25
MEMIKIRKAN
waktu yang sudah hampir melepasi sepuluh minit sejak ‘Sherry’ masuk ke bilik
air untuk mengambil wudu’, Azfahan yang masih baring secara meniarap di atas
lantai bangun perlahan-lahan dengan gaya seperti seseorang yang sedang menekan
tubi.
Fikirnya, ‘tentu’ Sherry menyambung
semula tidurnya di dalam bilik. Lalu, dia pun melangkah menuju ke bilik air
utama yang terletak bersebelahan dengan dapur untuk mengambil wudhu’. Pertama
kalinya selepas hampir berminggu-minggu juga dia meninggalkan solat Subuhnya.
Selama berminggu-minggu itu, dia hanya menggantikan solatnya dengan melakukan
qada’ sahaja. Entah diterima entahkan tidak solatnya itu.
Terasa segar badannya. Mungkin
disebabkan kesan wudhu’ yang sejuk mengembunkan beberapa bahagian anggota
tubuh.
Sewaktu dia mahu melangkah menuju ke
biliknya untuk menunaikan solat Subuhnya di situ, telinganya menangkap sesuatu.
Sesuatu yang kedengaran tidak jauh daripada tempat dia berdiri sekarang ini.
Sesuatu yang tidak jelas di telinganya tetapi entah kenapa hatinya begitu
tertarik sekali ingin terus mendengarnya. Hatinya meronta-ronta menyuruh dan
mendesak dirinya untuk memburu alunan yang telah membuatkan hatinya terasa lain
macam itu.
Lalu, dia segera menoleh. Menoleh ke kanan dan terus terpandangkan salah
sebuah bilik yang tertutup rapat pintunya tetapi tidak sepenuhnya. Masih dapat
dilihat sedikit ruang kecil dari celah-celah pintu yang mengizinkan alunan itu
terdengar sehingga ke luar bilik.
Dengan hati yang teruja entahkan sebab apa, Azfahan mengekori suara itu.
Dia seperti dipukau untuk datang dan menghampiri alunan yang semakin
menarik-narik halwa telinganya. Sehinggalah dia berdiri rapat dengan pintu
bilik tersebut dan pada dinding pintu itu dia perlahan-lahan menekupkan
telinganya di situ.
Mengaji rupanya. Subhanallah,
merdunya. Lunak sungguh suara dia...
Terpegun Azfahan mendengarkan suara
yang lunak itu mengalunkan ayat-ayat suci yang dia sendiri tidak tahu dari
surah mana. Dia perasan tangannya menggeletar kerana meremang dengan suara yang
ranum, lemak merdu itu. Sehinggakan kesan wudhu’ yang masih basah di beberapa
bahagian anggota badannya juga turut bergetar sama. Sesungguhnya, suara yang
merdu itu telah membuatkan dia merasakan suatu perasaan yang aneh dan ganjil
sehinggakan darah di dalam tubuhnya seperti dikocak-kocak.
Dia tidak selesa menghadapi situasi
dan keadaan begitu namun dia tetap mahu terus mendengar suara lunak merdu itu
mengalunkan ayat-ayat suci kerana daripada suara itu, hatinya terasa begitu
tenang, setenang-tenangnya. Apatah lagi di kala waktu keheningan Subuh yang
sunyi begini. Terasa suara itu meresap jauh ke dalam lubuk hatinya.
Bukannya dia tidak pernah mendengar
suara yang lebih merdu daripada itu. Dia sendiri pernah terpukau dengan suara
lunak Dato’ Siti Nurhaliza sewaktu penyanyi nombor satu itu mengadakan
persembahan sempena ulangtahun syarikatnya beberapa tahun dulu. Tetapi, cukup
berbeza jika hendak dibandingkan dengan suara ‘Sherry’. Suara ‘Sherry’ walaupun
tidaklah semerdu suara Siti Nurhaliza, tetapi ada ‘sesuatu’ di dalam suara itu
yang membuatkan dia merasakan suara ‘Sherry’ mempunyai keistimewaan yang tiada
pada mana-mana suara perempuan lain. Dia tidak pernah mengalami keadaan
sebegini. Keadaan bagaimana dia terpukau dengan suara seorang perempuan
sehingga meremang bulu romanya. Walau dengan Sazzy pun tidak pernah meskipun
gadis itu kerap ‘mengalunkan’ ayat-ayat cinta dan rengekan yang menggoda di
tepi telinganya. Dia seorang lelaki yang cool
jadi sepatutnya dia tidak mudah tergoda hanya dengan keindahan suara! Tapi kali
ini dia gagal. Hatinya terasa sangat terhibur dan terasa sangat tenang sehingga
dia sendiri tidak berjaya mengungkapkan rasa apakah yang sedang dialami dan
dinikmatinya sekarang ini kerana baginya, perasaan itu begitu aneh untuk
diungkap dan ditafsirkan.
Azfahan beristighfar. Dia tidak
sedar yang dia sudah terleka sehingga lebih lima minit di situ hanya kerana
asyik mendengarkan suara yang teralun dari bibir seorang gadis yang selama ini
menjengkelkannya...
SEJADAH
yang telah digunakan tidak dilipat seperti biasa. Dibiarkan terlentang saja
di atas lantai. Solatnya tadi tidak begitu khusyuk. Sayup-sayup suara ‘Sherry’
yang masih mengalunkan surah suci masih terapung-apung kedengaran sehingga ke
biliknya walaupun jarak antara bilik utama itu dengan bilik di mana ‘Sherry’ berada
boleh dikatakan jauh juga.
Azfahan kelihatan tidak sabar-sabar
ingin mendengar suara itu dengan lebih dekat lagi. Mungkin disebabkan itulah
dia tidak khusyuk dengan solat yang didirikannya tadi. Tergopoh-gapah dia
keluar dari biliknya. Tidak pula dia mandi seperti kebiasaan yang dilakukannya
sebaik selesai mendirikan solat Subuh. Jangan kata mandi, rutin berdoa selepas
solat pun dia boleh terlupa!
Pintu bilik di mana ‘Sherry’ berada
di dalamnya dilihat masih berkeadaan seperti tadi. Masih tertutup tetapi tetap
kelihatan ruang kecil yang mengizinkan suara itu memercik keluar dari dalam dan
bagaikan embun pagi, suara itu menempias pula meresap sehingga ke dalam
hatinya. Dia masih merasakan perasaan yang sama setiap kali mendengarkan suara
itu. Perasaan aneh yang dia kira sebagai luar biasa. Sebelum ini dengan rendah
hatinya, dia jujur mengakui yang dia memang tidak mudah tersentuh mendengar
sesiapa sahaja mengaji atau mengalunkan ayat suci al-Quran. Tidak juga mudah
tersentuh hatinya yang sekeras kerikil itu meskipun mendengarkan laungan azan
dari masjid berdekatan rumahnya yang saban hari dilaungkan oleh muazin yang
dilahirkan dari tanah Arab itu.
Tidak sama seperti dia mendengar
suara ‘Sherry’ sekarang ini. Tapi kenapa harus begitu sekali perasaannya?
Sedangkan ‘Sherry’ bukannya sedang mengalunkannya ayat itu dengan
bersungguh-sungguh sebagaimana mana-mana qariah yang menyertai pertandingan di
kaca-kaca televisyen.
Kenapa hari ini dia terasa begitu
lain sekali perhatian yang diberikannya kepada ‘Sherry’? Apakah ALLAH ingin
menyatakan ‘sesuatu’ dalam diam kepadanya? Bagaimana pula kalau sememangnya ‘Sherry’
adalah jodoh yang tepat untuknya sebagaimana yang dirancang Puan Sri Zahlia
sendiri yang sememangnya sudah terpikat dengan gadis kampung itu?
Azfahan menggeleng, wajahnya ketat. Tak
boleh jadi ni!
Dia sendiri akui, memang ada
perasaan yang ganjil meresap ke dalam hatinya sehingga kini. Melihat wajah ‘Sherry’
yang sedang nyenyak tidur dengan tudung di kepalanya pun dia boleh terpegun.
Dan sekarang, dia terpegun lagi. Sehinggakan dia tidak sedar yang ‘Sherry’
sudah pun menyudahkan bacaannya. Tidak sempat untuk dia melarikan diri, ‘Sherry’
sudah pun membuka pintu dan dari riak muka gadis itu, ‘Sherry’ jelas kelihatan
terkejut melihat kelibatnya di situ. Namun, gadis itu kelihatan tenang sekali
dengan keadaan yang tidak disangka-sangkanya. ‘Sherry’ memang bijak mengawal
keadaan.
“Assalamualaikum. Awal kau bangun hari ni.”
Tidak seperti Azfahan yang menggelabah tak tentu pasal.
“Errrr...urmmm ya... ya... Hari ni awal
sikit sebab kita kan nak balik ke vila sekejap lagi.”
Entah bagaimana dia boleh terlepas cakap. Namun, bila difikir balik, memang
itu pun yang dimahukannya walaupun dia sebenarnya tidak ada pula merancang
untuk pulang ke vila hari ini. Tapi elok juga. Lagi cepat dia bawa ‘Sherry’
balik ke vila bersama-samanya, lagi bagus. Biar permainan ini tamat dengan
segera sebaik sahaja ‘Sherry’ berjaya menjayakan lakonannya.
Dia sudah tidak betah lagi duduk berdua-duaan dengan gadis ini. Dia takut,
bimbang, gusar dan bermacam perasaan lagi yang membuatkan seluruh dada dan
jantungnya berdebar-debar dengan degupan yang kedengaran sumbang. Hari ini
sahaja dia sudah berasa bermacam-macam perasaan aneh terhadap ‘Sherry’. Semakin
takut bila difikirkannya. Dia takut kalau lama kelamaan nanti hatinya terpaut
pada gadis kampung yang dibencinya ini. Tidak! Dia tidak akan sesekali
membiarkan perkara itu daripada berlaku! Jadi, pilihan yang terbaik, pulang ke vila
dalam keadaan segera!
“Kau okay tak ni?” Azfahan bersuara kemudiannya apabila dia perasan yang ‘Sherry’ menundukkan sedikit
kepalanya seperti sedang memikirkan sesuatu.
“Hurmmm... Aku okay aje. Tapi kau
kan dah janji dengan aku. Sebelum kita balik semula ke vila, kau kata nak bawa
aku shopping dulu.” ‘Sherry’ menarik
muncung panjang, meluahkan rasa tidak puas hatinya.
Azfahan hampir nak tersenyum melihat gelagat ‘Sherry’ yang seperti
kebudak-budakan itu, tetapi ditahan sehabis daya. Wajah ketatnya itu juga yang
ditayangnya setiap kali berhadapan dengan ‘Sherry’. Kerana dia mahu gadis itu
sentiasa menghormatinya!
Dia ni pun.... Pagi-pagi lagi dia dah boleh terfikirkan pasal shopping. Shopping complex pun tak bukak lagi...
“Lain kali sajalah...” balasnya lemah. Malasnya dia kalau perlu menemani
orang perempuan membeli-belah. Itulah rutin yang paling dibencinya! Tapi
menemani ‘Sherry’ membeli-belah tempoh hari telah mengikis sedikit tanggapan
buruknya selama ini pada sikap orang perempuan yang suka membeli-belah.
Sekarang barulah dia mula menganggap yang tidak semua orang perempuan itu suka
menghabiskan masa lama-lama sewaktu memilih dan membeli pakaian. ‘Sherry’ hanya
memerlukan masa tidak sampai sepuluh minit untuk memilih beberapa jenis pakaian
yang dia berkenan. Gadis itu sentiasa tahu apa yang dimahukannya.
“Mana boleh macam tu. Nanti macam pula dengan lakonan aku? Kau jangan
salahkan aku pulak kalau lakonan aku tak menjadi nanti.” ‘Sherry’ memberi
amaran keras. Suaranya naik satu oktaf.
Azfahan tidak bertanya, cuma mengerutkan dahinya saja.
“Iyalah... Kau cakap kau nak ubah Seri Embun jadi perempuan sombong yang
tak sedar diri, yang dah lupa asal-usul dia, yang garang macam mak tiri! Jadi,
nak tak nak kau kena juga bawa aku pergi shopping
untuk beli pakaian yang sesuai dengan watak yang aku bawak bila aku balik ke
vila nanti. Tapi kalau kau tetap berdegil tak nak bawa aku shopping, aku pun tak boleh nak cakap apa lagi dah. Cuma aku nak
ingatkan kau. Kalau pelan kau tak menjadi nanti, jangan pulak kau salahkan aku.
Aku takkan bertanggungjawab!” Kali ini, ‘Sherry’ mengugut pula. Lebih kepada mengumpan
sebenarnya. Dia berharap sangat yang Azfahan akan mengubah keputusannya.
Yes, macam ada chance aje! ‘Sherry’ bersorak di dalam
hati.
Dia lihat Azfahan seperti sedang menimbangkan permintaan dan kebernasan
ideanya tadi. Namun, dia sengaja menyorokkan wajah terujanya.
Sakit pula hati Azfahan bila terpandangkan muka ‘Sherry’ yang selamba itu.
Dia tidak suka melihat reaksi begitu. Dia mahu ‘Sherry’ serius dengan ‘projek
usahasama’ yang menjadi rahsia mereka berdua itu memandangkan projek ini begitu
penting bagi kedua-dua belah pihak baik di sebelah pihaknya mahupun di sebelah
pihak ‘Sherry’. Kerana mereka berdua sendiri sedia maklum yang masing-masing
memang tidak akan pernah rela untuk disatukan sebagai pasangan suami isteri.
“Baiklah... Aku akan belikan apa saja yang kau minta, tapi dengan syarat,
kau hanya diberi tempoh seminggu saja untuk buat Tan Sri Jaafar dan Puan Sri
Zahlia bencikan kau, sekaligus batalkan terus pelan tak masuk akal mummy aku
untuk satukan aku dengan kau! Boleh kau buat semua tu untuk aku?”
Giliran Azfahan pula yang mengugutnya. Lelaki ini sudah siap berpeluk tubuh
sambil menjongket-jongketkan keningnya.
Diam.
Kelu lidah ‘Sherry’ untuk menjawabnya. Dia sendiri tidak yakin dengan
kemampuannya. Aku ni bukannya Fasha Sandha yang ada bakat lakonan walaupun muka
aku ni comel macam Lisa Surihani. Mampu ke aku melakukannya?
Ahhhh... Angguk sajalah. Mana
boleh aku lepaskan tawaran sekali seumur hidup ni. Bukan calang-calang tawaran!
Berbaloi jugak aku datang dari jauh.
“Oh Pavilion Bukit Bintang, here I come!” Sambil bernyanyi-nyanyi
kecil, ‘Sherry’ terus ke dapur ingin menyiapkan sarapan pagi. Berseri-seri
wajahnya membayangkan syurga beli-belah yang paling eksklusif dan elegan di
bumi Asia itu.
Azfahan tersenyum, menggeleng melihat gelagat ‘Sherry’ yang kebudak-budakan
itu.
“Sedap suara kau mengaji tadi,” pujinya tiba-tiba. Lupa seketika pada rasa
malu dan egonya atas sikap berterus-terangnya itu.
Berubah muka ‘Sherry’. Tubuhnya dipusingkan perlahan-lahan.
“Kau curi-curi dengar ya?” sergahnya.
Azfahan langsung tidak takut, sebaliknya dia mengangguk. Sekali lagi dia
bersikap jujur.
“Aku tak tahu pulak suara yang aku dengar tadi tu suara kau. Merdu sungguh.
Lain sangat kalau nak dibandingkan suara kau yang tersangatlah sumbang masa kau
nyanyi lagu Siti Nurhaliza dalam kereta aku itu hari.”
‘Sherry’ memang suka menyanyi. Lebih-lebih lagi sewaktu mereka berdua
berada di dalam kereta. ‘Sherry’ akan menyalak ikut sesuka hatinya. Itulah saja
kerja yang boleh dibuat memandangkan Azfahan bukan mahu melayannya berbual pun.
Serius dan tekun sahaja lelaki itu setiap kali memandu.
Azfahan senyum mengejek. ‘Sherry’ pula mencebik.
“Masa kat dalam kereta tu memanglah teruk suara aku sebab aku tengah
menyanyi depan kau.”
Azfahan mengerutkan dahinya, tidak faham.
“Tak ada apa-apa lah.” ‘Sherry’ memutuskan untuk tidak menjelaskan ayatnya
yang masih tidak dapat ditangkap maksudnya oleh Azfahan tadi.
“Alah, bagitahu aje lah!” Azfahan pula masih terus mendesak.
“Tak nak lah. Nanti kau fikir bukan-bukan pulak pasal aku.”
“Tapi aku tetap nak tahu jugak. Kenapa bila berdua-duaan dengan aku, suara
kau sumbang dan tak semerdu kau mengaji tadi? Atau kau gugup bila duduk berdua
dengan aku? Kau sukakan aku ya?”
Belum apa-apa, Azfahan sudah berburuk sangka. Sesuka hati saja dia membuat
kesimpulannya sendiri.
“Perasannya kau ni!”
“Alah, tak payahlah kau nak menafikan lagi. Aku boleh agak lah. Kau suka
dekat aku kan?” Azfahan mengulang telahan yang sama. Dia langsung tidak sedar keadaan dirinya sendiri yang sedang ternanti-nantikan respon daripada ‘Sherry’ bersama dada yang
berdebar-debar. Dia teringin sekali melihat ‘Sherry’ mengiyakan telahannya
tadi.
Sehinggalah Azfahan sedar tentang keadaan itu, dia sedikit tersentak dan tertanya-tanya di dalam hati. Kenapa sampai begini sekali dia menaruh perasaan terhadap ‘Sherry’?
Sehinggalah Azfahan sedar tentang keadaan itu, dia sedikit tersentak dan tertanya-tanya di dalam hati. Kenapa sampai begini sekali dia menaruh perasaan terhadap ‘Sherry’?
Azfahan termenung bersama hati yang tidak tenteram sehingga hampir-hampir dia tidak
kedengaran sewaktu ‘Sherry’ membuat penjelasan bagi membela diri sendiri. Hanya
keluhan ‘Sherry’ yang dapat didengarnya dengan jelas sebelum gadis itu mengulas panjang
lebar.
“Baiklah, biar aku jelaskan. Aku buat penjelasan ni pun sebab aku tak nak kau salah faham dengan aku, dan aku tak suka tengok perangai kau yang perasan bagus tu. Tapi awal-awal cakap, maaflah ya kalau kau
meluat dengan gaya aku yang macam ustazah ni. Aku ni bukannya alim pun. Cuma apa yang aku tahu, berdosa kalau seorang perempuan melenggok-lenggokkan suara di
hadapan orang yang bukan semuhrim dengan perempuan tu. Sebab itu lah waktu
dalam kereta itu hari aku buat-buat sumbang aje padahal kalau ikutkan, suara
aku ni tersangatlah merdu mengalahkan suara Mariah Carey.”
Selesai dengan penjelasannya, ‘Sherry’ terus berlalu meninggalkan Azfahan
terpinga-pinga bersama hilai tawanya yang panjang.
Hanya setelah hampir seminit, barulah terlihat senyuman yang terukir di
bibir Azfahan. Lucu pula dengan sikap ‘Sherry’ yang kerap sangat masuk bakul
angkat sendiri itu. Namun begitu jauh di sudut hatinya, termendap perasaan
kagum dan bangganya melihat bagaimana ‘Sherry’ menjaga peribadi dan maruah
dirinya.
‘Alahai, apa yang dah tak kena
dengan aku ni? Dari tadi, rasanya dah berbakul-bakul aku puji dia walaupun pujian tu habis kat dalam hati aku ni aje. Parah...! Parah...! Tak boleh jadi ni!'
Nampaknya adik dengan abang dah jatuh cinta pada orang yang sama.... #^_^
ReplyDeleteorgnya x sama kak. hee
DeleteWahh abang suke kat kakak . Adik suke kat adik . How so sweet :*
ReplyDeletehehe..mcm tu la gamaknye
Deletesweet..
ReplyDeletekan dah jatuh si azfahan tu..
jatuh cinta hahaha
haih.. mana si embun ni?
nak tanya satu je lagi..
ReplyDeletehm.. writer ni girl ke boy??
writer novel ni actually lelaki. nape tanya? mcm boleh agak je cik writer ni lelaki. hihi
DeleteBestlah citer ni, pusblish samapi episode akhir boleh tak? Seronok!
ReplyDeleteSorry abang, adik ingat penulis citer ni perempuan, rupanya lelaki. Sorry bang! :)
hehe thank you, its ok dik. x kisah laki ke perempuan janji u olls sudi baca..kekeke...dekat penulisan2u tu guna nama Mimi Fatimah Pudin sebab nama tu gabungan nama mak dan ayah saya. pasal publish smpi episod akhir, insyaallah memang dari awal lagi saya rancang begitu =)
Deleteoh em gee.. *ternganga luas2* writer lelaki?? my2... waaa.. serius terkejut.. >.< *gosok2 mata x percaya* dahsyat ah.. thumbs up2 utk writer..haha.. mati2 sy igt perempuan... =.='
ReplyDeletehehe thank you...dekat penulisan2u tu guna nama Mimi Fatimah Pudin sebab nama tu gabungan nama mak dan ayah saya :)
Deleteciter ni habis kan blog kan????
ReplyDeletehhahaha....yeba2
ni baru syok....
hee..ya2. insyaallah akan dihabiskan kt blog. sbb kesian org lain dh penat2 baca takkan nak berhenti camtu je. huhu
Deletepergh....makin lama makin teruja plak nk tau ending citer nie.
ReplyDeletethank you. stay smpi ending k. x lama je lagi ..hehe
Deletehahah,,...tertipu sudah...ingatkan cik penulis pompuan...uper yer lelaki...tahniah wat cite yang mampoo wt kiteowg tertunggu sambungannya..;D
ReplyDeletebarulah ada gimik sikit. haha... =)
DeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDeleteBuat En. Penulis ..nice story love it... best jugak baca cerita dari lelaki punya point of view ... anyway wish u good luck and all luck ...and also Happy New Year
ReplyDeleteTerima Kasih kak. Mudah2an ada rezki sy nk bukukan cerita ni. Happy New year jugak. Semoga rezeki bertambah murah. Amin.
Deletebest la cerita ni.. tak sabar2 nk baca sambungan dia..
ReplyDeletethnx ainun. stay smpi ending k ;)
DeleteWowwww....i nvr thought this story penulisnya lelaki...
ReplyDeleteApapun I really amazed this...jrg2 ada lelaki yg tulis citer cinta ni,
All the best for you!
hah cikgu! mane perginye si embun senanye?? cammner si han bleh jemput si sherry nie...sy agk ke blurran -_-' bab seterusnye agk2 bleh mengurang rse konfius sy nie x ??:P
ReplyDelete-nur athira-
Wah..bestlah..Rupanya writer ni seorng lelaki..ingtkn perempuan td..overall,congratz sbb citer ni mmg best giler!!Tak sabar nk baca episod seterusnya..
ReplyDelete