Tuesday 25 December 2012

Isteri Paling Kelakar (BAB 23)




23






            JAM menunjukkan pukul 10.00 malam sewaktu mereka sampai ke kediaman masing-masing. Setelah membersihkan badan, ‘Sherry’ sebenarnya sudah berkira-kira untuk tidur selepas dia siap mandi dan menunaikan solat tadi. Malangnya, sekali lagi ketenteramannya diganggu apabila Azfahan datang semata-mata ingin menyuruhnya menerika kemeja dan seluar untuk ke pejabat esok.
            “Tolonglah, esok aku dah kena start masuk office. Alhamdulillah, berkat air garam kau, esok aku dah boleh mula kerja.” Sempat lagi Azfahan mengenyitkan sebelah matanya.
            ‘Amboi, mentang-mentanglah mata tu dah elok, main kenyit-kenyit pulak. Bolehlah jadi duta air garam lepas ni.’
            Memandangkan mata ‘Sherry’ sudah layu, kepalanya pula sudah terasa berat, malas dia mahu melayan lelaki itu lama-lama. Sebelum dia masuk ke dalam bilik untuk menerika pakaian yang baru disuakan Azfahan kepadanya, dia sempat berpesan kepada lelaki itu supaya tidak masuk hingga ke ruang tamu. Cukup sajalah Azfahan berdiri atau paling tidak pun duduk saja di atas kerusi kecil yang terdapat di sebelah pintu itu. Mungkin kelihatan kejam, tapi itu jauh lebih baik daripada membiarkan kemungkinan mereka berdua ditangkap khalwat. Soal pintu rumah pula, Azfahan sendiri sedia maklum tentang hal itu. Awal-awal lagi dia sendiri sudah menguaknya dengan selebar yang mungkin. Maklumlah, lelaki yang dikatakan serba-serbi sempurna dari segala segi itu manakan mungkin sanggup untuk menjadi suami secara terpaksa kepada perempuan yang tiada sebarang kelebihan seperti ‘Sherry’ ni.
            Sewaktu ‘Sherry’ masih tekun menggosok pakaian Azfahan, tiba-tiba telefon bimbit lelaki itu berdering. Dari dalam bilik, ‘Sherry’ memerhatikan sahaja gelagat cemas Azfahan yang sudah pun berdiri tegak dan berjalan patah balik ke hulu hilir sambil tunduk memandang telefon bimbit di tangan. Sesekali, Azfahan merengus dan merungut sendirian. Entah apa yang dirungutnya, tidak pula ‘Sherry’ mendengarnya dengan jelas. Cuma, Azfahan kelihatan cukup gelisah sekali ketika ini. Sampai berpeluh-peluh dahinya. Keadaan itu membuatkan ‘Sherry’ laju saja keluar dari bilik. Lupa pula dia nak padamkan suis seterika.
            Sewaktu dia menghampiri lelaki itu, Azfahan sudah pun menekan butang hijau. Telefon bimbit tidak dilekapkan ke telinga sebaliknya lelaki itu mengubah settingnya kepada loud-speaker.
            Geli hati ‘Sherry’ melihat gelagat lelaki yang selama ini disangka macho itu tetapi rupanya kerap kena buli dengan girlfriend sendiri. Pengecut rupanya dia ni. Nampak aje macam garang.
            ‘Takutlah tu nak tekap phone kat telinga. Takut pekak telinga tu kena jerkah dengan girlfriend dia!’ ‘Sherry’ mengejek-ejek di dalam hati sambil matanya terus memerhati gelagat Azfahan.
            “Sayang, mana you pergi tadi?”
            Amboi, belum apa-apa dah kena serang. Salam pun tak diberi!
             “You tak fikir ke hah? Dari tadi I meroyan kat dalam dewan tu macam orang gila sebab tercari-carikan you tapi bayang you langsung tak nampak. And you know what, untuk pertama kalinya dalam sejarah I since I bergelar supermodel, I balik naik teksi lepas habis buat show dan tak ada seorang pun yang datang jemput I. Kawan-kawan I model-model lain tu semua balik dengan bf diorang. Bf diorang semua siap bawakan bunga, tapi you?”
            “Mana you pergi sebenarnya? Cakaplah...”
            “Honey...” Takut-takut Azfahan bersuara. Dia seperti ingin memujuk. Tapi tak ada idea lah pulak!
`           “I tak nak you cakap apa-apa even try untuk pujuk I. Yang I tahu, you owe me an explanation. Why you didn’t come, hah?” suara Sazzy dengan tegas sekali.
            Azfahan hanya mampu berdiam dan membatu. Sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Berkali-kali dia berdengus dan berdecit.
            ‘Part gaduh-gaduh yang aku tak tahan ni. Aku couple bukannya nak kusutkan fikiran aku. Aku nak have fun!’
            Namun seperti biasa, Azfahan tetap beralah. Buat masa ini dia masih tidak sanggup untuk kehilangan Sazzy.
            “Sayang, janganlah mengamuk macam ni. Cuba dengar dulu apa yang I nak cakapkan ni.” Sambil memujuk, Azfahan cuba mencari alasan. Yang penting alasan itu mestilah bernas. Sazzy bukannya ‘bendul’ seperti Seri Embun a.k.a Sherry yang mudah untuk diperbodohkan. Dia kena ingat semua tu!
            “Silakan. I sangat berbesar hati untuk mendengar alasan daripada you.” Suara Sazzy masih keras bunyinya.
            “Ni bukan alasan lah sayang. You tahu kan I sakit mata? Teruk sangat. Sampai sekarang pun, mata I belum recover lagi. Dah tiga hari I tak masuk office. You tak kesian kat I ke? Kalau ikutkan, I memang teringin sangat nak tengok you perform tadi. Tapi nanti you jugak yang dapat malu bila semua orang ingat mata I ni lebam kena tumbuk sebab jelingkan model-model lain kat majlis tu.” Sambil berhelah, sambil bergurau. Semoga sejuk hati buah hati kesayangannya itu. Mudah-mudahan.
            Malangnya, kali ini ayat-ayat romeonya tidak mujarab seperti selalu. Makin melenting lagi adalah Sazzy dibuatnya.
            “Ni bukan masa untuk bergurau lah, Han. I sangat serious okay kalau melibatkan maruah I. Dan orang yang dah jatuhkan maruah I tu ialah boyfriend I sendiri. You boleh bayangkan tak macam mana I duduk macam tunggul kat dalam dewan tu lepas habis show tadi? Kawan-kawan I semuanya dah perli-perli I. Diorang semua cakap yang boyfriend I Azfahan usahawan berjaya tu sebenarnya tak wujud dan hanya rekaan imaginasi I semata-mata. Sakit hati I ni you tahu tak?” Nampaknya, suara Sazzy sudah bertukar ke tahap hampir nak menjerit.
            Terkulat-kulat Azfahan dibuatnya. Dia sudah habis idea untuk memujuk buah hatinya itu. Malu pun ada sebab dari tadi ‘Sherry’ tegak berdiri tidak jauh darinya menjadi pemerhati dan pendengar sekali.
            Akhirnya, dia memilih untuk diam saja.
            “Sekarang I nak tahu, you ada kat mana sekarang ni?” tengking Sazzy lagi.
            “I kat rumah lah sayang. I kan tak sihat!” Dia pun turut meninggikan suaranya. Rimas pula dengan perangai Sazzy yang suka mendesak dan memijak kepalanya itu.
            “Okay good. I pun dah ada kat dalam lif ni. I dah tak sabar sangat-sangat nak tengok, teruk sangat ke mata you tu. You jangan lari ke mana-mana pulak. I dah nak sampai dah pun ni!” Talian terus dimatikan sebelum sempat Azfahan menghalang.
            “Oh Damn!” jerit Azfahan sekuat hatinya. Kemudian, diurut-urutnya kepala yang terasa pening tiba-tiba.
            Sekali lagi ‘Sherry’ berasa rimas apabila Azfahan kembali berjalan ke hulu hilir tanpa tujuan. Susah betullah kalau orang yang terlalu menjaga penampilan dan tubuh badan ni. Kat dalam rumah pun nak buat senaman ringan jugak ke?
            Laju sungguh Sazzy menapak sehingga ke depan rumah bertanda 701 yang terletak agak jauh ke dalam itu. Nampak sangat perempuan tu sudah tak sabar-sabar lagi mahu menyerang teman lelakinya, fikir ‘Sherry’.
            Suis penggera yang dipicit berkali-kali sehingga bingit segenap rumah telah membuatkan Azfahan yang kelihatan cukup rungsing ketika itu menggelabah dan apabila dia sedar yang dia sudah kehabisan helah, dia tercegat berdiri di situ seperti patung cendana. Namun, akalnya masih bergerak dan masih cuba memikirkan sesuatu yang mampu mengelakkan hubungannya dengan Sazzy daripada berakhir begitu saja.
            Kerana seburuk-buruk mana sekalipun Sazzy di matanya, dia rasa dia perlu mengekalkan hubungan dengan gadis itu supaya tidaklah dia dipaksa ibunya supaya mengahwini ‘Sherry’ yang tentunya berkali ganda lebih ‘buruk’ daripada Sazzy. Sudahlah rupa pun tak ada, perangai lagilah teruk. Majlis makan malam tadi dah membuktikan segalanya!
            Kejam sungguh Azfahan ni. Dalam keadaan cemas begini pun sempat lagi dia mengutuk dan memperlekehkan ‘Sherry’!
            Tidak cukup dengan bunyi penggera yang membingitkan telinga, Sazzy menumbuk-numbuk pula pintu rumah sehingga mereka yang berada di dalam terasa bagai nak luruh jantung masing-masing.
            ‘Mak aiiii... Perkasa sungguh girlfriend si mamat perasan bagus ni ya. Tak pun ni mesti dia pakai cincin yang besar batu berliannya mengalahkan batu lesung. Tu yang kemain kuat lagi ketukannya.’
            “Kau kena tolong aku, ‘Sherry’!” bisik Azfahan perlahan. Bahkan degupan jantungnya yang sedang tidak stabil itu lebih kuat daripada suaranya sendiri. Bimbang kalau-kalau Sazzy terdengar, matilah dia!
            “Macam mana pulak aku nak tolong kau?” ‘Sherry’ juga menggunakan teknik vokal yang sama. Iaitu berbisik dengan menggunakan nada suara yang paling rendah. Dalam kes sebegini, pernafasan mestilah dikawal dengan baik kerana bimbang kalau-kalau peti suara tanpa sengaja mengeluarkan suara secara berlebihan. Haiihhh... Dah macam kelas vokallah pulak!
            “Tolong tumbuk mata aku!”
            “Hah?” ‘Sherry’ terjerit mendengarkan arahan itu. Azfahan pula spontan menekup mulut gadis itu. Dia mengetap giginya menahan marah. Bikin kantoi betullah budak bendul ni!
Hurmmm... Inilah padahnya kalau tidak ada basic teknik-teknik melontarkan suara dengan baik mengikut situasi dan keadaan!
“Ke...kena..kenapa nak.. nak kena tumbuk pulak?” Takut sungguh ‘Sherry’ melihat wajah Azfahan yang serius ketika ini. Kalau dia paksa jugak suruh aku tumbuk mata dia, apa yang aku perlu buat? Alahai... Kenapa lah aku mesti diheret sekali dalam masalah percintaan  dua budak hingusan ni?
“Kau jangan banyak tanyalah. Tumbuk aje!” Azfahan mengeraskan sedikit suaranya sambil sesekali dia menoleh ke arah pintu yang masih sedang digegarkan dengan kuat itu.
“Tak nak lah aku. Aku dah lama tinggalkan perangai samseng aku tau! Aku dah taubat!”
“Tolonglah. Kalau kau tumbuk mata aku, aku akan bawakan kau ke mana-mana saja fashion boutique yang kau suka. Shoppinglah sebanyak mana yang kau suka. Aku janji, aku akan bayar semuanya. Macam mana? Setuju tak?”
Berdebar-debar Azfahan menanti ‘Sherry’ membuka mulutnya. Harap-haraplah dia setuju. Nampak macam setuju aje. Bukan main lebar lagi senyuman dia. Siap sempat berangan lagi. Alhamdulillah, budak bendul ni kalau diteliti, memang banyak juga faedah dan kegunaannya.
“Kalau macam tu....”
“Kalau macam tu?” Bulat mata Azfahan memandang bibir ‘Sherry’, menanti sehingga gadis itu menghabiskan ayatnya. Dengan hati yang semakin berdebar-debar. Berkali-kali dia menelan air liurnya. Minta-mintalah budak ni setuju.
“Kira jadilah!” Serentak dengan persetujuan yang diputuskan itu, ‘Sherry’ terus melayangkan buku limanya tepat ke mata kanan Azfahan. Menyebabkan Azfahan terdorong ke belakang lalu terperosok jatuh ke atas sofa.
‘Nak sangat kan? Ambik kau!’





            “YOU cakap you sakit mata! Tapi ni... sakit kena tumbuk!” Terlopong mulut Sazzy bila memandang si kekasih hati yang terbaring lembik di atas sofa sebaik lelaki itu membukakan pintu rumah yang hanya sekali sekala menerima kepulangannya itu.
            “Kira sakit mata la jugak namanya kan?” jawab Azfahan dengan suara yang lemah mendatar. Sesekali dia cuba merasa sekitar mata kanannya yang sudah lebam-lebam merah itu. Namun semulajadinya tangannya yang sedang meraba bahagian matanya itu tertarik dengan sendirinya apabila tidak tertanggung kesakitan yang dirasanya.
            Fuhhhh... Hebat jugak budak kecik tu. Kalaulah aku tahu sedahsyat ini penumbuk dia, sumpah aku takkan suruh dia tumbuk mata aku. Lagi rela aku biarkan saja hubungan aku dengan Sazzy ni hancur tanpa diselamatkan. Rasanya itu lagi baik!
            “Tapi, siapa pulak yang tumbuk you?”
            Azfahan tersenyum juga mendengarkan pertanyaan itu. Kembang juga hatinya apabila Sazzy sedari tadi tidak sudah-sudah mengasaknya dengan bermacam-macam soalan. Sekurang-kurangnya dia tahu yang Sazzy mengambil berat juga tentang dirinya. Melihat wajah cemas Sazzy juga hatinya sudah tersentuh dengan terharu. Sazzy nampaknya benar-benar bimbangkan keadaan dirinya.
            “Peminat you!” Seperti biasa, cekap saja dia menipu.
            “Kenapa pulak peminat I perlu tumbuk mata you sampai lebam macam ni sekali?” Daripada duduk di atas pemegang sofa di mana kepala Azfahan berbaring, Sazzy bangkit dan berlutut pula di atas lantai betul-betul di sebelah kekasihnya itu. Dia masih kelihatan cemas, dan sedikit kalut.
            “Entah. Mungkin dia cemburukan I agaknya. Sebab I kan lelaki yang paling beruntung sekali kat atas muka bumi ni. Ingat senang ke nak dapat girlfriend yang gorgeous, as perfect as you?” bisiknya dengan suara yang cukup romantis sekali.
            Dalam sakit-sakit begitu pun, dia tetap berusaha keras menoleh kepalanya semata-mata untuk memandang wajah kekasihnya itu. Kemudian, dia mengenyitkan sebelah matanya. Aduhhh... Sakitnya! Alahai lupa pulak yang mata aku ni tengah cedera parah!
            ‘Sherry’ yang sorok-sorok mengintai dari celah pintu bilik utama menahan ketawa melihat gelagat Azfahan. Huh! Sakit-sakit mata macam tu pun masih ada nak berlagak macho macam Romeo?
            “Berapa ramai yang serang you waktu tu?” sergah Sazzy lagi. Nampaknya, gadis cantik bertubuh agak tinggi ini masih tidak jemu menyoalsiasat teman lelakinya itu.
            “Sorang...” Manja cara Azfahan menjawabnya. Bibirnya dicebikkan sedikit. Sengaja lah tu ingin meraih perhatian lebih! Malang sekali, tidak berjaya.
            Sazzy tiba-tiba berdiri dengan tegaknya. Apa pulak yang tak kena ni?
            “Takkanlah sorang pun you tak mampu nak lawan?” Tiba-tiba suara gadis itu meninggi sekaligus menyatakan rasa tidak puas hatinya dia dengan jawapan yang diberikan.
            Terkebil-kebil Azfahan dibuatnya apabila Sazzy kelihatan seperti ingin mempertikaikan sesuatu.
            “Kalau I tak mampu nak lawan, kenapa? Apa masalahnya?” ajunya dengan dahi yang berkerut-kerut.
            Kedengaran Sazzy merengus dengan kuat. Bengang tentu sekali dengan jawapan yang dirasakannya seperti main-main itu.
            “Masalahnya sekarang, I tak suka lelaki lembik macam you ni. Kalau diri you sendiri pun you tak mampu nak protect, macam mana you nak protect I? You tahu kan orang macam I ni selalu kena kacau. Keselamatan orang macam I ni fifty-fifty aje! Apa guna kalau I ada boyfriend lembik macam you, yang tak boleh diharap untuk jaga I? Huh! Nama aje pergi gym sampai berketak-ketak badan tu, tapi lembik!” hamun Sazzy dalam sekali nafas. Kemudian dia merengus lagi sambil memeluk tubuh. Wajahnya merah padam menahan rasa meluat.
            Azfahan tersenyum. Perlahan-lahan, dia bangunkan tubuhnya dari sofa. Meskipun dia berada dalam keadaan tidak selesa akibat mata yang semakin membesar bengkaknya, dia tetap ingin memujuk Sazzy yang sedang naik angin itu. Takut juga kalau Sazzy merajuk sehingga berminggu-minggu dengannya.
            Sazzy yang sedang memandang kosong ke satu arah dihampirinya dengan langkah macho lagi bergaya. Apabila dia sudah berdiri di sebelah Sazzy, tanpa isyarat tiba-tiba sahaja dia menanggalkan satu demi satu butang kemejanya sehingga jelas menampakkan tubuhnya yang tegap dan perutnya yang berotot padu itu. Dengan dada yang bidang dan perut yang langsung tidak buncit sebagaimana lelaki-lelaki lain seusianya, dia kelihatan cukup sempurna sekali sebagai lelaki yang penuh dengan ciri-ciri maskulin.
            “I pergi gym bukannya sebab nak bergaduh dengan orang. I buat badan kasi cantik pun sebab I fikir bila kita dah kahwin nanti, I nak ‘bergaduh’ puas-puas dengan you,” bisiknya nakal, betul-betul di tepi telinga Sazzy selepas dia menyelak sedikit rambut panjang keperangan Sazzy yang menutup telinga gadis itu.
            Meremang bulu roma Sazzy dibuatnya. Sekejap saja dia sudah tergoda sampaikan dia boleh terlupa terus tentang rasa marahnya pada kekasih hatinya itu. Apatah lagi setelah matanya menjamah tubuh sasa yang sentiasa menjadi igauan wanita-wanita sepertinya. Mana-mana wanita yang melihatnya tentu akan rasa berkobar-kobar untuk memeluk tubuh yang penuh dengan otot-otot sasa itu. Tapi dia tahu, ini bukan masa yang sesuai untuk dia menerkam sesuka hatinya. Dia masih perempuan yang mementingkan nama dan imej baiknya sebagai seorang supermodel yang kononnya baik di mata sesiapa saja. Tentulah kena nampak baik. Imej yang bersih sangat penting bagi melayakkan seorang supermodel itu menjadi duta bagi sesuatu produk. Kalau dia bukan orang yang ternama, dia langsung tidak akan fikirkan tentang nama, imej mahupun maruah diri dan juga keluarganya. Apalah yang nak dijunjung sangat dengan semua tu!
            “You rehatlah dulu. I ada hal kat luar. Nak jumpa kawan I kejap.”
            Tapi disebabkan dia ada nama yang boleh dikatakan besar juga, terpaksalah dia menolak walaupun hatinya meronta-ronta mahu memeluh tubuh sasa yang menggelegakkan kolam nafsunya itu.
Dengan malu-malu, Sazzy terpaksa meminta diri. Wajahnya sudah tidak setegang tadi. Lembut saja suara yang keluar dari kerongkongnya.
            Azfahan pula tidak menghalang. Dia cuma tersenyum. Walaupun dia sangat memerlukan kehadiran Sazzy waktu-waktu begini, tapi dia sedar, waktu-waktu sebegini teramatlah tidak sesuai untuk Sazzy berlama-lama di sini. Nahaslah dia kalau Sazzy dapat tahu ada perempuan lain di dalam kondo itu walaupun perempuan itu gayanya tidak ubah seperti orang gaji saja!





            DARI ekor matanya, Azfahan yang masih tidak berbaju dan duduk di atas sofa masih dapat menangkap kelibat ‘Sherry’ yang sedang melangkah keluar dari ‘persembunyiannya’ tadi.  
            Tiba-tiba boleh terlintas idea nakal untuk menguji keimanan gadis itu. Kalau Sazzy yang garang mengalahkan harimau betina itu boleh sejuk tiba-tiba, kenapa tidak ‘Sherry’ yang tentu-tentunya belum pernah berpeluang berdepan mata dengan lelaki sehabat aku ni kan? Mesti menggelabah perempuan tu nanti. Tak percaya, tengok aje lah nanti.
            Dengan lagak machonya yang sentiasa tidak mahu kalah itu, Azfahan pun menyandarkan belakang tubuhnya perlahan-lahan ke dada sofa. Kemudian, tangannya diangkat, didepangkan dan diletakkan di atas kepala sofa yang menampung tubuhnya itu. Dalam posisi duduk yang boleh dikatakan dalam keadaan santai begitu, dia kelihatan cukup tenang merenung wajah ‘Sherry’ yang juga ketika itu sedang tenang berjalan ke arahnya.
            Memang sengaja dia buat begitu. Teringin juga dia nak tahu. Macam mana lah agaknya situasi bila perempuan seperti ‘Sherry’ terpandangkan dia dalam keadaan dirinya yang seksi begitu. Paling kurang pun tentu ‘Sherry’ tidak akan berganjak dan terpacak terus menjilat segenap tubuhnya dengan biji matanya. Sekuat mana pun iman ‘Sherry’, dia yakin semua perempuan tentu ada kelemahannya. Apalagi lelaki setampan aku!
            Ceh, berlagak betul Azfahan ni!
            Agak-agaknya, dia akan cuba goda aku tak? Kalau dia cuba nak goda aku, mesti kelakar punyalah! Mana tak kelakar kalau perempuan kolot macam Seri Embun tu cuba menggeletis dan berlagak seksi depan aku? Sudahlah badan dia berselubung begitu! Tak relanya aku kalau kena goda dengan perempuan macam dia! Tapi, waktu tu lah aku dapat kutuk dia habis-habisan. Kalau dia berubah jadi nervous dan menggelabah tak tentu pasal pulak, waktu tu lah aku dapat usik-usik dia, sindir-sindir sampai merah padam muka dia! Tadi kat hotel dia dah malukan aku, sekarang ni giliran aku lah pulak.             Barulah adil kan?
            Nakal sungguh Azfahan ni! Dia dah buat lah tu perangai dia yang cukup suka mengenakan orang tu!
            Itulah ruginya jadi lelaki yang terlalu tampan ni. Mungkin dia fikir sesiapa saja akan terpikat dan mudah tergoda dengannya. Lebih-lebih lagi apabila sudah terbiasa dengan kehidupan di luar negara sewaktu dia masih menuntut di Australia tidak lama dulu. Setiap kali hujung minggu pasti dia akan bersidai di Pantai Bondi di Sydney. Dia masih ingat lagi. Setiap kali dia tanggalkan saja bajunya, pasti banyak pasang mata yang akan mencuri-curi pandang ke arahnya. Tidak kurang juga yang cuba menggoda dan mengelilingi dia yang sedang berjemur di atas kerusi kayu di tepi pantai kebanggaan daerah Sydney itu. Selalunya, lelaki Melayu seperti dia tidak mudah untuk menarik perhatian gadis-gadis kelahiran sana. Apatah lagi jejaka-jejaka kulit putih di sana kebanyakannya memang kacak, tinggi dan tegap tubuh badan mereka. Tetapi, kekacakan yang dimilikinya berjaya menyaingi mereka yang lain. Maka tidak hairanlah sekiranya dari dulu lagi dia sememangnya menjadi rebutan. Apatah lagi di bumi Malaysia ini! Mungkin itulah puncanya kenapa dia boleh menjadi seorang yang terlalu perasan! Dan sekarang ini, dia boleh terfikir yang ‘Sherry’ pun dengan mudahnya akan tergoda dengannya.
            Siap jongket-jongket kening lagi. Sambil itu, dia cuba membentuk satu senyuman yang paling menggoda. Nak kenyit mata, tak boleh. Jadi, senyuman sajalah aset yang dia punya buat masa ini. Sebagai tarikan sampingan, dia sengaja meraup rambutnya yang tidak panjang mana itu ke belakang. Seksilah kononnya tu!
            Tanpa berperasaan, ‘Sherry’ terus melangkah menghampiri Azfahan dengan wajah meluat. Tak tahu malu betullah lelaki ni. Dia lupa ke yang bukan dia sorang aje yang ada kat dalam rumah ni? Aku yang tengok pun rasa macam nak benamkan muka aku ni kat dalam perigi. Malu tahu tak?
            “Kau masih ingat lagi kan peribahasa aku?” Tiba-tiba ‘Sherry’ menyoal dengan suara yang cukup sinis sekali. Azfahan nampak goyah sedikit bila disoal dengan serius begitu.
            Dia dah lupalah tu, fikir ‘Sherry’. Tak mengapa. Aku dengan besar hatinya akan pulihkan balik ingatan dia!
            “Sepedih-pedih air garam, pedih lagi penumbuk aku. Sepedih-pedih penumbuk aku ni, pedih lagi seksa api neraka! Kalau penumbuk aku pun kau tak boleh nak tahan, apatah lagi api neraka!”
            Ingat lagi tak peribahasa yang aku cipta tu? Karam Singh Walia pun tak pernah terfikir untuk cipta peribahasa yang paling menyentapkan hati dan perasaan macam yang aku buat tu tau!
            “Tapi kalau penumbuk aku tadi masih tak cukup power, aku boleh test power aku sekali lagi kat sebelah lagi mata kau tu.”
            Dengan senyuman mengejek di bibirnya, keningnya dijongket-jongketkan beberapa kali pusingan.
            Azfahan terdiam. Lidahnya terasa kelu dan keras dengan sendirinya. Daripada nak mengenakan orang, alih-alih diri sendiri yang terkena! Tersentap tangkai hatinya bila disindir begitu. Malunya... Lalu, cepat-cepat dia menguncup dan menyorokkan sedikit tubuh sasanya yang tadinya sengaja didedahkan itu. Merah padam wajahnya ketika ini.
            “Errr...Urmmm... Maaflah. Bukan apa. Aku tanggalkan baju ni sebab aku ingat aku nak tuam mata aku dengan baju ni.” Azfahan beralasan.
             “Kalau macam tu, nanti kejap ya.” Waktu itu juga ‘Sherry’ mendapat idea. Lantas, dia masuk semula ke dalam bilik tidurnya dan keluar semula tidak lama kemudian bersama sesuatu yang dibawanya sekali.
            “Nah, kau pakai baju kurung aku ni. Ini saja kain yang ada kat rumah ni pun. Kemeja kau tu bagi sini kat aku. Aku nak guna untuk tuam mata kau tu. Kau dah tak sabar-sabar sangat kan?” Selamba saja ‘Sherry’ mengenakan lelaki itu.
            Apa lagi, berubah terus muka Azfahan bila dimalukan sehingga begitu sekali. Dia benar-benar geram dan tercabar dengan perbuatan ‘Sherry’ itu tadi!
            Dengan ketawa yang ditahan-tahan, ‘Sherry’ terus berlalu ke dapur untuk membasahkan kemeja kapas Azfahan. Biar surut sedikit bengkak pada mata lelaki itu. Kemudian barulah mudah untuk Azfahan memandu ke klinik untuk mendapatkan rawatan.
            Sekembalinya ‘Sherry’ ke ruang tamu, dia lihat Azfahan sudah lelap tidur di atas sofa. Yang membuatkan dia ketawa sampai pecah perut hingga hampir nak berguling di atas lantai apabila dia dapati lelaki itu menyarungkan juga baju kurung yang disuakannya tadi.
            ‘Ego tak bertempat betullah mamat ni. Memang pantang dicabar betul. Aku main-main pun, dia boleh anggap benda tu serius! Tak sangka pulak dengan beraninya dia akan sarungkan juga baju kurung aku tu. Hurmmm... Payah betullah kalau ada sifat ego dan pantang dicabar macam dia ni!’
            ‘Tapi comel apa dia berbaju kurung. Dengan muka dia yang agak baby face dan kemerah-merahan sikit tu, rasa macam nak cubit-cubit, nak cium-cium aje pipi dia tu.’
            ‘Ishhhh.. apalah aku ni. Selama ni dia dress up punyalah macho siap dengan cermin mata hitam dia, siap dengan semburan minyak wangi bau jantan yang mengocakkan hati wanita-wanita yang berselisih di sebelahnya, dengan kot yang tersarung kemas pada badannya yang bidang itu, tak ada pulak aku rasa apa-apa. Tapi sekarang ni, bila aku tengok dia berbaju kurung dan berseluar panjang macam tu, hati aku ni terasa lain macam pulak. Tapi sejujurnya, aku akui yang aku memang tergoda bila tengok dia berbaju kurung macam sekarang ni. Comel sungguh!’
            Pelik betullah ‘Sherry’ ni. Tadi bila Azfahan tayang body dia yang sasa tu pun dia langsung tak rasa apa-apa. Azfahan bergaya smart nak ke pejabat pun dia langsung tak pandang. Tapi bila Azfahan pakai baju kurung, barulah dia nak tergoda? Pelik sungguhlah citarasa perempuan sorang ni!
            Nak buat macam mana. Citarasa manusia kan lain-lain. Hanya kerana Azfahan berbaju kurung, sampai sekarang tak habis-habis ‘Sherry’ memuji lelaki yang dibencinya itu di dalam hatinya. Dan sedari tadi dia tersenyum-senyum seorang diri dengan mata yang masih tidak lari daripada wajah comel yang sedang lelap lena itu. Tak puas-puas dia menatap wajah comel itu sampaikan boleh terdetik di hatinya untuk mengabadikan saja wajah itu ke dalam kamera telefon bimbitnya. Senanglah lepas ni. Boleh aku tengok muka dia puas-puas!
            Setelah merakamkan wajah comel Azfahan, dia mula membetulkan punggungnya supaya dia dapat menuam mata yang lebam kehijau-hijauan itu dengan selesa.
            Sepanjang dia menuam itu, matanya masih tidak lari daripada menjamah wajah Azfahan. Tangannya pula terasa gatal saja ingin mencubit pipi comel lelaki itu.
            Astaghfirullah... Aku rasa aku dah tak boleh nak kawal nafsu aku lagi. Baik aku keluar dari rumah ni cepat-cepat sebelum aku terfikir untuk buat benda tak senonoh dekat lelaki yang comel berbaju kurung ni.
            Inilah hikmahnya mengapa ALLAH melarang keras sepasang yang bukan muhrim berdua-duaan di dalam satu-satu tempat. Walaupun keadaan ini dianggap sebagai terdesak, ‘Sherry’ tetap tidak selesa walaupun pintu rumah masih dibuka seluas-luasnya. Hanya pintu pagar sahaja yang berkunci bagi mengelakkan berlakunya perkara-perkara yang tak diingini.
            Lantas, dia cepat-cepat keluar dari rumah itu. Mujurlah Azfahan memang ada berikan padanya kunci pendua rumah lelaki itu. Jadi bolehlah dia masuk ke rumah Azfahan. Soal Azfahan pula, biarlah lelaki itu tidur kat atas sofa tu dulu. Esok pagi barulah dia berkira-kira untuk pulang semula ke rumah yang ditumpanginya itu sekaligus mengejutkan lelaki itu bangun. Rasanya itulah yang terbaik.
            Selagi mampu mengelak daripada berlakunya sekecil-kecil maksiat, kita wajib elakkan. Tak baik duduk berdua-duaan. Lagipun dah lewat malam sangat ni.


 P/S: Sebarang kritikan mahupun carutan sama ada positif mahupun negatif teramatlah dialu-alukan. Penulis sangat memerlukan komen daripada pembaca sekalian dan akan menerimanya dengan berlapang dada.

12 comments:

  1. Comel btol Han tu . Tergoda mak :)
    Bez ! Cpat sambung >,<

    ReplyDelete
    Replies
    1. hehe..okay, terus melekat dekat blog ni k. TQ :)

      Delete
  2. best baca novel nie... super meletup.. he3

    >Alyya<

    ReplyDelete
  3. saje je tak bukak blog ni lama2..tp kenapa baru dua bab jek update.. tengah syok ni.. cepat2 sambung k...

    ReplyDelete
    Replies
    1. thanks. okay lps ni kita janji kita update cpt2 sikit k. =)

      Delete
  4. cepat la sambung..tak sabar nak baca yg seterusnya...

    ReplyDelete
  5. Kak Mimi Fatimah, cerita ni best sangat! Adik dah baca sampai habis tau! harap sangat dinovelkan atau ke adaptasi drama! :D

    ReplyDelete