SERI
EMBUN dengan muka bingung masih membelek sekeping kertas yang
memanjang ke bawah itu. Sekali lagi, dia menggaru-garu kepalanya.
‘Betul ke apa yang Puan Sri
tulis ni? Dia tak silap ke? Kalaulah Puan Sri tak silap, kenapa aku tak pernah
dengar pun semua nama makanan yang pelik-pelik kat kertas ni? Tapi betul ke semua
yang Puan Sri Zahlia tulis ni nama makanan? Eh betullah.. tadi Puan Sri sendiri yang
suruh aku beli semua bahan-bahan untuk masak nama-nama makanan pelik yang dia salin kat atas kertas ni. Hurmmm... ni mesti makanan western ni. Aku bukannya tahu pun. Spaghetti pun aku tak pernah makan! Puan Sri tu pun satu. Mesti dia ingat aku ni reti masak masakan barat gara-gara rupa dan gaya aku yang ala-ala Justin Bieber ni. Boleh tahan bebal jugak Puan Sri tu..’ Seri Embun membebel seorang diri.
Kertas yang masih dipegang tiba-tiba
dijentiknya dengan satu jentikan padu.
‘Ahhh...
Ni mesti salah tulis ni. Tu lah... Kelam-kabut sangat. Ada hal penting konon
sampai tulis pun boleh salah. Hurmm...
Bahasa apa lah yang Puan Sri tulis ni agaknya. Aku nak sebut pun tak sanggup, takut tergeliat lidah.’
Dari ruang tamu, Seri Embun menonong
melangkah ke luar rumah dengan mata yang masih melekat pada sekeping kertas
yang masih tidak lepas dari tangannya. Dahinya pun masih nampak berkerut-kerut lagi.
Rungsingnya dia.. Mana tak rungsing. Cuma tinggal beberapa jam saja lagi untuk dia memastikan
nama-nama masakan yang ditulis pada kertas yang dipegangnya itu siap terhidang
di atas meja. Puan Sri pula entah ke mana dengan suaminya Tan Sri Jaafar. Hanya beberapa keping not RM50 saja yang ditinggalkan sekali dengan nama makanan pelik-pelik yang sempat Puan Sri tulis dekat atas kertas ni. Masalahnya sekarang ni, wujud ke senarai makanan yang Puan Sri tulis
pada kertas yang aku pegang ni? Atau aku aje yang tak pernah dengar nama
masakan-masakan yang pelik semua ni?
Seri Embun yang tercegat berdiri di
hadapan pintu utama banglo melingas matanya kiri dan kanan, mencari kelibat
lelaki tampan bersinglet hitam yang sempat dipandangnya sewaktu dia datang
bersama Azfahan tadi. Rasa-rasanya lelaki itu saja yang boleh diharap. Orang
gaji kat dalam rumah ni level IQ diorang rasanya taraf-taraf aku aje.
Dengan kepala yang tertunduk leka
merenung kertas di tangan, menonong dia berjalan ke arah lelaki bersinglet
hitam yang sedang mencangkul tanah ketika itu. Separuh badan lelaki itu
kelihatan berpeluh-peluh. Sesekali lelaki itu mengetap giginya menahan terik
matahari. Urat-urat pada lengan sasanya makin jelas ketara. Begitu juga dengan
otot-otot pejal tangannya yang kelihatan seperti terapung-apung. Kalau
diperhatikan, memang seksi sungguh lelaki bersinglet hitam itu. Dia kelihatan
begitu macho sekali dengan gayanya
yang tersendiri. Namun, tidak bagi Seri Embun yang blur itu. Lelaki bertubuh sasa, tinggi lampai itu hanya dipandang
sekali imbas saja, tanpa apa-apa perasaan jauh sekali untuk berasa kagum.
“Assalamualaikum bro...” Tanpa rasa malu Seri Embun menghulurkan salam. Malangnya salamnya tidak bersahut.
Ahh... Khusyuk sangat buat kerja agaknya. Sampaikan dia tak perasan aku kat sini. Fikir Seri Embun.
Ahh... Khusyuk sangat buat kerja agaknya. Sampaikan dia tak perasan aku kat sini. Fikir Seri Embun.
“Errr...
Assalamualaikum. Assalamualaikum, abang tukang kebun!” Kali ini, dia
meninggikan sedikit suaranya walaupun dia kelihatan seperti teragak-agak.
Lelaki bersinglet hitam tadi terkaku
pergerakannya seolah-olah dia sedang beraksi di hadapan jurugambar
professional. Batang cangkul yang sudah dijulang tinggi-tinggi tidak jadi pula
hendak dihentakkan ke atas tanah. Dengan wajah serius, dia menoleh sedikit
kepalanya. Terlihat jambang dan juga janggutnya yang nipis dan tercukur kemas
itu. Sekali dengan sepasang mata yang tajam renungannya. Peluh jantan setitis
dua menitis di tepi dahinya.
Masya-ALLAH... boleh dikatakan
sempurna wajah lelaki tampan ini. Dengan pipinya yang tirus menampakkan rahang
yang teguh itu... Dengan kulit wajah yang tidak cerah dan tidak pula gelap, dan
rambut tidak berapa lurusnya yang tebal itu... cukup menyerlahkan sisi maskulin
pada dirinya. Sudahlah tinggi lampai, berbadan sasa pula tu...
Namun, semua itu seolah-olah masih
tidak cukup padu untuk membuatkan Seri Embun mendongakkan kepalanya memandang
lelaki luar biasa tampan di hadapannya itu. Dia masih ralit merenung kertas di
tangannya sebelum kertas tersebut disuakan ke depan.
“Abang tukang kebun tahu tak apa
yang Puan Sri Zahlia tulis dekat kertas ni? Mesti dah biasa kan?” Tanpa diminta, Seri Embun terus menghulurkan kertas tersebut. Dari caranya
bercakap seperti biadap. Tapi dah memang begitu caranya. Selamba habis...
Kalaulah perempuan lain, agaknya tak berkelip merenung lelaki bersinglet hitam
di hadapannya itu.
Lelaki tadi itu pula nampak terkejut bila
dipanggil ‘abang tukang kebun’. Mujurlah jejaka ini bukan jenis orang yang suka
besar-besarkan hal yang remeh sebegitu. Kalau Azfahan, agaknya sudah lama Seri Embun ditengkingnya.
Lelaki tadi hanya menjawab soalan
Seri Embun tadi dengan gelengan sebelum dia memulangkan semula kertas kecil
yang memanjang ke bawah itu. Kemudian, dia menyambung semula kerja-kerjanya
yang terganggu tadi.
Seri Embun mengeluh kecil sambil
kepalanya digaru-garu lagi.
Kemudian, dia memusingkan badannya
semula untuk masuk ke dalam. Baru beberapa langkah, dia terhenti semula. Bulat
matanya memandang tumbuhan-tumbahan hijau tidak berbunga yang tertanam di sepanjang
tembok dinding vila mewah dengan dada yang terasa sesak. Ya ALLAH...
“Eh, bro! Kenapa tak siram semua pokok-pokok kat tembok tu? Pucat hijau aje
semuanya. Sampaikan satu bunga pun tak ada langsung! Marah Puan Sri nanti!”
Seri Embun hampir terjerit. Cemas sedikit wajahnya. Astaga... dia dah buat
balik perangai menggelabah dia tu!
Bukan apa, seingatnya... sewaktu dia
masuk ke kawasan vila ini tadi, tidak pula dia perasan tumbuhan-tumbuhan yang
tidak berbunga itu. Iyalah... memang semua tumbuhan dan pokok-pokok kat sini
tak ada satu pun yang berbunga! Peliknya!
Alahai Seri Embun ni pun...
Janganlah bandingkan kampung kau dengan kawasan rumah orang-orang kaya macam
banglo vila Puan Sri Zahlia ni. Rumah-rumah dekat kampung kau tu memanglah
penuh dengan pokok bunga. Orang-orang kampung biasanya semuanya memang macam
tu. Tapi untuk golongan berada yang sibuk macam Puan Sri Zahlia ni biasanya memang
hanya bela pokok yang tak berbunga saja. Senang nak jaga. Rumah pun tak nampak serabut
sangat. Ishhh.... Itupun nak jadi isu
la Seri Embun ni.
Tapi logik juga apa yang budak Embun
ni persoalkan. Bukan main banyak tanaman kat dalam vila ni, tapi tak ada satu
pun tanaman yang berbunga. Walaupun disusun cantik, sesak juga mata yang
memandang.
“Cuba tengok tu... pokok bunga
kertas tu tak berbunga langsung.. pokok orkid tu pun sama...” Seri Embun menudingkan
jari telunjuknya dengan sebelah mata yang dikecilkan. Beriya-iya sungguh Seri
Embun ni. Ikut kepala otak dia aje nak memandai-mandai. Padahal yang
ditunjuknya itu bukannya pokok bunga kertas. Orkid pun bukan! Rupa dan
bentuknya sahaja yang sama. Hakikatnya, semua jenis tanaman yang terdapat di
situ biasanya orang kaya-kaya saja yang tanam. Kalau lelaki bersinglet hitam
tadi sebutkan namanya pun, dah tentu-tentu kau tak pernah dengar Seri Embun
oiii... Sebabnya, nama-nama pokok tu semuanya pelik-pelik macam nama makanan
yang Puan Sri Zahlia salin kat atas kertas yang kau pegang tu!
Sedar kata-katanya langsung tidak
mendapat respon, Seri Embun kelam-kabut memusingkan tubuhnya. Apa kenalah
dengan minah sorang ni. Cemas semacam!
Dengan badan yang
terbongkok-bongkok, kalut dia mencari getah paip. Sebelum dicapai dan
disemburnya dari kiri sampailah ke hujung belah kanan. Lebar senyumannya
melihat tanaman yang sudah basah dalam mandian air paip itu. Puas hatinya!
Esok, berbungalah tu pokok-pokok tu semua.
“Bro... ni saya nak nasihat sikit
ni. Berdosa tau kalau kita makan gaji buta. Abang sebagai tukang kebun dekat
sini sepatutnya rajin-rajinlah siram pokok-pokok bunga kat rumah ni. Bukannya
nak suruh siram tiap-tiap hari. Seminggu dua tiga kali pun dah cukup
sebenarnya. Tumbuhan-tumbuhan ni pun macam manusia juga. Nak nampak cantik
macam manusia juga. Kalau tak siram, tak keluarlah bunganya. Manusia pun macam
tu juga, kalau tak siram mesti berbau kan. Apalah... Itu pun nak kena orang
bagitahu!” Sempat pula Seri Embun berikan nasihat kepada lelaki bersinglet
ketat yang masih belum dikenalinya itu.
Tiba-tiba lelaki bersinglet hitam
yang pendiam orangnya itu tadi tersenyum. Lebar pulak tu!
Sedikit sebanyak, dia terhibur dengan keletah Seri Embun yang natural pada matanya. Lagi satu, daripada
cara budak itu menegurnya tadi. Ya ALLAH, berani sungguh dia... Selamba habis!
APA
yang Puan Sri Zahlia tahu, segala jenis makanan yang diarahkannya tadi
sudah siap terhidang di atas meja makan. Mudah sungguh! Bukannya dia nak ajar
Si Embun tu. Padahal bukannya dia tak tahu betapa bendul dan blurnya Seri Embun! Sajalah tu nak
kenakan bakal calon menantunya itu. Supaya Seri Embun terseksa dan terus
larikan diri dari vila ini. Memang itu pun rancangan Puan Sri Zahlia
sebenarnya. Dia nak ajar Seri Embun cukup-cukup sampailah Seri Embun serik dan
menarik diri daripada menjadi menantunya.
“Sheryy... oh Sherry...!” laung Puan
Sri Zahlia yang berada di ruang tamu. Sengaja dia menukar nama ‘Seri’ menjadi
‘Sherry’.
Tak sanggup rasanya nak sebut nama pelik
manusia aneh yang kononnya bakal menjadi menantunya itu. Di hadapan Tengku
Nabisa yang bakal menjadi besannya, dia kenalah jaga nama dan reputasinya.
Walaupun Seri Embun dianggap tidak lebih daripada sekadar orang gaji, baginya
nama orang gaji pun mestilah kena ada kelas!
Berlagak betullah Puan Sri Zahlia
ni. Kalau boleh, dalam semua perkara dia mahu nampak gah. Walaupun
perkara-perkara yang hanya melibatkan orang gaji di dalam rumahnya!
Peliknya, Seri Embun macam tahu-tahu
aje nama ‘Sherry’ yang digunakan oleh Puan Sri Zahlia itu adalah nama khas yang direka
oleh Puan Sri Zahlia sebagai ganti kepada nama Seri Embun.
Dengan selamba, Seri Embun keluar
dari dapur bersama dulang kecil yang digenggamnya. Langkahnya santai, riak
wajahnya tenang seolah-olah tak ada apa-apa yang berlaku. Padahal dia sendiri
tahu yang dia telah diarahkan menyediakan hidangan untuk Tengku Nabisa yang
bakal menjadi emak mentua kepada Syafiqah Alia yang merupakan anak bongsu Puan
Sri Zahlia itu.
“Jus oren ni aje ke Puan Sri Zahlia?
Tadi awak kata Alia dah sediakan semua favourite
food saya tu. Mana dia? Maaflah bertanya. Saya dah tak sabar sangat nak
rasa air tangan bakal menantu saya..” Tengku Nabisa menjongketkan keningnya
dengan bibir yang dicebik sedikit. Tak malu sungguh perempuan ni.
Merah padam wajah Puan Sri Zahlia
dengan tamparan kata-kata itu.
Dari tempatnya duduk, yang termampu
dilakukannya hanyalah menjeling ke arah Seri Embun dengan mulut terkumat-kamit.
Tapi boleh pula Seri Embun balas balik dengan mengerutkan dahinya!
Tergeleng kepala Puan Sri Zahlia. Memang bendul betullah perempuan ni. Aku
bagi isyarat pun dia tak faham!
Nak tak nak, dengan senyuman yang
dibuat-buat, terpaksalah Puan Sri Zahlia bangun untuk mendapatkan Seri Embun.
“Mana makanan yang aku suruh kau siapkan
tadi?” bisiknya dengan suara garang, betul-betul di tepi telinga Seri Embun.
Sorok-sorok, dia mengambil kesempatan untuk mencubit lengan budak bendul itu.
“Makanan?” Seri Embun mengerutkan
dahinya.
“Yang aku tulis panjang-panjang kat
kertas tadi tu lah!”
“Ohhh semua yang Puan Sri tulis tadi
tu nama makanan ke? Maaflah saya tak faham. Sudahlah tulisan Puan Sri macam
cakar ayam. Macam tulisan orang-orang zaman batu pun ada jugak. Puas saya
mengeja dari tadi tapi sampai sekarang tak dapat-dapat. Maaflah ya, Puan Sri.
Saya betul-betul tak tahu.” Seri Embun menayangkan senyumannya seolah-olah
dirinya langsung tidak bersalah! Berani mati betullah budak ni!
“Kalau macam tu, I balik dululah Puan
Sri Zahlia. Lagipun, I tak rasalah anak you Alia tu sesuai dengan anak I. You
pun tahu kan, anak I Tengku Wazrul tu
jenis alim-alim sikit orangnya. Jadi, kalau bakal isteri dia tak reti memasak,
macam tak kena sikitlah. Sorry ya...
I balik dulu. Assalamualaikum.”
Puan Sri Zahlia sudah ternganga.
Namun dalam fikirannya sudah siap merancang. Siaplah kau wahai Seri
Bendul. Senang-senang aje kau rosakkan plan aku ya...
“Siapa yang buat jus oren ni?”
Berkelip-kelip mata Puan Sri Zahlia
yang sedang terjegil memandang wajah Seri Embun itu. Tengku Nabisa belum balik
lagi rupanya!
“Budak bendul ni lah, Seri..” Puan
Sri Zahlia tidak sempat menyebut nama yang dibencinya itu apabila Seri Embun
dengan sepantas kilat menekup mulutnya.
“Budak bendul? Siapa yang bendul?”
Tengku Nabisa meletakkan gelas yang hanya tinggal serdak jus tadi ke atas meja.
Kalau ikutkan, dengan serdak-serdak itu juga mahu dihirupnya!
“Errr...Bukan, bukan! Kalau Tengku
nak tahu, Alia lah yang buat jus oren tu,” sampuk Seri Embun tiba-tiba.
Makin bengang Puan Sri Zahlia dengan
kenyataan Seri Embun itu. Kau ni memang sengaja nak busukkan lagi nama anak aku
ya? Tak cukup lagi ke kau dah buat aku malu? Kau dah buat Tengku Nabisa percaya
yang anak aku Alia tu tak reti memasak. Sekarang, kau tuduh pula anak aku yang
buat jus oren yang tentu-tentunya tak sedap tu? Silap-silap berminggu-minggu
Tengku Nabisa kena cirit-birit lepas minum jus yang kau buat tu!
Kau ni memang tak gunalah Seri
Bendul! Tahulah nasib kau lepas ni. Aku akan tukar kau dari Seri Bendul, jadi
Seri Mandul! Biar padan dengan muka kau bila anak aku Azfahan tu tinggalkan kau
nanti!
“Puan Sri Zahlia... I tarik balik
kata-kata I tadi. Maafkan I. I harap you tak ada masalah untuk beri peluang
pada I supaya I dapat pertimbangkan untuk satukan Alia anak you dengan anak I Wazrul
tu...”
Ternganga Puan Sri Zahlia
mendengarnya. Berkali-kali dia menelan air liur. Seperti tidak percaya.
“Errr...urggg... Boleh I tahu kenapa you
tiba-tiba boleh ubah fikiran pulak?”
Tengku Nabisa tersenyum mesra.
“I ubah fikiran I disebabkan jus
oren ni.”
“Kenapa pulak dengan jus tu?” soal Puan
Sri Zahlia hairan. Terasa berdebar-debar dadanya ketika ini.
“You sendiri tahu kan. Seumur hidup
I, dah berpuluh-puluh negara I jelajah. Tapi setakat ni, I rasa tak pernah lagi
minum jus sesedap ni. Senang cakap, inilah minuman yang paling sedap pernah
masuk dalam perut I. Jadi I yakin yang I dah silap menilai Alia. Tentu Alia
bukan calang-calang perempuan kan? Tak sabar pula I nak rasa air tangan yang
lebih istimewa daripada bakal menantu I tu nanti.” Tengku Nabisa kelihatan
begitu teruja sekali. Gelas yang hanya tinggal serdak itu diteguknya juga
sampai licin.
Rakus betul perempuan ni!
“TERIMA
kasih Kak Sherry!” Syafiqa Alia meluru keluar dari biliknya sebaik sahaja Tengku
Nabisa pulang. Bahu Seri Embun tanpa segan silu terus dipaut dengan manja. Kenal pun belum lagi, selamba saja dia sandarkan kepalanya di atas
bahu si ‘penyelamatnya’ itu.
Seri Embun cuma tersenyum.
‘Budak ni dari tadi memang berkurung
dalam bilik aje rupayanya ya? Hurmm...
nervouslah agaknya tu sebab bakal mak
mentua dia nak datang.’
“Terima kasih banyak-banyak tau kak.
Kalau tak disebabkan jus akak tu, tak dapatlah Alia kahwin dengan Abang Wazrul
kesayangan Liya tu. Kalau tak, Alia memang dah fikir yang Alia taknak kahwin
sampai bila-bila. Hanya Abang Wazrul sorang saja yang ada kat dalam hati Liya
ni!”
“Amboi adik abang... Sampai macam tu
sekali?” Kedengaran satu suara garau mencelah. Suara yang tidak lembut, tetapi
mampu menggetarkan hati-hati wanita yang mendengarnya. Tapi tidak pada Seri
Embun. Alahhhh Seri Embun ni lainlah.
Budak ni entah-entah baligh pun belum lagi!
“Mestilah Abang Long. Itulah baru
dikatakan, cinta sejati.” Terpejam-pejam mata Alia sambil dia membayangkan
wajah pujaan hatinya, sebelum tiba-tiba pipinya dicubit dengan kuat. Wajah buah
hati terus bertukar jadi buah yang dah busuk berulat-ulat.
Alia tarik muka masam.
“Cinta sejati konon... Dah tak ada
lelaki handsome yang ngorat Alia,
memang lah Alia sayang sangat-sangat dekat si Wazrul tu. Cuba kalau ada
lelaki lain yang tackle Alia tu mukanya macam abang Long ni, mesti dah lama Alia tinggalkan budak Wazrul tu...” usik Afka sambil tangannya mengepit bahu
adik bongsunya itu erat-erat sehingga pipi mereka berdua melekap antara satu sama lain. Tetapi Afka terpaksa menundukkan badannya yang tinggi itu supaya selaras dengan Alia yang bertubuh kecil itu.
Berbanding dengan Azfahan, Afka
seorang abang yang penyayang, kuat mengusik walaupun boleh dikatakan agak
pendiam orangnya. Azfahan pula lebih gemar bersendiri dan jarang bergaul dengan
sesiapa. Mungkin disebabkan itu Alia lebih rapat dengan abang sulungnya, Afka.
“Abang Long ni tak baik tau...
Memanglah muka bakal suami Alia tu hodoh, buruk, meloyakan... rasa nak
termuntah pun ada tiap kali tengok muka dia... rasa macam nak sagat muka dia
dengan batu karang pun ada jugak. Tapi, macam Alia cakap, itulah namanya cinta
sejati. Cinta yang tak mengenal paras rupa.”
Terhambur gelak tawa Afka. Dia tahu, adiknya
itu cuma bergurau.
Seri Embun pula sedari tadi
tersenyum saja memerhati kemesraan mereka berdua. Rapat betul Alia dengan
tukang kebunnya itu. Dia dapat rasa Alia ni memang jenis tak sombong orangnya.
Tak macam ibunya, Puan Sri Zahlia tu. Tapi abang tukang kebun ni pun sombong
jugak dengan aku. Dengan Alia dia mesra aje aku tengok. Dengan aku, sepatah
haram dia tak nak cakap. Tahulah Alia tu comel! Pilih kasih betullah abang
tukang kebun ni!
Ya ALLAH Embun ni, dia
masih tak tahu lagi rupanya yang Afka tu sebenarnya abang Alia. Kenapalah
lambat sangat dia ni? Banyak mengelamun agaknya.
Wake
up, Embun! Janganlah ‘bendul’ sangat!
P/S: Sebarang kritikan sama ada positif mahupun negatif teramatlah dialu-alukan. Penulis sangat memerlukan komen daripada pembaca sekalian. Terima Kasih. =)
muahaha... kenapa lurus sangat seri ni? bendul pun tak lurus mcm tu. =D
ReplyDelete