Thursday, 6 December 2012

Isteri Paling Kelakar (BAB 13)


            BEBERAPA jam kemudian, Afka pulang semata-mata untuk menjenguk sekejap anaknya yang tidak sihat. Tentu sekali dia menyuruh Doktor Azhar untuk menggantikan shiftnya barang sejam dua.
            Melangkah masuk ke dalam vila, dia tidak terus naik ke atas bilik anaknya Fyra sebaliknya dia menonong masuk ke dapur mencari kalau-kalau Seri Embun ada di situ. Tersungging senyuman di bibirnya sewaktu dia melihat Seri Embun yang sedang mengelamun. Agaknya, dah berapa lama tangannya berpusing-pusing mengacau jus di dalam gelas itu ya?
            Makin lebar senyuman Afka kerana dia yakin, Seri Embun telah tewas di dalam pertaruhan mereka berdua. Tapi, kasihan pula dia melihat gadis itu dalam keadaan begitu. Tentu Seri Embun sedang susah hati memikirkan dirinya yang akan dipaksa berbaju kurung.
            “Hurmmm... Tak sabarnya abang nak tengok Embun pakai baju kurung yang abang belikan tu.”
            Mendengarkan suara garau itu, Seri Embun tersentak daripada menungannya sebelum dia berpaling dengan perasaan yang masih terkejut.
            Astaghfirullahalazim... Dah tak pandai nak bagi salam ke mamat ni? Orang Islam kena lah bagi salam! Tolak 5 markah!
            “Berdoalah supaya nanti abang tak tergelak besar bila tengok samseng macam Embun ni berbaju kurung.”
            Afka yang begitu teruja masih galak mengusik. Sememangnya dia sudah tidak sabar lagi untuk melihat Seri Embun dalam persalinan baju kurung. Dia yakin, gadis itu tentu akan kelihatan anggun dan menawan sekali seperti arwah isterinya yang memang cukup suka mengenakan baju kurung. Barangkali kerinduan terhadap arwah isterinya itu lah yang mendesaknya untuk mengubah penampilan Seri Embun. Sebenarnya, sudah lama dia perasan wujudnya bayangan arwah isterinya di dalam diri Seri Embun. Jadi, mungkin disebabkan itu hatinya memasang impian untuk melihat Seri Embun berpenampilan sebagaimana arwah isterinya.
            “Urmmm.. Embun siap-siaplah dulu. Abang nak naik atas, nak pujuk si kecil tu suruh dia makan ubat. Lepas tu, kita akan sama-sama beli baju kurung baru untuk Embun. Abang dah belikan satu. Tapi takkanlah Embun nak pakai baju kurung yang sama pulak tiap-tiap hari pergi kerja kan?”
            Dengan senyuman yang masih belum menguncup, Afka mengundur diri untuk naik ke tingkat atas. Baru beberapa anak tangga, langkahnya terhenti sebaik terdengarkan suara comel anaknya menyanyi-nyanyi riang. Dia yang seperti tidak percaya laju saja mengangkat kepalanya untuk memandang ke atas. Terus dia terpandangkan wajah comel Fyra yang sedang menyanyi lagu tema kartun Doraemon dengan wajah yang cukup ceria dan berseri-seri sekali. Wajah yang sudah tidak pucat sebagaimana sebelum dia meninggalkannya anaknya itu pagi tadi. Fyra dah sihat ke? Takkanlah cepat sangat?
            “Daddy...!!! Rindunya Fyra dekat daddy!” Fyra yang baru terpandangkan ayahnya yang berdiri di tangga paling bawah sekali terus menjerit. Berlari-lari dia menuruni anak tangga untuk memeluk tubuh ayahnya.
            Afka yang masih terkejut dan tidak percaya tetap menyambut tubuh anaknya itu sebelum didukungnya.
            “Fyra dah sihat ke ni?” Ragu-ragu dia bertanya pada anaknya.
            Fyra yang sudah berbaring di dada ayahnya hanya mengangguk-angguk.
            “Macam mana Fyra boleh sihat?” Soalan yang kedua ni memang kedengaran kurang cerdik sedikit.
            “Fyra makan ubat lah daddy. Kan daddy pesan banyak kali kat Fyra. Kalau nak sihat kena makan ubat.”
            Afka masih dan tetap tak percaya. Mana tak nya, sebelum ini setiap kali Fyra demam, Fyra akan merajuk dengannya sampai berhari-hari gara-gara dia memaksa anak kecilnya itu menelan ubat yang dibawa dari kliniknya. Tapi sekarang? Itu yang dia pelik sangat tu!
            “Fyra telan ubat tu sendiri?” soalnya, masih curiga.
            Fyra menggeleng.
            “Habis tu?”
            Takkanlah Seri Embun berjaya pujuk budak kecik ni kot? Muka dia masam semacam aje aku tengok tadi. Tu tak lain tak bukan mesti dia tengah fikirkan cara nak mengelak daripada kena paksa pakai baju kurung. Itu maknanya, Seri Embun memang dah gagal dalam usaha memujuk Fyra untuk makan ubat. Tapi, kalau bukan Seri Embun, siapa pula?
            “Orang yang tengah berdiri dekat belakang daddy sekarang ni. Dia lah yang berjaya pujuk Fyra untuk telan ubat-ubat tu semua.” Sempat pula Fyra yang masih berada dalam dukungan ayahnya itu mengenyitkan matanya ke arah Seri Embun.
            Afka mengerutkan dahinya. Kemudian, dia memusingkan tubuhnya perlahan-lahan. Dia nampak Seri Embun sedang mengejeknya dengan senyuman yang meraikan kemenangannya dalam pertaruhan mereka berdua.
            Gosh!!! Dia dah main-mainkan aku! Mati-mati aku ingat dia mengelamun tadi sebab takut kena paksa pakai baju kurung. Tadi tu dia berlakon aje rupa-rupanya...
            Afka yang termalu sendiri cuba berlagak tenang. Kemudian, barulah dia melangkah menghampiri Seri Embun yang masih dengan senyuman mengejek di bibirnya.
            “Kali ni Embun menang. Tapi, untuk hari nikah kita nanti, jangan haraplah Embun akan terlepas. Waktu tu abang akan tempah tiga pasang baju kurung sekaligus untuk Embun pakai. Sampailah abang sendiri yang akan tanggalkan baju kurung tu bila tiba malam pertama kita nanti!”
            Seperti mencabar, Afka menjongket-jongketkan keningnya, siap dengan senyuman penuh makna sebelum dia berlalu meninggalkan Seri Embun yang sudah merah padam pipinya. Walaupun dia anggap kata-kata itu tidak lebih daripada sekadar gurauan, dia tetap berasa malu!
            ‘Tak habis-habis nak usik aku. Nanti kalau aku tuntut betul-betul janji kau tu, baru padan dengan muka kau sebab kena kahwin dengan perempuan tak ada class macam aku ni!’
            “Eh Doktor Afka tunggu kejap!”
            Afka berhenti. Menoleh.
            “Jangan buat-buat lupa pulak janji abang tadi nak hadiahkan Embun seluar jeans. Kalau boleh Embun nak seluar jeans yang koyak-koyak dekat bahagian lutut. Barulah rock!”
            Afka mengeluh. Menyesal dengan pertaruhan yang dibuatnya. Ingatkan dapatlah dia ubah Seri Embun perlahan-lahan. Tapi macam makin teruk aje jadinya.







            “HAI... Lain macam aje aku tengok senyuman kau tu. Ingat sikit, Af. Awak tu handsome, takut nanti pesakit-pesakit perempuan yang datang nanti tak senang duduk pulak,” seloroh Doktor Azhar.
            Afka hanya menyambutnya dengan gelengan, dengan bibir yang masih membentuk satu senyuman yang cukup sempurna sifatnya. Jarang sekali untuk melihat lelaki yang sentiasa kelihatan tenang seperti tiada perasaan ini tersenyum. Kalau senyum pun, biasanya senyuman Afka kelihatan cukup tawar sekali. Senyum lelaki macho katanya... Lelaki macho tak boleh senyum lebih-lebih. Kalau kerap senyum sangat, nanti lama-lama dah tak eksklusif!
            “Selalunya petang-petang macam ni, aku tengok muka kau tu stressed memanjang sampaikan pesakit nak masuk pun takut. Lain pulak dengan hari ni...” Doktor Azhar mengetuk-ngetuk hujung jarinya di atas meja.
             “Would you mind sharing?” Kemudian, dia yang duduk bertentangan dengan Afka menjongket-jongketkan keningnya. Melihat wajah Afka yang berseri-seri itu, dia jadi teruja ingin mengetahuinya.
            “Sibuklah kau ni. Tak ada apa-apa yang menarik pun lah. It just... aku rasa kagum dengan Seri Embun. That’s all.” Dengan kedua belah tangannya diangkat dan diletak ke belakang kepala, dia menyandarkan belakangnya pada kerusi biru beroda lima yang menampung tubuhnya. Wajah Doktor Azhar langsung tidak dipandang. Entah apalah yang dia fikirkan lagi dengan bibirnya yang masih tersenyum itu.
            “Kagum? Kali ni sebab apa? Sebab kepakaran dia buat air jus untuk kau ke? Kalau sebab tu, aku dah lama pun tahu! Macam kau cakap kat aku dulu, kalau Seri Embun tu blend cili dan jadikan cili tu air jus pun, kau akan teguk sampai licin kan?”
            Afka menggeleng lewat sindiran pedas sahabat baiknya itu walaupun ketika ini Doktor Adzhar sedang mentertawakannya. Tapi lelaki bernama Afka ini susah betul nak tengok dia ketawa! Paling-paling pun, dia akan senyum saja.
            “Kali ni pasal lainlah, Ad.”
            “Pasal apa pulak? Aku tak tahu pulak Seri Embun tu banyak kelebihannya kat mata kau.” Kata-kata itu kedengaran sinis di telinga Afka. Dia tahu, sahabatnya itu sengaja ingin menduga perasaannya.
            “Tak ada apa. Kau sendiri tahu kan yang anak aku tu bukan main susah nak makan ubat?”
            “Mestilah aku tahu. Aku takkan lupalah yang klinik kita ni dah macam nak roboh waktu anak kau tu menjerit-jerit macam kena santau dulu. Telinga aku ni pun sampai sekarang bergaung-gaung lagi tau, Af. Huru-hara klinik kita ni dibuatnya sampaikan hampir-hampir je nak masuk berita. Pesakit yang nak dapatkan rawatan dekat klinik kita pun kelam-kabut larikan diri. Padahal puncanya, anak kau tu cuma tak nak pergi klinik sebab takut nak makan ubat.”
            Doktor Adzhar tergeleng-geleng mengenangkan kejadian yang mencemaskan itu. Seram pula bila diingat semula. Nak tergelak pun ada.
            “Tapi, apa kaitannya dengan Seri Embun?” Barulah dia teringat untuk bertanya.
            “Seri Embun berjaya pujuk anak aku makan ubat.”
            Kenyataan yang dilontarkan secara bersahaja itu sudah cukup untuk membuatkan Doktor Azhar terkejut mendengarnya. Berkali-kali dia menggelengkan kepalanya, tidak percaya.
            “Kau pasti ke, Af?”
            Afka tersenyum nipis melihat reaksi sahabat karibnya itu.
            “Aku pasti lah Ad. Anak aku tu mana reti nak menipu. Budak-budak lagi kan. Lagipun tadi aku tengok muka dia dah tak lesu dah. Dah boleh bangun dah pun. Badan dia pun dah tak panas sangat dah.”
            Kali ini, mata bulat Doktor Adzhar hampir nak tersembul. Bukan Afka seorang saja yang kagum. Dalam diam, dia sendiri turut berasa kagum terhadap Seri Embun. Menurut cerita yang disampaikan oleh Seri Embun pada Afka, Fyra langsung tidak mengamuk bila disuruh makan ubat. Itu yang dia pelik sangat tu. Dia cukup kenal anak sahabatnya itu. Fyra akan bertukar menjadi manusia tidak normal setiap kali disuruh makan ubat! Macam terkena histeria pun ada!
            “Nampaknya, Seri Embun lah perempuan yang dicari-cari.” Meleret-leret senyuman nakal pada bibir Doktor Adzhar.
            Afka pula mengerutkan dahinya, seperti meminta penjelasan.
            “Alah, buat-buat tak tahu pulak! Maksud aku Seri Embun tulah perempuan yang paling sesuai untuk gantikan tempat arwah isteri kau.”
            Mendengarkannya, terus terlepas keluhan dari kerongkong duda anak satu itu.
            “Semua tu belum cukup kuat lagi Ad untuk buktikan kalau dia calon yang terbaik untuk aku dan untuk anak aku sekali.”
            “Tak cukup baik ke Seri Embun tu? Apa lagi yang kau nakkan, Af? Kau sendiri tak pernah berjaya pujuk anak kau Fyra setiap kali anak kau tu demam dan kena makan ubat. Tapi Seri Embun... Tak sampai beberapa minit dia dah berjaya pujuk budak tu. Semua tu masih tak cukup baik ke pada mata kau?” Doktor Adzhar seperti naik angin dengan kenyataan sahabatnya itu tadi. Kenyataannya, dia sudah tidak sanggup melihat Afka terus bersedih dan meratapi pemergian arwah isterinya yang telah pun lama meninggalkannya. Nalurinya kuat mengatakan, Seri Embun adalah gadis yang terbaik untuk sahabatnya ini. Kalau dia di tempat Afka, sudah lama Seri Embun dipikatnya. Dalam kurangnya gadis itu, dia sendiri dapat rasakan betapa kayanya Seri Embun dengan kelebihan dan keistimewaan yang dimilikinya.
            Afka terjeda untuk tempoh yang agak lama. Pandangannya kosong seperti mengelamun memikirkan sesuatu.
            “Ad... Kau tahu kan, aku kalau boleh, aku tak nak fikirkan tentang hati dan perasaan aku. Aku tak nak jadi seorang ayah yang pentingkan diri aku sendiri. Kalau ikutkan hati dan nafsu aku ni Ad, aku boleh pilih mana-mana saja perempuan yang aku suka. Tapi soalnya, aku tak nak pandang luaran semata-mata. Hati dan perasaan aku semua tu dah tak penting dah bagi aku. Yang penting sekarang, perasaan anak aku, Ad. Aku mahukan kehidupan dan masa depan yang terbaik buat Fyra. Sebab itulah kalau boleh aku mahukan perempuan yang sayang dan anggap anak aku tu macam anak dia sendiri. Tapi, setakat ni, aku masih tak nampak kasih sayang Seri Embun pada anak aku. Ya, aku setuju dengan apa yang kau cakapkan tadi. Aku sendiri tahu Seri Embun tu dah cukup baik untuk aku. Tapi Ad... Dia masih belum sempurna untuk anak aku dan untuk jadi ibu kepada anak aku!” tegas Afka dengan begitu bersungguh-sungguh sekali. Doktor Adzhar terkaku mendengarnya. Namun, lama kemudian dia akur. Lantas, diangguk-anggukkan kepalanya.
            “Lagipun aku tengok budak Embun tu macam tak suka layan karenah budak-budak aje,” sambung Afka lagi.
            “Mungkin kau masih belum nampak lagi. Lagipun, masih terlalu awal, Af. Kau berilah dia peluang. Aku yakin, suatu hari nanti Seri Embun akan buktikan juga pada kau, dan pada Fyra yang dia mampu gantikan tempat arwah isteri kau.”           
            “Tengoklah... Kalau dia lepas ujibakat untuk jadi isteri aku, maka aku akan luluskan proposal dia.” Afka menjongket-jongketkan keningnya sambil senyum-senyum bangga.
            “Eleh... Macamlah kau tu hebat sangat.”
            “Eh, ni Afka okay. Kalau tak, tak ada lah arwah isteri aku yang pernah dapat surat cinta berkarung-karung daripada peminat-peminat dia tu, tetap nak mengorat aku jugak!”
            Terdiam Doktor Adzhar dibuatnya. Dia tahu, dalam soal itu dia takkan menang. Dia memang akui betapa hebatnya lelaki di hadapannya ini dalam ‘pertandingan’ memenangi hati mereka yang bergelar P.E.R.E.M.P.U.A.N.    
           

P/S: Sebarang kritikan sama ada positif mahupun negatif teramatlah dialu-alukan. Penulis sangat memerlukan komen daripada pembaca sekalian. Terima Kasih. =)
           

2 comments:

  1. hahaha ... tak boleh blah dengan Afka . perah santan siot !

    ReplyDelete
  2. bab nie nmpx pendek sket laa..
    -nur athira-

    ReplyDelete