Monday, 3 December 2012

Isteri Paling Kelakar (BAB 12)


SEJAK kehadiran Seri Embun di dalam vila mewah itu, banyak perubahan yang telah berlaku. Kalau Puan Sri Zahlia berbangga dengan perubahannya yang kini sudah menjadi seorang wanita dan seorang isteri yang sempurna dengan menutup seluruh auratnya, Afka pula berbangga dengan butik arwah isterinya yang semakin maju sejak kebelakangan ini. Malah, dia berbangga dengan tindakan berani Seri Embun yang telah melakukan banyak perubahan ke atas butik tersebut tidak lama dulu. Daripada ditinggalkan tidak beroperasi, sekarang dia berasa lega melihat butik yang menjadi lambang cintanya dengan arwah isterinya itu ‘hidup’ semula seperti beberapa tahun lalu.
            Berkenaan Puan Sri Zahlia yang sudah bertudung, dia sendiri terkejut dan hampir ingin menangis melihat perubahan pada ibunya itu tempoh hari. Dari situ juga dia dapat tahu ibunya terbuka hati untuk bertudung atas galakan daripada Seri Embun juga. Saat itu, dia menjadi semakin bangga dan kagum dengan ‘sesuatu’ yang istimewa tersembunyi di dalam diri gadis itu. Kalau tidak, masakan Seri Embun berjaya membuka pintu hati ibunya yang keras itu atas izin daripada ALLAH?
            Di dalam bilik di kliniknya, Afka tersenyum mengenangkan bagaimana seorang yang selama ini dipandang lurus dan kebudak-budakan itu sebenarnya memiliki ‘anugerah’ istimewa yang menjadi daya penarik terhebat di dalam dirinya.
            “Hai... Kali ni, apa pulak alasan kau Af? Kau nak cakap yang jus Seri Embun tu yang sebenarnya buat kau tersengih macam orang kurang siuman macam tu?”
            Doktor Adzhar mencebik bila teringatkan jawapan klise yang selalu diberikan oleh sahabatnya itu. Lebih kurang begini jawapan Afka setiap kali ditanya:
            “Kau gila apa, Ad? Takkanlah aku boleh suka dekat dia. Budak tu dah tak macam rupa perempuan! Aku bukan apa. Aku cuma teringatkan air jus yang dia pernah buat untuk aku. Sedap gila aku cakap kau. Air paling sedap pernah aku minum selama hidup aku, Ad.”
            Ketika itu, Afka bijak menyembunyikan perasaannya. Tapi, tidak lagi untuk kali ini!
            “Okaylah... aku akan mengaku. Tapi sebelum tu, kau jangan gelakkan aku. Kalau kau gelakkan aku jugak, aku akan pastikan yang kau takkan berpeluang untuk rasa minuman paling sedap hasil air tangan bakal isteri aku tu...”
            Doktor Adzhar hanya tersenyum. Hakikatnya, dia hampir nak tergelak sebenarnya. Tapi sedaya upaya cuba ditahan memandangkan dia memang teruja sangat nak merasa jus Seri Embun yang dicanangkan kesedapannya yang begitu nikmat itu. Kalau Afka saja yang suka, tidaklah dia teruja. Biasalah adat orang bercinta. Air ubat pun boleh bertukar rasa jadi air madu. Tapi, bila tempoh hari Alia sendiri dengan terujanya siap dengan reaksi mukanya yang bersungguh-sungguh itu menceritakan kepadanya ‘fenomena’ jus Seri Embun yang dikatakan terlalu hebat auranya itu, terasa teruja juga dia nak mencubanya. Malangnya, Seri Embun memang jarang sangat buat jus tu. Takut hilang seri jus tu nanti kalau dibuat selalu...
            “Aku tak gelak pun lagi tapi kau tu yang dah kantoikan diri kau sendiri. Ceh! Bakal isteri konon. Perasan!” Kali ini, Doktor Adzhar buat gaya ala-ala nak muntah pulak.
            Tidak pula Afka berasa bengang. Kerana dia sudah bersedia dengan perasaannya sendiri. Dia sudah semakin yakin dengan apa yang dirasainya ketika ini.
            “Ini hari kau, Ad. Tunggulah giliran bila kau jatuh cinta macam aku nanti. Time tu, aku sendiri akan jolok anak tekak aku ni dalam-dalam semata-mata nak muntahkan isi dalam perut aku ni ke muka kau!” hambur Afka, pura-pura marah.
            Semakin kuat pula ketawa Doktor Adzhar yang duduk semeja bertentangan dengan Afka di dalam bilik rawatan sahabatnya itu.
            “Tapi kan Ad, aku masih rasa budak tu tetap tak berjaya untuk buat aku lupakan arwah isteri aku. Sejujurnya, aku langsung tak ada perasaan cinta dekat dia walaupun aku rasa..hurmm.. walaupun aku rasa, aku sangat senang dengan sikap dia.”
            Doktor Adzhar terus senyap. Terangkat-angkat keningnya.
            “Ni kenapa pulak ni? Takkanlah kau masih cuba nak mengelak lagi, Af?” Bingung pula dia dengan hati sahabatnya yang semacam berubah-ubah itu.
            Afka menarik nafasnya dalam-dalam sebelum dihembus perlahan.
            “Bukan macam tu, Ad. Macam aku cakapkan tadi, aku sendiri tak pasti perasaan aku dekat budak Embun tu. Aku sendiri tak fahamlah, Ad...” Disandarkan belakang tubuhnya pada kerusi hitam beroda lima itu. Pandangannya ditala ke siling.
            “Tapi aku faham!” ujar Doktor Adzhar tiba-tiba.
            Afka yang sentiasa kelihatan tenang itu kembali menegakkan badannya. Memandang tepat wajah sahabatnya, “Apa yang kau faham?”
            Doktor Adzhar tersenyum.
            “Aku tahu... Kau sebenarnya masih tak yakin yang budak lurus tu, budak yang nampak macam jantan tu, budak yang nampak selekeh dan sempoi tu tak mampu nak jadi seorang ibu yang terbaik untuk Fyra kan? Sebagaimana arwah isteri kau?”
            Masih tersenyum, Doktor Adzhar mula bermain jongkang-jongket dengan keningnya.
            Sementara Afka pula berasa kagum dengan telahan sahabatnya itu. Memang itu yang difikirkannya pun!
            “Kalau kau nak tahu budak Embun tu layak atau tidak untuk gantikan arwah isteri kau, sekaligus menjadi ibu yang terbaik untuk anak kau Fyra... kau kenalah uji dia.” Doktor Adzhar memberi cadangan.
            “Uji yang macam mana pulak?”
            “Haihhh... Takkan itu pun aku jugak yang kena bagitahu. Sebab setahu aku, kau lah manusia yang paling hebat dalam bab-bab nak perdajalkan orang lain ni.”
           






            SEMALAM, Puan Sri Zahlia sengaja mengikut suaminya Tan Sri Jaafar ke luar negara. Bila dia dapat tahu saja yang suaminya ada urusan penting di sana, cepat-cepat dia menawarkan dirinya untuk ikut sekali. Lebih baik aku yang ikut daripada dia bawa perempuan tu. Mungkin itu yang Puan Sri Zahlia fikirkan sampaikan dia sanggup ‘ponteng’ kelas diet anjuran Seri Embun yang masih diteruskan sehingga ke hari ini. Namun, sebelum pergi, Seri Embun sudah pun menyiapkan beberapa keping nota dan panduan untuk diamalkan oleh Puan Sri Zahlia. Semuanya berkaitan diet Atkhin yang berkesan bagi mereka yang mengimpikan tubuh langsing.
            Sejak ketiadaan Puan Sri Zahlia dan Tan Sri Jaafar, Seri Embun dapat melihat perubahan yang ketara pada Afka. Lelaki itu tidak banyak bercakap. Macam tak bercakap langsung. Adakalanya, marah-marah hanya disebabkan perkara remeh. Tapi hari ini, dengan baik hatinya Afka memberi cuti sehingga tiga hari kepada tiga orang pembantu rumah di dalam vila itu. Bukan main seronok lagi mereka. Seri Embun tumpang gembira. Tapi bila difikir semula, siapa yang nak buat kerja dalam vila ni kalau mereka semua tu diberi cuti?
            “Embun lah yang kena buat!”
            “Saya?” Dia tercengang sambil memerhatikan Afka yang berpura-pura tekun membaca akhbar yang menutup separuh daripada mukanya.
            “Iyalah. Lagipun, Fyra kan masih demam. Dia tak sihat. Abang nak Embun yang jaga dia sebab abang percayakan Embun sorang aje buat masa ni.” Arahan itu dikeluarkan dengan tegas dan tanpa memandang langsung wajah Seri Embun, Afka segera melangkah keluar dari vila. Tidak lama kemudian, keretanya terus lesap dari halaman luas vila mewah itu.
            Isy dia ni. Senang-senang macam tu aje dia lepaskan tanggungjawab. Apa aku nak buat ni? Hari ni dekat butik tu nak kena edarkan tudung-tudung percuma dekat rumah anak-anak yatim dengan ibu-ibu tunggal. Macamlah dia tak tahu pasal tu! Seri Embun hanya mampu menjerit marah di dalam hati.
            Arghhh... Hal dekat butik tu kejap lagi lah aku fikirkan.
            Dengan fikiran yang kusut, dia terus mendaki tangga-tangga kayu untuk naik ke tingkat atas bersama bekalan ubat dari klinik Afka sendiri, dan juga air suam di atas dulang yang ditatangnya. Terus dia menuju ke bilik Fyra yang terletak agak terselindung sedikit berbanding bilik-bilik yang lain. Vila ini bukan saja mewah, malah menenangkan. Mungkin kerana kebijaksanaan arkiteknya yang menggabungkan unsur-unsur kayu dengan cermin jernih yang bila mana dari dalam, dapat dilihat dengan jelas kehijauan alam di luar yang sedikit berkabus memandangkan letaknya vila ini di atas bukit yang agak tinggi.
            “Fyra...” Dia memanggil dengan nada yang sehabis lembut. Namun, si kecil masih tidak berkutik. Matanya terus terpejam. Kasihan pula dia menengoknya.
            “Fyra... Ni akak bawakan ubat ni. Makan ubat ni dulu ya. Lepas tu, sambunglah balik tidur tu.”
            Masih tiada respon.
            “Degil betullah budak ni! Fyra, bangunlah! Makan ubat ni dulu! Akak banyak kerjalah nak kena buat!”
            Alahai Seri Embun ni. Dia buat balik perangai ganas dia tu. Tak reti nak berlembut langsung lah dia ni.
            Fyra yang takut-takut perlahan-lahan mencelikkan matanya. Benci pula dia melihat wajah Seri Embun.
            “Pergilah buat kerja akak tu. Yang akak sibuk-sibuk dekat sini buat apa? Orang nak termuntah tahu tak? Kang Fyra muntah dekat muka akak, padan muka! Orang tak panggil, dia sibuk pulak datang masuk bilik orang! Nak tunjuk baik konon!”
            Si kecil ni pun satu. Tak nak mengalah.
            Huh! Kerek betul budak kecik ni ya. Aku nak tolong pun dah kira baik tau! Seri Embun yang sudah mendidih terus bergesa keluar dari bilik itu. Kalau ikutkan hatinya, memang waktu itu juga dia mahu tinggalkan Fyra. Lebih baik dia sibukkan dirinya di butik.
            Gila kau! Takkan kau nak tinggalkan budak kecik tu sorang-sorang?
            Mujurlah Seri Embun tidak terlalu terikut-ikutkan emosinya. Dia akhirnya memilih untuk ke dapur. Di situ, dia menenangkan hatinya yang panas dengan kata-kata yang biadap daripada mulut si kecil itu tadi. Ahhh.. Yang aku nak emosional sangat ni apa kes? Dengan budak-budak pun aku nak sentap. Lagipun, dia tengah demam tu. Mestilah perangai mengada-ngada dia tu melebih-lebih sikit.
            Lepas aku bagi dia minum jus nanti, mesti dia takkan kerek dengan aku lagi! He he he...    
                       
           
           
           
            SIAP jus mangga dibancuhnya, dia kembali mendaki untuk naik ke atas. Berkali-kali dia mengetuk pintu yang sudah dikunci oleh Fyra dari dalam. Masih tiada tanda bahawa pintu itu akan dibuka.
            “Fyra anak manja daddy. Bukalah pintu ni, sayang. Daddy nak bawa Fyra jalan-jalan ni.” Dengan kepakarannya yang mampu meniru suara orang lain, Seri Embun dengan gigihnya meniru suara Afka. Hampir nak tertelan lidahnya sewaktu dia cuba untuk menyamai suara garau lelaki nan seorang itu!
            Tapi, usahanya tidak menghampakan. Sekejap saja, pintu di hadapannya sudah pun dibuka. Tercatuk berdirinya Fyra di hadapannya dengan wajah benci melihat Seri Embun yang tersengih-sengih seperti kerang busuk.
            “Janganlah marah. Sekurang-kurangnya hargailah usaha akak meniru suara ayah Fyra yang tak sedap tu!”
            Masih tersengih. Fyra pula menjeling tajam. Amboi, kecil-kecil lagi dah pandai bagi jelingan maut!
            “Sudahlah tu. Ni akak ada bawakan jus mangga untuk Fyra. Suka tak?” ujarnya dengan suara yang diceriakan. Dah serupa cikgu tadika!
            Dia perasan wajah ketat si kecil itu mula melonggar. Seperti yang dijangka, mana ada sesiapa yang tak terbeli dengan jus hasil air tangan aku ni. Setakat ni, belum ada sorang pun lagi yang tidak berjaya ditundukkannya! Ulang suara, tak ada sorang pun ya!
            Dengan wajah malu-malu, Fyra cuba mendapatkan gelas jus tersebut dari tangan Seri Embun.
            “Opsss, opsss... Nanti dulu.” Seri Embun pula cepat-cepat melarikan gelas tersebut daripada jangkauan si kecil.
            Wajah Fyra yang teruja tadi kembali mencuka.
            “Fyra kena makan ubat-ubat tu dulu. Lepas tu, barulah akak akan bagi Fyra minum jus mangga ni,” umpan Seri Embun.
            Mendengarkan syarat itu, wajah Fyra menjadi semakin ketat. Dia paling benci apabila dipaksa makan ubat!
            Seri Embun dapat lihat dengan jelas betapa sugulnya wajah comel itu. Dia tahu apa puncanya.
            “Kalau Embun nak tahu, anak manja abang sorang tu memang benci sangat bila disuruh telan ubat. Dengar perkataan ‘ubat’ aje pun dia boleh menangis. Tapi, Embun anggap saja ini sebagai cabaran daripada abang. Kalau Embun berjaya pujuk Fyra untuk makan ubat, abang akan hadiahkan Embun beberapa pasang jeans dari jenama Levis...”
            Berseri-seri muka Seri Embun mendengarkan tawaran itu. Memang dah lama dia berangan nak beli dan pakai seluar jeans potongan lelaki daripada jenama itu, tapi manalah dia mampu.
            “Tapi kalau Embun tak berjaya, ini dia...” sambung Afka lagi sambil tersengih. Seri Embun mengerutkan dahinya.
            Dengan dada yang berdebar-debar, dia memandang sahaja perbuatan Afka yang sedang mengeluarkan sesuatu dari dalam beg kertas dan barang yang dikeluarkan oleh lelaki itu ialah...
            “Baju kurung?” Dia terlopong  dengan mata yang membulat.
            Dah lama sangat rasanya aku tak pakai baju kurung. Kadang-kadang tu, rindu juga nak berbaju kurung. Tapi...
            “Ya. Kalau Embun gagal, Embun mesti pakai baju kurung yang abang belikan ni setiap kali waktu kerja. Lagipun, pekerja-pekerja dekat butik tu pun semuanya dah seragam berbaju kurung. Tinggal Embun sorang je yang masih degil!”
            Seri Embun tahu, dari dulu lagi lelaki ini memang tidak pernah berkenan dengan gaya dan penampilannya. Dan dari dulu lagi dia perasan yang lelaki ini cuba untuk mengubah dirinya. Tapi, tak semudah itu. Dia takkan biarkan Afka berjaya. Afka tak boleh sesuka hati nak memaksa dan mengubah prinsipnya. Tidak! Dia takkan benarkan! Dia akan pastikan yang dia tidak akan gagal sama sekali. Dia akan pastikan dia berjaya pujuk Fyra untuk makan ubat sehinggalah anak dara kecil itu sembuh daripada demamnya. Dia akan buat apa saja asalkan dia tidak dipaksa untuk berbaju kurung. Dia masih belum bersedia ke arah itu. Bukan kerana dia degil, bukan juga kerana dia tidak mahu. Dia berubah seperti sekarang ini juga adalah disebabkan peristiwa pahit yang kalau boleh tidak mahu diingatnya sampai bila-bila. Peristiwa yang hanya akan mengundang air matanya. Sedangkan dulu, baju kurung sudah menjadi pakaian sehari-harinya!
            “Kalau tak makan ubat-ubat ni tak boleh ke kak? Tapi, Fyra nak sangat minum air jus tu.”
            Seri Embun yang mengelamun, terpinga-pinga. Tidak lama kemudian, barulah nampak senyuman di bibirnya. Dia menyahut pertaruhan daripada Afka tadi tu pun sebab dia memang mahukan seluar jeans jenama Levis tu. Nak sangat-sangat!
            Fyra mengeluh bila melihat Seri Embun menggeleng-gelengkan kepalanya.

P/S: Sebarang kritikan sama ada positif mahupun negatif teramatlah dialu-alukan. Penulis sangat memerlukan komen daripada pembaca sekalian. Terima Kasih. =)

12 comments:

  1. wah semakin menarik...jgn lupa updte cepat2 ye...

    ReplyDelete
  2. Adik penulis ,thumb up atas karya yang sangat menarik.

    ReplyDelete
  3. best :) sambung lagi cabaran demi cabaran embun lalui dgn jayanya .. tapi kan .. kembar embun tu laki ke perempuan? tertanya gak ...cerita tentang embun punya kembar macam tak berapa nak wujud ..

    ReplyDelete
  4. zahra: insyaallah akan diupdate selalu ..
    alia: thnx ya kak. Rajin sgt akak komen setiap bab. Terharu sgt sy..hehe..
    Ruunna: thnx sudi baca :)
    coretanku: kembarnya tak diceritakan sangat tapi ada sebab kenapa saya buat Seri Embun ni ada kembar. Jeng jeng jeng. heee..thnx ya sudi baca =)

    ReplyDelete
  5. best...tp jgn la tetibe azfahan kacau daun lak.mau kene debik ngan afka

    ReplyDelete
  6. tu kena tunggu tu. Tengok siapa yg dapat Seri Embun. kekeke

    ReplyDelete
  7. best sgt citer ni...kelakar...tergelak sorang2...jalan citer yg sgt menarik...teruskan..

    ReplyDelete
  8. next please....besh

    ReplyDelete
  9. bila nak sambung ni cik gebu... best pulak layan cerita ni.. mula2 tgk tajuk mcm kelakar, rupanya dah baca lagi kelakar.. chiyookkk...

    ReplyDelete
  10. iman: kelakar ke? sy punye la takut org bosan ngn cite sy yg entah pape ni. haha..thnx for reading :)
    anonymous: okay. rajin2 la jenguk blog sy k. sebab saya selalu update. Thnx for reading =)
    Yuhana: Hehe.. Insyaallah Cik Gebu memang selalu update entry baru. Rerajin la jenguk. hee..Thnx for reading and comment k :)

    ReplyDelete
  11. um , tertarik fyra dengan kak seri ! hahaha =D

    ReplyDelete