Thursday, 29 November 2012

Isteri Paling Kelakar (PROLOG)



                                                 

SERI EMBUN BINTI AWANG BERAHIM. Serangkai nama yang begitu unik dan kalau diteliti, nama itu sebenarnya sedap untuk disebut dan juga didengar. Tetapi bagi kebanyakan mereka yang buta seni, nama unik yang dikatakan hasil ilham daripada arwah ibu Seri Embun itu seringkali dibuat main dan diketawakan terutama sekali oleh rakan-rakan sebayanya.
            Sejujurnya, pernah juga Seri Embun mempersoalkan tentang namanya yang kedengaran semacam bunyi jenama produk jamu itu tetapi sejak arwah ibunya memujuknya dan menceritakan dari mana asal-usul nama tersebut, dia sudah tidak mempertikaikannya lagi. Sebaliknya dia berbangga dengan nama Seri Embun yang diberikan ibunya itu.
            “Ibu sendiri tak tahu sama ada nama Seri Embun itu wujud ataupun tidak dalam bahasa Arab. Nama Seri Embun itu sebenarnya cuma terdetik dekat fikiran ibu sebaik saja ibu selamat melahirkan Embun dan adik kembar Embun. Waktu tu, ayah accident dan cedera parah semasa dalam perjalanan ke hospital untuk hantar ibu yang sedang tunggu masa nak bersalin ketika itu. Ibu yang duduk di tempat duduk belakang pula cuma cedera ringan saja.” Arwah ibunya kelihatan seperti berat hati ingin menceritakan peristiwa itu.
             “Itulah antara dugaan terbesar sebelum ibu berjaya melahirkan Embun dan adik kembar Embun ke dunia ni,” sambung arwah ibunya dalam payah. Namun Seri Embun dapat lihat betapa bijaknya arwah ibu ketika itu sewaktu arwah mengawal emosinya. Arwah memang seorang manusia yang tabah pun walaupun luarannya nampak begitu lembut. Begitu sekali tutur katanya. Cukup lembut dan perlahan sahaja bunyinya.
            “Sebenarnya sejak bulan pertama mengandungkan Embun dan adik lagi ibu dah diduga dengan macam-macam ujian. Ibu telah ditakdirkan menghidap penyakit darah tinggi yang serius sehingga beberapa kali ibu terpaksa ditahan di dalam wad sehinggakan doktor menyarankan ibu supaya menggugurkan saja kandungan ibu apatah lagi ibu mengandungkan anak kembar, tapi ibu tak nak. Ibu lebih sayangkan Embun dan adik daripada nyawa ibu sendiri.
            “Sehinggalah sampai masanya ibu nak melahirkan Embun dan adik, tak ada sesiapa yang dapat temankan ibu kat dalam wad memandangkan waktu tu ayah masih terlantar dekat hospital tak sedarkan diri. Tapi kuasa ALLAH, mungkin sebab ibu dah banyak menanggung sakit sewaktu mengandungkan Embun dan adik, Allah telah melumpuhkan segala kesakitan yang perlu ibu tanggung sewaktu nak melahirkan kamu berdua. Bahkan waktu tu ibu boleh tersenyum dan langsung tak terasa sakit. Sampaikan bila doktor cakap ibu dah selamat melahirkan, ibu langsung tak percaya sebab ibu langsung tak rasa sakit, dan ibu juga tak rasa terbeban walau sedikit pun sedangkan waktu itu ibu sedang bertarung nyawa untuk membawa keluar bukan satu, tetapi dua nyawa ke dalam dunia ni.
            “Tapi macam ibu cakap tadi, itulah kasihnya ALLAH pada hamba-hambaNYA. Sewaktu nak melahirkan Embun dan adik, ibu cuma rasa kepala ibu ni semacam sedang diurut-urut sampaikan ibu rasa nak tertidur. Dan sewaktu ibu selamat lahirkan kamu berdua, ibu dapat rasakan pula kepala ibu ni seperti disimbah embun dingin yang sangat melegakan walaupun hakikatnya embun-embun itu sebenarnya adalah peluh-peluh ibu sendiri. Tapi ibu langsung tak terasa penat. Sebaliknya, dada ibu terasa sangat lapang dan damai.
            “Jadi, sebab itulah ibu pilih nama Seri Embun itu. Sebab peluh yang keluar membasahi muka ibu terasa seperti embun dingin yang telah membuatkan muka ibu berseri-seri sewaktu menyambut Embun dari tangan doktor, lantaran kerana kesakitan yang tidak terasa langsung. Ibu bersyukur sangat-sangat.”
            Ketika itu, Seri Embun mendengar sahaja arwah ibunya bercerita memandangkan awal-awal lagi dia sudah menangis teresak-esak dengan sebak yang tertahan-tahan. Melihat dia menangis, arwah ibunya ketika itu terpaksa berhenti sekejap-sekejap, kerana turut berasa sebak.
            Sejak mendengar cerita itulah, Seri Embun yang pada waktu itu masih berusia 8 tahun semakin menghargai pengorbanan dan kasih sayang ibunya.
            Dia tidak lagi merajuk apabila kehendaknya tidak diturut. Tidak lagi membantah segala apa yang disuruh ibunya. Dia menjaga hati ibunya dengan baik sekali sampaikan kalau boleh, dia tidak mahu menjadi punca yang menyebabkan ibunya terasa hati dengannya sama ada secara sedar ataupun tidak.
            Demi ibu, dia sanggup lakukan apa saja. Sehinggakan pada satu tahap, hatinya boleh bertukar menjadi keras dan degil sedegil-degilnya setiap kali perkara yang dilakukannya itu melibatkan ibunya.
            Buktinya, suatu ketika dulu sewaktu dia pernah ditangkap atas cubaan mencuri di salah sebuah kedai cenderamata di sebuah pekan yang paling dekat dengan kampungnya. Penangkapan itu menyaksikan pipinya ditampar oleh pemilik kedai tersebut di hadapan orang ramai tetapi dia langsung tidak berasa apa-apa. Langsung tak berasa malu. Mungkin kerana ketika itu dia masih kecil. Lagipun untuk apa malu itu sebab dia tak salah. Dia mencuri bukan untuk kepentingan diri sendiri, tetapi untuk ibunya juga. Begitulah lurusnya Seri Embun.
            Namun, cerita itu tidak habis setakat di situ saja walaupun pemilik kedai tersebut tidak mengambil sebarang tindakan ke atas dirinya. Tetapi itu bukan bermakna dia boleh berasa gembira selepas dibebaskan begitu sahaja.
            Di atas kayu tangga rumah yang reput itu, ibu sudah siap menunggu kepulangannya di situ dengan batang penyapu di tangan. Tentu cerita di pekan tadi telah tersebar sehingga ke pengetahuan ibunya. Wajah ibu memang lembut walaupun ketika itu ibu sedang menahan marah yang meruap-ruap, tetapi tak nampak seperti marah langsung. Ibu memang tak pandai marah memandangkan ibu seorang wanita yang cukup lembut orangnya. Tetapi sekiranya kesalahan yang dilakukan melibatkan air muka keluarga, ibu akan menjadi manusia yang paling menakutkan.
            Masuk sahaja ke dalam rumah buruk mereka, tanpa menyelidiknya terlebih dahulu, ibu terus membelasahnya sehingga lebam-lebam tubuhnya dibantai dengan batang penyapu.
            “Aku tahulah yang aku tak mampu nak bagi kau kemewahan. Tapi tak cukup ke dengan didikan aku selama ni untuk aku tengok kau jadi orang yang baik-baik? Walau kau tak pandai dalam pelajaran sekalipun, walau kau tak berjaya dalam hidup kau sekalipun, walau suatu hari nanti aku ibu kau ni ditakdirkan hidup melarat seorang diri, aku tak kisahlah walaupun kau tak sudi datang nak jenguk aku! Aku tak kisah langsunglah walau kau tak sanggup nak jaga aku sebagaimana aku jaga kau.
            “Kau nak tahu sebab apa? Sebab niat ibu kau ni jaga dan besarkan kau bukannya untuk minta dibalas. Aku cuma nak kau jadi manusia yang baik perangai dan tingkah lakunya, supaya sampai mati pun aku tak perlu dengar orang lain mengata kau, mengata anak kesayangan aku ni. Aku nak kau kelihatan sempurna pada mata semua orang. Aku nak semua orang anggap kau adalah anak yang baik. Aku nak orang lain cakap aku ini adalah ibu yang paling bertuah kat dalam dunia ni sebab mempunyai anak seperti kau.             “Tapi sekarang, apa yang kau dah buat? Kau sedar tak yang kau dah hancurkan harapan ibu? Kau dah hancurkan maruah ibu? Apa kau sebenarnya menyesal ke jadi anak ibu dan ayah? Kau menyesal ke Embun? Menyesal ke sebab ditakdirkan untuk jadi anak orang miskin? Kalau kau betul-betul menyesal dan tak dapat nak terima takdir hidup kau, bagitahu ibu kau ni Embun! Bagitahu aku sekarang jugak! Aku sanggup buat apa saja untuk kau walau aku terpaksa jual badan dan maruah aku sendiri sekalipun, aku sanggup Embun. Ibu kau ni sanggup! Itu jauh lebih baik daripada aku terpaksa dengar orang lain mengata dan memburuk-burukkan anak aku. Bagitahu aku cepat Embun. Bagitahu aku! Kalau kau nak, sekarang juga aku sanggup buat apa saja asalkan hidup kau mewah dan tak terdesak sampaikan kau... sampaikan kau terpaksa mencuri...” Suara ibu bertukar lemah tiba-tiba sebelum ibu terjatuh dan terduduk di atas kerusi rotan yang sudah reput dengan kepala yang tertunduk. Di situ, seorang ibu yang kecewa dengan anaknya, menangis teresak-esak semahu-mahunya.
            Tersayat pedih hati Seri Embun ketika terpaksa mendengarkan tangisan itu. Sebelum ibunya menangis lagi dia sudah menangis teresak-esak. Sambil meraung-raung dia menyuruh ibunya berhenti menangis sebab dia tidak sanggup untuk mendengar tangisan yang memilukan itu. Sudah dia cuba untuk menutup telinganya dengan kedua belah tangan supaya dia tidak perlu mendengar tangisan yang terasa seperti ingin mencabut nyawanya ketika itu tetapi dia langsung tidak berdaya. Lebih-lebih lagi tangan kanannya yang terasa seperti sudah patah setelah teruk dipukul dan dihentak dengan batang penyapu.
            Namun, dia yang menjalar dan tertiarap kesakitan tetap berusaha untuk menggerakkan tubuhnya walau dengan cara mengengsot untuk mendapatkan ibunya yang kaku di atas kerusi rotan dengan wajah yang sangat hampa dan tertekan. Sewaktu kaki ibunya berjaya dicapai, dia terus mengucupnya dengan air mata yang berlinangan.
            “Tolong jangan tuduh Embun sampai macam tu sekali ibu. Tolong jangan tuduh Embun. Embun tak pernah menyesal jadi anak ibu. Embun bangga, bu. Embun bangga sebab ALLAH takdirkan Embun untuk jadi anak ibu dan juga ayah. Embun bangga sangat.”
            Sambil menangis berteriakan, Seri Embun sempat mendongak untuk melihat reaksi ibunya. Walaupun ibu cuma diam dan langsung tidak sudi untuk memandang mukanya, dia dapat lihat wajah ibu sudah beransur tenang. Dari dulu lagi dia kenal hati ibu. Bagaimana marah sekalipun ibu, ibu cepat terpujuk dengan sendirinya, lebih-lebih lagi kalau marah yang disebabkan oleh anak-anak sendiri. Ibu memang tidak pernah menyimpan rasa marah itu lama-lama. Ibu memang seorang yang lembut hatinya.
            Malam itu, ibu masuk ke dalam biliknya sambil membawa sekali semangkuk bubur nasi yang masih panas, yang baru sahaja dimasaknya. Sejak kejadian tengah hari tadi, Seri Embun belum menjamah apa-apa, perutnya kosong. Untuk masuk ke dalam bilik air bagi membersihkan tubuhnya yang belum dimandikan itu pun tidak terbuat. Dia tidak larat, dan badannya masih belum kuat. Sewaktu dia berjalan untuk masuk ke dalam bilik ini tadi pun, dia terpaksa berjalan dengan langkah yang tempang dan terhincut-hincut. Kakinya sakit dan tulang di dalamnya seperti retak akibat hentakan penyapu yang terlalu kuat. Begitu juga dengan tangan kanannya.
            Namun, dia langsung tidak mengambil hati jauh sekali untuk berasa kecewa atas tindakan ibunya. Malah sepanjang ibu menyuapnya makan, sepanjang itulah dia senyum pada ibunya. Senyum tanda terima kasih pada ibu yang masih lagi ingin mengambil berat walaupun ibu masih marah dengan apa yang berlaku. Senyumannya pun langsung tidak dibalas. Ibu terus menyuapnya makan dengan muka yang tegang dan tidak berperasaan. Ibu diam saja ketika itu. Langsung tidak berkata apa-apa walaupun sepatah.
            Habis sahaja bubur di dalam mangkuk, ibu yang masih mendiamkan diri terus bangun untuk keluar dari biliknya tetapi cepat-cepat dia halang.
            “Ibu tunggu kejap. Embun ada sesuatu nak bagi dekat ibu.” Dengan muka yang ceria walaupun matanya bengkak merah-merah akibat terlalu banyak menangis, dia dengan terujanya menghulurkan sekeping sampul berisi kad yang ditarik keluar dari bawah bantal yang melapik kepalanya.
            Dia lihat ibunya menyambut sampul tersebut dengan muka yang masih tidak berperasaan, dan masih jua tiada riak yang dapat dibaca pada wajah itu. Ibu berpusing semula untuk keluar dari bilik tersebut.
            “Ibu, bukalah dulu sampul tu. Buka depan Embun ni. Lepas tu, barulah ibu boleh keluar. Embun tahu ibu tak suka Embun mencuri. Embun janji bu yang Embun takkan buat lagi. Tapi Embun tetap nak bagi juga barang yang Embun curi tadi tu dekat ibu dan Embun nak ibu simpan hadiah tu sampai bila-bila...” ujar Seri Embun penuh mengharap.
            Ketika itu dia nampak gembira sekali dan kelihatan tidak sabar-sabar untuk melihat ibunya membuka sampul yang berisi kad itu di hadapannya walaupun muka ibunya waktu itu kelihatan tegang sahaja tanpa seurat senyuman di bibirnya.
            Langsung Seri Embun tidak menyangka yang ibunya akan menghiraukan begitu sahaja permintaannya tadi. Ibu terus melangkah keluar dari bilik tersebut selepas dia lihat ibu hampir saja mengoyakkan sampul yang sebenarnya berisi sekeping kad itu. Tapi ibu tak jadi untuk berbuat begitu. Ibu kelihatan seperti tidak sampai hati.
            Namun tidak lama selepas itu, ibu masuk semula ke dalam biliknya. Tetapi ibu cuma berdiri di muka pintu sahaja sambil memandang ke arahnya dengan renungan yang sukar untuk ditafsir dan dimengertikan. Dia dapat lihat mata ibu seperti bergenang dan berkaca-kaca.
            Ibu masih marah ke dengan apa yang aku dah buat? Atau ibu menangis kerana kesal dengan sikap aku yang sanggup menjatuhkan air mukanya semata-mata ingin mencuri sekeping kad yang tidak mempunyai sebarang kepentingan itu?
            Tapi selepas itu, dia lihat ibunya tiba-tiba mengerutkan dahinya dengan pandangan ibunya itu jatuh pula ke arah tangannya yang menggigil kerana masih terlalu sakit itu.
            “Kenapa ibu pandang tangan Embun macam tu? Ibu marahkan tangan Embun ke sebab tak dapat nak tulis cantik-cantik dalam kad yang lawa tu?” Seri Embun yang memang lurus budaknya ini bertanya dengan polos, dengan mukanya yang jelas menunjukkan kerisauannya. Saat ini, dia benar-benar takut memikirkan kalau tulisannya yang comot itu telah mencacatkan kad ucapan Hari Ibu yang terlalu cantik rekaannya, dia bimbang kalau ibunya tidak suka.
            “Ibu... Kenapa ibu menangis? Maafkanlah Embun, ibu. Tulisan Embun comot sebab tangan Embun sakit kena pukul dengan penyapu tadi. Embun tak dapat nak tulis cantik-cantik ucapan ‘SELAMAT HARI IBU’ dekat dalam kad tu...” Bersungguh-sungguh Seri Embun mengharapkan pengertian ibunya.
            Untuk kanak-kanak sekecilnya, apatah lagi dengan sifatnya yang polos dan lurus bendul itu, dia memang tidak dapat menangkap apa yang sedar difikirkan oleh ibunya ketika itu. Sewaktu ibunya tiba-tiba menangis, lagilah dia buntu. Dia jadi semakin keliru. Dia langsung tidak faham.
            Namun, apabila ibu berlari meluru ke arahnya sebelum ibu memeluk tubuhnya, dia menghiraukan saja segala kekeliruan itu. Biarlah walaupun dia tidak faham apa-apa asalkan dia berasa seronok sangat sekarang ini kerana bersempena hari ibu, walaupun tubuhnya telah teruk dikerjakan oleh ibunya sendiri, sekurang-kurangnya pada hari yang istimewa itu, dia telah mendapat satu pelukan yang cukup istimewa daripada ibunya. Dan yang paling dia takkan lupakan ialah bubur nasi masakan ibu yang disuapkan sendiri oleh ibunya. 
            ‘Terima kasih ibu sebab sudi maafkan Embun. Embun janji Embun takkan mencuri lagi,’ ikrarnya di dalam hati. Ketika itu, dia yang langsung tidak faham apa-apa hanya menganggap ibunya menangis dan memeluk tubuhnya adalah kerana ibu ingin memberikan kemaafan kepadanya. Dia langsung tidak tahu yang sebenarnya, ibunya itu tersentuh dengan apa yang cuba dilakukannya bersempena dengan hari ibu itu walaupun dari dulu lagi ibu melarangnya menyambut hari ibu yang sepatutnya haram disambut oleh umat Islam. Tetapi memandangkan ketika itu dia masih kecil dan berasa cemburu apabila rakan-rakan yang lain bercerita tentang hadiah istimewa yang diberikan pada ibu masing-masing, maka dari situlah dia boleh terfikir untuk mencuri.
            Itulah antara kenangannya bersama ibu yang tidak dapat dilupakannya sampai ke saat ini. Sehinggalah ibunya ditakdirkan untuk bertemu semula dengan penciptanya, di dalam kalangan keluarga mereka yang kecil itu, dia lah antara mereka bertiga yang paling tidak dapat untuk menerima hakikat itu. Ayahnya sendiri walaupun terlalu sayangkan ibunya dan telah lama hidup bersama-sama arwah, tetap merelakan pemergian arwah. Begitu juga dengan satu-satunya adik kembarnya. Hanya dia seorang sahaja yang tidak dapat menerima takdir yang telah tertulis sewaktu dia masih belum puas untuk merasa hangatnya kasih ibu memandangkan ibunya pergi terlalu awal, sewaktu dia masih di tingkatan empat.
            Apatah lagi kematian ibu adalah disebabkan tindakan nekad ibu sewaktu cuba menyelamatkan dua orang kanak-kanak yang diasuh ibu daripada menjadi mangsa kebakaran. Kejadian mencemaskan itu berlaku beberapa hari sahaja sebelum masuknya bulan Syawal, dan semuanya adalah berpunca daripada sikap nakal dua beradik itu sendiri yang bermain mercun berbahaya sehingga terbaling ke dalam rumah buruk mereka.
            Mujurlah tindakan berani ibu itu telah berjaya menyelamatkan kanak-kanak tersebut, malangnya ibu terpaksa menggantikan nyawanya sendiri untuk melihat dua beradik itu terus hidup di dalam dunia ini. Ibu mati di hospital akibat paru-paru ibu yang tidak mampu lagi untuk bertahan dengan asap tebal yang masuk menerusi hidung dan juga mulut, apatah lagi ibu sememangnya dari kecil lagi menghidapi penyakit asma yang serius.
            Ibu.... Semua orang pun tahu yang ibu memang sukakan budak-budak. Walaupun hanya dibayar upah yang terlalu sedikit, ibu sanggup mengambil mana-mana kanak-kanak untuk dijaga dan diasuhnya.
            Sejak itu, Seri Embun yang terkenal dengan sifatnya yang penyayang dan lemah-lembut, selembut namanya yang tersebut di lidah, menjadi seorang yang bengis setiap kali dia terserempak dengan mana-mana kanak-kanak di dalam kampungnya itu. Mendengar rengekan dan tangisan mereka pun dia jadi benci. Semua itu hanya akan membuatkan jiwanya tertekan dan terdera. Silap haribulan, tak mustahil kalau dia terpaksa dimasukkan ke dalam hospital jiwa hanya kerana tidak tertanggung perasaan bencinya setiap kali mendengar rengekan dan tangisan yang terasa seperti bisa di telinganya itu.
            Pernah sekali, dia menjerit sekuat hati di dalam bilik seperti diserang histeria bagi melepaskan tekanan yang melampau setiap kali dia teringat bagaimana tenatnya keadaan ibunya setelah kejadian kebakaran itu. Kalaulah tak kerana hati ibu yang terlalu mulia sampai sanggup menggadaikan nyawanya sendiri, tentu ibu masih hidup sekarang ini. Memang betullah cakap-cakap orang, budak-budak memang suka menyusahkan orang lain! Termasuklah menyusahkan arwah ibu aku!
            Keadaan Seri Embun bertambah buruk apabila setelah setahun kematian ibunya pun, dia masih tidak dapat menerima hakikat lewat pemergian ibu tersayang.
             Sebenarnya, dia sendiri tidak sanggup untuk terus mengusung perasaan yang hanya membuatkan jiwanya tertekan. Kalau ditanya pada sesiapa pun, siapa yang sanggup menghabiskan hidup dengan meratap hiba begitu? Tapi, apa lagi yang dia boleh buat. Dia masih tidak mampu menghindari perasaan terkilannya atas pemergian arwah ibunya. Dia masih tak dapat nak terima hakikat itu!
            Macam manalah dia tidak terkilan. Sesiapa pun tentu akan terkilan melihat insan yang melahirkan kita, meninggal dunia dekat hospital sehari sebelum mereka sepatutnya menyambut kemeriahan Syawal bersama-sama. Sudahlah waktu itu dia masih tidak sempat untuk meminta maaf daripada ibu kerana telah tidak sengaja menyinggung perasaan ibunya. Walaupun tujuan dia berbuat begitu atas alasan ingin menggembirakan ibunya, dia tetap tidak dapat menerima perbuatannya yang telah menyebabkan ibu berkecil hati dengannya atas keenggenannya untuk menemani ibu membeli baju raya di pekan, beberapa hari sebelum ibu meninggal dunia.
            Waktu itu, ibu merajuk sebab ayah hanya belikan baju raya untuk dia dan adik, tetapi untuk ibu, ayah langsung tidak belikan apa-apa. Sebenarnya, semua itu adalah rancangannya. Dia yang merancang supaya ayah tidak belikan baju raya untuk ibu memandangkan tahun ini, dia ingin berikan kejutan istimewa pada ibu.
            Sejak bulan puasa lagi dia sudah belikan kain untuk dibuat baju kurung dengan duit yang dikumpulnya dan secara sembunyi-sembunyi, dia menjahit kain itu di dalam biliknya sehinggalah siap menjadi baju kurung. Kononnya ingin diberikan pada ibu pada pagi Syawal, tapi malangnya dia tidak sempat untuk berbuat begitu. Ibu telah menghembuskan nafas terakhirnya sewaktu takbir raya sedang bergema.
            Dapat dibayangkan tak betapa hancurnya perasaannya ketika itu? Betapa terkilannya dia kerana membiarkan ibunya yang tidak sihat itu ke pekan seorang diri sementara dia pula berkurung di dalam bilik menjahit kurung biru buat ibunya. Ketukan ibu pada pintu langsung tidak diendahkan. Akhirnya dia membiarkan ibunya pergi meninggalkan dunia membawa sekali rasa hati yang tersinggung dengan sikapnya.
            Salahkah dia? Salahkah dia meratap hiba lewat pemergian ibu? Salahkah dia kerana mempertikaikan qada dan qadar yang telah ditentukan? Ya ALLAH... Salahkah anak ini merungut pada takdir tuhan?
            Penyesalan yang tidak terhingga itulah yang menyebabkan dia terpaksa menelan masa sehingga bertahun-tahun untuk melupakan kesedihan yang merodok dahsyat meremukkan seluruh hati dan perasaannya, dan tanpa sedar, juga kehidupannya yang telah lama hancur. Dia telah dilanda trauma yang maha dahsyat sampaikan setiap kali dia melihat mana-mana baju kurung pun, dia boleh menangis teresak-esak teringatkan arwah ibunya yang telah pergi tanpa sempat menyarungkan baju kurung yang telah dijahitnya, dan adakalanya dia akan meraung seperti terkena serangan histeria.
            Sejak itu jugalah dia sudah tidak memakai baju kurung lagi. Dan berbulan-bulan selepas itu dia memaksa pula dirinya sendiri untuk mengubah penampilan menjadi seperti remaja-remaja lelaki yang lain. Dia buat semua itu kononnya kerana dia ingin menjadi seorang perempuan yang kuat. Seorang perempuan yang tidak mudah mengalah, yang tidak lemah dan tidak rapuh hatinya.
            Hatinya pula dipaksa supaya menjadi hati yang sekeras-keras hati, hati yang tidak mudah menangis, dan hati yang tidak mudah tersentuh. Semua itu dia lakukan dengan satu tujuan saja iaitu semata-mata ingin melupakan terus kekecewaan lantaran pemergian ibunya yang masih tidak mampu untuk diterimanya itu. Cukuplah selama ini dia terseksa dengan kehidupannya yang hanya berkurung di dalam bilik tidurnya. Dia mahu menikmati kehidupan yang dikurniakan ini sebagaimana remaja-remaja lain.
            Daripada seorang gadis yang cukup suka berbaju kurung, dia sudah tidak memakainya lagi sejak dia mengubah penampilannya yang memperlihatkan dia seperti seorang remaja lelaki meskipun dia masih tidak menanggalkan tudung di atas kepalanya. Koleksi tudungnya masih ada di dalam almari kerana dia sudah berjanji pada diri sendiri, tak kiralah sebesar mana pun perubahan yang ingin dilakukan, dia tetap ingat pesanan arwah ibunya yang sentiasa mementingkan hal-hal yang melibatkan agama.
            Hanya baju kurungnya sahaja yang dilonggokkan di dalam plastik besar dan disorokkan di bawah katilnya.
            Pada usianya menginjak 16 tahun, Seri Embun betul-betul kelihatan seperti lelaki seusianya yang lain apabila setiap hari, dia akan menggayakan seluar jeans gedoboh dengan kemeja yang dibuat daripada jenis jeans yang sama dengan seluarnya. Dan dia juga sudah pandai bergaul dengan budak-budak lelaki yang terkenal dengan kenakalan mereka di kampung itu. Bukannya kerana dia suka berkawan dengan mereka, tetapi kerana dia ingin menjadi sekuat mereka. Dia memang nekad ingin menjadi seperti lelaki-lelaki yang tidak mudah menangis, yang tidak berjiwa sensitif dan tidak mudah tersentuh hatinya. Dia ingin jadi seperti mereka supaya dia berjaya melupakan kesedihannya yang sudah makan masa sehingga bertahun lamanya itu.
            Mungin disebabkan terlalu tertekan, jiwanya memberontak sehingga fikirannya telah membenarkan dirinya sendiri melakukan sesuatu yang tidak waras kalau difikirkan.
            Namun hasilnya, dia berjaya. Ya, akhirnya dia berjaya melupakan kesedihannya setelah dia berjaya menjadi seorang perempuan yang hatinya sekeras hati lelaki, yang tidak mudah mengalirkan air matanya sejak dia mula bergaul dengan remaja-remaja nakal di dalam kampungnya, yang berjaya mengalihkan rasa sedihnya. Sedangkan hakikatnya, dia langsung tidak sedar yang dia sebenarnya telah membiarkan dirinya itu menjadi seorang gadis yang liar!

P/S: Sebarang kritikan sama ada positif mahupun negatif teramatlah dialu-alukan. Penulis sangat memerlukan komen daripada pembaca sekalian. Terima Kasih. =)

3 comments:

  1. Panjangnya prolog kau ni. Pitam aku baca. Haha, tapi okeylah sebab nak kita dapatkan main idea yang Embun ni dah kehilangan ibu dia. And sebab musabab kenapa ibu dia meninggal semua dah dinyatakan. Secara jujur aku tak berapa nak baca sangat tang nararif yang berjela sangat tu.. Penat weh! Hahaha. Tapi demi kau, aku gagahkan juga. Gitu.. Okey, aku start follow chapter by chapter. Sorry late!

    ~Penulis Paling Kacak (WS)

    ReplyDelete
  2. haha..noks.. siyesly aku sendiri tak suka taip naratif panjang2 sebab bosan sgt weh. Tapi utk prolog ni aku terpaksa membebel sikit sebab info2 yg aku membebel ni agak penting untuk pembaca. Jadi, utk prolog ni aje aku banyak membebel sikit kat bahagian naratif tu. Next chapter dah tak banyak membebel sebab banyak dialog je. sekian -Penulis Paling Vogue. hahaha

    ReplyDelete
  3. panjang sesangat sampai berpinar mate sye.. oh cikgu sy ternnti2 dialog narative bykk sgtt nie >< n hampir kebosanan jugak rsenye..but...sebab yg nie mmg unik cerite psal ibu embun tue mmg ade kesan gud job :D

    -nur athira-

    ReplyDelete