Monday, 3 December 2012

Isteri Paling Kelakar (BAB 7)


            SEBELUM azan maghrib berkumandang, barulah mereka pulang. Sepatutnya hari ini Doktor Adzhar bercuti. Seorang lagi doktor yang sepatutnya bertugas hari ini terpaksa mengambil cuti kecemasan. Namun, mengenangkan Afka baru hendak menyesuaikan semula dirinya dengan kerjaya yang telah lama ditinggalkannya itu, Doktor Adzhar dengan sukarelanya meminta untuk menggantikan shift sahabat baiknya itu. Sebelum ini Afka bukanlah tidak menjenguk langsung kliniknya itu. Cuma jarang-jarang. Dalam sebulan boleh dikira dengan jari sahaja.
            Sepanjang perjalanan pulang menuju ke vila, Seri Embun langsung tidak bercakap walau sepatah. Hanya Afka sahaja yang sesekali bersuara, cuba mengerdipkan semula kemesraan yang pernah berputik sedikit antara mereka.
            Seri Embun sendiri tidak pasti mengapa dia harus bereaksi begitu. Sebenarnya, sampai sekarang pun dia masih tertanya-tanya, mengapalah hatinya boleh menjadi selembut ini. Dah macam dia pula yang tersua-sua. Sudah dihalau, tetapi kembali semula!
            Nak buat macam mana... tak sampai rasanya hati ni nak tinggalkan lelaki itu buat semuanya seorang diri. Lagi-lagi lepas dengar cerita dari mulut Alia sendiri. Hatinya jadi simpati pula pada nasib Fyra. Kecil-kecil lagi sudah ditakdirkan untuk kehilangan seorang insan yang paling bermakna dalam hidup setiap manusia, iaitu insan yang bernama ibu. Insan yang doanya paling makbul dan paling kuat untuk sampai kepada Allah. Berbanding dirinya sendiri yang jauh lebih beruntung walaupun dia juga telah kehilangan seorang ibu. Tapi sekurang-kurangnya, agak lama juga dia diberikan peluang untuk menikmati belaian dan kasih sayang yang pernah menjadi taruhan arwah ibunya.
            Mungkin disebabkan itu, hatinya terasa berat untuk meninggalkan vila tersebut. Entah mengapa, semakin dia hendak meninggalkan banglo mewah itu, hatinya terasa lain macam. Terasa seperti dipanggil-panggil, terasa seperti didesak-desak untuk terus tinggal di situ. Entahlah... dia tak tahu nak komen apa. Jadi, dia berserah saja pada ALLAH yang Maha Mengetahui kerana sesungguhnya, hanya DIAlah pemilik hati ini... Jadi, tentu sekali hanya DIA sahaja yang tahu akan segala hikmah di sebalik hatinya yang sedang bercelaru ini.
            Sebaik sahaja kereta mewah yang mengaum gagah itu melewati masuk ke halaman vila, Firah An-Nur melompat-lompat kecil dengan senyuman riang yang terukir di bibirnya. Berlari-lari anak kanak-kanak comel berambut ikal itu mendapatkan ayahnya.
            “Kenapa ni sayang... Sampai tak menyempat nak tengok muka handsome papa dia. Adik rindu papa ya?” Afka yang baru keluar dari perut kereta terus mengangkat lalu mendukung tubuh kecil anaknya dengan senyuman lebar di bibirnya. Terasa hilang begitu sahaja penatnya seharian bekerja. Dari dulu lagi, wajah comel itulah satu-satunya wajah yang menjadi kekuatan dan semangat buatnya. Wajah yang akan mengingatkannya pada sang kekasih yang telah jauh pergi meninggalkannya. Bertalu-talu Afka mencium wajah putih gebu itu sampai kanak-kanak itu jadi rimas pula dibuatnya.
            Seri Embun yang hanya diam memerhati, cukup untuk tersentuh hati melihat kemesraan dua beranak itu.
            “Papa...” rengek kanak-kanak kecil itu sambil dia melentokkan kepalanya ke dada bidang ayahnya dengan manjanya.
            “Ya sayang...” Afka pula membelai-belai rambut halus keriting Fyra yang emas kekuningan itu, mewarisi rambut cantik arwah isterinya.
            “Hurmm... Papa ingat lagi tak yang papa pernah cakap dekat adik, kalau adik nak tengok muka  arwah mama, adik kena berdoa banyak-banyak sebelum adik tidur. Papa ingat lagi tak?” ulang si kecil itu lagi.
            Afka mengerutkan dahinya. Pelik tentunya apabila anak tunggalnya tiba-tiba membangkitkan persoalan itu sedangkan sudah agak lama Fyra tidak bertanyakan tentang arwah mamanya.
            Memang dia sendiri yang jarang ingin bercerita memandangkan dia tidak sanggup untuk mengusung ingatannya sendiri menghadap kekasih hatinya yang telah pergi meninggalkannya untuk selama-lamanya itu. Atas sebab itu jugalah sehingga ke saat ini Fyra sendiri tidak pernah berpeluang untuk menatap wajah arwah ibunya memandangkan arwah Delina meninggal dunia sewaktu melahirkan satu-satunya anak mereka itu. Dia sendiri tidak pernah menatap lagi gambar-gambar arwah isterinya semenjak itu. Semuanya disorokkannya di dalam sebuah bilik khas yang berkunci dan tidak pernah sekali pun dia masuk ke dalamnya sejak dari arwah isterinya itu meninggal dunia lagi.
            “Papa ingat lagi dik... Kenapa adik tanya? Adik selalu buat tak apa yang papa suruh tu?” Afka melayan acuh tak acuh saja. Nama pun budak-budak. Hakikatnya, hatinya teruja ingin mengetahui bicara selanjutnya yang akan keluar dari bibir kecil itu.
            “Adik selalu buat dan baru tadi Allah makbulkan doa adik... Adik baru aje berjumpa dengan arwah mama kat dalam mimpi adik, pa...” cerita Fyra dengan begitu teruja sekali. Bersinar-sinar matanya. Kepala yang melentok pada dada Afka sudah diangkat. Dia memandang wajah ayahnya dengan senyuman yang luar biasa cerianya.
            Afka seperti tidak percaya. Dadanya mula bergemuruh dan berdebar-debar
            “Baru sekarang adik tahu... muka arwah mama cantik sangat. Kulit mama putih bersih. Ada tahi lalat kecil dekat bawah dagu. Rambut mama pula sama macam rambut adik. Kening mama lebat, hidung mama pula mancung macam hidung papa juga.. Paling adik suka, lesung pipit mama. Comel sangat...” Anak kecil itu terpejam-pejam matanya barangkali dia cuba mengingatkan semula mimpi yang dialaminya sewaktu tidurnya tadi. Tengkuk si ayah dipeluk erat. Ketara sungguh bahagianya pada wajah si kecil ini.
            Sementara Afka pula terkejut mendengarnya. Selama ini, dia memang tidak pernah sekali pun menunjukkan gambar arwah isterinya kepada anaknya itu. Dia sendiri tidak lagi menatapnya. Semua itu dilakukannya demi sekeping hati yang masih tidak kuat untuk menanggung segunung rindu buat kekasih hati yang telah jauh pergi meninggalkannya.
            Sebab itulah dia terkejut apabila anaknya Fyra menggambarkan arwah isterinya dengan begitu terperinci sekali. Semua yang diceritakannya adalah tepat, dan sepenuhnya menyerupai ciri-ciri keistimewaan yang dimiliki oleh arwah isterinya. Terutama sekali lesung pipit arwah yang menawan itu, yang dulunya seringkali dipuji-pujinya.
            “Arwah mama ada cakap apa-apa tak dalam mimpi adik tadi?” Suara garau itu kedengaran sedikit terketar-ketar. Tak berkelip matanya merenung wajah anak kesayangannya itu dengan dada yang berdebar dan bergemuruh.
            Fyra kelihatan mengangguk-anggukkan kepalanya. Laju dan berulang-ulang dengan wajah yang semakin ceria dan teruja.
            “Dalam mimpi tu, arwah mama ada datang urut kepala adik. Kebetulan balik sekolah tadi adik memang pening kepala. Lepas tu mama kucup dahi adik. Lama tau, pa. Sebelum adik terjaga, mama ada cakap macam ni, “‘Awak kena kuat, Fyra. Awak kena jadi seorang anak yang kuat. Anak yang solehah, supaya awak dapat doakan kesejahteraan arwah ibu. Awak juga kena bantu daddy bangkit dari hidupnya... Bantu daddy lenyapkan kesedihannya, bantu daddy hapuskan air matanya.”
            Kali ini, Seri Embun pula yang tersentak. Berderau darahnya naik hingga ke kepala.
            Masya-ALLAH... dialog yang diungkapkan oleh Fyra itu sama seperti yang dia ucapkan sewaktu dia urut kepala Fyra tadi. Memang dia tidak silap! Dia yakin! Yakin yang teramat pasti!
            Seri Embun berfikir untuk sejenak. Yang menghairankannya, rasanya tadi, kata-kata semangat itu hanya diucapkannya di dalam hati. Bagaimana pula Fyra dapat mendengarnya dan mengulangnya sebutir demi sebutir? Apakah ini bermaksud, arwah Delina juga menuturkan ayat yang serupa di dalam mimpi Fyra?
            Berdebar-debar dada Seri Embun memikirkan persamaan itu sehingga berkerut-kerut dahinya.
            ‘Tadi... Iya, tadi memang aku ada urut kepala Fyra. Dan apa yang aku lakukan tadi sama dengan apa yang arwah Delina lakukan di dalam mimpi Fyra.’
Maksudnya, arwah Delina datang ke dalam mimpi dengan tujuan yang sama, iaitu mengurut kepala anaknya sebelum dahi si comel itu diciumnya. Semua itu sama seperti yang dia sendiri lakukan pada Fyra sewaktu anak kecil itu sedang nyenyak tidur.
            ‘Masya-ALLAH... ajaibnya. Ya ALLAH, apa yang KAU ingin sampaikan sebenarnya?’
            “Eh, abang Long dah balik? Cepatnya balik? Bukan ke abang Adzhar cuti hari ni?” Entah sejak bila Alia datang menghampiri mereka semua. Apa lagi yang dibuatnya dekat dalam rumah sejak tamat SPM. Layan movie ajelah kerjanya!
            “Kalau Alia nak tahu, orang macam Adzhar tulah contoh sahabat dunia akhirat tau. Sanggup dia korbankan cuti dia semata-mata nak bagi abang lebih masa untuk abang luangkan dengan anak kesayangan abang ni...” Sekali lagi, Afka mengucup pipi Fyra yang masih elok terletak dalam dukungannya. Seperti biasa, Fyra akan menjerit-jerit suka. Manja sungguh...
            “Eleh... Nak luangkan dengan anak kesayangan ke, atau nak luangkan masa tu dengan kekasih baru?” usik Alia sambil menjongket-jongketkan keningnya. Afka berlagak tenang sahaja. Tidak seperti Seri Embun yang sudah mula menggelabah itu. Alahai... sejak bila pula la Seri Embun ni pandai cover ayu. Kalau dulu, dialah perempuan yang paling selamba dekat atas muka bumi ni!
            Sedar usikannya seperti tidak cukup power untuk membuatkan Seri Embun malu-malu kucing, Alia mengusik lagi.
            “Suka betul ya Fyra kena dukung dengan papa dia. Tadi waktu dia tidur dah lah ada orang yang tolong urut-urutkan kepala dia. Siap kena cium lagi kepala tu... Tu yang tidur sampai nak ke maghrib tu. Untungnya la hai jadi Fyra kan sebab ramai orang sayang...”
            Berdebar-debar dada Seri Embun dibuatnya. Tak sangka pula dia yang Alia ada mengendapnya sewaktu dia mengurut kepala si kecil itu tadi. Ya Allah, takutnya aku kalau-kalau Afka syak sesuatu. Baik aku masuk ke dalam dulu.
            Alia bersorak di dalam hati. Berjaya juga dia ‘memalukan’ Seri Embun.
            Tapi... abang aku ni macam sesuatu aje. Kenapa dia pandang aku lain macam pulak ni? Sampai bulat mata dia pandang aku. Dia marah kat aku ke? Over sangat ke usikan aku tadi?
            Berdebar-debar dada Alia bila direnung semacam begitu.
            “Kak Embun ada urut kepala Fyra ke tadi?” soal Afka dengan suara yang tegas dan berbaur curiga.
            Alia yang hairan dengan soalan itu sekadar mengangguk.
            Semakin berkerut dahi Afka dibuatnya. ‘Setelah hampir sepuluh tahun berlalu, kenapa arwah isteri aku datang dalam mimpi Fyra sewaktu Seri Embun sedang urut kepala anak aku? Dan kenapa di dalam mimpi Fyra, arwah Delina juga sedang mengurut kepala Fyra sebagaimana yang dilakukan oleh Seri Embun?’
            ‘Ya ALLAH... Apa semua ni?’
           
           
           
            KEHADIRAN Seri Embun di dalam vila mewah itu nampaknya masih tidak disenangi oleh Puan Sri Zahlia. Seri Embun masih ‘didera’ sebagai orang gaji yang tidak bergaji di dalam banglo mewah itu. Puan Sri Zahlia ni pun satu. Kalau dah tak suka dengan Seri Embun tu, kenapa tak halau aje? Ataupun Puan Sri Zahlia sendiri dah berkenan dengan Seri Embun? Ceh! Jangan haraplah. Tentu wanita korporat ini ada agendanya sendiri.
            Kalau ikutkan, Seri Embun memang dah tak dapat nak bertahan lagi dengan karenah Puan Sri Zahlia. Ada saja yang tak kena di matanya. Garang betul perempuan nan seorang ini. Tapi, malam itu dia berpeluang juga melihat satu sisi yang berbeza dalam diri Puan Sri Zahlia. Rupa-rupanya, Puan Sri Zahlia tidaklah seteruk yang disangka. Penyayang juga oranganya...
            Kebiasaannya, seperti suaminya Tan Sri Jaafar, Puan Sri Zahlia juga jarang sekali melekat di rumah. Ada sahaja aktiviti-aktiviti luar dan majlis-majlis besar yang perlu dihadirinya.
            Malam itu, barulah Seri Embun dapat melihat wanita bergaya itu berkumpul bersama-sama anak-anaknya. Cuma Azfahan saja yang tak ada. Anaknya yang seorang itu pun sibuknya macam daddynya juga dan dia menetap di rumahnya sendiri jadi sebab itulah dia jarang sekali pulang ke vila ini.
            “Sebenarnya... mummy ada masalah besar ni.” Puan Sri Zahlia tiba-tiba meluahkan rasa hatinya. Rupa-rupanya dari tadi dia bertindak menyembunyikan masalahnya dengan cuba berbual-bual mesra dengan kedua anaknya, Afka dan juga Alia. Baru dia betul-betul sedar yang dia tidak mampu lagi untuk terus menanggung beban dan seksaan yang terasa merodok-rodok hatinya hingga ke perdu.
            Alia dan Afka saling berpandangan. Saling tertanya-tanya tentunya sebaik mereka terpandangkan wajah mendung ibu tercinta. Mana tidaknya, Puan Sri Zahlia seorang yang ceria. Jarang sekali wanita itu berhadapan dengan apa-apa masalah. Kehidupannya sentiasa berjalan lancar.
            “Masalah apa, mummy?” Hampir serentak Alia dan Afka mengajukannya.
            Puan Sri Zahlia nampak gelisah. Nak berterus-terang, atau diamkan saja? Alah cakaplah. Bukannya dengan orang lain. Anak-anak aku jugak!
            “Bukan apa. Mummy sebenarnya syak... Mummy syak daddy kamu tu macam ada perempuan lain la!”
            Berkerut-kerut dahi kedua-dua anaknya. Puan Sri Zahlia pula sudah mula teresak-esak. Rupa-rupanya tadi, dia hanya berpura-pura ceria sahaja. Apabila sudah tidak tertanggung, inilah jadinya...
            “Sure ke ni, mummy? Mana mummy tahu? Jangan-jangan mummy silap tak? Mummy sendiri kenal kan daddy tu macam mana? Daddy tu setia, lembut aje orangnya. Kalau dia nak pasang lagi satu pun, mesti dari dulu lagi daddy dah buat semua tu...”
            Puan Sri Zahlia menggeleng dengan keadaan kepalanya masih tertunduk ke bawah.
            “Dulu tu tak usah cerita la.. Masa muda-muda dulu mummy memang cantik. Kalau mummy masuk pertandingan ratu kebaya pakai baju tidur pun mummy boleh menang. Juara lagi..”
.           Amboi, dah jadi macam ni pun sempat nak berlagak lagi? Afka dan Alia saling berpandangan.
            “Tapi sekarang... apa kurangnya mummy eh? Cuba kamu usap tangan mummy ni? Kasar ke? Dah berkedut ke?” Dengan cemas Puan Sri Zahlia menarik tangan Alia memaksa anaknya itu meraba-raba tangannya.
            Alia menggeleng. Puan Sri Zahlia yang masih tidak berpuas hati menarik lagi tangan anaknya itu sebelum dibawa ke pipinya pula.
            “Pipi mummy ni pulak macam mana? Alia agak-agak dah kendur tak?”
            Alia menggeleng lagi. Rimas pula dia dengan mummynya yang menggelabah tak tentu pasal itu.
            “Rambut mummy pula macam mana, dah penuh dengan uban ke?”
            Kali ini, tentulah Alia menggeleng lagi. Mana nak nampak ubannya kalau dah diwarnakan dengan warna perang!
            “Habis kalau semuanya geleng, apa yang kurangnya pada diri mummy ni sampaikan daddy kamu tu sanggup cari perempuan lain?” soal Puan Sri Zahlia tidak puas hati.
            “Badan mummy kot. Err...Urmmm... Alia tengok macam dah tembam sikit..” Takut-takut Alia mengakuinya. Puan Sri Zahlia ni bukannya boleh kalau ada sesiapa yang kritik kekurangannya. Silap-silap boleh jadi gaduh.
            Tepat seperti diduga!
            “Alia ni... Sebagai anak, tak boleh ke kalau Alia sedapkan hati mummy? Tak boleh ke kalau Alia diamkan aje? Berdosa besar tau kutuk mummy. Sepatutnya, seorang anak perlu menganggap ibu masing-masing sebagai perempuan yang paling cantik dekat atas muka bumi ni. Tapi Alia? Alia nak jadi anak derhaka ya?”
            Terpinga-pinga Alia dibuatnya. Aku terus-terang pun salah? Tadi mummy jugak yang minta pendapat aku! Isyyy... mummy ni!
            “Mummy... mummy dah cukup sempurna dekat mata Alia. Tak kisahlah mummy dah tembam ke, dah berkedut ke, mummylah wanita yang paling cantik sekali bagi Alia. Tapi tak tahulah pandangan daddy macam mana pulak.”
            Sedepa muncung Puan Sri Zahlia mendengarnya.
            “Itu yang mummy risau tu. Alia agak-agak, mummy kena buat macam mana? Nak serang perempuan tu, tak mahulah mummy. Nampak sangat mummy ni dah terdesak. Nak kuruskan badan, mummy rasa mummy tak pernah miss pun telan pil kurus tu. Bukan calang-calang pil, produk kurus terbaik dari luar negara tu...” Puan Sri Zahlia mengeluh, dahinya nampak berkerut-kerut.
            Ketara riak risau pada wajahnya. Memang dia akui, suaminya sendiri ada menegur tentang badannya yang sudah semakin berisi. Dan beberapa minggu selepas itulah, dia telah ditakdirkan untuk menyaksikan suaminya sendiri berjalan berlaga bahu dengan perempuan lain. Nampak sangat dia dah tak sayang aku semata-mata badan aku dah naik. Ahhh... Lelaki! Semuanya pentingkan body!
            “Itulah mummy... Bergantung sangat dengan pil kurus tu. Percaya sangat dengan teknologi canggih yang ada sekarang ni. Mummy... mummy kena ingat, kecantikan itu adalah sesuatu yang bersifat semulajadi. Jadi, sebagai manusia, sebaik-baiknya, kita kembalikanlah semula diri kita ini pada asalnya. Tubuh badan kita ni perlukan sesuatu yang natural..
            “Habis... Alia nak suruh mummy buat apa sekarang ni?” Bosan pula Puan Sri Zahlia mendengar anak bongsunya yang berlagak seperti seorang pakar itu!
            “Jogging?” Alia menjongket-jongketkan keningnya.
            Terdengar keluhan dari mulut Puan Sri Zahlia. Dia tahu, nak tak nak, ‘aktiviti’ yang satu itu dia tetap kena buat walaupun dia tak suka!
            “Macam mana pula dengan pemakanan mummy? Alia tahu kan, lately ni mummy memang kuat makan?” rungut Puan Sri Zahlia. Itulah masalah yang paling besar baginya untuk mendapatkan semula bentuk tubuh badan ideal yang dulunya menjadi pujian sahabat-sahabatnya. Kalau tidak, tak ada lah Datin Ruby sampai menuduhnya cuba merampas suaminya. Padahal suami Datin Ruby yang tak sedar diri tu yang cuba menggodanya.
            “Banyakkanlah makan buah-buahan dengan sayur-sayuran. Lepas tu, kurangkanlah sikit pengambilan nasi tu. Kalau boleh, seminggu sekali aje makan nasi. Kalau tak tahan sangat, ambil dalam kuantiti yang sikit aje,” nasihat Alia lagak seorang pakar pemakanan padahal badannya sendiri pun dah makin tembam sejak akhir-akhir ini.
            “Gila apa? Tu nak seksa perut mummy ke apa tu?” Puan Sri Zahlia menyatakan rasa tidak puas hatinya. Dia memang tidak pernah berdiet memandangkan sejak dari zaman mudanya lagi badannya sudah terbentuk cantik. Sejak akhir-akhir ini sahaja badannya naik mendadak.
            “Terpulanglah pada mummy..”
            “Dah tak ada cara lain ke? Mummy tak sangguplah nak berlapar...” rungut Puan Sri Zahlia sambil menayang wajah simpati. Macamlah anaknya itu ada kuasa ajaib yang boleh menukar bentuk badannya menjadi sehebat bentuk badan Beyonce!
            Alia mengetuk-ngetuk bawah bibirnya dengan hujung jari telunjuk. Baru dia teringat sesuatu.
            “Kalau macam tu, setiap pagi mummy kenalah minum jus yang Kak Embun buat tu.” Begitu teruja sekali sewaktu dia memberikan cadangan itu.
            “Apahal pulak mummy kena minum jus yang dia buat? Mana-mana jus pun sama aje lah!” bentak Puan Sri Zahlia sambil menarik muka.
            “Lain, mummy. Alia dah pernah minum. Yang istimewanya jus yang kak Embun tu buat, bukan setakat sedap sampai tergigit bibir, tapi... lepas minum, perut rasa kenyang tau mummy...”
            “Betul tu, mummy,” sokong Afka sambil melipat akhbar di tangan sebelum diletaknya ke atas meja yang dikelilingi mereka bertiga.
            Puan Sri Zahlia mengeluh. Kenapalah dalam banyak-banyak inisiatif yang ada dekat dalam dunia ni, jus budak bendul tu jugak yang budak-budak ni cadangkan?
            Puan Sri Zahlia sempat menepuk-nepuk dahinya. Ketika itulah dia terpandangkan Seri Embun yang sedang mengemas barang mainan cucunya Fyra. Tercebik-cebik bibirnya, benci sangat dengan perempuan kampung itu. Namun, semakin dia perhatikan, hatinya tertarik pula dengan cadangan anak bongsunya tadi. Walaupun tubuh Seri Embun agak kecil dan tidak pula tinggi, namun gadis itu memiliki bentuk tubuh badan yang boleh dikatakan menawan.
            ‘Alahhh... Nama pun Seri Bendul. Badan pun mestilah melengkung macam kayu bendul jugak. Tapi apa-apa pun, tetap tak boleh jadi. Dengan Seri Bendul pun aku boleh kalah, macam mana aku nak pikat suami aku balik?’


P/S: Sebarang kritikan sama ada positif mahupun negatif teramatlah dialu-alukan. Penulis sangat memerlukan komen daripada pembaca sekalian. Terima Kasih. =)

4 comments:

  1. Tetap best ,santai dan menarik cerita ni.

    ReplyDelete
  2. saya terpikat dengan cerita ni. hahaha =D

    ReplyDelete
  3. Akak , cite akk best! Tapi , jgn marah eh ? ^^' cuma tukar skit prolog dia . Jadikan santai skit , hehe ! Ini hny cdangn je . Makasih sudi bc kmen ni . Wish ur luck !

    ReplyDelete
    Replies
    1. awakkkk..sy bukan akak. saya lelaki. hehe.. dont worry la. the right is in ur hand. u berhak nak komen apa saja. terima kasih ya atas cadangan tu. and thanks for reading too ^_^

      Delete