PAGI-PAGI lagi Afka sudah bersiap-siap. Katanya ingin membawa Seri
Embun ke satu tempat. Tempat yang sudah hampir setahun tidak dijenguknya. Entah
bagaimanalah keadaan tempat itu. Selama ini, dia serahkan tempat itu di bawah
jagaan Alia. Namun, sewaktu adik bongsunya itu sibuk dengan pelajarannya, dia
terpaksa mengupah seseorang yang bertauliah untuk menjaganya. Pernah juga
tempat itu ditutup untuk satu tempoh yang boleh dikira lama.
“Hari ni Embun takkan bekerja dekat
klinik abang lagi.” Kenyataan yang ringkas itu telah membuatkan Seri Embun
terkejut besar.
“Kenapa pulak?” soalnya tidak puas
hati. Dah nak sebulan aku kerja dekat situ. Rasa-rasanya prestasi kerja aku
elok aje. Apa yang mamat ni tak puas hati sebenarnya?
“Ikut abang.” Itu sahaja jawapan Afka.
Sebelum dia keluar dari perut kereta dan menonong langkahnya memasuki kawasan
berbumbung bangunan yang berderet lot kedainya.
“Doktor nak bawa Embun ke mana pulak
ni?”
Afka diam tidak menjawab.
Sehinggalah mereka berdua masuk ke dalam sebuah butik yang agak mewah dan luas,
mampu menampung pelbagai jenis rekaan koleksi pakaian wanita yang kesemuanya
kelihatan begitu elegan dengan potongan yang cukup seksi sekali.
“Dalam masa yang terdekat ni, Embun
akan dipertanggungjawabkan untuk uruskan butik ni,” arah Afka sesuka hatinya.
“Saya?” Tercengang Seri Embun
mendengarnya.
Ya ALLAH... Kenapa mesti aku? Aku
langsung tak tahu apa-apa pasal fesyen. Apa mamat ni tak nampak ke baju jeans
lusuh dengan seluar jeans yang dah pudar yang aku pakai ni? Takkanlah orang
macam aku yang dipilih untuk uruskan butik yang glamour ni!
Gila apa?
SEJAK
Seri Embun tinggal di dalam vila
mewah ini, memang terlalu banyak perkara yang cuba mengubah dirinya dari hari
ke hari. Dari seorang gadis kampung, merasa jugalah dia menjadi orang gaji.
Kemudian, dia bekerja pula sebagai pembantu klinik walaupun cuma beberapa hari
sahaja dia sempat merasa bekerja di klinik Afka itu. Semalam pula, dia
ditawarkan menjadi pengurus butik. Kalau diikutkan, untungnya jadi Seri Embun
ni ya. Tanpa kelayakan SPM pun, dia berpeluang untuk buat semua kerja-kerja tu
semua. Pengurus butik? Itulah yang paling tak pernah terlintas di fikirannya.
Ingatkan sampai di situ saja.
Rupa-rupanya, ada lagi pekerjaan yang ditawarkan kepadanya.
“Letakkan aje pinggan mangkuk tu
dekat situ. Biar bibik Natrah aje yang buat semua tu.”
Pelik. Baru hari ni Puan Sri Zahlia
melarangnya mencuci pinggan mangkuk. Apa pulak yang tak kena dengan Puan Sri
Zahlia ni? Ataupun aku sedang bermimpi sekarang ni? Hurmm... Rasa macam nak
tampar je muka ni untuk pastikan aku bermimpi ataupun tidak. Tapi rasanya lagi
berbaloi aku tampar muka Puan Sri Zahlia yang kerek tu!
Seri Embun menurut sahaja arahan itu.
Malas nak banyak soal. Dicapainya batang penyapu untuk memulakan kerja-kerjanya
seperti biasa.
“Tak payah sibuk nak menyapulah. Tinggalkan
aje dekat situ. Itu pulak biar bibik Idah yang buat.”
Semakin pelik Seri Embun dibuatnya.
Apa pulak lah yang tak kena dengan orang tua ni. Kalau dulu, aku tarik nafas
nak rehatkan dada yang termengah-mengah ni pun dia boleh jerkah tepi telinga
aku. Ni mesti ada ‘sesuatu’ ni!
Seri Embun mencapai pula kain buruk
untuk mengelap meja makan.
“Isyhhh....
Tak payah buatlah semua tu. Kerja-kerja kat dalam rumah ni bukan lagi
tanggungjawab kau. Kau dah ada tugas baru!”
Baru sekarang Seri Embun faham
walaupun tidak sepenuhnya. Mungkin dia akan dilantik menjadi pembantu Pak Akid
yang akan membantu lelaki itu berkebun. Boleh jadi juga dia akan ‘dipindahkan’
ke department lain iaitu bahagian babysitter
untuk menjaga si kecil Fyra yang nakal itu.
‘Atau, tak mustahil juga dengan
penampilan aku yang macam lelaki ni, aku disuruh untuk jadi driver. Mana lah tahu kan... Puan Sri
Zahlia ni kan memang suka nak kenakan aku!’
“Mulai hari ni, kau tak payah lagi
buat kerja kat dalam rumah ni sebab aku nak lantik kau sebagai pakar pemakanan
aku. Untuk permulaan, aku akan bagi kau RM2000. Alia pun ada cerita dekat aku
yang kau ada pengalaman jadi trainer
dekat gym. Jadi macam mana sekarang, kau setuju?”
“Saya?” Terlopong Seri Embun
mendengarnya. Eh, sejak bila pulak aku jadi trainer
ni? Memandai aje tau budak Alia ni. Memang sengaja nak kenakan aku ke apa ni?
Puan Sri Zahlia mengangguk dengan
muka yang masih sombong.
“Ya. Kalau aku tak berjaya dapatkan
semula bentuk badan aku, aku akan pecat kau dan kau takkan berpeluang untuk
jadi menantu aku. Aku akan suruh Han hantar kau semula, balik ke kampung!”
Seri Embun terlopong lagi. Tentulah
dia tak kisah kalau tak dapat berkahwin dengan Azfahan. Cuma rasa-rasanya, dia
masih belum bersedia lagi untuk berjauhan dengan Afka. Alahai... Macam mana ni? Berjayakah aku
mengembalikan bentuk badan Puan Sri Zahlia sebagaimana badannya yang aku tengok
dekat gambar-gambar zaman mudanya dulu?
Ahhh..
Apa susah. Mulai hari ini, aku tak payah masak langsung. Mesti kurus punyalah
harimau tembam ni. Tapi kang kalau
dia mati kebulur macam mana? Siapa nak bayar gaji aku dua ribu yang dia
janjikan tu?
HARI
ini juga merupakan hari pertama buat Seri Embun bekerja sebagai pengurus di
butik peninggalan arwah Delina. Pagi tadi dia hanya dibawa ke butik untuk
berkenalan dengan pekerja-pekerja di situ. Dan sekarang pada sebelah petang
barulah dia akan dibawa semula ke sana.
“Nah, Embun boleh pakai blaus ni. Abang
ambil dari butik tu juga.” Afka meletakkan dengan cermat blaus yang masih
berbalut dengan plastik itu ke atas katil Seri Embun.
Seri Embun merenung blaus berwarna
ungu gelap yang sarat dengan taburan manik dan labuci itu. Cantik tu memanglah
cantik. Tapi... gila apa nak suruh aku pakai baju seksi macam tu?
Dia menggeleng tiba-tiba. “Terima
kasih sajalah, doktor. Embun akan pakai baju Embun sendiri.”
Afka mula berasa tak sedap hati.
“Baju sendiri?” Dia sudah
terbayangkan Seri Embun menggayakan kemeja jeans dengan seluar jeansnya yang
agak lusuh itu. Berkerut-kerut dahinya membayangkannya seperti hendak termuntah
saja.
“Mana boleh. Embun sekarang ni dah
jadi seorang pengurus butik tau. Mana boleh bergaya macam dulu lagi. Embun kena
ubah penampilan Embun. Barulah pelanggan akan lebih yakin untuk datang ke butik
tu.”
“Tak ada sebab untuk Embun berubah
jadi orang lain.” Seri Embun seperti bertegas. Dia langsung tidak memandang
wajah Afka. Dia kelihatan sibuk menyelongkar beg pakaiannya.
“Tapi...”
“Seorang guru tak perlu memakai baju
tadika atau baju sekolah semata-mata untuk meyakinkan anak-anak murid mereka.
Cukup sekiranya guru itu bijak memainkan peranan masing-masing supaya anak
murid berasa dekat dengan cikgu-cikgu mereka. Samalah juga dengan Embun. Tak
semestinya kalau Embun ni seorang pengurus butik, Embun juga kena ikut fesyen
terkini macam perempuan-perempuan lain,” jawab Seri Embun dengan tegas.
Meskipun jawapannya kedengaran lucu, namun ada kebernasannya. Maklumlah, Seri
Embun ni kan agak kebudak-budakan orangnya. Jadi jawapan yang diberikan pun
agak tidak matang.
Tak kisahlah semua tu. Yang penting
Afka sendiri terdiam dek kerana terpukul dengan jawapan yang diberikan.
Walaupun jawapan cerdik itu mengagumkannya, dia tetap berasa hampa.
Perangkapnya tidak menjadi. Baru dia berangan nak tengok Seri Embun bergaya
dengan pakaian yang lebih feminin. Nampaknya, kemeja jeans dan seluar jeans
lusuh itu sajalah yang akan dipandangnya tiap-tiap hari.
DENGAN
penuh yakin, Seri Embun melangkah masuk ke dalam Butik AfkaDelina. Nama
yang digubah dari kombinasi nama Afka dan arwah Delina tentunya. Tetapi, Seri
Embun tidak pula perasan semua itu. Menonong saja dia masuk ke dalam.
“Assalamualaikum... saya Seri Embun,
pengurus baru di sini.” Dia memperkenalkan dirinya. Sedikit pun dia tidak ambil
peduli apabila ada beberapa pekerja di situ yang berbisik sesama mereka dengan
wajah meluat. Tidak kurang juga yang sorok-sorok mengumpatnya. Tentunya mereka
mempertikaikan namanya yang kekampungan, dan juga kredibilitinya sebagai pengurus
di situ. Pakaiannya saja tidak meyakinkan!
Hummm...
Lantaklah... Nak kutuk-kutuk aku sangat ya! Kau belum kenal lagi siapa Seri
Embun! Dia perlu tunjukkan sisi dirinya yang berbeza. Di hadapan mereka, mana
boleh buat perangai gila-gilanya lagi. Perangai kebudak-budakan pun dah tak
boleh buat. Aku kena bertegas dan berubah jadi seorang yang professional, sebab
aku pengurus dekat butik ni!
“Ehem..Ehem... Ada pengumuman
sikit.”
Semua mata memandang ke arahnya.
“Mulai esok, pekerja-pekerja di sini
tidak dibenarkan sama sekali memakai pakaian yang menjolok mata. Pekerja
perempuan diminta menutup aurat sebagaimana yang dituntut oleh syarak.” Tak
semena-mena, tiba-tiba saja arahan itu dikeluarkan dengan selamba. Langsung
tiada perasaan bersalah sewaktu dia menuturkannya.
Masing-masing nampak terkejut
mendengarkan arahan ketua baru mereka itu. Dah macam dengar ceramah agama! Hah,
padan muka korang. Dahlah tak tutup aurat, suka mengumpat pulak tu.
Sekurang-kurangnya undang-undang yang baru aku gubal ni akan mengurangkan beban
dosa yang terpaksa korang tanggung. Tahu tak?
“Fahim...” laungnya pada satu-satunya pekerja lelaki di
butik tersebut.
“Saya nak kamu gantikan
patung-patung model dekat depan butik tu dengan patung-patung yang lebih sopan.
Bukannya patung-patung yang beraksi ghairah macam tu. Nak termuntah saya
menengoknya!”
Pekerja lelaki itu dengan patuhnya
mengangguk. Sedang beberapa pekerja yang lain terpinga-pinga, seperti tidak
bersetuju dengan arahan ketua baru mereka itu. Namun hanya mampu mendengus di
dalam hati sahaja.
Daripada berdiri memeluk tubuh, Seri
Embun menyeluk poket seluarnya pula. Namun, kepalanya masih dalam keadaan
tertunduk. Masih tak ada seorang pun yang dapat melihat wajahnya dengan jelas.
“Pada semua pekerja, saya nak
ingatkan. Sebolehnya, biar pekerja perempuan saja yang uruskan
pelanggan-pelanggan perempuan. Begitu juga sebaliknya. Kalau ada pelanggan
lelaki, biar pekerja lelaki yang uruskan. Memandangkan dekat butik ni cuma ada
sorang saja pekerja lelaki, saya minta sesiapa yang bertanggungjawab, tolong iklankan
jawatan kosong untuk cari lagi dua orang pekerja lelaki yang akan menjadi
sebahagian daripada keluarga kita dekat dalam butik ni.”
Masing-masing jelas terkejut dengan
polisi baru yang telah ditetapkan itu. Mereka semua saling berpandangan antara
satu sama lain dengan muka tidak puas hati dan mulut yang terpaksa ditahan buat
sementara daripada mengumpat bos baru mereka itu.
“Dan mulai hari ini juga, saya tak
nak tengok pakaian-pakaian perempuan yang seksi lagi dekat dalam butik ni.”
“Maksudnya?” Salah seorang pekerja
memberanikan diri untuk bertanya. Sebenarnya, soalan tersebut lebih kepada
tidak berpuas hati.
“Aurat perempuan yang sudah baligh
adalah dari hujung rambut hingga hujung kaki melainkan muka dan telapak tangan.
Faham maksud saya?” Seri Embun sudah berpeluk tubuh. Walaupun cara dan
pembawaannya agak tegas, suaranya sebenarnya masih kekal lembut dan sopan.
“Maknanya...?”
“Maknanya, mulai sekarang... butik
ini hanya akan menjual pakaian yang menutup aurat saja.”
Setiap daripada mereka, tak ada
seorang pun yang tidak terlopong mendengarkan kenyataan itu. Apatah lagi
selepas ini, mereka sendiri tidak dibenarkan sesuka hati mendedahkan aurat
sebagaimana seperti sebelum ini.
Seri Embun masih tidak ambil peduli.
Yang penting, hatinya puas kerana dapat menyuntik satu perubahan yang besar ke
atas butik tersebut. Semoga, setiap daripada mereka yang mengusahakan butik ini
akan mendapat ganjaran daripadaNYA. Insya-ALLAH...
Mulia sungguh hati Seri Embun.
P/S: Sebarang kritikan sama ada positif mahupun negatif teramatlah dialu-alukan. Penulis sangat memerlukan komen daripada pembaca sekalian. Terima Kasih. =)
Masih best siap dengan message yang jelas.
ReplyDeletesaya suka ! ngeee~
ReplyDeletegile laa...maen hentam je embun nie wt polisi cmtue..but mmg ptot pon wt cmnie :)
ReplyDelete-nur athira-