Tuesday, 18 December 2012

Isteri Paling Kelakar (BAB 20 & 21)


20






            “I tak nak tahu lah you sakit apa! Yang I tahu, you buat lah macam mana sekalipun supaya sakit mata you tu sembuh. Takkan you nak datang ke majlis tu nanti dengan cermin mata hitam pulak? No! I nak you datang ke majlis tu nanti dengan renungan mata you yang 'membunuh' tu! Biar tercengang kawan-kawan model I yang lain bila tengok betapa handsomenya bakal suami I ni. Lagipun sayang, I ni bukannya apa. Takut juga kalau mata I ni berjangkit dengan virus yang you bawa tu. Tapi you jangan salah faham pulak. Penat-penat I membebel nasihatkan you ni pun memang untuk kebaikan you. You jugak yang akan rasa bangga bila semua kawan-kawan I puji you. Bukan calang-calang event okay. Artis pun ramai yang akan datang majlis tu nanti!”
            Takut berjangkit konon. Dulu kata sanggup berkorban apa saja untuk aku. Huh!
            Azfahan terus mematikan telefon bimbitnya sejurus itu walaupun Sazzy masih memekik dari hujung talian. Biarpun begitu, dia yakin Sazzy tidak mungkin akan menghubunginya semula. Buah hatinya itu bukannya fikirkan sangat pun hati dan perasaannya.
            Ini bukan pertama kalinya dia terasa hati dengan Sazzy. Bahkan sudah banyak kali. Walaupun Sazzy bukan jenis perempuan pengikis ataupun materialistik, tapi apa yang dia nampak, Sazzy seorang yang pentingkan dirinya sendiri. Juga seorang yang ingin kelihatan gah di mata orang lain. Sebab itu jugalah Sazzy memburunya dulu. Kata Sazzy dia mahukan lelaki yang sempurna wajah dan juga latar belakangnya, supaya dia akan berasa bangga menjadi kekasih kepada lelaki itu. Ikhlaskah cinta Sazzy? Atau cintanya itu hanya untuk dibanggakan buat tatapan umum?
            Pernah juga Azfahan memikirkan tentang itu. Namun, lelaki muda sepertinya apatah lagi yang mudah digoda oleh hawa nafsu adakalanya memejamkan saja matanya tentang kekurangan dan keburukan kekasih hatinya itu. Dia sendiri mencintai Sazzy kerana kecantikan dan tubuh badan yang menggiurkan kepunyaan gadis itu. Jadi, apa nak dihairankan? Adillah kan?
            Entahlah...
            Azfahan yang ketika itu baru habis meneguk air tin terus bangun mendapatkan ‘Sherry’ yang sedang mencuci bekas pinggan mangkuk di dapur. Hari ini merupakan hari ketiga ‘Sherry’ ulang-alik ke rumahnya. Gadis itu sudah tidak ubah seperti orang gaji saja dibuatnya.
            Tersenyum dia tanpa sedar. Sekeras-keras dan sedegil-degil ‘Sherry’ pun, dia tahu gadis ini memiliki hati yang sangat baik dan belas. Sejak matanya sakit, ‘Sherry’ menjaganya dengan begitu baik sekali. Gadis itu jugalah yang memujuknya untuk membawanya ke klinik untuk mendapatkan ubat mata. Dan masuk hari ini, sudah beberapa kali ‘Sherry’ menyiapkan hidangan makan malam khas untuk dinikmati mereka berdua.
            Namun, demi mengelakkan tanggapan buruk daripada jiran-jiran sekeliling, dia sentiasa membiarkan pintu rumah terbuka meskipun warga kondominium mewah di situ bukanlah kalangan yang punya semangat kejiranan yang tinggi. Masing-masing dengan hal masing-masing. Lagipun, rumah Sazzy yang didiami oleh ‘Sherry’ hanya bersebelahan sahaja dengan rumahnya.
            “Sherry, boleh tak aku nak minta tolong kau sikit?” Lembut sekali Azfahan mengeluarkan suaranya. Walaupun mereka masih bertelagah dan berperang seperti biasa, dia tetap menghormati gadis itu sebagai manusia yang telah banyak membantunya.
            ‘Sherry’ sempat mencebikkan bibirnya.
            “Tak payahlah kau nak berpura-pura baik dengan aku sebab sampai bila-bila pun kau akan kekal kelihatan jahat lagi menyeramkan kat mata aku ni. Aku dah dengar semuanya dah. Mesti kau nak minta petua dari aku kan? Itulah... semalam aku nak guna petua tu, kau cakap cara tradisional ni tak ada kelas untuk orang ‘international’ macam kau. Kononnya doktor aje yang boleh sembuhkan sakit mata kau tu. Tapi hasilnya, sampai sekarang pun kau bercermin mata gelap jugak kat dalam rumah ni kan? Padan lah dengan muka kau tu! Degil sangat!” bebel ‘Sherry’ yang masih tidak menoleh memusingkan badannya. Dia ketika ini sedang tekun membilas bekas pinggan mangkuk. Mereka baru saja menikmati makan petang beberapa minit tadi.
            Azfahan yang berdiri di belakang ‘Sherry’ menayang sengih saja lewat bebelan itu. Adakalanya, dia cukup terhibur dengan sifat ‘Sherry’ yang suka berleter itu. Sekurang-kurangnya, tidaklah dia berasa sunyi.
            “Ooooo... Kau curi-curi dengar ya waktu aku call girlfriend aku tadi? Jadi, bolehlah kau tolong aku kan? Boleh kan? Boleh lah. Bolehlah...” rayunya seperti kanak-kanak kecil. Pandai sungguh lelaki yang seorang ini bermain dengan perasaan perempuan. Lembut saja suaranya. ‘Sherry’ yang mendengarnya pun jadi belas.
            “Aku dah sediakan pun petua tu untuk kau. Pergi tengok kat atas meja sana tu. Kejap lagi aku datang.” Automatiknya, suara ‘Sherry’ pun dengan sendirinya bertukar menjadi lembut sedikit berbanding tadi. Tapi, masih tegas dan garang bunyinya!
            Azfahan tersenyum suka. Lebih daripada itu, dia benar-benar terharu. ‘Sherry’ sentiasa pantas dalam memenuhi permintaannya. Samalah seperti lewat tengah malam semalam.
            Waktu itu perutnya terasa lapar tiba-tiba. Nak keluar makan kat restoran, terasa malaslah pula. Lagi-lagi dengan matanya yang masih belum surut bengkaknya itu. Akhirnya, dia menelefon ‘Sherry’ untuk meminta gadis itu datang ke rumahnya. Dan dia tidak perlu mengambil masa yang lama untuk memujuk ‘Sherry’. Cukup dengan menggunakan suara yang menyebakkan dada, ‘Sherry’ tentu akan memenuhi permintaan walaupun selepas itu gadis itu akan meleterinya hingga berjam-jam lamanya.
            “Yang dalam besen besar ni ke ‘Sherry’? Macam air kosong aje,” komennya sambil menarik rapat mangkuk besar yang terletak di tengah-tengah meja makan itu.
            “Air kosong apa kejadahnya pulak? Yang kosong tu otak kau! Bebal jugak kau ni ya. Cuba kau tengok betul-betul warna airnya. Aku dah bubuh garam kat dalam tu. Insya-ALLAH dengan izin Allah, esok sembuhlah sakit mata kau tu."
            ‘Sherry’ yang sudah siap membereskan kerja di dapur mengeringkan tangannya dengan tuala kecil sebelum dia mendapatkan Azfahan yang memandang besen besar itu dengan wajah yang tidak yakin sahaja.
            “Kalau esok dah sembuh, maknanya lusa aku dah boleh cuci mata tengok Sazzy dengan kawan-kawan dia buat catwalk.”    Azfahan sengih-sengih nakal dengan kata-katanya sendiri.
            Ooooo... Patutlah beriya-iya sangat kau minta petua daripada aku ya. Aku ingatkan majlis apa lah tadi. Rupa-rupanya, kau nak pergi majlis yang meruntuhkan akhlak ya? Menyesalnya aku bagi petua ni kat kau. Tak pasal-pasal aku dah dikira bersuhabat. Ya ALLAH... ampunkanlah dosa hambaMU ini ya ALLAH...
            “Boleh kita mula sekarang?” soal Azfahan. Nampak seperti tidak sabar untuk membuang terus cermin mata hitam yang selama ini mengganggu ketenteraman penglihatannya itu.
            “Boleh. Kau bukalah cermin mata hitam kau tu. Lepas tu kau rendamkan muka kau kat dalam besin ni. Pejam celik banyak kali supaya air tu bertindak mencuci kuman kat dalam mata kau tu.” Seperti seorang doktor pakar mata saja ‘Sherry’ memberikan penerangan.
            Azfahan yang sudah tidak sabar-sabar lagi terus menanggalkan cermin mata hitamnya. Dia benar-benar berharap petua ini berkesan menyembuhkan sakit matanya yang semakin kronik itu. Dia sudah bosan duduk berlama-lama di dalam rumah. Kiranya tiga hari jugalah dia tidak memandang dunia luar. Dah muak rasanya hanya memandang ‘Sherry’ tiga hari berturut-turut ini. ‘Sherry’ yang tidaklah selawa mana! Dia rindu ingin mencuci matanya memandang perempuan-perempuan seksi di tengah-tengah ibu kota ini.
            Kemain lebar lagi kau senyum ya. Mesti kau dah terbayang-bayangkan tubuh montok girlfriend kau buat catwalk kat atas pentas dengan pakaian yang seksi-seksi sampai tersembul lurah dada kan? Sebelum aku bantu sembuhkan mata kau dan bagi peluang untuk kau tengok semua tu, apa kata kalau aku bagi kau rasa macam mana seksanya balasan untuk kau kat dunia ni? Adil tak?
            Perlahan-lahan, Azfahan memasukkan kepalanya ke dalam besen. Dia seperti takut-takut melakukannya. Selepas beberapa minit, barulah seluruh kepalanya terendam di dalam besen besar itu.
            ‘Sherry’ yang awal-awal lagi sudah bersedia untuk memberikan pengajaran pada lelaki itu dengan tangkasnya dia membenamkan kepala Azfahan supaya menujah masuk lebih dalam lagi ke dalam besen besar itu. Waktu itu, dia perasan tangan Azfahan tergapai-gapai cuba menolak tubuhnya. Malangnya, dia awal-awal lagi sudah menjarakkan tubuhnya daripada dicapai oleh lelaki itu.
            Agak lama juga dia menekan kepala Azfahan ke dalam besen yang penuh dengan air garam itu. Sudahlah tadi dia sengaja bubuh garam lebih.
            Biar pedih mata lelaki itu!
             Sehingga kelihatan buih-buih besar yang tentunya terbentuk dari nafas yang keluar dari mulut dan juga hidung Azfahan, barulah ‘Sherry’ menarik kepala lelaki itu ke atas semula.
            Azfahan kelihatan begitu terseksa sekali. Nafasnya tercungap-cungap. Matanya yang sudah sedia merah bertukar menjadi semakin merah. Begitu juga dengan mukanya. Merah padam. Seketika, dia mengurut-urut kerongkongnya yang terasa perit. Setelah berasa lega sedikit, dia membuka matanya semula. Dan matanya itu terus menikam hingga menyiat-nyiat kulit muka Sherry yang kelihatan tidak bersalah langsung dengan apa yang telah dilakukannya sebentar tadi. Apa lagi... Meluap-luap rasa marah dan sakit hatinya pada perempuan kampung itu!
            “Apa yang kau cuba buat ni hah? Gila apa? Kau tahu kan mata aku ni sakit? Sudahlah kau bubuh garam sampai berkati-kati kat dalam air tu. Pedih kau tahu tak?” marah Azfahan. Dadanya berombak-ombak menunjukkan yang dia cukup marah dengan perbuatan ‘Sherry’ itu tadi. Matanya masih terpejam-pejam menahan pedih.
            ‘Sherry’ masih berwajah selamba. Tenang saja riak wajahnya.
            “Hai... Takkanlah sakit macam tu pun kau tak boleh tahan. Sakit apa neraka boleh pulak kau tahan ya,” sindir ‘Sherry’. Pedas sekali bunyinya.
            Apa lagi, makin melentinglah Azfahan dibuatnya.
            “Apa yang kau merepek ni hah, perempuan *&%$#?”
            Hilang terus rasa hormatnya pada gadis itu. Dia sudah mula menyenangi ‘Sherry’ tapi ‘Sherry’ sendiri yang meminta dirinya untuk dilayan secara kurang ajar! Dan ‘Sherry’ memang selayaknya dilayan dengan cara itu.
            “Iyalah... Esok lusa kan kau nak tengok benda-benda haram dekat majlis fashion show girlfriend kau tu. Jadi sebelum mata kau tu rasa betapa panasnya api neraka, apa salahnya kalau aku bagi kau rasa pedihnya garam-garam yang cuma sebesar hama ni. Tapi kalau dah air garam pun kau tak mampu nak tahan, macam mana kau nak tahan seksa api neraka nanti? Jadi, aku cadangkan kau batalkan saja lah niat kau untuk jejakkan kaki ke tempat-tempat yang hanya akan mendapat kemurkaan ALLAH tu...”
            Berubah terus wajah Azfahan apabila disindir begitu.
            “Sebelum pecah bibir kau tu aku tampar, baik kau berambus keluar dari rumah aku ni!”
            Tajam renungan matanya menyiat kulit muka 'Sherry'. Tangannya nyaris-nyaris naik ingin menampar pipi ‘Sherry’. Mujurlah dia masih waras dan masih ada rasa belas di dalam hatinya.
            “Aku cakap keluar. Keluarlah!” 
             Kali ini, jari telunjuknya pula yang naik menala ke arah pintu. Kulit mukanya yang cerah semakin terpadam dengan warna merah. Ketika ini, dia kelihatan cukup bengis apatah lagi dengan suara garaunya sudah pecah-pecah akibat menjerit terlalu kuat.
            Benci sungguh Azfahan melihat wajah itu! Hairannya, ‘Sherry’ seperti tidak mahu berganjak! 
            Menyirap darahnya melihat 'Sherry' yang terkebil-kebil ketakutan.
            “Apa lagi yang kau tercegat kat situ tu? Kau nak keluar cara baik atau kau nak aku seret dan humban kau keluar dari sini?” ugutnya dengan suara yang semakin keras. Sampaikan urat-urat hijau yang tersembul di bahagian leher dan dahinya pun dapat dilihat dengan jelas.
            Itupun ‘Sherry’ masih tidak bergerak lagi daripada posisinya berdiri walaupun dia cukup takut menghadapi situasi itu. Mungkin kerana dia terlalu terkejut dan tidak menyangka Azfahan boleh bertukar menjadi seberang itu. Sebab itulah dia tergamam dan tercegat saja berdiri di situ. Hanya diam memandang wajah tegang Azfahan dengan tubuhnya yang menggigil-gigil.
            Azfahan yang nampak tercabar dengan ‘kebekuan’ ‘Sherry’ benar-benar sudah hilang akal. Dengan rakus dan nafas yang berdengus, besen besar yang masih tidak beralih tempatnya di atas meja itu terus dicapai dengan sebelah tangan sebelum dihayunkannya ke atas kepala ‘Sherry’. Habis basah lencun tubuh ‘Sherry’ dengan air garam apabila dia mencurahkan segala isinya.
            Sekali lagi, ‘Sherry’ tergamam. Dia seolah-olah tidak percaya. Namun, kerana gerunkan muka yang merah padam dengan dahi yang merecik peluh-peluh dan menegang dengan urat-urat hijau itu, dia menguatkan juga kakinya untuk melangkah keluar dari rumah itu. Dengan mata yang bergenang...
                       
                       
           




21


           
            SEJAK pertengkaran itu, Azfahan hanya berkurung di dalam biliknya sahaja. Sedikit-sebanyak, dia menyesal atas perbuatannya terhadap ‘Sherry’. Dia sedar. Dia terlalu mengikut emosinya sehingga tidak sempat untuk mengelak daripada mengasari gadis itu.
            Tapi budak tu pun satu. Dah tahu aku tengah mengamuk, bukannya dia nak lari cepat-cepat keluar dari rumah aku ni. Boleh pulak dia tercegat berdiri dekat situ. Kan dah sia-sia mandi air garam.
            Tapi tak boleh nak salahkan dia jugak. Dia kan lurus bendul. Itu yang dia berdiri lurus tercegat macam bendul tu!
            Walaubagaimanapun, Azfahan tetap rasa bersalah. Dan lebih terusik hatinya apabila awal malam itu, bila dia keluar saja dari biliknya dia lihat sudah terhidang beberapa jenis lauk di atas meja. Cadangnya, dia ingin makan apa saja yang ada dalam peti ais. Roti buku pun ada di atas meja. Boleh saja dia sapu dengan jem strawberry. Tapi, ‘Sherry’ seolah-olah tahu-tahu saja yang dia sememangnya tidak suka makan di luar. Apatah lagi dengan keadaan matanya waktu itu. Tapi sekarang, matanya sudah sembuh. Lega sangat rasanya. Ini semua tentunya ‘berkat’ air garam yang disarankan oleh ‘Sherry’. Jadi, dia tidak ada alasan lagi untuk berkata tidak pada permintaan Sazzy!
            Seperti yang dijanjikan kelmarin, malam nanti dia perlu berada di JW Marriott Hotel untuk menyaksikan buah hati pengarang jantungnya itu beraksi di atas pentas peragaan. Cerita Sazzy, dia bakal menyarungkan beberapa busana daripada pereka fesyen tempatan termasuklah sepatu eksklusif rekaan Jimmy Choo.
            Sekarang, waktu menunjukkan pukul 8 malam. Azfahan yang baru selesai mandi, masih bermalas-malas di atas sofa di ruang tamu rumahnya dengan bathrobe yang masih tersarung pada tubuh yang masih lembab itu. Dia berada di dalam dilema sebenarnya. Nak pergi ke tak nak? Hatinya lebih kepada untuk tidak pergi sebenarnya memandangkan dari tadi lagi dia sudah mencongak-congak agenda lain. Tapi akhirnya dia bangun juga dari sofa itu. Melangkah ke biliknya menuju ke almari lima pintu hitam berkilat yang melekap gagah di hujung sudut dinding. Sepasang pakaian yang agak formal tetapi boleh dikatakan agak kasual juga, terus dicapainya tanpa berfikir panjang.
                       
           
           
           
           
                                   
            ENTAH sudah berapa kali lah agaknya si ‘Sherry’ ni berjalan patah balik dari ruang tamu ke balkoni. Air mukanya jelas membayangkan rasa gelisah dan rungsing yang teramat. Jangan sampai otaknya yang sudah senak dan tepu itu menyuruhnya loncat tembok balkoni tu sudahlah. Daripada berjalan patah balik dari ruang tamu ke balkoni, terus jadi patah tak balik-balik lah jawabnya. Patah sekali segala tulang-belulangnya! 
           Sebenarnya sekarang ini dia sedang memikirkan cara untuk meminta maaf dengan Azfahan. Tapi macam mana? Apa yang perlu aku buat?
            Tiba-tiba kedengaran bunyi loceng automatik yang mengejutkannya dan serentak itu juga jantungnya berdegup kencang. Dia dapat rasakan dadanya sedang berdebar-debar dengan hebat ketika ini. Hanya sepotong nama saja yang terlintas di fikirannya buat masa ini.
            Sazzy!
            Ya, nama itulah. Nama perempuan itulah. Sebab apa dia fikir begitu? Sebabnya, rumah yang dia tumpang ini pun kepunyaan Sazzy. Lagi pula takkanlah Azfahan yang datang kot? Dia cukup yakin yang lelaki ego itu tidak akan sesekali merendahkan ego dan maruahnya sendiri. Lagi-lagi dengan perempuan sederhana seperti dia. Lainlahkalau dia cantik macam Sazzy.
            Daripada rasa cuak dan takut-takut, ‘Sherry’ melangkah juga menuju ke pintu rumah walaupun badannya masih terasa seram-sejuk. Kalaulah betul Sazzy yang datang, tentu perempuan itu akan mengamuk sakan bila dia dapat tahu aku menumpang dekat rumah dia. Tapi, suatu hari nanti Sazzy tentu akan tahu jugak. Jadi, adalah lebih baik kalau aku menyerah diri saja. Takkanlah aku nak loncat dari atas bangunan berpuluh-puluh tingkat ni pulak? Tak sanggup aku!
            ‘Sakit bunuh diri satu hal. Sakit dicampak ke dalam neraka lagi satu hal. Jadi ingatlah, sesukar mana sekalipun kehidupan ini, bunuh diri bukanlah satu jalan penyelasaian yang baik. Kerana sesungguhnya, pahit manis kehidupan ini anugerah ALLAH. Jadi, hargailah...’
            Dalam situasi mencemaskan begini pun, dia masih sempat mengimbau semula pesanan ustaznya sewaktu dia berada di tingkatan 4 kalau tak silap.
            Sedar tak sedar, dia sudah pun berdiri di hadapan pintu. Tetapi tidak reti pula dia nak meneropong manusia yang berada di luar rumah dengan cermin bulat kecil yang terdapat pada tengah-tengan pintu tersebut. Maka dengan itu, tanpa memikirkan bahaya dan keselamatan diri, dia terus menarik tombol pintu rumah. Mungkin kerana dia cukup yakin bahawa yang datang itu adalah Sazzy.
            Sebenarnya tidak! Bukan Sazzy!
            Yang datang itu adalah orang yang paling tidak dijangka sekali kedatangannya. Siapa lagi kalau bukan Azfahan.
            Yes! Akhirnya dia datang juga untuk berjumpa dan merayu-rayu dekat aku. Mesti dia nak minta maaf dekat aku. Jadi apa kata kalau aku nak buat-buat jual mahal sikit. Tak pun ambil kesempatan? Suruh dia belanja aku shopping ke? Wah, bestnya...
            Tapi, kenapa muka dia ketat semacam aje? Takkanlah dia nak marah aku lagi kot? Tak cukup-cukup lagi ke? Ahhh... Takkanlah kot. Dia datang ni mesti nak minta maaf punya lah. Tapi kenapa muka dia serius semacam aje? Kalau dia datang nak minta maaf, bukan ke sepatutnya dia tayang muka sayu ala-ala wajah anak derhaka yang penuh dengan dosa dan kembali insaf di pagi raya? Patutnya macam tu lah kan? Tapi ini tidak. Tegang aje mukanya bagai diskru!
            Tiba-tiba Azfahan menghulurkan sesuatu kepadanya. Sesuatu yang diisi di dalam beg kertas. Eh, apa pulak yang dia nak bagi ni siap dengan beg kertas bagai?
            Ah apa lagi. Mestilah dia belikan aku baju cantik-cantik rekaan pereka fesyen terkenal Zery Zamry yang pernah goreng ikan sampai hangus dalam program Masterchef tu. Paling tidak pun, mesti dia belikan aku tudung berjenama. Boleh jadi jenama Ariani! Wah, bergaya sakanlah aku raya nanti. Biar terbeliak mata orang kampung bila aku balik raya nanti! Eh berdosa lah kalau bergaya semata-mata nak menunjuk-nunjuk!
            “Terima kasih!” ucapnya sambil tersipu malu. Padahal di dalam hati, dia sudah tidak sabar-sabar lagi untuk melihat isi di dalamnya.
            Membayangkan habuan yang diterimanya, saat itu juga dia terus terlupakan persengketaannya dengan lelaki itu. Kira 0-0 lah! Tak baik tau simpan dendam lama-lama. Lagipun aku yakin mamat ni ikhlas nak minta maaf dekat aku. Jadi, sebagai hambaNYA yang suci hati nuraninya, seharusnya aku maafkan saja lelaki kat depan aku ni.
            Sesungguhnya, nabi pun ampunkan umat-umatnya. Jadi, takkanlah aku tak boleh nak maafkan dia pulak! Lagipun, dia ni sebenarnya baik hati orangnya. Romantic pun ya jugak. Tengoklah... Siap bagi hadiah lagi semata-mata nak pujuk dan ambil hati aku padahal aku sebenarnya yang bersalah. Alahai... Baik sungguhlah mamat sorang ni. Kalau ikutkan hati aku ni, nak aje aku adakan ‘Kempen Memuji Azfahan’ selama 3 hari berturut-turut.
            Amboi, baiknya hati kau ya ‘Sherry’ siap nak buat kempen bagai? Bila dah dapat habuan, barulah kau beriya-iya nak puji lelaki tu. Kalau tak? Hurmm... Hampeh betul!
            “Apa kau cakap tadi? Terima kasih?” Azfahan bersuara selepas beberapa saat dia mengerutkan dahinya. Tentulah dia pelik apabila ‘Sherry’ tiba-tiba memberikan ucapan terima kasih kepadanya. Apa yang dia dah buat sampai perlu berterima kasih? Misteri betullah perempuan ni! Fikirnya. Sampai sekarang dia lihat ‘Sherry’ tersenyum-senyum seperti sudah hilang akal!
            ‘Sherry’ tersenyum lagi. Kali ni senyum malu pulak.
            ‘Tengok, kan aku dah cakap. Bukan saja baik hati, berbudi bahasa jugak mamat ni rupa-rupanya ya. Aku ucapkan terima kasih pun dia tak nak terima. Mesti kejap lagi dia akan cakap macam ni. “Alah ‘Sherry’... Nak berterima kasih buat apa. Apalah sangat baju yang harganya beratus-ratus ni dengan apa yang saya dah buat pada awak. Saya betul-betul menyesal atas perbuatan saya. Saya harap awak sudi maafkan saya.”
            Malang sekali, kata-kata itu hanyalah jawapan yang diharapkan oleh ‘Sherry’ seorang. Sedangkan apa yang keluar dari mulut Azfahan adalah sebaliknya
            “Ya, terima kasih,” ulang ‘Sherry’ sekali lagi dengan gaya tersipu malunya yang masih belum hilang.
            Azfahan pula masih mengerutkan dahinya.
            “Eh, kejap! Aku rasa kau dah silap ni. Kenapa kau nak berterima kasih dengan aku pulak? Patutnya aku yang berterima kasih dekat kau sebab kau sudi nak gosokkan coat tu untuk aku. Hurmmm... apa-apa ajelah kau ni. Aku turun dulu. Aku tunggu kau dekat bawah. Jangan lambat okay! Dan aku nak malam ni kau pakai baju yang aku belikan untuk kau hari tu. See you...”
            Tanpa menunggu balasan daripada ‘Sherry’, Azfahan lelaki yang tidak berperasaan itu berlalu begitu sahaja dengan wajah yang masih serius.
            Sementara ‘Sherry’ yang masih blur ditinggalkannya terpinga-pinga. Sehinggalah dia menjenguk isi di dalam beg kertas tersebut. Berubah terus riak mukanya. Geramnya.... Malu pun ada!
            Uwarghhhhh... mati-mati aku ingatkan dia datang sebab bagi hadiah dekat aku. Tapi rupa-rupanya dia suruh aku iron coat dia! Tak guna punya jantan. Dasar lelaki dayus yang suka ambil kesempatan! Sampai bila-bila pun aku takkan maafkan kau lah, Azfahan! Menyusahkan hidup orang aje kerja kau!
            Aikkkk... Cepatnya kau ubah fikiran, ‘Sherry’ oiii? Tadi bukan main melangit lagi kau puji lelaki tu? Bila dah tertipu, terus kau sumpah-seranah dia. Ingat ‘Sherry’, sedangkan nabi pun ampunkan umat-umatnya. Jadi, kenapa tidak engkau?
            ‘Alah, Nabi tu terlalu baik dan sempurna sifatnya. Sebab itulah baginda pemaaf orangnya’.
            Tapi, bukan ke tadi kau cakap hati kau tu suci bersih nuraninya?
            ‘Alah, itu tadi. Sekarang lain. Sedangkan sungai pun berubah, inikan pula hati manusia. Atau apa orang putih selalu cakap tu? Hah, ‘People Change’!’
            Sudahlah! Banyak pulak alasan kau ya!
            ‘Hurmmm... Baik aku iron coat ni cepat. Nanti karang kalau dia mengamuk macam kelmarin, aku jugak yang susah!’
            ‘Tapi... Kenapa dia suruh aku bersiap-siap sekali ya? Dia nak bawa aku ke mana pulak? Bukan ke sepatutnya dia pergi ke fashion show buah hati pengarang jantung dia tu? Takkanlah dia nak ajak aku sekali kot?’
            Kau tak payah nak beranganlah, ‘Sherry’ oiii. Buat malu aje kalau dia bawa kau yang kolot macam kartun Flingstone tu ke majlis eksklusif macam tu. Sedar-sedarlah diri kau tu sikit. Takkanlah kau tak dapat rasa yang dia nak hantar kau balik semula ke kampung kau? Dah tentu-tentu dia dah tak nak guna khidmat kau lagi!
            Berubah terus riak muka ‘Sherry’ sehingga dia jadi menggelabah tidak tentu pasal. Pergerakannya seperti teragak-agak dan tidak pasti sahaja. Rautnya nampak cemas.
            ‘Isyyyy... Mana boleh macam ni. Kalau dia nak hantar aku balik semula ke kampung aku sekalipun, tunggulah sampai penuh beg baju aku tu dengan koleksi baju dari butik-butik terkenal! Kalau dia tak nak belikan aku baju dekat butik pereka fesyen favourite aku tu pun, apalah salahnya kalau dia belikan aku beg LV untuk gantikan beg pakaian aku yang dah lusuh dan koyak-rabak tu. Sekurang-kurangnya, nampak glamour lah sikit bila aku balik semula ke kampung nanti. Mesti aku akan rasa bangga bila aku turun saja dari bas. Dan mesti orang kampung fikir aku ni dah jadi orang kaya. Tak pun dah jadi pelakon dekat Kuala Lumpur ni. Iyalah, muka aku kan ada iras-iras Diana Amir sikit.
            ‘Hoi! Tak habis-habis nak perasan. Takbur pulak tu. Tak baik tau ada perasaan macam tu!’ nasihat hatinya yang sebelah lagi...
           
           
           
                       
           
            KELAM-KABUT. Terkocoh-kocoh dia berlari menuju ke arah lif. Tak cukup sekali, punat lif yang akan membawanya ke bawah itu ditekannya berkali-kali. Waktu itu, dia hanya fikirkan tentang Azfahan saja. Takut sungguh kalau-kalau lelaki itu mengamuk dengan kelewatannya.
             Dengan langkah yang kecil dan paha yang terkepit-kepit, dia berjalan mendapatkan Azfahan yang berdiri dengan keadaan punggungnya mengalas bonet kereta mewah kebanggaannya. Sambil berpeluk tubuh, lelaki itu memandang saja ke arahnya dengan pandangan yang cukup sukar untuk dia tafsirkan.
              Isyhhh... Psiko betullah mamat ni. Muka dia tak nampak macam marah pun. Tapi kenapa dia perlu pandang aku sampai macam tu sekali?
            “Ini dia coat yang awak suruh saya ironkan tadi.” Hampir tak kedengaran saja suaranya.
            Entahlah... dia sendiri keliru. Sudah bermacam-macam rasa yang dia rasa sekarang ini. Adakalanya dia seperti berasa malu, sakit hati, takut dan berdebar-debar untuk berhadapan dengan lelaki ini sejak peristiwa mereka ‘bercakaran’ tempoh hari. Mungkin sebab itu juga daripada ganti diri ‘aku’ dan ‘kau’, sekarang boleh bertukar menjadi ‘saya’ dan ‘awak’ pula. Ahhh... Makin keliru dia dibuatnya.
           Maka terpaksalah dia mengambil keputusan untuk berdiam diri, lantas memerhatikan sahaja Azfahan yang sudah pun menyambut coat dari bahan jeans yang berwarna hitam gelap itu. Di dalam hati, sempat lagi dia memuji betapa machonya Azfahan sewaktu lelaki itu menyarungkan coat pada batang tubuh yang sempurna bentuknya itu. Bertambah macho lagi apabila coat itu dibiarkan tidak berbutang dan kemeja biru laut di bahagian dalam itu pula dibiarkan terbuka tiga butang dari atas sehingga menampakkan sedikit lekuk pada dada bidangnya. Tapi, yang dia tidak berkenan ialah rantai leher yang dipakai oleh Azfahan. Jadi apa lagi, daripada lima bintang terpaksalah aku tolak tiga bintang. Tinggallah dua taik bintang! Maaflah ya... Awal-awal cakap, aku memang tak suka tengok lelaki yang memakai rantai walaupun ramai juga perempuan yang suka. Ahhhh... Lantaklah dia nak pakai apa pun. Dia bergaya bukannya untuk aku. Dia bergaya untuk girlfriend dia yang tengah tunggu dia kat atas pentas fashion show tu! Tapi bukan ke haram hukumnya lelaki memakai rantai?
            “Yang kau pakai macam ni buat apa? Saja nak kasi malu aku?” 
              'Sherry' tersentak sedikit dengan teguran yang tiba-tiba itu. Dia lihat Azfahan sedang ralit memandang penampilannya atas bawah.
              'Oh, dia pun tengah buat penilaian ke atas aku rupanya. Siap cebik-cebik bibir lagi! Ada lah tu benda yang dia tak puas hati dengan aku!'  
            “Ingat sikit! Aku ni bawa BMW. Bukannya lori ayam.
             'Tengok, kan aku dah cakap. Memang ketara sangat dia nak cari pasal dengan aku!'
              Dengan senyuman mengejek, Azfahan terus memusingkan badannya. Kemudian dengan bangganya dia  menekan punat alat kawalan jauh yang telah dikeluarkan dari poket seluarnya. Bunyi alarm yang dikeluarkan sahaja sudah menunjukkan ciri gah dan mewahnya.
            ‘Sherry’ diam mencebik saja menahan rasa hati walaupun waktu itu dia sudah pun masuk ke dalam perut kereta.




 P/S: Maaf. Lambat update =P

           

6 comments:

  1. isk2..*geleng2 pale* jahat + mangkuk ayun betul si azfahan tu kan.. ;)

    ReplyDelete
  2. hehehehe rasanya azfazhan dah mula jatuh hati dgn 'sherry' hehehe..
    nanti embun pilih sapa? and mana adik kembar dia?

    ReplyDelete
  3. sambungla cepat...citer ni makin best la, tak sabar nak baca...

    ReplyDelete
  4. best...best...cepatla sambung, tak sabar nak baca ni...aduila pasal ek citer ni best sgt dah aku sangkut kat sini...

    ReplyDelete
  5. sherry n embun...die punye karakter mmg laen gile... aura embun time jdi sherry x sme mybe sbb die dgn han kot ngnn afka die punye aura laen XD
    -nur athira-

    ReplyDelete