GARA-GARA syarat baru yang telah ‘dinaikkan’ sesuka hati oleh Seri
Embun sendiri, ramai pekerja yang menyatakan rasa tidak puas hati meskipun
tidak secara terang-terangan. Ada juga seorang dua yang mengugut untuk berhenti
namun Seri Embun tetap bertegas dengan syarat yang telah ditetapkannya. Walau
apa pun terjadi, tidak akan ada sesiapa pun yang mampu mengubah pendiriannya.
Meskipun dia cukup sedar betapa sukarnya untuk mencari pengganti.
Gara-gara syarat yang diwajibkannya
itu juga, malam itu Afka datang menyerangnya sehingga ke butik setelah seminggu
dia berkhidmat di situ. Tentunya ada di antara pekerja di butik tersebut yang
mengadu. Namun, dia sedikit pun tidak gentar jauh sekali untuk melenting.
Baginya, dia sendiri perlu kuat dan tenang sekiranya dia mahu meyakinkan orang
sekelilingnya dengan apa yang dilakukannya...
“Baru seminggu aku lantik kau
sebagai pengurus dekat butik ni, kau dah pandai-pandai nak buat keputusan
sendiri sesuka hati kau?” Tanpa sebarang mukhadimah, Afka terus menyerangnya.
Namun seperti biasa, ketenangan Seri
Embun sentiasa menjadi kekaguman sesiapa sahaja yang melihatnya.
“Abang... Sebenarnya...”
“Sebenarnya, kau dah pandai nak
tunjuk besar kepala? Dah pandai nak tunjuk kuasa? Hah?” Daripada sinis, suara
garau itu tiba-tiba melenting dengan kuat sekali. Sehinggakan tiada seorang pun
pekerja di situ yang berani menoleh. Masing-masing menikus, berpura-pura sibuk
dengan kerja masing-masing. Mujurlah ketika itu butik itu sudah hampir nak
ditutup dan pelanggan pun dah beransur keluar.
Seri Embun terdiam. Bukannya kerana
dia takutkan cerlungan tajam yang menggila itu. Bukan juga kerana dia takutkan
urat-urat hijau yang menegang di sekitar leher lelaki itu. Tidak juga dada yang
berombak ganas itu... Dia sedikit pun tidak gentar. Cuma dia mengambil
keputusan untuk berdiam sejenak demi memberi ‘laluan’ kepada Afka untuk
menenangkan dirinya terlebih dahulu.
“Kenapa kau diam? Takut? Aku ingat
kau dah hebat sangat...”
Seri Embun senyum pahit. Kemudian,
dia menarik nafasnya dalam-dalam. Lama dia memikirkan kata-kata yang sesuai
sebelum dihumbankannya tepat ke muka lelaki yang sedang mencabarnya itu.
“Baiklah, dengar baik-baik
penjelasan Embun...”
Sempat lagi Seri Embun menarik
nafasnya dalam-dalam.
“Daripada apa yang Embun faham, pengurus
adalah seseorang yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus apa sahaja yang
telah dipertanggungjawabkan ke atasnya. Sama juga macam Embun. Embun cuma mengurus
butik ini dengan cara Embun. Embun cuma mengurus pekerja-pekerja di bawah
jagaan Embun, juga pelanggan-pelanggan yang datang ke sini. Dan Embun juga
mengurus barang-barang jualan yang dijual di sini iaitu pakaian-pakaian kat
dalam butik ini. Jadi, boleh abang bagitahu di mana salah Embun? Dan di mana
pula relevannya tuduhan abang yang mendakwa Embun ni besar kepala dan
pandai-pandai nak tunjuk kuasa? Seperti yang Embun katakan tadi, Embun cuma
jalankan amanah dan tanggungjawab Embun saja. Embun tak nak makan gaji buta.
Haram tahu tak?” Dengan tenang, Seri Embun cuba membela dirinya dengan penuh
diplomasi. Malangnya, Afka masih tidak dapat menerima jawapannya itu.
Sebaliknya, lelaki ini makin melenting pula mendengarkan jawapan yang dirasakan
terlalu bodoh itu.
“Itulah silapnya kau! Suka-suka kau
je nak ikut fahaman sesat kau tu. Kalau dah tak tahu tu, lain kali bukak mulut tu!
Tanya aku ni hah! Jangan pandai-pandai buat keputusan sendiri kalau tahu diri
tu sekolah pun tak habis!” Afka terus memalingkan mukanya ke arah lain. Jadi,
dia tidak sempat memandang tubuh Seri Embun yang mula menggigil dengan
penghinaan itu. Tangan yang memeluk tubuh perlahan-lahan jatuh. Dia benar-benar
tercabar dengan kesombongan lelaki di hadapannya ini.
“Kalau dah tahu aku ni sekolah pun
tak habis, kenapa kau yang pandai sangat tu, yang belajar sampai luar negara tu
boleh terfikir untuk lantik aku jadi pengurus dekat butik ni? Kira okaylah
kalau kau nak kata aku ni bebal sebab aku memang tak habis belajar pun. Lainlah
orang macam kau, yang dapat peluang belajar sampai ke luar negara tapi sama aje
bebalnya macam aku. Aku rasa sia-sia aje kau bazirkan suku daripada usia kau tu
ulang-alik belajar sampai nak gila dekat luar negara, kalau akhirnya kau tak
gunakan otak kau yang kononnya penuh dengan ilmu tu. Sebaliknya, kau lebih
memilih untuk menggunakan emosi kau. Kau tuduh aku melulu. Kau lebih pentingkan
perasaan kau sendiri!”
Seri Embun juga sudah sama naik
barannya. Dia memang bengang apabila ada yang menghinanya sesuka hati. Baginya,
hanya ALLAH sahaja yang berhak menilainya. Hanya ALLAH sahaja yang tahu mengapa
dia berpenampilan seperti lelaki... Dan hanya ALLAH juga yang tahu mengapa dia
tidak berpeluang melanjutkan pelajaran seperti orang lain. Sepatutnya, Afka
tidak berhak untuk mempertikaikannya apatah lagi untuk menghinanya sesuka hati.
Sakit sungguh hati Seri Embun
melihat senyuman sinis lelaki itu.
“Ya, mungkin aku bodoh sebab aku dah
buat keputusan yang paling bodoh dengan melantik kau sebagai pengurus dekat
butik ni. Tapi, sekurang-kurangnya... aku boleh tarik balik keputusan aku. Aku
boleh pecat kau, dan aku ada kuasa untuk buang kau sesuka hati aku dari butik
kepunyaan arwah isteri aku ni. Tapi kau pulak? Bila aku dah buang kau dari
butik ni, kau rasa kau boleh hidup macam orang lain? Kau rasa kau mampu ke
untuk tarik balik masa kau yang dah jauh berlalu meninggalkan diri kau tu? Kau
rasa kau mampu ke nak ulang semula masa dan belajar bersungguh-sungguh untuk
kau capai semula segala yang telah terlepas dari tangan kau dan menjadi manusia
yang lebih baik dan berguna. Maksud aku, jadi manusia yang lebih berilmu dan
berjaya dalam hidupnya. Kau rasa kau mampu?” Afka bermain-main dengan keningnya.
Hatinya terasa puas. Mimik mukanya pula menggambarkan satu penghinaan yang
cukup menyakitkan terhadap Seri Embun.
Menggigil, berderau darah dalam
tubuh Seri Embun lewat penghinaan itu namun dia masih gigih mengawal emosinya
supaya dia kelihatan kuat dan tenang di hadapan lelaki sombong ini! Hakikatnya,
hatinya sudah menangis akibat dicarik-carik dengan penghinaan yang dirasakan
melampau itu.
“Hidup mati saya, untung rugi saya,
rezeki saya dekat atas muka bumi ni.. semuanya bukannya awak yang tentukan...” Dengan
suara yang rendah dan bergetar-getar, dia kemudiannya menguntum senyuman ikhlas
meskipun hatinya terasa sangat pedih dan sakit. Dia juga dapat merasakan
matanya panas dihangatkan air matanya sendiri.
“Saya pergi dulu. Assalamualaikum...”
Dengan sehelai sepinggang, dia berjalan keluar dari kaunter pembayaran untuk
melangkah keluar dari butik tersebut.
“Errr...
Urmmm... Nanti dulu...”
Seri Embun menoleh. Dia dapat lihat
riak bersalah pada wajah tampan itu.
“Ni... ambil RM500 ni. Gaji awak
untuk seminggu ni...” Afka menghulurkan beberapa keping not RM100. Malangnya,
tidak bersambut.
“Tak mengapalah. Sebagaimana jawatan
pengurus tu tak layak untuk saya, begitu juga lah dengan duit tu. Saya tak
layak untuk menerimanya. Saya takut nak makan duit haram.”
“Eh mana boleh macam tu. Ambillah...
macam mana Embun nak balik nanti? Bukannya murah tambang teksi kalau nak balik
ke kampung Embun tu?” Menyesal pula Afka bila melihat kedinginan dan ketegasan
Seri Embun. Itulah.. Kerana mulut, santan binasa. Kalau iya pun sayangkan arwah
isteri, bincanglah elok-elok dengan Seri Embun tu. Tanyalah Seri Embun
elok-elok.. Bukannya main terjah aje bila dapat tahu butik arwah isteri
tercinta telah diubah sesuka hati oleh orang yang tidak sepatutnya! Memang itulah
yang menjadi punca kemarahan Afka sebenarnya. Lelaki ini memang akan cepat
sahaja bertukar menjadi manusia yang tidak waras jika perkara yang dia tidak
puas hati itu melibatkan segala yang berkaitan dengan arwah isterinya. Begitulah sayangnya dia pada arwah isterinya sampaikan emosinya sendiri pun dia gagal mengawalnya.
Menggeleng. Nampaknya Seri Embun masih
berkeras hati.
“Macam saya cakapkan tadi. Semua tu
bukan awak yang tentukan. Kalau ALLAH dah tetapkan saya merempat dekat pekan ni, semua tu saya anggap takdir untuk saya. Dan kalau dah jadi rezeki
saya... jangan kata teksi, kalau ALLAH tetapkan saya balik semula ke kampung
saya dengan helikopter pun, tak ada sesiapa yang dapat pertikaikannya, Doktor
Afka. Sebab semua yang berlaku atas kuasa dan kehendakNYA..”
Kali ini, Afka terdiam. Dia terpukul
sebenarnya lewat kata-kata Seri Embun yang mengalir tenang itu. Untuk
menghalang, egonya melarang. Akhirnya, dia membiarkan sahaja Seri Embun pergi
meninggalkannya, begitu sahaja...
“AKU
bukannya bodoh, Af. Aku boleh nampak semuanya. Perasaan kau pun aku boleh
nampak. Aku bukannya tak tahu yang kau dah mula sayangkan budak Embun tu. Tapi
kau tu ego sangat! Degil! Kau sengaja biarkan pintu hati kau tu tertutup untuk
perempuan lain walaupun kau sendiri yang dah syokkan perempuan tu. Dan
perempuan malang tu adalah Seri Embun!” gurau Doktor Adzhar sebelum dia kembali
serius.
“Aku tahu kau dah berjanji dengan
arwah isteri kau untuk terus setia hingga ke akhir hayat kau. Tapi Af... Aku
percaya yang Seri Embun mampu bahagiakan kau. Aku yakin, dia boleh jadi sehebat
arwah isteri kau. Jadi, mulai sekarang, kau layanlah Seri Embun tu baik-baik,
Af. Janganlah kau berkasar dengan dia lagi. Kau ingat aku tak tahu yang kau
sengaja sakitkan hati dia semata-mata sebab kau nak elakkan perasaan cinta kau
pada dia? Jangan jadi bodoh, Af. Jangan lepaskan perempuan sebaik dia. Lagipun,
kalau arwah isteri kau tahu ada seseorang yang mampu menjaga kau dengan baik,
aku yakin dia pun akan lebih tenang dekat sana tu...”
Satu demi satu ayat berbentuk
nasihat yang diberikan oleh Adzhar berjaya diulangnya semula. Dengan berat
hati, dia melangkah juga dari butik tersebut untuk mengejar Seri Embun. Itupun setelah dia
termenung dan memikirkan tindakan yang paling wajar.
Agak-agaknya ada lagi ke Seri Embun
dekat terminal bas ni. Dah hampir setengah jam dah pun. Buatnya kalau Seri
Embun balik naik teksi?
Eh, takkanlah kot! Budak tu bukannya
ada duit pun. Nasib baiklah dia tak ambil duit yang aku hulur kat dia tadi.
Kalau tak, seumur hiduplah aku menyesal!
Sekarang ni pun dia tengah menyesal
sebenarnya. Namun, dia cuba menyedapkan hatinya sendiri. Tentu Seri Embun masih
berada di perhentian bas ini!
Setelah beberapa kali dia
memusingkan kenderaannya mengelilingi terminal bas yang agak suram itu, barulah
matanya dapat menangkap kewujudan Seri Embun di situ. Lebar senyumannya. Tidak
putus-putus dia mengucap rasa syukur sehinggalah keretanya diusung ke tempat parking.
Berdebar-debar juga dadanya sewaktu
dia melangkah untuk mendapatkan Seri Embun yang kelihatan resah dalam posisi
duduknya. Rasa macam nak pecah jantung Afka ketika ini. Tapi itu tentunya lebih
baik daripada dia terpaksa menanggung penyesalan untuk seumur hidupnya!
“Hye... Awak tunggu siapa tu? Dah
lewat malam sangat ni. Bahayalah! Jom kita balik...” Dia memilih untuk menceriakan
suaranya bagi melawan debaran di dalam dada. Lelaki ini memang tak pandai nak
memujuk. Dengan arwah Delina dulu pun macam tu jugak! Hampeh betul!
Seri Embun menoleh. Terkejut juga
dia melihat Afka datang semata-mata mahu memujuknya. Namun, seperti biasa, dia
akan berlagak tenang dan bersahaja.
“Tak payah! Saya dah tempah tiket
bas dah pun,” bohongnya. Sebenarnya kaunter tiket sedang ditutup sewaktu dia
ingin membelinya tadi. Mungkin orang yang menjaganya ke tandas agaknya. Tapi
sekarang, rasa-rasanya kaunter dah dibuka semula.
Tanpa menghiraukan Afka, Seri Embun terus
menonong ke kaunter tiket.
“Assalamualaikum bang...” tegurnya
sopan.
“Abang saya nak balik kampung saya
dekat Perak. Ada lagi tak tiket untuk balik ke kampung saya?” Kedengaran begitu
polos sekali ketika soalan itu diajukan. Sekali tengok macam kanak-kanak kecil
yang dha hilang tempat bergantung. Iyalah, dia memang tidak pernah naik bas
pun. Sebab itu lah dia kelihatan seperti kekok. Bas henti-henti pernahlah dia
naik.
“Maaflah dik. Baru kejap tadi
habis.”
Jelas riak kecewa pada wajah Seri
Embun. Tapi sebenarnya lebih kepada malu. Tentu Afka yang berdiri di
belakangnya sedang galak mentertawakannya.
Benarlah... Sebaik sahaja dia
memusingkan badannya, dia lihat lelaki itu sedang menekup mulutnya ketat-ketat.
Ahhh...
Bencinya!
“Ikut abang balik ya?” Afka
menjongketkan keningnya, sambil senyum nampak lesung pipit.
Seri Embun mendengus. Dia nampak
rimas dengan kehadiran lelaki itu. Siap ikut-ikut aku pulak! Rimaslah!
“Kan saya dah cakap. Saya taknak
berhutang apa-apa lagi dengan awak.”
“Embun mana pernah berhutang apa-apa
pun dengan abang.”
“Awak dah lupa ke saya dah
jahanamkan business butik awak tu?
Pandai-pandai aje saya ni kan pergi ubah ikut sesuka hati saya,” sindirnya. Dia
langsung tidak memandang wajah lelaki itu.
Afka masih tersenyum. Boleh tahan
juga budak ni merajuk. Ingatkan lurus sangat sampai merajuk pun tak reti.
“Mana ada lah. Embun tak pernah
jahanamkan business abang pun. Untuk
pengetahuan Embun, butik arwah isteri abang tu makin maju disebabkan perubahan
yang Embun buat. Abang bangga sangat dengan Embun.”
Seri Embun terlopong mendengarnya.
‘Butik yang aku ubah sesedap rasa aku tu sebenarnya butik arwah isteri Afka
ke?’
Seri Embun terkedu untuk satu tempoh
masa yang agak lama. Perasaan bersalah menyusup perlahan-lahan masuk ke dalam
hatinya, sehingga akhirnya membuatkan dia menyesal lewat perbuatannya sendiri.
“Ya ALLAH. Embun betul-betul tak
tahu. Embun... Embun, minta maaf...” Dia menundukkan sedikit kepalanya.
Serba-salah dibuatnya. Memang dia yang bersalah pun. Sepatutnya, dia wajib
meminta izin terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang keputusan. Apatah lagi
setelah mengetahui butik tersebut adalah milik arwah isteri Afka. Makin
bersalah dia dibuatnya kerana telah mengubah sesuatu yang tentunya bersifat peribadi
buat lelaki di hadapannya ini. Dia sepatutnya menghormati butik tersebut sebagaimana dia sepatutnya menghormati perasaan sayang Afka pada arwah isterinya.
Afka tersenyum lagi. Sepatutnya dia
yang meminta maaf kerana telah menghina gadis itu sesuka hatinya sewaktu mereka
di butik tadi. Apatah lagi bila difikirkan, perubahan yang dilakukan oleh Seri
Embun adalah untuk kebaikannya juga, dan tentu sekali untuk kebaikan arwah. Di
dalam hati, terselit rasa kagumnya terhadap Seri Embun. Gadis ini mungkin
seorang yang lurus dan tidak berpelajaran tinggi tetapi ternyata pegangan
agamanya lebih tinggi daripada aku!
Tapi alang-alang Seri Embun tengah
rasa bersalah tu, inilah masanya untuk aku ambil kesempatan!
“Abang hanya akan
maafkan Embun kalau Embun ikut abang balik, dan bekerja semula dengan abang.
Abang perlukan Embun untuk uruskan butik tu. Would you?” Turun naik keningnya sewaktu menanti jawapan daripada
Seri Embun.
“Tengoklah dulu macam mana. Sekarang
ni Embun busy sikit sebab Puan Sri
dah lantik Embun jadi pakar pemakanan dia. Gaji yang Puan Sri tawarkan pun dua
kali ganda lumayan daripada gaji yang abang offer.”
Seri Embun buat muka sombong sebelum dia berjalan sambil berpeluk tubuh,
mendahului Afka menuju ke kereta lelaki itu.
Afka tergelak, sambil menggeleng
melihat kelatah gadis yang mula dicintainya dalam diam itu.
SEWAKTU
dalam perjalanan pulang semula ke vila, sempat lagi mereka berdua mengadakan
sesi luahan rasa yang dicadangkan dan ‘dianjurkan’ sendiri oleh Afka.
“Sekarang, kalau Embun ada rasa tak
puas hati dengan abang, Embun boleh luahkan, dan abang akan dengar dan abang
janji abang akan ubah diri abang mengikut kemahuan Embun. Supaya lepas ni abang
tak nak tengok Embun asyik nak merajuk aje setiap kali abang marah Embun. Kalau
ada apa-apa yang tak berkenan pun, janganlah lari macam tu aje. Sekurang-kurangnya,
bincang dengan abang dulu.”
Apalagi, bila dah diberi ruang untuk
luahkan perasaan, Seri Embun pun menggunakannya dengan sebaik-baiknya. Lagu
berganti iklan, iklan berganti pula dengan celoteh suara deejay radia, Seri
Embun masih belum berhenti meluahkan rasa tidak puas hatinya.
“Dan yang paling saya cukup tak suka
bila setiap kali abang marah-marah. Selalunya abang lebih suka memilih untuk
maki-hamun Embun daripada mendengar penjelasan Embun terlebih dahulu. Dah
banyak kali benda ni jadi. Pertama, masa Embun kerja dengan abang dekat klinik.
Kedua, masa Embun kerja dekat butik arwah isteri abang. Abang ingat lasak-lasak
macam Embun ni tak ada perasaan ke?”
“Abang tahulah Embun ada perasaan.
Sebab tu lah Embun boleh simpan perasaan dekat abang. Betul tak?” gurau Afka
sambil mengenyitkan sebelah matanya. Wajah serius Seri Embun tidak dipelukan
langsung.
Seri Embun menoleh memandang ke luar
tingkap. Afka ingatkan Seri Embun merajuk dengan sikap main-mainnya itu. Tapi
dia tak tahu yang sebenar-benarnya, Seri Embun malu dengan usikannya tadi.
Alahai, malu-malu pulak dia ni...
“Iyalah... Yalah... abang akui salah
abang. Sudahlah tu... Penatlah abang dengar Embun membebel dari tadi. Abang nak
isi minyak kejap. Agaknya kereta ni pun dah tak larat nak dengar Embun
berleter!”
Sewaktu Afka bergerak untuk keluar
dari keretanya, sesuatu telah tercicir keluar dari poket seluarnya. Iaitu
sekeping kertas berwarna putih yang memanjang ke bawah. Hati Seri Embun
mendesak-desak untuk melihatnya.
Kertas apa pulak panjang-panjang ni?
Pada awalnya, dia mahu menyerahkan
sahaja kertas yang memanjang ke bawah itu pada Afka. Memandangkan lelaki itu
sudah keluar dari kereta, tanpa meminta kebenaran dia terus membelek kertas
tersebut.
Dengan rasa marah, Seri Embun
menoleh memandang Afka yang sudah selesai mengisi minyak keretanya. Afka yang
merasakan ada seseorang sedang merenung tajam ke arahnya turut menoleh. Ketika
itu juga dia terpandangkan sesuatu yang berada di tangan Seri Embun. Alamak,
macam mana dia boleh jumpa tiket tu? Kantoi....
“Patutlah bila Embun nak beli tiket
bas tadi, abang tu kata dah habis. Rupa-rupanya semua ni kerja abang ya?” Seri
Embun berpura-pura marah dengan sengaja meninggikan suaranya. Memang dia tidak
marah tetapi bengang juga memikirkan dia telah ditipu hidup-hidup oleh lelaki
itu. Namun, tetap terselit rasa terharu memikirkan lelaki di sebelahnya ini
sanggup membeli kesemua tiket bas menuju ke kampungnya di Perak semata-mata ingin
menghalangnya pulang ke kampung.
Hurmmm...
Tak ada lah ‘kayu’ sangat dia ni. Boleh dikatakan sweet jugak lah orangnya.
Afka yang tersengih-sengih menutup
rasa malu.
“Kalau ikutkan, abang nak beli
dengan bas-bas tu sekali. Biar sampai bila-bila pun Embun tak payah balik ke
kampung Embun tu. Sekurang-kurangnya abang ada kawan dekat vila tu...”
Seri Embun jelas tidak selesa dengan
pengakuan itu. Namun seperti biasa, dia akan berlagak tenang seolah-olah
kata-kata yang lain macam sedikit bunyinya itu sekadar perbualan biasa.
‘Dan abang juga akan ada pengganti
untuk arwah isteri abang..’ Selebihnya, Afka hanya mengucapkannya di dalam
hatinya sahaja. Dia masih tidak cukup kuat untuk berterus-terang tentang hati
dan perasaannya. Lagipun dia masih tidak yakin dengan perasaannya. Boleh jadi
dia hanya selesa berkawan dengan Seri Embun, tapi tidaklah sampai jatuh sayang.
Ahhh...
Masih terlalu awal lagi Afka...
P/S: Sebarang kritikan sama ada positif mahupun negatif teramatlah dialu-alukan. Penulis sangat memerlukan komen daripada pembaca sekalian. Terima Kasih. =)
Saya tabiklah pada penulis sebab ceriter adi tetap best dan mantap.
ReplyDeleteAfka ? Seri Embun ? Afzahan ? aduhhhduhduh...
ReplyDelete