BERMINGGU-MINGGU jugalah Seri Embun
berkurung di dalam bilik semata-mata untuk mempertimbangkan tawaran lelaki yang
bernama Azfahan itu. Sebenarnya hati lebih condong untuk menerima sahaja
tawaran itu tetapi takut juga kalau-kalau lelaki itu ada niat buruk.
‘Takkanlah kot!’ Seri Embun
menyedapkan hati sendiri. Sampai sekarang pun, dia masih tidak tahu yang
tawaran Azfahan itu sebenarnya hanyalah jerat untuk memerangkapnya.
Iyalah, kalau dah nama pun penipu
besar, lelaki bernama Azfahan ini tentunya sanggup melakukan apa sahaja!
Berkali-kali juga Azfahan ada datang ke rumah
Seri Embun untuk memujuk sekali Pakcik Berahim supaya mengizinkan dia membawa
Seri Embun ke Kuala Lumpur. Pada awalnya Pakcik Berahim tentu-tentulah berat hati
untuk melepaskan anak kesayangannya pergi begitu sahaja mengikut lelaki yang
tidak dikenalinya. Tetapi setelah Azfahan meyakinkan lelaki tua itu siap
sanggup meninggalkan kad pengenalan, dan siap ditunjukkan segala dokumen perniagaannya,
mahu tak mahu terpaksalah Pakcik Berahim percaya juga walaupun hakikatnya
dokumen perniagaan yang ditunjukkan itu adalah palsu. Kemudian, untuk
meyakinkan Pakcik Berahim lagi, Azfahan menunjukkan pula berpuluh-puluh gambar
dan artikel tentang kejayaannya di dalam surat khabar, maka makin terpujuklah
hati Pakcik Berahim untuk membiarkan sahaja anaknya pergi mencipta kejayaan bersama-sama
lelaki itu. Pakcik Berahim yang berpendidikan rendah itu langsung tidak
meletakkan sebarang syak wasangka memandangkan artikel dari surat khabar yang
ditunjukkan Azfahan semuanya adalah surat khabar berbahasa Inggeris. Manalah
dia faham apa yang ditulis pada artikel-artikel tersebut. Jadi sampai sudah dia
tak tahu yang semua artikel itu sebenarnya menceritakan kejayaan Azfahan
sebagai seorang arkitek berjaya, bukannya sebagai pengusaha produk minuman di
dalam Malaysia ini. Bijak sungguh Azfahan. Bukan saja Seri Embun yang ditipunya
hidup-hidup. Ayah Seri Embun pun diperbodoh-bodohkannya sekali. Selepas itu,
bermacam-macam lagi penipuan yang menyusul sampaikan Pakcik Berahim dan Seri
Embun sudah tidak boleh nak meraguinya lagi.
Nampaknya Azfahan memang sudah
terdesak. Iyalah, hanya Seri Embun saja yang dapat membantu supaya dia tidak
terus didesak dan dipaksa kahwin oleh Puan Sri Zahlia. Ibunya itu pula
nampaknya sudah sehabis nekad. Tak kira apa sahaja calon isteri yang dibawa
anaknya itu, dia akan menerima sahaja seadanya. Itu janji Puan Seri Zahlia.
Jadi, atas sebab itulah Azfahan berminat sekali ingin ‘menyunting’ Seri Embun
menjadi bakal isterinya kerana dia yakin, ibunya tentu tidak akan menerima
menantu seperti Seri Embun. Tidak sama sekali. Melihat pada penampilan gadis
itu sahaja, sudah meloyakan tekak sesiapa saja. Bukan sahaja nampak kasar, tapi
nampak comot. Lurus bendul pula tu orangnya.
‘Jadi, sudah tentu mummy takkan
terima budak tu untuk jadi menantu. Maka selepas mummy reject Seri Embun sebagai calon menantu nanti, mummy tentu dah tak
berani untuk paksa aku kahwin. Mesti mummy serik untuk desak-desak aku lagi
sebab dah tak sanggup nak tengok aku bawa balik perempuan yang langsung tidak
menepati citarasanya. Tak pun lepas mummy reject
Seri Embun, mummy akan bagi aku tempoh yang lebih lama untuk aku fikirkan calon
isteri yang paling sesuai. Mungkin mummy akan bagi tempoh sehingga empat atau
lima tahun. Jadi sepanjang tempoh itu, tak payahlah aku pening-peningkan kepala
lagi nak fikir pasal kahwin,’ fikir Azfahan.
‘Bijaknya aku!’ Ada senyuman bangga
di bibirnya.
SETELAH
menimbang dengan baik, akhirnya Seri Embun dengan berat hati telah memutuskan
untuk berhijrah ke kota besar Kuala Lumpur, sekaligus meninggalkan kampung
halamannya, juga gerai yang tak sampai seminggu sempat bertapak itu. Mujur
ayahnya memberi restu, siap dengan semangat yang dijadikan bekalannya untuk
mempersiapkan dirinya sebelum bergelar seorang usahawan berjaya. Insyaallah...
dengan penangan jus hasil resipi arwah ibunya, dia yakin akan kemampuannya.
Dari kecil lagi dia tidak pernah
jemu dengan air jus yang dibuat sendiri oleh arwah ibu, sampaikan beberapa kali
dia meminta arwah mengajarnya tetapi arwah sentiasa mengelak. Dia sendiri
berasa pelik dengan sikap arwah terlalu berahsia tentang resipinya itu.
Sehinggalah sekarang apabila resipi jus itu diwasiatkan kepadanya, barulah dia
berpeluang untuk menyediakan jus itu sendiri walaupun masih tidak sebaik air
tangan arwah.
Seri Embun memandang ke luar
tingkap. Rasanya mereka sudah hampir nak sampai memandangkan sebentar tadi
matanya ada tertangkap papan tanda yang ada tertulis nama bandar ‘Kuala
Lumpur’, lebih kurang beberapa kilometer sahaja lagi. Baguslah, dia pun sudah
terasa bosan. Sepanjang perjalanan, Azfahan langsung tidak mengajaknya berbual.
Malah, sekali pun tidak pernah memberhentikan keretanya untuk ke tandas atau
untuk mengisi perut.
Jadi, terpaksalah Seri Embun
mengikut saja walaupun ketika dalam perjalanan tadi, dia terasa seperti hendak
terkucil. Namun bila memikirkan ketegangan Azfahan yang seperti langsung tidak
mengendahkannya, terpaksalah dia menangguhkan hajatnya itu sehinggalah mereka
sampai ke sebuah kondominium mewah.
“Nah! Kau tukar pakaian
kau tu. Ambil baju kurung dengan tudung bawal ni. Pergi tukar cepat. Kita nak
bertolak dah ni.” Selamba saja Azfahan mencampakkan pakaian tersebut tepat ke
muka Seri Embun. Dia yang sedang tercengang-cengang memerhatikan hiasan dalaman kondo mewah Azfahan itu terpinga-pinga dibuatnya.
Seri Embun nampak cemas. Muka
Azfahan dipandangnya dengan mata yang sudah bergenang, sambil kepalanya
menggeleng-geleng menafikan apa yang sedang difikirkannya ketika ini. Tangannya meramas-ramas baju kurung yang dicampakkan tadi bersama hati yang remuk-redam.
“Tukar baju? Apa kau nak buat dengan aku sebenarnya? Ke mana kau nak bawa aku sampai paksa aku tukar baju
pulak? Kenapalah aku boleh percayakan orang macam kau! Bodohnya aku. Kenapalah aku tak terfikir yang kau nak jual aku dekat tempat kotor lagi menjijikkan tu! Masya-ALLAH... Tak guna punya
jantan! Kau memang jantan tak guna” jerkahnya tiba-tiba.. Jeritannya yang kuat menyebabkan suaranya bergema beberapa kali.
Saat ini, tubuhnya menggeletar dengan hebatnya,
namun suaranya masih dapat dikeluarkan dengan baik untuk menyumpah seranah
lelaki puaka itu!
Azfahan yang mulanya nampak
terkejut, langsung tidak berasa gentar. Rasa nak tergelak tu ada lah. Tapi
ditahannya. Seronok pulak dia tengok Seri Embun dalam ketakutan begitu.
Bodoh punya perempuan! Kalau aku nak
jual orang, buat apa aku pergi jauh-jauh semata-mata nak kutip perempuan macam dia? Dekat KL ni pun berlambak lagi
perempuan yang jauh lagi cantik, yang jauh lagi mantap dan sesuai untuk jadi
pelacur. Kuat berdrama betullah dia ni. Ni mesti pengaruh filem Ombak Rindu ni.
Feeling konon-konon diri dia tu macam
watak Izah yang teraniaya, lepas tu dapat kahwin dengan aku yang handsome dan kaya raya ni? Jangan mimpi!
“Bodoh betullah kau ni. Kalau aku ni
ada niat nak jual kau, buat apa aku suruh kau pakai baju kurung dengan tudung
tu pulak? Nonsense! Lain kali sebelum
nak buat drama air mata depan aku, gunalah otak tu dulu daripada kau buang masa
bazirkan air mata kau tu!”
Seri Embun terlopong dengan
penjelasan itu. Merah padam mukanya dalam sekelip mata. Rasa nak terjun aje
dari atas balkoni kondo ni!
Ya ALLAH, malunya... Itulah banyak
sangat tengok drama-drama Melayu! Orang lain tengok jugak tapi aku ni kalau
tengok, beriya-iya sangat. Rasa macam aku pulak pelakon utamanya. Itu yang
terbawa-bawa sampai ke dunia nyata tu!
“Aku suruh kau pakai baju kurung tu
sebab petang ni kita ada photoshoot.
Sebagai rakan kongsi, kau akan bergambar dengan jus minuman kebanggaan kau tu
untuk poster-poster syarikat yang akan diedarkan tak lama lagi...”
Azfahan hampir tergelak dengan
penipuan yang spontan direkanya itu. Ahhh…
goreng ajalah. Si bendul ni mesti percaya punyalah. Tengok muka pun dah tahu.
Muka tak lepas UPSR. Apatah lagi PMR dan SPM!
“Tapi… kenapa saya kena pakai baju
kurung ni semua?”
Azfahan mengeluh. Tak ada lah bendul
sangat budak ni rupanya.
“Semua tu sebagai identiti negara
kita. Tak mustahil kalau suatu hari nanti jus ciptaan kau tu akan tembus
pasaran antarabangsa. Sebab itulah aku rasakan baju kurung tu yang paling
sesuai untuk photoshoot petang nanti!
Kau patut berbangga tau kalau produk jus kau tu nanti dah popular dekat luar
negara!” Azfahan masih ‘menggoreng’. Terasa lapang dadanya melihat Seri Embun
sudah tersenyum-senyum dan terangguk-angguk kepalanya.
Bagus! Makin lembab otak kau, maka
semakin senanglah kerja aku! Terima kasih Seri Embun...
Namun begitu, Seri Embun
tetap tidak sanggup nak menyarungkan baju kurung tersebut. Tidak sesekali!
BERKERUT-KERUT dahi Seri Embun sewaktu kereta yang dipandu Azfahan
melepasi pintu gerbang yang tingginya separuh daripada pokok kelapa itu. Saat
hidungnya terhidu aroma sungai yang dibawa oleh desiran angin, dia sudah boleh
mengagak. Mereka kini tentunya sudah berada agak jauh juga dari kota Kuala
Lumpur. Namun, tidak pula dia terlintas untuk bertanya apa-apa kepada Azfahan
memandangkan dia yang seperti dipukau, leka memandang halaman vila mewah yang berdiri
gah di hadapannya. Port yang paling
mencuri tumpuannya ialah kolam yang begitu klasik dan unik buatannya, di mana
kelihatan teratai yang terapung di permukaan air sesekali berkocak apabila
beberapa ekor angsa di situ mengibaskan kepaknya. Terdapat juga sebuah arca
berbentuk seekor kuda yang sedang berdiri, menjadikan panaroma itu kelihatan
begitu mewah dan gah sekali.
Damainya… Begitu juga dengan pokok
ru yang menyerupai pokok krismas yang tinggi-tinggi belaka dan berbaris seperti
pasukan kawad di kanan dan kiri sementara di tengah-tengahnya terhampar lorong
pejalan kaki yang sederhana kecil menghala menuju ke vila.
Seri Embun yang terpesona dengan
pemandangan itu berkali-kali berzikir memuji kebesaran ALLAH. Saat dia
terpandangkan seekor kuda yang sedang ditunggang oleh seorang lelaki tampan,
tahulah dia… kekayaan dan kemewahan pemilik vila tersebut memang tak dapat
dipertikaikan lagi.
Dia kelihatan begitu asyik sekali merenung
keindahan halaman vila tersebut sampaikan dia boleh terlupa tujuan asalnya
mengikut Azfahan. Sewaktu Azfahan membuka pintu dan menariknya turun pun, dia
seakan tidak terasa sewaktu kakinya itu mencecah ke atas tanah.
Pintu aliminium bersaiz gergasi yang
tingginya mendongakkan kepala itu tiba-tiba terbuka dari dalam. Seperti pentas
teater yang baru dibuka, dari balik pintu banglo, menjelma seorang wanita
separuh abad yang berbaju kebaya dengan rambut yang disanggul tinggi. Walaupun
sudah berusia, wanita itu kelihatan cukup anggun sekali meskipun keayuannya
disembunyikan di sebalik solekan yang agak tebal.
Sayangnya, wajah yang putih melepak itu tampak garang dan sombong sekali.
Segarang lipstick berwarna merah yang
menyala pada dua ulas bibirnya.
“Han, siapa pulak yang kamu bawa
balik ni? Tiga orang pembantu rumah dekat vila ni semuanya belum nak berhenti
lagi lah sayang..”
Puan Sri Zahlia menjeling tajam ke
arah Seri Embun dengan pandangan kurang senang. Selama ini memang anaknya itu
pun yang menguruskan hal-hal berkaitan pengambilan orang gaji. Tapi
rasa-rasanya, tiga orang sudah lebih daripada cukup.
Azfahan kelihatan teragak-agak untuk
menjawab. Dia nampaknya masih belum bersedia untuk sebarang penjelasan.
Dibuatnya mummy mengamuk, habis aku! Jadi adalah lebih baik kalau aku berdiam
saja dulu.
“Siapalah yang sanggup berhenti kalau gaji pembantu rumah yang mummy beri
lebih kurang sama aja banyaknya dengan gaji fresh
graduate yang ada degree..” ujar Puan Sri Zahlia dengan bongkaknya, sambil
melibas-libas kipas lipat di tangan dengan gaya angkuh. Mukanya pula mendongak
sedikit ke atas. Sombong betul perempuan ni! Seperti sengaja ingin menghebahkan
kekayaannya di hadapan Seri Embun.
Azfahan diam. Air liur ditelan. Beberapa kali.
Akhirnya, setelah mendapat kekuatan, dia bersuara juga walaupun
lambat-lambat, dengan suaranya sedikit gugup.
“Mummy... mummy dah salah faham
sebenarnya ni. Mummy dah tak ingat ke mummy suruh Han bawa balik calon menantu.
Ni lah calon isteri Han, mummy.” Dengan selamba, tangannya terus bergerak
memaut bahu Seri Embun. Tersengih-sengih dia melihat ibunya yang sudah
terlopong dengan mata yang terjegil bulat itu.
Alhamdulillah...
Lepas ni comfirm mummy tak akan
desak-desak suruh aku cari calon isteri lagi. Tentu mummy akan reject
mentah-mentah dan tentu juga mummy akan beri extra lima tahun lagi supaya aku boleh fikir masak-masak sebelum
berkahwin dengan Seri Embun yang langsung tidak semenggah ni!
Yahoo...
Terima kasih Seri Bendul. Sebagai upah, aku akan beli tukul besi bersalut emas yang
paling berat untuk ketuk kepala kau tu. Supaya lepas ni, tak ada lah senang-senang
aje kau dibodoh-bodohkan oleh manusia bijak pandai macam aku ni..
“KAMU
ni Han agaknya dah berapa tahun kamu tak tengok perempuan? Itulah... jarang
sangat balik ke sini sampaikan perempuan yang cantik, yang sempurna macam mummy
ni pun kamu dah tak boleh nak bezakan dengan perempuan dekat sebelah kamu tu.
Perempuan jenis apa macam tu?” Puan Sri Zahlia yang bercekak pinggang menayang
wajah hairan. Penat menggeleng, dia mengeluh sambil terpaksa memanggil dua
orang pembantu rumah untuk memicit kepalanya yang mula terasa pening itu. Sambil
itu, dia memandang anak kesayangannya dari atas ke bawah dengan wajah pelik.
Betul ke ni anak aku?
“Kenapa pulak mummy?” Azfahan pura-pura mengerutkan dahinya.
“Iyalah... main tangkap muat aja!
Asal nama perempuan aja, kamu terus kutip bawa jumpa mummy! Huh.. Perempuan
macam ni nak jadi menantu mummy?”
Puan Sri Zahlia mencebikkan bibir sambil
menahan geram di dalam hati. Bukannya dia tidak fasih tentang anaknya yang
sorang tu. Walaupun Azfahan seorang yang
workaholic sehingga sukar untuk
digoda oleh mana-mana perempuan yang tergila-gilakannya... dia percaya, anaknya
itu tetap memiliki selera yang tinggi! Tidaklah seperti budak comot di
hadapannya ini. Tengok dari cara budak ni berpakaian pun boleh tertutup pintu
selera aku! Pendek kata, kalaulah semua orang yang ada masalah obesiti
menengokkan muka si Seri Embun ni, tak mustahil diorang semua boleh kurus mendadak. Sebab apa? Sebab tak lalu nak
makan lepas tengok muka dan penampilan Seri Embun yang meloyakan anak tekak ni!
Eh jap! Tapi, muka dia aku tak
nampak sangat lah sebab agak tersorok sedikit di sebalik tudung yang macam
sengaja digelebehkan ke hadapan. Jadi aku tak boleh nak komen lebih-lebih.
Alah... sebab hodohlah dia pakai tudung menggelebeh macam tu!
Azfahan langsung tidak komen
apa-apa. Diam saja sambil menahan senyum.
“Iyalah.. Mummy tak ada pun letak
syarat ciri-ciri macam mana calon menantu yang mummy mahukan. Mummy cuma cakap,
asalkan calon menantu mummy tu perempuan tulen. Bukannya pondan ataupun
maknyah. Sekarang takkan mummy nak Han kahwin dengan lelaki pulak?”
Puan Sri Zahlia menepuk-nepuk
dahinya. Kesal dengan sikap anaknya itu.
“Sejak bila pula kamu jadi bendul ni
Han?”
“Bendul? Mana mummy tahu nama bakal
isteri Han ni Seri Bendul?”
Azfahan tersengih-sengih. Semakin
galak dia mengenakan Seri Embun bila dilihatnya Seri Embun langsung tidak
membalas. Tengah blurlah agaknya
tu...
Di dalam hati, dia mula berkira-kira
dan menunggu sehingga Puan Sri Zahlia menghalaunya. Dia yakin... ibunya tentu
akan reject Seri Bendul ni
mentah-mentah.
Dia sendiri seorang yang mementingkan kesempurnaan, sudah tentulah ibunya
pun sama!
“Seri Bendul? Kamu ni biar betul Han?”
Puan Sri Zahlia mengurut-urut dadanya yang makin terasa sesak. Macam ni punya
orang nak jadi menantu aku? Buruknya nama... Takkanlah nama seburuk tu nak
ditulis pada kad kahwin nanti?
Mendengarkan pertanyaan itu, mahu saja Azfahan melompat saat itu juga.
Nampaknya, Seri Bendul akan dihambat dalam beberapa saat saja lagi. Dia
teramatlah yakin!
“Betullah mummy. Dekat kampung pulak, semua orang panggil Seri Bendul ni
dengan nama Justin.”
Dah keluar nama jantan pulak! Makin sesak dada Puan Sri Zahlia dibuatnya.
Berkerut-kerut dahinya menahan rasa pening. Bingung dengan pilihan anak
kesayangannya itu.
Memang niat Azfahan sengaja hendak merendah-rendahkan ‘calon isterinya’ itu
di mata ibunya sendiri. Dengan harapan Puan Sri Zahlia tidak lagi mendesak
memaksanya kahwin selepas ini. Biarlah jodohnya nanti datang dengan sendiri.
Dengan hati yang puas, Azfahan merapati Puan Sri Zahlia lalu dipautnya bahu
ibunya itu.
“So... macam mana? Mummy okay tak dengan pilihan Han ni?” Azfahan bermain
jongket-jongket kening.
“Han harap sangat-sangat mummy
setuju dengan pilihan Han ni. Sebabnya... kalau mummy nak tahu, Han dah memang
sayang sangat-sangat dengan Seri Bendul ni. Kalau ikut hati Han ni, esok jugak
Han nak jadi suami dia.”
Mahu sahaja Azfahan ketawa kuat-kuat dengan pengakuannya itu tadi. Lagi terasa nak pecah perutnya
melihat riak muka Seri Embun yang kebingungan ketika ini. Mesti si Bendul ni
ingat aku memang betul-betul ‘feeling’ dekat dia! Haha... Nasib kau lah Seri
Bendul!
“Kamu boleh balik sekarang juga, Han...” Lemah suara Puan Sri Zahlia
menyuruh anaknya pulang. Terpancar jelas riak kecewa pada wajahnya.
‘Yes!!!’ Azfahan bersorak di dalam hati walaupun jawapan itu awal-awal lagi
sudah dapat diduganya. Namun, dia tetap berasa teruja memandangkan bermula dari
detik ini, soal hidupnya tidak akan ditentukan oleh Puan Sri Zahlia lagi!
Pada Seri Embun, dia mengukir senyuman kemenangan.
“Apa tunggu lagi. Baliklah...”
Tiba-tiba suara Puan Sri Zahlia meninggi.
Amboi... garangnya mak aku ni. Merajuklah tu sampai halau aku macam tu
sekali! “Jom Seri Bendul.. Kita balik.”
Dengan hati yang girang sambil dia menyanyi kecil, tangan Seri Embun
direntapnya. Kononnya ingin menunjukkan kemesraan. Hakikatnya dia sengaja
mencengkam pergelangan tangan Seri Embun sekuat hatinya! Biar gadis tak sedar
diri itu tersentak dari khayalannya! Sedar sikit diri tu ya Seri Bendul. Jangan
ada hati pula nak berangan jadi isteri lelaki sehebat aku...
Puan Sri Zahlia sempat melibas lengan anak kesayangannya itu dengan kipas
lipat di tangannya.
“Yang kamu nak bawa Si Bendul tu balik sekali buat apa? Mummy tak suruh pun
dia balik. Mummy suruh kamu aja yang balik!”
Terpinga-pinga Azfahan mendengarnya. Kalut dia dibuatnya. “Habis tu mummy,
Seri Bendul ni nak balik naik apa?”
Puan Sri Zahlia berdehem beberapa kali. Dadanya sengaja didabikkan
menjadikan dia kelihatan begitu professional sekali di hadapan anaknya. Sebagai
seorang bakal mentua yang terlibat dalam proses pemilihan menantu, dia perlu
menunjukkan kredibilitinya dalam ‘bidang’ itu.
“Seri Bendul akan tinggal kat dalam rumah ni selama sebulan. Sebagai syarat
untuk menjadi menantu mummy, Seri Bendul wajib menjalani satu sesi temuduga dan
juga kursus selama sebulan dekat sini. Sekiranya dia layak dan lulus menjadi
menantu mummy, mummy sendiri yang akan call beritahu kamu!”
“What?” Azfahan terjerit dengan
mulutnya separuh terlopong.
P/S: Sebarang kritikan sama ada positif mahupun negatif teramatlah dialu-alukan. Penulis sangat memerlukan komen daripada pembaca sekalian. Terima Kasih. =)
Padan muka asfahan
ReplyDeleteMenarik citer ni
ReplyDeleteokay thnx. terus follow dan bg kritikan ya. insyaallah cerita ni akan diupdate sekerap mungkin
ReplyDeletewohooo... padan muka asfahan ! ambik ko . hahahah =D
ReplyDeletehan memang kejam... :P jgn asik nk knekn org je kn daa terkene :P
ReplyDelete