Monday, 3 December 2012

Isteri Paling Kelakar (BAB 9)

“PUAN SRI... Puan Sri... Bangunlah..” Seri Embun menggoncangkan bahu Puan Sri Zahlia dengan lembut. Selepas dia menghidangkan wanita itu segelas jus mangga, Puan Sri Zahlia terus tertidur di atas sofa. Penat sangat agaknya memandangkan pagi tadi, Puan Sri Zahlia perlu bangun seawal pagi untuk melakukan senaman ringan. Hari ini Seri Embun bercuti setelah beberapa hari dia menguruskan butik arwah isteri majikannya.
            “Puan Sri... Bangunlah, Puan Sri. Takkanlah dah lupa. Puan Sri kena jogging petang ni...” Dia kejutkan lagi dengan bersungguh-sungguh tetapi akhirnya dia mengalah juga. Payahnya nak kejutkan perempuan ni bangun. Kalau dia tak jogging, macam mana lah badan dia nak susut. Kalau tak susut, sia-sia aje aku kena balik kampung. Aku tak nak. Aku nak tinggal dekat sini dengan Afka. Ehhh... Sejak bila aku jadi miang ni?
            “Meow... Meow...” Eh mana pulak datangnya kucing kat dalam rumah ni?
            Dalam pada Seri Embun sedang melilau-lilau mencari bunyi kucing itu, tiba-tiba badannya terasa berat seolah-olah ada batu besar yang bergayut pada bahunya. Berkali-kali lututnya hampir jatuh terhentak ke atas lantai. Sangkanya, ada gempa bumi yang berlaku menyebabkan banglo tersebut runtuh. Tapi, keadaan sekelilingnya masih sama saja seperti biasa.
            Masya-ALLAH... Puan Sri Zahlia rupanya yang bergayut dekat bahu aku. Sejak bila pulak dia bangun ni? Dan apasal dia nampak takut semacam pulak ni? Siap baca ayat Kursi pulak tu!
            “Aku dengar bunyi kucing tadi. Kat mana kucing tu Bendul?” Dengan tubuh yang menggigil, mata Puan Sri Zahlia melilau-lilau kalau-kalau kucing yang tersesat itu berada tidak jauh dengannya.
            Seri Embun yang hendak tergelak berusaha keras menahannya. Takut kucing rupanya. Nampak aje brutal tapi dengan kucing pun takut. Inilah pertama kalinya aku tengok spesis harimau yang takutkan anak kucing. Berita ni kalau masukkan dalam majalah Mastika mesti laris ni!
            Daripada nak tergelak, Seri Embun sekadar tersenyum. Muncul satu idea nakal...
            “Kau halau kucing tu keluar dari rumah aku ni ya, Embun. Aku keluar jogging dulu. Jumpa kau dekat tasik.”
            Berdesup Puan Sri Zahlia berlari keluar dari banglonya. Takut sangat... Ni mesti ada pengalaman pahit dengan kucing ni...
           
           
           
           
               
           
            “EMBUN... Kenapa kucing tu ikut kita? Kau cubalah halau dia!” teriak Puan Sri Zahlia sekuat hatinya walaupun nafasnya sudah semput. Namun, dia masih berlari dengan kelajuan yang sama sambil tercungap-cungap dia meneguk udara. Bajunya pula sudah basah lencun dengan peluh.
            “Manalah Embun tahu, Puan Sri. Tadi Embun dah halau dia keluar dari rumah. Tak sangka pulak dia akan ikut kita sampai ke sini. Jinak betul ya kucing ni, Puan Sri...” Seri Embun menahan senyum. Dia memang dah biasa jogging. Mungkin sebab itu dia tidak mudah semput. Lagipun, usianya masih muda. Puan Sri Zahlia lainlah. Perempuan tu bukannya jogging. Dah macam lari pecut dah aku tengok semata-mata nak larikan diri daripada kucing yang ikut dari belakang aku ni..
            “Yang kau jogging dengan tangan kau letak kat belakang punggung tu apasal?” Sempat lagi Puan Sri Zahlia bersoal selidik. Rasa curiga bila dia lihat Seri Embun yang berlari-lari anak dengan kedua-dua belah tangannya seperti disorokkan ke belakang punggung. Apalah yang disorokkan dekat belakang punggungnya tu agaknya ya?
            “Errr...  Tak ada apa-apa lah, Puan Sri. Puan Sri... larilah cepat sikit. Embun tengok, kucing ni macam suka dekat Puan Sri aje. Makin laju pulak kucing ni lari. Dia pun nak jogging sebelah Puan Sri la tu agaknya...”
            Mendengarkan jawapan itu, dengan gelabahnya, Puan Sri Zahlia memecut dengan lebih laju lagi meninggalkan Seri Embun dan kucing ‘jinak’ tadi jauh ke belakang. Tak sampai lima minit, bayang Puan Sri Zahlia pun lesap. Fuhhhh... Mesti terkejut beruk abang-abang dekat padang bola tu tengok perempuan seusia Puan Sri Zahlia boleh berlari mengalahkan peserta lumba lari Olimpik!
            Tergelak-gelak Seri Embun dibuatnya. Kalau Puan Sri Zahlia semput sebab berlari jauh, dia pula semput memandangkan dari tadi perutnya menahan rasa nak tergelak melihat gelagat Puan Sri Zahlia yang takutkan kucing itu.
            Dia yang sudahpun memperlahankan langkah membongkokkan sedikit badannya. Anehnya... kucing tadi pun ikut berhenti. Seri Embun tersenyum sebelum dia mengusap-usap kepala kucing berbulu putih tompok-tompok hitam itu. Kemudian, dia menghulurkan ikan kembung paling fresh yang sempat dicurinya dari dalam peti ais dekat dapur tadi.
            Dengan buasnya, kucing itu meratah-ratah ikan tersebut. Alahai... Patutlah dari tadi kucing tu kejar dari belakang. Rupa-rupanya, Seri Embun sorokkan ikan kembung tu dekat belakang punggung dia. Hehehehe...
            Walaupun nampak macam kejam, aku terpaksa jugak buat semua ni. Kalau tak, sampai bila-bila pun badan Puan Sri Zahlia tu tak kurus-kurus, tembam macam tu jugak. Kalau dia tak kurus-kurus, aku jugak yang terpaksa tanggung akibatnya. Mesti Puan Sri Zahlia akan pecat aku dan aku pun akan dihantar pulang semula ke kampung. Kalau perkara tu terjadi, tak dapatlah aku nak kenal hati budi bakal suami aku.
            Oh Abang Afka...
            Dah macam orang kurang siuman pula Seri Embun ni bila dia bercakap dengan kucing!



           

            PUAN SRI ZAHLIA kelihatan terhincut-hincut kakinya sewaktu dia melangkah masuk ke dalam rumah. Menyeringai dia menahan sakit yang menyucuk-nyucuk. Mana tak sakit. Lepas penat dia berlari semata-mata nak elakkan diri daripada kucing puaka tadi, dia telah ‘ditakdirkan’ untuk bertembung pula dengan seekor anjing liar yang terlepas dari tuannya. Tak sempat dia nak berehat, sekali lagi dia terpaksa berlari dengan kelajuan yang lebih tinggi.
            “Embun.... Oooooo... Embun... Tolong picitkan kaki aku ni sikit.” Kasihan. Suaranya pun seperti tersepit dekat celah kerongkong. Tidak lagi selantang seperti sebelum ini. Eloklah tu... Tak ada lah pekak telinga orang-orang kat dalam rumah ni.
            Dengan patuh, Seri Embun terus mengambil tempat di sebelah Puan Sri Zahlia yang sudah terlentang di atas sofa. Buruk benar rupanya. Dah tak ada gaya ‘Puan Sri’ langsung. Bunga matahari yang sentiasa kelihatan melekat pada sanggulnya pun entah ke mana terbangnya. Habis berserabai rambut ikalnya itu. Hurmmm... Penat sangatlah tu..
            “Ni parut apa dekat betis Puan Sri ni?” Sengaja Seri Embun bertanya. Padahal parut yang dimaksudkannya itu tidaklah buruk. Cuma parut kecil sahaja. Dia bertanya pun sebab pelik melihat terdapatnya parut pada betis Puan Sri Zahlia yang putih bersih lagikan gebu itu. Lengan dan wajah Puan Sri Zahlia pun begitu. Bersih, langsung tidak terdapat sebarang cela apatah lagi parut.
            “Dulu, aku pernah bagi makan kucing cucu aku si Fyra tu. Tak sangka pulak kucing tu nak mengamuk. Huh... Dasar kucing tak reti nak bersyukur!”
            “Makanan apa yang Puan Sri bagi?” Seri Embun mengerutkan dahi. Kucing jenis apa pulak tu bagi makanan pun boleh mengamuk?
            “Sushi. Dah kebetulan waktu tu aku tengah makan Sushi King dan kucing tu pun sibuk menyelit tepi aku. Aku pun hulurkanlah sikit.”
            “Mungkin kucing tu bukan kucing Jepun kot, Puan Sri. Sebab tu dia tolak bila Puan Sri bagi dia makan Sushi. Kucing tu datang dari Italy lah tu agaknya. Patutnya Puan Sri bagi makan Spaghetti aje.”
            “Kau saja nak perli aku ya?” Puan Sri Zahlia yang separuh baring sudah menegakkan sedikit badannya.
            “Macam lah betis dia lawa sangat! Rupa pun macam jantan. Kaki kau tu sah-sah penuh kurap dengan calar-calar kan?” Dengan perasaan marah, terus seluar jeans gedoboh Seri Embun itu disingkapnya ke atas. Dia yang mahu meneruskan lagi penghinaannya terus terdiam. Terlopong mulutnya melihat betis si tomboy itu. Bukan saja putih melepak. Tapi licinnya... Masyaallah... Mengalahkan kaki model-model terkenal yang berjalan kat atas pentas peragaan!
            “Apa ni, Puan Sri. Main kasar pulak dia...” Seri Embun menolak tangan Puan Sri Zahlia sebelum dia lekas-lekas bangun untuk menghilangkan diri.
            Puan Sri Zahlia dibiarkan terlopong seorang diri. Tentunya dia masih lagi tidak percaya bagaimana seseorang yang gaya dan lagaknya seperti jantan, dengan penampilan yang langsung tak terurus, boleh memiliki susuk tubuh dan kulit yang begitu gebu dan menawan sekali.
            Selama ini, dia hanya berpeluang menatap wajah Seri Embun sahaja. Tapi, itu pun tidak begitu jelas memandangkan tudung yang digayakan Seri Embun seperti sengaja dibiarkan menggeleber. Namun, dalam diam, sebenarnya dari dulu lagi dia mengakui kecantikan semulajadi yang bersinar jelas pada wajah ‘bakal menantunya’ itu. Cuma yang kurangnya, wajah comel itu seperti sengaja dibiarkan tidak terurus. Adakalanya, kelihatan seperti berminyak. Apatah lagi Seri Embun sendiri memang tidak gemar merias wajahnya.
            Isy.. Tak boleh jadi ni. Apa orang kata bila tengok orang gaji sendiri jauh lebih cantik dari majikannya?
           
           
           
P/S: Sebarang kritikan sama ada positif mahupun negatif teramatlah dialu-alukan. Penulis sangat memerlukan komen daripada pembaca sekalian. Terima Kasih. =)

5 comments:

  1. Kelakar pulak Puan Seri ni.Makin sedap cerita ni.

    ReplyDelete
  2. muahaha... saya dahhhhh jatuh suka dengan cerita cik writer ni. serious kelakar you... =D

    ReplyDelete
    Replies
    1. hehehe..sukenye awak dh jatuh cinta ngn cite ni. Thnks k :)

      Delete
  3. really like this story ... so funny ... wee ~~~

    ReplyDelete
  4. puan seri dah menjelez :) hahaha..die daa rse tercabar tue :P

    ReplyDelete