24
TANPA
disangka-sangka, Sazzy telah datang semula ke kondminiumnya beberapa jam
selepas dia meninggalkan Azfahan tadi. Agaknya kerana terbayang-bayangkan tubuh
sasa kekasih hatinya yang tegap dan kekar itu, tidak jadi dia bermalam di rumah
kawannya seperti biasa.
Sebelum ini, memang dia sendiri yang
sengaja memilih untuk tidak terlalu kerap pulang ke kondominiumnya yang mana
sewanya ditanggung beres oleh Azfahan sendiri. Dalam sebulan, boleh dikira
dengan jari saja berapa kali dia pulang ke kondominium mewah itu. Semuanya
dilakukan bagi mengelakkan diri daripada
menjadi bahan kontroversi murahan wartawan-wartawan yang hanya tahu dan
mahu melariskan surat khabar mereka semata-mata. Lagi pula, sejak dia tinggal
di kondominium yang hanya dipisahkan dengan jarak satu pintu rumah itu, boleh
dikatakan agak kerap juga dia bertengkar dengan Azfahan. Jadi, untuk
mengelakkan permasalahan itu lah dia memilih untuk tinggal di rumah kawannya
sahaja. Kebetulan kawannya yang juga seorang model ternama hanya tinggal
seorang saja di dalam kondo yang ‘ditaja’ oleh lelaki berpangkat Tan Sri.
Dalam keadaannya yang sudah tidak
sabar-sabar itu, Sazzy meraba-raba beg tangannya sebelum segugus kunci
dikeluarkan. Dia sudah berkira-kira ingin bermalam dengan Azfahan malam ini.
Tapi sebelum itu, adalah lebih baik dia masuk ke rumahnya terlebih dahulu.
Lagipun, badannya terasa berlekit. Berlengas!
Padahal baru kejap tadi di rumah
kawannya dia mandi dan membersihkan badan. Mungkin sudah jadi sebahagian
daripada ‘rutin’ seorang supermodel yang pantang berpeluh walaupun sedikit.
Hanya selepas mandi dan betul-betul selesa nanti, barulah dia akan ke rumah
Azfahan. Tentu kekasih hatinya itu tidak akan menolak.
Hairannya, sewaktu pintu sudah dibuka dan ditolaknya dari luar, dia lihat
keadaan rumahnya sama seperti sebelum dia meninggalkan Azfahan beberapa jam
tadi. Sekarang waktu sudah hampir menginjak ke subuh. Tinggal lebih kurang
sejam saja lagi.
Takkanlah dia lupa nak tutup lampu pulak? Atau ada perompak yang ceroboh
masuk rumah aku?
Ahhhh...Mustahillah. Sistem
sekuriti dekat kondominium mewah ni boleh dikatakan antara yang terbaik
memandangkan banyak mengimitasi sistem yang diamal dan dipraktikkan di negara-negara
barat yang maju lagi moden.
Mungkin dia terlelap dekat rumah aku
agaknya. Iyalah, mata dia kan sakit. Tak larat nak bangunlah tu agaknya.
Baguslah... Senang sikit aku nak ‘terkam’ dia. Kalau kantoi pun tak ada lah aku
ni nampak jahat sangat kat mata masyarakat sebab aku sekarang ni berada kat
dalam rumah aku. Bukannya aku yang terhegeh-hegeh ceroboh masuk rumah dia!
Bijaknya aku.... Sazzy tersenyum senang hati.
Sewaktu dia melepasi ruang tamu rumah yang agak luas bagi sebuah
kondominium itu, tidak pula dia perasan kewujudan Azfahan yang terbaring tidur
di atas sofa. Barangkali kerana kedudukan sofa yang membelakangkan pintu rumah.
Jadi mungkin sebab itu dia tidak perasan. Hanya setelah terdengarkan dengkuran
halus dari seseorang, barulah dia memusingkan tubuhnya.
‘Gosh!
Perempuan mana pulak yang dia bawa masuk dalam rumah aku ni? Ini rupanya kerja
dia selama ni? Eeeeee.... Mentang-mentanglah
aku dah lama tak balik sini, suka hati dia aje nak bawak perempuan masuk sini!
Tak guna punya jantan. Dasar buaya. Kat rumah aku sendiri kau khianat aku ya!
Dengan perempuan kampung yang berbaju kurung macam orang gaji ni pun jadi ya
kau!’
Dengan hati yang geram, laju saja
langkahnya merapati sofa panjang bersama dada yang mula bergoncang dahsyat.
Kalau ikutkan hatinya, saat ini juga
mahu dilanyaknya perempuan yang sedang nyenyak tidur itu. Tapi, kalau boleh,
biarlah dia lihat wajah perempuan itu dulu. Dan kalau boleh juga, dia mahu
rakam gambar perempuan itu dan malukan betina tak guna tu sampai hancur punah
masa depannya! Agaknya perempuan ni tak tahu yang aku sanggup lakukan apa saja
untuk kekalkan status aku sebagai girlfriend
Azfahan!
Tanpa mengejutkan ‘perempuan’ itu
bangun terlebih dahulu, Sazzy yang nampaknya sudah gagal mengawal emosi, tanpa
berfikir panjang terus merentap rambut ‘perempuan’ yang agak lebat kehitaman itu
sebelum ditariknya dengan sekuat hati. Giginya sendiri terketap kuat
menunjukkan betapa dia benci sehingga nyaris-nyaris ketapan itu menghiris bibirnya
sendiri.
Kedengaran dengusan Azfahan mengaduh
sakit. Kepalanya terkehel dan rasa semacam hampir nak terputus saja urat
lehernya. Mana tidaknya, sebentar tadi dia tidur dengan mukanya melekap pada
bantal sofa dan apabila ditarik sebegitu kuat, berpusinglah urat lehernya
kerana terpaksa mengikut rentak Sazzy yang ekstrem itu.
Sazzy pula terus menekup mulutnya
yang sudah terlopong. Terperanjat tentu sekali apabila ‘perempuan’ yang
disangkanya sebagai perampas itu sebenarnya adalah pujaan hatinya sendiri.
Tapi, kenapa dia perlu berbaju
kurung macam ni? Baju siapa pulak yang dia pakai ni?
Mulanya, kerungsingan itu hanya terluah di fikirannya saja. Mungkin kerana
terlalu terkejut, dia terpaksa mengambil masa yang agak lama untuk menagih
jawapan daripada teman lelakinya itu. Dia masih tidak percaya dengan apa yang sedang
dilihatnya.
“Aaaa... Apa... Apa semua ni? Apa
yang you cuba buat sebenarnya ni?”
Terluah
juga pertanyaan itu walaupun kalau diikutkan hatinya saat ini, sekarang juga
dia mahu keluar dari situ. Untuk terus memandang kekasihnya yang baginya sedang
dalam keadaan memalukan begitu pun dia sudah tidak sanggup. Dihumbannya
pandangannya ke arah lain bersama dada yang berombak-ombak sementara menunggu Azfahan
membuat penjelasan.
Azfahan yang masih menguap kelihatan
sedang mengurut-urut lehernya yang terasa sengal dan sedikit pedih. Dia masih
dalam keadaan mamai sebenarnya. Sehinggalah Sazzy mengoncang-goncangkan
lengannya, barulah matanya yang pejam itu terbuka perlahan-lahan. Sebagaimana
Sazzy, dia sendiri terkejut melihat tubuhnya yang berbalut dengan baju kurung
entah kepunyaan siapa itu.
Hanya setelah dia betul-betul berada
dalam keadaan sedar, barulah dia dapat refresh
apa yang berlaku sehingga menyebabkan dia berpakaian begini. Malangnya sudah
terlambat. Sazzy ternyata tidak mahu mendengar sebarang penjelasan daripada
terlebih dahulu.
“Sayang... Let me explain!”
“Tak payah! You’re just wasting your time. Mata I
dah explain semuanya pun. Selama ni I
percayakan you. Tapi sekarang, nampaknya dah terbukti cerita kontroversi pasal
hubungan songsang antara you dengan penyanyi yang baru nak naik tu! Ya Allah,
kenapalah selama ni I boleh percayakan you? Hidup-hidup I kena tipu dengan you.
Nampak aje macho, maskulin... tapi
rupa-rupanya, gay!”
Terus terbeliak mata Azfahan bila
dituduh begitu. Hilang terus rasa mengantuknya. Namun, belum sempat untuk dia
membela diri, Sazzy sudah pun melangkah dengan deras untuk keluar dari
kondominium itu.
Azfahan tak fikir yang dia sanggup
mengejar kekasihnya itu apatah lagi dengan keadaannya berbaju kurung begini.
Maka, dia mengambil keputusan untuk terus duduk di atas sofa itu bagi
menenangkan fikirannya yang sudah mula berserabut.
Dia tidak pasti apa yang sedang berada di dalam fikiran Sazzy. Boleh jadi
Sazzy beranggapan yang dia berbaju kurung begini kerana sedang berhadapan
dengan kecelaruan dan kekeliruan identiti dan juga jantina. Perkara ini juga
tidak mustahil memandangkan sebelum ini terdapat segelintir pihak yang
cemburukan hubungannya dengan Sazzy sehinggakan ada dalam kalangan mereka yang
sanggup mereka-reka cerita menuduh dirinya seorang pengamal homoseksual ataupun
lebih mudah disebut sebagai gay.
Dia masih ingat lagi kejadian yang
sempat mengaibkannya tidak lama dulu. Waktu itu, dunia hiburan sempat kecoh
seketika apabila gambarnya dengan seorang penyanyi lelaki kelahiran program
realiti TV yang berwajah comel dan jambu
tersebar di blog-blog hiburan Malaysia sebelum berjangkit pula ke akhbar-akhbar
tempatan. Entah siapalah punya kerja yang cuba mengaitkan dirinya dengan
penyanyi lelaki itu. Sedangkan cerita yang sebenar di sebalik gambar tersebut
adalah berlainan daripada apa yang dicerita dan diheboh-hebohkan.
Sebenarnya, waktu itu syarikatnya
mengadakan satu majlis ringkas meraikan kejayaan syarikat yang semakin maju ke
hadapan apabila berjaya meluaskan sayap ke tahap yang lebih tinggi. Beberapa
artis telah diundang bagi slot persembahan dan artis tersebut termasuklah
penyanyi lelaki yang telah dikaitkan dengannya itu. Dia pun bukannya minat
sangat pun dengan penyanyi tersebut. Cuma waktu itu kebetulan mereka duduk di
meja yang sama dan kebetulan juga mereka hanya duduk bersebelahan. Penyanyi itu
pula jenis mesra dan ramah orangnya. Mungkin dari situ mereka nampak seperti
mesra dan apabila ada yang mengambil kesempatan merakamkan gambar mereka, maka
dari situlah bermula episod yang memalukannya sebagai seorang usahawan muda.
Sazzy pun sempat terpengaruh dengan
kontroversi murahan begitu. Tapi dia tidak pernah terfikir untuk salahkan
Sazzy. Mungkin dia langsung tidak menunjukkan ciri-ciri sebagai seorang lelaki
gay. Daripada caranya berpakaian dan bersosial, tidak sepatutnya dia dituduh
dan diheret ke dalam golongan itu. Namun, bila dunia sudah hampir tiba ke
penghujungnya, lelaki yang pasang sampai empat isteri pun ada yang masih mahu
mengamalkan kehidupan songsang. Jadi, tidak hairanlah kalau dia yang bujang ini
pun dituduh juga. Apatah lagi dengan sikapnya yang memang dilihat jarang sekali
bergaul dengan mana-mana perempuan. Sedangkan hakikatnya, bukannya dia tidak
mahu bergaul, cuma dia memang tidak pandai berkawan. Jangan kata perempuan,
kawan lelaki pun seorang dua saja yang selesa berkawan dengannya!
BAJU
kurung yang kelihatan pelik tersarung pada tubuhnya ditanggalkan
cepat-cepat dan dicampakkannya jauh-jauh seolah-olah baju itu adalah spesis
ular yang paling berbisa di dalam dunia ini. Semalam dia tidak begitu meneliti
penampilannya sangat. Sekejap tadi barulah dia berasa benar-benar malu dan
terkejut sebaik dia berdiri di hadapan cermin jernih yang tingginya hampir
mencecah ke siling itu. Cermin yang dia belikan sebagai hadiah buat Sazzy.
Itupun kerana Sazzy yang meminta daripadanya. Dah nama pun supermodel, mestilah
rumah pun kena lengkap dengan cermin besar macam dalam kelas tarian tu. Kata
Sazzy, mudah untuk dia belek dan pastikan tubuhnya itu kekal langsing.
Azfahan yang masih berdiri di
hadapan cermin menggeletar tiba-tiba apabila dia teringat semula bagaimana
buruknya tubuhnya yang tegap itu bila berbaju kurung. Geli-geleman sampaikan
boleh naik terpacak bulu romanya. Seram sejuk dia dibuatnya. Kenapalah aku
boleh jadi bodoh sampai macam tu sekali? Sampai boleh memandai-mandai pergi
sarungkan jugak baju kurung tu. Dah gila agaknya aku ni sebab dah lama tak
keluar rumah. 24 jam asyik bergaul aje dengan perempuan gila tu, macam mana aku
tak gila sekali?
Sekali lagi ‘Sherry’ yang menjadi mangsa dan dipersalahkan. Padahal dia
yang ego! Dia yang pantang dicabar, sebab itulah dia langsung tak fikirkan
risikonya sewaktu dia sarungkan baju kurung bunga-bunga kecil itu malam tadi.
Lagi mahu salahkan ‘Sherry’? Tak guna betullah mamat sorang ni!
Dengan keadaan badannya yang tidak berbaju itu, selamba sahaja Azfahan
menonong keluar dari rumah kekasihnya itu. Takkan nak sarungkan baju Sazzy
pulak. Memandangkan sekarang dia berada
di rumah Sazzy, jadi dia terpaksa juga menayangkan tubuh sasanya secara percuma.
Tubuh yang kalau diikutkan hanya boleh dilihat di kaca televisyen sahaja
memandangkan tubuhnya boleh dikatakan lebih kurang sahaja bentuknya dengan
tubuh pelakon Chris Evans. Cuma, kulitnya tidaklah terlalu cerah. Namun,
dadanya tetap liar ditumbuhi bulu-bulu halus yang kemas terbajak di sekitar
bahagian dadanya. Seksi...
Cuma kali ini dia bukan sengaja mahu
mengadakan tayangan amal mahupun tayangan percuma jauh sekali tayangan yang
cuba merangsang nafsu mana-mana perempuan yang tentu sekali akan
tergila-gilakannya. Kali ini, dia benar-benar terpaksa. Iyalah, takkanlah dia
nak terus berbaju kurung kot. Matilah dia kalau ada jirannya yang pandang dia
dalam keadaan begitu. Daripada berbaju kurung, tentulah lebih bermaruah bila
dia memilih untuk menayangkan tubuhnya yang sederhana kurus tetapi berotot padu
dan sasa itu.
Seperti biasa, pintu rumah dibiar
terbuka dengan luas walaupun waktu sekarang ini masih terlalu pagi. Tak
kisahlah semua tu. Yang penting, dia tidak mahu mengundang bahan mulut daripada
orang sekeliling yang memang cukup suka menjatuhkannya. Sebab itulah dia harus
berjaga-jaga dan berwaspada. Dan yang lebih penting lagi, dia tidak mahu
dicekup dengan ‘Sherry’ apatah lagi apabila dipaksa berkahwin dengan perempuan
kolot itu. Tak, dia tak sanggup dan dia tak mahu! Walau syarikat emas berlian
Rafflesia menaja perkahwinannya sampai beratus-ratus juta sekalipun, dia tetap
tidak mahu. Walaupun sekiranya perkahwinannya itu nanti ditabalkan sebagai
perkahwinan yang paling mahal dalam sejarah orang kenamaan di Malaysia, dia
tetap tidak mahu kalau pengantin perempuannya adalah ‘Sherry’! Buat apa
perkahwinan sampai berjuta-juta kalau market
muka pengantin perempuan tak sampai berapa sen!
Ahhh...
Tiba-tiba dia berasa benci pada ‘Sherry’ walaupun dia hanya membayangkan sahaja
perkara itu. Dan menjadi semakin benci dan marah bila mengingatkan bagaimana ‘Sherry’
meninggalkannya tertidur di rumah Sazzy dengan berbaju kurung tanpa
mengejutkannya terlebih dahulu. Tak pasal-pasal Sazzy merajuk dengannya. Sudah
berkali-kali dia cuba menghubungi kekasihnya itu namun telefonnya dimatikan
sejurus selepas beberapa panggilan yang dia lakukan.
Apakah ‘Sherry’ memang sengaja mahu
mengenakannya?
Hurmmm...
Ada kemungkinan juga memandangkan sebelum ini dia memang cukup suka kenakan
aku. Ataupun dia tak sampai hati nak kejutkan aku bangun? Hurmmm.. Yang ni pun ada kemungkinannya juga. Walaupun dia sedar
yang selama ini ‘Sherry’ cukup suka mengenakannya, namun dalam sesetengah
perkara, dia perasan yang ‘Sherry’ juga sebenarnya adalah seorang manusia yang
cukup menjaga hati orang lain. Boleh dikatakan dia seorang yang agak penyayang dan mengambil berat walaupun dia
cuba menyembunyikan sifat semulajadinya itu.
Tapi dalam kes baju kurung malam
tadi, aku yakin yang budak kampung tu memang sengaja nak perangkap aku!
Entah-entah dia yang call Sazzy minta
Sazzy balik semula ke kondonya? Iyalah hairan juga. Sepatutnya selepas Sazzy
keluar malam tadi, seharusnya kekasihnya itu sudah pun berada di rumah kawannya.
Apatah lagi Sazzy yang dikenalinya memang tidur awal mengikut jam yang dia
sendiri tetapkan. Paling lewat Sazzy tidur pun dalam pukul 11 malam. Tapi
selalunya pukul 10 malam lagi Sazzy sudah masuk ke bilik tidur. Kata Sazzy,
seorang model sepertinya perlu cukup rehat dan tidur demi memastikan kesihatan
dan kecantikan diri luar dan dalamnya sentiasa terjaga dengan baik.
Nampaknya, bukti dah lebih daripada
cukup untuk mensabitkan budak kampung tu! Memang sahlah yang dia memang sengaja
nak perangkap aku! Memang sengaja nak porak-perandakan hidup aku!
Ya ALLAH... Apa kenalah dengan Azfahan
ni. Dia sendiri yang gatal-gatal pergi sarungkan baju kurung tu, sekarang dia
nak salahkan ‘Sherry’ pula? Sepatutnya awal-awal lagi dia patut ingatkan
dirinya sendiri, haram hukumnya lelaki yang cuba menyerupai perempuan walaupun
malam tadi dia memakainya bukan dengan niat nak menyerupai perempuan. Lebih
kepada rasa tercabar sebenarnya. Sebab itulah dia sarungkan juga baju kurung ‘Sherry’
itu ke tubuhnya. Tapi harus diingat, haram tetap haram dan niat tidak
menghalalkan cara. Tetapi lelaki seperti Azfahan ni, seorang yang betul-betul
menitikberatkan halal haram ke?
Sebagaimana keadaan rumah Sazzy
sewaktu dia tidur di atas sofa sebelum dikejutkan oleh kekasihnya itu, begitulah
juga keadaan rumahnya sendiri. Malah lebih cerah. Bukan saja lampu ruang tamu
saja yang terpasang. Lampu dapur, lampu balkoni, lampu bilik tidur, lampu
toilet bahkan chandelier mewah yang
sepatutnya hanya sesekali dipasang sewaktu upacara-upacara penting turut
dinyalakan. Siapa lagi kalau bukan kerja ‘Sherry’.
Susah betullah kalau datang dari
ceruk kampung ni! Lagi-lagi budak kampung yang terkena kejutan budaya macam
‘Sherry’ ni. Semua benda dia nak geledah. Macam orang gila dapat masuk istana!
Mentang-mentanglah dia tahu aku ni berkemampuan. Dasar perempuan kampung tak
sedar dek untung. Entah-entah dekat rumah kau kat ceruk kampung tu jangan kata chandelier, silap-silap lampu
kalimantang pun tak ada. Agaknya bergelap sepanjang masa, tak pun guna pelita
aje! kutuk Azfahan di dalam hati.
Dadanya berdebar-debar dengan rasa
tidak sabar. Ya, memang dia sudah tidak sabar-sabar lagi, mahu dijeritnya di
tepi telinga perempuan yang dibencinya itu. Biar hancur musnah mimpi indahnya!
Sangkanya ‘Sherry’ sekarang ini
sedang nyenyak tidur di atas katilnya yang mampu memuatkan sehingga tujuh orang
dewasa itu. Buruk sangka betul. Sampaikan sempat pula dia bayangkan bagaimana
lasaknya perempuan kolot seperti ‘Sherry’ tidur di atas tilamnya yang luas
seperti tidur di atas padang itu. Bezanya, padang yang luas tidak mampu
menandingi keselesaan apabila membaringkan sahaja tubuh di atas tilam yang
begitu empuk dan lembut bagai memecal-mecal, mengurut-urut belakang badan.
Bayangkan sahaja sudah terliur dibuatnya. Apatah lagi manusia kolot seperti ‘Sherry’.
Tentu Sherry sedang asyik merasai nikmat sebuah tilam yang diimport khas dari
luar negara itu. Agaknya, entah berapa gelen pula air liur basi ‘Sherry’ yang
tumpah ke atas tilamnya dek kerana terlalu teruja dan terlalu nikmat tidur dan
berbaring di atasnya.
“Puasnya tidur kat atas tilam ni
sampaikan I boleh mimpi I sedang berbaring kat atas badan Brad Pitt. Tak rasa
macam mimpi pulak tu. Rasa macam betul-betu. Rasa real sangat...” komen Sazzy sewaktu kekasihnya itu tidur di dalam
biliknya. Waktu itu dia ada urusan di luar negara. Sazzy yang dikenalinya
memang cukup suka membakar api cemburu. Mujurlah waktu itu dia tidak ambil
kisah sangat kerana baginya, pelakon kacak yang sudah agak lanjut usianya itu
bukanlah saingannya. Ternyata dia jauh lebih tampan dan segak daripada Brad
Pitt.
Mengenangkan pula yang katil
besarnya itu nanti bakal menjadi tempatnya menghangatkan unggun asmaranya
dengan Sazzy maka makin radanglah hati yang sudah sedia hangat itu. Malangnya
setelah pintu dibuka, ‘Sherry’ tiada di situ!
Ke mana pula budak tu pergi?
Azfahan terus menoleh. Dan dia
seperti tidak berpuas hati sebaik terpandangkan tubuh kecil ‘Sherry’ yang
terbaring elok dan muat-muat sahaja di atas sofa dua tempat duduk di ruang
tamunya. Kenapa dia tak tidur saja kat dalam bilik? Saja nak umpan simpati aku?
Atau nak tunjuk yang dia tak hairankan segala kemewahan yang ada kat dalam
rumah ni?
Tak habis-habis! Apalah yang mamat
ni tak puas hati sangat ni? Bukan ke tadi dia juga yang marah bila bayangkan ‘Sherry’
sedang nyenyak tidur di atas katilnya? Sekarang bila dia dapat tahu ‘Sherry’
hanya tidur di atas sofa, takkanlah dia nak marah juga? Mahu lihat ‘Sherry’
tidur kat atas lantai baru puas hati dia agaknya! Tiba-tiba saja nak berasa
bengang tak tentu pasal. Entah apa yang dia geramkan sangat agaknya. Ataupun
dia malu kerana hatinya yang busuk itu sebentar tadi telah melonggokkan
bermacam-macam tuduhan ke atas ‘Sherry’ dan sekarang tuduhan itu jelas tidak
berasas?
‘Sherry’ tidaklah seburuk itu.
Mungkin gadis itu seorang yang materialistik, tetapi tidaklah sehingga melebihi
daripada batas yang hanya akan membuatkan peribadinya kelihatan buruk. Yang
hanya akan memalukan nama baik keluarga dan juga agamanya. Sherry bukanlah
seburuk itu.
Ya, dia memang dilihat cukup teruja
dan kagum sewaktu melihat bagaimana mewah dan indahnya ruang kondominium
kepunyaan Azfahan ini. Dia juga pernah membayangkan betapa indah dan mewahnya
bilik tidur yang terdapat di dalam kondominium milik lelaki itu. Namun, dia tetap
sentiasa beringat dan berpesan pada dirinya sendiri supaya sentiasa menjaga
tingkah lakunya. Walaupun hati budak kampung ini melonjak-lonjak mahu melihat
bagaimana indah dan serba lengkapnya ruang kamar Azfahan, ditahannya keinginannya
itu. Sebab itulah dia hanya tidur di atas sofa sahaja. Langsung dia tidak
menjenguk mahupun mengintai mana-mana bilik tidur yang terdapat di dalam
kondominium mewah itu. Dia masih seorang perempuan yang tahu menjaga adab dan
tingkah laku. Itu jugalah pesanan ayahnya, berkali-kali sebelum dia bertandang
ke kota metropolitan ini.
Namun, Azfahan tetap berasa tidak
puas hati. ‘Sherry’ yang tidur dengan dada yang berombak lembut itu
dihampirinya dengan niat yang awal-awal sudah dipasang. Niatnya, dia ingin
memarahi gadis itu semahu-mahunya. Banyak point
yang boleh digunakannya untuk memarahi ‘Sherry’. Antaranya ialah sikap ‘Sherry’
yang membazir tak tentu hala dengan sengaja membiarkan rumahnya itu terpasang
dengan segala jenis lampu yang ada. Daripada chandelier sehinggalah ke perhiasan lampu yang diletakkan di atas
meja. Meriah betul! Dah macam I-City pulak aku tengok rumah aku ni! Akuarium
yang aku baru beli, yang belum lagi diisi dengan ikan-ikan pun habis
dipasangnya lampu akuarium tersebut. Takut gelap agaknya budak kampung ni.
Azfahan tersenyum tanpa dia sedar. Kepalanya tergeleng spontan. Tetapi
tidak lama selepas itu senyumannya mati. Ketika ini dia sedang tegak berdiri
beberapa langkah sahaja daripada sofa yang menampung tubuh kecil gadis yang
dibencinya itu. Dengan muka yang meluat dan bibir yang tercebik, dari bahagian
atas kepala sofa, dia memanjangkan sedikit lehernya untuk menjenguk wajah ‘Sherry’.
Sebelumnya, dia hanya dapat melihat separuh daripada badan ‘Sherry’ sahaja
memandangkan pemegang sofa yang direka secara meninggi itu sedikit membataskan
pandangannya.
Daripada rasa nak marah, hilang
sedikit debaran di dadanya. Digantikan pula dengan debaran yang dia sendiri
tidak cukup bijak untuk menafsirkan apakah yang sedang dirasakannya saat ini.
Tenang... Itu sahaja yang terdetik
di hatinya saat melihat wajah polos yang bersih itu sedang nyenyak tidur dengan
mata yang terpejam. Barangkali perasaan itu hadir tanpa disedarinya
memandangkan wajah bersih itu kelihatan begitu bersih dan riaknya tampak sopan
sekali. Langsung tidak terdengar sebarang dengkuran mahupun dengkuran halus
yang keluar dari bibirnya yang tertutup rapat itu. Tidak seperti sesetengah
orang yang tidur dengan mulut yang terbuka. Mungkin sebab itulah dengkuran
menjadi semakin kuat dan mungkin juga sebab itulah air liur basi boleh tumpah
sehingga melimpah-limpah.
Lain benar keadaannya dengan gadis
yang sedang enak beradu ini. Seperti sedang mengalami mimpi yang tersangatlah
indah, ataupun boleh dikatakan seperti sedang tidur dalam suasana bulan madu bersama
suami tercinta. Setakat ini, tak pernah lagi rasanya dia melihat sesiapa
sekalipun yang tidur dalam keadaan sebegini sopan. Senang sekali dia
memandangnya seperti memandang bayi yang sedang nyeyak tidur setelah disusukan.
Entah mengapa dia boleh merasakan
perasaan yang sebegitu. Mungkin juga kerana tudung yang masih tersarung kemas
sehingga langsung tidak menampakkan walau seurat rambut itu, secara tidak sedar
dan dalam diam, mungkin itulah sebenarnya yang telah membuatkan hatinya berasa begitu
tenang bila memandang wajah bersih mulus tanpa sebarang jerawat mahupun cela
itu.
Daripada wajah yang menenangkan itu,
mata Azfahan merayap pula ke bahagian yang lebih mencabar. Hinggap pula ke
tubuh ‘Sherry’ yang baginya tidak memiliki potongan yang menarik itu. Tapi
untuk pertama kalinya, dia berasa tertarik. Bukan kerana dia sudah berubah
fikiran dan menganggap badan ‘Sherry’ sudah berjaya memikat hatinya. Cuma
tersuntik rasa kagum sebaik terpandangkan sehelai kain batik yang tidak sebesar
mana tetapi seboleh-bolehnya digunakan juga untuk menutup tubuhnya walaupun
yang dapat ditutupnya hanyalah dari paras atas dada sehingga ke sekitar
pinggang. Mungkin ‘Sherry’ tidak berani masuk ke dalam bilik tidur untuk
meminjam dan menggunakan selimut tebal yang sememangnya tersedia di dalam setiap
bilik tidur di dalam kondominium Azfahan itu.
Sekali lagi Azfahan tersenyum tanpa
sedar mengenangkan hingga begitu sekali ‘Sherry’ menjaga maruah dan
peribadinya. Sempat lagi ‘Sherry’ menukar pakaiannya malam tadi kepada jubah
yang longgar dan tebal memandangkan dia tahu yang dia akan tidur di sebuah
rumah yang pemiliknya adalah seorang lelaki.
Memandangkan bahaya ada di
mana-mana, ‘Sherry’ seperti berjaga-jaga. Bukannya dia meletakkan rasa buruk
sangka pada Azfahan. Tidak perlu perlekehkan dia! ‘Sherry’ sedar, yang dia
langsung tidak kelihatan menarik di mata lelaki yang cukup sempurna fizikal dan
rupa paras pada pandangan matanya itu. ‘Sherry’ tahu, kalau dia berpakaian
seksi sekali pun, belum tentu Azfahan terliur melihatnya. Namun, dia tetap
wajib menjaga dan melindungi maruah dirinya. Manalah tahu kalau tidurnya
ditakdirkan terlajak sehingga ke lewat pagi dan kebetulan Azfahan masuk ke
dalam rumahnya ini, tentu keadaan begitu tidak manis memandangkan mereka
langsung tidak mempunyai sebarang pertalian.
Itulah yang difikirkan oleh Azfahan.
Wow! Untuk pertama kalinya dia berbaik sangka terhadap perempuan yang
seringkali menerima makian dan tuduhan daripadanya itu. Ingatkan dia akan fikir
yang ‘Sherry’ ni seorang perempuan yang perasan! Kononnya berselubung begitu, macamlah
ada orang yang nak sentuh dia! Tapi tidak, Azfahan kali ini sudah tidak seburuk
itu sangkaan dan tanggapannya.
Belum pernah lagi dia melihat
mana-mana manusia yang tidur dalam keadaan sesopan ini. Mungkin disebabkan
itulah ketika ini matanya memandang pelik. Namun, dalam pandangan pelik itu
sebenarnya sedang menceritakan satu perasaan yang cukup kagum terhadap Sherry.
Sejujurnya, belum pernah lagi dia menemui
perempuan sebegini. Lebih-lebih lagi dalam lingkungan kehidupan liar dan mewahnya
di Kuala Lumpur ini. Seorang perempuan yang masih bersungguh-sungguh menjaga
peribadinya. Seorang perempuan yang tidak mahu dilihat sebagai perempuan yang
cantik dan sempurna walaupun dia memiliki rupa paras yang boleh tahan juga
menariknya. Tetapi hatinya kuat mengatakan yang perempuan ini bukanlah seorang
yang obses ingin menayangkan kecantikannya walaupun dia adalah seorang
perempuan yang agak materialistik.
Azfahan tersenyum mengingatkan hal
yang satu itu. Walaupun dia tahu sifat buruk ‘Sherry’ itu dan walaupun dia
pernah mengutuk sikap gadis kampung yang materialistik itu, tetapi tidak lagi
untuk kali ini. Sebaliknya, dia bertambah kagum. Ya, dia kagum melihat
bagaimana seorang perempuan yang obses pada pakaian-pakaian cantik dan
pakaian-pakaian yang mahal-mahal, masih meletakkan batasan dalam dirinya. Masih
tidak membenarkan sifat obses dan materialistiknya itu memakan dirinya sendiri
dan memakan maruahnya sebagai seorang yang begitu menitikberatkan pegangannya
sebagai seorang muslimah. Bawalah ‘Sherry’ ke butik yang paling mahal
sekalipun, materialistik ‘Sherry’ sekalipun, ‘Sherry’ tidak akan terliur
melihat pakaian-pakaian yang tidak sesuai untuk dipakainya. Pakaian-pakaian
yang haram untuk ditayang sesuka hatinya.
Sifat materialistik ‘Sherry’ berbeza
sekali jika dibandingkan dengan sifat materialistik Sazzy kekasihnya. Sazzy
tidak pernah membataskan dirinya. Apa yang dirasakan cantik dan mahal, akan
dibelinya bahkan adakalanya walaupun satu-satu pakaian itu tidak sesuai
dengannya, Sazzy tetap akan membelinya hanya kerana harganya yang mahal dan
hanya kerana jenamanya yang terkemuka. Berbeza sekali dengan ‘Sherry’. ‘Sherry’
memang sukakan sesuatu yang bersifat cantik. Cantik di matanya, dia akan terus
mengambilnya tanpa meminta pandangan daripada orang lain kerana yang memakainya
adalah dia. Jadi, dia langsung tidak hiraukan apa orang nak kata!
Awal-awal lagi dia sudah dapat
menghidu sewaktu dia membawa ‘Sherry’ ke butik pereka fesyen kesayangan Dato’
Siti Nurhaliza, Rizman Ruzaini tempoh hari. Dia tahu, ‘Sherry’ sengaja mahu
mengenakannya. ‘Sherry’ sengaja menggunakan kesempatan itu untuk mengikisnya
semahu-mahunya. Habis diborongnya semua pakaian mahal-mahal yang terdapat di
situ sedangkan dia tahu, ‘Sherry’ ini walaupun seorang yang cukup suka bergaya,
namun citarasanya bukanlah pada pakaian yang terlalu sarat hiasan dan
melampau-lampau rekaannya. ‘Sherry’ masih boleh dikategorikan sebagai seorang
perempuan yang bergaya secara bersederhana. Tetapi tetap kelihatan manis dengan
penampilannya yang sopan begitu berbanding gaya dan imej Sazzy. Adakalanya dia
sendiri sudah muak melihat penampilan yang berubah saban hari seolah-olah ingin
menyatakan bahawa dirinya itu adalah seorang yang tidak berpendirian dan masih
kabur tentang apa yang dimahukannya terhadap dirinya sendiri. Dia lebih senang
melihat perempuan yang tidak menggunakan sebarang solekan untuk mencantikkan
wajahnya. Seperti ‘Sherry’ yang hanya menggunakan senyuman dan ketenangan yang
ada di dalam dirinya bagi menyerikan wajahnya yang tidaklah cantik, tetapi
tetap menarik untuk dipandang itu.
Terserlah senyuman nipis di bibir
Azfahan namun tidak lama kemudian dia tersentak bagai disergah seseorang yang
menyergah tanpa amaran. Seperti baru tersedar daripada satu khayalan yang
sangat panjang dan melekakan. Matanya dipejam berkali-kali dan dia mengulangi
perbuatan yang sama untuk beberapa kali lagi. Tujuannya ingin menyedarkan
dirinya sendiri. Dahinya terasa berpeluh-peluh. Lalu, dia terus meraup mukanya
seperti kesalkan sesuatu. Matanya dipejam serapat-rapatnya.
Kenapa dengan aku ni? Kenapa baru
sekarang pulak aku boleh terfikir untuk bandingkan perempuan kolot ni dengan seorang
supermodel yang digila-gilakan oleh semua lelaki tu?
Supermodel yang pernah kecoh kerana telah menyebabkan seorang lelaki yang
pernah bertindak ingin membunuh dirinya hanya kerana supermodel itu sekadar
menganggap lelaki tersebut tidak lebih daripada sekadar peminatnya sahaja.
Begitulah hebatnya penangan supermodel merangkap kekasih hatinya itu!
Kalau nak dibuat perbandingan
sekalipun, kenapa tidak dibandingkan sahaja Sazzy kekasihnya itu dengan
mana-mana ratu cantik dunia? Dan kenapa pula ‘Sherry’ mesti dibandingkan dengan
Sazzy? Layakkah ‘Sherry’ menyaingi Sazzy? Kalau dulu untuk membandingkan Seri
Embun dengan makcik bertubuh gempal dengan tuala jenama Good Morning di atas
bahunya merangkap tea lady di
syarikatnya itu pun dia bagaikan tidak sanggup kerana baginya makcik yang
pandai bergaya dan tetap mahu mengenakan bedak pada mukanya yang bersopak itu,
yang sesekali masih teringin berbaju kebaya itu jauh lebih baik jika hendak
dibandingkan dengan Seri Embun yang dikenalinya awal-awal dulu. Seorang
perempuan yang baginya terlalu selekeh!
Tapi sekarang kenapa segala
anggapannya perlu berubah dengan begitu drastik sekali?
Azfahan langsung tiada jawapan untuk
soalan itu. Gelisah dia memikirkannya. Dan semakin gelisah dia dibuatnya
apabila dia perasan yang beberapa bahagian anggota tubuh ‘Sherry’ sudah
bergerak sedikit sebaik sahaja azan Subuh dilaungkan. Muka ‘Sherry’ juga sudah
berkerut-kerut seolah-olah lenanya terganggu.
Kelam-kabut jadinya Azfahan melihat
keadaan itu. Dia tahu, masa sudah terlalu suntuk untuk dia melesapkan dirinya
ke dalam bilik tidurnya. Apatah lagi dengan keadaan kondonya yang begitu luas
itu. Jarak ruang tamu dengan bilik tidur boleh dikatakan jauh kalau dia berlari
sekalipun. Tentu dia memerlukan masa juga untuk mengelakknya dirinya dikesan di
pandangan ‘Sherry’. Tak pasal-pasal pula habis pecah perhiasan kaca dan kristal
yang mahal-mahal terdapat di dalam kondonya itu.
Lantas, tanpa pilihan yang dia ada,
Azfahan terus merebahkan kedua belah lututnya ke atas lantai dan merangkak
perlahan-lahan ke belakang sofa. Di belakang sofa yang tinggi tempat
bersandarnya itu, dia bersembunyi bersama nafas yang sudah tidak teratur namun
sehabis baik dia cuba mengawalnya. Dia tidak boleh hanya sekadar membongkokkan
tubuhnya memandangkan ketinggian yang lampai. Jadi, terpaksalah dia meniarap
lagak gaya seorang tentera di medan perang. Ketika ini, dia meletakkan dirinya
seperti sedang berurusan dengan projek yang melibatkan keuntungan sehingga
berjuta-juta. Kerana sekarang ini dia sedang berurusan dengan soal maruahnya
sendiri. Malulah dia kalau ‘Sherry’ menyangka yang dia cuba mengambil kesempatan
dengan sengaja membelek-belek tubuh gadis itu.
Langsung tidak kedengaran derap
tapak kaki ‘Sherry’ yang melangkah. Hanya kedengaran bunyi pintu bilik air yang
dibuka, kemudian ditutup dan akhir sekali dikunci dari dalam. Selepas itu,
kedengaran pula air yang melimpah walaupun tidak terlalu kuat hentakannya.
Daripada bunyinya saja Azfahan tahu yang ‘Sherry’ bukannya mandi. Tentu sekali ‘Sherry’
sedang berwudu’ ketika ini.
Terasa seperti dilibas-libas hatinya
mengenangkan apa yang sedang dilakukan oleh gadis yang sering dicemuhnya di
dalam hati itu. Dalam tidurnya yang begitu nyenyak dan selesa, mudah sahaja ‘Sherry’
terjaga dari lenanya. Hanya perlu dikejutkan dengan suara azan.
Berbanding dengan dirinya yang hanya
terjaga setelah dia menggunakan iPhonenya untuk mengejutnya bangun Subuh. Bukan
kerana kecanggihan iPhone tersebut yang menyebabkan dia mudah terjaga seawal 6
pagi. Puncanya adalah ringtone alarmnya
yang telah disetkan dengan lenggok suara manja Sazzy pengarang jantung hatinya.
Setiap kali alarmnya diset untuk
mengejutkannya setiap jam 6 pagi, setiap kali itulah akan kedengaran suara
gedik Sazzy yang direkodkannya untuk dijadikan alarm atau reminder yang
akan mengingatkannya tentang apa saja.
Dan setiap kali itulah kedengaran suara Sazzy merengus-rengus
mengejutkannya dengan lenggok suara seksinya yang penuh berahi.
“Sayang, dah pagi ni. Bangunlah sayang... Tapi kalau you masih rasa susah
nak bangun jugak, apa kata you cuba bayangkan I tidur kat sebelah you. Okay
sekarang, tenangkan fikiran you dan bayangkan pula you tengah peluk badan I ketat-ketat
sehingga badan you terasa panas dan hangat.”
Itulah ‘nasihat’ yang Sazzy sendiri rekodkan menggunakan iPhone
kepunyaannya.
Azfahan tersenyum sumbing. Dia masih ingat lagi. Ketika itu dia mengadu
masalahnya pada Sazzy berkenaan dirinya yang cukup susah untuk bangun seawal
pagi. Alasannya, dia memang mengalami masalah susah nak bangun tidur apatah
lagi bila sudah berada dalam keadaan dan suasana yang sejuk dan selesa.
Dengan manja, Sazzy terus merampas
iPhone di tangannya. Ketika itu mereka sedang makan petang di sebuah hotel. Dan
ketika itu juga Sazzy dengan gaya seksi dan manja yang dibuat-buatnya terus
merakamnya suaranya menggunakan iPhone tersebut.
“Nah, I yakin lepas ni you takkan face
dengan masalah lambat bangun pagi lagi. Bila badan you berpeluh-peluh sebaik
saja you bayangkan diri you tengah peluk body
I yang hot ni, mesti you akan
terjaga dan bangun untuk mandi. Eh, maksud I bukan mandi wajib. Tapi mandi
macam biasa untuk bersihkan peluh you tu aje.” Dalam meyakinkan, sempat lagi
Sazzy bergurau begitu. Sempat juga dikenyitkan matanya sekali.
Tapi memang betullah jaminan Sazzy. Sejak itu, dia sudah tidak berhadapan
dengan masalah bangun lewat lagi. Lenggok suara Sazzy yang manja dan seksi itu
benar-benar menggodanya walaupun sehingga kini, rakaman suara Sazzy yang sama
itu sudah mencecah beratus kali digunakan untuk mengejutnya bangun pagi.
Sebelum azan Subuh kedengaran, dia sudah termimpi-mimpi bagaimana hangatnya
tubuhnya setelah memeluk tubuh Sazzy. Dia yang susah bangun pagi atas alasan
sejuk dan dingin, lewat kebelakangan ini cukup mudah pula untuk bangun pagi
kerana membayangkan sahaja tubuh Sazzy yang gebu dan seksi itu, dia sudah pun
berasa hangat sehingga meronta-ronta di dalam hati.
Kesal bila diingatkan betapa jahilnya dia jika hendak dibandingkan dengan ‘Sherry’
yang begitu mudah sekali terjaga daripada tidurnya. Hanya dengan suara azan
yang dilaungkan, dia dapat lihat wajah ‘Sherry’ seperti asyik dan begitu rindu
sekali ingin mendengarkan laungan suci itu walaupun ketika itu gadis itu masih
dalam situasi separa sedar. Berbeza pula dengan dirinya yang memerlukan suara
Sazzy yang manja dan mengada-ngada itu, yang bisa mengocakkan nafsu serakahnya
dengan ‘puisi-puisi’ yang berbaur sedikit lucah semata-mata untuk mengejutkannya
bangun bagi mendirikan solat Subuh.
Astaghfirullah...
P/S: Sebarang kritikan mahupun carutan sama ada positif mahupun negatif teramatlah dialu-alukan. Penulis sangat memerlukan komen daripada pembaca sekalian dan akan menerimanya dengan berlapang dada.