JIKA tempoh hari itu Afka beri cuti pada tiga orang pembantu
rumah di dalam vila tersebut, hari ini pula dia dengan baik hati lagi pemurah
sifatnya telah berikan cuti pada pemandu peribadi keluarganya pula.
Entah apalah angin mamat sorang ni? Bukan main dermawan lagi dia.
Rasanya bulan puasa lambat lagi. Tapi kenapa sejak kebelakangan ni, dia baik
sangat? Kerap sangat aku tengok dia buat amal jariah.
Sejuk hati aku tengok dia. Pemurah
sungguh majikan aku sorang ni. Tapi,
aku jugak lah yang terpaksa jadi mangsa. Hari ni, aku yang kena hantar Fyra ke
sekolah. Mamat tu awal-awal lagi sudah ke pejabat. Aku call handphone dia langsung tak berangkat. Nampaknya, memang aku
lah yang kena hantar budak Fyra ni ya?
Alah... Bukan susah pun. Cuma...
Rindu pula rasanya sebab hari ni pun nampaknya aku tak boleh nak ke butik macam
biasa.
Tapi, aku nak hantar budak manja ni
naik apa ya? Yang ada pun cuma basikal. Kalau ada motor, senang sikit kerja
aku!
Tapi kan... Basikal ni macam baru
beli aje aku tengok. Dengan dahi yang berkerut-kerut, Seri Embun merapati
basikal berwarna maroon yang terdapat sebiji bakul kecil di hadapannya. Rasa
nak tergelak bila dia ingat semula bagaimana dia bertelagah dengan ayahnya
kerana waktu itu, dia sungguh-sungguh mahu menanggalkan bakul pada basikalnya.
Peristiwa itu berlaku beberapa tahun selepas arwah ibunya meninggal dunia.
“Yang kamu sibuk nak tanggalkan
bakul tu buat apa? Bakul tu bukannya kacau kamu pun. Biarlah bakul tu duduk
situ diam-diam!”
“Alah... Embun gelilah dengan bakul
ni, abah. Kalau Embun naik basikal ni, nampak macam perempuan gedik pulak. Macam bajet ayu aje bawak basikal yang ada bakul macam ni”
“Apa pulak yang bajet-bajetnya Embun?”
“Alah, abah takkan faham.”
Seri Embun tersenyum mengingatkan
peristiwa itu. Sesekali, dia mengeluh.
Sejak arwah ibunya meninggal dunia,
dia memang telah banyak berubah. Termasuklah perubahan yang membawa kepada
penampilan dirinya seperti sekarang ini. Hanya dia seorang saja yang tahu
mengapa dia berubah mendadak sehingga begitu sekali.
Sejak arwah ibunya meninggal, dia
mula pandai bergaul dengan budak-budak lelaki nakal di kampungnya dan sejak
itu, sifat lembut dan sopan yang menjadi keistimewaannya hilang perlahan-lahan
tanpa dia sendiri menyedarinya. Perangainya juga sudah banyak berubah. Kalau
dulu dia begitu sukakan kanak-kanak, tapi selepas arwah ibunya meninggal, dia
sudah jarang bergaul dan melayan karenah kanak-kanak. Kerja-kerja orang perempuan seperti menjahit dan memasak
pun dia sudah jarang buat walaupun dia cukup pakar dalam dua perkara itu. Pun
begitu, dia masih rajin membantu ayahnya melakukan kerja-kerja rumah. Bahkan
sejak arwah ibunya meninggal, dia juga sudah pandai bertukang. Pak Berahim
hanya mampu menggeleng mengenangkan sikap pelik anaknya itu. Namun, lelaki
separuh abad itu langsung tidak marah. Baginya, biarlah anaknya itu berubah
sikapnya asalkan tidak pegangannya. Dia cukup lega kerana sejak arwah isterinya
meninggal dunia, Embun semakin dekat dengan penciptanya. Mungkin Embun telah
berubah laku dan juga penampilannya tetapi anaknya itu tidak pernah
menanggalkan tudung yang menutup auratnya. Itulah yang membuatkan Pak Berahim
bangga dengan anaknya yang seorang itu.
“Kak Embun, Pakcik Akid mana?”
Seri Embun menoleh. Dah bersiap
rupanya budak kecik ni.
“Cuti.” Langsung tiada senyuman di
bibirnya. Dari dulu lagi, seperti susah saja untuk dia nak bermesra dengan
Fyra. Kalau ada pun, mungkin waktu itu dia cuma bersimpati sahaja dengan anak
kecil itu.
“Habis tu, siapa nak hantar Fyra ke
sekolah ni?” Suara si kecil naik satu oktaf.
Seri Embun yang malas hendak melayan
pertanyaan itu sekadar menjongketkan bahunya. Kemudian, bibirnya dijuihkan ke
arah basikal maroon tadi.
“Kak Embun hantar Fyra naik basikal
ke?” Naik lagi satu oktaf!
Fyra nampaknya terperanjat. Mana tak
nya, belum pernah lagi dia dihantar ke sekolah dengan basikal. Setiap hari dia
akan ke sekolah dengan menaiki kereta yang dipandu oleh Pakcik Akid. Kalau
Pakcik Akid cuti sekalipun, ayahnya sanggup lewat ke klinik semata-mata mahu
menghantarnya ke sekolah. Ayahnya sendiri yang katakan padanya yang ayahnya itu
tidak akan sesekali biarkan dia bersusah-payah.
“Itu aje pilihan yang kita ada.
Kalau nak naik sampan pun boleh. Nanti Kak Embun lipatkan surat khabar
banyak-banyak untuk jadikan sampan kertas ya!”
Sindiran itu disambut oleh Fyra
dengan ketawa yang agak kuat. Seri Embun buat-buat tak dengar saja. Malas nak
layan. Nama pun budak-budak. Sikit-sikit nak gelak. Walaupun dia tidak dapat
menolak betapa rindunya hatinya ingin bergurau-senda dengan kanak-kanak, dia
terpaksa lupakan semua itu. Bukan kerana dia bencikan kanak-kanak, tapi ada
sesuatu yang telah menghalangnya, yang buatkan dia jadi benci pada golongan
kanak-kanak yang dia anggap sebagai menyusahkan.
Mak aku mati pun sebab budak-budak
jugak. Budak-budak memang suka menyusahkan orang!
NAK
nak tak, terpaksa juga Fyra meletakkan punggungnya di tempat duduk belakang
basikal yang sedang dikayuh laju oleh Seri Embun. Seram-sejuk Fyra yang duduk
di belakang sampaikan si kecil itu langsung tidak berani untuk membuka matanya.
Sesekali, dia terjerit ketakutan sewaktu Seri Embun brek secara mendadak.
Seri Embun ni pun satu. Dia ingat
jalan dekat bandar ni sama ke dekat jalan kat kampung dia yang lengang tu?
Sampaikan beberapa kali juga basikalnya hampir berlanggar dengan kenderaan lain.
Mujurlah, dia cekap dan sempat mengelak. Mungkin kerana dia sudah biasa
berbasikal di kampungnya. Tak sampai 30 minit, akhirnya mereka berjaya sampai
dengan selamat.
Seri Embun tersenyum geli hati
mendengar Fyra yang mengeluh kelegaan di belakangnya. Dia yang mengayuh, Fyra
pula yang berpeluh-peluh.
“Kak Embun, Kak Embun kenapa bawa
laju sangat? Fyra takutlah. Lagipun, bahaya tau tak?” Si kecil sudah marah-marah.
Seperti biasa, Seri Embun pekakkan saja.
“Kan tengah panas terik tu. Kak
Embun cuma tak nak Fyra berpeluh-peluh. Nanti busuk, kawan-kawan Fyra gelakkan
Fyra pulak. Tu sebabnya akak kayuh laju-laju tu biar rasa sikit angin tu.”
Seri Embun yang baru turun terus
menongkatkan basikal berwarna maroon
itu.
“Tapi baju Fyra memang dah basah
dengan peluh dah pun!” rengek Fyra, hampir nak menangis. Seri Embun yang cuak
terus menoleh. Bulat matanya memandang baju sekolah Fyra yang basah dengan
peluh-peluh yang kalau diperah, mesti boleh buat jus peluh!
“Lahhh... Kenapa boleh jadi macam
ni? Kak Embun tak berpeluh pun!” Berkerut-kerut dahi Seri Embun memikirkan
fenomena yang dirasakan pelik dan aneh itu. Agak-agak kejadian pelik ni boleh
masuk dalam majalah Mastika tak?
Dalam pada itu, Seri Embun sempat
belek-belek bajunya. Sikit pun tak basah.
“Fyra berpeluh sebab Fyra takut
sangat bila Kak Embun bawa laju-laju macam tadi tu,” adu Fyra dengan muka yang
masih cemas. Seri Embun pula boleh tergelak melihat reaksi si kecil itu.
Tanpa dia sedari, ada mata yang
sedang memandang dengan rasa tidak puas hati. Siapa lagi kalau bukan Afka! Memang
dia sengaja memberi pak Akid cuti semata-mata nak tengok bagaimana Seri Embun
memikul tanggungjawabnya dengan baik. Basikal itu juga baru saja dibelinya
malam tadi. Malangnya, Seri Embun dah gagal!
Bukannya dia tak nampak yang Seri
Embun dah membahayakan keselamatan anaknya dengan cara dia menunggang basikal
macam mat rempit tadi! Dari tadi lagi dia mengintip Seri Embun. Sengaja dia buat
semua tu semata-mata mahu melihat sejauh mana kebenaran kata-kata sahabatnya
Adzhar. Kononnya Seri Embun adalah perempuan yang terbaik untuk menggantikan
tempat arwah isterinya.
‘Tidak! Sampai bila-bila pun Seri
Embun takkan mampu untuk gantikan tempat arwah isteri aku. Hanya arwah isteri
aku saja yang mampu menyayangi Fyra lebih daripada dia menyayangi dirinya
sendiri. Walaupun waktu tu Fyra masih belum bernyawa di dalam rahimnya, arwah
sanggup mati demi melihat Fyra hidup dan bernafas di dalam dunia ni.’
Mungkin sebab itulah Afka menjadi
terlalu marah bila dia melihat Seri Embun seperti sambil lewa saja menjaga
keselamatan anaknya. Sedangkan sewaktu arwah isterinya itu disahkan
mengandungkan Fyra dulu, awal-awal lagi dia sudah melarang dan bertegas dengan
arwah supaya tidak banyak bergerak jauh sekali untuk melakukan kerja-kerja
berat. Semua kerja rumah termasuklah memasak, dia sendiri yang lakukan walaupun
dia langsung tidak mahir dalam hal itu. Namun, dipaksannya demi isteri tercinta
dan demi anak yang bakal lahir ke dunia.
Dan sekarang, apabila dia melihat
dengan matanya sendiri bagaimana Seri Embun menjaga anaknya, hatinya jadi hampa
dan tawar hati pula untuk mempertimbangkan niatnya untuk melamar gadis itu
sebagai suri hidupnya.
‘Ternyatalah kata-kata kau tu
semuanya satu kesilapan besar, Ad. Budak tu memang tak layak langsung untuk
jadi ibu kepada anak aku...’
SETELAH
menghantar Fyra ke sekolah, Seri Embun terus pulang ke rumah. Sempat dia
lelapkan mata kira-kira setengah jam sebelum dia bangun untuk masak sesuatu
untuk Fyra. Walaupun Afka tidak menyuruhnya berbuat begitu, dia tetap mahu
hantarkan bekalan pada anak majikannya itu.
Kebetulan, stok bahan-bahan untuk
buat spaghetti masih ada di dalam
kabinet. Mungkin disebabkan makanan tersebut sudah jadi makanan wajib Puan Sri
Zahlia, jadi stoknya sentiasa ada di dalam vila ini. Lebih-lebih lagi sejak Puan
Sri Zahlia dipaksa untuk berdiet. Stok yang ada langsung tak diusik walaupun
ada beberapa kali Puan Sri Zahlia merayu daripadanya, menyuruh dia masakkan spaghetti. Kasihan pula dia melihat
betapa kempunannya Puan Sri Zahlia ketika itu. Namun, dia tetap mengeraskan
hatinya. Dia perlu pastikan majikannya itu berjaya mendapatkan semula tubuh
langsingnya. Kalau tidak, dia juga yang akan diberhentikan kerja!
Selain Puan Sri Zahlia, setahunya
Fyra juga cukup gemar dengan masakan daripada Italy itu. Tentu budak tu
tersenyum lebar bila dia bukak saja bekal yang aku bawakan untuk dia nanti!
Seri Embun tersenyum tanpa sedar.
Itulah hakikat dan kenyataan yang sebenar-benarnya. Meskipun dia cuba menolak
untuk bermesra, bergurau-senda dan bermain dengan kanak-kanak sebagaimana
sewaktu sebelum arwah ibunya meninggal dunia dulu, dia tetap tidak dapat
menyembunyikan kasih sayangnya pada anak-anak kecil yang sesungguhnya, begitu
dekat dan sebati dengan jiwa keperempuanannya. Malangnya, semua itu berubah
sebaik sahaja arwah ibunya meninggal dunia sekaligus dia sendiri terpaksa
melupakan hasrat dan impiannya untuk menjadi seorang guru tadika. Cita-cita dan
impian Seri Embun sejak dia kecil lagi! Cita-cita yang terpaksa dia korbankan!
Bukan kerana dia sudah tidak sukakan
kanak-kanak. Tetapi sejak arwah ibunya meninggal dalam keadaan yang menyayat
hati berpunca daripada kenakalan kanak-kanak yang diasuh sendiri oleh ibunya...
Ahhh susahnya nak cakap. Susah juga
nak luahkan!
Yang dia tahu, kejadian yang
memilukan itu telah lama menjauhkan dirinya daripada kanak-kanak kecil walaupun
hatinya meronta-ronta setiap kali menatap wajah comel mereka semua.
Hurm...
Tak ada lah susah mana pun nak buat spaghetti
ni rupanya. Senang macam buat air jus aje pun! Ceh, berlagak betul!
Kalau dulu, bukan sahaja tak tahu
nak masak spaghetti. Nak sebut
namanya pun terasa seksa. Tapi, setelah dia belajar untuk membuatnya daripada Alia
yang sekarang ini sedang sibuk dengan semester barunya, dia semakin cekap
setiap kali disuruh untuk menyediakannya.
Setelah siap dimasukkan ke dalam
bekas sebelum dimasukkan pula bekas tersebut ke dalam beg plastik, dia terus
menonong untuk mendapatkan basikal berwarna maroon di halaman vila nan luas
itu. Tidak seperti perempuan lain yang biasanya akan melihat penampilan dan
wajah mereka terlebih dahulu di hadapan cermin, berbeza pula dengan Seri Embun
yang sedikit pun tidak hiraukan semua itu. Terus saja dia meninggalkan vila
tersebut dengan kayuhan yang laju sehingga semacam nak terbang sahaja tudung
yang tersarung di kepalanya.
MERATA-RATA
Seri Embun mencari Fyra. Masih juga tak jumpa-jumpa. Memandangkan ketika itu
waktu rehat, jadi dia tidaklah bercadang untuk mencari Fyra di dalam kelasnya.
Ada juga dia naik ke kantin, tapi Fyra masih tidak juga ditemui. Sekolah elit
itu sangat luas dan besar kawasannya walaupun cuma terdapat lima blok bangunan
yang menampung kelas-kelas bagi setiap pelajar. Banyak juga selok-belok antara
setiap bangunan. Lagi pula sekolah tersebut terletak di atas sebuah kawasan
seperti berbukit. Termengah-mengah sewaktu dia mendaki dari satu blok ke satu
blok yang lain. Habis bajunya basah dengan peluh.
‘Mungkin waktu rehat macam ni, Fyra
lepak dengan kawan dia dekat padang sekolah tak?’ Dia yang hampir nak mengalah
menyedapkan hatinya sendiri dengan mengandaikan begitu.
Lantas, dengan kaki yang mula
kejang, dia menuruni semula kawasan berbukit itu untuk menuju ke padang sekolah
yang dari atas lagi sudah dapat dilihat. Kelihatan seperti lautan yang
kehijau-hijauan, tenang dan saujana mata yang memandang.
‘Hurmmm..
Mana perginya budak ni. Dekat padang pun dia tak ada.’ Seri Embun melepaskan
lelahnya sewaktu dia melepasi kawasan berpadang itu. Kawasan padang cukup sunyi
dan damai waktu-waktu begini. Semua pelajar lebih selesa menghabiskan masa
mereka di kantin sehinggalah tamatnya waktu rehat.
‘Lagi sepuluh minit lagi, habislah
waktu rehat. Tapi, ke mana Fyra pergi? Aku tak nampak pun dia kat kantin tadi? Ahhh.. Mesti dia dah makan punya.
Belanja sekolah dia pun, sehari sepuluh ringgit. Kalau aku tak jumpa jugak, aku
balik aje lah. Dia balik sekolah nanti, aku suruhlah dia makan bekal yang aku
bawakan ni.’
Seri Embun tersenyum dengan
cadangannya sendiri. Sekurang-kurangnya, lega sedikitlah perasaannya. Lantas,
dengan senang hatinya dia menghampiri salah satu daripada deretan pokok-pokok
besar yang berdiri selari betul-betul di tepi padang sekolah. Pada batang pokok
itu, disandarkan belakang tubuhnya. Kakinya dibengkokkan kemudian dia memeluk
kedua-dua belah ketingnya manakala dagunya pula diletakkan di atas kepala lutut.
Kakinya yang kejang beransur lega dan kembali normal seperti biasa. Dia seperti
tidak sedar. Barangkali terlalu khusyuk bila angin sepoi-sepoi bahasa mengulit
manja seluruh tubuhnya.
“Mama, kalau mama ada lagi kat dunia
ni, mesti mama akan teman Fyra kan? Mesti mama akan jadi bestfriend Fyra dekat sekolah ni kan? Waktu rehat macam ni, mesti
mama akan temankan Fyra makan macam daddy selalu buat kat Fyra dulu. Kan mama?”
Seri Embun terus menegakkan badannya
daripada bersandar pada batang pokok. Dia terkejut sebenarnya apabila suara itu
tiba-tiba menyentuh gegendang telinganya. Macam kenal aje suara tu. Tapi,
takkanlah budak tu nak bercakap sorang-sorang kot? Dengan dahi berkerut-kerut,
Seri Embun cuba mengamati suara itu dengan lebih teliti lagi. Berkerut-kerut
dahinya menandakan dia bersungguh-sungguh mahu mengetahui butir bicara si kecil
itu.
“Sekarang, daddy dah tak boleh nak
buat macam tu lagi dah sebab daddy sibuk dengan klinik daddy tu. Fyra pun
faham. Sebab itulah Fyra tak pernah nak salahkan daddy. Fyra pun tak kisah
kalau Fyra tak makan waktu-waktu rehat macam ni. Cuma, Fyra sedih sebab tak ada
siapa-siapa pun nak temankan Fyra waktu rehat-rehat macam ni. Fyra tak ada
kawan. Fyra tak pandai nak berkawan. Semua orang kat dalam kelas Fyra pun macam
tak nak aje berkawan dengan Fyra.”
Tak syak lagi. Memang suara Fyra!
Tapi, takkanlah dia duduk dekat belakang pokok tu sorang-sorang? Masya-ALLAH...
Kesiannya budak tu. Takkanlah sorang kawan pun dia tak ada?
Dengan hati yang sekelip mata
dilanda sebak, Seri Embun terus berdiri. Mulanya, dia ingin terus mendapatkan
Fyra supaya dapatlah dia memujuk kanak-kanak itu. Tapi, waktu itu juga idea
nakalnya menyeberang ke benaknya. Lalu dengan senyuman, dia mengendap Fyra dari
belakang pohon besar itu.
“Hye... Assalamualaikum.” Dengan
suara yang dibuat-buat pelat, lagi sekali Seri Embun menukar suaranya menjadi
suara orang lain. Kali ini pula, dia cuba meniru suara Doraeman. Lagipun selalu
juga dia nampak Fyra ketawa terkekeh-kekeh menonton siri kartun popular itu.
Sebab itulah dia memilih untuk meniru suara Doraemon. Manalah tahu sedikit
sebanyak, Fyra akan terhibur.
“Waalaikumussalam. Doraemon ke tu?”
Seri Embun tersenyum. Nampaknya, dia
telah berjaya meniru suara Doraemon! Wah hebat jugak aku ni.
Mana tak hebatnya. Dari kecil lagi
dia memang suka bergurau dengan mengajuk arwah ibunya setiap kali arwah
memarahinya. Suara arwah ibunya pun berjaya ditirunya dan setiap kali arwah
ingin memarahinya, arwah pasti akan tergelak sama dan tidak jadi untuk
meneruskan bebelannya. Seri Embun pula dari dulu lagi memang tak suka melihat
arwah ibunya marah-marah. Mungkin sebab itu agaknya dia cuba meniru suara arwah
ibunya. Dan sejak itu, ramai suara orang-orang kampung yang cuba ditirunya.
Rata-ratanya menjadi. Kecuali suara Rosalinda, musuhnya yang berbadan gempal
itu. Nak tiru suara Rosalinda yang tebal dan besar tu bukannya senang. Kena
tarik nafas dalam-dalam sampai semput baru menjadi agaknya...
“Ya. Doraemon la ni,” balas Seri
Embun.
Agak lama juga untuk dia menerima
balasan daripada Fyra.
“Tapi...”
30 saat berlalu... Seri Embun terus
menunggu.
“Tapi, sejak bila Doraemon masuk
Islam? Pandainya Doraemon bagi salam.”
Patutlah lama Fyra mendiamkan diri.
Rupa-rupanya, itu yang difikirkannya!
Seri Embun yang tidak berjaya untuk
bertahan, terus melambakkan ketawanya. Apa lah aku ni... Belum apa-apa, dah
kantoi! Lupa pulak asal-usul Doraemon dari jepun! Patutnya tadi aku kena cakap ‘Konnichiwa’,
bukannya ‘Assalamualaikum.’
“Doraemon baru aje masuk Islam lah.
Itu pun sebab Upin dan Ipin yang ajak dan bagi galakan,” selorohnya seraya dia
terus keluar dari belakang pokok tempat dia mengendap. Fyra yang juga sedang
mengendapnya ketika itu terus dihampirinya. Kali ni mesti Fyra tak akan persoalkan
sebab Upin & Ipin kan kartun Melayu. Mestilah Islam! Hehe...
“Lah... Kak Embun rupanya. Kak Embun
buat apa menyibuk kat sini? Fyra betul-betul ingatkan Doraemon yang datang
tadi. Hurmm... tak sukalah macam ni.
Kak Embun tak habis-habis nak kenakan Fyra!”
Terus si kecil itu menarik muka
masam. Kemudian dia terus berpaling. Siap bercekak pinggang lagi. Amboi,
kecil-kecil lagi dah pandai nak protes!
Serba-salah pula Seri Embun
dibuatnya. Kepalanya digaru-garu sambil bibirnya terkumat-kamit cuba menyusun
kata-kata yang paling sesuai untuk memujuk si manja itu.
“Errr..urm...
Alah... Memanglah Kak Embun ni bukannya Doraemon. Tapi, Kak Embun teringin
sangat nak jadi kawan Fyra. Takkan tak boleh kot?” Begitu berhati-hati sekali
sewaktu dia menuturkannya. Bimbang kalau-kalau Fyra menjadi semakin berang
dengannya.
“Bukannya tak boleh. Tapi tak
sesuai!”
“Kenapa pulak?”
“Sebab Kak Embun tu pelik. Pulak tu,
kelam-kabut semacam aje Fyra tengok.”
Tanpa sedar, terukir senyuman di
bibir Seri Embun. Suka-suka aje dia buat penilaian dekat diri aku ni ya!
“Habis tu, hanya disebabkan kak
Embun ni pelik, Kak Embun ni kelam-kabut, Fyra tak sudi lah nak berkawan dengan
kak Embun?” duga Seri Embun. Sayangnya dia hanya dapat memandang belakang tubuh
Fyra saja. Kalaulah dia dapat melihat riak pada wajah comel itu...”
Lama Fyra berdiam, seolah-olah
sedang membuat keputusan pada ‘pelawaan’ yang Seri Embun tawarkan tadi
Fyra langsung tidak jawab. Dia cuma
menggelengkan kepala.
“Kalau macam tu tak apa lah. Kak
Embun balik dulu. Tapi Kak Embun nak ingatkan. Fyra jangan menyesal sudahlah
ya.”
“Fyra takkan menyesal,” jawabnya
dengan pantas sekali.
“Bukan apa. Kalau Fyra sudi jadi
kawan Kak Embun, tiap kali waktu rehat Kak Embun akan datang temankan Fyra
makan. Kak Embun akan masak macam-macam untuk Fyra,” umpan Seri Embun. Dia
tersengih kerana yakin umpannya akan mengena.
Lama juga Fyra mematungkan diri.
“Kalau Fyra masih tak nak jugak, Kak
Embun tak boleh nak paksa. Kak Embun balik dulu lah ya.” Terus dia memusingkan
badannya. Belum pun setapak dia melangkah, Fyra sudah memanggilnya seperti yang
dia jangka.
“Baiklah... Mulai hari ni, kita akan
jadi kawan.”
Seri Embun tersenyum puas walaupun
Fyra langsung tidak senyum ke arahnya.
“Esok, Kak Embun jangan lupa datang
temankan Fyra kat sini tau. Jangan lupa bawakan bekal untuk Fyra juga. Nanti
boleh kita makan sama-sama.” Fyra mula kelihatan teruja memikirkan hari
esoknya. Senang hati Seri Embun mendengarnya. Lantas, dia terus mengeluarkan
bekal yang dibawa khas untuk anak majikannya itu.
“Tak payah tunggu esok. Hari ni pun
Kak Embun dah siapkan bekal untuk Fyra. Ni Kak Embun ada masakkan spaghetti
untuk Fyra. Fyra makan ya...” Penutup bekas dibukanya sebelum dia mengeluarkan
pula sudu dan garpu dari dalam beg plastik berwarna putih susu itu.
“Kalau daddy ada, tentu daddy akan
suapkan Fyra...”
Seri Embun yang sedang leka
membentangkan surat khabar di atas rumput, tersentap dan terus terhenti
kerja-kerjanya. Kata-kata itu membuatkan hatinya cukup tersentuh. Apatah lagi
sebaik sahaja dia mendongakkan kepalanya, terus dia terpandangkan wajah comel
yang sudah disurami awan mendung itu.
Kalau boleh, dia tidak mahu
menyuapkan kanak-kanak itu. Dia tak sanggup! Tak sanggup rasanya untuk
membiarkan ingatannya singgah pada arwah ibunya, juga pada peristiwa yang cukup
memedihkan itu. Semua ini ada kaitannya. Satu hubung kait yang membuatkan dia
memaksa dirinya untuk mengeraskan hatinya daripada bermesra secara
berlebih-lebihan dengan mana-mana kanak-kanak, lebih-lebih lagi kanak-kanak
perempuan. Kerana semua itu hanya akan membuatkan dia berasa lemah
selemah-lemahnya. Bukan kerana dia benci. Hakikatnya, satu ketika dulu, dia
terlalu sayang dan sukakan kanak-kanak. Tapi sejak peristiwa hitam itu, dia
terpaksa membataskan kemesraannya dengan mana-mana sahaja kanak-kanak kecil
kerana semua itu hanya akan merobek hatinya. Hanya akan mengingatkan dia pada
peristiwa pedih yang masih belum mampu untuk diterimanya dengan hati terbuka.
Apatah lagi raut wajah Fyra mempunyai sedikit persamaan, iras-iras dengan muka
kanak-kanak perempuan yang telah menyebabkan kematian arwah ibunya beberapa
tahun lalu. Maka, semakin beratlah hati Seri Embun untuk memujuk dan menyuapkan
Fyra makan.
Namun pada masa yang sama, dia juga
tidak sanggup untuk melihat Fyra bersedih begitu. Dia tidak sanggup duduk
dengan hanya memandang tanpa berbuat apa-apa pada seorang anak kecil yang
terlalu rindukan belaian daripada ayahnya. Mungkin peristiwa itu terlalu pahit
untuk dikenangnya, namun dia bukanlah manusia kejam yang akan pentingkan
dirinya sendiri. Mungkin apabila dia menyuapkan Fyra, hatinya akan digilis
pedih.
Tapi... Ahhh..
Biarlah... Untuk hari ini saja. Esok, aku akan suruh dia suap sendiri!
“Kak Embun suapkan ya?”
Sebaik saja dia berkata begitu,
wajah Fyra terus saja tidak murung lagi. Bahkan anak kecil itu sudah boleh
senyum. Dia kelihatan begitu teruja sekali. Sedangkan Seri Embun pula sedang
terseksa mengulum rasa pedih yang bertandang entah dari mana.
Namun, dikuatkan hatinya, ditabahkan
dirinya walau waktu itu tangannya terketar-ketar sewaktu sudu yang dipegangnya
itu ingin disuakan ke dalam mulut Fyra. Fyra tersenyum untuk suapan yang
pertama daripada Seri Embun sedangkan Seri Embun terus menahan rasa trauma
dengan dadanya yang berdebar-debar meskipun sudah pun masuk suapan ketiga.
Setiap kali suapan, dia akan berdoa dan berzikir pada TUHAN agar hatinya kuat
untuk berhadapan dengan detik-detik ini. Detik-detik yang mengembalikan dia
pada peristiwa yang paling memilukan sepanjang riwayat hidupnya.
Namun, untuk beberapa suapan yang
terakhir, dia perasan yang tangannya sudah tidak menggeletar lagi. Dadanya juga
sudah hilang debarnya. Dia sendiri tidak sedar bila waktunya perasaan gelisah
itu terbang hilang dari dalam hatinya. Mungkin kerana dia terlalu asyik melihat
senyuman dan kegembiraan yang terpancar jelas pada wajah Fyra sehinggakan dia
langsung tidak sedarkan kegalauan yang terpaksa ditanggungnya. Dia jadi lupa
seketika pada kejadian yang telah merentap separuh daripada nyawanya itu. Lebih
aneh lagi, dia ikut tersenyum melihat Fyra gembira dan hinggalah ke suapan yang
terakhir, mereka berdua sudah boleh bergurau-senda sehingga gamat padang luas
itu dengan gelak tawa mereka.
Ketika itu juga dia seperti
terpandang-pandang senyuman arwah ibunya...
P/S: Sebarang kritikan sama ada positif mahupun negatif teramatlah dialu-alukan. Penulis sangat memerlukan komen daripada pembaca sekalian. Terima Kasih. =)
Nak nangis pon ada baca :(
ReplyDeletesedih ke? hehe. tp sy x pandai wat sedih2. huhu...btw, thnx for reading =)
ReplyDeletealamak ! saya memang dah tangkap cintan dengan cerita ni . tak tahu mana satu nk pilih afzahan atau afka ?! aduh , kebuntuan ni * bajet mcm saya pulak jadi si seri tu . hahaha =D
ReplyDeletehehehe..suke sbb awk suke cite ni..hehe..thnx for reading k =)
Delete