Friday, 28 December 2012

Isteri Paling Kelakar (BAB 24)




24




             TANPA disangka-sangka, Sazzy telah datang semula ke kondminiumnya beberapa jam selepas dia meninggalkan Azfahan tadi. Agaknya kerana terbayang-bayangkan tubuh sasa kekasih hatinya yang tegap dan kekar itu, tidak jadi dia bermalam di rumah kawannya seperti biasa.
            Sebelum ini, memang dia sendiri yang sengaja memilih untuk tidak terlalu kerap pulang ke kondominiumnya yang mana sewanya ditanggung beres oleh Azfahan sendiri. Dalam sebulan, boleh dikira dengan jari saja berapa kali dia pulang ke kondominium mewah itu. Semuanya dilakukan bagi mengelakkan diri daripada  menjadi bahan kontroversi murahan wartawan-wartawan yang hanya tahu dan mahu melariskan surat khabar mereka semata-mata. Lagi pula, sejak dia tinggal di kondominium yang hanya dipisahkan dengan jarak satu pintu rumah itu, boleh dikatakan agak kerap juga dia bertengkar dengan Azfahan. Jadi, untuk mengelakkan permasalahan itu lah dia memilih untuk tinggal di rumah kawannya sahaja. Kebetulan kawannya yang juga seorang model ternama hanya tinggal seorang saja di dalam kondo yang ‘ditaja’ oleh lelaki berpangkat Tan Sri.
            Dalam keadaannya yang sudah tidak sabar-sabar itu, Sazzy meraba-raba beg tangannya sebelum segugus kunci dikeluarkan. Dia sudah berkira-kira ingin bermalam dengan Azfahan malam ini. Tapi sebelum itu, adalah lebih baik dia masuk ke rumahnya terlebih dahulu. Lagipun, badannya terasa berlekit. Berlengas!
            Padahal baru kejap tadi di rumah kawannya dia mandi dan membersihkan badan. Mungkin sudah jadi sebahagian daripada ‘rutin’ seorang supermodel yang pantang berpeluh walaupun sedikit.
Hanya selepas mandi dan betul-betul selesa nanti, barulah dia akan ke rumah Azfahan. Tentu kekasih hatinya itu tidak akan menolak.
Hairannya, sewaktu pintu sudah dibuka dan ditolaknya dari luar, dia lihat keadaan rumahnya sama seperti sebelum dia meninggalkan Azfahan beberapa jam tadi. Sekarang waktu sudah hampir menginjak ke subuh. Tinggal lebih kurang sejam saja lagi.
Takkanlah dia lupa nak tutup lampu pulak? Atau ada perompak yang ceroboh masuk rumah aku?
Ahhhh...Mustahillah. Sistem sekuriti dekat kondominium mewah ni boleh dikatakan antara yang terbaik memandangkan banyak mengimitasi sistem yang diamal dan dipraktikkan di negara-negara barat yang maju lagi moden.        
            Mungkin dia terlelap dekat rumah aku agaknya. Iyalah, mata dia kan sakit. Tak larat nak bangunlah tu agaknya. Baguslah... Senang sikit aku nak ‘terkam’ dia. Kalau kantoi pun tak ada lah aku ni nampak jahat sangat kat mata masyarakat sebab aku sekarang ni berada kat dalam rumah aku. Bukannya aku yang terhegeh-hegeh ceroboh masuk rumah dia! Bijaknya aku.... Sazzy tersenyum senang hati.
Sewaktu dia melepasi ruang tamu rumah yang agak luas bagi sebuah kondominium itu, tidak pula dia perasan kewujudan Azfahan yang terbaring tidur di atas sofa. Barangkali kerana kedudukan sofa yang membelakangkan pintu rumah. Jadi mungkin sebab itu dia tidak perasan. Hanya setelah terdengarkan dengkuran halus dari seseorang, barulah dia memusingkan tubuhnya.
            ‘Gosh! Perempuan mana pulak yang dia bawa masuk dalam rumah aku ni? Ini rupanya kerja dia selama ni? Eeeeee.... Mentang-mentanglah aku dah lama tak balik sini, suka hati dia aje nak bawak perempuan masuk sini! Tak guna punya jantan. Dasar buaya. Kat rumah aku sendiri kau khianat aku ya! Dengan perempuan kampung yang berbaju kurung macam orang gaji ni pun jadi ya kau!’
            Dengan hati yang geram, laju saja langkahnya merapati sofa panjang bersama dada yang mula bergoncang dahsyat.
            Kalau ikutkan hatinya, saat ini juga mahu dilanyaknya perempuan yang sedang nyenyak tidur itu. Tapi, kalau boleh, biarlah dia lihat wajah perempuan itu dulu. Dan kalau boleh juga, dia mahu rakam gambar perempuan itu dan malukan betina tak guna tu sampai hancur punah masa depannya! Agaknya perempuan ni tak tahu yang aku sanggup lakukan apa saja untuk kekalkan status aku sebagai girlfriend Azfahan!
            Tanpa mengejutkan ‘perempuan’ itu bangun terlebih dahulu, Sazzy yang nampaknya sudah gagal mengawal emosi, tanpa berfikir panjang terus merentap rambut ‘perempuan’ yang agak lebat kehitaman itu sebelum ditariknya dengan sekuat hati. Giginya sendiri terketap kuat menunjukkan betapa dia benci sehingga nyaris-nyaris ketapan itu menghiris bibirnya sendiri.
            Kedengaran dengusan Azfahan mengaduh sakit. Kepalanya terkehel dan rasa semacam hampir nak terputus saja urat lehernya. Mana tidaknya, sebentar tadi dia tidur dengan mukanya melekap pada bantal sofa dan apabila ditarik sebegitu kuat, berpusinglah urat lehernya kerana terpaksa mengikut rentak Sazzy yang ekstrem itu.
            Sazzy pula terus menekup mulutnya yang sudah terlopong. Terperanjat tentu sekali apabila ‘perempuan’ yang disangkanya sebagai perampas itu sebenarnya adalah pujaan hatinya sendiri.
            Tapi, kenapa dia perlu berbaju kurung macam ni? Baju siapa pulak yang dia pakai ni?
Mulanya, kerungsingan itu hanya terluah di fikirannya saja. Mungkin kerana terlalu terkejut, dia terpaksa mengambil masa yang agak lama untuk menagih jawapan daripada teman lelakinya itu. Dia masih tidak percaya dengan apa yang sedang dilihatnya.
            “Aaaa... Apa... Apa semua ni? Apa yang you cuba buat sebenarnya ni?”
            Terluah juga pertanyaan itu walaupun kalau diikutkan hatinya saat ini, sekarang juga dia mahu keluar dari situ. Untuk terus memandang kekasihnya yang baginya sedang dalam keadaan memalukan begitu pun dia sudah tidak sanggup. Dihumbannya pandangannya ke arah lain bersama dada yang berombak-ombak sementara menunggu Azfahan membuat penjelasan.
            Azfahan yang masih menguap kelihatan sedang mengurut-urut lehernya yang terasa sengal dan sedikit pedih. Dia masih dalam keadaan mamai sebenarnya. Sehinggalah Sazzy mengoncang-goncangkan lengannya, barulah matanya yang pejam itu terbuka perlahan-lahan. Sebagaimana Sazzy, dia sendiri terkejut melihat tubuhnya yang berbalut dengan baju kurung entah kepunyaan siapa itu.
            Hanya setelah dia betul-betul berada dalam keadaan sedar, barulah dia dapat refresh apa yang berlaku sehingga menyebabkan dia berpakaian begini. Malangnya sudah terlambat. Sazzy ternyata tidak mahu mendengar sebarang penjelasan daripada terlebih dahulu.
            “Sayang... Let me explain!”
            “Tak payah! You’re just wasting your time. Mata I dah explain semuanya pun. Selama ni I percayakan you. Tapi sekarang, nampaknya dah terbukti cerita kontroversi pasal hubungan songsang antara you dengan penyanyi yang baru nak naik tu! Ya Allah, kenapalah selama ni I boleh percayakan you? Hidup-hidup I kena tipu dengan you. Nampak aje macho, maskulin... tapi rupa-rupanya, gay!”
            Terus terbeliak mata Azfahan bila dituduh begitu. Hilang terus rasa mengantuknya. Namun, belum sempat untuk dia membela diri, Sazzy sudah pun melangkah dengan deras untuk keluar dari kondominium itu.
            Azfahan tak fikir yang dia sanggup mengejar kekasihnya itu apatah lagi dengan keadaannya berbaju kurung begini. Maka, dia mengambil keputusan untuk terus duduk di atas sofa itu bagi menenangkan fikirannya yang sudah mula berserabut.
Dia tidak pasti apa yang sedang berada di dalam fikiran Sazzy. Boleh jadi Sazzy beranggapan yang dia berbaju kurung begini kerana sedang berhadapan dengan kecelaruan dan kekeliruan identiti dan juga jantina. Perkara ini juga tidak mustahil memandangkan sebelum ini terdapat segelintir pihak yang cemburukan hubungannya dengan Sazzy sehinggakan ada dalam kalangan mereka yang sanggup mereka-reka cerita menuduh dirinya seorang pengamal homoseksual ataupun lebih mudah disebut sebagai gay.
            Dia masih ingat lagi kejadian yang sempat mengaibkannya tidak lama dulu. Waktu itu, dunia hiburan sempat kecoh seketika apabila gambarnya dengan seorang penyanyi lelaki kelahiran program realiti TV yang berwajah comel dan jambu tersebar di blog-blog hiburan Malaysia sebelum berjangkit pula ke akhbar-akhbar tempatan. Entah siapalah punya kerja yang cuba mengaitkan dirinya dengan penyanyi lelaki itu. Sedangkan cerita yang sebenar di sebalik gambar tersebut adalah berlainan daripada apa yang dicerita dan diheboh-hebohkan.
            Sebenarnya, waktu itu syarikatnya mengadakan satu majlis ringkas meraikan kejayaan syarikat yang semakin maju ke hadapan apabila berjaya meluaskan sayap ke tahap yang lebih tinggi. Beberapa artis telah diundang bagi slot persembahan dan artis tersebut termasuklah penyanyi lelaki yang telah dikaitkan dengannya itu. Dia pun bukannya minat sangat pun dengan penyanyi tersebut. Cuma waktu itu kebetulan mereka duduk di meja yang sama dan kebetulan juga mereka hanya duduk bersebelahan. Penyanyi itu pula jenis mesra dan ramah orangnya. Mungkin dari situ mereka nampak seperti mesra dan apabila ada yang mengambil kesempatan merakamkan gambar mereka, maka dari situlah bermula episod yang memalukannya sebagai seorang usahawan muda.
            Sazzy pun sempat terpengaruh dengan kontroversi murahan begitu. Tapi dia tidak pernah terfikir untuk salahkan Sazzy. Mungkin dia langsung tidak menunjukkan ciri-ciri sebagai seorang lelaki gay. Daripada caranya berpakaian dan bersosial, tidak sepatutnya dia dituduh dan diheret ke dalam golongan itu. Namun, bila dunia sudah hampir tiba ke penghujungnya, lelaki yang pasang sampai empat isteri pun ada yang masih mahu mengamalkan kehidupan songsang. Jadi, tidak hairanlah kalau dia yang bujang ini pun dituduh juga. Apatah lagi dengan sikapnya yang memang dilihat jarang sekali bergaul dengan mana-mana perempuan. Sedangkan hakikatnya, bukannya dia tidak mahu bergaul, cuma dia memang tidak pandai berkawan. Jangan kata perempuan, kawan lelaki pun seorang dua saja yang selesa berkawan dengannya!



           

            BAJU kurung yang kelihatan pelik tersarung pada tubuhnya ditanggalkan cepat-cepat dan dicampakkannya jauh-jauh seolah-olah baju itu adalah spesis ular yang paling berbisa di dalam dunia ini. Semalam dia tidak begitu meneliti penampilannya sangat. Sekejap tadi barulah dia berasa benar-benar malu dan terkejut sebaik dia berdiri di hadapan cermin jernih yang tingginya hampir mencecah ke siling itu. Cermin yang dia belikan sebagai hadiah buat Sazzy. Itupun kerana Sazzy yang meminta daripadanya. Dah nama pun supermodel, mestilah rumah pun kena lengkap dengan cermin besar macam dalam kelas tarian tu. Kata Sazzy, mudah untuk dia belek dan pastikan tubuhnya itu kekal langsing.
 Azfahan yang masih berdiri di hadapan cermin menggeletar tiba-tiba apabila dia teringat semula bagaimana buruknya tubuhnya yang tegap itu bila berbaju kurung. Geli-geleman sampaikan boleh naik terpacak bulu romanya. Seram sejuk dia dibuatnya. Kenapalah aku boleh jadi bodoh sampai macam tu sekali? Sampai boleh memandai-mandai pergi sarungkan jugak baju kurung tu. Dah gila agaknya aku ni sebab dah lama tak keluar rumah. 24 jam asyik bergaul aje dengan perempuan gila tu, macam mana aku tak gila sekali?
Sekali lagi ‘Sherry’ yang menjadi mangsa dan dipersalahkan. Padahal dia yang ego! Dia yang pantang dicabar, sebab itulah dia langsung tak fikirkan risikonya sewaktu dia sarungkan baju kurung bunga-bunga kecil itu malam tadi. Lagi mahu salahkan ‘Sherry’? Tak guna betullah mamat sorang ni!
Dengan keadaan badannya yang tidak berbaju itu, selamba sahaja Azfahan menonong keluar dari rumah kekasihnya itu. Takkan nak sarungkan baju Sazzy pulak.  Memandangkan sekarang dia berada di rumah Sazzy, jadi dia terpaksa juga menayangkan tubuh sasanya secara percuma.
Tubuh yang kalau diikutkan hanya boleh dilihat di kaca televisyen sahaja memandangkan tubuhnya boleh dikatakan lebih kurang sahaja bentuknya dengan tubuh pelakon Chris Evans. Cuma, kulitnya tidaklah terlalu cerah. Namun, dadanya tetap liar ditumbuhi bulu-bulu halus yang kemas terbajak di sekitar bahagian dadanya. Seksi...
 Cuma kali ini dia bukan sengaja mahu mengadakan tayangan amal mahupun tayangan percuma jauh sekali tayangan yang cuba merangsang nafsu mana-mana perempuan yang tentu sekali akan tergila-gilakannya. Kali ini, dia benar-benar terpaksa. Iyalah, takkanlah dia nak terus berbaju kurung kot. Matilah dia kalau ada jirannya yang pandang dia dalam keadaan begitu. Daripada berbaju kurung, tentulah lebih bermaruah bila dia memilih untuk menayangkan tubuhnya yang sederhana kurus tetapi berotot padu dan sasa itu.
            Seperti biasa, pintu rumah dibiar terbuka dengan luas walaupun waktu sekarang ini masih terlalu pagi. Tak kisahlah semua tu. Yang penting, dia tidak mahu mengundang bahan mulut daripada orang sekeliling yang memang cukup suka menjatuhkannya. Sebab itulah dia harus berjaga-jaga dan berwaspada. Dan yang lebih penting lagi, dia tidak mahu dicekup dengan ‘Sherry’ apatah lagi apabila dipaksa berkahwin dengan perempuan kolot itu. Tak, dia tak sanggup dan dia tak mahu! Walau syarikat emas berlian Rafflesia menaja perkahwinannya sampai beratus-ratus juta sekalipun, dia tetap tidak mahu. Walaupun sekiranya perkahwinannya itu nanti ditabalkan sebagai perkahwinan yang paling mahal dalam sejarah orang kenamaan di Malaysia, dia tetap tidak mahu kalau pengantin perempuannya adalah ‘Sherry’! Buat apa perkahwinan sampai berjuta-juta kalau market muka pengantin perempuan tak sampai berapa sen!
            Ahhh... Tiba-tiba dia berasa benci pada ‘Sherry’ walaupun dia hanya membayangkan sahaja perkara itu. Dan menjadi semakin benci dan marah bila mengingatkan bagaimana ‘Sherry’ meninggalkannya tertidur di rumah Sazzy dengan berbaju kurung tanpa mengejutkannya terlebih dahulu. Tak pasal-pasal Sazzy merajuk dengannya. Sudah berkali-kali dia cuba menghubungi kekasihnya itu namun telefonnya dimatikan sejurus selepas beberapa panggilan yang dia lakukan.
            Apakah ‘Sherry’ memang sengaja mahu mengenakannya?
             Hurmmm... Ada kemungkinan juga memandangkan sebelum ini dia memang cukup suka kenakan aku. Ataupun dia tak sampai hati nak kejutkan aku bangun? Hurmmm.. Yang ni pun ada kemungkinannya juga. Walaupun dia sedar yang selama ini ‘Sherry’ cukup suka mengenakannya, namun dalam sesetengah perkara, dia perasan yang ‘Sherry’ juga sebenarnya adalah seorang manusia yang cukup menjaga hati orang lain. Boleh dikatakan dia seorang yang agak  penyayang dan mengambil berat walaupun dia cuba menyembunyikan sifat semulajadinya itu.
            Tapi dalam kes baju kurung malam tadi, aku yakin yang budak kampung tu memang sengaja nak perangkap aku! Entah-entah dia yang call Sazzy minta Sazzy balik semula ke kondonya? Iyalah hairan juga. Sepatutnya selepas Sazzy keluar malam tadi, seharusnya kekasihnya itu sudah pun berada di rumah kawannya. Apatah lagi Sazzy yang dikenalinya memang tidur awal mengikut jam yang dia sendiri tetapkan. Paling lewat Sazzy tidur pun dalam pukul 11 malam. Tapi selalunya pukul 10 malam lagi Sazzy sudah masuk ke bilik tidur. Kata Sazzy, seorang model sepertinya perlu cukup rehat dan tidur demi memastikan kesihatan dan kecantikan diri luar dan dalamnya sentiasa terjaga dengan baik.
            Nampaknya, bukti dah lebih daripada cukup untuk mensabitkan budak kampung tu! Memang sahlah yang dia memang sengaja nak perangkap aku! Memang sengaja nak porak-perandakan hidup aku!
            Ya ALLAH... Apa kenalah dengan Azfahan ni. Dia sendiri yang gatal-gatal pergi sarungkan baju kurung tu, sekarang dia nak salahkan ‘Sherry’ pula? Sepatutnya awal-awal lagi dia patut ingatkan dirinya sendiri, haram hukumnya lelaki yang cuba menyerupai perempuan walaupun malam tadi dia memakainya bukan dengan niat nak menyerupai perempuan. Lebih kepada rasa tercabar sebenarnya. Sebab itulah dia sarungkan juga baju kurung ‘Sherry’ itu ke tubuhnya. Tapi harus diingat, haram tetap haram dan niat tidak menghalalkan cara. Tetapi lelaki seperti Azfahan ni, seorang yang betul-betul menitikberatkan halal haram ke?
            Sebagaimana keadaan rumah Sazzy sewaktu dia tidur di atas sofa sebelum dikejutkan oleh kekasihnya itu, begitulah juga keadaan rumahnya sendiri. Malah lebih cerah. Bukan saja lampu ruang tamu saja yang terpasang. Lampu dapur, lampu balkoni, lampu bilik tidur, lampu toilet bahkan chandelier mewah yang sepatutnya hanya sesekali dipasang sewaktu upacara-upacara penting turut dinyalakan. Siapa lagi kalau bukan kerja ‘Sherry’.
            Susah betullah kalau datang dari ceruk kampung ni! Lagi-lagi budak kampung yang terkena kejutan budaya macam ‘Sherry’ ni. Semua benda dia nak geledah. Macam orang gila dapat masuk istana! Mentang-mentanglah dia tahu aku ni berkemampuan. Dasar perempuan kampung tak sedar dek untung. Entah-entah dekat rumah kau kat ceruk kampung tu jangan kata chandelier, silap-silap lampu kalimantang pun tak ada. Agaknya bergelap sepanjang masa, tak pun guna pelita aje! kutuk Azfahan di dalam hati.
            Dadanya berdebar-debar dengan rasa tidak sabar. Ya, memang dia sudah tidak sabar-sabar lagi, mahu dijeritnya di tepi telinga perempuan yang dibencinya itu. Biar hancur musnah mimpi indahnya!
            Sangkanya ‘Sherry’ sekarang ini sedang nyenyak tidur di atas katilnya yang mampu memuatkan sehingga tujuh orang dewasa itu. Buruk sangka betul. Sampaikan sempat pula dia bayangkan bagaimana lasaknya perempuan kolot seperti ‘Sherry’ tidur di atas tilamnya yang luas seperti tidur di atas padang itu. Bezanya, padang yang luas tidak mampu menandingi keselesaan apabila membaringkan sahaja tubuh di atas tilam yang begitu empuk dan lembut bagai memecal-mecal, mengurut-urut belakang badan. Bayangkan sahaja sudah terliur dibuatnya. Apatah lagi manusia kolot seperti ‘Sherry’. Tentu Sherry sedang asyik merasai nikmat sebuah tilam yang diimport khas dari luar negara itu. Agaknya, entah berapa gelen pula air liur basi ‘Sherry’ yang tumpah ke atas tilamnya dek kerana terlalu teruja dan terlalu nikmat tidur dan berbaring di atasnya.
            “Puasnya tidur kat atas tilam ni sampaikan I boleh mimpi I sedang berbaring kat atas badan Brad Pitt. Tak rasa macam mimpi pulak tu. Rasa macam betul-betu. Rasa real sangat...” komen Sazzy sewaktu kekasihnya itu tidur di dalam biliknya. Waktu itu dia ada urusan di luar negara. Sazzy yang dikenalinya memang cukup suka membakar api cemburu. Mujurlah waktu itu dia tidak ambil kisah sangat kerana baginya, pelakon kacak yang sudah agak lanjut usianya itu bukanlah saingannya. Ternyata dia jauh lebih tampan dan segak daripada Brad Pitt.
            Mengenangkan pula yang katil besarnya itu nanti bakal menjadi tempatnya menghangatkan unggun asmaranya dengan Sazzy maka makin radanglah hati yang sudah sedia hangat itu. Malangnya setelah pintu dibuka, ‘Sherry’ tiada di situ!
            Ke mana pula budak tu pergi?
            Azfahan terus menoleh. Dan dia seperti tidak berpuas hati sebaik terpandangkan tubuh kecil ‘Sherry’ yang terbaring elok dan muat-muat sahaja di atas sofa dua tempat duduk di ruang tamunya. Kenapa dia tak tidur saja kat dalam bilik? Saja nak umpan simpati aku? Atau nak tunjuk yang dia tak hairankan segala kemewahan yang ada kat dalam rumah ni?
            Tak habis-habis! Apalah yang mamat ni tak puas hati sangat ni? Bukan ke tadi dia juga yang marah bila bayangkan ‘Sherry’ sedang nyenyak tidur di atas katilnya? Sekarang bila dia dapat tahu ‘Sherry’ hanya tidur di atas sofa, takkanlah dia nak marah juga? Mahu lihat ‘Sherry’ tidur kat atas lantai baru puas hati dia agaknya! Tiba-tiba saja nak berasa bengang tak tentu pasal. Entah apa yang dia geramkan sangat agaknya. Ataupun dia malu kerana hatinya yang busuk itu sebentar tadi telah melonggokkan bermacam-macam tuduhan ke atas ‘Sherry’ dan sekarang tuduhan itu jelas tidak berasas?
            ‘Sherry’ tidaklah seburuk itu. Mungkin gadis itu seorang yang materialistik, tetapi tidaklah sehingga melebihi daripada batas yang hanya akan membuatkan peribadinya kelihatan buruk. Yang hanya akan memalukan nama baik keluarga dan juga agamanya. Sherry bukanlah seburuk itu.
            Ya, dia memang dilihat cukup teruja dan kagum sewaktu melihat bagaimana mewah dan indahnya ruang kondominium kepunyaan Azfahan ini. Dia juga pernah membayangkan betapa indah dan mewahnya bilik tidur yang terdapat di dalam kondominium milik lelaki itu. Namun, dia tetap sentiasa beringat dan berpesan pada dirinya sendiri supaya sentiasa menjaga tingkah lakunya. Walaupun hati budak kampung ini melonjak-lonjak mahu melihat bagaimana indah dan serba lengkapnya ruang kamar Azfahan, ditahannya keinginannya itu. Sebab itulah dia hanya tidur di atas sofa sahaja. Langsung dia tidak menjenguk mahupun mengintai mana-mana bilik tidur yang terdapat di dalam kondominium mewah itu. Dia masih seorang perempuan yang tahu menjaga adab dan tingkah laku. Itu jugalah pesanan ayahnya, berkali-kali sebelum dia bertandang ke kota metropolitan ini.
            Namun, Azfahan tetap berasa tidak puas hati. ‘Sherry’ yang tidur dengan dada yang berombak lembut itu dihampirinya dengan niat yang awal-awal sudah dipasang. Niatnya, dia ingin memarahi gadis itu semahu-mahunya. Banyak point yang boleh digunakannya untuk memarahi ‘Sherry’. Antaranya ialah sikap ‘Sherry’ yang membazir tak tentu hala dengan sengaja membiarkan rumahnya itu terpasang dengan segala jenis lampu yang ada. Daripada chandelier sehinggalah ke perhiasan lampu yang diletakkan di atas meja. Meriah betul! Dah macam I-City pulak aku tengok rumah aku ni! Akuarium yang aku baru beli, yang belum lagi diisi dengan ikan-ikan pun habis dipasangnya lampu akuarium tersebut. Takut gelap agaknya budak kampung ni.
Azfahan tersenyum tanpa dia sedar. Kepalanya tergeleng spontan. Tetapi tidak lama selepas itu senyumannya mati. Ketika ini dia sedang tegak berdiri beberapa langkah sahaja daripada sofa yang menampung tubuh kecil gadis yang dibencinya itu. Dengan muka yang meluat dan bibir yang tercebik, dari bahagian atas kepala sofa, dia memanjangkan sedikit lehernya untuk menjenguk wajah ‘Sherry’. Sebelumnya, dia hanya dapat melihat separuh daripada badan ‘Sherry’ sahaja memandangkan pemegang sofa yang direka secara meninggi itu sedikit membataskan pandangannya.
            Daripada rasa nak marah, hilang sedikit debaran di dadanya. Digantikan pula dengan debaran yang dia sendiri tidak cukup bijak untuk menafsirkan apakah yang sedang dirasakannya saat ini.
            Tenang... Itu sahaja yang terdetik di hatinya saat melihat wajah polos yang bersih itu sedang nyenyak tidur dengan mata yang terpejam. Barangkali perasaan itu hadir tanpa disedarinya memandangkan wajah bersih itu kelihatan begitu bersih dan riaknya tampak sopan sekali. Langsung tidak terdengar sebarang dengkuran mahupun dengkuran halus yang keluar dari bibirnya yang tertutup rapat itu. Tidak seperti sesetengah orang yang tidur dengan mulut yang terbuka. Mungkin sebab itulah dengkuran menjadi semakin kuat dan mungkin juga sebab itulah air liur basi boleh tumpah sehingga melimpah-limpah.
            Lain benar keadaannya dengan gadis yang sedang enak beradu ini. Seperti sedang mengalami mimpi yang tersangatlah indah, ataupun boleh dikatakan seperti sedang tidur dalam suasana bulan madu bersama suami tercinta. Setakat ini, tak pernah lagi rasanya dia melihat sesiapa sekalipun yang tidur dalam keadaan sebegini sopan. Senang sekali dia memandangnya seperti memandang bayi yang sedang nyeyak tidur setelah disusukan.
            Entah mengapa dia boleh merasakan perasaan yang sebegitu. Mungkin juga kerana tudung yang masih tersarung kemas sehingga langsung tidak menampakkan walau seurat rambut itu, secara tidak sedar dan dalam diam, mungkin itulah sebenarnya yang telah membuatkan hatinya berasa begitu tenang bila memandang wajah bersih mulus tanpa sebarang jerawat mahupun cela itu.
            Daripada wajah yang menenangkan itu, mata Azfahan merayap pula ke bahagian yang lebih mencabar. Hinggap pula ke tubuh ‘Sherry’ yang baginya tidak memiliki potongan yang menarik itu. Tapi untuk pertama kalinya, dia berasa tertarik. Bukan kerana dia sudah berubah fikiran dan menganggap badan ‘Sherry’ sudah berjaya memikat hatinya. Cuma tersuntik rasa kagum sebaik terpandangkan sehelai kain batik yang tidak sebesar mana tetapi seboleh-bolehnya digunakan juga untuk menutup tubuhnya walaupun yang dapat ditutupnya hanyalah dari paras atas dada sehingga ke sekitar pinggang. Mungkin ‘Sherry’ tidak berani masuk ke dalam bilik tidur untuk meminjam dan menggunakan selimut tebal yang sememangnya tersedia di dalam setiap bilik tidur di dalam kondominium Azfahan itu.
            Sekali lagi Azfahan tersenyum tanpa sedar mengenangkan hingga begitu sekali ‘Sherry’ menjaga maruah dan peribadinya. Sempat lagi ‘Sherry’ menukar pakaiannya malam tadi kepada jubah yang longgar dan tebal memandangkan dia tahu yang dia akan tidur di sebuah rumah yang pemiliknya adalah seorang lelaki.
            Memandangkan bahaya ada di mana-mana, ‘Sherry’ seperti berjaga-jaga. Bukannya dia meletakkan rasa buruk sangka pada Azfahan. Tidak perlu perlekehkan dia! ‘Sherry’ sedar, yang dia langsung tidak kelihatan menarik di mata lelaki yang cukup sempurna fizikal dan rupa paras pada pandangan matanya itu. ‘Sherry’ tahu, kalau dia berpakaian seksi sekali pun, belum tentu Azfahan terliur melihatnya. Namun, dia tetap wajib menjaga dan melindungi maruah dirinya. Manalah tahu kalau tidurnya ditakdirkan terlajak sehingga ke lewat pagi dan kebetulan Azfahan masuk ke dalam rumahnya ini, tentu keadaan begitu tidak manis memandangkan mereka langsung tidak mempunyai sebarang pertalian.
            Itulah yang difikirkan oleh Azfahan. Wow! Untuk pertama kalinya dia berbaik sangka terhadap perempuan yang seringkali menerima makian dan tuduhan daripadanya itu. Ingatkan dia akan fikir yang ‘Sherry’ ni seorang perempuan yang perasan! Kononnya berselubung begitu, macamlah ada orang yang nak sentuh dia! Tapi tidak, Azfahan kali ini sudah tidak seburuk itu sangkaan dan tanggapannya.
            Belum pernah lagi dia melihat mana-mana manusia yang tidur dalam keadaan sesopan ini. Mungkin disebabkan itulah ketika ini matanya memandang pelik. Namun, dalam pandangan pelik itu sebenarnya sedang menceritakan satu perasaan yang cukup kagum terhadap Sherry.
            Sejujurnya, belum pernah lagi dia menemui perempuan sebegini. Lebih-lebih lagi dalam lingkungan kehidupan liar dan mewahnya di Kuala Lumpur ini. Seorang perempuan yang masih bersungguh-sungguh menjaga peribadinya. Seorang perempuan yang tidak mahu dilihat sebagai perempuan yang cantik dan sempurna walaupun dia memiliki rupa paras yang boleh tahan juga menariknya. Tetapi hatinya kuat mengatakan yang perempuan ini bukanlah seorang yang obses ingin menayangkan kecantikannya walaupun dia adalah seorang perempuan yang agak materialistik.
            Azfahan tersenyum mengingatkan hal yang satu itu. Walaupun dia tahu sifat buruk ‘Sherry’ itu dan walaupun dia pernah mengutuk sikap gadis kampung yang materialistik itu, tetapi tidak lagi untuk kali ini. Sebaliknya, dia bertambah kagum. Ya, dia kagum melihat bagaimana seorang perempuan yang obses pada pakaian-pakaian cantik dan pakaian-pakaian yang mahal-mahal, masih meletakkan batasan dalam dirinya. Masih tidak membenarkan sifat obses dan materialistiknya itu memakan dirinya sendiri dan memakan maruahnya sebagai seorang yang begitu menitikberatkan pegangannya sebagai seorang muslimah. Bawalah ‘Sherry’ ke butik yang paling mahal sekalipun, materialistik ‘Sherry’ sekalipun, ‘Sherry’ tidak akan terliur melihat pakaian-pakaian yang tidak sesuai untuk dipakainya. Pakaian-pakaian yang haram untuk ditayang sesuka hatinya.
            Sifat materialistik ‘Sherry’ berbeza sekali jika dibandingkan dengan sifat materialistik Sazzy kekasihnya. Sazzy tidak pernah membataskan dirinya. Apa yang dirasakan cantik dan mahal, akan dibelinya bahkan adakalanya walaupun satu-satu pakaian itu tidak sesuai dengannya, Sazzy tetap akan membelinya hanya kerana harganya yang mahal dan hanya kerana jenamanya yang terkemuka. Berbeza sekali dengan ‘Sherry’. ‘Sherry’ memang sukakan sesuatu yang bersifat cantik. Cantik di matanya, dia akan terus mengambilnya tanpa meminta pandangan daripada orang lain kerana yang memakainya adalah dia. Jadi, dia langsung tidak hiraukan apa orang nak kata!
            Awal-awal lagi dia sudah dapat menghidu sewaktu dia membawa ‘Sherry’ ke butik pereka fesyen kesayangan Dato’ Siti Nurhaliza, Rizman Ruzaini tempoh hari. Dia tahu, ‘Sherry’ sengaja mahu mengenakannya. ‘Sherry’ sengaja menggunakan kesempatan itu untuk mengikisnya semahu-mahunya. Habis diborongnya semua pakaian mahal-mahal yang terdapat di situ sedangkan dia tahu, ‘Sherry’ ini walaupun seorang yang cukup suka bergaya, namun citarasanya bukanlah pada pakaian yang terlalu sarat hiasan dan melampau-lampau rekaannya. ‘Sherry’ masih boleh dikategorikan sebagai seorang perempuan yang bergaya secara bersederhana. Tetapi tetap kelihatan manis dengan penampilannya yang sopan begitu berbanding gaya dan imej Sazzy. Adakalanya dia sendiri sudah muak melihat penampilan yang berubah saban hari seolah-olah ingin menyatakan bahawa dirinya itu adalah seorang yang tidak berpendirian dan masih kabur tentang apa yang dimahukannya terhadap dirinya sendiri. Dia lebih senang melihat perempuan yang tidak menggunakan sebarang solekan untuk mencantikkan wajahnya. Seperti ‘Sherry’ yang hanya menggunakan senyuman dan ketenangan yang ada di dalam dirinya bagi menyerikan wajahnya yang tidaklah cantik, tetapi tetap menarik untuk dipandang itu.
            Terserlah senyuman nipis di bibir Azfahan namun tidak lama kemudian dia tersentak bagai disergah seseorang yang menyergah tanpa amaran. Seperti baru tersedar daripada satu khayalan yang sangat panjang dan melekakan. Matanya dipejam berkali-kali dan dia mengulangi perbuatan yang sama untuk beberapa kali lagi. Tujuannya ingin menyedarkan dirinya sendiri. Dahinya terasa berpeluh-peluh. Lalu, dia terus meraup mukanya seperti kesalkan sesuatu. Matanya dipejam serapat-rapatnya.
            Kenapa dengan aku ni? Kenapa baru sekarang pulak aku boleh terfikir untuk bandingkan perempuan kolot ni dengan seorang supermodel yang digila-gilakan oleh semua lelaki tu?
Supermodel yang pernah kecoh kerana telah menyebabkan seorang lelaki yang pernah bertindak ingin membunuh dirinya hanya kerana supermodel itu sekadar menganggap lelaki tersebut tidak lebih daripada sekadar peminatnya sahaja. Begitulah hebatnya penangan supermodel merangkap kekasih hatinya itu! 
            Kalau nak dibuat perbandingan sekalipun, kenapa tidak dibandingkan sahaja Sazzy kekasihnya itu dengan mana-mana ratu cantik dunia? Dan kenapa pula ‘Sherry’ mesti dibandingkan dengan Sazzy? Layakkah ‘Sherry’ menyaingi Sazzy? Kalau dulu untuk membandingkan Seri Embun dengan makcik bertubuh gempal dengan tuala jenama Good Morning di atas bahunya merangkap tea lady di syarikatnya itu pun dia bagaikan tidak sanggup kerana baginya makcik yang pandai bergaya dan tetap mahu mengenakan bedak pada mukanya yang bersopak itu, yang sesekali masih teringin berbaju kebaya itu jauh lebih baik jika hendak dibandingkan dengan Seri Embun yang dikenalinya awal-awal dulu. Seorang perempuan yang baginya terlalu selekeh!
            Tapi sekarang kenapa segala anggapannya perlu berubah dengan begitu drastik sekali?
            Azfahan langsung tiada jawapan untuk soalan itu. Gelisah dia memikirkannya. Dan semakin gelisah dia dibuatnya apabila dia perasan yang beberapa bahagian anggota tubuh ‘Sherry’ sudah bergerak sedikit sebaik sahaja azan Subuh dilaungkan. Muka ‘Sherry’ juga sudah berkerut-kerut seolah-olah lenanya terganggu.
            Kelam-kabut jadinya Azfahan melihat keadaan itu. Dia tahu, masa sudah terlalu suntuk untuk dia melesapkan dirinya ke dalam bilik tidurnya. Apatah lagi dengan keadaan kondonya yang begitu luas itu. Jarak ruang tamu dengan bilik tidur boleh dikatakan jauh kalau dia berlari sekalipun. Tentu dia memerlukan masa juga untuk mengelakknya dirinya dikesan di pandangan ‘Sherry’. Tak pasal-pasal pula habis pecah perhiasan kaca dan kristal yang mahal-mahal terdapat di dalam kondonya itu.
            Lantas, tanpa pilihan yang dia ada, Azfahan terus merebahkan kedua belah lututnya ke atas lantai dan merangkak perlahan-lahan ke belakang sofa. Di belakang sofa yang tinggi tempat bersandarnya itu, dia bersembunyi bersama nafas yang sudah tidak teratur namun sehabis baik dia cuba mengawalnya. Dia tidak boleh hanya sekadar membongkokkan tubuhnya memandangkan ketinggian yang lampai. Jadi, terpaksalah dia meniarap lagak gaya seorang tentera di medan perang. Ketika ini, dia meletakkan dirinya seperti sedang berurusan dengan projek yang melibatkan keuntungan sehingga berjuta-juta. Kerana sekarang ini dia sedang berurusan dengan soal maruahnya sendiri. Malulah dia kalau ‘Sherry’ menyangka yang dia cuba mengambil kesempatan dengan sengaja membelek-belek tubuh gadis itu.
            Langsung tidak kedengaran derap tapak kaki ‘Sherry’ yang melangkah. Hanya kedengaran bunyi pintu bilik air yang dibuka, kemudian ditutup dan akhir sekali dikunci dari dalam. Selepas itu, kedengaran pula air yang melimpah walaupun tidak terlalu kuat hentakannya. Daripada bunyinya saja Azfahan tahu yang ‘Sherry’ bukannya mandi. Tentu sekali ‘Sherry’ sedang berwudu’ ketika ini.
            Terasa seperti dilibas-libas hatinya mengenangkan apa yang sedang dilakukan oleh gadis yang sering dicemuhnya di dalam hati itu. Dalam tidurnya yang begitu nyenyak dan selesa, mudah sahaja ‘Sherry’ terjaga dari lenanya. Hanya perlu dikejutkan dengan suara azan.
            Berbanding dengan dirinya yang hanya terjaga setelah dia menggunakan iPhonenya untuk mengejutnya bangun Subuh. Bukan kerana kecanggihan iPhone tersebut yang menyebabkan dia mudah terjaga seawal 6 pagi. Puncanya adalah ringtone alarmnya yang telah disetkan dengan lenggok suara manja Sazzy pengarang jantung hatinya. Setiap kali alarmnya diset untuk mengejutkannya setiap jam 6 pagi, setiap kali itulah akan kedengaran suara gedik Sazzy yang direkodkannya untuk dijadikan alarm atau reminder yang akan mengingatkannya tentang apa saja.
Dan setiap kali itulah kedengaran suara Sazzy merengus-rengus mengejutkannya dengan lenggok suara seksinya yang penuh berahi.
“Sayang, dah pagi ni. Bangunlah sayang... Tapi kalau you masih rasa susah nak bangun jugak, apa kata you cuba bayangkan I tidur kat sebelah you. Okay sekarang, tenangkan fikiran you dan bayangkan pula you tengah peluk badan I ketat-ketat sehingga badan you terasa panas dan hangat.”
Itulah ‘nasihat’ yang Sazzy sendiri rekodkan menggunakan iPhone kepunyaannya.
Azfahan tersenyum sumbing. Dia masih ingat lagi. Ketika itu dia mengadu masalahnya pada Sazzy berkenaan dirinya yang cukup susah untuk bangun seawal pagi. Alasannya, dia memang mengalami masalah susah nak bangun tidur apatah lagi bila sudah berada dalam keadaan dan suasana yang sejuk dan selesa.
 Dengan manja, Sazzy terus merampas iPhone di tangannya. Ketika itu mereka sedang makan petang di sebuah hotel. Dan ketika itu juga Sazzy dengan gaya seksi dan manja yang dibuat-buatnya terus merakamnya suaranya menggunakan iPhone tersebut.
“Nah, I yakin lepas ni you takkan face dengan masalah lambat bangun pagi lagi. Bila badan you berpeluh-peluh sebaik saja you bayangkan diri you tengah peluk body I yang hot ni, mesti you akan terjaga dan bangun untuk mandi. Eh, maksud I bukan mandi wajib. Tapi mandi macam biasa untuk bersihkan peluh you tu aje.” Dalam meyakinkan, sempat lagi Sazzy bergurau begitu. Sempat juga dikenyitkan matanya sekali.
Tapi memang betullah jaminan Sazzy. Sejak itu, dia sudah tidak berhadapan dengan masalah bangun lewat lagi. Lenggok suara Sazzy yang manja dan seksi itu benar-benar menggodanya walaupun sehingga kini, rakaman suara Sazzy yang sama itu sudah mencecah beratus kali digunakan untuk mengejutnya bangun pagi. Sebelum azan Subuh kedengaran, dia sudah termimpi-mimpi bagaimana hangatnya tubuhnya setelah memeluk tubuh Sazzy. Dia yang susah bangun pagi atas alasan sejuk dan dingin, lewat kebelakangan ini cukup mudah pula untuk bangun pagi kerana membayangkan sahaja tubuh Sazzy yang gebu dan seksi itu, dia sudah pun berasa hangat sehingga meronta-ronta di dalam hati.
Kesal bila diingatkan betapa jahilnya dia jika hendak dibandingkan dengan ‘Sherry’ yang begitu mudah sekali terjaga daripada tidurnya. Hanya dengan suara azan yang dilaungkan, dia dapat lihat wajah ‘Sherry’ seperti asyik dan begitu rindu sekali ingin mendengarkan laungan suci itu walaupun ketika itu gadis itu masih dalam situasi separa sedar. Berbeza pula dengan dirinya yang memerlukan suara Sazzy yang manja dan mengada-ngada itu, yang bisa mengocakkan nafsu serakahnya dengan ‘puisi-puisi’ yang berbaur sedikit lucah semata-mata untuk mengejutkannya bangun bagi mendirikan solat Subuh.
Astaghfirullah... 



 P/S: Sebarang kritikan mahupun carutan sama ada positif mahupun negatif teramatlah dialu-alukan. Penulis sangat memerlukan komen daripada pembaca sekalian dan akan menerimanya dengan berlapang dada.

9 comments:

  1. Bila Seri Embun yg sebenar nak muncul? Asyik kembar dia je. Nak tahu apa jadi kat Afka haritu..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sabar. Nanti Seri Embun akan muncul jugak. hihi

      Delete
  2. Cerita ni best tapi jalan cerita agak beserabut...
    Sampai tetidur baca bab nie.....jangan marah nya penulis.

    ReplyDelete
    Replies
    1. dont worry. saya suka terima komen yg jujur. mungkin bab ni kurang dialog sikit tu bosan tu agaknya. hee

      Delete
  3. best la kali ni.. hati azfahan dah mula jatuh cinta dgn sherry. hm mana seri embun?? dah lama tak muncul rindu la...

    ReplyDelete
    Replies
    1. nanti Seri Embun muncul. Tapi lambat sikit. hee

      Delete
  4. Kak Mimi Fatimah! bestnya! samabunglah lagi sampai habis! Rindu kat Seri Embunn. Watak Rosalinda memang dah takde lagi ke Kak Mimi?

    ReplyDelete
  5. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  6. cikgu..nk akfa ngn embun asik han ngn sherry je..bile diorg nk jumpe parent si afka nie smbung bincang psal hal kwin diorg tue... lgi1 cikgu reducekn la 4-5 baris ayt2 naratif cikgu tue..sian reader2 cikgu yg bce nie XP
    -nur athira-

    ReplyDelete