadi apa salahnya dia merayu.
            “Habis tu, takkanlah aku nak tinggalkan kau sorang-sorang kat sini?”
            “Takpe. Aku boleh. Cepatlah. Aku tunggu...” Itu sahaja yang dijawab oleh ‘Sherry’. Dia kelihatan semakin tidak tenteram menanggung sakit. Kakinya berdenyut lain macam. Tak tahulah apa puncanya. Mungkin juga kerana tadi dia berjogging dengan kasut tumit tinggi yang tak berapa nak tinggi itu agaknya. Itulah, suka sangat buat kerja gila. Nasihat Azfahan tadi tak nak dengar langsung!
            “Mana boleh. Bahayalah! Lima minit lagi dah nak masuk pukul tujuh. Takkan aku nak tinggalkan kau kat sini sorang-sorang. Mana tahu ada orang jahat ke. Kawasan ni dah lah sunyi. Silap-silap harimau pun ada.”
            Bukannya ingin menakut-nakutkan. Walaupun kawasan ini jangankan kata binatang-binatang buas, rasa-rasanya monyet pun susah nak jumpa. Hutan ini betul-betul terjaga. Cuma risau juga kalau-kalau ada manusia yang berniat jahat. Kawasan sunyi nak pulak kawasan hutan macam ni, lagi memudahkan manusia yang berniat jahat untuk melunaskan rancangan mereka meskipun kawasan vila ini dikawal secara ketat dan rapi.
            ‘Sherry’ terdiam, seperti sedang memikirkan satu keputusan. Memang ada benarnya apa yang dikatakan oleh Azfahan itu.
            “Habis tu, macam mana? Dengan telefon tak bawa, bukannya boleh nak call sesiapa nak minta tolong.”
            ‘Sherry’ sudah cuak memikirkannya. Sewaktu mereka hendak keluar jogging tadi, baik dia mahupun Azfahan, masing-masing tak bawa telefon bimbit. Iyalah, buat berat poket seluar aje nak berlari.
            Habis macam mana sekarang ni? Janganlah dia tinggalkan aku sorang-sorang kat sini. Ya ALLAH, apalah malangnya nasib aku ditakdirkan untuk menghadapi ujian sebegini dengan manusia yang tak berperasaan macam mamat ni. Dah sah-sah dia ni jenis pentingkan diri sendiri. Matilah aku...
            “Nak buat macam mana lagi. Terpaksalah aku dukung kau.”
            “Hah?” Hampir nak menggigil tubuh ‘Sherry’ mendengarnya. Dah gila agaknya dia ni!
            “Tak payahlah kau pura-pura buat muka terkejut pulak. Padahal dalam hati kau tu bukan main seronok lagi bila dapat tahu ada seorang lelaki handsome yang begitu mulia sekali hatinya sampaikan sanggup mengenepikan rasa jijiknya kerana terpaksa mendukung badan kau yang langsung tak menggiurkan tu,” hina Azfahan selamba.
            Kali ini, ‘Sherry’ terlopong dengan kadar keluasan mulut yang lebih luas lagi. Matanya terjegil ingin memarahi kebiadaban kata-kata yang keluar daripada mulut Azfahan. Tapi belum apa-apa, tubuh kecilnya itu sudah melayang ke atas dengan sekali rentapan.
            Dia kini sudah pun berada di dalam kendongan lelaki itu. Kemas sekali lipatan antara paha dan betisnya dicempung oleh tangan sasa itu sementara tangan kiri Azfahan pula menampung dan memaut erat bahagian bahunya.
             Tanpa berkata apa-apa, Azfahan terus melangkah dan memandang sahaja ke hadapan tanpa menghiraukan apa saja yang berada di fikiran ‘Sherry’ atau apa saja yang mengundang rasa tidak puas hati di dalam hati ‘Sherry’. Tidak berperasaan saja mukanya. Nak kata marah, nampak macam serius dan tenang saja raut wajahnya. Nak kata okay, tak nampak macam okay pun. Diam aje dia tak bercakap walau sepatah.
            ‘Dia marah lagi ke kat aku ni? Tapi, memang tak patut aku pergi bukak cerita pasal matahari tu walaupun aku memang tak ada sebarang niat nak sindir dia. Habis tu macam mana? Macam mana aku nak pujuk dia?’
            ‘Ajaklah dia sambung tengok matahari, dia kan suka tengok matahari terbenam. Apalagi, ajaklah,’ balas suara hatinya.
            ‘Tapi aku takut nak tengok matahari...’ Dia seperti berputus-asa.
            ‘Alah tengok aje lah. Kali ni aje. Tak payah fikirkan sangat perasaan takut kau tu. Berkorbanlah sikit. Sanggup ke kau tengok dia bermasam muka dengan kau macam ni?’ desak suara hatinya lagi.
            ‘Tak, tak. Aku tak sanggup. Aku tak suka tengok dia sedih. Aku lagi suka tengok dia garang dan marah-marah aku macam biasa.’
            ‘Jadi, apa kau tunggu lagi. Pergilah pujuk dia. Ajak dia tengok pemandangan matahari terbenam. Sekejap pun jadilah.’
            ‘Eeeee...Susah betullah kalau dengan manusia yang tak berperasaan ni. Aku sendiri tak tahu dia marah ke, merajuk ke, atau tak kisah dengan apa yang berlaku tadi. Tengok muka dia macam okay aje. Tapi kalau okay, kenapa diam macam tu? Perlu ke aku pujuk dia dan ajak dia tengok matahari yang dah nak terbenam tu?’
            Alah ajak aje lah. Sekejap pun jadilah.
            ‘Satu...’ ‘Sherry’ mula mengira-ngira di dalam hati.
            ‘Dua...’
            ‘Tiga...’
            “Eh, berhenti kejap. Tengoklah matahari kat belakang tu. Wah, cantiknya...” jerit ‘Sherry’ tiba-tiba dengan suara yang teramatlah teruja. Walhal, cuma kepalanya sahaja yang ditoleh ke belakang, tetapi matanya masih terpejam menandakan dia langsung tidak bersedia untuk melihat pemandangan matahari terbenam nun jauh di belakang mereka.  
            Cuma dia perasan yang Azfahan dengan tiba-tiba sahaja mematikan langkahnya. Serentak itu, jantungnya mula berdegup cemas. Sebenarnya, dia gelisah memikirkan kalau-kalau apabila Azfahan menoleh nanti, pemandangan yang didakwanya sebagai cantik itu hakikatnya tidaklah seindah mana. Tentu lelaki itu kecewa. Lebih kecewa lagi kalau matahari yang tadinya sudah hampir nak terbenam, sudah pun terbenam dan lenyap bersemadi di belakang gunung tegap nun jauh di belakang sana itu. Tentu makin panjang rajuk Azfahan. Silap-silap dirinya akan dibenci atas apa yang berlaku.
            Semakin berdebar dada ‘Sherry’ apabila dia yang masih didukung itu dapat merasakan tubuh Azfahan berpusing perlahan-lahan untuk menoleh ke belakang. Ya ALLAH, agaknya apalah reaksi lelaki ini nanti? Marahkah dia kalau apa yang dia lihat nanti tu tidak seperti yang dia harapkan?
            Tak sanggup rasanya untuk mendengar walau sepatah perkataan yang keluar dari mulut lelaki itu. Namun, setelah agak lama Azfahan memusingkan tubuhnya, dia masih tidak mendengar apa-apa. Debaran di dadanya pun sudah tinggal sedikit memandangkan terlalu lama dia menanti untuk mendapat respon daripada lelaki itu. Namun, Azfahan masih diam. Apakah dia sedang diam memendam rasa kecewa dan hampa?
            Gusar memikirkan semua itu, perlahan-lahan ‘Sherry’ memaksa dirinya untuk membuka sahaja mata yang dipejam rapat sedari tadi. Dia bagaikan sudah dapat mengagak bagaimana reaksi dan riak yang terlukis pada wajah tampan itu. Tentunya sekarang ini Azfahan sedang menanggung rasa meluat dan boleh jadi rasa benci terhadap dirinya kerana telah mempermain-mainkan dirinya. Mendengarkan sahaja suaranya yang teruja tadi pun seolah-olah pemandangan di hadapan sana itu digambarkan terlalu hebat sedangkan hakikatnya tidak. ‘Dan tentu-tentulah dia akan berasa semakin menyampah dengan aku! Aku yang tak pernah serius. Dan aku yang banyak main-main!’
            ‘Sherry’ mengeluh. Perasaan takut untuk menghadap dan menatap matahari sudah lama terpinggir tanpa dia sedari. Cuma sekarang dia hanya takutkan penerimaan Azfahan.
            Agak lama juga masa yang dia perlukan untuk membuka matanya. Mulanya dia hanya membuka separuh sahaja, namun bagai ada perasaan takjub yang membuatkan dia untuk terus membuka matanya itu dengan lebih luas lagi.
            ‘Subhanallah....’ Dengan mata yang bulat dan bersinar-sinar, kalimah itu hampir berbisik ketika meniti di bibirnya.
            Itulah kalimah pertama yang terbit dari bibirnya yang sudah bergetar-getar itu sebaik matanya menyaksikan betapa indahnya panorama di hadapan mereka ketika ini.
            Sejujurnya, inilah pemandangan yang paling indah pernah dia saksikan sepanjang hayatnya. Sehinggakan perasaan takut dan fobianya selama ini hilang dan lenyap begitu sahaja hanya dalam sekelip mata. Dia sendiri tidak sangka sehingga begitu pula jadinya. Cuma ketika ini, apa yang dapat dia rasakan, dia begitu kagum dan takjub sekali menatap pemandangan di hadapan mereka. Pemandangan matahari yang hampir tenggelam di sebalik gunung, dan matahari itu kelihatan seolah-olah mencair dan tenggelam sama ke dalam tasik. Tasik yang tenang dan begitu jernih sekali permukaannya sehinggakan perahu yang terdapat di atas permukaan air pun kelihatan seperti terapung-apung di udara dek kerana airnya yang terlalu jernih. Indahnya, tak terucap dengan kata-kata, tak tergambar walau dengan lukisan yang paling cantik di dunia.
            Paling dia teruja, bila melihat pada sinaran matahari yang sedang menyerakkan cahayanya. Lalu terciptalah satu jalur cahaya lurus dan memanjang di tengah-tengah permukaan tasik yang apabila dilihat dari atas, kelihatan seolah-olah seperti satu jambatan emas yang sedang merentang dengan megahnya. Seolah-olah sesiapa sahaja boleh berdiri di atas jambatan tersebut dan jambatan itu akan membawa mereka naik sehingga ke atas puncak gunung. Begitu sekali keindahan pemandangan di hadapan itu mempengaruhi imaginasi ‘Sherry’ yang masih membuak-buak perasaan kagumnya.
            “Dari kecil lagi aku tinggal dekat vila ni. Boleh dikatakan tiap-tiap hari lepas balik sekolah aku akan terus datang ke sini. Dan sekarang, walaupun dah bertahun aku tinggal dekat Kuala Lumpur, bila sesekali aku pulang ke sini, aku tetap akan datang ke sini tiap kali aku rasa nak datang. Walaupun aku sendiri dah tak terkira berapa kali aku datang ke sini, apa yang boleh aku katakan, pemandangan kali ini adalah yang paling indah, dan yang paling cantik pernah aku lihat berbanding sebelum-sebelum ini,” luah Azfahan tiba-tiba dengan mata yang layu menahan nikmat apabila wajahnya disapu lembut dek pukulan angin.
            Seperti ‘Sherry’ yang masih kemas di dalam dukungannya, dia juga sedang menikmati keajaiban yang sama iaitu satu perasaan yang amat indah, yang tidak terluah dengan kata-kata sewaktu detik pertama dia menyaksikan keindahan panorama di hadapannya ketika ini.
            Cahaya matahari yang sudah bertukar luar biasa cahaya kekuningannya itu menambah serikan lagi keindahan pemandangan di hadapan matanya. Dan dia tersenyum tanpa sedar bila dia lihat ‘Sherry’ juga kelihatan teruja menikmati pemandangan di hadapan mereka walau dengan kaki yang sakit.
            Namun, bagai terlupa seketika tentang kesakitan itu. Dalam diam, dia ikhlas mengagumi ‘Sherry’ yang sudi untuk berkongsi dengannya detik-detik indah menikmati keindahan suasana dan pemandangan matahari terbenam meskipun dia sudah maklum tentang rasa fobia gadis itu. Tidak seperti Sazzy yang sentiasa menolak dan langsung tidak mahu mencuba setiap kali diajak.
            “I tak suka lah berdiri macam tunggul, macam orang bodoh semata-mata nak tunggu matahari tu terbenam. You tak fikir ke semua tu kerja bodoh? Buat apa nak tunggu semata-mata nak tengok semua tu? Nak tunggu aje dah habis masa entah berapa jam. Panaslah... I tak suka. Sebagai model, I wajib jaga kulit I ni daripada dibiarkan terdedah terlalu lama di bawah cahaya matahari. You pun tahu kan kulit I ni sensitif. Kalau you nak tengok jugak, you pergilah sorang-sorang. Tak pun search aje dekat YouTube. Senang cerita. Tak payah nak kena tunggu lama-lama, terus aje tengok kat situ!”
            Itu yang dibalas Sazzy sewaktu dia berkali-kali berusaha memujuk kekasihnya itu untuk menemaninya. Agaknya dah bosan apabila sudah terlalu kerap diajak, Sazzy mula meleterinya. Ketika itu dia dan Sazzy baru selesai menjalankan rawatan di spa. Di dalam kereta, dia hanya mendiamkan diri. Entah kenapa, dia berasa sangat hampa dan kecewa hanya disebabkan perkara sekecil itu. Mungkin kecil bagi orang lain, tapi tidak bagi dia yang menganggap pemandangan matahari terbenam itu sebagai salah satu daripada impiannya yang bercita-cita untuk menikmati keindahan itu bersama teman hidupnya nanti dan dia juga sebenarnya pernah memikirkan untuk melamar kekasihnya di situ. Ya, di sini. Di atas pinggir bukit ini. Tapi nampak macam tak ada harapan. Sazzy bukannya mahu.
            “Eeee... Comotnya mulut kau. Makan ais krim mengalahkan budak-budak! Hilang terus macho kau yang kau bangga-banggakan sangat tu. Ni kalau Sazzy nampak ni, aku yakin sekarang jugak dia minta putus.”
            Azfahan yang sedang berkhayal terpinga-pinga bila telinganya terdengar suara yang riuh itu. Sedar-sedar sahaja, dia lihat ‘Sherry’ sudah ketawa beriya-iya seperti selalu.
            Memandangkan dia tidak begitu jelas dengan apa yang didengarinya tadi, dia memandang semula ke hadapan, ke arah matahari yang sudah pudar percikan cahayanya memandangkan senja pun sudah hampir berlabuh mengundurkan diri bagi memberi ruang pada malam untuk bertahta menakluk langit tinggi.
            Kelekaan Azfahan yang masih asyik dan sentiasa teruja menatap keindahan alam itu digunakan ‘Sherry’ untuk menatap sepuas-puasnya wajah tampan itu meskipun dari arah bawah. Kesan comot yang masih belum dikesat itu terus saja mengingatkan dia tentang sesuatu. Sesuatu yang sebenarnya hanyalah gurauan, tetapi boleh juga menjadi satu impian dalam hidupnya.
            “Kalau boleh, aku nak lelaki yang handsome, yang kaya, yang kerja kat dalam tempat sejuk yang ada air-cond dan yang duduk dekat atas kerusi office yang boleh pusing-pusing tu. Tapi aku tak suka kalau lelaki tu ada driver, aku nak dia drive kereta mewah dia sendiri. Barulah nampak macho.”
            Ni mesti banyak terpengaruh dengan drama-drama Samarinda dekat TV3 tu, fikir ‘Sherry’ ketika itu. Entah bagaimana topik itu boleh pula dibincangkan, dia pun dah lupa.           Ketika itu, dia tersenyum sahaja sewaktu mendengar impian Rosalinda, kawan sekampungnya. Atau lebih tepat lagi, kawan ‘sekejap baik sekejap gaduh’. Tapi rasanya masa bergaduh lagi banyak daripada masa berbaik kot sebab Rosalinda ni memang selalu sangat cemburu dengannya.
            Dia masih ingat lagi jawapan yang dia berikan sewaktu Rosalinda memaksanya pula untuk memberitahu tentang lelaki idamannya.
            “Aku suka lelaki yang suka makan ais krim roti.” Dan dia juga masih ingat lagi bagaimana reaksi Rosalinda sewaktu dia mengeluarkan kenyataan itu. Hampir terpelanting jugalah bunga yang terselit di tepi telinga Rosalinda dek kerana terlalu terkejut. Bunga apa ya? Lupa lah... Tapi hari tu rasanya hari Sabtu. Jadi, rasanya bunga orkidlah kalau hari Sabtu.
            Jangan pelik ya! Rosalinda memang macam tu. Dia memang ada susun jadual yang akan mengingatkan dia untuk menyelit jenis bunga di tepi telinganya. Kalau hari Sabtu telinganya terselit dengan bunga orkid, esoknya mesti akan ditukar dengan bunga lain pula. Pernah satu hari tu, pokok orkid kepunyaan nenek Rosalinda susah sangat nak keluarkan bunga. Mungkin sebab belum masuk musim agaknya. Dah jadi satu hal pula bila Rosalinda tetap merengek mahukan bunga orkid untuk diselitkan di tepi telinganya memandangkan hari itu hari Sabtu. Jadi waktu itu, terpaksalah dia menemani Rosalinda untuk membeli bunga orkid di kedai bunga. Bukannya dekat jarak pekan kalau dari ceruk kampungnya yang terletak jauh dari kepesatan bandar itu. Agaknya kalau bunga Rafflesia pun tersenarai sekali dalam jadual si Rosalinda ni, sanggup ke dia merantau sampai ke Sabah untuk petik bunga gergasi tu untuk diselitkan dekat tepi telinga dia?
            Itulah Rosalinda... Maka tidak hairanlah kalau orang kampung menggelarnya Rosalinda, kononnya nak samakan dengan Rosalinda yang dulu pernah hit dekat dalam TV3 tu lah padahal nama sebenar Rosalinda kawan sekampungnya itu tidaklah seindah mana. Tapi Rosalinda kat dalam TV tu tak ada lah sampai susun jadual walaupun dia minat dan obses pada bunga.
            “Mana nak cari lelaki yang suka makan ais krim. Kalau ada pun, mesti lelaki tu terencat!”
            Bila diingat balik, rasa sakit hati pun ada juga dengan kata-kata Rosalinda itu dulu. Biadap sungguh!
            “Nak buat macam mana. Dah aku suka. Dah lelaki macam tu yang jadi idaman aku.”
            Ketika itu, dia sudah tak ada mood untuk membincangkan tentang hal itu.
            “Tapi kenapa?”
            Malangnya, Rosalinda berbadan besar yang sepatutnya selitkan bunga Rafflesia dekat celah telinganya yang tebal itu masih lagi mahu mendesaknya supaya terus bercerita.
            “Supaya bila aku ada anak-anak kecil nanti, suami aku dapat temankan aku dengan anak-anak aku makan ais krim sama-sama. Mesti sweet kan pengalaman tu?”
            Seperti yang dijangka, Rosalinda mengambil peluang itu untuk memperlekeh dan mentertawakannya. ‘Sherry’ pula di dalam hati berharap sangat agar ada lebah yang hinggap dekat telinga Rosalinda yang penuh dengan bunga itu supaya disengat sekali telinga tebalnya itu.
            “Tak sweet langsung. Tapi aku tetap nak tahu. Kenapa mesti ais krim roti?”
            “Oh, ais krim roti tu bila aku dengan suami aku aje. Bila dengan anak-anak, ais krim biasa aje. Tapi suami aku kena makan comot-comot macam anak-anak aku jugak.”
            “Kenapa macam tu pulak?”
            “Mana boleh bagitahu kau. Rahsia! Aku dengan bakal suami aku aje yang akan tahu.”
            Rosalinda mencebik sambil buat muka meluat sebelum dia sambung semula ketawanya tadi. Ketika itu, ‘Sherry’ hanya mengerutkan dahinya melihat reaksi Rosalinda.
            Kenapa mesti begitu sekali dirinya diketawakan? Bukankah perkahwinan itu sesuatu yang indah dan manis. Dan kalau diibaratkan, mungkin juga manisnya semanis ais krim. Dia masih belum berkahwin dan dia masih serba tidak tahu tentang alam yang bernama perkahwinan. Cuma setiap kali dia memikirkannya, dia akan menganggap perkahwinan itu sesuatu yang manis seperti manisnya ais krim yang dinikmati pada musim panas. Itu sahaja lah jawapan yang dia ada memandangkan dia pun masih terlalu muda untuk membincangkan tentang perkahwinan. Takkanlah nak bagi jawapan yang tak senonoh. Buat malu agama dan keluarga saja!
            “Jomlah balik. Dah nak maghrib dah ni.”
            Giliran ‘Sherry’ pula yang tersentak dari khayalannya.
            Astaghfirullah... Dek kerana terlalu takjub dengan keindahan di hadapan mereka ketika ini, dia sampai boleh jadi sebegitu leka. Siap sempat berkhayal lagi. Sudahlah sekarang ini dia berada dalam keadaan yang tidak sepatutnya. Keadaan tubuhnya yang masih diangkat kemas oleh lelaki yang bukan mahramnya.
            ‘Ya ALLAH... Ampunkan aku, ya ALLAH... Ampunkanlah hambaMU ini. Sepatutnya aku sentiasa berjaga-jaga dan sentiasa berusaha menjaga maruah diri ini. Sedangkan KAU sendiri dengan penuh limpah kasihMU melindungi aku dengan sebaik-baiknya, dan Engkau juga telah meninggikan darjatku sebagai hamba yang Engkau hidupkan di muka bumi ini. Jadi sepatutnya aku tidak terus leka dengan membiarkan maruah diri ini tidak diawasi... Dan sepatutnya matahari itu mengingatkan aku tentang azab seksaanMU. Tapi sayangnya, aku alpa dan leka. Ampunkan aku, ya ALLAH...’
            Hampir sahaja ‘Sherry’ teresak menangis di situ. Namun ditahannya supaya tidak mengundang salah sangka daripada mana-mana sekiranya mereka bertembung dengan sesiapa di jalan yang sunyi ini.
            Kira-kira lebih kurang lima belas minit selepas itu, mereka pun sampai semula ke vila. Serentak itu juga azan maghrib kedengaran. Maka, makin bersalahlah ‘Sherry’ jadinya.
            “Terima kasih sebab temankan aku tengok matahari terbenam.”
            Ucapan terima kasih daripada Azfahan sebaik sahaja dia menurunkan ‘Sherry’. Itu pun atas permintaan ‘Sherry’ sendiri. Kalau ikutkan Azfahan, sebenarnya dia mahu mengangkat tubuh ‘Sherry’ sehingga ke dalam biliknya memandangkan kaki ‘Sherry’ yang masih sakit dan masih sukar untuk digerakkan. Tapi nanti, apa pula kata orang lain dekat dalam vila ni. Cukuplah dengan apa yang berlaku tadi. Walaupun dia terpaksa meminta bantuan lelaki itu memandangkan kakinya yang sakit, namun dia tetap berasa bersalah.
            Senyuman tawar diukir penuh paksa bagi membalas ucapan terima kasih daripada Azfahan tadi. Sangkanya lelaki itu menyindirnya, namun setelah dia berpeluang menatap wajah tampan itu, barulah dia tahu yang lelaki itu sebenarnya serius dan benar-benar ikhlas memaksudkan apa yang diucapkannya tadi.
            Pandai juga manusia sorang ni menghargai usaha orang lain rupanya. Selama ni bermacam bantuan kecemasan yang aku bagi dekat dia termasuklah rawatan untuk mata dia yang lebam tu. Tapi nak dengar dia cakap terima kasih kat aku, bukan main payah. Nampak sangat yang dia terlalu seronok sebab dapat tengok pemandangan matahari terbenam sampai sanggup bazirkan air liur dia tu semata-mata nak ucapkan terima kasih dekat aku.
            Sebenarnya ‘Sherry’ ingin mencebik saja, sebagai membalas ucapan ‘terima kasih’ daripada Azfahan tadi. Tapi macam tak beradablah pula. Jadi, dia memilih untuk menyokong kerajaan yang menyeru masyarakat Malaysia mengamalkan konsep ‘Budi Bahasa Budaya Kita.’
            Dengan teragak-agak, dia pun merancang untuk meluahkan ucapan yang sama. Lantas, kepalanya ditundukkan sedikit.
            “Urmmmm.... Urrrr... Terima kasih. Terima kasih juga sebab tolong...” Namun, lidahnya terasa kelu pula untuk melengkapkan ayat itu.
            Kononnya dia pun nak berbudi bahasalah jugak. Tapi bila dah tersebut di mulut, rasa tak sanggup pula nak sebut sampai habis. Tiba-tiba rasa malu bila ingat semula bagaimana kemasnya tubuhnya dipeluk oleh lelaki itu. Masih terasa lagi panasnya tangan sasa itu pada tubuhnya. Bulu romanya yang tegak tinggi itu pun masih belum menunjukkan tanda-tanda nak layu.
            Niatnya ingin cepat-cepat beredar dari situ. Namun sebaik terpandangkan semula muka Azfahan, niat itu tertangguh. Baru dia perasan yang kesan comot ais krim pada bawah mulut lelaki itu masih tidak dikesat. Walaupun kesan tersebut sudah kering, tetapi masih dapat dilihat dengan jelas.
            “Aku suka lelaki yang suka makan ais krim roti.”
            Sekali lagi dia teringatkan perbualannya dengan Rosalinda yang berlaku beberapa hari sebelum dia ‘berhijrah’ ke Kuala Lumpur.
            “Supaya bila aku ada anak-anak kecil nanti, suami aku dapat temankan aku dengan anak-anak aku makan ais krim roti sama-sama. Mesti sweet kan pengalaman tu? Tapi, ais krim roti tu bila aku dengan suami aku aje. Bila dengan anak-anak, ais krim biasa aje. Tapi suami aku kena jugak makan comot-comot macam anak-anak aku jugak.”
            Ketika ini, ‘Sherry’ tak tahu sama ada dia perlu tersenyum atau sekadar berlagak selamba. Cuma dia tertanya, kalau bukan Azfahan lelaki yang melengkapi ciri-ciri lelaki idamannya iaitu lelaki yang makan ais krim roti sehingga comot, akan adakah lelaki lain lagi selepas ini yang akan makan ais krim roti secomot lelaki yang seorang ini?
            Kalau ada, siapakah jejaka itu? Atau memang Azfahan ‘Lelaki Ais Krim Roti’ yang menjadi idaman kalbunya, yang dinanti-nantikannya selama ini?
            Kali ini, ‘Sherry’ terasa semacam nak tergelak pula. Dia tidak rasa yang dia serius dengan topik yang dibincangkannya dengan Rosalinda tidak lama dulu. Kalaulah dia ditakdirkan berkahwin dengan mana-mana lelaki yang suka makan ais krim roti sekalipun, dia kira itu sebagai satu bonus. Yang penting, lelaki itu semestinya bukanlah lelaki yang sedang berdiri di hadapannya ini.

           
           
             
            SELEPAS menunaikan solat Maghrib, Azfahan kelihatan tergesa-gesa turun ke bawah. Sewaktu dia melalui ruang tamu, dia lihat tiada sesiapa pun di situ. Jadi, dia terus menuju ke dapur. Entah apa yang menarik dirinya untuk ke sana, dia sendiri tidak sedar sewaktu kakinya melangkah ke ruang itu. Dia tidak pasti apakah makanan yang dicarinya untuk mengisi perut yang hakikatnya tidak lapar itu? Ataupun dia sebenarnya sedang mencari seseorang?
            Sebenarnya, jarang sekali dia masuk ke dalam dapur apabila dia berada di vila ini. Selalunya selepas menunaikan solat Maghrib dia akan mengambil angin di luar. Sama ada dia akan duduk sendirian menenangkan fikiran di gazebo sambil mendengar bunyi pukulan air dari arah air terjun buatan yang terdapat di situ, atau paling tidak pun dia akan bersantai-santai di atas kerusi malas di tepi kolam renang sambil merenung permukaan air yang beralun tenang.
            Tapi kali ini, dia terus ke dapur. Motif?
            Dan sebaik sahaja dia tidak menemui apa yang dicarinya, dia pun keluar dari ruang itu dan menuju semula ke ruang tamu utama vila tersebut. Di atas sofa yang sarat dengan ukiran tradisional itu, dia hanya duduk menyandarkan tubuhnya. Tidak pula dia memasang televisyen. Sebaliknya dia kelihatan seperti sedang memikirkan sesuatu.
            ‘Apa yang aku cari sebenarnya? Sampaikan aku perlu tergesa-gesa macam tu sekali? Sampaikan masa berdoa dekat atas tikar sejadah tadi pun aku langsung tak buat sungguh-sungguh.’
            Mengeluh.
             ‘Bila aku tak jumpa apa yang aku cari tadi, kenapa aku perlu terus mencari? Apa yang aku cari sebenarnya? Dan kenapa hati aku ni terasa lain macam? Satu perasaan aneh yang membuatkan aku berasa gelisah dan tidak senang. Aku seperti kerinduan. Tetapi siapa pula yang aku rindukan?’
            Sewaktu soalan-soalan itu berlegar-legar merungsingkan fikirannya, telinga Azfahan tertangkap satu esakan halus yang diselangi dengan suara seperti orang sedang bercakap. Kalau tidak diamati, rasanya dia sendiri tidak akan perasan. Cuma kebetulan ruang tamu di mana dia berada sekarang ini berdekatan dengan sebuah bilik yang terdapat di situ. Dan hatinya kuat mengatakan bunyi esakan itu tentunya datang dari dalam bilik tersebut memandangkan hanya ada satu bilik sahaja yang berdekatan dengan ruang tamu itu. Ada juga dia menoleh ke belakang. Tetapi tidak pula ada sesiapa di sekelilingnya.
            Sambil menahan rasa cemas, perlahan-lahan Azfahan menegakkan tubuhnya, dan lambat-lambat juga dia melangkah merapati pintu bilik berkayu jati yang tinggal beberapa langkah sahaja di hadapannya. Begitu berhati-hati sekali pergerakannya. Bukannya kerana dia takut. Tapi kerana bilik itu didiami oleh ‘Sherry’. Ingin juga dia tahu sebab dan kenapa gadis itu menahan esaknya sehingga begitu sekali. Kedengaran seperti teruk sahaja di telinganya keadaan gadis itu.
            Kini dia sudahpun berdiri betul-betul di hadapan pintu. Namun dia menjarakkan sedikit tubuhnya supaya bayang-bayang kakinya tidak dapat dilihat dari dalam; dari celah kaki pintu yang tegak di hadapannya.
            Dari posisinya berdiri, dia terpaksa memanjangkan lehernya untuk menekapkan telinganya ke dada pintu. Berkerut-kerut dahinya sewaktu dia cuba mengamati sekaligus merekod butir-butir yang tidak jelas menggunakan telinganya. Esakan yang semakin panjang dan kuat menjadikan dia lebih sukar untuk mendengar segala yang sedang diluahkan oleh ‘Sherry’ yang sedang berada di dalam bilik tersebut.
            Hanya setelah lima minit, barulah dia dapat mendengarnya dengan jelas sedikit. Itupun setelah lama dia menunggu Sherry mendiamkan diri. Mungkin lima minit tadi digunakan gadis itu untuk menenangkan perasaannya. Dan hanya bersuara kembali setelah keadaannya reda. Namun, esakannya masih kedengaran jua ketika itu tetapi tidaklah seberat tadi.
            Azfahan menekapkan telinganya dengan lebih kuat lagi sebaik sahaja suara ‘Sherry’ yang putus-putus itu hinggap samar-samar ke telinganya.
            “Sekali lagi, aku merayu padaMU ya ALLAH...” Itulah luahan pertama yang didengarnya keluar dari mulut gadis itu.
            ‘Tapi, apa yang dia doa sampai beriya-iya macam tu sekali, dan apa yang dia mahukan sangat sampai macam tu punya teruk sekali dia menangis?’
            ‘Dia nak koleksi terbaru Rizman Ruzaini ke? Boleh jadi juga sebab dia kan minat sangat dengan baju-baju Rizman Ruzaini. Kalau dah nak sangat, cakap aje lah dekat aku. Manalah tahu kot-kot aku lembut hati nak belikan untuk dia.’
             ‘Ataupun dia berdoa sungguh-sungguh sebab berhajat nak kahwin dengan lelaki kaya macam aku? Dia kan boleh tahan kuat juga menghabiskan duit orang.’
            Azfahan menghalau kemungkinan-kemungkinan itu. Dia mahu mendengarnya dari mulut ‘Sherry’ sendiri. Mungkin dari luahan hati gadis itu nanti, dia akan tahu juga mengapa ‘Sherry’ menangis beriya-iya begitu.
            “Aku merayu padaMU ya ALLAH. Aku berharap sangat agar Kau ampunkan segala dosa-dosaku. Sesungguhnya aku akui kealpaanku sewaktu aku biarkan tubuh aku ni disentuh oleh lelaki yang tidak halal bagiku. Aku benar-benar tak sengaja, ya ALLAH... Ampunkanlah aku...”
            Azfahan mengerutkan dahinya. Pelik. Kenapa pulak dengan dia ni? Apa yang dia dah buat sebelum ni? Dan bila masa pula dia melacurkan tubuhnya? Apakah semua itu adalah kisah yang sudah lama berlalu atau semua itu baru saja berlaku? Kalaulah begitu sekali perbuatan yang pernah dilakukan ‘Sherry’, sesungguhnya dia sendiri berasa teramat jijik. Dia sendiri paling-paling pun hanya berpelukan dan berciuman pipi sahaja dengan Sazzy. Walaupun dia terlalu menyayangi Sazzy, sehingga saat ini dia masih lagi belum terlanjur dengan gadis kacukan Cina itu. Dia masih pandai menjaga batas pergaulan walaupun ujian di kiri dan kanannya sering menguji nafsu dan kesabarannya. Tapi setakat ini, dia masih mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan perkara-perkara yang hanya akan menghancurkan masa depannya.
            Memikirkan semua itu, Azfahan mencebik dengan muka yang cukup benci dan meluat. Langsung dia tidak menyangka yang selama ini perempuan yang nampak baik, yang tidak pernah meninggalkan solat dan kewajibannya ini adalah seorang perempuan yang pernah menggadaikan maruahnya sendiri. Itulah... dari dulu lagi aku dah cakap. Perempuan bertudung ni bukannya semua baik. Ada sesetengah tu, nampak aje baik. Tapi perangai sebenar, mengalahkan pelacur.
            Azfahan menggeleng. Tak sanggup rasanya untuk dia terus berdiri di situ. Dia benci untuk terus mendengar esakan halus itu. Tapi, entah mengapa kakinya terasa berat untuk beredar dari situ. Apakah TUHAN itu sebenarnya ingin memberitahu sesuatu kepadanya?
            Kakinya yang berat terasa semakin berat dengan tiba-tiba, membuatkan dia terpaksa juga berdiri di situ walaupun dia telah menggagahkan kakinya untuk bergerak pergi. Terpaksalah telinga terus menadah esakan yang terasa begitu menjengkelkan sekali di telinganya.
             “Ketahuilah ya ALLAH yang aku sebenarnya terpaksa. Aku tak diberikan sebarang pilihan...”
            Azfahan mencebik lagi. ‘Terpaksa konon! Atas alasan apa sekalipun, kau tak sepatutnya jual maruah kau lah, bodoh! Dasar perempuan terdesak! Kaulah sehina-hina makhluk yang pernah aku jumpa selama aku hidup kat atas dunia ni kau tahu tak?’
            Akibat rasa benci yang sudah tidak tertahan, Azfahan menyumpah seranah semahu-mahunya seolah-olah manusia yang dihamunnya itu sedang berdiri di hadapannya. Hakikatnya, kata-kata cacian itu hanya bergema di dalam hatinya sahaja.
             “Kaki aku terlalu sakit untuk bergerak waktu tu, ya ALLAH. Walaupun kalau diikutkan, aku tahu yang aku masih mampu mengerah kudratku untuk paksa diri aku ini supaya melangkah perlahan-lahan. Tapi disebabkan kesakitan itu, aku malas dan langsung tak mahu nak mencuba. Aku sedar, ya ALLAH. Aku sepatutnya bersyukur kerana aku hanya diuji dengan kesakitan yang tidak seberat mana. Tapi malangnya, aku masih lalai dalam mengingati seksaanMU yang jauh lebih pedih bagi mereka yang mengabaikan suruhan dan laranganMU”
            Luahan ‘Sherry’ kedengaran lagi bersama esakannya yang kembali kuat.
            Azfahan sudah pelik. Dahinya berkerut-kerut dan dia terpinga-pinga sewaktu mendengarnya. ‘Tadi pelacur ni bercerita pasal lelaki yang menyentuh badan dia, tapi sekarang ni kenapa dia nak bercerita pasal sakit kaki pulak? Apa kaitannya?’
            Dengan rasa ingin tahu yang membuak-buak, Azfahan dengan penuh rasa teruja tetap menanti di situ dengan penuh sabar.
            “Aku biarkan saja dia angkat tubuh aku, dan boleh pula aku hanyut dan leka bersama-sama dia menyaksikan pemandangan matahari terbenam dekat atas bukit tadi. Berdosanya aku... Betapa cuainya aku menjaga maruah diri aku sendiri. Malunya aku, ya ALLAH... Malunya aku pada Engkau yang begitu bersungguh-sungguh sekali menjaga aku setiap waktu tanpa terlepas walau sesaat sekali pun. Malunya aku pada Engkau ya ALLAH... Malunya aku kerana telah membiarkan tubuh ini disentuh oleh lelaki yang bukan mahramku. Malunya aku kerana telah membiarkan diriku ini hanyut sewaktu aku tidak diuji dengan musibah yang berat. Agaknya kalau aku diuji dengan ujian yang jauh lebih dahsyat daripadaMU berbanding dengan sekecil-kecil ujian yang aku hadapi tadi, mampukah aku melepasinya ya ALLAH? Mampukah aku? Atau apakah aku akan terleka lagi sehingga akan tergadai terus maruah diri ini? Astaghfirullah... Tolonglah kuatkan imanku, tolonglah cekalkan prinsip hidupku, ya ALLAH... Tolonglah aku, ya ALLAH. Tolong aku...”
            “Astaghfirullahalazim...” Bergetar-getar kalimah itu meniti di bibir Azfahan yang jelas terkejut sekali riak wajahnya ketika itu. Terus, saat itu juga dia meraup mukanya, berkali-kali dengan perasaan yang teramat menyesal kerana telah membuat pertuduhan melulu yang sangat melampau. Pertuduhan yang langsung tidak berperikemanusiaan!
            Kejamnya dia kerana telah menyangka yang bukan-bukan, sekaligus meletakkan seburuk-buruk tuduhan pada seseorang yang sebenarnya begitu cermat sekali menjaga maruah dirinya. Sampaikan tadi dia sempat memuji dan berbangga dengan dirinya sendiri kononnya dirinya jauh lebih mulia daripada ‘Sherry’. Kononnya selama ini dia dan Sazzy paling teruk pun setakat berpelukan dan berciuman pipi saja. Astaghfirullah... Kenapalah dia boleh memiliki perasaan bangga dengan segala dosa yang dilakukannya? Sedangkan ‘Sherry’ yang langsung tidak sengaja meminta dirinya disentuh sewaktu kakinya sakit tadi itu pun begitu bersungguh-sungguh menangis menyesali segala yang berlaku walaupun semua itu bukanlah kehendaknya.
            Dia pula, setitis air mata pun terlalu mahal dan terlalu payah untuk jatuh dari tubir matanya setiap kali selepas dia melakukan dosa dengan kekasihnya Sazzy. Untuk melihat air mata penyesalannya bagaikan menanti hujan pada musim kemarau.
            Memang pun! Dia langsung tidak pernah terfikir yang dia telah mengkhianati agamanya sendiri! Sebaliknya dia berbangga kerana selama ini dia menyangka kononnya dia masih seorang manusia yang bijak dan hebat kerana berjaya mengawal nafsunya daripada terlanjur bersama-sama dengan Sazzy di atas ranjang. Dia terlupa yang dia sebenarnya sudah sekian lama melakukan maksiat dengan Sazzy. Cuma dia saja yang tidak sedar. Dia saja yang menganggap semua itu hanyalah satu perlakuan ringan.
            Bagai langit dengan bumi jika hendak dibandingkan dirinya dengan ‘Sherry’ yang begitu tertib sekali menjaga maruah dirinya. Selama ini dia begitu bangga dengan apa yang dimilikinya sehinggakan dia memandang rendah pada segala apa yang ada pada diri ‘Sherry’. Dia merasakan dia adalah manusia yang cukup sempurna. Hakikatnya dia terlupa yang dia sebenarnya adalah manusia yang sehina-hina manusia.

13 comments:

  1. nak tanya encik marmar putih... citer nie habis kat blog atau nak diterbitkan.... just curious??

    ReplyDelete
    Replies
    1. insyaallah sama ada diterbitkn atau tidak, sy akan cuba post sehingga ke bab terakhir :)

      Delete
  2. thumbs up...xsbr nk tau reaksi 'sherry' ble jumpe afka

    ReplyDelete
  3. wow!t'kedu jap ngan n3 nie.Moga2 azfahan sdr perasaan sbnr die kat sherry.yippee da taw name tul die,x sbr nk taw ape jd pas nie!tq writer

    ReplyDelete
    Replies
    1. akhirnyeee..itulah nama sebenar die.. hee

      Delete
  4. BEST!!!!! NAK LAGI :) HEHEEH OPS ...

    ReplyDelete
  5. awak... lama kita tunggu sambungan citer ni tau.. nasib baik bab ni panjang sikit. apa pun jangan lupa post sampai bab yang terakhir tau & jgn lupa bagi tau kalau ianya diterbitkan...nak simpan jadikan salah satu koleksi peribadi..

    ReplyDelete
    Replies
    1. terharu giler ngn ur comment. insyaallah, sy masih ngn janji sy utk post kan smpi bab terakhir dkt blog. dan klu ada rezki terbit nnti sy bagitahu k. Thnx for reading :)

      Delete
  6. tu nama sebenar dia ke atau tu kembar seri embun??? eiii x sabar rasanya...

    ReplyDelete
    Replies
    1. tunggu. nanti akan terbongkar segalanya =)

      Delete
  7. maenan emosi pade part akhir impressive :)klao nk lgi impressive belajar dengan sitit rosmizah :P bab nie panjang jugak laa o.O sebab cikgu cite detail2 haahaha..smpai dialog die pon ade sket2 je ><' peace no war :)
    -nur athira-

    ReplyDelete