7.40 PAGI.
Ketika ini, Seri Embun
baru sahaja selesai mencuci gelas pinggan di dapur. Lima minit sebelum itu,
buat pertama kalinya dia menikmati sarapan pagi bersama keluarga Tan Sri Jaafar.
Masih terngiang-ngiang lagi rasanya sindiran Afka di meja makan tadi.
“Mummy, sejak bila pulak orang gaji
boleh makan sekali? Orang gaji sebelum-sebelum ni tak pernah pun dapat
keistimewaan macam tu?” Afka langsung tidak memandang ke wajah Seri Embun
sewaktu menuturkan kata-kata yang cukup berbisa itu. Hanya wajah ibunya sahaja
yang dipandang dengan rasa tidak puas hati.
Puan Sri Zahlia mengeluh sebelum dia
menarik nafasnya dalam-dalam.
“Af, tak baik tau kamu cakap macam
tu. Seri Embun ni tak lama lagi dia pun akan jadi sebahagian daripada keluarga
kita juga. Dia bakal jadi menantu mummy. Maknanya dia akan jadi adik ipar Af
sendiri.” Sengaja Puan Sri Zahlia mengingatkan tentang hal itu. Dia tidak mahu
Seri Embun berasa kecil hati. Sejahat-jahat mulut dia yang suka cakap lepas
pun, dia tetap seorang manusia yang berperikemanusiaan dan sentiasa ingin
menjaga perasaan orang lain.
Seri Embun masih ingat lagi. Sebaik
sahaja Puan Sri Zahlia berkata begitu, dengan wajah tegang, Afka terus bangun
dari tempat duduknya dan saat itu juga dia berlalu meninggalkan meja makan.
Menyirap darah Puan Sri Zahlia
dibuatnya. Mujurlah waktu itu Seri Embun cepat-cepat memujuk wanita itu.
Sebolehnya, Seri Embun memang tidak mahu mengundang rasa benci yang semakin
dalam dari hati Afka terhadapnya. Dia tahu, lelaki itu masih marahkannya atas
kecuaiannya menjaga Fyra dengan baik. Hakikatnya hanya Afka seorang saja yang
tahu mengapa dia bersikap begitu. Sebenarnya dia jadi radang bila dapat tahu
Seri Embun bakal menjadi milik adik kandungnya sendiri. Ingat mudah ke untuk
menerima semua tu?
Dari dapur, Seri Embun keluar menuju
ke ruang tamu yang agak suram dan teduh suasananya berpunca daripada dindingnya
yang diperbuat daripada kayu-kayu khas yang terpilih sementara lantainya pula
daripada kepingan lamina.
Rancangnya, dia mahu mengemas ruang
itu. Tapi keadaannya masih kemas dan teratur. Mungkin malam tadi Fyra tidur
awal. Kalau tidak, tentu ruang tamu yang luas ini akan berselerak dan bersepah
seperti selalu. Kebiasaannya, Fyra akan membuat kerja sekolahnya di atas meja.
Dan meja tersebut akan ditinggalkan tidak berkemas. Tidak seperti sekarang ini.
Cuma sebuah buku tulis sahaja yang ditinggalkan di atas meja. Tapi, macam kenal
aje buku tulis tu! Rasa-rasanya, tu lah buku tulis Fyra yang tertinggal dekat
sekolah semalam tu kan?
Untuk meyakinkan lagi dirinya, Seri
Embun berjalan dengan pantas menuju ke tengah-tengah ruang. Terus dicapainya
buku tulis yang masih terasa basah apabila dipegang itu.
Sahlah. Inilah buku tulis Fyra yang
tertinggal kat sekolah tu! Tapi, kenapa Fyra tak bawa buku ni ke sekolah? Bukan
ke semalam Fyra ada cakap yang dia perlu siapkan dan hantar kerja sekolahnya
hari ni juga? Ataupun, Fyra terlupa?
Iyalah, aku rasa dia mesti terlupa.
Mengantuk sangat agaknya semalam sampai terlupa nak masukkan buku tulis ni ke
dalam begnya. Alahai... Kesiannya budak kecik tu. Sudahlah malam tadi badannya
agak lemah akibat berkurung lama di dalam hujan.
Isyhh...
Aku kena jugak hantar buku ni. Kalau tak, mungkin teruk Fyra kena marah dengan
guru kelas dia nanti.
SEPERTI
biasa, Seri Embun akan berjalan kaki sahaja menuju ke sekolah Fyra.
Walaupun jaraknya agak jauh, namun dia sudah biasa. Kalau anak-anak bandar yang
lain, mungkin mereka tidak biasa. Tapi bagi gadis kampung seperti dia yang dari
kecil lagi sudah biasa merayap hingga ke ceruk kampung, tidak jadi satu masalah
untuk dia berjalan dalam jarak yang jauh.
Melewati pagar gerbang sekolah yang
tinggi menjulang, dia melangkah untuk menuju ke kelas Fyra setelah memberi
keterangan dan meninggalkan kad pengenalan pada pengawal bertugas. Mula-mula,
dia berasa pelik juga apabila diminta untuk berbuat begitu. Tapi bila difikir
balik. Nama pun sekolah swasta. Tentulah
prosedurnya agak tegas sedikit berbanding sekolah-sekolah biasa.
Kelas Fyra terletak di tingkat
paling atas sekali. Ini bermakna Seri Embun perlu mendaki anak tangga
sehinggalah ke tingkat empat. Termengah-mengah juga dia setelah habis memanjat.
Menyesal pula rasanya kerana tidak menggunakan lif yang disediakan.
Sambil berjalan, matanya melilau-lilau
mencari di mana letak duduknya kelas Fyra. Di pertengahan jalan, langkahnya
terhenti. Dia berasa tidak sedap hati sebaik terpandangkan seorang murid yang
didenda berdiri di luar kelas. Setelah diamati dengan keadaan matanya yang
mengecil, barulah dia yakin yang murid perempuan itu adalah Fyra. Pada awalnya
dia gagal mengecam kerana Fyra menundukkan kepalanya. Mungkin kerana malu.
Siapa yang tidak malu kalau didenda begitu dan Fyra dipaksa pula memegang
kertas bersaiz manila card yang
tertera ayat ‘SAYA MURID YANG TIDAK BERGUNA DAN MEMBEBANKAN. SAYA DIDENDA
KERANA MALAS SIAPKAN KERJA SEKOLAH’ di mana setiap hurufnya ditulis dengan
huruf besar, juga dengan saiz tulisan yang besar. Kalau pelajar sekolah
menengah yang didenda begitu, mungkin mereka tidak kisah.Tapi untuk pelajar
sekecil Fyra?
Menggelegak darah Seri Embun
dibuatnya. Patutlah Fyra takut sangat dengan guru kelasnya. Kalau dia sendiri,
dia tidak suka guru kelas yang mendenda pelajar mereka dengan cara memalukan
pelajar. Bukankah banyak lagi cara lain untuk mengajar pelajar supaya mereka
tidak mengulang lagi kesalahan yang sama?
Kasihan sungguh dia lihat Fyra yang
menjadi ejekan dan bahan ketawa pelajar-pelajar yang lalu-lalang di hadapannya.
Ini boleh menyebabkan gangguan emosi kepada mangsa!
Semakin mendidih darah Seri Embun
dibuatnya. Lantas, dia terus meluru masuk ke dalam kelas Fyra. Fyra yang masih
menundukkan muka nampaknya masih tidak menyedari kehadirannya di situ. Tanpa
mengetuk pintu terlebih dahulu, dia terus menonong laju masuk ke dalam kelas.
Namun, sebagai manusia beragama yang dididik dengan adab sopan, bagaimana marah
pun dia, dia tetap memberikan salam pada guru perempuan yang tidak bertudung
itu. Kelihatan cukup bergaya sekali dengan rambutnya yang beralun
keperang-perangan.
“Assalamualaikum, cikgu. Boleh saya
tahu. Apa kesalahan Fyra yang membuatkan cikgu tergamak denda dia sampai macam
tu sekali?” lemparnya dengan suara yang cuba ditahan-tahan kemarahannya. Namun,
tetap dapat didengar betapa tegangnya suara itu.
Boleh pula guru muda itu tersenyum.
Dan senyuman itu kelihatan cukup sinis sekali. Sedikit pun tidak terlihat riak
bersalah pada wajahnya.
“Boleh siapa tahu siapa awak? Dan
boleh saya tahu kenapa awak pertikaikan apa yang saya buat pada anak murid saya
tu?”
Terus berubah wajah Seri Embun. Pandangannya
jatuh ke bawah. Seperti sedang memikirkan sesuatu.
“Errr...
Urmmm... Saya pembantu rumah kepada keluarga Fyra.” Lurus caranya menjawab.
Langsung tak reti nak menipu.
Saat
ini, barulah dia sedar siapa dirinya. Dia cumalah orang gaji. Dia bukannya
apa-apa pada Fyra. Tapi kenapa dia boleh bertukar menjadi emosional sampai
begitu sekali?
Kali ini guru muda itu mengukir
senyuman mengejek.
“Saya cuma tak suka dengan cara
cikgu. Cikgu tak nampak ke budak-budak kelas lain semuanya persendakan Fyra.
Fyra masih kecil lagi, cikgu. Berilah dia peluang. Lagipun saya yakin, ini
tentunya kali pertama Fyra gagal siapkan kerja sekolah dia. Itupun bersebab!”
tegas Seri Embun dengan suara yang tiba-tiba saja boleh naik beberapa oktaf.
Dia sudah tidak hirau lagi pada murid-murid di dalam kelas yang berbisik-bisik
sesama mereka sambil memandang ke arahnya.
“Apa sebabnya?”
“Errr...Urmmm...
Sebenarnya, saya yang bersalah. Sebab malam tadi saya yang kemaskan buku Fyra.
Tapi saya lupa saya letak buku tu kat mana. Baru pagi tadi saya teringat. Fyra
tak salah, cikgu. Dia dah siapkan pun kerja sekolah yang cikgu suruh. Ini
buktinya...”
Seri Embun menghulurkan buku tulis
yang masih lembab itu kepada guru muda tersebut. Dan guru muda itu menyambutnya
dengan sedikit cebikan di bibirnya. Namun, dia tetap menyelak helaian di dalam
buku nipis 80 muka surat itu.
Guru muda yang cantik rupa parasnya
itu langsung tidak memandang wajah Seri Embun. Sebaliknya, dia memandang ke
luar kelas.
“Fyra, awak boleh masuk!” laungnya
dengan suara lantangnya. Seri Embun berpuas hati. Sebenarnya sebelum datang ke
sini, dia sendiri yang kelam-kabut menyiapkan kerja sekolah Fyra. Setakat
soalan budak darjah satu, bukannya susah.
Fyra kelihatan begitu lega sekali.
Seronok tentunya kerana tidak perlu berdiri di luar kelas sehingga waktu rehat.
Sekaligus, dia juga terselamat daripada ejekan pelajar-pelajar nakal dari
kelas-kelas lain.
“Terima kasih banyak-banyak, cikgu,”
ucap Seri Embun dengan rasa terharu. Dia pula yang terlebih seronok. Wajahnya
tidak lagi setegang tadi. Dan dia sudah boleh tersenyum. Lebar pulak tu!
“It’s
okay. Saya faham. Awak tu cuma orang gaji saja. Jadi, awak tak pernah tahu
betapa berharganya sesuatu ilmu tu. Sebab tu awak tak ada rasa bertanggungjawab
untuk jaga buku tu dengan baik. Dan saya yakin, sebab itu jugalah awak jadi
orang gaji seperti hari ini. Sebab awak tak pernah belajar nak hormat ilmu!”
Mati terus senyuman Seri Embun. Saat
itu dan ketika itu juga! Riak wajahnya terus berubah. Dia langsung tidak sangka
yang dia akan diperendahkan begitu sekali di hadapan berpuluh-puluh anak murid
termasuklah anak majikannya sendiri, Fyra. Perasaan malu yang terpaksa
ditanggungnya membuatkan mukanya tertunduk dengan sendirinya.
“Awak boleh keluar sekarang. Saya
tak mahu bazirkan masa saya. Setiap saat daripada masa saya, saya peruntukkan
untuk memastikan murid-murid saya tidak akan jadi seperti awak!”
Tanpa memandang, jauh sekali untuk
memandang dengan rasa simpati, guru muda itu dengan angkuhnya kembali
memusingkan tubuhnya dan dia kembali menyambung tugasnya yang tergendala tadi.
Seri Embun pula memaksa bibirnya
untuk senyum. Itu sahaja caranya untuk dia mengelakkan dirinya daripada berasa
marah dan kecewa. Tak mengapalah, sekurang-kurangnya walaupun hatinya sakit,
dia tetap berasa puas kerana telah berjaya menyelamatkan Fyra. Syukur
Alhamdulillah...
RASANYA
tidak ada apa lagi yang dimahukannya di sini. Dia cuma mahu pulang ke
kampung. Dia terlalu rindukan ayahnya. Juga pada satu-satunya adik kembarnya.
‘Tercampaknya’ dia ke sini adalah satu kesilapan yang sangat besar. Namun, dia
tetap berterima kasih kerana sekurang-kurangnya, dia menjadi semakin matang.
Dia sudah tidak selurus dulu. Dia sudah tidak mudah ditipu. Dia sudah mampu
berfikir dengan baik. Mungkin kerana pengalamannya ditipu oleh Azfahan,
menjadikan dia seorang yang berfikir terlebih dahulu sebelum mengambil apa-apa
tindakan.
Tapi bila difikir, sedih juga mahu
meninggalkan Fyra. Entah mengapa, sejak dia ditugaskan menghantar Fyra ke
sekolah tempoh hari, dia mula jatuh sayang pada si kecil itu walaupun
adakalanya Fyra seperti tidak menyenanginya. Tapi dia puas kerana dapat
menyayangi Fyra. Seperti tadi, dia puas kerana dapat ‘berjasa’ dan berpeluang
untuk menyelamatkan Fyra. Sekurang-kurangnya, bolehlah dia pulang segera ke
kampungnya dengan hati dan perasaan yang lebih tenang.
Itulah seperti yang dirancangnya.
Pulang sahaja dari sekolah, dia akan mengambil beg pakaiannya dan terus keluar
dari vila itu senyap-senyap. Lagipun, waktu-waktu begini selalunya Puan Sri
Zahlia masih belum bangun dari tidur. Suaminya, Tan Sri Jaafar pula tentunya
sekarang ini sedang sibuk dengan syarikatnya. Begitu juga dengan Afka. Tentu
lelaki itu sudah pun berada di klinik sekarang ini.
Berjayakah dia melarikan dirinya
dari sini?
NAMPAKNYA
Afka semakin yakin dengan hati dan perasaannya. Dia yakin yang dia memang
perlukan Seri Embun sebagai menggantikan tempat arwah isterinya. Bukan hanya
kerana ada bayangan arwah isterinya dalam diri Seri Embun, tetapi kerana dia
memang amat mencintai gadis itu.
Selama dia mengintip pergerakan Seri
Embun, dia dapat lihat keikhlasan yang terpancar jelas sewaktu gadis itu
melayan karenah anaknya Fyra. Satu keikhlasan yang tidak dibuat-buat. Dia dapat
bayangkan betapa bahagianya dia sekiranya Seri Embun menjadi isteri sekaligus
ibu untuk anaknya Fyra dan juga anak-anaknya dengan gadis itu kelak. Dia yakin
Seri Embun tidak akan membeza-bezakan kasih sayangnya.
Dari duduk berlunjur di atas katil,
Afka bangun dan terus berdiri di hadapan cermin. Dia melihat dirinya
seolah-olah ingin memastikan apakah dia betul-betul sudah nekad?
Usah ditanya. Sudah lama dia nekad
dengan pilihan dan keputusannya. Apa nak jadi pun jadilah walaupun dia akan
dianggap sebagai orang ketiga yang cuba menghancurkan kebahagiaan adik
kandungnya sendiri. Dia tetap dengan keputusannya untuk meluahkan juga perasaan
yang dipendamnya selama ini kepada Seri Embun. Biar Seri Embun tahu perasaannya
selama ini.
Bukan bermakna kalau dia
marah-marah, dia tak sayang. Bukan bermakna kalau dia berkasar, dia tak cinta.
Contohnya semasa kejadian di klinik
tempoh hari. Bukannya dia sengaja marahkan Seri Embun. Cuma dia radang dengan sikap
keras kepala Seri Embun yang tetap berdegil datang ke klinik sedangkan dia pula
berkeras mahu gadis itu berehat saja di rumah. Dia tidak mahu menyusahkan Seri
Embun walaupun dia sendiri tak menang tangan menguruskan kliniknya seorang diri
ketika itu.
Begitu juga kejadian sewaktu dia
memarahi Seri Embun yang kononnya telah gagal menjaga Fyra dengan baik
sehinggakan anaknya itu jatuh demam akibat terperangkap di dalam hujan lebat.
Waktu itu, dia langsung tidak berniat ingin memarahi gadis itu. Bodohlah dia
kalau dia betul-betul memarahi Seri Embun sedangkan dia sendiri nampak dengan
mata kepalanya sendiri bagaimana prihatinnya Seri Embun menjaga dan melindungi
Fyra ketika itu. Sampaikan dia yang melihatnya pun boleh tersentuh hati
lelakinya. Cuma ketika itu, dia sengaja ingin menguji kesabaran Seri Embun. Sebab
itulah dia berpura-pura memarahi gadis itu kerana dia ingin lihat sejauh mana
kesanggupan gadis itu untuk bersusah payah di sampingnya. Dan sekarang, dia
telah pun mendapat jawapannya. Dia semakin yakin dengan keputusan yang telah
dibuat.
Sejak semalam lagi dia mengambil
keputusan untuk melarikan diri buat seketika dari vila keluarganya, dan di
dalam hotel ini lah dia bersembunyi semata-mata untuk menenangkan fikirannya.
Malangnya, apabila dia sudah
bersedia untuk pulang semula ke vila demi meluahkan perasaan yang selama ini
terpendam, Seri Embun sudah tiada.
Ya ALLAH, ke mana pula dia pergi
menghilangkan diri?
P/S: Sebarang kritikan mahupun carutan sama ada positif mahupun negatif teramatlah dialu-alukan. Penulis sangat memerlukan komen daripada pembaca sekalian dan akan menerimanya dengan berlapang dada.
P/S: Sebarang kritikan mahupun carutan sama ada positif mahupun negatif teramatlah dialu-alukan. Penulis sangat memerlukan komen daripada pembaca sekalian dan akan menerimanya dengan berlapang dada.
best sgt2... baru tahu betapa pentingnya embun kpd Afka... harap2 afka dapat cari embun dan pujuk embun balik dengan dia...
ReplyDeletehehehe xlama lagi konflik la pulak ...
ReplyDeletelol..lelaki ke penulis novel ni.hehe.
ReplyDeletebest2.tiap2 hari tunggu sambungan dia..
asyu: ya2. afka xde la jahat pown sbenanya..hihi..
ReplyDeleteruunna: thanks
aida: hee..ye, akan berlaku konflik antara afka & azfahan
nadia: hee..penulis memang lelaki tp terpaksa guna nama pena perempuan dalam penulisan2u. :)
jahatlah cikgu 2..........rasa nak ketuk kepala dia , sombong sangat......
ReplyDelete'nazfa namia'
bestnyer..x sabar nak tunggu bab seterusnya
ReplyDeleteSuka sangat dengan cerita nie!.....-aqilah
ReplyDeletesaya rasa saya dh start sukakan azfahan la dari afka .
ReplyDeleteBoleh ke cikgu buat perangai cam tu? Isi cerita nampak menarik tapi olahan masih lemah. Namun keep it up. As long boleh faham umi baca jer untuk release tension.
ReplyDeletetak mustahil. cikgu pon manusia biasa juga. neway, thnx for reading =)
Deletebetul cikgu pun manusia biasa :)
ReplyDeletebetul tu cikgu pun manusia biasa juga... walaupun cikgu kalau dirinya dah mmg begitu begitulah perangainya
ReplyDelete