Friday, 30 November 2012

Isteri Paling Kelakar (BAB 4)




MASUK hari ini, sudah tiga hari Seri Embun ditinggalkan Azfahan di dalam vila mewah itu. Sampai sudah dia tidak tahu apa tujuan sebenar lelaki itu. Ada juga dia cuba untuk menghubungi Azfahan, tetapi Puan Sri Zahlia melarang. Jadi, terpaksalah dia menunggu sehingga bayang Azfahan muncul. Malangnya, tak juga muncul-muncul.
            Dah tak sanggup rasanya untuk terus tinggal di dalam vila mewah ini. Rasa macam nak menangis pun ada mengenangkan diri yang seperti hamba abdi, yang dikerah tenaganya sesuka hati.
            “Awak nak ke mana dengan beg besar tu?”
            Seri Embun yang sedang berjalan seperti perompak terkejut sampai tak sempat nak beristighfar. Dia terus menoleh.
            Fuh, nasib baik. Ingatkan siapalah tadi. Abang tukang kebun rupanya.
            “Embun nak balik kampung lah, bang...”
            “Balik kampung? Kenapa pulak? Embun tak selesa ke tinggal dekat sini? Atau bilik Embun sempit sangat? Kalau macam tu, apa kata Embun tukar bilik dengan abang? Biar abang duduk kat dalam bilik Embun!” 
             Afka nampak kalut dan cemas ketika ini. Namun, sifatnya yang sentiasa kelihatan tenang itu telah menyembunyikan segala-galanya dari pandangan mata Seri Embun.
            Seri Embun yang tidak syak apa-apa cuma mengeluh tetapi sempat mengerutkan dahinya. Sebenarnya dia berasa janggal dengan keramahan lelaki yang selama ini dianggap sombong itu. Siap offer tukar-tukar bilik lagi. Sanggup ke dia tinggalkan bilik dia yang lengkap dengan air-cond, bilik air, siap ada library mini tu semata-mata nak bagi aku selesa?  Lagi pelik bila fikir bagaimana seorang tukang kebun diberikan bilik yang sangat mewah di dalam vila ni. Takkanlah Puan Sri Zahlia ada skandal pulak dengan abang tukang kebun ni? Astaga... Jahat betullah aku ni. Boleh fikir bukan-bukan pulak!
            Lantaklah kalau dia ada skandal dengan Puan Sri sekalipun. Cuma aku masih pelik.  Kenapa abang tukang kebun ni boleh bertukar menjadi seorang yang mengambil berat untuk orang macam aku yang selama ini dia langsung tak sudi nak pandang? Sepanjang aku tinggal dekat sini, aku tanya sepatah pun dia langsung tak nak jawab. Kali ini, banyak pulak mulut dia. Aku dah nak tinggalkan vila ni barulah dia nak buat sesi suai kenal dengan aku. Entah apa-apa lah dia ni...
            "Macam mana? Okay tak cadangan abang tadi?" Rupanya Afka sedang menanti respon daripada Seri Embun dengan dada yang berdebar-debar. Dia sendiri tidak pasti kenapa dia boleh berperasaan begitu. 
            “Hurmmm... Embun tak kisahlah tinggal kat mana-mana pun. Asalkan bukan tinggal kat dalam vila ni. Embun dah tak tahan lagi duduk kat sini. Embun nak balik semula ke kampung Embun. Lagipun anak Puan Sri Zahlia, Azfahan si jantan tak guna tu dah tipu Embun. Jawablah dia kat akhirat nanti!” Seri Embun pula daripada nak menjawab soalan Afka tadi, terus jadi sesi mengadu dan meluahkan perasaan. Sehingga ke saat ini, dia masih tidak tahu lelaki yang disangkanya tukang kebun itu adalah anak sulung Puan Sri Zahlia dan inilah kali pertamanya juga Seri Embun dapat berbual-bual dengan lelaki bernama Afka ini. Sebelum ini, Afka seperti tidak mahu sahaja bercakap dengannya.
            Entahlah... pelik pula Seri Embun dengan perangai Afka yang berubah tiba-tiba itu. 
            'Aku tengok abang tukang kebun ni macam berminat aje nak tahu bila aku cakap aku nak balik kampung. Kenapa ya? Mungkin dia nak ikut aku balik ke kampung sekali agaknya sebab dah bosan duduk berkurung kat dalam vila ni.'
            “Astaga. Eh lupa pulak! Arwah emak Embun pernah cakap kat Embun, tak baik simpan dendam dekat orang. Nanti hati kita jadi tak tenang. Bila-bila abang tolonglah bagitahu dekat manusia yang tak layak digelar manusia tu yang Embun dah pun maafkan dia walaupun perbuatan dia tu memang sepatutnya tak boleh dimaafkan langsung! Tapi nasib baik Embun ni sebaik-baik manusia, jadi malaslah nak berkira sangat.”   
            Waktu-waktu ini jugalah Seri Embun ni teringatkan nasihat arwah ibunya. Lebar bibirnya tersengih menayangkan giginya yang bersih, tersusun cantik. Kemudian, dia menarik nafasnya dalam-dalam. Terasa tenang hatinya setelah memaafkan lelaki durjana itu.
            Kasihan... Dalam tegasnya gadis ini, ada lurusnya. Dalam selambanya, terselit sifat keanak-anakan yang takkan dapat dilarikan dari mata sesiapa jua yang memandangnya.
            “Janganlah balik dulu. Lagipun tadi Alia cakap kat abang yang Embun tak sihat. Nanti kalau pengsan tengah-tengah jalan macam mana? Abang jugak yang susah.” Afka yang bimbang melihat Seri Embun yang sudah nekad ingin pulang ke kampungnya, terus menghampiri Seri Embun yang sudah pun berdiri di muka pintu ketika itu.
            Seri Embun mengerutkan dahinya sambil dia mengangkat sedikit kepalanya untuk memandang muka Afka yang berdiri tinggi di hadapannya itu. Dia lihat Afka sedang tersenyum mesra. Senyuman itu juga nampak ikhlas. Makin pelik Seri Embun dibuatnya, maka makin panjanglah kerut pada dahinya.
            Kenapa dia kena susah-susahkan diri dia sampai dia rasa susah hati fikir pasal aku yang tak ada sebarang kepentingan ni? Kenapa? kenapa? Kenapa? Isy.. misteri betullah dia ni. Sebelum ni, bukan main sombong lagi dia dengan aku. Sekarang pulak, bukan main prihatin lagi cara dia layan aku. Caring semacam aje aku tengok!
            “Embun tunggu sini sekejap ya. Abang nak pergi tukar baju dulu. Lepas tu abang akan bawa Embun pergi klinik. Kejap tau.” Tanpa menunggu jawapan daripada Seri Embun terlebih dahulu, Afka terus berlari untuk masuk ke dalam biliknya.
            Seri Embun yang tidak sempat membuka mulutnya untuk menghalang terpaksa mengatup semula mulutnya daripada dibiar ternganya. Nampaknya, terpaksalah dia menunggu sehingga Afka muncul semula. 
            Hurmmm... Tapi kan, kenapalah dia berdegil jugak nak bawa aku pergi klinik eh? Aku ni kalau boleh tak nak susahkan dia. Berapa sangatlah gaji dia sebagai tukang kebun nak bayar ubat-ubat tu semua? Aku bukannya ada duit sangat. Lagipun, bukannya teruk sangat demam aku ni. Badan aku sebenarnya rasa lemah aje sebab dah tiga hari kena dera dengan Puan Sri Zahlia buat kerja-kerja kat dalam vila ni.
            Jadi, macam mana sekarang ni ya? 




           
           




SERI Embun Binti Awang Berahim...”
            Kelam-kabut Seri Embun dibuatnya apabila dalam keadaan resah gelisah begitu, namanya dipanggil oleh pembantu klinik yang bertugas. Mana tak terkejut. Setelah hampir sejam, Afka masih tidak muncul-muncul setelah lelaki itu mendaftarkan namanya di klinik tersebut.
            Nak tak nak, terpaksa jugalah dia melangkah ke kaunter untuk membuat bayaran.
            “Semua sekali empat puluh ringgit, kak.” beritahu gadis bertudung yang ditugaskan di kaunter bayaran. 
            Sempat lagi Seri Embun mengucap syukur bila mengenangkan duitnya cukup-cukup untuk membayar bil perubatan tersebut.
            “Alhamdulillah, cukup-cukup empat puluh ringgit yang ada kat tangan akak, dik..”
            Melihat wajah Seri Embun yang tersenyum lega itu, gadis tadi cepat-cepat mencelah. “Eh, maafkan saya kak. Saya tersalah sebut. Sepatutnya, jumlah semua sekali... empat puluh ringgit sepuluh sen.”
            Lagak pembantu klinik itu seperti sengaja sahaja mahu mengenakan Seri Embun. Seri Embun pun seperti perasan juga, tapi tak baik pula bersangka buruk ni... Kalau nak minta dihalalkan, mana boleh! Lagipun, lepas ni dia tak akan datang ke sini lagi. Dia akan terus pulang ke kampungnya. Sepuluh sen pun, tetap duit juga tu. Benda-benda kecil macam ni tak boleh pandang ringan. Sebab dekat akhirat nanti, sebesar zarah sekalipun, ALLAH tetap akan timbang dengan seadil-adilnya. 
            Begitu sekali Seri Embun menjaga amalannya.
            “Hurmmm... Boleh tak kalau adik bagi akak dalam 10 minit lagi? Adik jangan risau. Akak takkan lari. Akak minta 10 minit sebab akak nak tunggu kawan akak. Tunggu sekejap ya dik...”
             Gadis tadi terpaksa mengangguk walaupun sebenarnya, dia telah diupah untuk bersepakat dengan majikannya untuk ‘mengenakan’ Seri Embun. Tapi tak sampai hati pula untuk kenakan lebih-lebih bila dia melihat sendiri betapa polos dan lurusnya perempuan di hadapannya itu.
            Seri Embun mula melilau menoleh ke luar klinik sambil jari-jarinya mengetuk-ngetuk meja tempat tangannya bersandar. 'Ke mana pulak lah dia merayau ni? Tadi dia kata nak jemput Puan Sri Zahlia yang baru habis mesyuarat persatuan tu... Tapi takkanlah lama sangat..’
           


           
           



            SEDAR tak sedar, Seri Embun sudah separuh terlena sewaktu dia menunggu Afka datang semula kepadanya sebagaimana yang Afka janjikan sejam tadi. Penatlah tu... Mana tak penat. Dari pagi tadi dia tak henti-henti mengemop, menyapu, mencuci dan bermacam-macam kerja rumah lagi yang terpaksa dia buat, tanpa diberikan gaji! Penat kena dera dengan Puan Sri Zahlia dua tiga hari lepas pun tak hilang-hilang lagi!
            “Cik Seri... Cik Seri...” Teguran suara garau itu membuatkan mata Seri Embun terkelip-kelip. Baru dia perasan, sudah beberapa kali kepalanya tersengguk-sengguk. Cepat-cepat tudung yang menggelebeh di kepala dibetulkan sambil bibirnya dibubuh sedikit senyuman. Malu itu sudah pasti. Lebih-lebih lagi bila dirinya sedang diperhatikan oleh lelaki berjubah putih yang berdiri di hadapannya ini. Itulah doktor yang merawatnya tadi, Doktor Adzhar.
            “Mana kawan Cik Seri tu? Tak sampai-sampai lagi ke?”
            Seri Embun kembali gelisah. Pandangannya terus tersungkur ke luar klinik.
            ‘Tentu doktor ni nak tuntut sepuluh sen yang aku tak mampu nak bayar tu. Alah... takkan lah sepuluh sen pun nak berkira? Tahi hidung masin betullah doktor ni. Aku sumpah klinik ni hangus terbakar baru kau tahu!’
            ‘Eh?'
             Tersentak.
             'Astaghfirullahalazim...’ 
             Kemudian, cepat-cepat dia beristighfar. 
             'Jahatnya aku ni. Tak patut aku fikir macam tu. Sepuluh sen pun, tetap hak dia juga walaupun kecil nilainya. Jadi, suka hati dia lah dia nak tuntut sekalipun. Sepuluh sen pun tetap duit juga. Sekarang ni nak jumpa sepuluh sen dekat tepi jalan pun bukannya senang!'
            “Macam tak ada tanda-tanda nak muncul pun. Hurmmm... nampaknya, Cik Seri terpaksalah bekerja dekat klinik ni.”
            Terlopong Seri Embun mendengarnya.
            “Kenapa pulak?” Lalu, cepat-cepat dia bertanya. Lebih kepada membangkang sebenarnya.
            “Yalah... Cik Seri kan berhutang sepuluh sen dengan saya. Cukup bulan bila dapat gaji pertama lepas Cik Seri bekerja dekat klinik saya ni nanti, Cik Seri bayarlah balik hutang sepuluh sen tu. Amacam. Okay tak idea saya?”
            "Hah?" 
             Tiga huruf yang membentuk perkataan 'Hah' itu terkeluar tanpa sengaja dari mulut Seri Embun sewaktu dia dalam keadaan terpinga-pinga dan seperti tidak sedarkan diri. Sukar untuk dia percaya cadangan yang dirasakan langsung tidak berasas itu.
             Ahhhhh, gila lah semua ni! Tapi, takkanlah aku bermimpi pulak? Ya Allah... Betul ke semua ni? Betul ke aku kena kerja dekat klinik ni hanya semata-mata nak membayar balik hutang yang setakat sepuluh sen tu? 


 P/S: Sebarang kritikan sama ada positif mahupun negatif teramatlah dialu-alukan. Penulis sangat memerlukan komen daripada pembaca sekalian. Terima Kasih. =)
           

1 comment: