Monday 3 December 2012

Isteri Paling Kelakar (BAB 8)



PAGI-PAGI lagi Afka sudah bersiap-siap. Katanya ingin membawa Seri Embun ke satu tempat. Tempat yang sudah hampir setahun tidak dijenguknya. Entah bagaimanalah keadaan tempat itu. Selama ini, dia serahkan tempat itu di bawah jagaan Alia. Namun, sewaktu adik bongsunya itu sibuk dengan pelajarannya, dia terpaksa mengupah seseorang yang bertauliah untuk menjaganya. Pernah juga tempat itu ditutup untuk satu tempoh yang boleh dikira lama.
            “Hari ni Embun takkan bekerja dekat klinik abang lagi.” Kenyataan yang ringkas itu telah membuatkan Seri Embun terkejut besar.
            “Kenapa pulak?” soalnya tidak puas hati. Dah nak sebulan aku kerja dekat situ. Rasa-rasanya prestasi kerja aku elok aje. Apa yang mamat ni tak puas hati sebenarnya?
            “Ikut abang.” Itu sahaja jawapan Afka. Sebelum dia keluar dari perut kereta dan menonong langkahnya memasuki kawasan berbumbung bangunan yang berderet lot kedainya.
            “Doktor nak bawa Embun ke mana pulak ni?”
            Afka diam tidak menjawab. Sehinggalah mereka berdua masuk ke dalam sebuah butik yang agak mewah dan luas, mampu menampung pelbagai jenis rekaan koleksi pakaian wanita yang kesemuanya kelihatan begitu elegan dengan potongan yang cukup seksi sekali.
            “Dalam masa yang terdekat ni, Embun akan dipertanggungjawabkan untuk uruskan butik ni,” arah Afka sesuka hatinya.
            “Saya?” Tercengang Seri Embun mendengarnya.
            Ya ALLAH... Kenapa mesti aku? Aku langsung tak tahu apa-apa pasal fesyen. Apa mamat ni tak nampak ke baju jeans lusuh dengan seluar jeans yang dah pudar yang aku pakai ni? Takkanlah orang macam aku yang dipilih untuk uruskan butik yang glamour ni!
            Gila apa?


           
           


            SEJAK Seri Embun tinggal di dalam vila mewah ini, memang terlalu banyak perkara yang cuba mengubah dirinya dari hari ke hari. Dari seorang gadis kampung, merasa jugalah dia menjadi orang gaji. Kemudian, dia bekerja pula sebagai pembantu klinik walaupun cuma beberapa hari sahaja dia sempat merasa bekerja di klinik Afka itu. Semalam pula, dia ditawarkan menjadi pengurus butik. Kalau diikutkan, untungnya jadi Seri Embun ni ya. Tanpa kelayakan SPM pun, dia berpeluang untuk buat semua kerja-kerja tu semua. Pengurus butik? Itulah yang paling tak pernah terlintas di fikirannya.
            Ingatkan sampai di situ saja. Rupa-rupanya, ada lagi pekerjaan yang ditawarkan kepadanya.
            “Letakkan aje pinggan mangkuk tu dekat situ. Biar bibik Natrah aje yang buat semua tu.”
            Pelik. Baru hari ni Puan Sri Zahlia melarangnya mencuci pinggan mangkuk. Apa pulak yang tak kena dengan Puan Sri Zahlia ni? Ataupun aku sedang bermimpi sekarang ni? Hurmm... Rasa macam nak tampar je muka ni untuk pastikan aku bermimpi ataupun tidak. Tapi rasanya lagi berbaloi aku tampar muka Puan Sri Zahlia yang kerek tu!
            Seri Embun menurut sahaja arahan itu. Malas nak banyak soal. Dicapainya batang penyapu untuk memulakan kerja-kerjanya seperti biasa.
            “Tak payah sibuk nak menyapulah. Tinggalkan aje dekat situ. Itu pulak biar bibik Idah yang buat.”
            Semakin pelik Seri Embun dibuatnya. Apa pulak lah yang tak kena dengan orang tua ni. Kalau dulu, aku tarik nafas nak rehatkan dada yang termengah-mengah ni pun dia boleh jerkah tepi telinga aku. Ni mesti ada ‘sesuatu’ ni!
            Seri Embun mencapai pula kain buruk untuk mengelap meja makan.
            “Isyhhh.... Tak payah buatlah semua tu. Kerja-kerja kat dalam rumah ni bukan lagi tanggungjawab kau. Kau dah ada tugas baru!”
            Baru sekarang Seri Embun faham walaupun tidak sepenuhnya. Mungkin dia akan dilantik menjadi pembantu Pak Akid yang akan membantu lelaki itu berkebun. Boleh jadi juga dia akan ‘dipindahkan’ ke department lain iaitu bahagian babysitter untuk menjaga si kecil Fyra yang nakal itu.
            ‘Atau, tak mustahil juga dengan penampilan aku yang macam lelaki ni, aku disuruh untuk jadi driver. Mana lah tahu kan... Puan Sri Zahlia ni kan memang suka nak kenakan aku!’
            “Mulai hari ni, kau tak payah lagi buat kerja kat dalam rumah ni sebab aku nak lantik kau sebagai pakar pemakanan aku. Untuk permulaan, aku akan bagi kau RM2000. Alia pun ada cerita dekat aku yang kau ada pengalaman jadi trainer dekat gym. Jadi macam mana sekarang, kau setuju?”
            “Saya?” Terlopong Seri Embun mendengarnya. Eh, sejak bila pulak aku jadi trainer ni? Memandai aje tau budak Alia ni. Memang sengaja nak kenakan aku ke apa ni?
            Puan Sri Zahlia mengangguk dengan muka yang masih sombong.
            “Ya. Kalau aku tak berjaya dapatkan semula bentuk badan aku, aku akan pecat kau dan kau takkan berpeluang untuk jadi menantu aku. Aku akan suruh Han hantar kau semula, balik ke kampung!”
            Seri Embun terlopong lagi. Tentulah dia tak kisah kalau tak dapat berkahwin dengan Azfahan. Cuma rasa-rasanya, dia masih belum bersedia lagi untuk berjauhan dengan Afka. Alahai... Macam mana ni? Berjayakah aku mengembalikan bentuk badan Puan Sri Zahlia sebagaimana badannya yang aku tengok dekat gambar-gambar zaman mudanya dulu?
            Ahhh.. Apa susah. Mulai hari ini, aku tak payah masak langsung. Mesti kurus punyalah harimau tembam ni. Tapi kang kalau dia mati kebulur macam mana? Siapa nak bayar gaji aku dua ribu yang dia janjikan tu?


           

           
            HARI ini juga merupakan hari pertama buat Seri Embun bekerja sebagai pengurus di butik peninggalan arwah Delina. Pagi tadi dia hanya dibawa ke butik untuk berkenalan dengan pekerja-pekerja di situ. Dan sekarang pada sebelah petang barulah dia akan dibawa semula ke sana.
            “Nah, Embun boleh pakai blaus ni. Abang ambil dari butik tu juga.” Afka meletakkan dengan cermat blaus yang masih berbalut dengan plastik itu ke atas katil Seri Embun.
            Seri Embun merenung blaus berwarna ungu gelap yang sarat dengan taburan manik dan labuci itu. Cantik tu memanglah cantik. Tapi... gila apa nak suruh aku pakai baju seksi macam tu?
            Dia menggeleng tiba-tiba. “Terima kasih sajalah, doktor. Embun akan pakai baju Embun sendiri.”
            Afka mula berasa tak sedap hati.
            “Baju sendiri?” Dia sudah terbayangkan Seri Embun menggayakan kemeja jeans dengan seluar jeansnya yang agak lusuh itu. Berkerut-kerut dahinya membayangkannya seperti hendak termuntah saja.
            “Mana boleh. Embun sekarang ni dah jadi seorang pengurus butik tau. Mana boleh bergaya macam dulu lagi. Embun kena ubah penampilan Embun. Barulah pelanggan akan lebih yakin untuk datang ke butik tu.”
            “Tak ada sebab untuk Embun berubah jadi orang lain.” Seri Embun seperti bertegas. Dia langsung tidak memandang wajah Afka. Dia kelihatan sibuk menyelongkar beg pakaiannya.
            “Tapi...”
            “Seorang guru tak perlu memakai baju tadika atau baju sekolah semata-mata untuk meyakinkan anak-anak murid mereka. Cukup sekiranya guru itu bijak memainkan peranan masing-masing supaya anak murid berasa dekat dengan cikgu-cikgu mereka. Samalah juga dengan Embun. Tak semestinya kalau Embun ni seorang pengurus butik, Embun juga kena ikut fesyen terkini macam perempuan-perempuan lain,” jawab Seri Embun dengan tegas. Meskipun jawapannya kedengaran lucu, namun ada kebernasannya. Maklumlah, Seri Embun ni kan agak kebudak-budakan orangnya. Jadi jawapan yang diberikan pun agak tidak matang.
            Tak kisahlah semua tu. Yang penting Afka sendiri terdiam dek kerana terpukul dengan jawapan yang diberikan. Walaupun jawapan cerdik itu mengagumkannya, dia tetap berasa hampa. Perangkapnya tidak menjadi. Baru dia berangan nak tengok Seri Embun bergaya dengan pakaian yang lebih feminin. Nampaknya, kemeja jeans dan seluar jeans lusuh itu sajalah yang akan dipandangnya tiap-tiap hari.
           
           


            DENGAN penuh yakin, Seri Embun melangkah masuk ke dalam Butik AfkaDelina. Nama yang digubah dari kombinasi nama Afka dan arwah Delina tentunya. Tetapi, Seri Embun tidak pula perasan semua itu. Menonong saja dia masuk ke dalam.
            “Assalamualaikum... saya Seri Embun, pengurus baru di sini.” Dia memperkenalkan dirinya. Sedikit pun dia tidak ambil peduli apabila ada beberapa pekerja di situ yang berbisik sesama mereka dengan wajah meluat. Tidak kurang juga yang sorok-sorok mengumpatnya. Tentunya mereka mempertikaikan namanya yang kekampungan, dan juga kredibilitinya sebagai pengurus di situ. Pakaiannya saja tidak meyakinkan!
            Hummm... Lantaklah... Nak kutuk-kutuk aku sangat ya! Kau belum kenal lagi siapa Seri Embun! Dia perlu tunjukkan sisi dirinya yang berbeza. Di hadapan mereka, mana boleh buat perangai gila-gilanya lagi. Perangai kebudak-budakan pun dah tak boleh buat. Aku kena bertegas dan berubah jadi seorang yang professional, sebab aku pengurus dekat butik ni!
            “Ehem..Ehem... Ada pengumuman sikit.”
            Semua mata memandang ke arahnya.
            “Mulai esok, pekerja-pekerja di sini tidak dibenarkan sama sekali memakai pakaian yang menjolok mata. Pekerja perempuan diminta menutup aurat sebagaimana yang dituntut oleh syarak.” Tak semena-mena, tiba-tiba saja arahan itu dikeluarkan dengan selamba. Langsung tiada perasaan bersalah sewaktu dia menuturkannya.
            Masing-masing nampak terkejut mendengarkan arahan ketua baru mereka itu. Dah macam dengar ceramah agama! Hah, padan muka korang. Dahlah tak tutup aurat, suka mengumpat pulak tu. Sekurang-kurangnya undang-undang yang baru aku gubal ni akan mengurangkan beban dosa yang terpaksa korang tanggung. Tahu tak?
            “Fahim...”  laungnya pada satu-satunya pekerja lelaki di butik tersebut.
            “Saya nak kamu gantikan patung-patung model dekat depan butik tu dengan patung-patung yang lebih sopan. Bukannya patung-patung yang beraksi ghairah macam tu. Nak termuntah saya menengoknya!”
            Pekerja lelaki itu dengan patuhnya mengangguk. Sedang beberapa pekerja yang lain terpinga-pinga, seperti tidak bersetuju dengan arahan ketua baru mereka itu. Namun hanya mampu mendengus di dalam hati sahaja.
            Daripada berdiri memeluk tubuh, Seri Embun menyeluk poket seluarnya pula. Namun, kepalanya masih dalam keadaan tertunduk. Masih tak ada seorang pun yang dapat melihat wajahnya dengan jelas.
            “Pada semua pekerja, saya nak ingatkan. Sebolehnya, biar pekerja perempuan saja yang uruskan pelanggan-pelanggan perempuan. Begitu juga sebaliknya. Kalau ada pelanggan lelaki, biar pekerja lelaki yang uruskan. Memandangkan dekat butik ni cuma ada sorang saja pekerja lelaki, saya minta sesiapa yang bertanggungjawab, tolong iklankan jawatan kosong untuk cari lagi dua orang pekerja lelaki yang akan menjadi sebahagian daripada keluarga kita dekat dalam butik ni.”
            Masing-masing jelas terkejut dengan polisi baru yang telah ditetapkan itu. Mereka semua saling berpandangan antara satu sama lain dengan muka tidak puas hati dan mulut yang terpaksa ditahan buat sementara daripada mengumpat bos baru mereka itu.
            “Dan mulai hari ini juga, saya tak nak tengok pakaian-pakaian perempuan yang seksi lagi dekat dalam butik ni.”
            “Maksudnya?” Salah seorang pekerja memberanikan diri untuk bertanya. Sebenarnya, soalan tersebut lebih kepada tidak berpuas hati.
            “Aurat perempuan yang sudah baligh adalah dari hujung rambut hingga hujung kaki melainkan muka dan telapak tangan. Faham maksud saya?” Seri Embun sudah berpeluk tubuh. Walaupun cara dan pembawaannya agak tegas, suaranya sebenarnya masih kekal lembut dan sopan.
            “Maknanya...?”
            “Maknanya, mulai sekarang... butik ini hanya akan menjual pakaian yang menutup aurat saja.”
            Setiap daripada mereka, tak ada seorang pun yang tidak terlopong mendengarkan kenyataan itu. Apatah lagi selepas ini, mereka sendiri tidak dibenarkan sesuka hati mendedahkan aurat sebagaimana seperti sebelum ini.
            Seri Embun masih tidak ambil peduli. Yang penting, hatinya puas kerana dapat menyuntik satu perubahan yang besar ke atas butik tersebut. Semoga, setiap daripada mereka yang mengusahakan butik ini akan mendapat ganjaran daripadaNYA. Insya-ALLAH...
            Mulia sungguh hati Seri Embun.


P/S: Sebarang kritikan sama ada positif mahupun negatif teramatlah dialu-alukan. Penulis sangat memerlukan komen daripada pembaca sekalian. Terima Kasih. =)

3 comments:

  1. Masih best siap dengan message yang jelas.

    ReplyDelete
  2. saya suka ! ngeee~

    ReplyDelete
  3. gile laa...maen hentam je embun nie wt polisi cmtue..but mmg ptot pon wt cmnie :)

    -nur athira-

    ReplyDelete