Friday, 30 November 2012

Isteri Paling Kelakar (BAB 5)






“INI meja awak. Tugas awak cuma rekod dan daftar nama pesakit. Jangan lupa mintak kad pengenalan sekali. Lepas tu, sediakan ubat-ubat seperti yang diarahkan oleh doktor. Shift saya baru je tamat. Lima minit lagi sampailah doktor yang akan gantikan saya tu. Saya balik dulu ya. Ada hal penting ni. Tapi pastikan dulu dekat kot dia ada tulis nama Doktor Afka. Takut juga kalau ada orang lain yang menyamar jadi dia. Tapi jangan risau, nametag yang tertulis nama Doktor Afka tu, memang Doktor Afka saja yang pegang nametag tu.” Doktor Adzhar mengingatkan sebelum doktor muda ini gesa-gesa meninggalkan Seri Embun yang terpinga-pinga, tidak tahu apa yang perlu dibuatnya.
Takkan aku nak memandai sendiri daftar nama pesakit. Dibuatnya doktor yang akan gantikan Doktor Adzhar tu tak datang sampai sudah, mesti teruk aku kena maki dengan pelanggan-pelanggan dekat klinik ni. Isyyy.. Tengoklah tu... pesakit dah penuh dah tu. Sampai ada yang terpaksa berdiri. Boleh tahan laku jugak ya klinik ni. Tapi, kenapa yang ramainya perempuan? Mereka semua nampak sebaya pulak tu. Aku agak-agak... urmmm... boleh dikatakan dalam awal 20-an macam tu.             
            Lima minit berlalu. Doktor yang dijanjikan akan menggantikan tempat Doktor Adzhar sampai sekarang pun bayang-bayangnya masih juga tak muncul-muncul. Yang muncul pun...
            Abang tukang kebun? 
            Ya ALLAH... Kenapa baru sekarang dia sampai. Eh? Tapi kenapa dia langsung tak pandang aku? Bukannya dia tak boleh nampak aku dekat dalam ni. Bukan main besar lagi cermin lutsinar kat depan muka aku ni. Dari gayanya, dia macam buat-buat tak nampak aje. Dan kenapa dia perlu tukar dari t-shirt ke kemeja formal? Rambutnya pun dah disikat kemas. Rapi dan sudah dipotong pendek. Pesakit-pesakit perempuan yang beratur menunggu giliran pun sudah mula tercuit-cuit sesama diorang bila diorang sedar abang tukang kebun yang tampan tu tengah menonong berjalan macam model sebelum masuk ke dalam bilik Doktor Adzhar. 
          Ahhh.. Aku tak hairanlah semua tu. Soalnya sekarang, dia buat apa kat sini? Tiba-tiba aje ubah penampilan secara drastik macam tu?
            Eh aku pun tak payahlah banyak tanya. Pergi ajelah jumpa dia. Tanya dia depan-depan!
            Dengan wajah seriusnya walaupun masih jelas rasa terkejut, Seri Embun terus meluru masuk ke dalam bilik Doktor Adzhar. Entah apalah abang tukang kebun tu buat kat dalam bilik tu. Sesuka hati dia je tau mamat ni! Dia ingat bilik dia ke sampai sesuka hati ceroboh masuk macam tu aje?
            “Ni kenapa abang tiba-tiba datang sini balik ni? Abang tahu tak, disebabkan abanglah Embun kena kerja dekat sini tau!” Seri Embun terus melepaskan rasa marah dan tak puas hatinya.
            “Kenapa pulak?” Acuh tak acuh sahaja Afka ni. Wajah Seri Embun pun langsung tidak dipandangnya. Dia kelihatan leka menyusun entah-entah apa kertas yang berselerak di atas meja di hadapannya.
            “Abang boleh cakap kenapa pulak? Embun terpaksa berhutang sepuluh sen tau dengan klinik ni. Embun betul-betul dah tak ada duit. Kalau abang ada tadi bolehlah Embun...”
            “Kenapa kalau saya ada? Awak nak minta saya bayarkan? Atau awak nak saya dulukan duit saya dulu? Tak tahu malu! Jangan harap saya nak bagi pinjam, apatah lagi nak tolong bayarkan. Tadi, saya tak ada kata pun nak tolong bayarkan kan? Saya cuma kata saya nak bawa awak ke klinik sebab saya tadi saya tengok awak macam tak sihat. Tak ada pulak saya kata saya nak tolong bayarkan! Awak yang sakit, awaklah yang bayar! Apa kaitannya dengan saya?” Afka masih berlagak tenang walaupun hatinya gerun memikirkan kalau-kalau Seri Embun tersinggung dengan kata-katanya yang melampau itu tadi.
            ‘Janganlah marahkan abang, sayang. Abang buat semua ni sebab abang tak nak Embun balik ke kampung dan tinggalkan abang. Abang dah mula senang dengan Embun tau walaupun tak ada lah sampai sayang.’ Sempat lagi Afka mempertahankan egonya. Dah sayang tu, mengaku ajelah! Dasar lelaki ego!
            Seperti yang dijangka, Seri Embun memang terbakar dengan kata-kata Afka tadi.
            “Kalau macam tu, baiklah... Abang boleh keluar dari sini. Embun ada hak ke atas klinik dan ada hak jugak untuk halau abang keluar dari sini sebab Embun dah jadi pekerja dekat sini. Lagipun, sekejap lagi doktor yang akan gantikan shift Doktor Adzhar akan masuk. Jadi, baik abang jangan buat kecoh kat sini.” Seri Embun menjegilkan matanya luas-luas, seiring dengan senyuman sinis yang dihadiahkan khas buat lelaki di hadapannya itu. Disebabkan sakit hati, dia terpaksa menggunakan kuasanya sebagai pekerja di klinik tersebut. Nak lawan aku ya? Sekarang kita tengok siapa lagi hebat!
Biadap betul abang tukang kebun ni lah! Tadi dia yang beriya-iya ajak aku pergi klinik padahal aku bukannya demam pun, cuma badan aku aje yang lemah sebab penat buat kerja. Lepas tu, boleh pulak dia lepas tangan macam tu aje. Tak adil sungguh!
            Makin menyirap darah Seri Embun bila dia lihat Afka tersengih-sengih memandangnya. Lelaki ni memang jenis tak makan saman! Dia buat boleh buat selamba aje!
            Jadi, Seri Embun pun melangkah menuju ke pintu sebelum pintu tersebut dibuka dengan seluas-luasnya. Bersedia untuk menyuruh Afka keluar dari bilik tersebut. Namun, sebaik sahaja dia menoleh, bibir yang sudah sedia ingin menghalau lelaki itu terus terdiam serta-merta. Tercengang dia memerhatikan Afka dengan selambanya menyarungkan kot putih pada tubuhnya.
            “Apa yang abang cuba buat ni? Siapa suruh abang sentuh kot tu? Masya-ALLAH... Tak puas-puas lagi ke abang kenakan Embun? Cukup-cukuplah tu... janganlah buat kecoh lagi kat sini. Kang tak pasal-pasal Embun kena pecat pulak. Tolonglah keluar dari sini!” Suara Seri Embun semakin meninggi. Rasa semacam nak menangis pun ada.
            Namun, Afka masih berlagak tenang. Dengan senyuman di bibir, dia menggeleng-gelengkan kepalanya sebagai menegaskan yang dia tidak akan sesekali keluar dari bilik tersebut.
            Seri Embun yang sudah tidak dapat bertahan dengan sifat keras kepala lelaki di hadapannya itu terus mara ke hadapan Afka. Tangannya sudah terangkat. Lurus jari telunjuknya menuding tepat ke muka lelaki yang masih tenang siap tersenyum memandang wajahnya itu.
            “Abang ni memang tak faham bahasa ke? Kan Embun suruh keluar. Apa lagi? Keluarlah! Siapa benarkan abang sentuh kot...” Seri Embun terus terdiam sebaik sahaja dia terpandangkan name tag yang sedang dipin pada kod putih yang tersarung pada tubuh Afka itu. Tertulis di situ, ‘Doktor Afka’. Tergamam dia dibuatnya. Sekelip mata sahaja wajahnya bertukar merah. Merah padam! Ya ALLAH, malunya...
            Seri Embun terus melarikan pandangannya ke arah lain. Walaupun malu, dia masih tidak percaya sebenarnya.
            “Assalamualaikum... saya Doktor Afka. Pemilik klinik ni. Tadi awak cakap, awak pekerja baru dekat sini kan? Boleh saya tahu nama awak?” Afka tiba-tiba sahaja berubah menjadi seorang yang cukup professional. Cukup manis senyuman yang dipamerkannya. Namun, jangan haraplah untuk Seri Embun tertawan.
            Seri Embun diam tidak terkata. Rasa malunya yang bergaul dengan geram dan marahnya terhadap Afka membuatkan dia langsung tidak sudi untuk menatap wajah lelaki itu. Dengan perasaan bengang, dia kembali meluru masuk ke dalam biliknya.
            Haihhh... Ingatkan dia nak keluar terus dari klinik tu. Hurmm... Nak keluar macam mana? Kalau nak balik kampung pun, buat masa ni dia memang tak ada duit langsung. Nak tak nak, Seri Embun terpaksa jugalah bekerja dekat klinik tu...
           
                       
           

            “KHUSYUKNYA... Hurmmm.. Tak payahlah pura-pura sibuk buat kerja pulak. Abang pun takkan bayar extra gaji ‘pura-pura’ untuk Embun. Sekarang dah masuk waktu lunch ni... jom kita makan?”
            Afka tersengih melihat Seri Embun yang tadinya bermain-main dengan pen kilometrico di tangannya, kemudian bila nampak saja bayangnya, terus Seri Embun menggelabah berpura-pura buat kerja. Kesian budak ni, bosanlah tu...
            “Pergilah doktor makan. Embun tak ada duit. Embun makan ubat aje hari ni.” Kedengaran sinis cara Seri Embun menjawab. Acuh tak acuh saja dia melayan lelaki yang telah banyak menyakitkan hatinya itu. Sampaikan nak pandang pun, dia tak ingin!
            Mati-mati dia ingat lelaki itu cuma seorang tukang kebun tapi rupa-rupanya, doktor! Siap ada klinik sendiri pulak tu!
            “Kalau Embun nak makan ubat-ubat tu, Embun kenalah settlekan dulu hutang sepuluh sen Embun dengan saya.” Afka ni pun satu. Dalam pada nak memujuk pun, sempat lagi dia menyakat. Kasihan budak tu... Nasib baik Seri Embun pandai menjawab.
            “Oh ya ke? Embun memang dah plan nak teguk botol-botol ubat tu semua sampai habis. Nanti bekas botol tu, doktor bolehlah ambil balik buat kitar semula ke? Mesti cukup untuk bayar balik hutang sepuluh sen Embun tu kan...”
            Serba salah pula Afka mendengarnya. Mungkin inilah pertama kalinya lelaki macho yang selama ini sentiasa kelihatan tenang, menjadi gelisah hanya kerana seorang perempuan. Parah...
            “Alorhhh... Buat ayat sentap pulak dia. Janganlah merajuk. Abang bergurau aje tadi. Abang pun tak kisahlah kalau Embun nak telan dengan botol-botol tu sekali... setakat sepuluh sen je pun, takkanlah abang nak berkira dengan adik abang ni pulak.  Dah jom kita pergi makan?” Main kenyit-kenyit mata pula Doktor Afka ni.
            Kalau ikutkan hati, Seri Embun lebih suka bersendirian di dalam ruang khas yang sederhana kecil itu. Namun, bila memikirkan air muka Afka, rasanya tak salah dia menerima pelawaan lelaki itu. Apatah lagi bila ramai juga yang lalu-lalang di hadapan klinik itu. Nanti apa pula tanggapan mereka. Lagipun, tak sanggup rasanya membiarkan orang lain mendengar lelaki itu merayu-rayu padanya. Buat malu aje!
           
                       

           
            SELEPAS makan, Afka menghantar Seri Embun pulang semula ke vila walaupun mulanya Seri Embun tidak mahu. Gadis itu berkeras mahu pulang ke kampungnya. Namun, setelah dipujuk, Seri Embun nampaknya masih dapat bersabar.
            Kalau ikutkan, dia sendiri mahu Seri Embun ada dan sentiasa menemaninya di klinik. Tapi mengenangkan kesihatan gadis itu yang tidak berapa baik, sebab itulah dia ambil keputusan untuk menghantar Seri Embun pulang semula ke vila. Adalah lebih baik Seri Embun berehat sahaja di dalam biliknya.
            Seri Embun... dia bukannya suka duduk berkurung di dalam bilik. Walaupun tidak sihat, dia lebih selesa duduk berbual-bual dengan Alia di halaman vila yang luas itu. Di situ, mereka berdua duduk di atas gazebo yang tidak jauh daripada air terjun buatan sebelum masing-masing dikejutkan dengan satu suara comel yang melagukan ucapan ‘Assalamualaikum’ dengan suaranya yang ceria sekali. Beberapa kali salam suci itu diulang-ulangnya dalam bentuk lagu.
            “Mama Lia.. Boleh tolong urutkan kepala Fyra tak? Peningla jawab periksa Matematik tadi...” rungut kanak-kanak kecil itu. Sambil membebel, dia cuba menyelinap masuk antara kedua-dua belah paha ibu saudaranya. Kemudian, kepalanya dibaringkan ke atas bahu Alia. Sesekali, dia menjeling tajam ke arah Seri Embun. Amboi, kecik-kecik dah pandai nak cari gaduh!
            Apalagi, Seri Embun pun balas jelingan si kecil itu dengan jelingan yang lebih maut. Selepas itu, Fyra tidak berani lagi nak memandang mukanya. Haha. Padan muka!
            “Eeee... Masam-masam macam ni boleh pulak dia suruh kita urutkan. Tak ya pun mandi la dulu. Lepas tu makan. Nanti time Fyra tengok TV nanti Mama Lia urutkan ya. Dah.. pergi mandi dulu..” Alia membobok dan menepuk-nepuk punggung si comel.
            Alia Syafiqah... Dia sendiri pun manja orangnya. Mungkin sebab itu dia tidak begitu pandai melayan dan memanjakan kanak-kanak.
            “Fyra ni satu-satunya anak Abang Afka, Kak Embun...”
            Berkerut-kerut juga dahi Seri Embun untuk memahami ayat tersebut. Adoi... Ni kes lurus ke atau dah masuk kes bebal ni?
            Selama Seri Embun berada di vila tersebut, Fyra pula seminggu menghabiskan cutinya di rumah nenek sebelah arwah ibunya. Jadi, inilah pertama kalinya Seri Embun dapat bersemuka dengan budak kecil itu.
            “Anak abang Long dengan arwah isterinya..” Alia mengusap rambut Firah An-nur sebelum dia melepaskan kanak-kanak kecil itu naik ke biliknya.
            Mendengarkan penjelasan Alia, terus terkumat-kamit bibir Seri Embun beristighfar, barulah dia faham. Lelaki itu pernah berkahwin rupanya sebelum ni. Walaupun dia memang nampak jauh lebih matang daripada adiknya Azfahan, tapi aku tak sangka pula dia dah ada anak sebesar ni sebab muka dia pun muda je lagi aku tengok. Tak nampak macam tiga puluh tahun. Macam dua puluh tahun tu ada lah. Lagi-lagi dengan badan dia yang tegap, tidak terlalu berisi dan perutnya yang langsung tidak boroi tu. Membuatkan dia nampak lebih muda daripada usia dia yang sebenar.
           
           





            SELEPAS mengemas meja makan sebaik sahaja mereka usai menikmati makan petang, Seri Embun naik ke tingkat atas. Niatnya ingin menjenguk si kecil Firah Annur itu. Kasihan pulak dengan budak tu. Nampak macam lembik aje. Teruk sangat ke pening dia? Alah, lecehlah macam ni. Aku ni dah lah dah lama benci dan anti dengan budak-budak sejak budak-budak berdua tu jadi punca yang menyebabkan arwah ibu...
            ‘Embun....!!!’ Bagai ada satu suara yang menegurnya, dan di telinga Embun suara itu seperti suara arwah ibu.
            Sebenarnya sejak arwah ibu meninggal lagi telinganya selalu diganggu dengan suara arwah. Lebih-lebih lagi setiap kali meratap menyesali pemergian arwah, ataupun setiap kali dia masih mempertikaikan kematian arwah ibunya itu. Maka, setiap kali itulah telinganya akan terngiang-ngiang dengan suara arwah yang datang entah dari mana, menasihatinya.
            Seri Embun mengeluh. Dia sedar, berdosa besar jika dia masih berterusan menyalahkan orang lain di atas kematian ibunya. Lagipun, budak-budak yang menyebabkan kebakaran itu masih terlalu kecil untuk memikirkan baik buruk.
            Seri Embun mengangguk-angguk. Dia sebenarnya sedang berusaha mengenepikan perasaan bencinya buat seketika. Setelah dia betul-betul bersedia, barulah kakinya digerakkan untuk naik ke tingkat atas. Nak tak nak, memang dia jugalah yang terpaksa masuk dan menjenguk ke dalam bilik Fyra. Siapa lagi yang boleh diharapkan?
            Alia selesai saja makan petang, terus mengambil keputusan untuk jogging di kawasan tasik tidak jauh dari vila tersebut. Gadis berusia 18 tahun itu sempat menyalahkan dia dengan alasan masakan yang dimasaknya terlalu sedap. Siap bertambah dua tiga pinggan. Hurmm... Dah nak jadi tunang orang barulah nak fikir pasal berat badan.
            Seri Embun dengan berhati-hati, menolak pintu bilik di hadapannya itu perlahan-lahan. Takut juga kalau si kecil itu memarahinya kerana telah bertindak menceroboh masuk. Dari cara Firah menjelingnya tadi pun dia dapat mengagak, anak kecil itu seperti tidak menyenanginya saja. Alah Seri Embun ni pun satu. Nama pun budak-budak, biasalah tu. Budak-budak 7 tahun lagi pun!
            Kasihan pula Seri Embun melihat Firah An-Nur yang terbaring penat di atas katilnya. Rambutnya masih lembab, menandakan anak kecil itu baru selesai mandi. Hurmm... Tak boleh harap betullah Alia ni. Kesian budak Fyra ni! Tapi, kalau ikutkan, aku pun tak reti sangatlah nak layan budak-budak ni.
            Sampai sekarang, Seri Embun yang masih kaku tercegat, masih tidak berjaya untuk memaksa hatinya untuk mendekati Fyra. Cuma, hatinya terdetik untuk masuk ke dalam bilik ini pun sebab dia kasihankan anak kecil itu setelah dia mendengar cerita yang cukup menyentuh hati tentang Fyra dari mulut Alia sendiri.
            Tanpa teragak-agak lagi, Seri Embun terus melangkah naik ke atas katil. Dia sendiri tidak sedar tindakannya itu. Beberapa helai rambut Firah yang terjuntai merimaskan matanya, diraup ke belakang. Barulah dia dapat lihat dengan jelas betapa nyenyaknya wajah itu tertidur.
            Takut juga kalau si kecil ini tiba-tiba terjaga dan memarahinya. Namun, Seri Embun tetap memberanikan dirinya untuk memicit kepala Firah terutamanya di bahagian dahinya. Kecil-kecil lagi dah pening mengalahkan orang tua pula ya. Comel pulak budak kecil ni ya. Sempat pula Seri Embun mencuit hidung si comel itu. Kemudian, dia sengaja mengucup dahi anak kecil itu. Lama dia mengucupnya seolah-olah tidak mahu dilepaskan semula.
            ‘Awak kena kuat, Fyra. Awak kena jadi seorang anak yang kuat. Anak yang solehah, supaya awak dapat doakan kesejahteraan arwah ibu. Awak juga kena bantu daddy bangkit dari hidupnya... Bantu daddy lenyapkan kesedihannya.. bantu daddy hapuskan air matanya. Walaupun Fyra cuma kanak-kanak perempuan, Fyra kena kuat sebab lambang cinta papa Fyra dengan arwah mama Fyra dah mengalir dalam badan Fyra...’ tuturnya di dalam hati yang mula penuh digenangi sebak. Dia tidak sangka sama sekali yang nasib Fyra sebenarnya jauh lebih teruk daripada nasibnya.
 Wajah comel yang masih nyenyak tidur itu direnungnya lama sebelum dia teringat semula cerita yang disampaikan Alia sebelum mereka menikmati makan petang tadi.
            “Fyra ni lah satu-satunya anak Abang Long dengan arwah isterinya. Arwah kak Delina meninggal sewaktu lahirkan si comel ni la... Dah tujuh tahun pun berlalu, tapi abang Long masih macam tu jugak. Kadang-kadang tu dia okay, kadang-kadang dia akan jadi seorang yang pendiam. Masanya pun banyak dihabiskan dengan kuda dan taman-taman dekat halaman vila ni, Kak Embun. Cuma Alia jadi pelik sikit sebab dia macam dah mula serius untuk kerja semula dekat klinik dia tu. Kalau tak, selama ini dia setakat jenguk klinik dia tu sesekali aje. Semuanya dia serahkan pada kawan baik dia Doktor Adzhar tu untuk jaga klinik dia. Alia rasa lah kan, abang Long tu dah jatuh cinta dengan Kak Embun la...” 
            Seri Embun tersenyum bila dia teringat semula usikan Alia tadi. Dia langsung tidak ambil serius dengan usikan itu. Nama pun bendul, dia memang tak pernah nak rasa syak wasangka pada orang lain. Kalaulah betul sekalipun Afka jatuh cinta padanya, sampai bila-bila pun agaknya dia takkan percaya.      


           


            FYRA masih nyenyak tidur di dalam biliknya. Alia pula dari tadi leka menonton siri Koreanya di ruang tamu. Lepas habis satu CD, digantikan pula dengan CD yang lain.
            Seri Embun pula sudah tak tahu nak buat apa. Semua kerjanya di dalam vila ini sudah disiapkan jadi sekarang dia melangut saja duduk di sebelah Alia yang langsung tidak mahu menghiburkan dia yang sedang kebosanan itu.
            Akhirnya, tanpa berfikir panjang, dia terus buat keputusan untuk pergi semula ke klinik Afka. Lantaklah dia nak kata apa pun bila dia tengok aku dekat sana nanti. Lagipun kesian pulak aku dengan dia sebab terpaksa layan pesakit yang sebegitu ramai. Sampai tertekan aje muka dia aku perhatikan tadi. 


P/S: Sebarang kritikan sama ada positif mahupun negatif teramatlah dialu-alukan. Penulis sangat memerlukan komen daripada pembaca sekalian. Terima Kasih. =) 

7 comments:

  1. best..smbg lg ye :)

    ReplyDelete
  2. okay thnx. terus follow dan bg kritikan ya. insyaallah cerita ni akan diupdate sekerap mungkin

    ReplyDelete
  3. Thumbs up...tp kalo banyak kn dialog n kurangkan naratif mesti lg best. Pendapat saya saja. Sorry. Hehe

    ReplyDelete
  4. Hidayah Mazlan: Thanks. pendapat diterima. Memang akui saya memang suka membebel bila bab2 naratif ni. Tapi insyaallah, bab lain naratifnya akan dikurangkan. Thanks for reading and comment k =)

    ReplyDelete
  5. saya suka dengan cerita ni.... sentiasalah updated =)

    ReplyDelete
    Replies
    1. ya saya akan sentiasa update.. 3-4 hari sekali. insyaallah

      Delete
  6. cikgu sy dah tak tau nk komen ape..tpi sy tetap nk komen gk... npe si embun punye sikap x pulih2 lgi ><

    -nur athira-

    ReplyDelete