Friday, 11 January 2013

Isteri Paling Kelakar (BAB 28)



28





            DENGAN kelajuan sepantas cahaya, ‘Sherry’ berlari selaju-lajunya untuk turun ke tingkat paling bawah sekali. Tudung yang berkibar dengan megahnya langsung tidak diendahkan. Tahukah ‘Sherry’? Andai kata tudung yang tersarung pada kepalanya itu bermotifkan corak bendera Malaysia, tentu Perdana Menteri sendiri berasa kagum dan bangga melihat bagaimana megahnya tudung itu berkibar ketika ini.
            Daripada empat lif yang tersedia di situ, nampaknya ‘Sherry’ kelihatan nekad untuk menggunakan tangga sahaja walaupun sekarang ini dia sedang berada di tingkat dua puluh tujuh. Buat masa ini dia lebih percayakan keupayaannya sendiri untuk sampai ke tingkat paling bawah dalam masa kurang daripada lima minit!
            Dan buat masa ini, dia memang tak percayakan lif walaupun lif yang terdapat di kondominium itu begitu canggih sekali sistemnya dan terdapat banyak lif di situ bagi mengelakkan daripada berlakunya kesesakan. Namun, dia tetap nekad tidak mahu menggunakannya. Seperti yang dikatakan tadi, buat masa ini dia hanya percaya pada keupayaan dirinya sendiri. Dia tidak percaya pada lif! Ketika ini, dia menganggap lif seperti satu kepercayaan karut dan tahyul!
Sampai begitu sekali dia tidak percayakan bantuan dan kemudahan yang ada di sekelilingnya kerana buat masa ini, dia hanya percaya dan yakin pada kemampuan dirinya sendiri sahaja!
            Kenyataan yang sebenar-benarnya, dia sebenarnya tidak sanggup menunggu dan terpacak tanpa berbuat apa-apa di dalam kotak lif sekiranya dia memasukinya kerana baginya, dia pasti akan berasa gelisah sewaktu menunggu lif itu untuk turun ke bawah walaupun dia tahu, menggunakan lif lebih pantas jika dibandingkan dengan kelajuan kakinya yang terpaksa melangkah anak-anak tangga dari puncak tingkat dua puluh tujuh itu.
            Hebat tak hebat! Dia cuma lambat sikit saja daripada kelajuan lif. Tak sampai lima minit, dia sudah pun berada di tingkat paling bawah. Tapi keadaannya sekarang dah tak serupa orang. Termengah-mengah dia bernafas. Kalaulah ada sesiapa yang berdiri di hadapannya, tak mustahil kalau ada sesiapa yang pengsan bila terbau nafasnya. Sudahlah kuat makan sambal jering!
            Dengan perut yang terasa senak disebabkan kekurangan oksigen, ‘Sherry’ yang sudah kehabisan tenaga hanya mampu berlari-lari anak sahaja ketika menuju ke kolam renang yang terletak di tengah-tengah padang hijau bersih berbukit-bukit kecil yang memang sengaja dibiarkan luas dan lapang begitu tanpa sebarang jenis tanaman mahupun pokok-pokok. Cuma ada beberapa pokok kelapa saja yang bertindak menjadikan kawasan itu kelihatan lebih teduh. Walaupun kosong dan ‘bogel’ begitu, sejuk dan saujana sahaja mata yang memandang apatah lagi kawasan kondominium ini memang agak terlindung sedikit daripada cakaran cahaya matahari.
            Dari jauh, ‘Sherry’ kelihatan sedang tercari-cari kelibat Azfahan di situ. Ramai juga lelaki yang sedang berenang dan bersantai di situ waktu-waktu begini. Tapi kebanyakannya tidaklah berbadan tinggi dan sasa seperti Azfahan. Jadi, sepatutnya mudahlah dia untuk mengecamnya. Tapi, matanya masih gagal mengesan tubuh tegap itu. Mana pula dia pergi ni? Ya ALLAH, aku berharap sangat-sangat, janganlah dia masuk dalam kolam renang tu. Kalau tak, tak dapatlah aku nak shopping sakan hari ni!
            Dalam keadaan cemas itu, mata ‘Sherry’ meliar-liar lagi. Kali ini pandangannya beralih pula pada penduduk-penduduk kondo yang sedang bersantai di atas kerusi lentang yang berderet tersusun di satu bahagian khas bagi tujuan bersantai. Penduduk-penduduk di sini sesetengahnya terdiri daripada warga asing juga. Jadi pemandangan seperti di luar negara boleh dianggap sama juga dengan pemandangan sekarang yang sedang dilihatnya di mana yang lelakinya hampir semua hanya mengenakan seluar pendek yang ketat dan lebih singkat daripada paras lutut. Sementara yang perempuan pula ada yang berbikini tetapi ada juga yang hanya berseluar dalam dan mengenakan coli sahaja. Yang lelaki pun begitu, ada juga yang hanya berseluar dalam.
            Sebaik mata ‘Sherry’ terpandangkan sebilangan perempuan seksi yang mengelilingi seorang lelaki yang sedang bersantai di atas kerusi putih yang melunjur, dengan buah kelapa dicucuk straw yang terdapat di atas meja bulat tinggi di sebelahnya, lalu dia dengan yakin dan tanpa ragu-ragu lagi terus meluru ke sana.
            Tepat sebagaimana yang disangka. Memang Azfahan pun yang kelihatan sedang seronok dilayan gadis-gadis separuh bogel di satu sudut yang agak terselindung di situ.          Meluap-luap rasa marahnya tiba-tiba.
            Memang pantang betullah aku kalau tengok maksiat depan-depan mata macam ni. Dah besar panjang pun tak reti nak fikir ke mana baik mana buruk? Kata belajar sampai luar negara! Tapi otak letak dekat lutut. Dah tahu awak tu handsome, yang pergi posing maut atas kerusi  sampai macam tu sekali tu buat apa? Haissshhh... Kang maut jugak lelaki ni aku hempuk dengan kerusi pantai tu kang!
            “Ehem, Ehem!” ‘Sherry’ terpaksa menekan suaranya kuat-kuat untuk mengeluarkan bunyi itu memandangkan bunyi angin yang deras ketika ini menenggelamkan sedikit suaranya. Sampai terkeluar jugalah kahak dari kerongkongnya. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja dia kahakkan saja muka lelaki tak tahu malu itu. Itu yang selayaknya!
            Lagi bertambah mendidih hatinya sebaik sahaja dua orang perempuan yang berdiri di sisi mamat poyo itu mula menoleh memandangnya, siap buat muka meluat. Dan muka semacam tak puas hati. Macam nak perlekehkan si budak ‘Sherry’ ni pun ada juga.
            Hoi, patutnya aku lah yang buat muka meluat tengok korang berdua yang pakai tak senonoh sampai tersembul daging-daging gebu kat dada tu. Tak rela mak, nyah... Mak lagi rela pandang kelapa tua yang dah reput!
            “Kau buat apa kat sini?” soal Azfahan dengan muka tak puas hati sambil dia menanggalkan cermin mata gelapnya. Seorang lagi perempuan yang sedang menyapu losyen pada lengannya yang berotot pejal itu langsung tidak menoleh memandang ‘Sherry’. Seronok lah tu dapat pegang-pegang tangan Chris Evans!
            Sherry sudah bercekak pinggang. Mentang-mentanglah aku ni nampak macam orang gaji dia, suka-suka hati dia aje nak naik suara dengan aku depan awek-awek dia ya. Kalau kat rumah, kau memang berkuasa, tapi bukan kat sini!
            “Kau dah lupa ke janji kau kat aku?” ‘Sherry’ mula pasang muka serius. Tak berkelip matanya memandang muka Azfahan. Sudahlah dia berdiri dalam keadaan berpeluk tubuh. Uiiiisshhh... Garang semacam pulak si budak ‘Sherry’ ni!
            Azfahan yang baru teringat, menepuk dahinya sekali. Kemudian, dia tersengih-sengih memandang ‘Sherry’.
“Ya tak ya... Aku terlupa lah pulak. Kau pun bukannya nak ingatkan aku. Baiklah, aku naik rumah sekarang jugak.”
            ‘Sherry’ menahan senyum. Takut jugak ya dia dengan aku.
            “You nak pergi mana pulak tu? Tak sampai 10 minit, takkan nak balik dah?” Perempuan yang menyapu losyen tadi bertanya dengan rasa tak puas hati. Dia baru bercadang nak sapu losyen dan ramas-ramas belakang badan Azfahan agaknya. Itu yang hampa sangat tu bila Azfahan sudah bergerak ingin naik semula ke rumahnya.
            ‘Sherry’ pula yang masih geram dengan perempuan itu dengan baik hatinya membantu Azfahan yang kelihatan teragak-agak untuk menjawab.
            “Maaflah, saya ni adik dia. Dia terpaksa balik sekarang jugak sebab dia dah janji nak main batu seremban dengan lompat getah dengan saya.” Spontan saja dia mereka-reka cerita. Selamba lagikan bersahaja. Dengan wajah yang serius, berserta confident level yang sangat mengagumkan!
            Azfahan ternganga, tetapi 'Sherry' pula buat-buat tidak nampak saja.
            Lantaklah! Baru padan dengan muka dia! Mesti awek-awek seksi kat swimming pool ni hilang selera bila dapat tahu lelaki yang 24 jam control macho ini rupa-rupanya peminat tegar permainan lompat getah dan juga batu seremban. Jahatnya aku! Ini dah kira fitnah. Tak apalah... fitnah untuk kebaikan dia jugak. Nanti-nanti aku minta maaflah...
            “Lelaki cool yang semacho you ni pun boleh layan batu seremban dengan lompat getah?”
            Kali ini, perempuan yang seluar dalamnya terdapat gambar kartun Doraemon itu pula yang bertanya dengan riak muka yang begitu musykil sekali, sebelum perlahan-lahan riak mukanya bertukar jelek. Siap buat gaya nak termuntah lagi.
            'Sherry' yang melihat menahan rasa meluat. Di dalam hati, dia berharap sangat gambar Doraemon yang terdapat pada bahagian punggung seluar dalam perempuan seksi itu benar-benar bernyawa supaya digigitnya punggung yang lebih kurang sama saja bentuknya dengan kuih Dorayaki itu. Tu Favourite Doraemon tu! Gasaklah kau kalau jadi betul-betul. Aku harap benda tu jadi dalam mimpi pun okaylah. Biar lepas ni kau insaf dan tak tayangkan lagi punggung kau yang gelap macam kuih Dorayaki hangus tu!
            Azfahan yang sudah merah padam mukanya kelihatan buntu dan diam sahaja sedari tadi. Sebenarnya dia tak tahu nak jawab apa bagi membela dirinya sendiri. Hanya matanya sahaja yang bergerak memainkan peranan. Terus, wajah 'Sherry' dipandangnya seolah-olah gadis itu adalah gula-gula getah yang boleh dikunyah-kunyah, kemudian diludah semula ke atas tanah.
            Itu selayaknya untuk perempuan macam dia. Disebabkan dia, aku rasa macam nak jadi anak dara aje berkurung kat dalam bilik. Malunya aku nak turun bersidai tayang badan dekat tepi kolam ni lagi. Mesti awek-awek cun kat pool ni dah mula ragu-ragu dengan ‘ketulenan’ aku! Tengok tu... masing-masing dah beredar nak tinggalkan aku! 
            Urgghhhh... pembawa bala betullah budak bendul ni! Aku baru nak rasa nikmat syurga!
           

           


      



             “PUAS hati kau sekarang?”
            Walaupun dimarah begitu, tetap tidak menghalang ‘Sherry’ untuk terus senyum tahap kelebaran bibir Ning Baizura. Ketika ini, mereka berdua sudah pun berada di ruang tamu di dalam kondo Azfahan selepas baru sahaja pulang daripada membeli-belah.
            Sejak dari dalam kereta lagi sehinggalah sampai ke butik dan sehinggalah mereka pulang semula ke rumah, Azfahan memang diam dan langsung tidak mahu bercakap apa-apa dengannya. ‘Sherry’ pun tidak kisah sangat sebab waktu itu dia lebih senang melayan perasaan terujanya kerana dapat membeli-belah.
            ‘Sherry’ ketawa lepas. Suka hati aje dia nak ketawa sampai macam tu sekali. Control Sherry... Control! Jangan nak suka sangat dapat barang-barang mahal. Semua tu cuma kemewahan dunia aje! Dia mengingatkan dirinya sendiri tidak lama selepas dia gelak macam watak perempuan jahat yang selalu tayang kat dalam Sinetron tu!
            Azfahan dengan muka menyampah, terus berlalu meninggalkan ‘Sherry’ sendirian yang masih kalut membelek segala macam pakaian yang dilambakkan semuanya di atas meja di hadapannya. Masuk kali ni, entah sudah berapa kalilah agaknya dia belek-belek beg tangan rekaan terbaru daripada jenama GUESS itu. Itu pun Azfahan yang pilihkan. Dia tidaklah berapa berkenan sangat sebab terlalu sarat dengan aksesori dan entah apa jenis batu-batu yang bergemerlapan pada fabrik beg tangan tersebut.
            Mentang-mentanglah aku kena bawa watak perempuan yang penuh dengan sifat negatif bila aku balik saja ke vila nanti, dia pun belikan aku beg termasuklah bluas dan baju yang kebanyakannya memang agak melampau dari segi rekaan, material dan juga coraknya. Kalau awek dia yang tergedik-gedik tu sesuailah pakai semua ni. Sempat lagi ‘Sherry’ mengutuk lelaki itu di dalam hati.
            Memang dari awal lagi dia tidak diberikan hak untuk bersuara. Jadilah... Asalkan pakaian yang dipilih tidak mendedahkan mana-mana auratnya dan juga tidak ketat walaupun tubuhnya kecil. Itu lebih penting!
            “Sherrrrrrryyyyyyyyyyyyy!!!!!”
            Berdengung telinga kirinya apabila tiba-tiba ada suara yang menjerit namanya dengan begitu kuat sekali. Kalau telinga kiri rasa macam berdengung, telinga kanan yang sememangnya dah lama tak servis tu, rasa macam hampir nak pekak aje.
            Dia ni pun kalau nak panggil aku, tak boleh ke panggil elok-elok? Perlu ke menjerit tahap suara raksasa? Ni mesti masa kecik-kecik dulu banyak tengok cerita Ultraman lawan raksasa jahat ni! Pengaruh kartun betullah mamat ni. Boleh sangatlah kawan dengan Mak Tom jiran aku yang suka tengok Tom & Jerry tu!
            Tapi apabila sekali lagi namanya dijerit, dan dijerit dengan lebih kuat lagi, ‘Sherry’ terus bangun dan berlari untuk masuk ke dalam bilik Azfahan. Waktu ini, dia memang dah tak boleh nak fikir apa-apa lagi dah. Mungkin sebab itu dia terlupa untuk menjaga batas lalu dia main redah masuk saja ke dalam bilik lelaki itu.
            Bukan apa, takut juga bila dia terbayangkan kalau-kalau Azfahan sebenarnya jatuh terlentang kat dalam bilik air. Tak pun mati tercekik sebab tertelan sabun mandi sampai berbuih-buih satu mulut. Boleh jadi juga kalau Azfahan mati lemas walaupun mandi setakat guna shower je. Semua tu tak mustahil dan mungkin sebab itu lelaki itu terlolong-lolong menjerit memanggilnya sampai begitu sekali. Tengok kat surat khabar sekarang pun, macam-macam kes pelik yang jadi. Jadi, aku rasa tak salah kalau aku fikir sampai macam tu sekali!
            Tapi macam melampau aje imaginasi aku. Ke dia jerit panggil aku sebab teruja sangat nak suruh aku tengok dan bagitahu aku air besar yang dia buang makin membesar dari semasa ke semasa? Eh, penat pulak aku nak fikir lah! Sebab macam-macam kemungkinan dan kebarangkalian boleh terjadi!
            Dalam berjalan menghala masuk ke bilik Azfahan pun sempat lagi ‘Sherry’ ni mengarut bukan-bukan.
            “Hah, kau nak apa sampai terjerit-jerit ni?” soalnya takut-takut sambil menekap telinga dengan kedua belah tangan. Takut kalau-kalau sekali lagi Azfahan menjerit dengan menggunakan lontaran vokal yang sama seperti tadi. Mahu pecah gegendang telinganya. Nak cari mana lagi gendang kalau gendang dah pecah? Terpaksalah gantikan gendang dengan kompang.
            ‘Jangan nanti orang lain semua guna term gegendang telinga, aku sorang je yang cacat terpaksa guna term ‘kekompang’ telinga in case kalau betullah Azfahan ni berjaya cacatkan gegendang telinga aku. Berhati-hati itu kan lebih baik!’ Hatinya berbisik mengingatkan dirinya sendiri.
            Tapi rasanya dia tidak perlu menunggu jawapan daripada Azfahan. Sebaik sahaja dia terpandangkan muka Azfahan yang tercegat berdiri di hadapannya setelah pintu bilik air dibuka dari dalam, dia sudah tahu kenapa lelaki itu terjerit-jerit memanggilnya sekejap tadi. Lelaki itu baru lepas mandi rupanya. Sekarang sudah siap dengan bath robenya. Bila dah mandi, maka kantoilah lebam dekat mata dia yang aku cover dengan compact powder dan juga foundation tu!
            Alahai, kenapalah awal sangat dia mandi. Mandi masa aku dah tidur nanti tak boleh ke? Tak ada lah aku kena dengar dia maki-hamun aku kejap lagi. Foundation dengan compact powder ni pun satu. Tak ada ke foundation atau compact powder yang kalis air dan tahan sampai berhari-hari tak pun berminggu-minggu? Eh, mana boleh macam tu. Tak sahlah solat dia nanti. Tak pasal-pasal aku pulak yang kena tanggung dosa dia!
             Sekarang ni, ‘Sherry’ nak sengih pun rasa takut apabila dia perasan yang Azfahan sedang memandangnya seperti nak ditelan hidup-hidup saja!
            Arghhh nasib dia lah. Sibuk sangat nak jaga penampilan dan nama baik dia sampai tak nak keluar rumah. Lebam sikit pun nak kecoh. Jadi nak buat macam mana lagi. Aku sendiri dah tak ada pilihan. Maka, terpaksalah aku make-up saja kesan lebam tu! Dia nak marah, dia punya pasallah sebab dia yang cari masalah dulu dengan aku!

15 comments:

  1. haha.i loike
    good job writter.:D

    ReplyDelete
  2. hahaha best2.. habis sherry kena fire ngan Afzahan... ultraman tolong!

    ReplyDelete
    Replies
    1. haha..adegan fire mengfire nk habis dh..hee

      Delete
  3. hahahhaha monolog si seri kecoh gak heheheheh

    ReplyDelete
    Replies
    1. huhu..kan. terbebel lebih pulak bab ni. hu2

      Delete
  4. azfahan dah gaye cam mak jemah nak main batu seremban.....hahahah.konflik dorg dah nk abis ke????

    ReplyDelete
    Replies
    1. hahaha...akan masuk konflik lain pulak lps ni. jeng jeng jeng

      Delete
  5. agak2, kalau dibuat cerita bersiri saya dah ada ada senarai pelakonnya..sure meletop...

    ReplyDelete
  6. kalau nak buat cerita bersiri ni sure meletop... saya dah ada pun senarai para pelakon... hahahahha

    ReplyDelete
    Replies
    1. Share la dgn saya siapa pelakon yg sesuai yg sedang bermain dlm kepala awk? Nak tahu jugak. hehe ^_^

      Delete
  7. hahahaha...kalau awak cfm nak jual kat production baru la saya bagi tau. maklum la tak semua org suka pelakon yg saya suka.. Tapi bila nak sambung ni, jgn la membantutkan mimpi saya tu.. wakakakaka...

    ReplyDelete
  8. harap2 sherry dapat gi shoopping klao tak kempunan die nk kikis duet su han...hahaha klao ade peluang cmnie spe nk lepazkn :P
    -nur athira-

    ReplyDelete