30
“NAH
Puan Sri, jusnya..” Dengan berhati-hati, ‘Sherry’ meletakkan cawan plastik
berwarna hijau gelap yang ditatangnya dari dapur ke atas meja di satu ruang
kecil ruang tamu vila ini. Entah berapa banyak entah ruang tamu dalam vila ni.
Ada yang kecil, ada yang sederhana besar, ada yang besar sampai boleh buat kem
motivasi kat dalam vila ni.
“Terima kasih. Tapi kenapa Embun
bancuh jus dalam cawan? Selalunya dalam gelas.”
Mendengarkan pertanyaan itu, Azfahan
yang sedang angkat dumbel sambil
menaip sesuatu di telefon bimbitnya, terus terhenti secara serentak dua kerja
yang sedang dilakukannya. Dia juga seperti Puan Sri Zahlia, sedang duduk
santai-santai di dalam ruang tamu kecil yang terpisah daripada
bahagian-bahagian dan ruang-ruang lain di dalam vila ini.
‘Sherry’ terjeda sebentar. Tak tahu
nak jawab apa sebenarnya. Dipandangnya saja Puan Sri Zahlia yang sudah pun
mengangkat cawan untuk disuakan ke bibirnya.
“Sedapnya... Tapi, macam pelik sikit
rasanya.” Puan Sri Zahlia masih tidak memandang wajah ‘Sherry’. Hanya Azfahan
seorang yang memandang dengan rasa tak puas hati.
“Kenapa kau pergi buat sedap-sedap?
Kau tahu kan yang dia suka sangat dengan jus yang kau buat? Makin sayanglah dia
kat kau nanti! Sepatutnya kau buat tawar-tawar, tak pun tak payah bubuh gula
langsung!” Azfahan bisik betul-betul kat tepi telinga ‘Sherry’. Dia mengambil
peluang itu sewaktu Puan Sri Zahlia sedang asyik meneguk jus yang masih
berbaki.
‘Sherry’ pula dah buat muka tak puas
hati bila dimarahi begitu.
“Manalah aku tahu mummy kau boleh
suka air yang aku bagi dekat dia tu. Padahal aku cedok sup kurma ayam yang
bibik tengah masak kat dapur tu aje kasi dia minum. Isyyy, isyyy, isyyy...
Pelik betullah selera mummy kau.”
Boleh pula dengan selambanya ‘Sherry’
jawab macam tu. Siap geleng-geleng kepala lagi padahal Azfahan sudah bulat biji
matanya memandang dengan rasa terkejut. Hampir nak terlopong jugalah mulut
lelaki itu.
“Kau dah gila apa bagi mummy aku
minum sup kurma? Kan tadi mummy aku minta kau buatkan jus!” Sambil dia berbisik
memarahi ‘Sherry’, sambil itu juga dia jeling Puan Sri Zahlia. Dia tengok bukan
main rakus lagi ibunya teguk sup kurma ayam tu. Siap jilat-jilat bibir lagi. Masya-ALLAH...
Biar betul?
“Dah tadi Puan Sri yang cakap dia
nak jus yang special dan lain daripada yang lain. Apa lagi yang special?
Selalunya orang buat jus mangga, jus belimbing, jus tembikai, jus oren, aku
pulak cadanglah nak buat jus kurma. Barulah namanya lain daripada yang lain.
Tapi malangnya dalam peti ais tu tak ada buah kurma lah pulak. Sebab tu lah aku
cedok aje sup kurma ayam tu. Kira cincailah. Asalkan ada sikit-sikit rasa kurma
tu, kira jus kurma lah tu. Banyak songehlah kau ni. Mak kau pun tak ada
kompelin apa-apa. Aku tengok elok aje dia bantai sup kurma tu.”
Pada Azfahan, ‘Sherry’ hadiahkan
jelingan maut dengan reaksi muka yang menunjukkan betapa meluatnya dia dengan
lelaki yang banyak songeh itu. Ketika ini, Puan Sri Zahlia sudah pun beredar
dari situ setelah berkali-kali mengucapkan terima kasih dan memuji ‘jus
kurma’nya.
Elok saja Puan Sri Zahlia hilang
dari pandangan mata, Azfahan terus bantai gelak waktu tu juga.
Dah gila apa mamat ni? Tadi bukan
main lagi tak puas hati dengan aku!
“Dah sawan ke kau ni gelak tiba-tiba
pulak? Nak aku tolong kau call hospital
sakit mental ke?”
Laju saja Azfahan gelengkan
kepalanya dengan ketawa yang masih kedengaran menjengkelkan di telinga ‘Sherry’.
“Bukan apa. Aku respect lah dengan kau. Aku pun tak tahu apa yang kau dah buat
sampaikan mummy aku tu sayang giler
dekat orang macam kau yang tak sepatutnya dapat kasih sayang ni. Tapi kesian
pulak aku tengok mummy aku tu macam diperbodoh-bodohkan aje sebab terlalu
sayangkan kau. Sup kurma ayam tu pun dia boleh teguk macam baby kecil minum
susu gantung.”
Azfahan sambung lagi gelaknya
walaupun tidaklah dia bantai gelak kuat-kuat sebab dia ni kan sentiasa nak control macho.
Oh baru ‘Sherry’ perasan yang mamat
ni sebenarnya kuat gelak juga orangnya. Tak ada lah membosankan macam Afka tu.
Tapi, Afka tu macho dia nampak natural sangat jadi mungkin sebab tu dia
tak banyak bercakap sangat macam adik dia ni. Nak tengok dia senyum pun susah.
Tak macam mamat sebelah aku ni. Macho
Azfahan ni macho yang dibuat-buat
terutama sekali bila depan awek-awek
cun kat swimming pool kondo dia tu!
Sempat lagi ‘Sherry’ mengumpat
sorang-sorang.
“Biasalah tu. Aku memang disayangi
ramai pun. Sepatutnya dari dulu lagi kau respect
manusia hebat lagi serba boleh macam aku ni tau.” Terus waktu itu juga kakinya
disilangkan sambil dia menolak hujung tudung yang jatuh ke dada dengan penuh
bergaya supaya terletak semula ke atas bahu. Barulah nampak hebat dan bergaya
sikit kalau buat macam tu.
“Sekarang ni macam mana? Aku dah
cuba macam-macam tapi mummy kau tu tetap tak nampak tanda-tanda macam nak benci
aku pun. Ataupun adakah wajar kiranya aku bakar aje vila ni untuk buat dia
benci kat aku?”
“Gila apa kau nak bakar vila 10 juta
ni?”
Terlopong ‘Sherry’ mendengar jumlah
sebanyak itu.
‘10 juta? Mak aihhh... Banyaknya.
Aku rasa sebab tu lah Puan Sri Zahlia sayang gila-gila dekat aku yang kononnya
telah menjadi penyelamat rumah tangga dia dengan suaminya. Iyalah, kalau fikir
secara logik lah kan, Puan Sri Zahlia mesti takkan biarkan Tan Sri Jaafar
terlepas macam tu aje ke tangan perempuan lain. Silap-silap vila 10 juta ni pun
boleh terlepas kat tangan orang lain kalau Puan Sri Zahlia tak jaga suami dia
tu elok-elok. Mungkin sebab tu lah agaknya dia sayang dekat aku kot sebab Seri
Embun kan dah berjaya tolong Puan Sri Zahlia dapatkan badan yang ideal lagi
langsing yang kononnya telah berjaya buat Tan Sri Jaafar lebih kerap pulang ke
rumah berbanding sebelum ini.
Eh, pandai-pandai aje aku reka-reka
cerita. Tak baik lah buruk sangka. Entah-entah, Puan Sri memang ikhlas
sayangkan aku dan ikhlas nak bermenantukan aku.’ ‘Sherry’ memesan pada dirinya
sendiri sebelum dia yang baru tersedar, kembali memberikan tumpuannya pada Azfahan.
“Tak ada lah sampai nak bakar vila
ni. Daripada aku bakar vila ni, lagi baik aku bakar kau hidup-hidup! Lagi
banyak faedahnya sebab aku rasa mesti ramai giler
yang setuju kalau aku bakar manusia tak berguna yang suka menyusahkan hidup orang
lain macam kau ni. Hahaha...”
Kali ini, ‘Sherry’ pula yang bantai
gelak dengan sengaja dia kuatkan lagi suaranya. Mentang-mentanglah vila ni
besar, bolehlah dia gelak sepuas-puasnya. Mesti orang lain kat dalam vila ni
tak dengar.
Azfahan diam saja memerhatikan ‘Sherry’
yang galak mentertawakannya. Terdiam sebab sakit hati sebenarnya tu...
“Merepeklah kau ni. Aku tak rasa
dunia ni dah bersedia untuk kehilangan lelaki paling handsome kat atas muka bumi ni.” Macam tu saja yang mampu dia
jawab. Sengaja dia nak duga jawapan ‘Sherry’. ‘Sherry’ kan memang tak pernah
mahu kalah!
“Okay kalau macam tu, kejap lagi aku
nak bukak fanpage ‘Mari Bakar Azfahan
Hidup-Hidup’ dekat akaun Facebook. Aku yakin tak sampai sejam, mesti
beribu-ribu orang like page tu. Hahaha...” Lagi sekali ‘Sherry’ bantai gelak
beriya-iya sambil hentak kedua-dua belah kaki. Kuat pulak tu!
Azfahan terus diam. Malas nak layan.
Kali ni, dia diam bukan sebab sakit hati. Tapi dia tak rasa orang macam dia
perlu layan budak hingusan macam ‘Sherry’ yang banyak terpengaruh dengan cerita-cerita
lawak murahan kat dalam TV tu. Buang masa! Dan ini jugalah sebabnya kenapa dia
cukup tak berkenan dengan perempuan macam ‘Sherry’ ni. Tak pandai cover cun langsung!
Tak macam Sazzy. Sazzy sentiasa
datang dengan topik-topik yang serius sekiranya mereka berbual-bual dalam
keadaan begini. Tak kisahlah walaupun Sazzy lebih banyak bercerita tentang
kerjayanya sebagai seorang model, dia lebih suka dan selesa berada dalam
keadaan begitu, keadaan yang sesuai dengan dirinya yang educated. Bukan macam sekarang ni. Rasa macam budak belum sunat aje
bila duduk dengan si budak ‘Sherry’ ni. Baik aku keluar jogging sekarang.
Azfahan terus melangkah untuk keluar
setelah meletakkan dumbel dan meninggalkan telefon bimbitnya di atas meja. Memang
biasanya sebelum dia keluar jogging, dia akan ‘bermain-main’ dengan dumbel
terlebih dahulu. Mungkin sekarang dia terlalu sibuk sampai tak ada masa nak
bina otot lengannya macam dia selalu buat dekat gym. Jadi sebab itulah selagi
ada ruang, dia akan cuba untuk maintainkan
bentuk lengannya yang kekar itu.
“Eh, tunggulah aku! Aku pun nak
jogging jugak!”
Sherry yang mulanya terpinga-pinga
ditinggalkan, kelam-kabut berlari ingin mendapatkan Azfahan. Terjerit-jerit dia
memanggil lelaki itu malangnya panggilannya tidak diendahkan.
Azfahan sedang melakukan senaman
ringkas ketika ini, di halaman vila yang luas itu. Dia sudah pun siap dengan
kasut sukan. Sherry yang berdiri memandangnya di sebelah masih tidak
diendahkan. Lepas dia siap meregangkan otot-ototnya, barulah dia menoleh.
“Tak payahlah kau ikut. Aku tak
sukalah jogging dengan perempuan. Lembab! Lagi-lagi yang katik macam kau ni.
Kaki pun pendek. Tiga kali kau langkah baru sama dengan sekali langkah aku!”
Terlopong ‘Sherry’ mendengarkan
kutukan itu. Bukannya terlopong sebab kagum dengan kaki Azfahan yang panjang
tu. Tak payah cakap pun dia sudah sedia maklum yang lelaki seorang ni memang
tinggi macam model antarabangsa. Cuma... dia tak sangka yang Azfahan dengan
selambanya mengutuk saiz badannya.
‘Sherry’ diam sahaja. Tak ada pula
nak menjawab macam selalu. Oh lupa pulak, mana boleh menjawab. Nanti kalau Azfahan
marah, habislah dia tak dapat ikut pergi jogging!
“Dengan baju blaus kau yang penuh
batu-batu berkilat-kilat tu, tak sesuailah untuk jogging. Esok ajelah.. Nanti
aku belikan kau baju sukan.” Azfahan menyusun ayat yang cantik sedikit
berbanding tadi. Itu pun terpaksa sebab dia tengok ‘Sherry’ nampak macam dah
nekad nak ikut dia jogging. Bukannya dia tak kenal ‘Sherry’ tu. Sedegil-degil
manusia!
Tengok! Kan dah kata. Tengok muka je
pun dah tahu yang ‘Sherry’ tak puas hati dengan jawapannya tadi. Mulut becok
dia tu dah terkumat-kamit, dah tak sabar-sabar lagi nak menjawab!
“Tak kisahlah baju apa-apa pun. Tak
ada bezanya lah kalau aku pakai baju blaus ke, baju sukan ke... Kalau aku pakai
sari pun aku rasa tak ada hal lah kalau aku nak jogging pun. Aku tengok dalam
filem hindustan tu elok aje diorang menari terkinja-kinja pakai sari. Keluar
aje peluh diorang tu aku tengok kadang-kadang tu. Tak ada bezalah baju apa-apa
pun dengan baju sukan. Dekat baju sukan kau tu pun tak ada pulak aku nampak ada
tulis apa-apa. Manalah tahu kot ya lah kalau kat baju kau tu ada tulis macam
ni... “Baju sukan ini mampu membantu anda mengeluarkan peluh bergelen-gelen
walaupun anda cuma berlari dengan kelajuan siput babi.”
“Cuba kau tengok balik baju yang kau
pakai tu. Manalah tahu kalau ada tulis tagline
macam aku cakap tadi tu. Kalau tak ada tertulis macam tu kat jersi kau, maka
dengan ini aku rasa tak salah kalau aku jogging pakai blaus dengan seluar jeans
ni.”
Azfahan menahan senyum dengan jawapan ‘Sherry’.
Sebenarnya dia dah nak tergelak dah pun. Namun dipaksanya segala otot untuk
menahan dirinya daripada tergelak dan ketawa di situ. Tak naklah gelak. Apa
barang gelak lawak ‘Sherry’. Lawak merapu!
“Yeayyyy...
Kau senyum! Senyum tanda setuju kan, kan, Kan? Betul tak, betul tak? Jadi,
bolehlah aku ikut kau jogging.”
Azfahan terpinga-pinga dengan
jawapan itu. Tak ada pula dia kata apa-apa. Tapi ‘Sherry’ dah siap buat
regangan dan senaman ringkas sebagaimana yang dilakukannya sebentar tadi.
Ah,
lantak dia lah!
Tanpa menghiraukan ‘Sherry’, Azfahan
terus berlari laju sedikit daripada kebiasannya. Namun, lebih kurang 15 minit
selepas itu, dia perasan seperti ada seseorang yang juga sedang berlari secara
perlahan tidak jauh dari belakangnya. Mungkin Uncle Kwan agaknya. Lelaki tua
yang juga tinggal di dalam kawasan itu memang boleh dikatakan hampir setiap
pagi keluar jogging dan ada jugalah beberapa kali dia bertembung dengan Uncle
Kwan. Tapi, takkanlah Uncle Kwan berlari selaju ini pulak?
Dia terus menoleh sebab setahunya,
kawasan perumahan eksklusif ini cuma ada beberapa buah vila dan banglo mewah
sahaja. Jadi, teringinlah juga dia nak tahu siapa yang sedang berlari hampir
hendak menyainginya di belakang.
‘Ya ALLAH? Budak ketot ni
rupanya?’
“Kau ikut shortcut ke?” Dipandangnya tepat ke muka ‘Sherry’ yang sempat lagi
menghadiahkan senyuman dan melambaikan tangan kepadanya.
Azfahan nampak terkejut.
Tak penat ke budak ni? Track larian yang memang khas digunakan untuk berjogging di sini agak berbukit sedikit di
sesetengah kawasan. Tapi ‘Sherry’ masih tak nampak letih. Cuma termengah-mengah
sedikit. Lebih kurang sama dengan keadaan dia sendiri yang sudah biasa berjogging pagi-pagi begini.
“Amboi, sedap mulut kau aje tuduh
aku. Dari tadi lagi aku berlari belakang kau tau. Kau aje yang tak perasan.”
“Oh, kau saja nak skodeng punggung
aku eh?”
“Gila apa? Daripada skodeng punggung
kau, baik aku skodeng bontot lembu!”
Azfahan memandang ke hadapannya
semula, sambil menyembunyikan cebikannya. Jangan haraplah aku nak percaya
temberang dia! Dah sah-sah dia ikut jalan shortcut
ni! Takkanlah dia boleh lari selaju tu pulak.
Tapi
sepuluh minit kemudian, dia lihat ‘Sherry’ yang saing di sebelahnya masih steady berlari seperti biasa. Tak ada
pula dia lihat ‘Sherry’ berhenti untuk berehat kat mana-mana walaupun dia
nampak macam termengah-mengah, tetapi dia tetap teruskan lariannya. Kagum
jugalah Azfahan melihatnya.
“Kau pun biasa jogging jugak ke?”
Dia bertanya sebab hairan dengan tenaga dan kemampuan budak kecik ni!
‘Sherry’ senyum, sambil mengesat
dahinya yang sudah basah dengan peluh dengan penuh bergaya sekali.
“Dah lama lah aku tak jogging.
Rasanya last aku jogging masa aku
darjah empat dulu kot,” beritahunya jujur.
Memang betul pun. Rasanya itulah
kali terakhir dia jogging. Itu pun
dekat Lake Garden dan dia ke situ pun bersama keluarga dan termasuklah arwah
ibunya yang masih hidup lagi ketika itu. Selalunya mereka ke situ untuk
menikmati pemandangannya yang indah itu sahaja. Tapi ada sekali tu entah siapa
lah yang bagi cadangan untuk berjogging di
situ. Maka, itulah kali pertama dan kali terakhirnya dia jogging di Lake
Garden. Bukannya dia tidak suka melakukan senaman begitu. Cuma kawasan rumah
dia yang terletak dalam kawasan tanah yang lembab dan jerlus tu mana sesuai
untuk melakukan riadah seperti jogging
semua ni. Lagipun dengar-dengar cerita dari mulut ke mulut, ada orang kampung
yang pernah terserempak dengan binatang buas memandangkan kampung mereka itu
dikelilingi dengan hutan tebal. Bukan sembarangan hutan kalau nak dibandingkan
dengan hutan di dalam vila yang menenangkan dan sentiasa dijaga dengan baik
ini.
Tapi takkanlah aku nak ceritakan
semua tu kat dia. Nanti mesti dia ambil peluang nak kutuk aku!
‘Sherry’ jeling-jeling saja Azfahan
yang macam tak puas hati saja dengan jawapan yang dia berikan tadi. Macam rupa
orang terkejut pun ada jugak. Apa kena pulak mamat ni?
“Tapi, aku tengok dari cara kau lari
macam dah biasa jogging aje.” Tak
sedar yang dia sebenarnya telah memuji gadis di sebelahnya itu. Lagi sekali
Azfahan memandang ‘Sherry’ dengan muka pelik. Ketika ini, kedua-duanya sudah
pun memperlahankan kelajuan masing-masing, dan kedua-duanya nampak penat dan
termengah-mengah.
“Apa nak heran. Aku ni kan budak kampung. Dah biasa berlari dari kecik. Lari
sebab kena kejar dengan lembu pun pernah tau.” ‘Sherry’ nampak seronok sewaktu
mengenang kembali kisah zaman kanak-kanaknya.
Azfahan mencebik, nampak sinis.
“Baguslah tu... Sekurang-kurangnya
ada juga makhluk yang tergila-gilakan kau sampai sanggup nak kejar kau
memandangkan aku tahu sangat, memang takkan ada lelaki yang nak
terkejar-kejarkan perempuan macam kau tu! Lembu pun jadilah... Okay apa.”
Gurauan kasar Azfahan itu sekelip
mata sahaja terus merenggut ingatan ‘Sherry’ pada kenangan silamnya. Direnggut
sekali dengan senyuman di bibirnya. Berubah terus mukanya, jadi masam.
“Kutuklah aku puas-puas, Azfahan.
Jangan pulak satu hari nanti kalau kau ditakdirkan untuk jatuh cinta dengan aku
sampai kau sanggup terkejar-kejarkan aku, sudahlah! Waktu tu cara kau kejar aku
lagi teruk daripada lembu yang pernah kejar aku dekat kampung aku tu!”
“Jangan buat lawak bodohlah. Terlalu
mustahil untuk aku jatuh cinta dengan perempuan macam kau ni.” Azfahan masih
dengan senyuman sinisnya. Kali ini, dia tergelak mentertawakan kata-kata
‘Sherry’ yang langsung tidak berasas tadi.
Sakit hati ‘Sherry’ dengan perangai
Azfahan yang cukup suka merendah-rendahkannya itu.
“Sekarang bolehlah kau gelak. Nanti
sampai masa kau tergila-gila dan terkejar-kejarkan aku macam lembu, waktu tu
aku pulak yang akan gelakkan kau.”
Atas dasar sakit hati, dia keluarkan
kata-kata begitu padahal dia sendiri sedar siapa dirinya. Iyalah, siapalah aku
nak digandingkan dengan lelaki sehebat Azfahan ni.
Azfahan tidak lagi mengukir senyuman
sinis seperti tadi. Dia jadi risau pula tiba-tiba. Apalagi ‘Sherry’ nampak
yakin dengan kata-katanya tadi. Manalah tahu kalau suatu hari nanti dia
ditakdirkan untuk jatuh cinta dan tergila-gilakan ‘Sherry’?
Ahhh... dia bergurau aje tadi tu.
“Kenapa kau berhenti tiba-tiba pulak
ni?” soal ‘Sherry’. Dia pun terpaksa menghentikan lariannya juga.
Dalam pada itu, sempat lagi dia
menoleh ke belakang. Dia lihat bumbung vila keluarga Puan Sri Zahlia yang besar
dan juga terdapat menara kecil yang tinggi di atasnya sudah samar-samar di
pandangan matanya. Kalau ikutkan, memang sudah terlalu jauh mereka berlari.
Sekarang ini, mereka telah pun memasuki kawasan yang lebih sunyi di mana di
kiri dan kanan jalan hanya dipenuhi dengan hutan dan suara unggas yang
mendayu-dayu. Cuma hutan yang terdapat di kawasan ini tidaklah menyemakkan mata
yang memandang. Sebaliknya, nampak redup dan sejuk saja mata yang memandang.
“Penatlah... cukup-cukupah lah tu.
Badan aku dah cukup cantik, buat apa nak beriya-iya sangat jogging sampai nak terkehel buku lali. Jom ikut aku lepak dekat sana tu.” Jari Azfahan
naik untuk tunjuk ke arah tanah lapang yang bila mana kalau berdiri di atas
pinggir bukit itu, mereka akan dapat melihat satu pemandangan yang sangat
cantik lagi menakjubkan dari situ.
“Tak nak lah aku. Macam jalan mati
aje aku tengok.” ‘Sherry’ menolak. Buat apa duduk melepak buang masa kat situ?
Tak ada motif langsung! Baik aku tengok TV daripada tengok pemandangan yang tak
bergerak tu. Haihhh... Tak pandai
menikmati keindahan alam betullah perempuan ni!
“Memang lah jalan mati. Sebab tu lah
bila dah berdiri kat situ nanti, kita dapat tengok pemandangan yang
cantik-cantik kat bawah sana tu.”
Azfahan pula masih
bersungguh-sungguh mengajak. Selalunya setiap kali dia pulang ke vila, dia
biasa melepak di situ seorang diri. Lagi seronok bila duduk sendirian di situ.
Tenang sangat... Tapi entah kenapa sekarang ni dia berasa teruja pula untuk
berkongsi ketenangan dan keindahan itu bersama-sama dengan ‘Sherry’.
“Okaylah, okaylah. Tapi sekejap aje
tau. Tak nak lama-lama!”
Tanpa sedar, Azfahan boleh tersenyum
gembira mendengar jawapan itu walaupun ‘Sherry’ semacam merungut saja dengan
ajakannya.
Lalu, mereka pun jalan berdua-duaan
memasuki lorong yang agak sempit sebelum keluar menembusi satu tanah lapang
seperti platform yang mana bila berdiri di atasnya, segala-gala yang berada di
bawah bukit dan juga di atas langit dapat dilihat dengan pandangan yang
teramatlah luas. Sewaktu mereka datang, banyak juga rerama yang berterbangan.
Pepatung pula senyap saja hinggap di hujung daun lalang. Dari situ juga mereka
dapat mendengar bunyi air terjun yang begitu jelas memandangkan di belakang
mereka sememangnya terdapat air terjun di dalam hutan tadi yang mengalirkan
sungai kecil di dalamnya.
Keadaan yang sangat tenang dan sejuk
itu dengan sendirinya mengajak Azfahan menarik nafasnya dalam-dalam dengan
kedua belah tangan yang terangkat sama, sebelum dia melepaskannya
perlahan-lahan. Matanya terpejam menikmati keindahan dan ketenangan itu.
‘Sherry’ pun meniru perbuatan itu
dengan teragak-agak. Tetapi lama-kelamaan dia jadi yakin. Maka dengan yakinnya
dia melepaskan semula nafas yang sudah penuh di dadanya dengan sekuat hati.
Sejak dah lama tinggalkan kampung halamannya nun di Perak sana itu, dia memang
berasa lebih yakin setiap kali hendak bercakap mahupun menghembuskan nafas
kuat-kuat sebagaimana yang dia lakukan tadi. Maklumlah, boleh dikatakan sudah
berminggu-minggu dia tak belasah makan sambal petai sejak berhijrah ke Kuala
Lumpur ni. Bukannya senang nak cari petai dekat sini. Kalau kat kampung,
bila-bila masa sahaja dia boleh buat sambal petai memandangkan belakang
rumahnya sahaja terdapat beberapa pokok petai.
“Eh Sherry! Tengoklah cepat.
Cantiknya... Matahari tengah nak terbenam tu.” Beriya-iya Azfahan menjerit
memanggil ‘Sherry’ di sebelah padahal jarak mereka bukannya jauh pun. Nampak
aje macam tak berperasaan tapi sebenarnya, pencinta alam semula jadi
rupa-rupanya lelaki nan seorang ini. Untunglah Sazzy. Mesti Azfahan ni jenis
manusia yang suka travel.
Untung-untung, dua tahun sekali dapat honeymoon
dekat luar negara.
Azfahan masih memandang ke arah yang
sama dengan rasa kagum. Cuma dia rasa macam ada yang tak kena saja. Dia pun menoleh. Waktu itu, dia lihat ‘Sherry’
tidak memandang pun ke arah yang dia tunjukkan tadi. Sebaliknya, gadis itu
melarikan pandangannya ke arah lain sambil menghadang pandangannya dengan
sebelah tangan seperti takut-takut saja nak tengok ke arah yang Azfahan
tunjukkan tadi.
Dia ni ada masalah penyakit kulit
yang serius ke? Manalah tahu kalau tak boleh kena cahaya matahari secara
berlebihan ke...
“Eh, ada orang jual ais krim lah.
Bestnya dapat makan ais krim petang-petang macam ni. Aku nak pergi beli
kejaplah.” Dengan gaya kebudak-budakannya, ‘Sherry’ terus berlari-lari anak
menuju ke kenderaan bermotor yang menjual pelbagai jenis ais krim tidak jauh
daripada tempat mereka berdiri.
Sewaktu dia larikan pandangannya dari
memandang ke arah matahari tadi, tak semena-mena dia terpandangkan lelaki tua yang
membonceng motorsikal itu, lengkap dengan peti ais besi yang berbalut dengan wallpaper warna-warni. Namun di
tengah-tengah jalan, kakinya terasa sangat sakit tetapi dia cuba juga untuk
berlari. Malangnya, tak mampu. Akhirnya, dengan sebelah kaki yang
terhincut-hincut, dia berjalan seperti mengengsot mendapatkan pakcik penjual
ais krim itu.
“Hye, selamat petang, pakcik.
Pakcik, saya nak tanya boleh tak? Kenapa pakcik jual ais krim kat kawasan ni?
Tak lakulah ais krim pakcik nanti sebab tak ramai orang pun yang tinggal kat
sini. Budak-budak lagi lah tak ramai,” tegurnya macam dah kenal berpuluh tahun.
Selain perangainya yang macam
kebudak-budakkan, satu lagi sifat ‘Sherry’ ni, dia memang seorang yang peramah
walaupun dengan orang yang belum dikenalinya. Macam dengan pakcik ni. Walaupun
pakcik tu nampak macam penat dan dah tak larat, dia macam terpaksa aje
buat-buat senyum semata-mata nak sedapkan hati si ‘Sherry’ ni.
“Sebenarnya, pakcik tak pernah lagi
sampai ke sini. Sebab tu pakcik tak tahu kawasan ni tak ramai budak-budak. Tapi
nasib baiklah kamu ada. Berbaloi jugaklah pakcik masuk sini,” gurau pakcik si
penjual ais krim. Dengan sendirinya, pakcik tua itu pun boleh jadi ramah macam
si budak ‘Sherry’ itu juga.
‘Sherry’ pun apa lagi. Pantang
diajak bergurau, bukan main lagi dia bantai ketawa.
“Okaylah,
kalau dah pakcik cakap macam tu, saya beli dua ais krim roti dekat pakcik.
Dengan baik hatinya saya belanja sekali jin yang tengah menikmati keindahan
alam tu.”
‘Sherry’ merujuk pada Azfahan, tetapi
pakcik tua itu buat-buat blur pula.
“Jin? Rupa jin memang macam tu ke?
Tak tahu pulak pakcik rupa jin handsome
sampai macam tu sekali.”
‘Sherry’ muncungkan bibirnya pula
kali ni. Kemudian dia mengeluh.
Hurmmm...
Beruntungnya jadi macam Azfahan tu. Semua orang suka dia, semua orang puji dia.
Pakcik yang sama jantina dengan mamat tu pun boleh puji dia depan-depan aku.
Aku yang perempuan ni pun tak ada pulak pakcik ni puji cakap aku cantik.
Bencinyaaa.... Tahulah aku ni tak cantik. Aku ni cuma comel aje. Tapi apalah
salahnya kalau pakcik ni puji jugak. Takkan itu pun nak berkira?
Dia dah mula dah. Dah mula dah
perangai dia yang kuat perasan tu.
“Eh, boleh pakcik tahu siapa nama
jin tu?” soal pakcik itu tiba-tiba. ‘Sherry’ dah tercengang.
Aku rasa pakcik ni ada perasaan
dekat lelaki lah. Siap tanya nama bagai. Kan aku dah cakap tadi, aku ni
bukannya tak cantik. Cuma pakcik ni aje yang tak ada perasaan dekat perempuan.
Tu yang dia tak puji aku tu.
“Shariedan Azfahan,” jawabnya malas.
Ringkas dan juga pendek. Biarlah, asalkan jawapan yang diberikan menepati
piawaian.
“Ohhhh,
nama kamu pulak?” soal pakcik itu lagi.
Sekali lagi ‘Sherry’ nampak terkejut.
Buat apa pakcik ni tanya nama aku pulak ni? Bukan dia suka dekat Azfahan sorang
aje ke?
“Seri Mustika.” ‘Sherry’ baru
tersedar yang dia telah tersasul. Alah biar ajelah. Pakcik ni sorang aje yang
tahu nama sebenar aku. Azfahan bukan tahu pun!
“Seri Mustika? Pelik, tapi cantik
nama tu. Unik.” Sempat lagi pakcik aiskrim itu memuji nama ‘Seri Mustika’
sebelum dihulurkan ais krim roti yang sudah siap dengan toppingnya yang berwarna-warni.
Dengan muka teruja sambil dia
menjilat bibirnya, ‘Sherry’ pun menyambut dua ketul ais krim yang dihulurkan.
Sedapnya... Rasa macam nak batalkan aje niat murni aku nak kasi salah satu ais
krim roti ni dekat Azfahan. Bukankah lebih meriah kalau aku bedal kedua-duanya
sekali?
“Eh, tapi kenapa ada huruf ‘SA’
dengan ‘SM’ pulak kat atas ais krim ni? Bila masa pulak pakcik buat semua ni?”
soalnya dengan dahi yang berkerut-kerut. Kepalanya sudah naik semula ke atas
memandang tepat ke wajah lelaki tua yang cukup murah dengan senyuman itu.
“Huruf ‘SA’ tu untuk nama boyfriend kamu tu lah. Pakcik pun dah
lupa apa nama dia. Yang ada huruf ‘S dengan M’ tu pulak untuk kamu, Seri
Mustika. Okaylah, lama sangat pakcik melayan kamu kat sini. Pakcik balik dulu
ya. Nanti kalau kahwin, jangan lupa jemput pakcik pulak.”
Amboi... Bukan main lagi pakcik ni
bila sebut pasal kahwin. Siap tersengih sampai nampak gigi emas nan sebatang
dia tu lagi. Kenapa? Ada niat nak pasang satu lagi ke? Harap-haraplah tidak ya,
pakcik. Kesian makcik kat rumah tu!
‘Sherry’ pun berlalu selepas mengucapkan
terima kasih pada pakcik itu. Nampak? Betul tak aku cakap yang aku ni cantik?
Sampaikan pakcik tu pun ingat aku dengan Azfahan tu ada apa-apa hubungan. Kalau
aku ni tak cantik, mesti pakcik tu pun takkan cuba nak padan-padankan aku
dengan jin sekor yang dia kata
handsome sangat tu.
“Nah, makanlah,” pelawa ‘Sherry’
sekembalinya dia mendapatkan Azfahan. Macam tak ikhlas saja. Tapi tangannya
tetap menyuakan ais krim roti yang terdapat huruf S dan juga A itu kepada lelaki
itu..
“Kenapa ada huruf ‘S’ dengan ‘A’
pulak kat atas ais krim ni?” Azfahan yang masih asyik memandang panorama di
hadapannya menoleh, tetapi masih tidak menyambut ais krim yang dihulurkan ‘Sherry’.
“Pakcik tu yang buat. Ambil aje lah.
Orang dah belanja pun banyak tanya lagi!” ‘Sherry’ memanjangkan lagi tangannya
sehingga hampir kena ke dada Azfahan. Malas dia mahu jawab soalan lelaki itu.
Habis, takkan nak diamkan aje? Ah, diamkan aje lah. Nanti dia ingat aku ni ada
hati kat dia pulak sampai siap letak-letak huruf pulak kat atas ais krim tu.
Jadi, lebih baik dia tidak tahu huruf-huruf tu semua untuk apa.
“Nah, ambillah cepat! Karang cair
pulak.”
“Tak nak. Bagitahu dulu huruf ‘S’
dengan ‘A’ tu untuk apa?” Azfahan langsung tidak hiraukan ais krim yang mula
nak mencair itu sebaliknya dia dengan selamba mengalihkan semula pandangannya
ke hadapan, ke arah pemandangan tasik dan gunung-ganang yang dapat dilihat dari
atas pinggir bukit tersebut. Keras kepala betul lelaki sorang ni!
‘Sherry’ dah buat muka bengang.
Sudahlah kaki dia sakit. Sekarang, ditambah pula dengan sakit tangan sebab nak
paksa Azfahan ambil ais krim dekat tangan dia tu. Tak guna betullah manusia sorang ni. Tadi aku nak bakar dia
hidup-hidup, dia tak kasi! Sekarang ni, menyusahkan aku pulak!
Ah, bagi ajelah jawapan apa-apa pun.
Asalkan dia puas hati. Settle!
“Pandanglah sini. Aku nak bagitahu
lah ni,” panggilnya dengan suara yang jelas sekali nada geramnya walaupun
ketika ini dia sebenarnya sedang cuba bercakap dengan lembut.
Azfahan pun menoleh sambil tersenyum
meraikan kemenangannya.
Eeeee...
Menyampahnya aku tengok dia senyum macam tu. Nak tunjuk bagus konon. Sabar
Sherry. Sabar... Tarik nafas! Tarik Nafas!
‘Sherry’ pun menarik nafasnya
dalam-dalam dan cuba untuk bertenang.
“... ‘S’ tu Shariedan. ‘A’ tu pulak
Azfahan. Nama kau lah. Itu pun tak boleh nak fikir ke?”
“Ais krim roti kau yang ada huruf
‘S’ dengan ‘M’ tu pulak, apa maksudnya?”
Alamak, yang tu pun dia nak tahu
jugak ke?
‘Sherry’ terdiam. Lama. Sehingga
Azfahan menyergahnya beberapa kali dengan soalan yang sama, barulah dia
bersedia untuk mereka-reka jawapan. Apa sajalah asalkan dia puas hati.
“Entahlah. Menurut pakcik yang jual
ais krim tu tadi, huruf ‘S’ dengan ‘M’ tu merujuk pada huruf yang ada pada
pangkal nama bakal isteri kau. Aku pun terlupa nak tanya pakcik ais krim yang
merangkap tukang tilik professional tu.”
‘Sherry’ hampir nak tergelak dengan
jawapannya sendiri. Biarlah lelaki ini diperbodoh-bodohkannya. Azfahan tidak
perlu tahu siapakah ‘bakal isteri’ yang dimaksudkannya tadi. Jadi, biarlah
huruf ‘S’ dan ‘M’ yang membawa kepada nama seseorang itu terus menjadi misteri
dan tanda tanya.
Biar aku sorang aje yang tahu, huruf
‘S’ dan ‘M’ itu membawa kepada nama aku sendiri, iaitu Seri Mustika. Ya, aku
sebenarnya dah lama sukakan dia. Aku sendiri tak sedar bila perasaan tu datang.
Kalau aku bagitahu dia pun, tentu dia tak tahu siapalah gerangan Seri Mustika
yang aku maksudkan memandangkan dia sendiri hanya kenal aku dengan nama Seri
Embun dan ‘Sherry’ saja. Padahal, Seri Embun tu bukan nama aku. Nama Sherry tu
pulak cuma nama glamour aku aje. Itu pun, dia sendiri yang rekakan nama tu
untuk aku. Nama aku yang sebenarnya adalah Seri Mustika!
“Makanlah ais krim ni. Lepas tu bolehlah
kita balik,” tegurnya apabila dia lihat Azfahan seperti sudah tidak berminat
untuk berdebat tentang huruf ‘S’ dan ‘M’ yang terdapat pada ais krim roti yang
berada di tangannya yang lagi satu itu.
“Tak nak lah. Aku tak makan ais krim
murah,” jawab Azfahan dengan selamba habis. Dia kembali memandang panorama di
hadapan tanpa mempedulikan jawapan kasar yang keluar dari mulutnya sebentar
tadi.
Melihat Azfahan duduk di atas tanah,
‘Sherry’ pun ikut sama. Apatah lagi kakinya yang semakin terasa sakit itu rasa
macam dah tak mampu untuk terus berdiri.
“Ambillah ais krim roti ni.
Makanlah... Tak baik tau membazir. Aku beli khas untuk kau sebab tu aku suruh
pakcik ais krim tadi tu tulis nama kau dekat atas ais krim ni. Lagipun membazir
tu kan perbuatan syaitan. Takkan nak dibuang aje ais krim roti ni. Dahlah kat
atas ais krim ni ada tertulis nama kau. Nanti kalau setan nampak, mesti dia
akan cari kau sampai dapat. Hah, aku tak tahu. Time tu, aku betul-betul tak boleh nak tolong. Gasaklah kau..” ‘Sherry’
nampak serius sekali sewaktu dia berusaha untuk menakut-nakutkan Azfahan dengan
cerita seramnya yang langsung tak masuk akal itu. Siap terjegil-jegil biji
matanya. Macamlah Azfahan itu budak-budak kecil lagi yang akan takut kalau
dimomok-momokkan dengan cerita-cerita macam tu.
Sebijik macam gaya makcik-makcik
dekat kampung yang biasanya akan mengugut anak-anak kecil mereka supaya makan
nasi sampai habis. Kalau tak habis, nasi tu akan menangis. Kononnya...
Azfahan menoleh. ‘Sherry’ lihat, lelaki
itu sedang menahan senyum dengan lawak bodohnya.
“Kenapa kau tak suruh pakcik ais
krim tu tulis alamat rumah aku sekali kat atas ais krim roti tu? Lagi senang
setan tu nak cari aku nanti,” jawab Azfahan secara menyindir tetapi ‘Sherry’
langsung tidak terasa hati sebaliknya dia terus bantai gelak semahu-mahunya di
hadapan lelaki itu. Sampai tertunduk-tunduk kepalanya. Tak tahu nak cover cun betullah perempuan sorang ni!
“Bak sini ais krim tu aku nak makan.”
Tiba-tiba Azfahan dapat idea untuk mengumpan ‘Sherry’. Ada udang di sebalik
batu rupanya. Sebab itu lah agaknya dia sanggup makan ais krim murah yang baru
sekejap tadi dihinanya itu.
‘Sherry’ yang bodoh-bodoh alang itu
pula nampak gembira sungguh dengan permintaan Azfahan yang secara tiba-tiba
itu. Tak pandai langsung dia nak berburuk sangka.
“Tapi sebagai syarat memandangkan aku sudi
makan ais krim murah kau ni, kau kena temankan aku tengok matahari terbenam. Tu...
dekat tasik sana tu.” Seperti memaksa saja arahan itu dikeluarkan.
‘Sherry’ yang mendengarnya
mengerutkan dahinya. Pelik. Dan dia sedang berasa cuak juga sekarang ini.
Okay, pertama sekali, dia pelik
kerana syarat yang diberikan oleh lelaki itu. Iyalah sampai bersyarat-syarat
semata-mata nak ajak aku tengok matahari terbenam. Dia ni memang suka sangat
dengan matahari ke?
Dan pada masa yang sama, dia berasa
cuak pula kerana dia memang tak suka tengok matahari. Lagi-lagi matahari sedang
terbenam yang nampak jelas sekali percikan api cahayanya. Dari kecil lagi dia
semacam fobia dengan semua itu. Tak suka, tak suka!
“Alangkah bestnya kalau aku dapat berdiri sambil peluk pinggang girlfriend aku dekat atas ni sambil tengok
matahari yang tengah nak terbenam. Mesti pengalaman tu akan jadi pengalaman yang
paling indah dalam hidup aku kan?” ujar Azfahan tiba-tiba dengan suara yang
penuh romantis, seakan-akan kata-kata itu memang diniatkan untuk ditujukan pada
‘Sherry’. Bukan pada kekasihnya, Sazzy. Tapi ketika ini, dia sedang memandang
ke arah pemandangan menakjubkan yang berada di hadapan mereka, tidak lagi pada
wajah ‘Sherry’.
Bibirnya galak mengukir senyuman,
siap terpejam matanya membayangkan impiannya yang satu itu. ‘Sherry’ pula sudah
tercengang. Aku ni punyalah takut dengan matahari, boleh lagi dia cakap macam
tu?
“Kau tak rasa seronok ke kalau dapat
buat macam tu dengan boyfriend kau?”
soal Azfahan tiba-tiba. Dia kelihatan berminat sekali membincangkan tentang
perkara itu. Namun, terus jadi hampa bila dia lihat ‘Sherry’ menggelengkan
kepalanya.
“Dari kecil lagi aku takut nak
tengok matahari...”
Walaupun pelik, Azfahan mengangguk
juga. Sekarang barulah dia tahu kenapa sedari tadi ‘Sherry’ hanya memandang ke
arahnya. Langsung tidak memandang ke hadapan, ke arah matahari yang sedang
ingin terbenam di sebalik gunung tegap nun jauh di hujung sana.
Dia nampak pandangan ‘Sherry’
seperti sedang mengelamun, merenung tanah yang hanya terdapat batus-batu keras
dan kecil.
“Pernah sekali tu waktu aku pandang
matahari, aku terus terfikir. Betapa hebatnya matahari kerana mampu menerangi
seluruh alam di dunia ini. Dari jauh pun kita sudah terasa panas. Apatah lagi
kalau matahari tu betul-betul terpacak kat atas kepala kita. Dan setiap kali
aku pandang matahari, aku akan terus terfikir bagaimana pulalah agaknya keadaan
api neraka kalau matahari yang aku pandang dari jarak yang terlalu jauh pun,
aku terpaksa kecilkan mata aku sebab tak tahan dengan cahayanya yang panas dan
terik.
“Nampak macam kolot aje kan
pemikiran aku. Tapi itulah hakikatnya. Aku memang takut nak pandang matahari
sebab setiap kali aku pandang, aku terus teringatkan dosa-dosa aku, aku akan
terus terfikirkan gambaran tentang api neraka,” luahnya lagi. Kali ini, dia
memang sudah tidak fikirkan tanggapan Azfahan terhadapnya. Biarlah dia dianggap
gadis kampung yang berfikiran kolot sebagaimana yang selalu keluar dari mulut
lelaki itu. Dia sudah tidak kisah.
“Jomlah kita balik.” Tiba-tiba itu
pula yang keluar dari mulut Azfahan. Pelik ‘Sherry’ jadinya. Kenapa tiba-tiba
nak balik? Tadi bukan ke dia nampak seronok sangat sebab dapat tengok matahari
terbenam? Dia marah ke aku cakap macam tu?
Bongoklah kau ni, ‘Sherry’. Mestilah
dia sentap bila kau cakap macam tu. Dia punyalah beriya-iya nak peluk awek dia
kat atas bukit ni sambil menghadap matahari, kau pulak waktu-waktu ni jugak nak
bagi ceramah pasal agama, pasal dosa pahala, pasal api neraka. Mana dia tak
sentap kalau dah macam tu!
Seperti ada satu suara yang menyergah
di telinganya, terus membuatkan dia berasa serba-salah. Dia lihat Azfahan sudah
pun berdiri dan memusingkan tubuhnya. Malah, sudah beberapa langkah pun lelaki
itu berjalan meninggalkannya.
Dengan tergesa-gesa, ‘Sherry’ pun
bangun dengan niat ingin mengejar sekaligus memujuk lelaki itu. Namun apabila
dia cuba melangkah, kakinya terasa kejang. Terasa sakit yang teramat sangat.
Sakit yang menyucuk-nyucuk sehingga ke seluruh urat sendi dan menyengat
sehingga ke dalam sedalam-dalamnya tulang kaki. Dia cuba lagi. Malangnya,
gagal. Dia hanya mampu mendengus kesakitan di situ dan dengan suara yang
tertahan di kerongkong, dia cuba memanggil Azfahan yang sudah semakin ke depan.
Semakin lama, tubuhnya semakin layu
membongkok ke bawah. Ketika itu, dia perasan ada tangan yang sedang memaut
kedua-dua belah bahunya. Namun, seperti tidak sudi saja tangan itu membantunya.
“Kau okay tak ni?” Dan dia dapat
dengar suara itu bertanya seperti tidak berperasaan saja. Mendatar dan langsung
tidak kedengaran seperti sedang cemas.
Mahu sahaja dia mengangguk. Tapi
untuk apa membohongi dirinya sendiri. Bukannya kakinya larat pun nak berjalan
pulang semula ke vila yang jauhnya lebih kurang satu kilometer dari sini.
“Kaki aku sakit. Aku langsung tak
boleh nak jalan ni. Nak gerakkan sikit pun sakit. Sakit sangat...” Akhirnya,
dia terpaksa juga mengadu tentang keadaan kakinya itu.
“Habis tu, macam mana ni?” soal Azfahan
seperti orang bodoh.
‘Sherry’ sempat lihat riak pada
wajah tampan itu. Dia dapat rasakan Azfahan masih berkecil hati dengan apa yang
berlaku tadi. Mahu saja dia meminta maaf pada lelaki itu sekarang juga atas
kesilapannya tadi. Tapi, kakinya terlalu sakit. Apa pun, dia memang tak ada
niat langsung mahu menyindir lelaki itu dengan membuka cerita tentang rasa
fobianya dia pada matahari.
“Boleh tak kau balik ambil kereta
kau bawa sini. Aku tak larat nak jalan ni. Sakit...” luahnya beriya-iya. Memang
dia mahu membeli rasa simpati daripada lelaki itu pun memandangkan dia
benar-benar memerlukan pertolongan Azfahan ketika ini. Lagipun dia tahu betapa
susahnya nak membeli hati lelaki ini, jadi apa salahnya dia merayu.
“Habis tu, takkanlah aku nak
tinggalkan kau sorang-sorang kat sini?”
“Takpe.
Aku boleh. Cepatlah. Aku tunggu...” Itu sahaja yang dijawab oleh ‘Sherry’. Dia kelihatan
semakin tidak tenteram menanggung sakit. Kakinya berdenyut lain macam. Tak
tahulah apa puncanya. Mungkin juga kerana tadi dia berjogging dengan kasut
tumit tinggi yang tak berapa nak tinggi itu agaknya. Itulah, suka sangat buat
kerja gila. Nasihat Azfahan tadi tak nak dengar langsung!
“Mana boleh. Bahayalah! Lima minit
lagi dah nak masuk pukul tujuh. Takkan aku nak tinggalkan kau kat sini
sorang-sorang. Mana tahu ada orang jahat ke. Kawasan ni dah lah sunyi.
Silap-silap harimau pun ada.”
Bukannya ingin menakut-nakutkan.
Walaupun kawasan ini jangankan kata binatang-binatang buas, rasa-rasanya monyet
pun susah nak jumpa. Hutan ini betul-betul terjaga. Cuma risau juga kalau-kalau
ada manusia yang berniat jahat. Kawasan sunyi nak pulak kawasan hutan macam ni,
lagi memudahkan manusia yang berniat jahat untuk melunaskan rancangan mereka
meskipun kawasan vila ini dikawal secara ketat dan rapi.
‘Sherry’ terdiam, seperti sedang
memikirkan satu keputusan. Memang ada benarnya apa yang dikatakan oleh Azfahan
itu.
“Habis tu, macam mana? Dengan
telefon tak bawa, bukannya boleh nak call
sesiapa nak minta tolong.”
‘Sherry’ sudah cuak memikirkannya.
Sewaktu mereka hendak keluar jogging tadi, baik dia mahupun Azfahan,
masing-masing tak bawa telefon bimbit. Iyalah, buat berat poket seluar aje nak
berlari.
Habis macam mana sekarang ni?
Janganlah dia tinggalkan aku sorang-sorang kat sini. Ya ALLAH, apalah malangnya
nasib aku ditakdirkan untuk menghadapi ujian sebegini dengan manusia yang tak
berperasaan macam mamat ni. Dah sah-sah dia ni jenis pentingkan diri sendiri.
Matilah aku...
“Nak buat macam mana lagi.
Terpaksalah aku dukung kau.”
“Hah?” Hampir nak menggigil tubuh ‘Sherry’
mendengarnya. Dah gila agaknya dia ni!
“Tak payahlah kau pura-pura buat
muka terkejut pulak. Padahal dalam hati kau tu bukan main seronok lagi bila
dapat tahu ada seorang lelaki handsome
yang begitu mulia sekali hatinya sampaikan sanggup mengenepikan rasa jijiknya
kerana terpaksa mendukung badan kau yang langsung tak menggiurkan tu,” hina Azfahan
selamba.
Kali ini, ‘Sherry’ terlopong dengan
kadar keluasan mulut yang lebih luas lagi. Matanya terjegil ingin memarahi
kebiadaban kata-kata yang keluar daripada mulut Azfahan. Tapi belum apa-apa,
tubuh kecilnya itu sudah melayang ke atas dengan sekali rentapan.
Dia kini sudah pun berada di dalam
kendongan lelaki itu. Kemas sekali lipatan antara paha dan betisnya dicempung
oleh tangan sasa itu sementara tangan kiri Azfahan pula menampung dan memaut
erat bahagian bahunya.
Tanpa berkata apa-apa, Azfahan terus melangkah
dan memandang sahaja ke hadapan tanpa menghiraukan apa saja yang berada di
fikiran ‘Sherry’ atau apa saja yang mengundang rasa tidak puas hati di dalam
hati ‘Sherry’. Tidak berperasaan saja mukanya. Nak kata marah, nampak macam
serius dan tenang saja raut wajahnya. Nak kata okay, tak nampak macam okay pun.
Diam aje dia tak bercakap walau sepatah.
‘Dia marah lagi ke kat aku ni? Tapi,
memang tak patut aku pergi bukak cerita pasal matahari tu walaupun aku memang
tak ada sebarang niat nak sindir dia. Habis tu macam mana? Macam mana aku nak
pujuk dia?’
‘Ajaklah dia sambung tengok
matahari, dia kan suka tengok matahari terbenam. Apalagi, ajaklah,’ balas suara
hatinya.
‘Tapi aku takut nak tengok
matahari...’ Dia seperti berputus-asa.
‘Alah tengok aje lah. Kali ni aje.
Tak payah fikirkan sangat perasaan takut kau tu. Berkorbanlah sikit. Sanggup ke
kau tengok dia bermasam muka dengan kau macam ni?’ desak suara hatinya lagi.
‘Tak, tak. Aku tak sanggup. Aku tak
suka tengok dia sedih. Aku lagi suka tengok dia garang dan marah-marah aku
macam biasa.’
‘Jadi, apa kau tunggu lagi. Pergilah
pujuk dia. Ajak dia tengok pemandangan matahari terbenam. Sekejap pun jadilah.’
‘Eeeee...Susah betullah kalau dengan
manusia yang tak berperasaan ni. Aku sendiri tak tahu dia marah ke, merajuk ke,
atau tak kisah dengan apa yang berlaku tadi. Tengok muka dia macam okay aje.
Tapi kalau okay, kenapa diam macam tu? Perlu ke aku pujuk dia dan ajak dia
tengok matahari yang dah nak terbenam tu?’
Alah ajak aje lah. Sekejap pun
jadilah.
‘Satu...’ ‘Sherry’ mula
mengira-ngira di dalam hati.
‘Dua...’
‘Tiga...’
“Eh, berhenti kejap. Tengoklah
matahari kat belakang tu. Wah, cantiknya...” jerit ‘Sherry’ tiba-tiba dengan
suara yang teramatlah teruja. Walhal, cuma kepalanya sahaja yang ditoleh ke
belakang, tetapi matanya masih terpejam menandakan dia langsung tidak bersedia
untuk melihat pemandangan matahari terbenam nun jauh di belakang mereka.
Cuma dia perasan yang Azfahan dengan
tiba-tiba sahaja mematikan langkahnya. Serentak itu, jantungnya mula berdegup
cemas. Sebenarnya, dia gelisah memikirkan kalau-kalau apabila Azfahan menoleh nanti,
pemandangan yang didakwanya sebagai cantik itu hakikatnya tidaklah seindah
mana. Tentu lelaki itu kecewa. Lebih kecewa lagi kalau matahari yang tadinya
sudah hampir nak terbenam, sudah pun terbenam dan lenyap bersemadi di belakang
gunung tegap nun jauh di belakang sana itu. Tentu makin panjang rajuk Azfahan.
Silap-silap dirinya akan dibenci atas apa yang berlaku.
Semakin berdebar dada ‘Sherry’
apabila dia yang masih didukung itu dapat merasakan tubuh Azfahan berpusing
perlahan-lahan untuk menoleh ke belakang. Ya ALLAH, agaknya apalah reaksi
lelaki ini nanti? Marahkah dia kalau apa yang dia lihat nanti tu tidak seperti
yang dia harapkan?
Tak sanggup rasanya untuk mendengar
walau sepatah perkataan yang keluar dari mulut lelaki itu. Namun, setelah agak
lama Azfahan memusingkan tubuhnya, dia masih tidak mendengar apa-apa. Debaran
di dadanya pun sudah tinggal sedikit memandangkan terlalu lama dia menanti
untuk mendapat respon daripada lelaki itu. Namun, Azfahan masih diam. Apakah
dia sedang diam memendam rasa kecewa dan hampa?
Gusar memikirkan semua itu,
perlahan-lahan ‘Sherry’ memaksa dirinya untuk membuka sahaja mata yang dipejam
rapat sedari tadi. Dia bagaikan sudah dapat mengagak bagaimana reaksi dan riak
yang terlukis pada wajah tampan itu. Tentunya sekarang ini Azfahan sedang
menanggung rasa meluat dan boleh jadi rasa benci terhadap dirinya kerana telah
mempermain-mainkan dirinya. Mendengarkan sahaja suaranya yang teruja tadi pun seolah-olah
pemandangan di hadapan sana itu digambarkan terlalu hebat sedangkan hakikatnya
tidak. ‘Dan tentu-tentulah dia akan berasa semakin menyampah dengan aku! Aku
yang tak pernah serius. Dan aku yang banyak main-main!’
‘Sherry’ mengeluh. Perasaan takut
untuk menghadap dan menatap matahari sudah lama terpinggir tanpa dia sedari.
Cuma sekarang dia hanya takutkan penerimaan Azfahan.
Agak lama juga masa yang dia
perlukan untuk membuka matanya. Mulanya dia hanya membuka separuh sahaja, namun
bagai ada perasaan takjub yang membuatkan dia untuk terus membuka matanya itu
dengan lebih luas lagi.
‘Subhanallah....’
Dengan mata yang bulat dan bersinar-sinar, kalimah itu hampir berbisik ketika meniti
di bibirnya.
Itulah kalimah pertama
yang terbit dari bibirnya yang sudah bergetar-getar itu sebaik matanya menyaksikan
betapa indahnya panorama di hadapan mereka ketika ini.
Sejujurnya, inilah pemandangan yang
paling indah pernah dia saksikan sepanjang hayatnya. Sehinggakan perasaan takut
dan fobianya selama ini hilang dan lenyap begitu sahaja hanya dalam sekelip
mata. Dia sendiri tidak sangka sehingga begitu pula jadinya. Cuma ketika ini,
apa yang dapat dia rasakan, dia begitu kagum dan takjub sekali menatap
pemandangan di hadapan mereka. Pemandangan matahari yang hampir tenggelam di
sebalik gunung, dan matahari itu kelihatan seolah-olah mencair dan tenggelam
sama ke dalam tasik. Tasik yang tenang dan begitu jernih sekali permukaannya
sehinggakan perahu yang terdapat di atas permukaan air pun kelihatan seperti
terapung-apung di udara dek kerana airnya yang terlalu jernih. Indahnya, tak
terucap dengan kata-kata, tak tergambar walau dengan lukisan yang paling cantik
di dunia.
Paling dia teruja, bila melihat pada
sinaran matahari yang sedang menyerakkan cahayanya. Lalu terciptalah satu jalur
cahaya lurus dan memanjang di tengah-tengah permukaan tasik yang apabila
dilihat dari atas, kelihatan seolah-olah seperti satu jambatan emas yang sedang
merentang dengan megahnya. Seolah-olah sesiapa sahaja boleh berdiri di atas
jambatan tersebut dan jambatan itu akan membawa mereka naik sehingga ke atas
puncak gunung. Begitu sekali keindahan pemandangan di hadapan itu mempengaruhi
imaginasi ‘Sherry’ yang masih membuak-buak perasaan kagumnya.
“Dari kecil lagi aku tinggal dekat vila
ni. Boleh dikatakan tiap-tiap hari lepas balik sekolah aku akan terus datang ke
sini. Dan sekarang, walaupun dah bertahun aku tinggal dekat Kuala Lumpur, bila
sesekali aku pulang ke sini, aku tetap akan datang ke sini tiap kali aku rasa
nak datang. Walaupun aku sendiri dah tak terkira berapa kali aku datang ke
sini, apa yang boleh aku katakan, pemandangan kali ini adalah yang paling
indah, dan yang paling cantik pernah aku lihat berbanding sebelum-sebelum ini,”
luah Azfahan tiba-tiba dengan mata yang layu menahan nikmat apabila wajahnya
disapu lembut dek pukulan angin.
Seperti ‘Sherry’ yang masih kemas di
dalam dukungannya, dia juga sedang menikmati keajaiban yang sama iaitu satu
perasaan yang amat indah, yang tidak terluah dengan kata-kata sewaktu detik pertama
dia menyaksikan keindahan panorama di hadapannya ketika ini.
Cahaya matahari yang sudah bertukar
luar biasa cahaya kekuningannya itu menambah serikan lagi keindahan pemandangan
di hadapan matanya. Dan dia tersenyum tanpa sedar bila dia lihat ‘Sherry’ juga
kelihatan teruja menikmati pemandangan di hadapan mereka walau dengan kaki yang
sakit.
Namun, bagai terlupa seketika
tentang kesakitan itu. Dalam diam, dia ikhlas mengagumi ‘Sherry’ yang sudi
untuk berkongsi dengannya detik-detik indah menikmati keindahan suasana dan
pemandangan matahari terbenam meskipun dia sudah maklum tentang rasa fobia
gadis itu. Tidak seperti Sazzy yang sentiasa menolak dan langsung tidak mahu
mencuba setiap kali diajak.
“I tak suka lah berdiri macam
tunggul, macam orang bodoh semata-mata nak tunggu matahari tu terbenam. You tak
fikir ke semua tu kerja bodoh? Buat apa nak tunggu semata-mata nak tengok semua
tu? Nak tunggu aje dah habis masa entah berapa jam. Panaslah... I tak suka.
Sebagai model, I wajib jaga kulit I ni daripada dibiarkan terdedah terlalu lama
di bawah cahaya matahari. You pun tahu kan kulit I ni sensitif. Kalau you nak
tengok jugak, you pergilah sorang-sorang. Tak pun search aje dekat YouTube. Senang cerita. Tak payah nak kena tunggu
lama-lama, terus aje tengok kat situ!”
Itu yang dibalas Sazzy sewaktu dia
berkali-kali berusaha memujuk kekasihnya itu untuk menemaninya. Agaknya dah
bosan apabila sudah terlalu kerap diajak, Sazzy mula meleterinya. Ketika itu
dia dan Sazzy baru selesai menjalankan rawatan di spa. Di dalam kereta, dia
hanya mendiamkan diri. Entah kenapa, dia berasa sangat hampa dan kecewa hanya
disebabkan perkara sekecil itu. Mungkin kecil bagi orang lain, tapi tidak bagi
dia yang menganggap pemandangan matahari terbenam itu sebagai salah satu daripada
impiannya yang bercita-cita untuk menikmati keindahan itu bersama teman
hidupnya nanti dan dia juga sebenarnya pernah memikirkan untuk melamar
kekasihnya di situ. Ya, di sini. Di atas pinggir bukit ini. Tapi nampak macam
tak ada harapan. Sazzy bukannya mahu.
“Eeee...
Comotnya mulut kau. Makan ais krim mengalahkan budak-budak! Hilang terus macho kau yang kau bangga-banggakan
sangat tu. Ni kalau Sazzy nampak ni, aku yakin sekarang jugak dia minta putus.”
Azfahan yang sedang berkhayal
terpinga-pinga bila telinganya terdengar suara yang riuh itu. Sedar-sedar
sahaja, dia lihat ‘Sherry’ sudah ketawa beriya-iya seperti selalu.
Memandangkan dia tidak begitu jelas
dengan apa yang didengarinya tadi, dia memandang semula ke hadapan, ke arah
matahari yang sudah pudar percikan cahayanya memandangkan senja pun sudah
hampir berlabuh mengundurkan diri bagi memberi ruang pada malam untuk bertahta
menakluk langit tinggi.
Kelekaan Azfahan yang masih asyik
dan sentiasa teruja menatap keindahan alam itu digunakan ‘Sherry’ untuk menatap
sepuas-puasnya wajah tampan itu meskipun dari arah bawah. Kesan comot yang
masih belum dikesat itu terus saja mengingatkan dia tentang sesuatu. Sesuatu
yang sebenarnya hanyalah gurauan, tetapi boleh juga menjadi satu impian dalam
hidupnya.
“Kalau boleh, aku nak lelaki yang handsome, yang kaya, yang kerja kat
dalam tempat sejuk yang ada air-cond
dan yang duduk dekat atas kerusi office yang
boleh pusing-pusing tu. Tapi aku tak suka kalau lelaki tu ada driver, aku nak
dia drive kereta mewah dia sendiri. Barulah nampak macho.”
Ni mesti banyak terpengaruh dengan
drama-drama Samarinda dekat TV3 tu, fikir ‘Sherry’ ketika itu. Entah bagaimana
topik itu boleh pula dibincangkan, dia pun dah lupa. Ketika itu, dia tersenyum sahaja sewaktu mendengar impian
Rosalinda, kawan sekampungnya. Atau lebih tepat lagi, kawan ‘sekejap baik
sekejap gaduh’. Tapi rasanya masa bergaduh lagi banyak daripada masa berbaik
kot sebab Rosalinda ni memang selalu sangat cemburu dengannya.
Dia masih ingat lagi jawapan yang
dia berikan sewaktu Rosalinda memaksanya pula untuk memberitahu tentang lelaki
idamannya.
“Aku suka lelaki yang suka makan ais
krim roti.” Dan dia juga masih ingat lagi bagaimana reaksi Rosalinda sewaktu
dia mengeluarkan kenyataan itu. Hampir terpelanting jugalah bunga yang terselit
di tepi telinga Rosalinda dek kerana terlalu terkejut. Bunga apa ya? Lupa
lah... Tapi hari tu rasanya hari Sabtu. Jadi, rasanya bunga orkidlah kalau hari
Sabtu.
Jangan pelik ya! Rosalinda memang
macam tu. Dia memang ada susun jadual yang akan mengingatkan dia untuk menyelit
jenis bunga di tepi telinganya. Kalau hari Sabtu telinganya terselit dengan
bunga orkid, esoknya mesti akan ditukar dengan bunga lain pula. Pernah satu
hari tu, pokok orkid kepunyaan nenek Rosalinda susah sangat nak keluarkan
bunga. Mungkin sebab belum masuk musim agaknya. Dah jadi satu hal pula bila
Rosalinda tetap merengek mahukan bunga orkid untuk diselitkan di tepi
telinganya memandangkan hari itu hari Sabtu. Jadi waktu itu, terpaksalah dia
menemani Rosalinda untuk membeli bunga orkid di kedai bunga. Bukannya dekat
jarak pekan kalau dari ceruk kampungnya yang terletak jauh dari kepesatan
bandar itu. Agaknya kalau bunga Rafflesia pun tersenarai sekali dalam jadual si
Rosalinda ni, sanggup ke dia merantau sampai ke Sabah untuk petik bunga gergasi
tu untuk diselitkan dekat tepi telinga dia?
Itulah Rosalinda... Maka tidak
hairanlah kalau orang kampung menggelarnya Rosalinda, kononnya nak samakan
dengan Rosalinda yang dulu pernah hit dekat dalam TV3 tu lah padahal nama
sebenar Rosalinda kawan sekampungnya itu tidaklah seindah mana. Tapi Rosalinda
kat dalam TV tu tak ada lah sampai susun jadual walaupun dia minat dan obses
pada bunga.
“Mana nak cari lelaki yang suka
makan ais krim. Kalau ada pun, mesti lelaki tu terencat!”
Bila diingat balik, rasa sakit hati
pun ada juga dengan kata-kata Rosalinda itu dulu. Biadap sungguh!
“Nak buat macam mana. Dah aku suka.
Dah lelaki macam tu yang jadi idaman aku.”
Ketika itu, dia sudah tak ada mood untuk membincangkan tentang hal
itu.
“Tapi kenapa?”
Malangnya, Rosalinda berbadan besar
yang sepatutnya selitkan bunga Rafflesia dekat celah telinganya yang tebal itu
masih lagi mahu mendesaknya supaya terus bercerita.
“Supaya bila aku ada anak-anak kecil
nanti, suami aku dapat temankan aku dengan anak-anak aku makan ais krim
sama-sama. Mesti sweet kan pengalaman
tu?”
Seperti yang dijangka, Rosalinda
mengambil peluang itu untuk memperlekeh dan mentertawakannya. ‘Sherry’ pula di
dalam hati berharap sangat agar ada lebah yang hinggap dekat telinga Rosalinda
yang penuh dengan bunga itu supaya disengat sekali telinga tebalnya itu.
“Tak sweet langsung. Tapi aku tetap nak tahu. Kenapa mesti ais krim
roti?”
“Oh, ais krim roti tu bila aku
dengan suami aku aje. Bila dengan anak-anak, ais krim biasa aje. Tapi suami aku
kena makan comot-comot macam anak-anak aku jugak.”
“Kenapa macam tu pulak?”
“Mana boleh bagitahu kau. Rahsia!
Aku dengan bakal suami aku aje yang akan tahu.”
Rosalinda mencebik sambil buat muka
meluat sebelum dia sambung semula ketawanya tadi. Ketika itu, ‘Sherry’ hanya
mengerutkan dahinya melihat reaksi Rosalinda.
Kenapa mesti begitu sekali dirinya
diketawakan? Bukankah perkahwinan itu sesuatu yang indah dan manis. Dan kalau
diibaratkan, mungkin juga manisnya semanis ais krim. Dia masih belum berkahwin
dan dia masih serba tidak tahu tentang alam yang bernama perkahwinan. Cuma
setiap kali dia memikirkannya, dia akan menganggap perkahwinan itu sesuatu yang
manis seperti manisnya ais krim yang dinikmati pada musim panas. Itu sahaja lah
jawapan yang dia ada memandangkan dia pun masih terlalu muda untuk
membincangkan tentang perkahwinan. Takkanlah nak bagi jawapan yang tak senonoh.
Buat malu agama dan keluarga saja!
“Jomlah balik. Dah nak maghrib dah
ni.”
Giliran ‘Sherry’ pula yang tersentak
dari khayalannya.
Astaghfirullah...
Dek kerana terlalu takjub dengan keindahan di hadapan mereka ketika ini, dia
sampai boleh jadi sebegitu leka. Siap sempat berkhayal lagi. Sudahlah sekarang
ini dia berada dalam keadaan yang tidak sepatutnya. Keadaan tubuhnya yang masih
diangkat kemas oleh lelaki yang bukan mahramnya.
‘Ya ALLAH... Ampunkan aku, ya
ALLAH... Ampunkanlah hambaMU ini. Sepatutnya aku sentiasa berjaga-jaga dan
sentiasa berusaha menjaga maruah diri ini. Sedangkan KAU sendiri dengan penuh
limpah kasihMU melindungi aku dengan sebaik-baiknya, dan Engkau juga telah
meninggikan darjatku sebagai hamba yang Engkau hidupkan di muka bumi ini. Jadi
sepatutnya aku tidak terus leka dengan membiarkan maruah diri ini tidak
diawasi... Dan sepatutnya matahari itu mengingatkan aku tentang azab seksaanMU.
Tapi sayangnya, aku alpa dan leka. Ampunkan aku, ya ALLAH...’
Hampir sahaja ‘Sherry’ teresak
menangis di situ. Namun ditahannya supaya tidak mengundang salah sangka
daripada mana-mana sekiranya mereka bertembung dengan sesiapa di jalan yang
sunyi ini.
Kira-kira lebih kurang lima belas
minit selepas itu, mereka pun sampai semula ke vila. Serentak itu juga azan
maghrib kedengaran. Maka, makin bersalahlah ‘Sherry’ jadinya.
“Terima kasih sebab temankan aku
tengok matahari terbenam.”
Ucapan terima kasih daripada Azfahan
sebaik sahaja dia menurunkan ‘Sherry’. Itu pun atas permintaan ‘Sherry’
sendiri. Kalau ikutkan Azfahan, sebenarnya dia mahu mengangkat tubuh ‘Sherry’
sehingga ke dalam biliknya memandangkan kaki ‘Sherry’ yang masih sakit dan
masih sukar untuk digerakkan. Tapi nanti, apa pula kata orang lain dekat dalam vila
ni. Cukuplah dengan apa yang berlaku tadi. Walaupun dia terpaksa meminta
bantuan lelaki itu memandangkan kakinya yang sakit, namun dia tetap berasa
bersalah.
Senyuman tawar diukir penuh paksa
bagi membalas ucapan terima kasih daripada Azfahan tadi. Sangkanya lelaki itu
menyindirnya, namun setelah dia berpeluang menatap wajah tampan itu, barulah
dia tahu yang lelaki itu sebenarnya serius dan benar-benar ikhlas memaksudkan
apa yang diucapkannya tadi.
Pandai juga manusia sorang ni
menghargai usaha orang lain rupanya. Selama ni bermacam bantuan kecemasan yang
aku bagi dekat dia termasuklah rawatan untuk mata dia yang lebam tu. Tapi nak
dengar dia cakap terima kasih kat aku, bukan main payah. Nampak sangat yang dia
terlalu seronok sebab dapat tengok pemandangan matahari terbenam sampai sanggup
bazirkan air liur dia tu semata-mata nak ucapkan terima kasih dekat aku.
Sebenarnya ‘Sherry’ ingin mencebik
saja, sebagai membalas ucapan ‘terima kasih’ daripada Azfahan tadi. Tapi macam
tak beradablah pula. Jadi, dia memilih untuk menyokong kerajaan yang menyeru
masyarakat Malaysia mengamalkan konsep ‘Budi Bahasa Budaya Kita.’
Dengan teragak-agak, dia pun
merancang untuk meluahkan ucapan yang sama. Lantas, kepalanya ditundukkan
sedikit.
“Urmmmm....
Urrrr... Terima kasih. Terima kasih
juga sebab tolong...” Namun, lidahnya terasa kelu pula untuk melengkapkan ayat
itu.
Kononnya dia pun nak berbudi
bahasalah jugak. Tapi bila dah tersebut di mulut, rasa tak sanggup pula nak
sebut sampai habis. Tiba-tiba rasa malu bila ingat semula bagaimana kemasnya
tubuhnya dipeluk oleh lelaki itu. Masih terasa lagi panasnya tangan sasa itu
pada tubuhnya. Bulu romanya yang tegak tinggi itu pun masih belum menunjukkan
tanda-tanda nak layu.
Niatnya ingin cepat-cepat beredar
dari situ. Namun sebaik terpandangkan semula muka Azfahan, niat itu tertangguh.
Baru dia perasan yang kesan comot ais krim pada bawah mulut lelaki itu masih
tidak dikesat. Walaupun kesan tersebut sudah kering, tetapi masih dapat dilihat
dengan jelas.
“Aku suka lelaki yang suka makan ais
krim roti.”
Sekali lagi dia teringatkan
perbualannya dengan Rosalinda yang berlaku beberapa hari sebelum dia
‘berhijrah’ ke Kuala Lumpur.
“Supaya bila aku ada anak-anak kecil
nanti, suami aku dapat temankan aku dengan anak-anak aku makan ais krim roti
sama-sama. Mesti sweet kan pengalaman
tu? Tapi, ais krim roti tu bila aku dengan suami aku aje. Bila dengan
anak-anak, ais krim biasa aje. Tapi suami aku kena jugak makan comot-comot
macam anak-anak aku jugak.”
Ketika ini, ‘Sherry’ tak tahu sama
ada dia perlu tersenyum atau sekadar berlagak selamba. Cuma dia tertanya, kalau
bukan Azfahan lelaki yang melengkapi ciri-ciri lelaki idamannya iaitu lelaki
yang makan ais krim roti sehingga comot, akan adakah lelaki lain lagi selepas
ini yang akan makan ais krim roti secomot lelaki yang seorang ini?
Kalau ada, siapakah jejaka itu? Atau
memang Azfahan ‘Lelaki Ais Krim Roti’ yang menjadi idaman kalbunya, yang
dinanti-nantikannya selama ini?
Kali ini, ‘Sherry’ terasa semacam
nak tergelak pula. Dia tidak rasa yang dia serius dengan topik yang
dibincangkannya dengan Rosalinda tidak lama dulu. Kalaulah dia ditakdirkan
berkahwin dengan mana-mana lelaki yang suka makan ais krim roti sekalipun, dia
kira itu sebagai satu bonus. Yang penting, lelaki itu semestinya bukanlah
lelaki yang sedang berdiri di hadapannya ini.
SELEPAS
menunaikan solat Maghrib, Azfahan kelihatan tergesa-gesa turun ke bawah.
Sewaktu dia melalui ruang tamu, dia lihat tiada sesiapa pun di situ. Jadi, dia
terus menuju ke dapur. Entah apa yang menarik dirinya untuk ke sana, dia
sendiri tidak sedar sewaktu kakinya melangkah ke ruang itu. Dia tidak pasti
apakah makanan yang dicarinya untuk mengisi perut yang hakikatnya tidak lapar
itu? Ataupun dia sebenarnya sedang mencari seseorang?
Sebenarnya, jarang sekali dia masuk
ke dalam dapur apabila dia berada di vila ini. Selalunya selepas menunaikan
solat Maghrib dia akan mengambil angin di luar. Sama ada dia akan duduk
sendirian menenangkan fikiran di gazebo sambil mendengar bunyi pukulan air dari
arah air terjun buatan yang terdapat di situ, atau paling tidak pun dia akan bersantai-santai
di atas kerusi malas di tepi kolam renang sambil merenung permukaan air yang
beralun tenang.
Tapi kali ini, dia terus
ke dapur. Motif?
Dan sebaik sahaja dia tidak menemui
apa yang dicarinya, dia pun keluar dari ruang itu dan menuju semula ke ruang
tamu utama vila tersebut. Di atas sofa yang sarat dengan ukiran tradisional itu,
dia hanya duduk menyandarkan tubuhnya. Tidak pula dia memasang televisyen.
Sebaliknya dia kelihatan seperti sedang memikirkan sesuatu.
‘Apa yang aku cari sebenarnya?
Sampaikan aku perlu tergesa-gesa macam tu sekali? Sampaikan masa berdoa dekat
atas tikar sejadah tadi pun aku langsung tak buat sungguh-sungguh.’
Mengeluh.
‘Bila aku tak jumpa apa yang aku cari tadi,
kenapa aku perlu terus mencari? Apa yang aku cari sebenarnya? Dan kenapa hati
aku ni terasa lain macam? Satu perasaan aneh yang membuatkan aku berasa gelisah
dan tidak senang. Aku seperti kerinduan. Tetapi siapa pula yang aku rindukan?’
Sewaktu soalan-soalan itu
berlegar-legar merungsingkan fikirannya, telinga Azfahan tertangkap satu esakan
halus yang diselangi dengan suara seperti orang sedang bercakap. Kalau tidak
diamati, rasanya dia sendiri tidak akan perasan. Cuma kebetulan ruang tamu di
mana dia berada sekarang ini berdekatan dengan sebuah bilik yang terdapat di
situ. Dan hatinya kuat mengatakan bunyi esakan itu tentunya datang dari dalam
bilik tersebut memandangkan hanya ada satu bilik sahaja yang berdekatan dengan
ruang tamu itu. Ada juga dia menoleh ke belakang. Tetapi tidak pula ada sesiapa
di sekelilingnya.
Sambil menahan rasa cemas,
perlahan-lahan Azfahan menegakkan tubuhnya, dan lambat-lambat juga dia
melangkah merapati pintu bilik berkayu jati yang tinggal beberapa langkah
sahaja di hadapannya. Begitu berhati-hati sekali pergerakannya. Bukannya kerana
dia takut. Tapi kerana bilik itu didiami oleh ‘Sherry’. Ingin juga dia tahu
sebab dan kenapa gadis itu menahan esaknya sehingga begitu sekali. Kedengaran
seperti teruk sahaja di telinganya keadaan gadis itu.
Kini dia sudahpun berdiri
betul-betul di hadapan pintu. Namun dia menjarakkan sedikit tubuhnya supaya
bayang-bayang kakinya tidak dapat dilihat dari dalam; dari celah kaki pintu
yang tegak di hadapannya.
Dari posisinya berdiri, dia terpaksa
memanjangkan lehernya untuk menekapkan telinganya ke dada pintu. Berkerut-kerut
dahinya sewaktu dia cuba mengamati sekaligus merekod butir-butir yang tidak
jelas menggunakan telinganya. Esakan yang semakin panjang dan kuat menjadikan
dia lebih sukar untuk mendengar segala yang sedang diluahkan oleh ‘Sherry’ yang
sedang berada di dalam bilik tersebut.
Hanya setelah lima minit, barulah
dia dapat mendengarnya dengan jelas sedikit. Itupun setelah lama dia menunggu
Sherry mendiamkan diri. Mungkin lima minit tadi digunakan gadis itu untuk
menenangkan perasaannya. Dan hanya bersuara kembali setelah keadaannya reda.
Namun, esakannya masih kedengaran jua ketika itu tetapi tidaklah seberat tadi.
Azfahan menekapkan telinganya dengan
lebih kuat lagi sebaik sahaja suara ‘Sherry’ yang putus-putus itu hinggap
samar-samar ke telinganya.
“Sekali lagi, aku merayu padaMU ya
ALLAH...” Itulah luahan pertama yang didengarnya keluar dari mulut gadis itu.
‘Tapi, apa yang dia doa sampai
beriya-iya macam tu sekali, dan apa yang dia mahukan sangat sampai macam tu
punya teruk sekali dia menangis?’
‘Dia nak koleksi terbaru Rizman
Ruzaini ke? Boleh jadi juga sebab dia kan minat sangat dengan baju-baju Rizman
Ruzaini. Kalau dah nak sangat, cakap aje lah dekat aku. Manalah tahu kot-kot
aku lembut hati nak belikan untuk dia.’
‘Ataupun dia berdoa sungguh-sungguh sebab
berhajat nak kahwin dengan lelaki kaya macam aku? Dia kan boleh tahan kuat juga
menghabiskan duit orang.’
Azfahan menghalau
kemungkinan-kemungkinan itu. Dia mahu mendengarnya dari mulut ‘Sherry’ sendiri.
Mungkin dari luahan hati gadis itu nanti, dia akan tahu juga mengapa ‘Sherry’ menangis
beriya-iya begitu.
“Aku merayu padaMU ya ALLAH. Aku
berharap sangat agar Kau ampunkan segala dosa-dosaku. Sesungguhnya aku akui
kealpaanku sewaktu aku biarkan tubuh aku ni disentuh oleh lelaki yang tidak
halal bagiku. Aku benar-benar tak sengaja, ya ALLAH... Ampunkanlah aku...”
Azfahan mengerutkan dahinya. Pelik.
Kenapa pulak dengan dia ni? Apa yang dia dah buat sebelum ni? Dan bila masa
pula dia melacurkan tubuhnya? Apakah semua itu adalah kisah yang sudah lama
berlalu atau semua itu baru saja berlaku? Kalaulah begitu sekali perbuatan yang
pernah dilakukan ‘Sherry’, sesungguhnya dia sendiri berasa teramat jijik. Dia
sendiri paling-paling pun hanya berpelukan dan berciuman pipi sahaja dengan
Sazzy. Walaupun dia terlalu menyayangi Sazzy, sehingga saat ini dia masih lagi
belum terlanjur dengan gadis kacukan Cina itu. Dia masih pandai menjaga batas
pergaulan walaupun ujian di kiri dan kanannya sering menguji nafsu dan
kesabarannya. Tapi setakat ini, dia masih mampu mengelakkan dirinya daripada
melakukan perkara-perkara yang hanya akan menghancurkan masa depannya.
Memikirkan semua itu, Azfahan
mencebik dengan muka yang cukup benci dan meluat. Langsung dia tidak menyangka
yang selama ini perempuan yang nampak baik, yang tidak pernah meninggalkan
solat dan kewajibannya ini adalah seorang perempuan yang pernah menggadaikan
maruahnya sendiri. Itulah... dari dulu lagi aku dah cakap. Perempuan bertudung
ni bukannya semua baik. Ada sesetengah tu, nampak aje baik. Tapi perangai
sebenar, mengalahkan pelacur.
Azfahan menggeleng. Tak sanggup
rasanya untuk dia terus berdiri di situ. Dia benci untuk terus mendengar esakan
halus itu. Tapi, entah mengapa kakinya terasa berat untuk beredar dari situ.
Apakah TUHAN itu sebenarnya ingin memberitahu sesuatu kepadanya?
Kakinya yang berat terasa semakin
berat dengan tiba-tiba, membuatkan dia terpaksa juga berdiri di situ walaupun
dia telah menggagahkan kakinya untuk bergerak pergi. Terpaksalah telinga terus
menadah esakan yang terasa begitu menjengkelkan sekali di telinganya.
“Ketahuilah ya ALLAH yang aku sebenarnya
terpaksa. Aku tak diberikan sebarang pilihan...”
Azfahan mencebik lagi. ‘Terpaksa konon!
Atas alasan apa sekalipun, kau tak sepatutnya jual maruah kau lah, bodoh! Dasar
perempuan terdesak! Kaulah sehina-hina makhluk yang pernah aku jumpa selama aku
hidup kat atas dunia ni kau tahu tak?’
Akibat rasa benci yang sudah tidak
tertahan, Azfahan menyumpah seranah semahu-mahunya seolah-olah manusia yang
dihamunnya itu sedang berdiri di hadapannya. Hakikatnya, kata-kata cacian itu
hanya bergema di dalam hatinya sahaja.
“Kaki aku terlalu sakit untuk bergerak waktu tu,
ya ALLAH. Walaupun kalau diikutkan, aku tahu yang aku masih mampu mengerah
kudratku untuk paksa diri aku ini supaya melangkah perlahan-lahan. Tapi
disebabkan kesakitan itu, aku malas dan langsung tak mahu nak mencuba. Aku
sedar, ya ALLAH. Aku sepatutnya bersyukur kerana aku hanya diuji dengan
kesakitan yang tidak seberat mana. Tapi malangnya, aku masih lalai dalam
mengingati seksaanMU yang jauh lebih pedih bagi mereka yang mengabaikan suruhan
dan laranganMU”
Luahan ‘Sherry’ kedengaran lagi
bersama esakannya yang kembali kuat.
Azfahan sudah pelik. Dahinya
berkerut-kerut dan dia terpinga-pinga sewaktu mendengarnya. ‘Tadi pelacur ni
bercerita pasal lelaki yang menyentuh badan dia, tapi sekarang ni kenapa dia
nak bercerita pasal sakit kaki pulak? Apa kaitannya?’
Dengan rasa ingin tahu yang
membuak-buak, Azfahan dengan penuh rasa teruja tetap menanti di situ dengan
penuh sabar.
“Aku biarkan saja dia angkat tubuh
aku, dan boleh pula aku hanyut dan leka bersama-sama dia menyaksikan pemandangan
matahari terbenam dekat atas bukit tadi. Berdosanya aku... Betapa cuainya aku
menjaga maruah diri aku sendiri. Malunya aku, ya ALLAH... Malunya aku pada
Engkau yang begitu bersungguh-sungguh sekali menjaga aku setiap waktu tanpa
terlepas walau sesaat sekali pun. Malunya aku pada Engkau ya ALLAH... Malunya
aku kerana telah membiarkan tubuh ini disentuh oleh lelaki yang bukan mahramku.
Malunya aku kerana telah membiarkan diriku ini hanyut sewaktu aku tidak diuji
dengan musibah yang berat. Agaknya kalau aku diuji dengan ujian yang jauh lebih
dahsyat daripadaMU berbanding dengan sekecil-kecil ujian yang aku hadapi tadi,
mampukah aku melepasinya ya ALLAH? Mampukah aku? Atau apakah aku akan terleka
lagi sehingga akan tergadai terus maruah diri ini? Astaghfirullah... Tolonglah kuatkan imanku, tolonglah cekalkan
prinsip hidupku, ya ALLAH... Tolonglah aku, ya ALLAH. Tolong aku...”
“Astaghfirullahalazim...”
Bergetar-getar kalimah itu meniti di bibir Azfahan yang jelas terkejut
sekali riak wajahnya ketika itu. Terus, saat itu juga dia meraup mukanya, berkali-kali
dengan perasaan yang teramat menyesal kerana telah membuat pertuduhan melulu
yang sangat melampau. Pertuduhan yang langsung tidak berperikemanusiaan!
Kejamnya dia kerana telah menyangka
yang bukan-bukan, sekaligus meletakkan seburuk-buruk tuduhan pada seseorang
yang sebenarnya begitu cermat sekali menjaga maruah dirinya. Sampaikan tadi dia
sempat memuji dan berbangga dengan dirinya sendiri kononnya dirinya jauh lebih
mulia daripada ‘Sherry’. Kononnya selama ini dia dan Sazzy paling teruk pun setakat
berpelukan dan berciuman pipi saja. Astaghfirullah...
Kenapalah dia boleh memiliki perasaan bangga dengan segala dosa yang
dilakukannya? Sedangkan ‘Sherry’ yang langsung tidak sengaja meminta dirinya
disentuh sewaktu kakinya sakit tadi itu pun begitu bersungguh-sungguh menangis
menyesali segala yang berlaku walaupun semua itu bukanlah kehendaknya.
Dia pula, setitis air mata pun
terlalu mahal dan terlalu payah untuk jatuh dari tubir matanya setiap kali
selepas dia melakukan dosa dengan kekasihnya Sazzy. Untuk melihat air mata
penyesalannya bagaikan menanti hujan pada musim kemarau.
Memang pun! Dia langsung tidak
pernah terfikir yang dia telah mengkhianati agamanya sendiri! Sebaliknya dia
berbangga kerana selama ini dia menyangka kononnya dia masih seorang manusia
yang bijak dan hebat kerana berjaya mengawal nafsunya daripada terlanjur
bersama-sama dengan Sazzy di atas ranjang. Dia terlupa yang dia sebenarnya sudah
sekian lama melakukan maksiat dengan Sazzy. Cuma dia saja yang tidak sedar. Dia
saja yang menganggap semua itu hanyalah satu perlakuan ringan.
Bagai langit dengan bumi jika hendak
dibandingkan dirinya dengan ‘Sherry’ yang begitu tertib sekali menjaga maruah
dirinya. Selama ini dia begitu bangga dengan apa yang dimilikinya sehinggakan
dia memandang rendah pada segala apa yang ada pada diri ‘Sherry’. Dia merasakan
dia adalah manusia yang cukup sempurna. Hakikatnya dia terlupa yang dia
sebenarnya adalah manusia yang sehina-hina manusia.