SERI Embun merenung mukanya di hadapan cermin yang melekat
sekali dengan almari pakaiannya yang sudah mereput itu. Cermin itu walaupun
tidak lebar tetapi panjangnya mencecah sehingga ke lantai. Namun, disebabkan
ruang biliknya yang sempit, dia terpaksa mengundur ke belakang sehingga
terpaksa memanjat dan berdiri pula di atas katil demi untuk melihat keseluruhan
tubuhnya di hadapan cermin.
Dia berpuas hati melihat
penampilannya. Bibirnya tersenyum.
Sudah lebih setahun dia berpakaian
menyerupai remaja-remaja lelaki yang lain dan sejak itu, dia selesa menjadi
dirinya yang berbeza daripada Seri Embun yang dulunya cengeng dan kuat
menangis. Sejak itu juga, dia sudah tidak terlalu memikirkan kesedihan lewat
pemergian arwah ibunya namun itu bukanlah bermaksud rasa sayangnya pada arwah
berkubur sekali bersama sikap dan penampilannya yang telah banyak berubah sekarang
ini, meskipun sekarang dia adalah seorang perempuan yang kasar, perempuan yang
biadap dalam tutur katanya, perempuan yang tidak menghiraukan perasaan orang
lain dan seorang perempuan yang berpura-pura kononnya dia mempunyai sekeping
hati yang kebal.
Dia sendiri sedar yang dia telah
banyak menipu dirinya sendiri.
Biarlah... Jika dengan menipu itu
dapat mengembalikan semula kekuatannya yang pernah bersemadi sekali bersama
jasad ibunya di dalam tanah, dia sanggup menipu terus dirinya sendiri dengan menjadi
orang lain. Dan kalau suatu hari nanti dia terpaksa melupakan terus dirinya
yang sebenar pun, dia sanggup asalkan hidupnya tidak tertekan lagi seperti
dulu.
Lagipun dia sudah tidak sabar untuk
membuka sebuah kotak yang diwasiatkan oleh arwah ibu kepadanya sebelum ibu
menghembuskan nafas terakhir. Sudah bertahun-tahun kotak itu disimpan dan
diletakkan sahaja di bawah katil.
Bukannya kerana dia tiada perasaan
ingin melihat isi yang ada di dalamnya, cuma sebelum ini dia masih belum
bersedia. Tiga tahun pertama arwah meninggal, waktu itu kalau boleh dia tidak
mahu lihat apa sahaja yang berkaitan dengan arwah ibunya. Jika tidak, dia akan
menangis sehingga bengkak-bengkak biji mata, dan sembab seluruh muka. Melihat
gambar arwah pun dia tidak sanggup walaupun rindu yang membuak-buak itu
sentiasa memaksanya untuk mencapai salah sebuah album yang penuh dengan gambar
arwah. Namun hatinya ketika itu tidak cukup kuat untuk berbuat begitu. Dia
benar-benar takut sekiranya dia gagal mengawal emosinya. Dia sudah penat untuk
terus menangis dan meratap pemergian yang takkan kembali itu.
Kotak kayu yang sudah diangkat dan
diletakkan di atas ribanya itu dia sendiri yang ambil setelah tiga hari rumah
buruk mereka yang terletak di dalam kawasan kampung yang sama itu hangus
terbakar, hanya meninggalkan tiang rumah menjadi tugu ingatannya.
Sewaktu dia datang untuk mengambil
kotak tersebut beberapa tahun dulu, dia langsung tidak berharap apatah lagi
terfikir untuk menjumpai kotak yang telah diwasiatkan oleh arwah ibunya itu.
Seawal ibunya meninggalkan ‘wasiat’ itu kepadanya lagi hatinya sudah
menegaskan, kotak yang diceritakan oleh arwah ibunya itu tentu sekali telah
hangus bersama barang-barang berharga yang lain juga. Namun, tidaklah dia
meluahkan apa yang dia fikirkan ketika itu memandangkan arwah sedang bertarung
hebat dengan ajalnya. Sewaktu itu di hospital.
Jadi, dia datang semula ke tapak
rumahnya yang lama itu pun sekadar memenuhi permintaan arwah ibunya sahaja,
yang begitu beriya-iya menyuruh dia mencari kotak tersebut dan itulah pertama
kalinya dia lihat keadaan rumah buruk mereka yang telah lunyai teruk kesan
daripada kebakaran.
Memang betul seperti apa yang dia
fikirkan, sewaktu dia berdiri di tengah-tengah bekas tapak yang pernah
mendirikan rumah lamanya itu, dia langsung tidak dapat lihat apa-apa lagi yang
tinggal untuk diselamatkan. Hanya kayu-kayu hangus yang sudah bertukar menjadi
hitam sahaja yang dapat dilihatnya. Kalau ada yang dapat diselamatkan pun,
pihak bomba awal-awal lagi telah menghantar barang-barang tersebut kepada pihak
mereka.
Sebenarnya, kalau ikutkan hatinya
dia memang tidak sanggup untuk datang semula ke daerah yang telah meragut nyawa
arwah ibunya ini. Sebab dia tahu yang dia akan menangis. Walaupun baru sekejap
dia berdiri di tengah-tengah tapak yang penuh dengan debu itu, matanya sudah
bergenang. Jadi, untuk tidak membiarkan hatinya dirodok dengan kenangan yang
sepatutnya indah untuk dikenang, dia pun tergesa-gesa melangkah untuk beredar
dengan kadar segera dari kawasan rumah lamanya itu.
Tapi entah macam mana, kakinya boleh
tersadung pula dengan kayu hangus yang menjalar di hadapannya sehingga dia
jatuh dalam keadaan seperti sedang bersujud. Tidaklah terlalu sakit walaupun
lututnya terhentak agak kuat. Jadi, dia tiada masalah untuk bangun semula.
Kepalanya yang diangkat terlebih
dahulu sebelum lutut, dan waktu itulah dia terpandangkan sebuah kotak yang
diperbuat daripada kayu nipis, terselit di celah-celah timbunan kayu hangus
yang lain. Dengan rasa teruja dan sebak yang memecahkan air matanya, terus
kotak itu ditarik perlahan-lahan. Ketika itu, dia memang langsung tidak
terfikir untuk membukanya sebaliknya kotak itu terus dimasukkan ke dalam
pelukan dan di tengah-tengah ruang itu, dia menangis sehingga teresak-esak
lantaran kerana terlalu takjub mengenangkan kuasa ALLAH yang tetap berkehendak
untuk menemukan dia dengan wasiat arwah ibunya itu.
“Tapi... rumah kita dah terbakar
bu... Macam mana Embun nak cari kotak tu?” Seri Embun merenung kotak yang
bersawang di atas ribaannya itu. Kali ini dia teringatkan pula dialog-dialog
terakhirnya bersama arwah ibu.
Ketika itu, dia hanya lihat ibunya
menggeleng.
“Tak, nak... Tak. Ibu yakin yang
Embun akan jumpa juga kotak tu suatu hari nanti. Dan bila Embun dah betul-betul
bersedia nanti, Embun bukalah kotak tu ya, sayang...”
Dahi Seri Embun berkerut-kerut
ketika itu. Dia pelik melihat ibunya sebegitu yakin sedangkan dia pula
awal-awal lagi menganggap kotak tersebut telah hangus terbakar bersama isinya.
Sekarang ini pun walau dia lihat
kotak tersebut di atas ribanya, dia masih terasa sukar untuk percaya. Sesiapa
pun tentu sukar untuk percaya. Sedangkan sebesar-besar kayu pun boleh hangus
dan mengecil, apatah lagi kotak yang diperbuat daripada kayu yang nipis seperti
papan itu. Sepatutnya kotak tersebut juga hangus sebagaimana barang-barang yang
lain.
Entahlah... sampai sekarang pun dia
masih berasa pelik dengan fenomena yang dianggap aneh dan ganjil itu. Namun
selepas itu, dia hiraukan saja. Malas untuk difikirkan lagi memandangkan dia
sudah tidak sabar lagi ingin melihat isi yang berada di dalam kotak tersebut.
Bersama debaran yang hebat di dalam
dada, dia pun membuka penutup kotak tersebut perlahan-lahan. Perlahan kerana
tangannya yang menggigil-gigil. Dia sendiri tidak pasti kenapa hatinya bergemuruh
sehingga begitu sekali.
Namun perasaan itu hilang setelah
kotak itu dibuka. Dada yang berdebar-debar tadi terus dirodok dengan rasa hampa
dan kecewa sebaik dia lihat segala isi berupa kepingan-kepingan kertas yang
berpuluh-puluh helai itu semuanya sudah bertukar kehitam-hitaman, menyebabkan
tulisan yang terdapat pada tulisan tersebut gagal untuk dilihat apatah lagi
untuk dibaca.
Walaupun terkilan dengan apa yang
dilihat, dia masih mencuba. Kepingan-kepingan kertas yang hangus
kehitam-hitaman itu dibelek dan diselaknya satu demi satu. Manalah tahu
kalau-kalau ada bahagian yang terselamat daripada kesan hangus. Tapi nampaknya,
daripada berpuluh-puluh helai itu, tak ada satu pun yang dapat membantu
sekurang-kurangnya memberikan sedikit petunjuk kepadanya untuk memahami wasiat
yang ditinggalkan oleh ibunya.
Dengan perasaan kecewa, lalu dia pun
mengemaskan semula kepingan-kepingan kertas yang sudah tidak berguna itu untuk
dimasukkan ke dalam kotak. Tergesa-gesa sekali dia melakukannya sampaikan salah
satu kertas yang sedang disusunnya itu tercicir dari himpitan kertas yang lain.
Matanya ikut sekali jatuh ke arah kertas yang sudah terbaring di atas lantai
biliknya itu.
Kali ini, sekali lagi dia berasa
terkejut dengan fenomena yang dilihat di depan matanya. Malah berkali ganda
lebih terkejut daripada kejadian yang berlaku sewaktu dia menjumpai kotak kayu
tersebut. Kali ini lebih aneh!
Bayangkanlah apabila sekeping kertas
yang bersusun sekali dengan puluhan-puluhan kertas lain boleh berada dalam
keadaan yang sangat baik. Kertas yang satu itu seperti kertas baru. Putih,
bukannya hitam hangus seperti kertas-kertas lain. Tidak juga bertukar menjadi
kuning walaupun kertas tersebut telah tersimpan di dalam kotak tersebut
sehingga makan masa bertahun-tahun. Anehnya, kertas itu langsung tidak terdapat
kesan hangus walau sedikit pun, berbanding berpuluh-puluh kertas yang lain.
Ya ALLAH... apa yang kau ingin
tunjukkan pada aku sebenarnya? Apakah KAU sedang membantu ibu untuk
menyampaikan wasiatnya kepada aku? Atau... atau kotak ini sememangnya misteri?
Tapi kalau benarlah ALLAH sedang
membantu arwah ibu dalam menyempurnakan wasiat ibu, apa sangatlah yang dapat
membantunya dengan sekadar sekeping kertas yang masih terselamat daripada
terbakar itu sedangkan kertas yang lain kesemuanya telah hangus.
Seri Embun menggaru-garu kepalanya
sebelum dia mengutip semula kertas yang tercicir tadi. Dia lihat tulisan pada
kertas putih bersaiz A4 itu juga masih jelas, masih belum pudar warnanya. Aneh
sekali...
‘Jus Cinta, Muara Hati?’ Dahinya
berkerut-kerut. Hanya setelah dia membelek kertas tersebut sehingga ke baris
terakhir, barulah dia faham.
Jus Cinta Muara Hati? Hurmmm... dah
macam tajuk lagu Siti Nurhaliza dengan Hafiz lah pulak. Tapi rupa-rupanya Jus
Cinta Muara Hati tu sebenarnya hanyalah sekadar nama resipi saja.
Tapi, apa yang aku boleh buat dengan
resipi jus ni?
Seri Embun menggaru-garu kepalanya
lagi sebelum perbuatannya itu terhenti secara mengejut apabila dia teringatkan
sesuatu.
Arwah ibu pernah cakap satu benda ni.
Apa ya? Alah macam mana aku boleh lupa ni...
Sambil mendengus, dia memejamkan
matanya rapat-rapat sambil kakinya dihentak-hentak. Begitu sekali cubaannya
untuk memulihkan semula ingatannya yang sememangnya lemah itu.
“Hah, ingat pun!” Tiba-tiba dia menjerit
dengan muka gembira. Tubuhnya siap berdiri tegak lagi.
Ibu pernah cakap macam ni. “Kotak tu
dapat bantu ubah masa depan kamu. Juga masa depan ayah dan juga adik kamu...”
Tapi selepas itu, Seri Embun
mengerutkan dahinya.
Apa yang kotak ni boleh buat untuk
ubah masa depan aku, ayah dan juga adik aku tu? Setakat resipi jus tu, apa yang
aku boleh buat supaya masa depan keluarga aku lebih baik daripada sebelum ni?
Ketika ini, satu saja yang terlintas
di fikiran Seri Embun...
Meniaga air jus dekat tepi jalan!
Tapi sesuai ke kalau aku meniaga? Dengan gaya aku macam ni, nak ke orang beli
air jus aku?
SEMINGGU
dua ini Azfahan memang sibuk dengan projek pembinaan masjid bagi menampung
jumlah penduduk yang terlalu ramai di daerah kampung tersebut. Apatah lagi
masjid yang paling hampir dengan kampung itu pun hanya boleh didapati di pekan
yang berhampiran. Itu pun masih terlalu jauh jaraknya dengan kawasan kampung
yang agak tersorok ini.
Sibuk macam mana pun dia, kesibukan
arkitek muda bernama Azfahan ini langsung tidak menghalang Puan Sri Zahlia
untuk terus mendesak dan menghubunginya, walaupun dalam keadaan dia sedang
berjemur di bawah panas terik begini. Panas yang membuatkan dia terasa hampir
nak pitam!
Sebenarnya dia memang jarang pun turun
padang setiap kali syarikatnya terlibat dengan projek yang tidak berapa besar.
Namun sebagai seorang CEO yang mementingkan imej dan nama besar syarikatnya,
sesekali itu mestilah kena ‘tayang muka’ juga.
“Assalamualaikum, mummy.
Apa lagi ni mummy? Kan Han dah cakap, lagi dua tiga tahun lagi, kahwinlah
Han...”
“Dua tiga tahun? Dari
tahun lepas lagi Han bagi jawapan yang sama. Han sedar tak, dah lima tahun tau Han
mintak tangguh dengan mummy! Sampai
bila lagi mummy perlu bagi Han masa? Mummy tak kira! Kali ni, mummy betul-betul
dah tak boleh bersabar lagi dengan Han. Mummy dah tak nak dengar apa-apa alasan
sekalipun!
“Han sedar tak yang mummy ni makin
lama makin berusia. Memanglah Han tengok mummy ni macam anak dara lagi, tapi
hakikatnya mummy ni dah cecah 50 tahun tau!” Dalam keadaan yang serba tegang
itu, sempat lagi Puan Sri Zahlia memuji dirinya sendiri. Wanita ini memang
seorang yang mementingkan penampilan dan kecantikan pun. Jadi tak hairanlah
kalau dia masih kelihatan cantik walau dengan usianya sekarang.
“Ini peluang terakhir untuk Han. Apa
yang mummy tahu, bulan depan, mummy nak Han bawa balik calon menantu untuk
mummy. Kalau tak, mummy akan nikahkan aje kamu dengan anak Datin Rasyidah tu!
Muktamad!” jerkahnya Puan Sri Zahlia lagi walaupun dengan suara yang
termengah-mengah dek kerana terlalu marah.
Azfahan terpaksa menjarakkan sedikit
telefon bimbit yang digenggam dari telinganya. Terasa seperti berpinar-pinar
matanya bila dijerkah begitu. Rasa macam kena serang asma pun ada.
Fuhhh…
Inilah pertama kalinya mummy tinggikan suara dengan aku. Tak sangka pulak suara
mummy sebenarnya lagi tinggi daripada Jaclyn Victor. Cayalah mummy...!
Cepat-cepat Azfahan mematikan
telefon bimbitnya, dan sebaik sahaja dia mengangkat semula kepalanya, terus matanya
terpandangkan sebuah gerai buruk, dan dari jarak yang jauh itu juga, matanya
masih boleh nampak seorang gadis yang sedang membetulkan kedudukan manila card
yang tertulis di situ...
Azfahan terpaksa mengecilkan matanya
supaya tulisan itu dapat dilihatnya dengan jelas.
‘ JUS CINTA MUARA HATI?’
Azfahan mengerutkan dahinya. Ada ke
orang nak minum air jus panas-panas terik macam ni? Ya ALLAH, kenapalah budak
tu bodoh sangat. Lagipun kawasan setinggan macam ni manalah sesuai jual air
jus. Aku tengok area ni ramai orang-orang tua aje semuanya, dan semuanya
melepak dekat warung kopi. Manalah orang tua-tua reti minum air jus semua ni..
Hurmmm...
No wonderlah jus dia tu tak laku. Aku tengok, tak ada siapa pun yang berhenti
depan gerai dia.
Meniaga air jus dekat kawasan macam
ni, samalah macam meniaga cheongsam waktu orang India tengah nak sambut
Deepavali. Langsung tak sesuai! Budak tu sepatutnya kena tahu strategi
pemasaran sebelum nak berniaga. Apa laaaaa....
“JUSTIN! Justin! Oh Justin Bibir Menggelebeh!”
Rosalinda sengaja meninggikan suaranya. Memang sengaja nak bagi orang yang
lalu-lalang di situ menoleh memandang ke arah Seri Embun yang sedang meniaga di
simpang jalan itu pun niat sebenarnya.
Huh!
Meniaga apa kalau macam tu. Orang lain meniaga untuk dapat untung, tapi Seri
Embun pula meniaga untuk dapat peluh! Dari tengah hari tadi, boleh dikira
dengan jari aje pengunjung yang singgah ke gerainya yang baru beberapa hari
dibuka itu. Rasa-rasanya air peluh Seri Embun tu dah sama banyak dengan air jus
dia yang tak laku tu!
Seri Embun menggeleng-geleng saja
walaupun dimalukan begitu. Nak dimarah? Dia mungkin nampak seperti kasar, tapi
dia memang tak suka nak marah-marah, apatah lagi nak tinggikan suara. Tapi
bengang jugalah bila bibirnya yang agak tebal itu dikutuk-kutuk. Alah dengkilah
tu sebab bibir aku seksi macam Angelina Jolie!
Justin. Itulah nama glamour yang
orang kampung berikan pada Seri Embun sejak dia pernampilan seperti lelaki. Dia
sendiri tidak pasti kenapa dalam banyak-banyak artis, Justin Bieber yang dia
langsung tak minat itu juga yang disamakan dengan dirinya. Kenapalah tidak
Zaiton Sameon penyanyi kegemarannya? Kenapa mesti Justin Bieber?
Entahlah...
Mungkin disebabkan persamaan tubuhnya yang kecil dan mukanya yang comel itu agaknya.
Kata mereka, kalau Justin Bieber pakai tudung, tentu sebijik macam muka dia!
Tapi nak ke Justin Bieber pakai tudung gaya makcik-makcik macam aku pakai ni?
Seri Embun menahan sengih melihat Rosalinda
yang terlajak mengayuh basikalnya sehingga terlepas beberapa meter ke hadapan.
Kaki dah macam Godzilla… Basikal buruk yang dah uzur lagi berkarat tu pun Si Rosalinda
ni boleh kayuh macam kayuh basikal dekat tempat gym! Yang sedihnya, tak kurus-kurus jugak!
“Itulah kau. Kalau nak mengutuk pun
pandanglah depan sekali. Nasib baiklah lori sampah yang lalu tadi tak langgar.
Tapi aku rasa lori pun takut nak berlaga dengan badan kau tu. Silap-silap lori
tu yang kemek, tapi kau pulak steady aje
tak tumbang-tumbang sebab dapat sokongan padu daripada lemak-lemak empuk kau
tu!” kutuk Seri Embun selamba.
Rosalinda hari ini mengikat
rambutnya seperti ekor kuda, siap dengan bunga yang terselit atau istilah yang
lebih tepat berbanding perkataan terselit, rasa-rasanya lebih baik gunakan
perkataan terhimpit. Ya, bunga yang diselitkan celah telinga itu kelihatan
seperti sedang meronta-ronta ingin melepaskan diri daripada terus terhimpit di
celah-celah telinga Rosalinda yang tebal itu.
Rosalinda mencebik, sambil dia
membetulkan punggungnya yang berkali-kali ganda besar daripada tempat duduk
basikal. Kalau dipandang dari jauh, Rosalinda kelihatan seolah-olah sedang
duduk di atas tayar basikal memandangkan tempat duduk basikalnya terbenam di
sebalik punggungnya yang berlebihan lemak dan juga isinya itu. Jangan tempat
duduk tu terbenam sampai masuk ke celah dubur sudahlah. Tak pasal-pasal buasir
pulak nanti!
“Betul jugak cakap kau tu, Embun.
Daripada lori sampah tu sia-sia langgar badan aku yang sasa sikit daripada
Malek Noor ni, lagi baik lori tu langgar aje gerai buruk kau tu. Buat semak aje
gerai buruk kau tu kat tepi jalan ni. Kalau meniaga laku tu tak apa lah jugak.
Huh, Jus Cinta Muara Hati konon. Nanti dah tak laku, aku dengan baik hatinya
mencadangkan supaya kau buangkan aje air jus kau ke dalam loji dekat belakang
tanah perkuburan kampung kita ni. Daripada Jus Cinta Muara Hati, lepas tu nanti
bolehlah kau tukar nama jus tu jadi Jus Cinta Loji Kumbahan!”
Bertubi-tubi Rosalinda
mengejeknya. Dalam satu nafas pulak tu. Kemudian disambung pula dengan gelak
yang berdekah-dekah dalam satu nafas yang sama. Mak aihhh... panjang betul nafas Rosalinda ni. Mentang-mentanglah perut
dia yang besar tu mampu tampung oksigen lebih. Kalaulah Rosalinda ni dibawa
pergi scuba diving sampai berjam-jam,
rasanya tak payah bawa bantuan pernafasan. Cukup sekadar bawa perut dia yang
kembung itu saja!
Itulah dia Rosalinda. Sahabat Seri Embun yang
sekejap baik, sekejap tidak. Dulu bolehlah Seri Embun dikatakan rapat juga
dengan Rosalinda walaupun dia tak berapa berkenan dengan perangai Rosalinda yang
perasan cantik dan suka cakap besar itu. Tapi lama-kelamaan, hubungan mereka
yang tidaklah sebaik mana itu menjadi semakin tidak baik. Lagi-lagi sejak bekas
kekasih Rosalinda ni tinggalkan si Rosalinda tu dek kerana tergila-gilakan Seri
Embun, dan dari situlah Rosalinda mula dengkikan Seri Embun. Macam-macam cerita
buruk tentang Seri Embun yang dijajanya sehingga ke seluruh kampung. Dan
selalunya Rosalinda ni memang sengaja datang berjumpa dengan Seri Embun
semata-mata nak menyakitkan hati musuhnya itu. Selalunya, memang si Rosalinda
inilah yang mulakan dulu!
Seri Embun awal-awal bolehlah dia
tahan lagi nak membalas serangan, tapi lama-lama dia jadi malas. Buat sakit
hati saja. Macam tadi tu lah... Suka-suka hati aje Rosalinda tu pergi ubah nama
resipi jus arwah ibunya. Sakit sungguh hati Seri Embun dibuatnya. Walaupun apa
yang keluar dari mulut Rosalinda tadi memang ada kebenarannya juga. Memang
betullah... jualan air jus resipi istimewa arwah ibunya itu boleh dikatakan tak
memberangsangkan langsung!
‘Bu... betul ke macam yang ibu
cakapkan dulu yang resipi jus ibu ni dapat ubah masa depan keluarga kita? Tapi
kalau ibu dapat tengok sekarang ni, jus Embun ni langsung tak ada siapa nak
beli bu. Jadi macam mana Embun nak ubah masa depan keluarga kita? Sampai bila
Embun kena teruskan perniagaan yang langsung tak menunjukkan peningkatan ni?’
Seri Embun merintih di dalam hati, lebih kepada merungut dan mengadu sebenarnya
walaupun tiada sesiapa yang dapat mendengarnya. Cukuplah... asalkan hatinya
terasa bersemangat semula untuk meneruskan juga perniagaan yang tidak seberapa
hasilnya itu.
“Hai... Mengeluh nampak. Agaknya kau
pun setuju kan nak tukar nama jus kau tu. Bolehlah lepas ni kau tulis dekat manila card besar-besar, JUS CINTA LOJI
KUMBAHAN. Iyalah, kalau nak tempah tulisan besar-besar macam signboard yang selalu tergantung dekat
depan restoran tu, manalah kau ada duit. Perniagaan kau dah lah tak balik
modal. Kesian...” Rosalinda pura-pura buat muka sedih sambil dia menjuihkan
bibirnya semuncung yang boleh supaya dia nampak betul-betul bersimpati dengan
nasib malang yang menimpa ‘sahabat baiknya’itu.
Itulah salah satu perangai buruk
Rosalinda. Bila Seri Embun dah tak berminat nak bertikam lidah, dia tetap akan
mencari peluang untuk menyakitkan hati Seri Embun sampailah Seri Embun membalas
semula kutukannya.
Kali ini, sampai sudah pun Seri
Embun tak sudi nak balas. Apalagi, mengamuklah Rosalinda dengan kebisuan Seri
Embun. Lalu dia pun memerah idea lagi untuk memikir kutukan bagaimana lagi yang
dapat menyakitkan hati perempuan yang dia dengkikan sangat itu.
Elok saja dia dapat idea nak
menyakitkan hati Seri Embun, tiba-tiba sebuah kereta mewah berwarna biru gelap
yang berkilat-kilat yang dia sendiri tidak tahu jenamanya itu menghimpit ke
tepi jalan, betul-betul di sebelah gerai Seri Embun. Rosalinda mengelipkan
matanya beberapa kali, kagum melihat kereta mewah yang tidak pernah dilihatnya sebelum
ini. Terasa macam nak pitam pun ada. Nasib baiklah lemak-lemak padu terutamanya
pada bahagian paha dan lututnya berjaya menampung tubuhnya dengan baik.
Sewaktu pemandu kereta tersebut
melangkah keluar dari keretanya, kali ini barulah Rosalinda sudah tidak
tertampung tubuhnya yang gempal itu. Mujurlah badannya tidak rebah menghimpit
gerai Seri Embun. Mak gajah pun tak mustahil boleh tempang kakinya kalau dihimpit
dek tubuh ‘sasa’ si Rosalinda ni, apatah lagi gerai buruk Seri Embun itu.
Seri Embun walaupun nampak pelik
dengan kehadiran lelaki itu, masih mampu berlagak tenang dan bersahaja.
“This
is my card…” Pemandu kereta mewah tadi tiba-tiba menyuakan sekeping kad
berwarna hijau ke hadapan Seri Embun. Salam tak ada, mukhadimah tak ada...
tiba-tiba aje hulur kad. Tak beradab langsung!
Seri Embun yang terpinga-pinga masih
tidak menyambut. Dahinya nampak berkerut-kerut.
“Eh encik… maaflah. Buat masa ni
gerai saya tak terima kad kredit tapi insya-ALLAH dua atau tiga tahun akan
datang selepas gerai ni dinaikkan taraf jadi restoran, waktu tu barulah boleh
guna kad kredit.” Seri Embun tersengih, ada rasa bangga sewaktu berkongsi
impiannya dengan lelaki itu.
Walaupun jawapan yang diberikan
kedengaran seperti main-main, tapi sebenarnya tidak. Dia benar-benar
memaksudkan apa yang dia katakan tadi.
Seri Embun... memang lurus orangnya. Sebab
itulah dia mudah ditipu dan sering menjadi mangsa usikan budak-budak di dalam
kampungnya itu. Itulah keistimewaannya, walaupun dia kelihatan seperti kasar
dan selamba, tapi pada masa yang sama, dia sebenarnya cukup lurus dan penyabar
orangnya.
“Tapi kalau encik betul-betul dah haus, tak mengapalah… hari ini saya
belanja. Tapi lain kali, jangan lupa bawa tunai ya. Bukan mahal pun saya jual.
Air jus ni cuma seringgit setengah aje.
Air tin ni pulak seringgit dua..”
beritahunya tanpa diminta. Entah apa yang seronok sangat sampai meleret-leret
bibirnya tersenyum. Teruja agaknya memandangkan lelaki tampan di hadapannya ini
merupakan pelanggan pertamanya sejak dia membuka gerainya tengah hari tadi.
Azfahan pula sedaya upaya cuba menyembunyikan riak kurang senang pada
wajahnya. Macamlah aku berselera nak minum air jus kau tu. Mesti tangan kau
yang perah buah-buah jus tu semua kan? Lagilah mati selera aku… Eh tapi tangan
kau tu macam lembut aje aku tengok.
Putih melepak pulak tu! Macam best
aje kalau dapat usap-usap tangan kau tu. Eh aku ni... ke situ pulak!
Azfahan, behave yourself. Ingat
balik apa tujuan kau datang jumpa budak bendul ni! Sempat lagi Azfahan
mengingatkan dirinya sendiri.
Lalu, cepat-cepat bibirnya memaksa senyum. Sedari tadi, hanya sesekali
sahaja matanya memandang wajah putih mulus yang bertopi di hadapannya itu.
Langsung dia tidak tertarik, mungkin dia tidak dapat melihat wajah itu
sepenuhnya. Sebab itulah dia lebih rela membuang pandangannya ke belakang, ke
arah jalan raya yang sedang ditumpahi terik mentari yang sedang galak mencakar
ketika itu.
“Itu bukan kad kredit. Itu business card saya,” beritahu Azfahan,
ada nada bangga dalam getar suaranya.
Kali ini, Seri Embun mencapai juga
kad yang dihulurkan tanpa teragak-agak. Berkerut-kerut dahinya sewaktu dia
meniliti kad kecil itu. Dia cuma lihat nombor telefon sahaja yang terdapat di
situ. Lupa pula nak belek bahagian belakang.
“Oh, encik nak bagi nombor telefon
encik dekat saya ya? Kenapa tak cakap awal-awal? Encik malu ya? Hehe... Tapi
maaflah encik. Saya tak ada handset pun lah kalau nak main mesej-mesej pun.
Jadi apa kata kita kenal-kenal kat dalam surat dulu? Sampailah gerai saya ni
nanti dah jadi restoran, waktu tu barulah saya mampu nak pakai handset.”
Terlopong Azfahan mendengarnya. Ya
ALLAH, dia ni agaknya dah berapa tahun tak tengok muka dekat cermin? Siap
tersipu-sipu malu pulak depan aku! Gila apa orang macam aku nak berkenalan
dengan dia?
Kalau ikutkan hati, mahu sahaja dia
menyumpah seranah perempuan tak tahu malu itu tetapi mengenangkan rancangan
yang wajib dilaksanakannya sehingga berjaya, terpaksalah dia terus berpura-pura
dengan senyuman yang tak lekang di bibirnya.
“Sebenarnya, tu business card saya.
Tahu tak business card tu apa?” Azfahan bertanya juga walaupun di dalam hati,
awal-awal lagi dia sudah mengutuk Seri Embun memandangkan dia teramatlah yakin
perempuan dungu di hadapannya itu tentunya tak tahu apa itu business card. Iyalah... gerai buruk
macam ni takkanlah nak kena prepare
business card pulak kan?
Tengok! Dia kerutkan dahi dia lah.
Nampak sangat dia memang tak tahu! Alahai dungu betullah perempuan ni!
“Kalau awak tak tahu, tak apa. Biar
saya terangkan pada awak.” Azfahan buat-buat mesra pula. Hebat betul
lakonannya.
“Okay sebelum tu biarlah saya
kenalkan diri saya dulu. Saya Shariedan Azfahan Tan Sri Jaafar, pemilik
syarikat pengeluaran minuman antara yang terbesar dekat Malaysia ni.” Lebar
sungguh senyumannya. Dia nampak bangga sekali sewaktu memperkenalkan namanya
sebagai anak kepada seorang yang berpangkat Tan Sri.
Eh jap! Apa Azfahan ni cakap tadi? Syarikat
pengeluaran minuman? Itu semua propa
aja tu! Sejak bila pulak syarikat dia
keluarkan produk minuman? Bukan ke company dia hanya terlibat dengan
kerja-kerja pembinaan? Sejak bila pula kembangkan sayap sampai buka syarikat
pengeluaran minuman pula ni? Apa motif Azfahan sebenarnya sampai dia perlu
menipu begitu sekali?
“Sebenarnya, syarikat saya berminat untuk menjalinkan usahasama dengan
gerai awak ni. Beberapa kakitangan saya dah pernah rasa air Jus Cinta Muara
Hati dan mereka semua lah yang beriya-iya mencadangkan saya untuk memasarkan
jus awak ni. Sebab itulah saya datang dari jauh ni semata-mata nak melamar awak
untuk bekerjasama dengan syarikat saya. Jadi, kalau tak ada apa-apa masalah di
sebelah pihak awak, hubungi saya dengan kadar segera ya. Kalau boleh, secepat
mungkin. Sebab ada banyak perkara dan dokumen yang saya perlu selesaikan dengan
segera sebelum perjanjian dilakukan.”
Serius sekali riak muka Azfahan ketika ini, walhal di dalam hati bukan main
lagi dia bersorak mentertawakan Seri Embun. Melihat kedunguan pada wajah Seri
Embun yang bertukar teruja tiba-tiba itu saja, dia sudah cukup yakin yang gadis
itu bakal tersadung ke dalam perangkapnya.
“Okaylah.. Itu saja. Awak
fikir-fikirkan dulu ya. Nanti terus call
saya.” Azfahan terus berlalu menuju ke keretanya bersama perut yang senak
menahan ketawa yang menanti masa sahaja untuk dilepaskan. Dalam rasa nak
tergelak itu juga, dia berasa teramat lega. Selesai satu masalah!
Seri Embun ditinggalkannya dalam keadaan masih tidak percaya. Sama juga
keadaannya dengan Rosalinda. Terlopong dia memerhatikan ‘musuh’nya yang bakal
bergelar usahawan minuman jus yang berjaya suatu hari nanti. Sama lurus rupanya
si Rosalinda dengan Seri Embun ni. Alahai kesiannya budak berdua ni kena tipu
hidup-hidup.
Seri Embun nampak sebak dan terharu lewat tawaran yang disogokkan oleh
Azfahan tadi. Kedua belah telapak tangannya jatuh tertekup ke dada.
‘Ya ALLAH... Betul ke apa yang aku dengar tadi? Betul ke dia nak tolong
pasarkan Jus Cinta Muara Hati resipi rahsia turun temurun arwah ibu aku tu? Ya
ALLAH.. Ibu, inikah maksud ibu selama ni? Inikah permulaan yang ibu katakan
bakal mengubah masa depan keluarga kita? Betul ke semua ni, bu?’
Seri Embun yang kelihatan teruja, terus menekup mukanya dengan kedua belah
telapak tangannya. Rasa semacam nak menangis pun ada. Langsung dia tidak
menyangka jualan jus yang selama ini tidak memberangsangkan itu telah berjaya
menarik perhatian daripada orang yang akan membantu dirinya sehingga berjaya.
Ya ALLAH, syukur Alhamdulillah...
P/S: Sebarang kritikan sama ada positif mahupun negatif teramatlah dialu-alukan. Penulis sangat memerlukan komen daripada pembaca sekalian. Terima Kasih. =)
wah, best~
ReplyDeleteBest Kak Mimi Fatimah! Ohsem! :)
ReplyDeleteerks...nape la lurus sgt si embun tu ><
ReplyDelete