Monday, 3 December 2012

Isteri Paling Kelakar (BAB 6)

MALU-MALU, Seri Embun bersembunyi di belakang Doktor Adzhar. Rancangnya tadi dia ingin mengambil teksi saja untuk ke sini. Tapi Alia pula yang memandai-mandai menelefon Doktor Adzhar supaya menjemputnya.
            “Kak Embun tak payah nak rasa bersalah lah. Doktor Adzhar tu dah macam abang Alia jugak...” Itu jawapan Alia sewaktu Seri Embun menyatakan rasa tidak selesanya kerana telah menyusahkan rakan kongsi Doktor Afka itu walaupun kalau diikutkan tidaklah sejauh mana jarak vila dengan klinik ini. Lebih kurang lima belas minit sahaja tempoh perjalanan.
            Sewaktu di perkarangan klinik lagi Seri Embun dapat lihat kesibukan Afka yang ketika itu sedang mendaftar nama pesakit di kaunter klinik.
            Kesian dia... Bekerja di dalam tempat berhawa dingin ni pun boleh berpeluh-peluh. Seriusnya dia... Nampak menakutkan pulak.
            Mana tak nya, Afka terpaksa buat dua kerja dalam satu masa. Dia lah yang akan merawat pesakit-pesakitnya, dan dia juga yang perlu bertindak sebagai pembantu klinik yang akan mendaftar nama pesakit dan memberikan ubat-ubat yang bersesuaian dengan penyakit yang dihidapi. Bayangkanlah, dia terpaksa berulang-alik dalam keadaan tergesa-gesa di antara dua bilik yang berlainan. Mana tak tertekan.
            “Eh, Embun... Kenapa Embun datang balik ke sini? Embun kan tak sihat?” Afka yang masih sibuk dengan kerjanya baru perasan Seri Embun yang tercegat berdiri di hadapan kaunter klinik.
            Seri Embun yang tidak mahu menjawab, sekadar menghadiahkan senyuman lebar saja. Senyuman yang dikatakan dapat mengurangkan segala jenis penyakit. Manalah tahu dengan melihat senyuman aku yang menawan ni, kurang sikit pressure dia. Eee... Perasannya!
            “Eh, kenapa pucat aje muka Embun? Dah, dah... Mari sini ikut abang masuk bilik. Biar abang check.”
            Doktor Adzhar yang hanya diam memerhati menahan gelak. Betul-betul dah angau kawan aku sorang ni. Parah... parah... Sebelum ini, tak pernah dia lihat kawannya itu sebegitu prihatin dengan pesakit-pesakitnya.
            “Doktor, mana boleh macam tu. Tak adil lah kan. Kitaorang dah tunggu lama dekat luar ni tau semata-mata nak....” Salah seorang gadis yang pakaiannya menjolok mata menyampuk tiba-tiba. Dua lagi kawannya mengangguk, menyokong kata-kata kawannya itu walaupun kawan itu hampir tersasul. Malunya kalau terbongkar tujuan sebenar mereka ke situ yang semata-mata ingin berjumpa dengan doktor kacak itu.
            “Doktor Afka... Tak perlulah doktor risau. Saya okay aje. Saya datang ke sini pun sebab saya nak sambung semula kerja saya.” Seri Embun cuba meleraikan ketegangan. Dia memaksa sebuah senyuman meskipun hatinya terasa debaran yang lain macam.       Apakah ini?
            “No, abang tak setuju! Embun nampak penat sangat ni.” Afka terus menyolek poket seluarnya. Segugus kunci diserahkan pada Doktor Adzhar.
            “Ad, ambil kunci ni pergi bawa Embun suruh dia duduk dalam kereta. Give me ten. Nanti aku datang. Embun pula kalau bosan, pasanglah radio. Nanti sepuluh minit lagi abang datang, abang hantar Embun balik.”
            Arahan itu cepat saja membuatkan mulut Seri Embun naik tinggi muncungnya.
            “Embun tak nak balik. Embun bosanlah duduk dekat rumah tu. Alia pun dah tak nak layan Embun. Embun nak duduk dekat klinik ni dengan abang. Ada lah jugak kawan nak bergaduh.”
            Seri Embun langsung tidak memaksudkan apa-apa dengan kata-katanya itu. Niatnya semata ingin mengambil hati Afka supaya lelaki itu tidaklah berkeras memaksanya pulang semula ke rumah. Tetapi lain pula penerimaan Afka. ‘Embun nak duduk dekat klinik ni dengan abang.’ Ayat yang tidak sepanjang mana itu telah menyebabkan Afka menjadi khayal buat seketika. Sehinggakan senyuman lebar yang terbit tanpa isyarat pada bibirnya pun tidak sempat untuk disembunyikan.
            “Are you sure?” Afka masih nampak ragu-ragu. Dia cuba berlagak serius seolah-olah hatinya tidak terusik dengan rasa terharu lewat gurauan Seri Embun tadi.
            Seri Embun mengangguk dengan yakin. Siap dengan satu bentuk senyuman yang sempurna sifatnya supaya Afka mengizinkan dia untuk mengambil alih semula kerjanya yang ditinggalkan awal petang tadi.
            Akhirnya, terpaksalah Afka mengalah walaupun dia masih tidak berpuas hati sebenarnya.
            Sambil memikirkan keputusan yang terbaik, lelaki tampan ini mengeluh.
            “Hurmmm... Payah betullah kalau dengan budak keras kepala ni. Abang pun tak boleh nak cakap apa lagi. Kalau dilarang, merajuk pulak nanti. Tapi ingat pesan abang. Kalau rasa tak larat tu, jangan paksa diri tu buat kerja. Dan kalau rasa nak berehat atau nak balik rumah, jangan segan nak bagitahu abang pulak. Bila-bila masa saja abang boleh hantar,” pesannya dan tidak lama kemudian dia mengulangnya lagi pesanan yang sama sehinggalah Seri Embun menganggukkan kepalanya.
            Raut Afka masih dibayang perasaan bimbang yang ketara meskipun dia sendiri sedang kepenatan saat ini.
            Doktor Adzhar yang agak terkejut dengan layanan Afka terhadap Seri Embun, sekadar menggeleng kecil. Bibirnya yang tersenyum geli hati disembunyikan sebaiknya daripada pandangan mata sahabatnya itu.
            “Kalau Embun nak balik rumah, biar lah aku aje yang hantar, Af.’ Sengaja Doktor Adzhar menyakat. Secara sorok-sorok, dia dapat rasa belakang lengannya dicubit. Siapa lagi yang mencubitnya kalau bukan Afka. Dia tahu, sahabatnya itu sedang memberikan amaran kepadanya supaya jangan sesekali nak kacau daun!

           

            “KALAU Kak Embun nak tahu, arwah Kak Delina memang terlalu sayangkan abang Long. Fyra pula dari kecil lagi dimanja lebih-lebih oleh ayahnya. Budak tu mana pandai berkawan sangat. Budak manja macam tu, budak-budak lain pun tak kuasa nak layan, kak. Silap abang Long lah yang manjakan sangat budak Fyra tu. Mungkin disebabkan amanah arwah yang bersungguh-sungguh meminta Abong Long jaga anak mereka dengan sebaik-baiknya. Tapi, Fyra macam tak pernah kisah langsung sebab dia hanya berkawan dengan ayahnya saja. Mereka berdua memang tak pernah berenggang langsung. Macam belangkas! Boleh dikatakan Abang Long agak mengongkong kehidupan Fyra. Pantang Fyra hilang sekejap, kelam-kabut abang Long dibuatnya. Mungkin selepas kehilangan arwah, abang Long trauma dan takut akan kemungkinan untuk kehilangan Fyra pula, memandangkan hanya Fyra saja yang menjadi peninggalan arwah Kak Delina sebagai lambang cintanya pada Abang Long. Apatah lagi sebelum mengandungkan Fyra, arwah pernah merancang untuk tidak mengandung kerana ingin menumpukan seluruh perhatian pada perniagaan butik yang baru dimulakannya. Tapi, demi cintanya pada Abang Long, dia sanggup menangguhkan dulu impiannya untuk bergelar usahawan berjaya...
“Mungkin sebab itulah abang Long tak dapat terima kehilangan arwah sebab pengorbanan arwah yang sanggup mengandungkan dan melahirkan Fyra terlalu besar. Abong Long terkilan sehingga bertahun dia menyalahkan dirinya sendiri. Bila arwah kak Delina pergi meninggalkan kami semua, abang Long macam hilang arah . Dia hilang tempat nak bermanja, hilang tempat untuk dia bergantung walaupun dia sebenarnya masih mempunyai seorang anak yang perlu dijaga dan diberikan tumpuan. Lebih menyedihkan lagi,  beberapa bulan juga Fyra diabaikan oleh ayahnya sendiri. Nak buat macam mana... Abang Long sendiri lebih banyak berkurung kat dalam bilik. Hanya selepas beberapa bulan, barulah abang Long menyibukkan dirinya dengan berkebun. Dia buat semua tu pun sebab dia rindukan arwah kak Delina. Arwah kak Delina memang sukakan bunga, lebih-lebih lagi bunga ros dengan bunga mawar. Sebab itulah kalau Kak Embun perasan, dekat halaman rumah ni, satu kuntum bunga pun payah nak jumpa.
“Rindu tu memanglah rindu... Tapi Abang Long memang tak berdaya untuk terus memandang apa saja yang berkait rapat dengan arwah isterinya itu...”
            Sempat lagi Seri Embun mengelamun walaupun waktu itu dia sepatutnya sedang sibuk menyediakan ubat-ubat seperti yang telah dicatit oleh Afka.
            Cerita-cerita yang disampaikan oleh Alia sewaktu di vila tadi nampaknya masih mengganggu fikirannya sehingga ke saat ini. Ada rasa simpati yang mengusik hatinya tatkala mendengar keluhan Alia. Dan apabila dia semakin mengingatinya semula, perasaan simpati tadi tiba-tiba digantikan dengan satu perasaan ganjil. Perasaan yang mendesaknya untuk mendekati dan mengenali lelaki yang bernama Afka itu dengan lebih rapat lagi. Perasaan yang berjaya membuatkan dia lupa seketika keinginannya yang memberontak mahu pulang ke kampung halaman.
            Dia menggeleng tanpa sedar
            Masya ALLAH... Perasaan apakah ini?
            “Embun, awak ni betul ke tak ada apa-apa? Dah sihat betul ke ni?”
            Seri Embun tersentak mendengar suara garau itu. Hampir terlepas pen kilometrico yang bermain-main di genggamannya. Tidak pernah lagi rasanya suara itu memarahinya begitu sekali meskipun tidak dengan oktaf yang tinggi.
            Dia berusaha berlagak tenang walaupun dia yakin dia tidak berjaya.               
            “Ni macam mana boleh sampai tersalah bagi ubat ni? Adik ni sakit tekak, bukannya ada allergic. Ni pergi kasi ubat gatal ni apa hal? Bukannya adik ni sorang, dekat kawan-kawan dia pun awak macam sengaja aje bagi ubat yang salah. Kenapa dengan awak ni, Embun?” Suara Afka semakin meninggi. Jelas riak tidak puas hati pada wajahnya yang tegang itu. Sampul ubat ditolaknya dengan kasar di atas meja kaunter. Dia nampak tertekan dalam keadaan itu. Beberapa kali dia mengeluh. Penat sangat agaknya memandangkan terlalu ramai pelanggan ketika ini. Mungkin sebab itu Afka telah gagal mengawal kemarahannya.
            Seri Embun pula masih menayangkan wajah tidak bersalah walaupun hatinya teramat sakit mengenakan nasib diri yang dimarahi di hadapan budak mentah itu. Siap tersengih-sengih gatal lagi bila Afka membelanya. Memang layak pun aku bagi dia ubat gatal!
            “Maaflah, Embun tak perasanlah. Hari ni kan first day Embun kerja dekat sini. Takkanlah doktor tak boleh nak faham? Embun mestilah kena belajar sesuaikan diri dulu dengan tulisan-tulisan doktor yang macam cakar ayam tu. Memang dah fakta, siapa-siapa pun tahu yang tulisan doktor memang susah nak faham.” Seri Embun beralasan. Padahal hanya dia seorang sahaja yang tahu mengapa dia bertindak begitu. Apa lagi kalau bukan kerana cemburu.
            Nakal betul Seri Embun ni. Sempat lagi dia kenakan budak tu rupa-rupanya. Ingatkan memang betullah dia tersalah bagi ubat.
            Menyirap darah Afka mendengarkan alasan Seri Embun yang langsung tidak berasas itu. Kalaulah Seri Embun sudah bertahun-tahun bekerja dengannya, dia cukup yakin perempuan di hadapannya ini takkan tergamak untuk mengeluarkan perkataan-perkataan sedemikian rupa. Sesiapa jua tahu dengan caranya bekerja. Seorang doktor yang berdedikasi, tekun dan penuh bertanggungjawab. Alasan yang dikemukakan oleh Seri Embun tadi ternyata telah mencabar kredibilitinya. Rasanya, dia tidak perlu membuang masa untuk mendengar jawapan sebodoh itu! Selama dia membuka klinik ini, dia sendiri tidak pernah cuai dalam menjaga nama baik kliniknya. Seri Embun sepatutnya sedar dengan penat lelahnya dalam membangunkan klinik ini, juga penat lelahnya untuk mendapatkan kepercayaan daripada masyarakat di luar sana!
            Tanpa teragak-agak, dengan muka bengang, Afka terus mengeluarkan dompet dari belakang poket seluarnya. Dua keping not RM50 dikeluarkan.
            “Nah, ni gaji awak untuk hari ni. Terima kasih sebab sudi berikan khidmat awak yang tak seberapa tu dekat klinik saya ni. Saya tak perlukan pekerja yang hanya berkebolehan merosakkan reputasi saya sebagai seorang doktor!” 
            Wang tadi dilipat dua sebelum ditepuknya dengan kasar ke atas meja kaunter.
            Kalau diikutkan, Seri Embun sepatutnya tergamam dengan tindakan Afka, juga perubahan sikap Afka yang begitu drastik itu. Tetapi tidak.
            Seri Embun sebaliknya tersenyum sebelum dia menggeleng. Afka sendiri pelik melihatnya.
            “Banyak sangat ni, doktor. Cukuplah lima puluh ringgit ni aje. Ini pun dah kira banyak sangat sebab Embun kerja tak sampai separuh hari je pun kan? Tapi nak buat macam mana. Embun pun tak ada duit pecah untuk pulangkan bakinya. Jadi, doktor anggap ajelah duit lebihan lima puluh ringgit ni sebagai upah Embun jadi orang gaji sementara dekat vila keluarga doktor tu ya. Kalau terkurang tak mengapa, doktor jangan risau, Embun tetap akan halalkan. Tapi kalau duit lima puluh ringgit ni doktor anggap masih terlalu banyak jika dibandingkan dengan kerja-kerja yang Embun buat dekat vila tu, Embun harap sangat doktor dapat halalkan. Tak pun nanti balik kampung, Embun akan bank in semula bakinya. Okaylah... Embun pergi dulu. Terima kasih, doktor. Assalamualaikum...” Seri Embun terus mengemas barang-barang kepunyaan sebelum dia keluar dari bilik tersebut, tanpa dia memandang lagi wajah Afka walau untuk terakhir kali.
            Kebetulan pada waktu yang sama, kedengaran tangisan dan jeritan kanak-kanak yang begitu kuat dari dalam bilik Afka. Berlari-lari doktor kacak itu masuk semula ke dalam biliknya. Situasi biasa di mana-mana klinik pun. Akan biasa kedengaran kanak-kanak yang menjerit dan meronta-ronta setiap kali masuk ke dalam bilik doktor. Sibuk sungguh Afka ni rupanya. Patutlah dia dah tak dapat nak tahan sabar sampaikan dengan aku sekali kena marah. Mana nak layan karenah pesakit-pesakit yang terdiri daripada golongan kanak-kanak... Mana nak layan pesakit-pesakit yang ingin mendapatkan rawatan segera... Lebih parah lagi, ada pula pesakit yang tak sakit tapi mengada-ngada buat sakit semata-mata nak menggatal. Contohnya, budak belasan tahun yang masih tertenggek dekat depan kaunter ubat ni!
            Seri Embun buat-buat tidak nampak sahaja. Dia terus menonong untuk keluar dari bilik kaunter pendaftaran klinik tersebut.
            “Hati-hati ya kak bila jalan nak balik tu... Saya minta maaf sangat-sangat tau kalau disebabkan saya, akak kena buang kerja. Kesiannya...”
             Kalau dengar betul-betul, memang tak ada yang tak kena pada ayat yang keluar dari suara yang lemak merdu itu. Tapi bila ditoleh, pemilik suara yang lembutnya berlenggok-lenggok itu sebenarnya sedang menayangkan wajah meluat. Siap dengan senyuman sinis, yang jelas mengejek nasib Seri Embun.
            “Tak mengapa, dik. Akak anggap rezeki akak bukan dekat klinik ni. Adik pula jangan lupa sapu ubat gatal tu ya. Ubat-ubat yang Doktor Afka buat semuanya terbaik. Insya-ALLAH kalau tak ada aral melintang, sehari dua lagi sembuh la penyakit miang adik tu.”
            ‘Kalau tak sembuh juga penyakit miang adik tu, adik kena minta ‘ubat’ lain la nampaknya dekat Doktor Afka yang adik gila-gilakan sangat tu. Minta ‘ubat’ kahwin. Akak jamin, malam pertama aje mesti terus sembuh penyakit miang adik tu.’ Seri Embun tersengih-sengih mendengar usikan nakal dari dalam hatinya sendiri.
            Tanpa berlengah lagi, dia terus meninggalkan perkarangan klinik tersebut, meninggalkan sekali perempuan gedik yang sedang memaki-hamunnya siap hentak-hentak kaki. Memang dasar gedik betul perempuan ni!         



            SETENGAH jam kemudian, pesakit sudah beransur kurang. Sempat jugalah Afka menenangkan fikirannya yang berserabut itu. Badannya pun terasa berat dan penat. Agaknya setelah terlalu lama meninggalkan kerjayanya ini, maka menjadi liat untuknya membiasakannya semula.
            “Itulah kau... Sesuka hati aje kau marah si budak Embun tu. Aku tahulah kau stressed, tapi kau sepatutnya kawal sikit, Af. Kesian dia tau.. Dia sanggup datang ke klinik ni bila dia dengar aje aku cakap yang kau terlalu busy dan stressed sampai nak berehat pun tak sempat. Sebab itulah budak Embun tu datang juga ke klinik ni. Tapi, apa yang dia dapat? Kau halau dia macam pengemis!” marah Doktor Adzhar.
            Dia bukannya tidak tahu perangai sahabatnya yang seorang itu. Lekas melenting, dan agak panas baran juga orangnya.
            “Bukannya aku tak boleh nak agak. Aku boleh bacalah, Af. Okay, mungkin aku silap. Tapi aku yakin, kau ambil keputusan untuk kerja semula dekat klinik ni pun sebab budak Embun tu kan? Aku tahu... Seri Embun dah jadi kekuatan baru dalam hidup kau. Kau tak boleh tipu aku lagi, Af.”
            Niatnya ingin meleteri sahabatnya itu lagi. Namun, tidak sampai hati pula bila melihat wajah keruh itu. Dia tahu, sahabatnya menyesal dengan perbuatannya tadi.
            Afka hanya mendiamkan diri. Dia memandang kosong pada batang pen yang dimain-mainkan dengan jari jemarinya. Sengaja menganggap telahan sahabat baiknya itu sebagai sesuatu yang tidak perlu dianggap serius. Memang tak betul pun apa yang dikatakan. Aku ambil keputusan untuk bekerja semula dekat klinik ni pun sebab nak perangkap budak tu supaya dia kerja dekat klinik ni, dan nak halang budak tu supaya dia tak balik kampung. Itu saja dan tak lebih daripada tu!
            “Aku mungkin tak dapat nampak perasaan kau pada Seri Embun. Tapi aku dapat lihat bayangan arwah isteri kau dalam diri Seri Embun.”
            Jari-jari yang sedang memusing-musingkan batang pen terus terhenti. Afka mendongakkan sedikit mukanya. Dia nampak terkejut.
             Sahabatnya itu memang hebat. Dia sendiri mengakuinya. Meskipun penampilan Seri Embun yang lebih cenderung berpakaian seperti lelaki berbanding arwah isterinya yang sentiasa kelihatan ayu dalam persalinan baju kurung, namun dia tetap tidak dapat menafikan persamaan yang wujud dalam diri kedua-duanya. Tapi rasanya tak ada lah sampai dia nak membiarkan dirinya jatuh cinta memandangkan seluruh perasaan cintanya telah bersemadi  sekali di dalam pusara tempat arwah isterinya beradu.
            “Aku nak pergi cari dia!” Afka terus berdiri tegak. Tetapi langkahnya mati sewaktu dia disedarkan dengan sesuatu.
            “Tak payahlah, Af.. Sia-sia aje. Dah setengah jam dah pun. Mesti sekarang ni dia dah dalam perjalanan balik ke kampung dia...”
            Kecewa sungguh hati Afka mendengarkan jawapan itu. Mahu sahaja dia menjerit sekuat hatinya. Namun mujurlah fikirannya masih waras.
            ‘Ya ALLAH... Embun, mana Embun pergi ni? Janganlah tinggalkan abang. Embun kecil hati dengan abang ke? Abang tak marahkan Embun pun la. Abang cuma marah dengan keras kepala Embun tu. Kan abang dah pesan suruh duduk saja dekat rumah sebab Embun kan tak sihat. Tapi Embun datang jugak ke sini. Bukannya dapat membantu abang pun, menyusahkan abang lagi, ada la...’
            Kalaulah Seri Embun di hadapannya sekarang ini, dia sudah berfikir untuk memujuk dengan kata-kata begitu. Malangnya Seri Embun sudah pun pergi meninggalkannya. Dah terlambat!
           

           
            SETENGAH jam kemudian, Afka mengalah setelah jenuh dia mencari kelibat Seri Embun di merata-rata tempat. Perut yang kosong masih belum diisi. Tidak pula dia berasa lapar. Macam mana nak rasa lapar kalau fikiran tu asyik memikirkan soal Seri Embun sahaja. Ahhh... Nanti tahulah aku minta alamat kampung dia dekat Azfahan!
            Sedapkan hati aje tu. Padahal macam nak gugur jantungnya memikirkan Seri Embun yang sekarang ini tentunya sedang dalam perjalanan pulang ke kampungnya.
            Fikiran yang sudah sedia kusut menjadi semakin berserabut pula apabila dia terpaksa melayan karenah pesakit-pesakit, terutamanya pesakit daripada golongan kanak-kanak. Tahu aje lah ragam budak-budak ni. Lagi-lagi budak-budak yang memang takut nak jumpa doktor.
            “Assalamualaikum...” Kedengaran satu suara memberi salam. Namun, Afka masih tidak menoleh. Waktu itu dia kelihatan tertekan kerana terpaksa menenangkan seorang kanak-kanak yang meronta-ronta di atas ribaan ibunya. Nampaknya, doktor kacak ini seakan-akan sudah hilang sabar. Tidak mustahil kalau sekejap lagi kanak-kanak lelaki yang berbadan gempal itu dimarahinya.
            “Adik, adik kan tak sihat. Janganlah memberontak macam ni. Nanti kejap lagi susah doktor nak cucuk punggung tu...” Afka memujuk kanak-kanak itu lagi.
            Seri Embun yang baru masuk ke dalam hanya menggeleng. Dia ni memang tak reti nak pujuk budak-budak ke apa? Dah tahu budak tu takut nak jumpa dia, boleh pulak dia bagitahu yang dia nak cucuk punggung budak tu. Makin takutlah budak tu nanti. Isyhhh... Nama aje doktor!
            Itulah namanya keterbatasan dalam diri setiap manusia. Walau berjaya menuntut ilmu sampai ke luar negara sekalipun, tidak semestinya semua doktor mampu ‘mendekati’ pesakit-pesakit mereka dengan ‘kaedah’ yang baik. Mereka mungkin pakar dalam ‘kaedah’ perubatan, tetapi bukan di dalam ‘kaedah-kaedah’ lain. Iaitu ‘kaedah’ yang sepatutnya menonjolkan lagi profesionalisme kedoktoran mereka. ‘Kaedah’ itulah yang akan mengangkat martabat seorang doktor di mata pesakitnya. Masalahnya, tidak ramai doktor yang mahu berpegang pada ‘kaedah’ tersebut. Sesetengah doktor bekerja terlalu mengikut emosi. Apakah sewaktu mereka menuntut sehingga bertahun-tahun dulu, mereka juga menggunakan emosi untuk mendapatkan pengiktirafan yang dicita-citakan? Kalau masa belajar boleh bersabar semata-mata untuk mendapatkan segulung ijazah yang tidak seberat mana itu, kenapa tidak sewaktu sudah berjaya menjadi seorang doktor?
            Seri Embun menggelengkan kepalanya. Tanpa disuruh, dia terus menghampiri kanak-kanak lelaki yang pada tekaannya mungkin dalam lingkungan usia tiga atau empat tahun. Sempat lagi dia menghadiahkan senyuman pada ibu kanak-kanak tadi sebelum dihulurkannya sebijik coklat Ferrero Rocher. Tersengih-sengih budak bertubuh montel itu menyambutnya. Tengok saja pada giginya yang rongak tu pun dah boleh agak. Ni mesti kuat makan coklat dengan gula-gula ni. Jadi, elok sangatlah kalau diberinya makan coklat.
            Tangisan dan raungannya pun lenyap serta-merta, saat itu juga. Kanak-kanak itu mula memberikan tumpuan pada coklat yang berbalut kertas kuning keemas-emasan yang sudah bertukar ke tangannya dengan senyuman lebar. Kesempatan itu digunakan oleh ibunya untuk ke tandas bagi membersihkan air liur dan sedikit sisa muntah anaknya yang melekat pada bajunya.
            Barulah Afka menyedari kewujudan Seri Embun di dalam biliknya itu. Mungkin disebabkan terlalu tertekan memikirkan kehilangan gadis itu sehingga menyebabkan dia sudah tidak hirau lagi pada keadaan sekeliling.
            “Bukan ke sekarang ni awak sepatutnya balik ke kampung?” Teragak-agak Afka menyoalnya. Dia kelihatan seperti malu-malu. Barangkali malu dengan tindakannya menghalau Seri Embun dari kliniknya tadi.
            “Tak ada pulak Embun cakap Embun nak balik kampung. Cuma tadi kan waktu rehat Embun. Alang-alang keluar makan, Embun belikanlah coklat Ferrero Rocher ni sekali. Sebab kebetulan sebelum Embun keluar dari klinik ni tadi, Embun ada terdengar budak-budak menangis. Kesian pulak tengok doktor terpaksa layan karenah budak-budak dekat klinik ni...”
Oh ya... Baru aku teringat!
Seri Embun yang baru teringatkan coklat Ferrero Rocher yang dibelinya tadi. Tersusun di dalam sebuah kotak besar yang berjumlah tiga puluh biji kesemuanya. Diletakkan kotak coklat tersebut yang dibelinya dengan menggunakan wang yang diberikan oleh Afka tadi ke atas meja Afka.
            “Awak nak ke mana tu?”
            Seri Embun yang sudah melangkah, menoleh. Sengaja dia mengerutkan dahinya, berlagak seolah-olah dia tidak memahami apa yang dimaksudkan oleh lelaki itu.         
            “Nak sambung balik kerja Embun lah. Dah pukul lima dah ni. Waktu rehat Embun dah habis dah pun.” Selamba sahaja Seri Embun membalasnya, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku antara dia dengan lelaki itu.
            “Tapi bukan ke saya dah berhentikan...” Afka terkedu. Dia bukannya ingin melarang. Cuma ketika ini dia rasa bersalah yang teramat sangat.
            Seri Embun tersenyum dengan kekeliruan lelaki itu. Sebelum dia menggeleng-geleng pula. Nafas ditarik dalam.
            “Embun percaya, tentunya bukan mudah untuk doktor capai tahap seperti sekarang ni kan? Nak dapatkan segulung ijazah pun susah, apatah lagi nak ada klinik sendiri. Jadi, semua itu membuatkan Embun percaya bahawa seorang yang bergelar doktor itu tentunya beretika orangnya. Seorang doktor semestinya tidak boleh beri MC sesuka hati kepada pesakit-pesakitnya kan? Jadi, Embun harap sebagai pekerja, Embun juga dilayan dengan adil sebagaimana doktor melayan pesakit-pesakit doktor. Kalaupun memang Embun patut diberhentikan, Embun mahukan hak Embun. Hak seorang pekerja untuk dihormati oleh majikannya. Kalau Embun diberhentikan, Embun mahukan surat rasmi. Bukannya seperti apa yang doktor buat pada Embun tadi...” Seri Embun menawarkan senyuman ikhlas sebelum dia segera masuk ke biliknya, meninggalkan Afka yang terpukul di dalam diam. Tapi tidak lama selepas itu, dia tersenyum memikirkan betapa bijaknya gadis yang disangkanya lurus itu.






           
           
            LEBAR senyuman Seri Embun sedari tadi. Terasa puas hatinya kerana dapat menempelak Afka. Kalau ikutkan berkali-kali ganda lagi sakit hati aku ni bila dia halau aku tadi. Nasib baiklah aku ni tak pandai nak merajuk lama-lama. Bukan apa... tak sampai hati pula nak tinggalkan dia dekat klinik tu tanpa pembantu. Mesti makin tertekan dibuatnya nanti. Lagipun aku akui, memang  salah aku pun. Cemburu tak tentu pasal. Eh, mana ada. Tak ada lah cemburu mana pun. Cuma geram bila tengok perempuan gedik tadi tu terkinja-kinja nak jumpa Afka padahal bukannya ada penyakit apa-apa pun. Aku sendiri nampak dia berlatih bersungguh-sungguh semata-mata nak tukar suara dia yang lembut menggelikan itu menjadi serak macam suara Ramli Sarip. Terdesak sangatlah tu. Sanggup tukar suara semata-mata nak dapatkan ubat sakit tekak supaya bolehlah dia jumpa doktor idaman kalbu dia tu! Huh!
            Tak sangka... panjang umur perempuan gedik tu. Baru aje aku kutuk dia kat dalam hati, dia dah tercegat berdiri dekat depan kaunter ambil ubat ni.
Baguslah kalau umur dia panjang. Sempatlah dia bertaubat! Isy.. Apa hal hati ni tahu nak mengata orang aje. Tak baik tau Seri Embun! Dia mengingatkan dirinya sendiri.
Eh, bukan ke kau dah kena pecat? Macam mana kau boleh ada dekat sini hah?” Gadis itu menerpanya dengan suara yang kuat. Riaknya menggambarkan rasa dendam dan tidak puas hati. Bukan main gembira lagi bila dia dapat tahu Seri Embun telah diberhentikan. Tadi pun dia terus bergesa balik ke rumah. Sijil SPMnya yang tidak seberapa itu digeledahnya. Hampir sejam juga dia mencarinya, barulah berjumpa semula. Bukan dia kisah sangat pun dengan sijil SPM dia tu. Nak sambung belajar pun dia tak pernah ada hati apatah lagi ibu bapanya sendiri tidak pernah kisah untuk menanggungnya. Tapi, demi menggantikan jawatan Seri Embun, dia sanggup! Dapatlah aku jumpa dengan Doktor Afka hari-hari!
Biadab betullah minah sorang ni. Salam tak ada, apa pun tak ada, tiba-tiba aje serang aku! Kalaulah ada ubat yang boleh buat bibir kau tu bernanah sampai berulat-ulat, dah lama aku suntik ubat tu dekat mulut kau tu!
Ikutkan hati, mahu sahaja Seri Embun menengking gadis tak cukup umur itu. Tapi, biarlah dia kelihatan tenang setenang-tenangnya. Cara itu akan kelihatan lebih hebat ketika berhadapan dengan musuh. Kita akan tampak lebih gah dan hebat di mata pihak lawan. Percayalah...
Seri Embun berdehem.
Hurmmm.... Janganlah awak salah faham ya. Sebenarnya Doktor Afka berlakon aje tadi tu. Semata-mata nak puaskan hati awak, dia pecatlah akak. Kang tak pasal-pasal awak saman klinik ni pulak. Tapi kebetulan lepas awak balik aje dari klinik ni tadi, Doktor Afka terus call akak. Dia minta maaf dengan akak, siap merayu-rayu sampai melutut lagi tau depan akak. Haru jugalah keadaan dekat klinik ni tadi sebab semua orang ingat Doktor Afka tu nak lamar akak jadi isteri dia.” Sengaja Seri Embun bertindak membakar perasaan perempuan yang tidak dikenalinya itu. Apa eh nama dia? Masa daftar nama dia tadi, rasa-rasanya nama perempuan ni Amanda. Hah betullah... Amanda!
Seri Embun terasa macam nak pecah perutnya. Namun, mulutnya terpaksa dikunci dengan serapat-rapatnya supaya tidak tersembur ketawanya. Nak menipu kenalah pandai!
Memang pandai pun Seri Embun ni. Pembohongannya nampaknya telah berjaya menyakitkan hati lawan. Merah padam wajah gadis itu menahan rasa cemburu. Penat-penat aje dia bersiap-siap sampaikan dia berhabis duit ringgitnya ke salon semata-mata mahukan penampilan yang menarik dan terbaik untuk bersemuka dengan lelaki pujaannya itu. Kononnya ingin mengisi kekosongan yang telah ditinggalkan oleh Seri Embun. Tapi tak sangka, begini pula jadinya...
“Embun, Embun busy ke tu?” Kedengaran satu suara menyapa. Suara garau itu masih kedengaran janggal untuk berbual-bual dengan Seri Embun seperti biasa. Masih tak hilang lagi lah tu perasaan bersalahnya. Padan muka! Lain kali, fikir dulu sebelum bertindak. Kan dah menyesal.
Seri Embun sekadar menggeleng.
“Boleh tak abang nak ajak Embun teman abang makan? Abang tak makan lagi ni dari tadi. Doktor Ad ada untuk gantikan tempat abang.” Afka cuba berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku antara mereka sekaligus cuba mengembalikan kemesraan antara mereka.
Kasihan pula Seri Embun mendengarnya. Sudahlah dari tadi lagi lelaki ini sibuk dengan tugasnya. Akhirnya, dia mengangguk sebagai menerima pelawaan Afka walaupun kalau diikutkan, dia memang tidak suka keluar berdua-duaan dengan lelaki yang bukan mahramnya. Berdosa tau!
Amanda yang tercegat berdiri tidak ubah seperti tunggul, tercengang-cengang memerhatikan kedua-duanya. Sekejapnya mereka berdua ni boleh berbaik? Siap berabang-abang lagi. Tak adillah macam ni! Dengan si tomboy ni pun nak bahasakan diri dia abang. Dengan aku tak nak pulak! Tak adil!
“Amanda... Tahun depan ajelah you datang interview untuk jawatan pembantu dekat klinik ni ya. Sebabnya, time tu I dah berhenti kerja sebab I akan jadi isteri sepenuh masa. Waktu tu semestinya I tengah sarat mengandungkan anak Doktor Afka. Jadi waktu tu, sesuai sangat kalau you gantikan tempat I.” Sempat lagi Seri Embun menyembur lawannya itu sebelum dia berjalan pantas mendapatkan Afka yang sudahpun berdiri di sebelah BMW kebanggaannya.
Bertambah merah pipi Amanda yang sudah sedia menyala disapu blusher itu. Yang bengangnya, budak bodoh tu macam tahu-tahu aje aku datang ke sini sebab nak dapatkan jawatan tu! Cilake punya perempuan. Ada hati nak kahwin dengan doktor konon. Kalau doktor pakar sakit mental atau pakar sakit jiwa tu, percayalah aku... Sebab otak kau tu memang dah tak betul! Boleh pulak kau berangan benda-benda yang tak masuk akal. Cerminlah sikit diri kau tu! Macam langit dengan bumi tau nak digandingkan kau dengan doktor handsome tu!
Sumpah-seranah sahaja yang mampu dijeritkan Amanda di dalam hatinya buat masa ini memandangkan Seri Embun sudah pun masuk ke dalam kereta mewah lelaki idamannya itu.
Ya Allah... Geramnya aku! Tak guna punya tomboy!


 P/S: Sebarang kritikan sama ada positif mahupun negatif teramatlah dialu-alukan. Penulis sangat memerlukan komen daripada pembaca sekalian. Terima Kasih. =)



6 comments:

  1. hahaha, saya dah melting baca novel ni!!!

    ReplyDelete
  2. Lawak betullah cite ni! Harap-harap tak lama lagi cite ni akan diterbitkan! InsyaAllah. Tahniah penulis! Sakit perut saya gelak waktu baca cite ni.

    ReplyDelete
    Replies
    1. hehe..thanks nrsyakilla sbb sudi doakan utk saya. gembira sbb awk suke cite ni :)

      Delete
  3. klao afka ngn embon kawin pon bguss gk :P hrp2 jadilaa ye.

    -nur athira-

    ReplyDelete