Thursday, 6 December 2012

Isteri Paling Kelakar (BAB 15)

PUAS HATI SERI EMBUN dapat menghantar Fyra masuk semula ke dalam kelasnya setelah mereka selesai makan bersama-sama di tepi padang tadi. Fyra kelihatan begitu gembira dan bangga sekali sewaktu tangannya dipimpin Seri Embun menuju ke kelasnya. Tentulah bangga bila ada seorang ‘kawan’ yang datang menemaninya pada waktu rehat. Siap bawa bekal sekali! Tentu kawan-kawannya yang lain cemburukannya, detik hati Fyra.
            Tengah hari nanti, nampaknya Seri Embun jugalah yang akan menjemput Fyra pulang dari sekolah. Dia kelihatan teruja untuk bertemu semula dengan Fyra yang baru beberapa jam berpisah dengannya. Tidak seperti pagi tadi. Dia merungut apabila terpaksa menghantar Fyra ke sekolah. Dan dia juga sebenarnya bukanlah ikhlas mana pun sewaktu menyiapkan bekalan untuk Fyra lewat pagi tadi. Semuanya dilakukan semata-mata kerana rasa simpatinya pada Fyra.
            Seperti biasa, Seri Embun tidak akan membelek penampilannya terlebih dahulu. Apatah lagi nak belek wajahnya. Dengan kemeja kotak-kotak gedoboh dan seluar jeans berwarna coklat, dia keluar untuk menjemput Fyra pulang dari sekolah. Setelah mengunci pintu rumah, dia terus mendapatkan basikal berwarna maroon yang ditongkatkan tidak jauh dari beberapa kereta lain kepunyaan Tan Sri Jaafar dan Afka.
            Tongkat basikal disepaknya dengan kaki kanan dan dengan gayanya yang tak semenggah, dia terus mengangkang di atas tempat duduk basikal. Ya ALLAH... Tak senonoh betullah perempuan ni!
            Baru saja basikal itu nak dikayuhnya, dia sudah terasa lain macam. Rasa semacam ada sesuatu yang tidak kena. Hatinya mula terasa tidak enak apabila basikal yang hendak dikayuhnya itu terasa berat semacam. Seperti ada ‘makhluk’ lain yang menumpang di belakangnya.
            ‘Kenapa berat semacam aje ni? Takkanlah berat badan aku boleh naik mendadak secara tiba-tiba pulak? Tak logiklah! Aku yakin, mesti ada ‘orang lain’ yang nak tumpang aku ni!’ Seri Embun seperti biasalah. Tak habis-habis nak mengarut!
            Tapi semua itu tidak mustahil memandangkan kawasan vila mewah ini dikelilingi oleh hutan hijau yang merimbun tinggi pohon-pohonnya, dan kedudukannya pula agak jauh juga dari pekan dan kawasan perumahan lain. Sewaktu dia di kampung dulu pun, pernah juga beberapa kali dia mengalami peristiwa aneh begini. Ada ‘makhluk’ lain yang menumpang dan duduk di belakang basikalnya! Bukan saja berlaku pada dirinya, bahkan orang-orang kampung yang lain juga pernah mengalami kejadian yang sama.
            Kalau ikutkan badan Seri Embun yang sudah mula terasa seram sejuk ketika ini, mahu saja dia berlari masuk semula ke dalam rumah. Tapi bila difikirkan soal tanggungjawab, dia terpaksa juga kuatkan semangatnya walaupun bulu romanya sudah tegak berdiri. Nak tak nak, terpaksalah dia mengayuh juga basikal itu walaupun pergerakannya terlalu lambat.
            Bayangkanlah... Dah lebih lima belas minit pun berlalu. Tapi, ketika itu dia baru saja nak menyusur masuk ke jalan raya besar. Peluh pada muka, dahi dan badannya usah dikira! Habis basah lencun. Mana tidaknya, dia terpaksa mengerah seluruh tenaganya semata-mata untuk mengayuh basikal tersebut. Malangnya semakin lama, semakin berat pula sehingga memaksa dia untuk mengayuh dengan lebih kuat lagi sedangkan kakinya terasa bagai nak tercabut. Urat pada betisnya sudah semakin tegang. Rasa macam nak menangis pun ada. Tapi dia tetap tak sanggup nak menoleh ke belakang untuk melihat ‘makhluk’ yang sedang menumpang di belakangnya. Dia belum cukup kuat dan berani untuk melakukannya! Tapi, sepanjang perjalanan tadi, dia perasan ada beberapa orang juga yang memandang pelik ke arah basikalnya. Agak-agaknya, mereka terkejut tengok ‘makhluk’ yang menumpang dekat belakang aku ni tak? Dia pun malas nak ambil pusing sangat. Dari tadi, dia kelihatan tekun membaca ayat kursi walaupun bacaannya tunggang-langgang. Mungkin akibat terlalu takut dan gementar. Bacaannya jadi berterabur sehingga dia terpaksa mengulangnya beberapa kali.
            “Kak, cuba akak periksa tayar basikal akak tu. Macam mana akak boleh tak perasan?” tegur seorang pelajar sekolah menengah yang sedang dalam perjalanan pulang ke rumah.
            Seri Embun terpinga-pinga untuk beberapa saat. Kenapa dengan tayar basikal aku?
            Akhirnya, dia memberanikan juga dirinya untuk menoleh ke belakang setelah dia turun dari basikalnya. Sempat pula dia mengurut-urut dadanya tanda lega. Nampaknya, ‘makhluk’ tu dah berambus. Lepas ni, tak ada lah aku kena kayuh kuat-kuat lagi. Huh! Dasar ‘makhluk’ suka menyusahkan orang! Entah apalah yang dia makan sampai berat macam tu sekali. Kalau nak tumpang pun, kuruskanlah sikit badan tu!
            “Kenapa dengan tayar basikal akak?” Seri Embun menggaru-garukan kepalanya. Tak ada apa-apa masalah pun aku tengok. Semua okay aje...
            “Lah... Takkan akak tak perasan? Tayar basikal akak tu pancit. Sebab tu lah basikal akak berat. Kesian saya tengok akak kayuh basikal tadi. Berkerut-kerut muka akak macam kena buasir!”
            Seri Embun termalu sendiri sehinggakan dia tidak sanggup untuk menoleh memandang budak lelaki tadi. Mujurlah budak lelaki itu seperti memahami. Dia terus berlalu meninggalkan Seri Embun seorang diri di situ.
            Nasib baiklah budak tu bukan spesis manusia macam Azfahan yang suka rendah-rendahkan aku. Kalau tak, mesti budak tadi tu gelakkan aku dan fikir aku ni kolot sangat sampai boleh fikir benda yang bukan-bukan.
                       
           
           
           
           
            SETELAH disorongnya basikal maroon itu sehingga ke bawah tempat letak motorsikal berbumbung dalam kawasan masjid berdekatan, Seri Embun keluar semula untuk menuju ke sekolah dengan sebelah kaki yang terhincut-hincut.
            Malang sungguh nasibnya. Sudahlah tayar basikal pancit! Sewaktu dia menyorong basikal itu pula, dia langsung tak sedar sewaktu kakinya terlanggar batu kecil yang tajam bergerigi. Habis berdarah hujung ibu jari kakinya.
            “Kak Embun merayau ke mana ni? Lama tau Fyra tunggu. Kawan-kawan Fyra semuanya dah balik. Kak Embun ni tak boleh diharap tau. Kalau Fyra kena culik macam mana?” tempelak Fyra walaupun waktu itu Seri Embun belum berdiri betul-betul di hadapannya.
            Seri Embun pula memaksa bibirnya untuk senyum dan dipaksa juga kakinya supaya berjalan dalam keadaan normal. Malas nak dimanjakan sangat sakit yang sedikit itu. Kasihan Fyra. Budak kecil tu bukannya tahan panas sangat. Silap-silap dia boleh jatuh pengsan. Kawasan sekolah itu pula agak privasi. Jadi, kawasannya lengang dan agak tersembunyi sedikit daripada jalan raya. Mungkin sebab itulah Fyra tidak berani untuk duduk di dalam gazebo yang banyak terdapat di luar kawasan sekolah. Mungkin takut pada orang-orang yang tidak dikenalinya. Zaman sekarang ni memang kena berhati-hati. Silap langkah sedikit, nyawa pun boleh melayang!
            Si kecil yang masih merungut tidak diendahkan. Seri Embun terus diam seribu bahasa. Malas dia nak menjawab. Ibu jari kakinya terasa semakin perit. Yang dia fikirkan sekarang ini, dia mahu cepat pulang ke rumah supaya dapatlah dia sapu ubat pada bahagian yang sakit itu.
            Tanpa menghiraukan kemarahan Fyra, dia terus mencapai tangan kanak-kanak itu. Dipimpinnya supaya Fyra berdiri rapat di sebelahnya, dan mereka pun mula melangkah untuk pulang.
            Setelah hampir separuh jalan, Fyra dengan suara yang lemah mengadu padanya dan meminta dia membelikan air. Sayangnya, langsung tidak kelihatan kedai mahupun gerai-gerai di sepanjang jalan. Sedangkan muka Fyra sudah berubah lain macam. Macam pucat pun ada juga. Lesu dan lemah sekali... Langkahnya pun terlalu perlahan.
            Lantas, tanpa berfikir panjang, Seri Embun terus mengangkat tubuh kecil itu lalu didukungnya. Elok terlentok kepala Fyra pada bahunya. Mata si kecil itu pun sudah mula terpejam.
            Sudahlah kakinya sakit. Fyra pula boleh tahan juga beratnya. Badannya sendiri pun bukannya besar mana. Kecil saja. Apalah sangat kudratnya untuk mendukung tubuh Fyra hingga sampai ke vila yang jaraknya masih jauh itu. Namun, tidak sampai hati pula dia untuk mengejutkan kanak-kanak itu supaya bangun dan menyuruhnya berjalan sendiri. Fyra kelihatan selesa dalam dukungannya. Mukanya pun sudah tidak sepucat tadi.
            Dia sendiri tersenyum puas melihat Fyra yang terlentok senang pada bahunya. Lega rasa hatinya. Mungkin disebabkan itulah dia mengerah dirinya untuk terus kuat supaya dia terus melangkah tanpa menghiraukan kakinya yang masih mengalir darah dari celah ibu jari kakinya itu. Semuanya dilakukan demi keselesaan Fyra. Walaupun waktu itu mereka baru sahaja melepasi separuh jalan. Masih berbaki separuh perjalanan lagi.
            Baki yang lagi separuh itu bukannya dekat. Bukannya selangkah dua. Agak jauh juga kalau hanya dengan berjalan kaki. Namun, Seri Embun awal-awal lagi sudah menguatkan semangatnya dan meletakkan target untuk sampai ke vila itu tanpa berhenti rehat mahupun berteduh di mana-mana.
            Malangnya, dia terpaksa juga berhenti buat seketika apabila hujan lebat turun dengan tiba-tiba. Tubuh Fyra yang masih lena atas dukungannya terpaksa diturunkan ke bawah. Fyra yang terkejut apabila ada beberapa jentikan air yang menghentak kasar pipinya, terus terjaga. Matanya kemerah-merahan, mungkin terlalu mengantuk. Dahinya pula berkerut-kerut, tentu sekali sedang memikirkan apa yang sedang berlaku.
            Tanpa berkata apa-apa dan tanpa berfikir panjang, Seri Embun terus menanggalkan kemeja kotak-kotaknya yang diperbuat daripada kain tebal itu. Dia seperti terlupa pada prinsipnya sendiri. Lihatlah sekarang ni... Setelah kemejanya ditanggalkan, dia hanya berbaju tanpa lengan yang agak jelas menampakkan bentuk tubuhnya. Lebih-lebih lagi setelah dibasah hujan. Dia kelihatan cukup seksi sekali ketika ini.
            Demi Fyra, dia seperti langsung tidak kisah tentang hal itu sedangkan sejak arwah ibunya meninggal dunia lama dulu, belum pernah lagi dia berpakaian selain daripada kemeja tebal. Inilah pertama kalinya. Dan untuk pertama kalinya ini juga, dia seperti lupa pada soal penampilannya. Dia seperti tidak sedar yang sekarang ini dia cuma berbaju nipis sahaja sehingga menampakkan bentuk badannya. Mungkin kerana terlalu risaukan kesihatan Fyra jadi dia sudah tidak memikirkan lagi tentang kepentingan diri sendiri.
            Hujan semakin lebat. Cepat-cepat Seri Embun menyarungkan kemeja yang ditanggalkan tadi pada tubuh kecil Fyra. Memandangkan buatan kemeja tersebut yang tebal kainnya, jadi dia berharap sangat agar tubuh kecil Fyra tidak terlalu terdedah pada hujan yang agak luar biasa lebatnya ketika itu. Kalau tidak, tak ada lah Fyra terbersin-bersin walaupun baru lima minit mereka berdua terperangkap di dalam hujan.
            Tubuh Fyra semakin lembik. Jalan pula semakin licin. Seri Embun yang bimbang Fyra jatuh tersembam kembali mendukung kanak-kanak comel itu. Dan dia terus berlari-lari anak untuk menghabiskan perjalanan yang masih berbaki. Seluruh tubuhnya basah teruk. Badannya mulai lemah namun dia tetap menggagahkan dirinya supaya terus berlari. Dia benar-benar bimbangkan kesihatan Fyra. Semakin bimbang dia jadinya apabila tangan Fyra yang tadinya kemas memaut lehernya perlahan-lahan melonggar sebelum tangan kecil itu terlerai pautannya.
            Seri Embun yang cemas dengan keadaan itu seperti hendak meraung saja. Dengan dada yang seperti dihentak ratusan ekor kuda di padang pasir, dia memecut dengan lebih laju meskipun tenaganya sudah kering dikerah. Kakinya pula sudah menegang seluruh urat saraf. Urat-urat kakinya sudah lama mengejang. Kalau ikutkan hatinya, mahu saja dia berbaring di atas jalan raya itu. Namun, mengenangkan Fyra, dia langsung tidak mahu berhenti berlari walau sesaat sekalipun.
            Kira-kira sepuluh minit kemudian, dia sudah boleh menarik nafas lega walaupun tidak sepenuhnya. Dia kini sudah pun berada di dalam kawasan vila yang amat luas itu. Masih dalam keadaan berlari dengan kelajuan yang sama. Air hujan yang membasahi tubuhnya agak-agaknya sama banyak dengan air peluh yang memancut keluar dari lapisan kulitnya.
            Sampai sahaja di hadapan pintu, dia cepat-cepat menurunkan Fyra. Dia terpaksa duduk mencangkung supaya Fyra yang separuh terbaring itu dapat diletakkan kepalanya ke atas pahanya. Tanpa menghiraukan bagaimana keadaan dirinya sendiri, dia segera memeriksa keadaan tubuh Fyra yang masih terpejam matanya itu. Wajahnya pula agak pucat. Minta-minta tak ada perkara yang buruk-buruk menimpa anak kecil ini... Sempat lagi dia berdoa di dalam hati.
            Sewaktu dia sedang cemas menggoncang-goncangkan tubuh Fyra, serentak dengan itu juga pintu utama vila tersebut terbuka. Dibuka seseorang dari dalam!
            Dia terus mendongakkan kepalanya.
            Afka?
            Lega sedikit rasanya. Debaran di dadanya pun kian berkurangan. Afka tentu dapat membantunya. Seorang doktor tentulah dapat settlekan masalah macam ni!
            “Abang... Cepat, bang. Fyra dah lemah sangat agaknya ni. Kami terpaksa berhujan tadi.” Dia kembali menumpukan perhatiannya pada Fyra, sambil tangan kanannya menggoncang-goncangkan pipi comel itu dengan lembut. Namun, mata kuyu itu masih terpejam. Dari hujung matanya, dia perasan riak wajah Afka yang terperanjat besar melihat keadaan anaknya. Gayanya seperti hilang arah sampaikan tak terluah apa-apa dari mulutnya! Ada air jernih yang bertakung di tubir matanya. Memang tak dapat dinafikan betapa sayangnya lelaki ini pada satu-satunya anak kesayangannya.
            “Abang, Embun rasa baik kita bawa Fyra...”
            Belum sempat dia menghabiskan ayat itu, pipinya tiba-tiba terasa perit dan dia dapat merasakan bibirnya pecah dan berdarah. Namun, dia langsung tidak terasa sakit. Mungkin kerana dia pelik apabila tiba-tiba sahaja dirinya diperlaku sebegitu. Tak ada angin tak ada ribut, mengapa tidak semena-mena pipinya ditampar? Dan siapa pula yang menamparnya? Apa pula kesalahan yang aku buat sampaikan aku ditampar sehingga berdarah?
            Seri Embun kembali mendongakkan kepalanya. Dan terus terpandangkan sepasang mata yang sedang memandangnya dengan penuh kebencian.
            Ketika itu, barulah dia terasa sakit dan pedihnya tamparan yang tentunya datang dari tangan sasa yang berurat-urat itu. Hatinya sendiri menjerit-jerit menyatakan sesungguhnya dirinya tidak berhak untuk disakiti dan diperlakukan sehingga begitu sekali. Apa salah aku?
            “Macam mana kau jaga dia sampai begini teruk keadaan dia? Sampai pucat lesi muka dia?” Berdentum suara garau itu menghamunnya.
            "Embun dengan Fyra terperangkap dalam hujan, bang. Tayar basikal pancit!" Takut-takut dia membela dirinya sendiri.
            "Tayar basikal pancit dan kau suruh anak aku sorong basikal tu? Sebab tu lah muka dia pucat, dan badan dia pulak lemah? Begitu? Dan kau, apa pulak yang kau buat? Kau duduk macam orang bodoh saja ke atas basikal yang dah pancit tu? Dan biarkan anak aku tolak basikal tu dari belakang?"
            Seri Embun terkebil-kebil bila dituduh begitu. Betul-betul tak sangka lelaki ini tergamak menuduhnya sehingga begitu sekali.
            Namun, dia hanya diam. Dah tak kuasa nak membela diri. Apatah lagi bila melihat keadaan Afka yang sudah tidak terkawal itu. Dia tahu, Afka sudah tidak percayakannya lagi. Lagipun lidahnya sejak tadi lagi terasa kelu. Kelu yang teramat bila lelaki berwajah bengis itu terus merenungnya seperti sedang menyimpan segunung dendam.
            “Aku cuma suruh kau hantar dan jemput anak aku pulang dari sekolah dengan selamat. Itu saja yang aku minta. Berat sangat ke tanggungjawab yang aku amanahkan untuk kau? Kau sendiri tahu kan, nyawa anak aku adalah segala-galanya untuk aku, tapi kenapa kau tak jaga dia baik-baik?” 
             Ada dengusan kasar yang terhempas keluar dari kerongkong lelaki itu. Sangat jelas, dan sangat mengerikan! Ketika ini, Afka sudah tidak memandangnya lagi. Seolah terlalu benci untuk memandang wajahnya.
            Serba salah Seri Embun dibuatnya walaupun dia tahu, dia langsung tidak bersalah dalam hal ini!
            “Kau ingat, Embun. Kalau apa-apa jadi kat anak aku, aku takkan lepaskan kau!”
            Menggigil tubuh Seri Embun apabila digertak dan diugut begitu. Serentak itu juga matanya kabur dibasahi air mata yang bergenang menutup pandangannya. Dia langsung tidak sedar sewaktu tubuh Afka masuk ke dalam rumah bersama Fyra yang sudah pun berada di dalam dukungannya.
            Sekali lagi tubuhnya menggigil dan menggeletar sebaik sahaja Afka menghempaskan daun pintu dengan begitu kuat sekali, mengalahkan teriakan petir yang menyinga mengguruhkan bumi. Dan tinggallah dia seorang diri di halaman vila yang luas itu menangisi nasib diri di dalam hujan yang semakin lebat sebelum dia terbaring tak sedarkan diri, memandangkan tubuhnya sendiri kepenatan setelah terpaksa berhempas-pulas berlari sambil mencempung tubuh Fyra di dalam hujan lebat tadi...
           
           
           
                                   
                       
            SEBELUM Fyra dibawa ke klinik, sempat lagi si kecil itu mengucapkan terima kasih pada Seri Embun. Tidak pula diberitahu ucapan terima kasih itu untuk apa. Mungkin Fyra sedar betapa bersungguhnya Seri Embun ingin menyelamatkannya sewaktu mereka sama-sama terperangkap di bawah hujan lebat untuk sampai ke rumah sebentar tadi. Fyra mungkin separuh sedar sewaktu dia di dalam dukungan Seri Embun tetapi tentu sekali dia tidak dapat melupakan bagaimana teliti dan prihatinnya Seri Embun menjaga keselamatannya dalam hujan lebat tadi.
            “Kak Embun, lagi sekali Fyra nak ucapkan terima kasih banyak-banyak kat Kak Embun. Tapi, boleh tak kalau Fyra nak minta tolong lagi sekali?”
            Walaupun mukanya pucat dan tidak bermaya, suara Fyra tetap ceria.
            Seri Embun yang duduk di hujung kaki anak kecil sekadar tersenyum senang sambil menganggukkan kepalanya.
            “Buku Fyra tertinggal kat sekolah. Boleh tak Kak Embun pesan dekat daddy suruh daddy ambilkan buku tulis Fyra yang tertinggal tu? Fyra takut lah nak bagitahu sendiri sebab daddy nampak garang aje tadi.”
            Seri Embun agak terkejut dengan permintaan itu namun dia cuba berlagak tenang dan selamba.
            “Buku tu penting sangat. Masa dekat sekolah tadi guru kelas Fyra ada bagi kerja sekolah. Fyra kena siapkan hari ni juga sebab esok nak hantar. Cikgu Fyra tu garang. Habislah kalau Fyra tak siapkan kerja sekolah tu...” adu Fyra dengan suara yang lemah dan sayu, jelas mengharapkan simpati daripada Seri Embun.
            Dan permintaan Fyra itu sekali lagi telah membawa Seri Embun ke dalam hujan lebat tadi, yang mana ketika itu masih lebat bahkan sebenarnya lebih lebat berbanding tadi. Seri Embun sudah tiada pilihan. Puas digeledahnya satu vila untuk mencari payung namun tidak juga dijumpai. Kalau ada pun mungkin disimpan di dalam bonet kereta. Tanpa pilihan yang dia ada, terpaksa jugalah dia meredah hujan lebat itu semata-mata untuk ke sekolah Fyra untuk mengambil buku sekolah Fyra yang tertinggal itu.
            Kasihan pula dia pada Fyra. Namun, dia lebih rela mengambil buku sekolah tersebut tanpa perlu menyuruh Afka dan dia lebih rela ditimpa hujan daripada menegur lelaki itu. Kali ini, dia takkan dapat maafkan perbuatan Afka. Lelaki itu benar-benar sudah melampau! 
            Biarlah dia berhujan. Lagipun selepas ini dia sudah nekad dan berkira-kira untuk melarikan diri dari vila ini. Jadi tak salah rasanya dia berkorban untuk Fyra buat kali yang terakhir ini. Apatah lagi dia sudah tidak dapat menolak lagi perasaan sayangnya yang tumpah terhadap anak kecil itu...

P/S: Sebarang kritikan sama ada positif mahupun negatif teramatlah dialu-alukan. Penulis sangat memerlukan komen daripada pembaca sekalian. Terima Kasih. =)

11 comments:

  1. syok....mane c azfahan????afka ni suka kat embun pun coz de ciri2 arwah bini dia.hoho....kesian je embun.

    ReplyDelete
  2. heee..azfahan nak muncul dah. tak lama je lagi :)

    ReplyDelete
  3. huhuhu kesian betul kat embun ... Afka nie hot temper betul... pelik betul rumah besar payung satu pun xder hehehe almaklumlah zaman sekarang payung semua kat dalam kereta ... :)

    ReplyDelete
  4. harap muka je hensem akal paling fail.. tak mo la ... kalau kita la hujah afka tu kita patah kan je sebab embun di pihak yg benar ... takut apa.. huh berapi je rasa

    ReplyDelete
  5. bestnya.. tapi jahat la laki tu.. keja mrah2 ja.. :(

    ReplyDelete
  6. best sgt2.......... tapi afka tu ngekk sikit sbb dia x prihatin dgn kebaikan embun. tapi embun tu baik sgt2.. apapun cepat la sambung citer ni.. caiyok2!!!

    ReplyDelete
  7. Jgn marah afka dulu. kekeke. Dia tak tampar Seri Embun pun sebenanya dan ada sebab kenapa Afka marah Seri Embun. Jemput baca next entry. Thanks guys =)

    ReplyDelete
  8. kita tak nak ah dengan afka . rasa nak sepak muka dia laju-laju pun ada jugak . temper tak bertempat . azfahan ... where are you ? hero sebenar ... blah ah afka !

    ReplyDelete
  9. ta suke la ngan afka 2 ... gggrrr ~~~

    ReplyDelete
  10. tekad nye si embun tue... n si afka nie x reti kwal ke baran die tue
    -nur athira-

    ReplyDelete